السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Jaminan Masuk Syurga
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ
Daripada Abu Hurairah RA, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kamu yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar RA menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah mengiringi jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan kepada orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menziarahi orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua amalan ini berhimpun pada diri seseorang melainkan dia akan masuk syurga." (HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.
2. Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW dalam mengamalkan ajaran Islam. Beliau bukan sahaja tekun dalam ibadah khusus seperti puasa, malah aktif dalam ibadah sosial seperti membantu golongan memerlukan, menziarahi orang sakit dan mengiringi jenazah.
3. Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.
4. Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menziarahi orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat, dan ia mencerminkan sifat rahmah dan ukhuwah Islamiah.
5. Mukmin yang cemerlang dan dijanjikan syurga ialah mereka yang mengimbangi ibadah kepada Allah SWT dengan khidmat kepada Masyarakat seperti menziarahi orang sakit, menolong orang yang susah serta sentiasa mencari peluang untuk berbuat kebaikan dan menjadikan setiap hari sebagai medan berlumba-lumba menuju keredaan dan rahmat Allah SWT.
6. Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat. Moga ia menjadi amal yang dijanjikan syurga.
10hb Safar 1448H
25hb Julai 2026
No comments:
Post a Comment