Wednesday, 15 July 2026

Surah Al-Mulk Syafaat Pengampun Dosa

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Surah Al-Mulk Syafaat Pengampun Dosa
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:إِنَّ سُورَةً فِي الْقُرْآنِ ثَلَاثُونَ آيَةً شَفَعَتْ لِصَاحِبِهَا حَتَّى غُفِرَ لَهُ: تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ
 
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya terdapat satu surah dalam al-Quran yang mengandungi tiga puluh ayat. Surah itu memberi syafaat kepada pembacanya sehingga dia diampunkan dosanya, iaitu Surah 'Tabaraka allazhi biyadihil-mulk' (Surah al-Mulk)." (HR Ibn Majah No: 3786) Status Hadis Hasan
 
Pengajaran
 
1.    Surah al-Mulk mempunyai kedudukan yang istimewa dalam al-Quran sehingga diberi kelebihan memberi syafaat kepada pembacanya dengan izin Allah.
 
2.    Syafaat yang sebenar adalah milik Allah SWT, manakala Surah al-Mulk menjadi sebab seseorang memperoleh rahmat dan keampunan-Nya.
 
3.    Membaca Surah al-Mulk hendaklah disertai dengan kefahaman, tadabbur dan pengamalan, bukan sekadar bacaan lisan.
 
4.    Menurut al-Mubarakfuri, " لِصَاحِبِهَا - pemilik surah" ialah orang yang sentiasa membacanya; menghafaznya; memahami maknanya; menghayati pengajarannya; serta beramal dengan kandungannya.
 
5.    Kandungan Surah al-Mulk membentuk akidah yang mantap melalui penegasan tentang kekuasaan Allah, kehidupan akhirat dan tanggungjawab manusia.
 
6.    Keampunan Allah merupakan matlamat utama setiap Muslim, dan al-Quran ialah antara jalan terbaik untuk mencapainya. Membaca surah al-Mulk dengan penuh keikhlasan, keimanan dan istiqamah mengamalkannya akan menjadi asbab pengampunan keatasnya.
 
7.    Membiasakan membaca Surah al-Mulk setiap malam merupakan sunnah yang dapat memperkukuh hubungan seorang Muslim dengan al-Quran.
 
01hb Safar 1448H
16hb Julai 2026

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...