السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Kelebihan Membaca Al-Quran Semasa Qiamullail
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَن قَامَ بِعَشْرِ آيَاتٍ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِينَ، وَمَن قَامَ بِمِائَةِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْقَانِتِينَ، وَمَن قَرَأَ بِأَلْفِ آيَةٍ كُتِبَ مِنَ الْمُقْنِطِرِينَ
Daripada Abdullah bin Amru RA beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mendirikan (solat malam) dengan membaca sepuluh ayat, dia tidak akan ditulis sebagai orang yang lalai. Sesiapa yang mendirikan (solat malam) dengan seratus ayat, dia akan ditulis sebagai orang yang taat dan tekun beribadah (al-qanitin). Dan sesiapa yang membaca seribu ayat, dia akan ditulis sebagai golongan yang memperoleh pahala yang sangat besar (al-muqanthirin). (HR Abu Daud No: 1398) Status: Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Setiap Muslim digalakkan bangun malam untuk solat dan membaca ayat-ayat al-Quran (qiamullail), kerana waktu malam adalah saat yang paling tenang untuk mendekatkan diri kepada Allah.
2. Tiga tahap ganjaran orang yang qiam di malam hari (solat malam) dan membaca al-Quran:
a) 10 ayat: Tidak tergolong dalam kalangan orang yang lalai (hanya mampu membaca sedikit al-Quran dalam qiamullail) – tetap mendapat kemuliaan dengan mengingati Allah.
b) 100 ayat: Dikenal sebagai qanitin (orang yang taat dan tekun beribadah).
c) 1000 ayat: Dicatat sebagai muqanthirin, iaitu yang diberi pahala besar dan berlipat ganda seperti gunung.
3. Ibn Rajab al-Hanbali dalam Jami' al-‘Ulum wa al-Hikam menyatakan bahawa hadis ini bukan hanya tentang bilangan ayat al Quran yang dibaca, tetapi tanda kecintaan kepada al-Quran. Sesiapa yang menjadikan bacaan al-Quran sebahagian daripada malamnya, maka dia akan terselamat daripada sifat lalai yang disebut dalam al-Quran sebagai sifat orang munafik dan zalim.
4. Membaca al-Quran dalam solat malam bukan sekadar menyucikan hati, menguatkan iman malah menjadi jalan untuk mengelakkan kelalaian, memperoleh ketaatan, dan meraih pahala yang sangat besar.
5. Jadikanlah amalan solat sunat malam hari dengan membaca al-Quran didalamnya walaupun sedikit sebagai rutin hidup kerana di situlah letaknya rahmat, cahaya hati, dan kemuliaan seorang Muslim.
20hb Muharam1448H
06hb Julai 2026
No comments:
Post a Comment