السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
Kelebihan Surah Al-Mulk
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ :ضَرَبَ بَعْضُ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم خِبَاءَهُ عَلَى قَبْرٍ وَهُوَ لَا يَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الَّذِي بِيَدِهِ الْمُلْكُ حَتَّى خَتَمَهَا، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، إِنِّي ضَرَبْتُ خِبَائِي عَلَى قَبْرٍ وَأَنَا لَا أَحْسِبُ أَنَّهُ قَبْرٌ، فَإِذَا فِيهِ إِنْسَانٌ يَقْرَأُ سُورَةَ تَبَارَكَ الْمُلْكِ حَتَّى خَتَمَهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم :هِيَ الْمَانِعَةُ، هِيَ الْمُنْجِيَةُ، تُنْجِيهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ
Daripada Ibnu ‘Abbas RA, beliau berkata: “Seorang sahabat Nabi SAW telah mendirikan khemahnya di atas sebuah kubur tanpa dia mengetahui bahawa ia adalah sebuah kubur. Tiba-tiba dia mendengar seseorang di dalam kubur itu sedang membaca Surah Tabarak allazi biyadihi al-Mulk (Surah Al-Mulk) sehingga selesai. Lalu sahabat tersebut datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku telah mendirikan khemahku di atas sebuah kubur dan aku tidak tahu bahawa ia adalah kubur. Tiba-tiba aku mendengar seseorang di dalamnya membaca Surah Al-Mulk sehingga selesai.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Surah itu ialah penghalang (daripada azab), surah itu ialah penyelamat, ia menyelamatkan pembacanya daripada azab kubur.’” (HR Tirmizi No: 2890) Status Hadis Hasan
Pengajaran:
1. Membaca Surah al-Mulk secara konsisten setiap malam sebelum tidur adalah sunnah yang membawa manfaat besar semasa di alam barzakh kelak.
2. Kelebihan Surah al-Mulk sebagai "penghalang" dan "penyelamat" menunjukkan besarnya rahmat Allah kepada orang yang sentiasa berinteraksi dengan al-Quran.
3. Surah al-Mulk mengandungi tema yang membina keimanan, antaranya: kekuasaan mutlak Allah terhadap seluruh alam; penciptaan hidup dan mati sebagai ujian; kesempurnaan ciptaan Allah; ancaman terhadap orang yang kufur; galakan bertafakur serta keyakinan terhadap hari kebangkitan. Seseorang yang sentiasa membaca dan menghayati surah ini akan mempunyai hati yang sentiasa mengingati akhirat, sekali gus menjauhkan dirinya daripada maksiat.
4. Surah al-Mulk yang menjadi rutin di baca setiap malam akan menjadi pemberi syafaat kepada pembaca, menghalangnya daripada azab kubur dan menjadi penyelamat daripada api neraka bergantung kepada keikhlasan, keimanan dan rahmat Allah SWT.
5. Membiasakan diri membaca Surah al-Mulk setiap malam bukan sekadar mengharapkan ganjaran, tetapi juga sebagai latihan rohani yang mengukuhkan tauhid, menyuburkan rasa takut dan harap kepada Allah, serta mempersiapkan diri menghadapi alam kubur dan kehidupan akhirat.
6. Hormati kawasan perkuburan dan elakkan daripada melakukan sesuatu yang tidak sewajarnya seperti berjalan sesuka hati di atas kubur, menjadikan atas kubur sebagai tempat tinggal dan sebagainya.
29hb Muharam1448H
15hb Julai 2026
No comments:
Post a Comment