Thursday, 6 August 2026

Berkasih Sayang Didunia Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Berkasih Sayang Didunia Mendapat Naungan Di Padang Mahsyar
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَيْنَ الْمُتَحَابُّونَ بِجَلَالِي الْيَوْمَ أُظِلُّهُمْ فِي ظِلِّي يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلِّي
 
 Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah berfirman pada hari kiamat kelak: "Dimanakah orang-orang yang saling berkasih sayang kerana keagungan-Ku? Pada hari ini Aku akan naungi mereka di bawah naungan-Ku, pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Ku." (HR Muslim No: 4655) Dar Ihya Kutub Arabiyyah.  Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Hadis Qudsi ini merupakan pengistiharan secara langsung daripada Allah akan kemuliaan orang yang saling mengasihi dan berkasih sayang antara sesama orang beriman.
 
2.    Menurut Imam al-Nawawi, kasih sayang kerana Allah bermaksud seseorang mencintai saudaranya semata-mata kerana agama, iman dan ketaatan, bukan kerana dunia, harta, atau kepentingan lain.
 
3.    Dua orang yang saling berkasih sayang kerana Allah akan tergolong dalam salah satu golongan yang akan mendapat naungan di hari Kiamat. Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa naungan Allah adalah satu bentuk perlindungan khusus daripada kepanasan dan kesusahan di Padang Mahsyar.
 
4.    Ibnu Hajar rahimahullah berkata, dua orang yang saling menyayangi di jalan Allâh, di mana ia berpisah dan berkumpul kerana-Nya, iaitu apabila keduanya saling menyayangi kerana agama, bukan kerana yang lainnya. Menyayangi kerana agama ini tidak putus, baik dia berkumpul secara hakiki atau tidak, sampai kematian memisahkan keduanya.
 
5.    Kasih sayang kerana Allah melahirkan pengorbanan. Apabila seseorang benar-benar mencintai kerana Allah, dia akan: mendoakan saudaranya; menziarahinya ketika sakit; membantu ketika susah; menutup aibnya; menasihatinya; memaafkan kesalahannya; dan bergembira dengan kejayaannya.
 
6.    Seorang lelaki yang menyayangi lelaki lain kerana Allah begitu juga wanita yang menyayangi wanita lain kerana Allah, dianjurkan  oleh Rasûlullâh SAW agar kita memberitahu kepadanya. Sebagaimana yang disebutkan dalam hadis  dengan lafaz:

إِنِّي أُحِبُّكَ فِي اللهِ

Sesungguhnya aku menyayangimu kerana Allâh

Kemudian balaslah ucapan tersebut dengan lafaz:

أَحَبَّكَ الَّذِي أَحْبَبْتَنِي لَهُ

Mudah-mudahan Allâh menyayangimu yang telah menyayangiku kerana-Nya.

7.    Dalam mewujudkan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera, berusahalah kita memiliki seramai mungkin sahabat yang baik dengan mengasihi mereka. Moga kita tergolong dalam golongan yang mendapat naungan di hari akhirat nanti dengan saling menyayangi sahabat kita semata-mata kerana Allah.
 
8.    Persahabatan yang dibina kerana Allah akan terus kekal di dunia, menjadi sebab memperoleh rahmat-Nya, dan akhirnya mendapat kemuliaan berada di bawah naungan Allah pada hari yang tiada sebarang naungan melainkan naungan-Nya.
 
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026
"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"
 
22hb Safar 1448H
06hb Ogos 2026

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...