Friday, 28 August 2026

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Rasulullah SAW Pembawa Rahmat

عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.

Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya aku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)." (Hadis riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadis ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim).

  Pengajaran:

1.    Rasulullah SAW diutus membawa rahmat untuk seluruh alam.
Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam. (al-Anbiya:107).

2.    “Rahmat yang dihadiahkan” mengikut Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir bermaksud: kewujudan Nabi SAW sebagai hadiah besar dari Allah yang menyelamatkan manusia daripada kegelapan jahiliah dan menuju cahaya hidayah.

3.    Menurut Ibnu Abbas, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah. Baginda penyebab memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap perintah Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, berupa tidak disegerakannya bencana seperti yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari perintah Allah.

4.    Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

5.    Ibn Qayyim menyatakan bahawa rahmat itu adalah kasih sayang iaitu sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau makhluk alam juga menjauhkannya daripada bencana.
 
6.    Hadis ini menegaskan bahawa Rasulullah SAW ialah "rahmat yang dihadiahkan" oleh Allah SWT kepada seluruh manusia. Menurut Ibn Kathir juga Imam al-Ghazali, rahmat Baginda bukan sekadar kelembutan peribadi, bahkan merangkumi seluruh risalah Islam yang membawa petunjuk, keadilan, akhlak mulia dan kesejahteraan kepada manusia.
 
7.    Orang yang mengikuti Rasulullah SAW akan berusaha menjadi "rahmat" kepada orang lain melalui tutur kata yang baik, keadilan dalam tindakan, kasih sayang terhadap keluarga, penghormatan kepada sesama manusia, belas ihsan terhadap haiwan dan tanggungjawab memelihara alam sekitar. Inilah antara manifestasi sebenar mencontohi akhlak Rasulullah SAW sebagai rahmatan lil 'alamin.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448H.
"Madani Dihayati, Ummah Diberkati"
  
16hb Rabiulawal 1448H
29hb Ogos 2026
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...