Thursday, 27 August 2026

Contohi Akhlak Rasulullah

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Contohi Akhlak Rasulullah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ وَاللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطُّ وَلَا قَالَ لِي لِشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا

Daripada Anas bin Malik RA berkata : Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun, Demi Allah, Baginda SAW tidak pernah berkata kepadaku “Uff!” (perasaan tak puas hati) dan Baginda tidak pernah berkata kepadaku mengenai sesuatu yang aku lakukan: Mengapa awak buat begini ? dan tidak juga terhadap sesuatu yang aku tidak lakukan: Mengapa kamu tidak melakukannya?' (HR Muslim No: 2309) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.    Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat terpuji. Tutur katanya sangat lembut dan penuh hikmah kepada sesiapa sahaja walaupun terhadap hamba.

2.    Kalimah “Uff!” adalah ucapan atau suara yang menunjukkan perasaan tak puas hati, rasa tidak hormat dan menyakitkan hati atau mengherdik. Mungkin bagi kita adalah kata-kata seperti: “ah !! , Ish !! Hoi !! Hey!! Bodo!! Bengong!! dan sebagainya.

3.    Tutur kata merupakan antara penyebab utama seseorang itu mendapat dosa kerana terlalu mudah untuk menyebut perkataan yang tidak baik atau diterjemah dalam bentuk tulisan di media sosial. Menjaga tutur kata juga adalah tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.

4.    Rasulullah SAW tidak pernah berkata perkataan kasar, mencela atau mengherdik kepada sahabat juga pekerja. Baginda juga tidak  memarahi, menghina orang yang berkhidmat dengannya.

5.    Perkataan “uff” atau “ah!” adalah kalimah ringan yang menunjukkan rasa tidak puas hati, namun Nabi SAW tidak pernah mengucapkannya kepada Anas. Ia mengajar kita agar mengelakkan perlian atau cercaan walaupun ringan kerana ia boleh menyakitkan hati dan mematahkan semangat orang lain.
 
6.    Mengikut Ibn Hajar, lafaz "uff" merupakan bentuk ucapan atau reaksi buruk yang paling ringan. Jika yang ringan pun tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah SAW, maka apatah lagi kata-kata yang lebih kasar.

7.    Kelembutan Nabi SAW adalah bentuk tarbiyah terbaik. Dengan kelembutan, Baginda menanam rasa cinta dan hormat dalam hati para sahabat sehingga mereka lebih terdorong untuk taat.
 
8.    Hadis ini membuktikan bahawa kelembutan, kesabaran dan penghormatan terhadap maruah manusia merupakan asas Pendidikan. Kasih sayang bukan tanda kelemahan, bahkan ia adalah kekuatan yang mampu membentuk insan, mengubah hati dan melahirkan generasi yang mencintai kebaikan.

9.    Marilah kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita. Antaranya menjaga tutur kata dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk termasuk dalam penulisan. Firman Allah:

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) (al-Ahzab: 21).

Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448H.
"Madani Dihayati, Ummah Diberkati"
  
14hb Rabiulawal 1448H
27hb Ogos 2026
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...