*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
*Rahmah Kepada Semua*
عَنْ أَبِي مُوسَى الأَشْعَرِيِّ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: لَنْ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَرَاحَمُوا. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ كُلُّنَا رَحِيمٌ. قَالَ: إِنَّهُ لَيْسَ بِرَحْمَةِ أَحَدِكُمْ صَاحِبَهُ وَلَكِنَّهَا رَحْمَةُ النَّاسِ رَحْمَةُ الْعَامَّةِ
_*Daripada Abu Musa Al-Asy’ari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak akan mencapai kesempurnaan iman sehingga kamu berkasih sayang (bersifat Rahmah). Para Sahabat berkata: Wahai Rasulullah, bukankah kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “Bukanlah yang dimaksudkan itu kasih sayang seseorang kamu terhadap sahabatnya sahaja, tetapi kasih sayang terhadap seluruh manusia, iaitu kasih sayang yang bersifat umum (kepada seluruh makhluk)”*_ (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 dan dinilai Hasan Lighairihi dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib no. 2253)
*Pengajaran:*
1. Islam adalah agama rahmah. Rahmah bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)
2. Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda kesempurnaan iman seseorang.
3. Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.
4. Kasih sayang hendaklah dizahirkan melalui tindakan seperti menghulurkan bantuan, memaafkan, memberi nasihat, mendoakan, mengelakkan perbuatan yang menyakiti, menganiaya atau menzalimi orang lain serta menghilangkan kesusahan orang.
5. Proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:
يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ
*“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.”* (al-Hujurat: 13)
6. Memiliki sifat rahmah kepada manusia termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia adalah dituntut. Ia dilakukan dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji serta bersifat rahmah terhadap orang lain.
7. Sifat berkasih sayang adalah fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada semua makhluk yang bernyawa. Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada binatang. Naluri kasih sayang adalah sifat manusia seperti kasih kepada orang tua, kanak-kanak, golongan yang lemah, yang dikenali juga yang tidak dikenali.
8. Suburkanlah sifat rahmah dengan saling sayang menyayangi bukan hanya sesama Muslim malah berlaku rahmah kepada bukan Islam dalam usaha menyebarkan dakwah. Semoga sifat rahmah yang kita tunjukkan akan menjadi penyebab mereka cenderung kepada Islam.
9. Allah menyayangi orang yang menyayangi sesama makhluk. Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا يَرْحَمُ اللَّهُ مِنْ عِبَادِهِ الرُّحَمَاءَ
*“Sesungguhnya Allah hanya akan menyayangi hamba yang menyayangi (makhluk-Nya)”* (HR At-Thobrani dalam al-Mu’jam al-Kabiir Status Hadis Hasan dalam sahih Al-Jaami’ no 2377)
Bersifat rahmah kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita sentiasa teguh bersama membina negara tercinta.
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026
18hb Safar 1448H
02hb Ogos 2026M
No comments:
Post a Comment