Wednesday, 12 August 2026

Berbohong Yang Dibenarkan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
 
Berbohong Yang Dibenarkan
 
عَنْ أُمِّ كُلْثُومٍ بِنْتِ عُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ، وَكَانَتْ مِنَ الْمُهَاجِرَاتِ الْأُوَلِ اللَّاتِي بَايَعْنَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَنَّهَا سَمِعَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَيَقُولُ خَيْرًا، وَيَنْمِي خَيْرًا
قَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِي شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: الْحَرْبُ، وَالْإِصْلَاحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ، وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا
 
Daripada Ummu Kulthum binti ‘Uqbah bin Abi Mu‘ait RA—beliau termasuk antara wanita Muhajirah terawal yang berbai‘ah kepada Nabi SAW—beliau memberitahu bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Bukanlah dianggap pendusta orang yang mendamaikan antara manusia, lalu dia menyampaikan perkara yang baik atau mengatakan perkara yang baik.”
Ibn Syihab al-Zuhri berkata: “Aku tidak pernah mendengar diberikan kelonggaran dalam sesuatu yang disebut oleh manusia sebagai dusta kecuali dalam tiga keadaan: dusta dalam peperangan, dusta untuk mendamaikan pertelingkahan antara manusia, dan dusta suami terhadap isteri atau isteri terhadap suami (untuk meraih kebahagiaan atau menghindari keburukan).  (HR Muslim No: 4717) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih 
 
Pengajaran:
 
1.  Berbohong dan berdusta adalah perbuatan yang dilarang.
 
2.  Islam mengharuskan berbohong demi memelihara jiwa, harta dan harga diri dalam tiga hal:
 
a.  Dalam strategi peperangan (perang itu adalah tipu daya. Strategi peperangan tidak boleh diketahui oleh musuh)
 
b. Dalam usaha mendamaikan antara pihak yang sedang bergaduh (elakkan daripada sesuatu yang boleh memarakkan api permusuhan dua pihak yang sedang berselisih melalui sesuatu perkhabaran yang mendamaikan contohnya kita belikan makanan untuk seseorang dengan memberitahu sipolan (musuhnya) yang mengirimkan untuk diberi padanya)
 
c.  Dalam usaha mewujudkan kebahagiaan dan keharmonian pasangan suamu isteri (contohnya suami menyatakan masakan isterinya teramatlah sedap sedangkan hakikatnya memang tak sedap).
 
3.  Kelonggaran tersebut tertakluk kepada beberapa prinsip dan dalam batas yang dibenarkan syariat antaranya:
 
·  Terdapat maslahat yang dibenarkan
·  Maslahat itu tidak dapat dicapai dengan cara biasa yang lebih jujur
·  Tidak mengambil atau menafikan hak orang lain
·  Tidak menzalimi pihak yang tidak bersalah
·  Tidak menutup jenayah atau kemungkaran
·  Tidak menimbulkan kerosakan yang lebih besar.
 
4.  Hadis ini tidak menghalalkan budaya berbohong. Rukhsah yang diberikan sangat terbatas kepada keadaan yang mengandungi maslahat besar, iaitu strategi dalam peperangan yang sah, perdamaian antara manusia dan kata-kata yang memupuk kasih sayang antara suami isteri. Kelonggaran tersebut tidak boleh digunakan untuk melakukan pengkhianatan, menutup kezaliman, menafikan hak atau memperdaya manusia.
  
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026
"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"
  
29hb Safar 1448H
13hb Ogos 2026
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...