Wednesday, 5 August 2026

Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain

Assalamualaikum warahmatullah
 
Kesempurnaan Iman Dengan Mengasihi Orang Lain
 
عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ
 
Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak sempurna iman  seseorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri". (HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.    Kesempurnaan iman bergantung kepada sejauh mana seseorang mengasihi saudaranya. Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim.
 
2.    Jika kita suka diri kita mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya menyayangi saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama. Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.
 
3.    Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa kasih sayang itu bermaksud menginginkan kebaikan dunia dan akhirat untuk saudaranya sama seperti dia inginkan untuk dirinya sendiri, bukan sekadar perkara duniawi.
 
4.    Imam al-Ghazali menghuraikan bahawa apabila seseorang mukmin benar-benar mencintai saudaranya, dia tidak akan sanggup menzalimi, menipu, atau mengambil kesempatan atas kelemahan saudaranya. Sebaliknya, dia akan berusaha menjaga hak-hak saudaranya dan menggembirakannya.
 
5.    Hadis ini mendidik umat Islam agar membuang sifat hasad dengki, sentiasa mendoakan kebaikan sesama Muslim, tidak iri hati terhadap kejayaan orang lain serta tidak suka melihat orang lain gagal.
 
6.    Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini  begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.
 
7.    Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:
 
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
 
“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara. Oleh itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat” (al-Hujurat: 10)
 
8.    Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.
 
Marilah kita memperbaharui semangat perpaduan dan kebersamaan dengan saling mengasihi dan menyayangi orang lain. Semoga sifat tersebut mengukuhkan jati diri kita dalam bekerjasama mewujudkan Negara Yang Utuh Teguh dan mendapat keredhaan Allah.
 
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026
"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"
 
 
21hb Safar 1448H
05h Ogos 2026

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...