Monday, 10 August 2026

Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat
 
عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا
 
Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga hari tersebut, maka keduanya menyimpang dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka tindakannya mendahului dalam berdamai menjadi penghapus kesalahannya. Jika dia (si 'A') memberi salam kepada saudaranya (si 'B') namun tidak menjawab, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, sedangkan syaitan menjawab kepada pihak yang enggan berdamai. Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan masih memutuskan hubungan, maka mereka berdua tidak akan berhimpun bersama-sama di dalam syurga selama-lamanya. " (HR Ahmad No: 15823) Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:
 
1.  Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga hari. Menurut Imam al-Nawawi, tempoh tiga hari adalah ruang masa untuk meredakan emosi seseorang. Lebih daripada itu dianggap berdosa kerana melanggar adab ukhuwah Islamiah.
 
2.  Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga hari, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.
 
3.  Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan. Ibn Hajar al-‘Asqalani menegaskan bahawa orang yang mula-mula memberi salam dan memulakan perdamaian akan mendapat kelebihan besar kerana ia dianggap sebagai penebus dosanya.
 
4.  Orang yang memulakan perdamaian bukanlah orang yang kalah. Sebaliknya, dialah yang lebih kuat mengalahkan ego dan lebih hampir kepada kebenaran.
 
5.  Jika seseorang memberi salam tetapi tidak dijawab, maka malaikat akan menjawab bagi pihaknya, sebagai bukti keredaan Allah kepadanya. Sebaliknya, syaitan akan memperkukuh permusuhan pada pihak yang enggan membalas salam.
 
6.  Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling bermusuh, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. Para ulama menjelaskan, maksud “tidak berhimpun di syurga” bukanlah kekal selama-lamanya, tetapi sebagai ancaman keras bahawa permusuhan itu boleh menjadi sebab seseorang dihalang daripada nikmat syurga, kecuali dengan rahmat Allah.
 
7.  Setiap Muslim mesti berusaha menjadi orang yang pertama memulakan perdamaian jika berlaku perselisihan antara mereka. Jauhi sifat ego, dendam dan keras hati kerana ia merosakkan agama dan merugikan kehidupan di akhirat.
 
8.  Bersamalah kita saling menghubung ukhuwah dan menyemai sifat berkasih sayang sesama kita melalui bertegur sapa. Saling bertolong bantu dalam perkara yang disepakati dan saling bermaafan dalam perkara yang berbeza.
 
Selamat Meraikan Sambutan Bulan Kebangsaan 2026
"Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati"
  
27hb Safar 1448H
11hb Ogos 2026
 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...