السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
*Mencintai Rasulullah SAW*
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ
_*Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda, “Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidak sempurna keimanan seseorang daripada kamu sehingga ia mencintai aku melebihi cinta kepada kedua orang tua dan anaknya sendiri.”*_ (HR Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih
*Pengajaran:*
1. Rasulullah SAW memulakan dengan sumpah “Demi Tuhan yang jiwaku berada ditangan-Nya”, menunjukkan apa yang akan disampaikan oleh baginda adalah suatu yang amat penting.
2. Pesanan penting tersebut ialah tentang syarat kesempurnaan iman pada seseorang ialah dengan mencintai Rasulullah SAW melebihi kasih dan sayang kepada ibu bapa serta anak-anak.
3. Imam al-Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim menjelaskan bahawa Iman yang sempurna menuntut ketaatan penuh dan mendahulukan Rasulullah SAW atas segala sesuatu. Cinta kepada Rasulullah SAW merupakan tuntutan akidah, bukan sekadar emosi atau perasaan.
4. Cinta kepada ibu bapa melahirkan rasa hormat serta kesanggupan kita untuk berbakti kepadanya. Cinta kepada anak dengan cara kita memenuhi permintaannya. Sementara cinta kepada Rasulullah SAW mesti lebih hebat daripada itu.
5. Jika cinta kepada ibu bapa kerana ia telah melahirkan, mendidik, membesarkan juga memberi nafkah kepada kita, cinta kepada Rasulullah SAW kerana ia telah menyampaikan petunjuk dan menyelamatkan kita dari kesesatan.
6. Ibn Hajar menjelaskan bahawa kasih kepada Rasulullah SAW wajib didahulukan kerana melalui Bagindalah manusia memperoleh hidayah, petunjuk agama, keselamatan daripada kesesatan, mendapat rahmat Allah dan jalan menuju syurga.
7. Cinta kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan kepada orang tua dengan cara mengagungkan serta mentaati perintah Rasulullah SAW, mencontohi dan melaksanakan sunnah yang ditunjukkan oleh baginda mesti diutamakan.
8. Bentuk Cinta kepada Nabi SAW:
a) Mengikuti sunnah baginda dalam akhlak, ibadah, dan cara hidup.
b) Mendahulukan ajaran Rasulullah SAW daripada hawa nafsu, adat atau pandangan peribadi.
c) Membela sunnah Nabi SAW apabila dihina, diputarbelit atau dipandang remeh.
d) Berselawat ke atas baginda sebagai tanda kecintaan dan penghormatan.
e) Merindui pertemuan dengan Rasulullah SAW di akhirat dan berdoa agar dikumpulkan bersama baginda.
Kita telah memasuki bulan Rabiul Awal, mengingatkan kita bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW. Mari kita memperlihatkan kecintaan kepada Rasulullah SAW melebihi kecintaan terhadap ibu bapa serta anak-anak kita.
*Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW 1448*
03hb Rabiulawal 1448H
16hb Ogos 2026M
No comments:
Post a Comment