Friday, 23 October 2020

TUNTUTAN BERSELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD SAW

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS



Berselawat Tuntutan Mukmin

عَنْ كَعْبِ بْنِ عُجْرَة قَالَ: لَمَّا نَزَلَتْ: {إِنَّ اللَّهَ وَمَلائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا} . قَالَ: قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ عَلِمْنَا السَّلَامَ فَكَيْفَ الصَّلَاةُ عَلَيْكَ "قُولُوا: اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ". وَكَانَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ أَبِي لَيْلَى يَقُولُ: وَعَلَيْنَا مَعَهُمْ.


Daripada Ka'b ibnu Ujrah berkata, bahawa ketika ayat ini diturunkan : Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Al-Ahzab: 56) 

Lalu kami bertanya, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami telah mengetahui bagaimana cara mengucapkan salam penghormatan kepadamu. Maka bagaimanakah caranya mengucapkan selawat untukmu?" Rasulullah SAW. menjawab: Ucapkanlah, "Ya Allah, limpahkanlah selawat buat Muhammad dan keluarganya, sebagaimana telah Engkau limpahkan selawat buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia. 

Dan limpahkanlah berkah buat Muhammad dan keluarganya sebagaimana telah Engkau limpahkan berkah buat Ibrahim dan keluarganya. Sesungguh¬nya Engkau Maha Terpuji lagi Mahamulia.” Dan Abdur Rahman ibnu Abu Laila mengatakan, "Dan semoga dilimpahkan pula kepada kami disertakan dengan mereka." (HR Bukhari No: 2497) Status: Hadis Sahih



Pengajaran:

1.  Berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang dituntut kepada setiap Mukmin. 

2.  Abul Aliyah telah mengatakan bahawa yang dimaksud dengan selawat dari Allah ialah pujian-Nya kepada Nabi SAW. Selawat dari para malaikat ialah doa mereka untuknya.

3.  Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari Allah adalah rahmat-Nya, dan selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun bagi yang bersangkutan.

4.  Rasulullah SAW mengajarkan cara berselawat ke atas baginda. Seafdhal-afdhal selawat adalah selawat yang biasa dibaca semasa tasyahud akhir setiap solat (Mustika Hadis 1/259) atau yang dipanggil selawat Ibrahimi:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ. إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

5.  Setiap Mukmin dituntut berselawat setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW. Antaranya dengan lafaz:

–   صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ  
           Atau

–   عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Rasulullah SAW. Abi Umamah berkata Rasulullah bersabda:

أَكْثِرُوا عَلَيَّ مِنَ الصَّلاةِ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَإِنَّ صَلاةَ أُمَّتِي تُعْرَضُ عَلَيَّ فِي كُلِّ يَوْمِ جُمُعَةٍ فَمَنْ كَانَ أَكْثَرَهُمْ عَلَيَّ صَلاةً كَانَ أَقْرَبَهُمْ مِنِّي مَنْزِلَةً
 
Banyakkanlah berselawat ke atasku di setiap hari Jumaat kerana selawat umatku diperlihatkan kepadaku pada setiap hari Jumaat. Maka sesiapa yang paling banyak selawatnya ke atasku, dialah yang paling dekat kedudukannya denganku. (Riwayat al-Baihaqi, Sunan al-Kubra, 3/249, no. 5791) Status: Hadis Hasan



23hb Okt 2020
06hb Rabiul Awal 1442H

Sunday, 4 October 2020

KEJAYAAN DAN KEKAYAAN MENJEMPUT MASUK KE RUMAH



Seorang wanita sedang keluar dari rumahnya apabila dia terlihat tiga orang lelaki tua berjanggut panjang yang berwarna putih sedang duduk dihalaman rumahnya. Dia tidak kenal akan mereka.

Wanita itu bertanya, " Saya tidak fikir saya mengenali awak semua, tetapi saya pasti awak semua mesti sedang lapar. Silalah masuk kerumah saya dan makan sesuatu."
"Adakah suami awak ada dirumah?", mereka bertanya.
"Tidak", wanita itu berkata. "Suami saya telah keluar."

"Jadi, kami tidak akan masuk", mereka menjawap.
Sewaktu suaminya pulang ke rumah pada petang itu, wanita itu pun memberitahunya kejadian tersebut. "Pergi beritahu mereka bahawa saya telah balik dan menjemput mereka masuk kedalam sekarang!"

Wanita itu keluar dan menjemput ketiga-tiga lelaki tua itu masuk ke dalam.
"Kami tidak akan masuk ke dalam rumah bersama-sama," mereka menjawap.
"Mengapa begitu?" wanita itu ingin tahu.
Salah seorang dari lelaki tua itu pun menerangkan :

"Namanya ialah Kekayaan," Dia berkata sambil menunjuk ke arah salah seorang kawannya, dan beralih menunjuk kearah kawan yang seorang lagi, " Dia adalah Kejayaan, dan saya adalah Kasih Sayang."

Dia menyambung lagi, "Sekarang masuklah semula kedalam rumah dan berbincanglah dengan suami awak, siapakah di antara kami bertiga yang kamu ingin jemput kedalam rumah."

Wanita itu pun masuk semula kedalam dan memberitahu suaminya perkara tersebut. Suaminya berasa sungguh gembira.

"Bagusnya!!" dia berkata. "Kalau macam tu jemputlah Kekayaan masuk. Biar dia masuk dan mengisi rumah kita ini dengan Kekayaan!"

Isterinya tidak bersetuju. "Abang, kenapa pula kita tidak menjemput Kejayaan?"

Kebetulan, menantu perempuan mereka juga sedang mendengar perbualan itu dari satu sudut rumah yang lain. Dia lalu menyampuk dan memberikan pandangannya :

"Bukankah lebih baik sekiranya kita menjemput Kasih Sayang? Rumah kita ini pasti akan diselubungi dengan Kasih Sayang!"

"Biarlah kita mengikut nasihat menantu kita itu," kata suami itu kepada isterinya.
"Keluar dan jemputlah Kasih Sayang sebagai tetamu kita."

Wanita itu pun keluar dan bertanya kepada tiga lelaki tua, "Yang mana satu diantara kamu adalah Kasih Sayang? Silalah masuk dan jadi tetamu kami."
Kasih Sayang bangun dan mula berjalan ke arah rumah. Kedua-dua lelaki yang lain juga bangun dan mengikutinya. Terperanjat, wanita itu pun bertanya kepada Kekayaan dan Kejayaan :

"Saya cuma menjemput Kasih Sayang, mengapa kamu juga ikut sekali?"

Mereka semua menjawab: "Jika awak menjemput samada Kekayaan atau Kejayaan, yang lain akan tunggu diluar, tetapi oleh kerana awak telah menjemput Kasih Sayang, kemana-mana sahaja dia pergi, kami akan pergi bersamanya.

...Dimana ada Kasih Sayang, disitu juga ada Kekayaan dan `Kejayaan!"...


Dicatat oleh IBNU MUSLIM.  
ALLAHUAKBAR / ALLAH MAHA BESAR

Saturday, 3 October 2020

KENAPA LALAI?

Dengar kat Radio IKIM Ustaz Pahrol Mat Juoi kupas tentang isu LALAI.


Mula-mula Ustaz kongsi tanda-tanda lalai.  
Antaranya:

1. Kurang membaca Al Quran
2.  Kurang berzikir
3.  Lalai dalam solat, kurang ingat pada Allah; tidak fokus, sering terlupa bilangan rakaat, melewatkan solat, kurang solat jemaah
4.  Banyak membuang masa; untuk hiburan
5.  Kurang atau malas berdoa.  Kalau berdoa, tidak ada penghayatan, pakat hafal saja.
6.  Memanjang sibuk dengan urusan dunia; mudah stress
7.  Cara hidupnya menyerupai musuh Islam
8.  Tak berhati-hati dengan perkara yang syubhah dan haram


Ada juga Ustaz sebut; jarak antara hati kita dengan ketenangan, ibarat 'jarak' kita dengan Al Quran.  


Pesannya, beli Al Quran guna duit sendiri.  Pilih ikut citarasa kita.  Cakap dengan Al Quran tu, kita nak bersahabat dengan dia.  


Kemudian, Ustaz cerita tentang akibat lalai:

1.  Kurang semangat nak beribadah, tidak suka baca quran
2.  'Bunuh' kebaikan yang kita buat; kita tak nampak berbuat baik itu suatu yang utama 
3.  Hilang fokus dalam hidup
4.  Mudah lesu dan buntu,sentiasa rasa esok masih ada.

Sebab-sebab lalai:
1.  Mengulang-ulang dosa kecil sampai jadi kelaziman
2.  Berkawan dengan orang-orang yang lalai
3.  Berada dalam persekitaran 'rosak' (Contoh: pergaulan bebas dengan bukan muhrim, dedah aurat dan buat maksiat), berada di situ bukan untuk tujuan berdakwah
4.  Tidak berzikir
5.  Terjerat dalam perancangan-perancangan licik musuh Islam (Contoh: berlebihan dalam mendengar lagu, tonton filem dan rancangan sukan )


Cara-cara untuk atasi:

1.  Cari sahabat yang baik
2.Hadiri majlis ilmu
3.Bagun mlm dan solat
4. bnykkan zikir
5. rajin baca quran
6.Bersangka baik dgn org lain. 


Share lah jika ia memberi manfaat...

Tuesday, 22 September 2020

KEWAJIPAN BERDAKWAH DAN HUKUMAN MENINGGALKANNYA

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kewajipan Berdakwah Dan Hukuman Meninggalkannya


عَنْ هُشَيْمٍ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ قَوْمٍ يُعْمَلُ فِيهِمْ بِالْمَعَاصِي ثُمَّ يَقْدِرُونَ عَلَى أَنْ يُغَيِّرُوا ثُمَّ لَا يُغَيِّرُوا إِلَّا يُوشِكُ أَنْ يَعُمَّهُمْ اللَّهُ مِنْهُ بِعِقَابٍ


Daripada Husyaim:  Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Tidaklah kemaksiatan yang dilakukan pada suatu kaum, kemudian mereka (sebahagian daripada mereka) mampu untuk mencegahnya tetapi mereka tidak berbuat demikian, melainkan Allah akan menimpakan keseluruhan kaum tersebut dengan azab (HR Abu Daud No: 4338) Status: Hadis Sahih. 




Pengajaran:

1.  Kewajipan setiap Muslim yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya SAW adalah berdakwah iaitu al-Amr bi al-Ma’ruf  dan al-Nahi an al-Munkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada perkara yang mungkar).

Firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 104::

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

2.  Sikap berdiam diri di atas perkara mungkar akan menyebabkan turunnya azab Allah SWT bukan hanya kepada seorang malah seluruh orang Islam yang ada.

3.  Imam al-Nawawi meriwayatkan daripada Abi al-Qasim al-Qusyairi dan kata-kata ini disandarkan kepada Abi Ali al-Daqqaq bahawa “barangsiapa yang diam akan sesuatu kebenaran, dia adalah syaitan bisu.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 20/2].

4.  Cegahlah kemungkaran mengikut kemampuan kita. Daripada abu Sa’id al Khudri RA berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
 
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

“Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim No: 78)

5.  Jadilahlah kita umat terbaik yang sentiasa berperanan mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada yang mungkar.

23hb Sept 2020
05hb Safar 1442H

Tuesday, 15 September 2020

SILA JAGA DIRI KITA

SILA JAGA DIRI


1. *PERUT* akan cedera apabila anda tidak bersarapan pagi.

2. *BUAH PINGGANG* cedera apabila anda tidak minum 10 gelas air dalam 24 jam.

3. *HEMPEDU* cedera apabila anda biasakan tidak tidur sehingga pukul 11 ​​malam, dan tidak bangun menjelang matahari terbit.

4. *USUS KECIL* cedera apabila anda makan makanan sejuk dan basi.

5. *USUS BESAR* cedera apabila anda makan lebih / banyak makanan goreng dan pedas.


6. *PARU-PARU* cedera apabila anda menghirup asap dan tinggal di persekitaran yang udaranya tercemar.

7. *HATI* cedera apabila anda makan makanan goreng berat dan makanan segera.

8. *JANTUNG* cedera semasa anda makan dengan lebih / banyak garam dan kolesterol.

9. *PANKREAS* cedera apabila anda makan makanan manis kerana ia sedap dan disediakan secara percuma.

10. *MATA* cedera ketika anda bekerja dengan cahaya telefon bimbit dan skrin komputer dalam gelap.

11. *OTAK* cedera ketika anda mula berfikir fikiran negatif.

12. *JIWA* cedera apabila anda tidak mempunyai keluarga dan rakan untuk menjaga dan berkongsi dengan anda dalam hidup cinta, kasih sayang, kebahagiaan, kesedihan dan kegembiraan mereka.

_Semua bahagian ini TIDAK terdapat di_

 **_*PASARAN*_**

_Oleh itu, jaga dengan baik kesihatan setiap bahagian tubuh kita._
_Kita Jaga Kesihatan Kurangkan Gula&Garam dalam minuman & makanan_


#kitajagakita
❤️❤️❤️❤️❤️❤️

Saturday, 12 September 2020

SALAM PERSAHABATAN BUAT SEMUA

 

     TERUSLAH BERSAHABAT
    SAMPAI ALLAH BERKATA
      WAKTUNYA PULANG


1. Ketika ada kesempatan, pergilah bersama teman teman lama. Berkumpul - kumpul, bukan sekadar makan, minum dan bersenang tetapi ingat, waktu hidup kita semakin singkat. Maka dari itu bangunkanlah persaudaraan

2. Mungkin lain waktu kita tidak akan bertemu lagi.

3. Mungkin lain waktu kita sudah semakin susah untuk berjalan.

4. Umur itu seperti ais , dipakai atau tidak akan tetap mencair dan berakhir.

*Begitu juga dengan umur kita. Digunakan atau tidak digunakan, umur kita akan tetap berkurang dan akhirnya kembali ke hadirat ILLAHI.*

5. Kita akan menjadi tua, sakit, dan meninggal.. Jalani hidup ini dengan ceria,  sabar dan santai.

6. Jangan suka mau menang sendiri,  sementara orang lain selalu salah.

7. Jangan buang sahabat cuma karena tak sepakat.

8. Satu keburukan teman, bukan bererti hilang sembilan kebaikannya.

9. Perbanyaklah waktu untuk berkumpul dengan teman-teman dan saudara-saudara kita.

10. Siapa tahu mereka nanti akan menjadi penolong kita di akhirat kelak. Buanglah jauh-jauh sifat egois dan iri hati


11. Terimalah kekurangan dan kelebihan dari sahabat.

12. Bertemanlah dengan apa adanya, bukan karena ada apanya.

13. Nikmati semua waktu, senda dan tawa. Hargai semua perbezaan. Percayakan kemampuan teman kita.

14. Jaga perasaannya, tutupi aibnya. Bantu ketika dia jatuh, Sediakan bahu ketika dia menangis.

15. Tepuk tangan dan gembira ketika dia sukses. Sebut namanya dalam doa kita.

16. Bertemanlah dengan hati yang baik dan tulus. Ketika hatimu baik dan tulus, percayalah, Allah juga akan selalu bersama mu.

Teruslah  bersahabat.
Sampai Allah berkata Sudah waktunya pulang


SALAM PERSAHABATAN

*SahabatTillJannah*

HUKUM WANITA BERMUSAFIR SEORANG DIRI



Haram wanita bermusafir tanpa mahram..
Walaupun dia bermusafir dengan niswatus tsigah (perempuan kepercayaannya) ia tetap haram.

Hal ini demikian kerana wajib mempunyai mahram ketika bermusafir kecuali safar wajib seperti ibadah ,menuntut ilmu agama dan sebagainya.

Apabila haram maka ianya termasuk dalam عاص في سفر dan عاص بسفر iaitu maksiat dengan safar dan maksiat dalam safar.

Maka tidak boleh dia mengqasar solatnya.


Adapun musafir yang dibolehkan ialah musafir untuk menuntut ilmu fardhu ain yakni ilmu agama sahaja.

Maka wanita yang travel alone atau travel bersama kawan kawan perempuan atau bersama kawan perempuan dan kawan lelaki hukumnya haram.

Jika mereka solat tidak boleh solat qasar.
Selagi dia dalam musafir maka dia sedang maksiat.

Jika tetap bermusafir tanpa mahram dan mendapat keizinan oleh suami atau ayah atau mahramnya maka ianya dalam bab meredhai maksiat.

Terkaitlah sekali suami atau bapa dan mahramnya..


Tujuan syariah ditetapkan sebegini kerana Allah sangat menjaga kehormatan seorang wanita. Bukan untuk menyusahkan tetapi wanita itu harus dihormati dan dijaga.

Itulah hikmahnya syariah membezakan antara lelaki dan perempuan dalam aurat dan sebagainya.

Sehinggakan Allah mengharamkan wanita untuk merosakkan kehormatannya sendiri.

Tetapi diakhir zaman wanita merosak kehormatannya sendiri.

Kerana menginginkan syariat mengikut kemahuan diri.



Nas’alallah al lutf wal'afiah.
Alhabib Muhammad Bagir AlGadry

Friday, 11 September 2020

ILMU UMPAMA HUJAN



PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ilmu Umpama Hujan


عَنْ أَبِي مُوسَى عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ مِنْ الْهُدَى وَالْعِلْمِ كَمَثَلِ الْغَيْثِ الْكَثِيرِ أَصَابَ أَرْضًا فَكَانَ مِنْهَا نَقِيَّةٌ قَبِلَتْ الْمَاءَ فَأَنْبَتَتْ الْكَلَأَ وَالْعُشْبَ الْكَثِيرَ 
وَكَانَتْ مِنْهَا أَجَادِبُ أَمْسَكَتْ الْمَاءَ فَنَفَعَ اللَّهُ بِهَا النَّاسَ فَشَرِبُوا وَسَقَوْا وَزَرَعُوا وَأَصَابَتْ مِنْهَا طَائِفَةً أُخْرَى إِنَّمَا هِيَ قِيعَانٌ لَا تُمْسِكُ مَاءً وَلَا تُنْبِتُ كَلَأً فَذَلِكَ مَثَلُ مَنْ فَقُهَ فِي دِينِ اللَّهِ وَنَفَعَهُ مَا بَعَثَنِي اللَّهُ بِهِ فَعَلِمَ وَعَلَّمَ وَمَثَلُ مَنْ لَمْ يَرْفَعْ بِذَلِكَ رَأْسًا وَلَمْ يَقْبَلْ هُدَى اللَّهِ الَّذِي أُرْسِلْتُ بِهِ


Daripada Abu Musa dari Nabi SAW, baginda bersabda: 

"Perumpamaan petunjuk (hidayah) dan ilmu yang Allah mengutusku dengan membawanya adalah seperti hujan  lebat yang jatuh ke bumi. Di antara tanah itu ada jenis yang dapat menyerap air sehingga dapat menumbuhkan rerumput dan tumbuhan yang pelbagai. Ada pula tanah yang keras tidak menyerap air hingga bertakungnya air sehingga dapat diminum oleh manusia, haiwan ternak dan untuk menyiram tanaman. 

Ada juga permukaan tanah yang berbentuk lembah yang tidak dapat menahan air dan juga tidak dapat menumbuhkan tanaman. Begitulah perumpamaan orang yang belajar agama, memahami agama Allah dan dapat memanfaatkan apa yang aku diutus dengannya, dia mempelajarinya dan mengajarkannya. Begitu juga perumpamaan orang yang tidak dapat mengangkat darjat (untuk berfikir) dan tidak mahu menerima hidayah Allah dengan apa yang aku diutus dengannya (dia umpama tanah yang tidak menakung air dan tidak subur)". (HR Bukhari  No: 79) Status: Hadis Sahih



Pengajaran:

Terdapat tiga  kategori manusia:

1.  Orang yang berilmu, beramal dengan ilmu, dan mengajarkan ilmu tersebut kepada orang lain. Ini seperti tanah yang subur yang bila ditimpa hujan ia menyerap air dan menumbuhkan tumbuhan.

2.  Orang yang berilmu, kurang dalam amalan, atau kurang memahami ilmu yang dia dapati, akan tetapi dia tetap menyampaikan ilmu tersebut. Hal ini seperti tanah yang keras. Ia tidak dapat menyerap air, akan tetapi air yang bertakung itu memberi manfaat kepada makhluk lain.

3.  Orang yang berilmu, tetapi tidak berusaha memahami atau menghafaznya, tidak juga beramal dengannya, dan tidak juga berkongsi ilmu. Ia seperti tanah yang tidak subur untuk menumbuhkan tumbuhan, dan tidak juga dapat menakung air. Ilmu itu tidak bermanfaat untuk dirinya dan orang lain.

4.  Ibnu Hajar Al-Asqalani berkata: “Sebagaimana hujan yang turun akan menghidupkan tanah yang mati, begitu jugalah ilmu agama akan menghidupkan hati yang telah mati”. 

Jadilah kita kategori pertama, orang yang menerima ilmu, mengamalkan dan menggunakannya untuk mengajar serta memberi manfaat kepada orang lain.


12hb Sept 2020
24hb Muharam 1442H

Wednesday, 26 August 2020

PUASA ASYURA


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Asyura


عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ إِلَّا هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَهَذَا الشَّهْرَ يَعْنِي شَهْرَ رَمَضَانَ


Daripada Ibnu Abbas RA, beliau mengatakan: “Saya tidak pernah melihat Nabi SAW memilih satu hari untuk puasa yang lebih baginda utamakan dari pada yang lainnya kecuali puasa hari Asyura, dan puasa bulan Ramadan.” (HR Bukhari No: 1867) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Antara ibadat puasa yang menjadi keutamaan kepada Rasulullah SAW untuk kita contohi selain puasa dibulan Ramadan ialah puasa pada hari Asyura (10hb Muharam)

2.  Puasa Asyura ganjarannya dapat menghapuskan segala dosa (Imam Nawawi kata segala dosa kecil) setahun yang lalu. Dari Abu Qatadah Al-Anshari RA, beliau mengatakan:

سئل عن صوم يوم عاشوراء فقال كفارة سنة

Nabi SAW ditanya tentang puasa Asyura, Baginda menjawab: “Puasa Asyura menjadi penebus dosa setahun yang telah lalu.” (HR. Muslim No: 1976). Status: Hadis Sahih

3.  Bagi yang tidak berkesempatan puasa Tasu'a (9hb Muharam atau 28hb Ogos), masih lagi berpeluang melaksanakan puasa Asyura pada keesokan hari (10hb Muharam bersamaan hari Sabtu 29hb Ogos.).

Ibnul Qayim dalam Zadul Ma’ad, 2/72 menjelaskan puasa yang berkait hari Asyura ada tiga Kategori:

a)  Kategori paling sempurna, puasa tiga hari. Sehari sebelum Asyura, hari Asyura, dan sehari selepas Asyura  (9hb, 10hb dan 11hb Muharam).

b)  Kategori kedua, puasa pada 9hb dan 10hb Muharam berdasarkan banyak hadis.

c)  Kategori ketiga, puasa pada10hb Muharam saja.

Rebutlah peluang melakukan puasa sunat sempena Asyura, jika berkemampuan, berpuasa tiga hari atau dua hari atau paling tidak sehari iaitu pada 10hb Muharam. Semoga ia menjadi penebus dosa-dosa kita setahun yang lalu.


27hb Ogos 2020
08hb Muharam 1442H

Sunday, 23 August 2020

PUASA SUNAT DI BULAN MUHARAM


PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Di bulan Muharam


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ


Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Seutama-utama puasa setelah Ramadan ialah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam, dan seutama-utama solat sesudah solat Fardu, ialah solat malam." (HR Muslim No: 1982) Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

1.  Bulan Muharam adalah salah satu bulan haram yang didalamnya dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyakan puasa sunat.

2.  Bulan Muharam disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam.

3.  Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

4.  Solat sunat yang utama selepas solat fardu ialah solat sunat malam (qiamullail).

Rebutlah peluang kedatangan bulan Muharam untuk melakukan banyak puasa sunat  khususnya pada 9hb Muharam (28hb Ogos - hari Jumaat)  dan 10hb Muharam (29hb Ogos - hari Sabtu) di samping memperbanyak solat malam.  


Ummah Rabbani Negara Sejahtera

24hb Ogos 2020
05hb Muharam 1442H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...