Wednesday, 14 July 2021

Jadilah Manusia Paling Dicintai Allah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Manusia Paling Dicintai Allah

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh (HR. Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453). Status: hadis hasan.

Pengajaran:

1.  Muslim yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain. 

2.  Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah apabila seseorang itu membuat orang lain bahagia. Antara cara yang boleh dilakukan untuk membahagiakan orang lain adalah dengan cara meringankan kesusahan seseorang seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. 

3.  Seorang Muslim yang pergi untuk membantu bagi memenuhi keperluan seseorang, lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi. 

4.  Dalam situasi kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 serta impak ekonomi yang telah mula terasa, ada yang dipotong gaji, tidak kurang juga yang telah di buang kerja. Bagi yang tidak terkesan, marilah kita membantu orang yang sedang ditimpa kesusahan dan musibah.

5.  Semoga dengan bantuan yang dihulurkan walaupun kecil, sekurang-kurangnya ia boleh meringankan kesusahan orang lain.

Jadilah Muslim yang bermanfaat pada orang lain dan dicintai Allah.

15hb Julai  2021
05hb Zulhijjah 1442H

Monday, 12 July 2021

Bersegera Dengan Amal Soleh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersegera Dengan Amal Soleh
 
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ
 
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar." (HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
 
1.  Sesungguhnya Allah SWT yang menciptakan manusia daripada tiada kepada ada. Setiap yang hidup pasti akan menemui kematian. Lalu akan dihidupkan kembali di alam akhirat yang kekal selama-lamanya.

2.  Jangan mensia-siakan waktu yang masih ada sebelum datang penyesalan yang tiada berguna. Perbanyakan istighfar (memohon keampunan) dan tinggalkan maksiat serta seringlah mengingati kematian kerana kita tidak tahu bila saat kematian akan tiba. Sesungguhnya dengan mengingati kematian seseorang Muslim itu akan sentiasa teruja melakukan ketaatan.

3.  Setiap Muslim hendaklah segera beramal dan memperbaiki agar amal lebih baik sebelum datangnya tujuh perkara berikut :

a)  Kemiskinan yang melupakan  kewajipan seperti tidak kisah soal halal dan haram.
b)  Kekayaan yang menimbulkan rasa angkuh dan sombong.
c)  Penyakit berat sehingga sukar untuk beramal soleh.
d)  Tua yang menyebabkan nyanyuk dan keuzuran.
e)  Kematian mengejut.
f)  Kemunculan Dajjal sebagai makhluk jahat.
g)  Hari Kiamat yang sangat mengerikan.

Ambil kesempatan di awal Zulhijjah yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini untuk memperbanyakkan amal soleh.

13hb Julai  2021
03hb Zulhijjah 1442H

Sunday, 11 July 2021

Amalan Yang Mengatasi Jihad

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Yang Mengatasi Jihad

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَا مِنْ أَيَّامٍ العَمَلُ الصَّالِحُ فِيهِنَّ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ العَشْرِ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "وَلَا الجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ"

Daripada Ibn Abbas dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Tiadalah hari untuk beramal soleh yang paling disukai Allah dari hari-hari ini, iaitu hari-hari sepuluh (10 hari pertama Zulhijjah). Para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah..Bukan jihad  fi sabillah? Jawab nabi; Ya, Jihad fi sabillah tidak dapat mengatasinya, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)”. (Abu Daud di dalam Bab Puasa: 2438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah menyukai orang yang melakukan amal soleh pada 10 hari pertama dari bulan Zulhijjah.

2.  Orang yang melakukan amal soleh dalam tempoh ini dapat memberikan pahala yang lebih besar dari Jihad kecuali orang yang pergi berjihad itu gugur syahid.

3.  Al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan: Yang jelasnya, antara sebab keistimewaan 10 hari awal Zulhijjah ini berbanding hari lain ialah kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Himpunan amalan-amalan ini tidak berlaku dalam hari-hari yang lain (Fath al-Bari).

4.  Justeru peluang kita yang menemui 10 hari pertama Zulhijjah ini perlu direbut untuk mempertingkatkan pelbagai amalan harian kita.

5.  Amal soleh pada hari-hari awal 10 Zulhijjah tidak terbatas. Ia meliputi solat, puasa, sedekah, bacaan al-Quran, zikir, berdoa, bertaubat, tahmid, takbir, tahlil, amar makruf nahi mungkar, tolong-menolong untuk kebaikan, menyebarkan ilmu, menyantuni anak yatim, membantu orang yang kesusahan, memberikan makan kepada fakir miskin dan seumpamanya. 

JOM tingkatkan pelbagai amal soleh kita.

12hb Julai  2021
02hb Zulhijjah 1442H

Friday, 9 July 2021

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan 10 Hari Pertama Zulhijjah

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ الْعَمَلُ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Daripada Ibnu Umar RA, dari Nabi SAW baginda bersabda: Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang sepuluh ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid. (Musnad Ahmad No: 5879) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Perbanyakkan amal soleh setiap waktu di samping hari tertentu antaranya "Hari-hari yang sepuluh" iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah (1 hb  Zulhijjah hingga 10hb Zulhijjah).  Firman Allah dalam surah al-Fajr 1-3 juga menyatakan;

وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْر

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”.

Imam At-Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh hari awal Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujah dari ahli tafsir. (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Quran:7/514)

Allah telah bersumpah dengannya (malam yang sepuluh). Bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil tentang besarnya manfaat (sepuluh hari tersebut). 

2.  Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zulhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibnu Kathir: 8/413)

3.  Allah suka kepada hambaNya yang memperbanyak amalan pada sepuluh hari awal bulan Zulhijjah (1hb hingga 10hb Zulhijjah).

4.  Rebutlah peluang melakukan pelbagai amalan sunat menjelang Awal Zulhijjah. Kita mulakan dengan amalan puasa sunat paling tidak Isnin atau Khamis di samping perbanyakkan zikir dengan kalimah tahlil, tahmid dan takbir

5.  Bulan Zulhijjah ini di dalamnya ada kelebihan tertentu untuk diraih bermula dari 1hb Zulhijjah hingga 10 Zulhijjah dengan pelbagai amal soleh termasuk puasa sunat setiap hari, puasa sunat Isnin dan Khamis, puasa sunat hari Arafah, perbanyakkan zikir, tilawah, doa, menunaikan ibadah haji juga melakukan ibadah korban.

10hb Julai  2021
29hb Zulkaedah 1442H

Thursday, 8 July 2021

ABU BIN HASYIM

Pada zaman dahulu ada seorang ahli ibadah bernama Abu bin Hasyim yang kuat sekali tahajudnya. 

Hampir bertahun-tahun dia tidak pernah meninggalkan solat tahajud.

Pada suatu malam ketika hendak mengambil wudhu untuk tahajud, Abu dikejutkan oleh kehadiran satu makhluk yang duduk di tepi telaganya. 

Abu bertanya, “Wahai hamba Allah, siapakah Engkau?”

Sambil tersenyum, makhluk itu berkata; “Aku Malaikat utusan Allah". 

Abu Bin Hasyim terkejut sekaligus bangga kerana telah didatangi oleh malaikat yang mulia. 

Abu lalu bertanya, “Apa yang sedang kamu lakukan di sini?”

Malaikat itu menjawab, “Aku disuruh mencari hamba pencinta Allah.”

Melihat Malaikat itu memegang sebuah kitab tebal, Abu lalu bertanya;

“Wahai Malaikat, buku apakah yang engkau bawa?”

Malaikat menjawab; “Di dalamnya terdapat kumpulan nama hamba-hamba pencinta Allah.”

Mendengar jawapan Malaikat, Abu bin Hasyim berharap dalam hati moga-moga namanya ada di situ. 

Maka ditanyalah kepada Malaikat. “Wahai Malaikat, adakah namaku di situ ?”

Abu menjangka namanya ada di dalam buku itu, kerana amalan ibadahnya yang tidak putus-putus, selalu mengerjakan solat tahajud setiap malam, berdo’a dan juga bermunajat kepada Allah SWT di sepertiga malam, setiap hari. 

“Baiklah, biar aku lihat,” kata Malaikat sambil membuka kitab besarnya. Dan, ternyata Malaikat itu tidak menemukn nama Abu bin Hasyim di dalamnya.

Tidak percaya, Abu meminta Malaikat mencari sekali lagi.

“Betul... namamu tidak ada di dalam buku ini!” kata Malaikat.

Abu bin Hasyim pun gementar dan jatuh tersungkur di depan Malaikat. 

Dia menangis semahunya.

“Rugi sekali diriku yg selalu tegak berdiri di setiap malam dalam tahajud dan munajat, tetapi namaku tidak masuk dalam golongan para hamba pencinta Allah,” ratapnya.

Melihat itu, Malaikat berkata, “Wahai Abu bin Hasyim! Bukan aku tidak tahu engkau bangun setiap malam ketika yang lain tidur, engkau mengambil air wudhu dan menahan kedinginan ketika orang lain terlelap dalam kehangatan buaian malam. 

Tapi tanganku dilarang Allah menulis namamu.”

“Apakah gerangan yang menjadi penyebabnya?” tanya Abu bin Hasyim.

“Engkau memang bermunajat kepada Allah, tapi engkau pamerkan dengan rasa bangga ke mana-mana. 

Engkau asyik beribadah memikirkan diri sendiri. Sedang di kanan kirimu ada orang sakit, ada orang lapar, ada orang sedang sedih, tidak engkau tengok tidak engkau ziarah. 

Mereka itu mungkin ibumu, mungkin adik beradikmu, mungkin sahabatmu, malah mungkin juga cuma saudara seagama denganmu, atau mungkin cuma sekadar mereka menjadi tetanggamu. 

Tidak engkau peduli pada mereka, kenapa? 

Bagaimana mungkin engkau dapat menjadi hamba pencinta Allah kalau engkau sendiri tidak pernah mencintai hamba-hamba yang diciptakan Allah?” kata Malaikat itu.

Abu bin Hasyim seperti​ disambar petir di siang hari. 

Dia tersedar hubungan ibadah manusia tidaklah hanya kepada Allah semata (hablumminAllah), tetapi juga kepada sesama manusia (hablumminannas) dan juga kepada alam.

_*JANGAN BANGGA DENGAN BANYAKNYA SOLAT, PUASA, DAN ZIKIR KERANA ITU SEMUA BELUM MEMBUAT ALLAH SENANG !!!*_
_*``TAHU APA YANG MEMBUAT ALLAH SENANG?*_
*_Nabi Musa: Wahai Allah, aku sudah melaksanakan ibadah. Lalu manakah ibadahku yang membuat Engkau senang?_*
*_Allah SWT:_*
*_SOLAT? Solat mu itu untukmu sendiri, kerana dengan mengerjakan solat, engkau terpelihara dari perbuatan keji dan mungkar._*
*_ZIKIR? Zikirmu itu hanya untukmu sendiri, membuat hatimu menjadi tenang._*
*_PUASA? Puasamu itu untukmu sendiri, melatih dirimu untuk memerangi hawa nafsumu sendiri._*
*_Nabi Musa : Lalu apa yang membuat Mu senang Ya Allah?_*
*_Allah SWT: SEDEKAH, INFAQ, ZAKAT serta PERBUATAN BAIK-mu._* 
_Itulah yang membuat AKU senang, kerana tatkala engkau membahagiakan orang yang sedang susah, AKU hadir di sampingnya. ---Dan AKU akan mengganti dengan ganjaran 700 kali (Al-Baqarah 261-262)---_

*_Saudara-Saudara, jika kamu sibuk dengan ibadah ritual dan bangga akan itu... maka itu tandanya kamu hanya mencintai dirimu sendiri, bukan Allah._*
*_Tapi, bila kau berbuat baik dan berkorban untuk orang lain... maka itu tandanya kau mencintai Allah dan tentu Allah senang dengannya._*
*_Buatlah Allah senang maka Allah akan limpahkan rahmat-Nya dengan membuat hidup kita lapang dan bahagia_*
*(Dikutip dari Kitab Mukasyafatul Qulub Karya Imam Al Ghazali)*

Saudaraku seiman, sebarkanlah ilmu ini agar kita makin barakah.

Pentingnya Silaturrahim. 

Aamiin...

Tuesday, 6 July 2021

Musibah Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Musibah Mengangkat Darjat dan Menghapus Dosa

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً
 
Daripada 'Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada satupun musibah (cubaan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya." (Sahih Muslim No: 4665) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya bersabar diatas setiap ujian yang dilaluinya.

2.  Allah mendatangkan ujian kepada seseorang dalam pelbagai bentuk antaranya kesakitan, untuk mengangkat darjat atau kedudukan seseorang di sisi Allah

3.  Allah mendatangkan musibah atau ujian dalam bentuk kesakitan juga bertujuan untuk menghapuskan dosa seseorang.

Orang yang ditimpa musibah seperti penyakit atau kesakitan, kehilangan pekerjaan dan sebagainya akan digugurkan segala dosanya dan ditinggikan darajat.  Moga kita bersabar dengan setiap ujian musibah mahupun penyakit

07hb Julai  2021
26hb Zulkaedah 1442H

Saturday, 3 July 2021

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Mampu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ وَجَدَ سَعَةً فَلَمْ يُضَحِّ فَلَا يَقْرَبَنَّ مُصَلَّانَا

Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang ada kelapangan belanja tetapi tidak melakukan korban, maka janganlah dia menghampiri masjid kami. (Musnad Ahmad No: 7924) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Ibadah korban sebagai tanda bersyukur di atas segala nikmat yang kita perolehi. 

2.  Orang yang berkemampuan tetapi tidak melaksanakan ibadah korban seolah-olahnya tidak layak mendatangi masjid untuk melaksanakan ibadat solat.

3.  Dalam Mazhab Syafie, kelapangan belanja bermaksud seseorang yang mempunyai wang untuk membeli binatang korban, yang lebih daripada keperluannya dan keperluan mereka yang berada di bawah tanggungannya pada hari raya dan hari-hari tasyrik (10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah). 

4.  Dalam Mazhab Hanbali pula, kelapangan belanja ialah mereka yang dapat membeli harga korban walaupun secara meminjam atau berhutang, dan hutang itu mampu dijelaskan.

5.  Imam Malik berkata: “Saya tidak suka terhadap seseorang yang mampu untuk menyembelih binatang (korban) lalu dia meninggalkannya (tidak melakukannya)”. (Lihat: الموطأ 2/38. Imam Malik. Syarah al-Muwatha: Tanwir al-Hawalik)

Hari Raya Korban semakin menghampiri kita. Berusaha kita untuk  melaksanakan ibadat korban agar ia menjadi penghapus kepada dosa-dosa kita dan memberi kelegaan khususnya kepada fakir miskin dan kegembiraan jiran tetangga. 

04hb Julai  2021
23hb Zulkaedah 1442H

Friday, 2 July 2021

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin 

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) ' (HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.  Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan. 

3.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan. 

4.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.  Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.  Dalam musim PKP akibat Covid 19 ini, ramai dalam kalangan kita yang terkesan. Ada yang hilang pekerjaan, putus sumber pendapatan dan sebagainya. Bagi kita yang dikurniakan lebihan rezeki, hulurkanlah bantuan buat yang memerlukan. Jengok-jengoklah jiran sekeliling kita yang mungkin malu untuk meminta namun ada bendera putih yang digantung sebagai tanda mengharap bantuan.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mereka dan bertolong bantu membina kehidupan yang sejahtera dan bahagia. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, maka menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib. 

03hb Julai  2021
22hb Zulkaedah 1442H

SEMOGA KITA MENGAMBIL PENGAJARAN AKHIR ZAMAN INI

*Maka, benarlah kata Allah dan Nabi.*

*"Suatu saat nanti, umat-Ku akan terhalang untuk melakukan perkara-perkara baik."*

*Dan inilah zamannya, yang sedang kita lalui.*

*Kawan,*

*Lupakan sebentar asbab wabak atau SOP.* *Sesekali, pandang realiti.*

*Ya. Kita sedang melaluinya. Akhir zaman yang makin sukar dan rumit.*

*Nak buat baik makin susah. Nak ibadah juga makin payah. Fitnah usah cakap. Siang malam terjadi.*

*Nak solat di masjid, boleh jatuh fitnah.*

*Nak buat haji dan umrah, makin payah.*

*Nak ziarah jiran sebelah rumah pun, kena fikir berkali-kali.*

*Jadi takut tak sudah-sudah.*

*Takut bawa penyakit. Takut dijangkiti. Takut kena kompaun. Takut kena fitnah.* 

*Buat itu, buat ini, semua kena fitnah. Fitnah belaka sekarang ini.*

*Kawan,*

*Jaga bekal kita bermula saat ini.*

*Gunakan masa lockdown ini untuk renung dan baiki diri.*

*Persiapkan amal untuk PULANG.*

*Kena sayang diri sendiri.*

*Jasad yang Allah pinjamkan ini, suatu saat akan dikebumi.*

*Sebesar apapun sayang orang pada kita, mereka tetap akan tinggalkan.* 

*Anak, suami, isteri, ibu, ayah, saudara bahkan kawan-kawan..semuanya pulang.*

*Tinggal kita nak hadap sorang-sorang.*

*Alam kubur ini, boleh jadi macam-macam.*

*Soal jawab Munkar dan Nakir berbeza mengikut amalan kita ketika di dunia.*

*Ada orang, saat ditanya siapakah Tuhan kamu lalu dijawabnya Allah Tuhanku.* 

*Maka, keadaan kuburnya terus berubah menjadi sebahagian daripada taman-taman syurga. Indah dan bertuah.*

*Ada orang pula, ditanya satu demi satu soalan.* *Lepas satu, satu. Kemudian, ditanya lagi. Terpaksa melalui proses yang amat panjang.*

*Syukur juga kalau boleh lepas.*

*Paling bimbang, andai di waktu itu kita langsung tak mampu nak mengaku Allah sebagai Tuhan.* 

*Biarpun ketika di dunia ini, berkali-kali kita ulang dengar dan sebut nama-Nya.* 

*Ya, boleh jadi juga andai hati dan lisan tidak seiring. Apatah lagi perbuatan.*

*Kawan,*

*Pelajari ilmu akhir zaman. Banyakkan juga ilmu akhirat. Belajar ambil tahu. Sediakan bekalan siap-siap.*

*Nak melalui akhir zaman yang semakin mencabar ini, Nabi sudahpun pesan. Amalkan 10 ayat awal dan 10 ayat akhir Surah Al-Kahfi. Jangan tinggal biarpun sehari.*

*Mana yang belum mula, boleh mulakan. Mana yang sudah mula baca, cuba pula untuk hafal.*

*Kerana, akan tiba saatnya nanti, Al-Quran hanya sekadar kitab kosong tanpa tulisan*.

*Selawat ...istighfar jgn lupe...sentiasa di mulut dan hati*

*Fitnah di mana-mana, kawan.*

*Jaga diri. Jaga keluarga dan orang tersayang.*

*Jaga perintah Allah, Allah jaga kita.*

*Dunia hingga ke syurga*
*Semoga bermanfaat.*

Thursday, 1 July 2021

Saling Mencela Itu Adalah Syaitan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Saling Mencela Itu Adalah Syaitan

عَنْ عِيَاضِ بْنِ حِمَارٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ رَجُلٌ مِنْ قَوْمِي يَشْتُمُنِي وَهُوَ دُونِي عَلَيَّ بَأْسٌ أَنْ أَنْتَصِرَ مِنْهُ قَالَ الْمُسْتَبَّانِ شَيْطَانَانِ يَتَهَاتَرَانِ وَيَتَكَاذَبَانِ

Daripada Iyadl bin Himar ia bertanya, "Saya berkata, "Wahai Rasulullah, seorang laki-laki dari kaumku mencaciku sementara ia sendiri tidak lebih mulia dariku, maka apakah saya berdosa jika membalas cacian darinya?" baginda bersabda: "Dua orang yang saling mencaci adalah dua syaitan yang saling merendahkan dan saling berkata-kata dusta." (HR Ahmad No: 16836) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang dicela perlu sentiasa bersabar di atas perbuatan cacian orang lain ke atasnya.

2.  Rasulullah SAW menyebutkan dua orang yang berbalah sambil mencela dan mencaci itu adalah syaitan.

3.  Orang yang saling mencaci akan berlumba membuat dosa dengan memperlekeh, menghina, merendahkan lawannya serta berbohong.

Semoga kita tidak tergolong dari golongan syaitan. Berusahalah menjauhi perbuatan  suka mencela dan menghina orang lain. 

02hb Julai  2021
21hb Zulkaedah 1442H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...