Sunday, 12 September 2021

Muflis Di Akhirat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muflis Di Akhirat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ  أتَدْرُونَ مِن الْمُفْلِسُ قَالُوا الْمُفْلِسُ فِينَا يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ لَا لَهُ دِرْهَمَ وَلَا دِينَارَ وَلَا مَتَاعَ قَالَ الْمُفْلِسُ مِنْ أُمَّتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ مَنْ يَأْتِي بِصَلَاةٍ وَصِيَامٍ وَزَكَاةٍ وَيَأْتِي قَدْ شَتَمَ عِرْضَ هَذَا وَقَذَفَ هَذَا وَأَكَلَ مَالَ هَذَا وَضَرَبَ هَذَا فَيُقْعَدُ فَيَقْتَصُّ هَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ وَهَذَا مِنْ حَسَنَاتِهِ فَإِنْ فَنِيَتْ حَسَنَاتُهُ قَبْلَ أَنْ يُقْضَى مَا عَلَيْهِ أُخِذَ مِنْ خَطَايَاهُمْ فَطُرِحَ عَلَيْهِ ثُمَّ طُرِحَ فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tahukah kalian siapakah yang disebut dengan orang yang muflis?" Para sahabat menjawab; "Orang yang muflis menurut kami wahai Rasulullah, adalah orang yang tidak punya dirham dan dinar serta harta benda." Baginda bersabda: “Seorang muflis daripada kalangan umatku ialah seorang yang datang pada hari Kiamat dengan pahala solat, puasa dan zakat, namun (pada masa yang sama) dia juga membawa dosa mencela orang ini, menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini (dan seumpamanya), lalu diberikan kepada orang ini sebahagian daripada pahala-pahala kebaikannya dan diberikan kepada orang itu pula sebahagian pahalanya, hinggalah akhirnya habis pahalanya namun belum lagi terbayar dosa-dosa yang tertanggung atasnya, lalu diambil dosa-dosa mereka tadi dan ditompukkan ke atasnya hingga akhirnya dia dihumban ke dalam neraka (kerana banyak dosa)”.
(Musnad Ahmad No: 8062) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang muflis di akhirat bukan kerana tidak memiliki wang ringgit serta harta semasa di dunia.

2.  Orang yang muflis di hari kiamat pada awalnya datang dengan pahala  hasil amal ibadat semasa di dunia (pahala solat, puasa, zakat dan amal solleh yang lain) namun pahalanya habis kerana terpaksa membayar hutang pada orang  lain. 

3.  Muflis kerana pahala yang ada terpaksa membuat bayaran hutang dosa  yang dilakukan semasa di dunia antaranya dosa mencela, menghina, menuduh, menyebarkan berita palsu, mengumpat dan memfitnah orang lain sama ada melalui lisan mahupun tulisan sehingga habis segala pahalanya. 

4.  Muflis juga disebabkan pahala yang ada akhirnya habis kerana terpaksa membayar hutang yang belum dijelaskan semasa didunia seperti mengambil harta orang lain, mencederakan serta menumpahkan darah tanpa hak.

5.  Muflis kerana pahala yang ada telah habis, sedangkan hutang dosa dengan orang lain masih ada. Akhirnya terpaksa menanggung dosa orang lain.

Jangan biarkan kita menjadi MUFLIS di akhirat nanti.

13hb September  2021
06hb Safar 1443H

Saturday, 11 September 2021

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ ‏"‏ مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا ‏"‏

Daripada ‘Aisyah RA dia berkata : Aku berkata kepada Nabi SAW : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).”
(Riwayat Abu Daud No: 4875) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan betapa buruknya mengumpat. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah RA hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah RA itu rendah (pendek), maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya. 

2.  Berkata al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’ dalam hadis di atas ialah air laut bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan mengumpat  itu.

3.  Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya hatta pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’.
(Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

4.  Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu, ia dikira mengumpat. 

5.  Ramai pengguna laman sosial hari ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja menulis seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh atau individu yang tidak digemari tanpa disedari perilaku tersebut sebahagian dari cemuhan dan umpatan yang ditegah agama. Sama ada melalui pelbagai posting seperti video dan gambar yang diedit serta di tularkan.

6.  Moga kelak kita di akhirat, tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:

يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّخِرِينَ ٥٦

“Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan”
[al-Zumar: 56]

12hb September  2021
05hb Safar 1443H

Friday, 10 September 2021

Memakan Daging Saudara SeIslam

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memakan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ

Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.”
(HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengumpat adalah perbuatan yang dilarang oleh Islam.

2.  Orang yang mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(al-Hujurat: 12)

3.  Ibn Kathir: Mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan).
(Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.  Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut 6 keadaan mengumpat diharuskan oleh syarak:

a.  Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau  hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.

b.  Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat 

c.  Meminta fatwa 

d.  Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.

e.  Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.

f.  Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya.

11hb September  2021
04hb Safar 1443H

Thursday, 9 September 2021

Ghibah, Gosip Perbuatan Tercela

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ghibah, Gosip Perbuatan Tercela

عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ قَالُوا اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ قِيلَ أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ قَالَ إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah  SAW pernah bertanya: "Tahukah kamu, apakah ghibah (mengumpat) itu?" Para sahabat menjawab; Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Engkau menyebut sesuatu mengenai saudara kamu dengan perkara yang tidak disukainya." Baginda ditanya lagi, "Bagaimana pendapatmu jika apa yang ada pada saudaraku sesuai dengan yang aku katakan?" Baginda menjawab: "Jika apa yang engkau katakan itu memang benar-benar ada padanya maka engkau telah berbuat ghibah (mengumpat), namun jika tidak benar, maka engkau telah memfitnahnya." (HR Muslim No: 4690)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perbuatan ghibah atau mengumpat atau gossip  adalah berdosa.

2.  Ghibah atau mengumpat adalah menceritakan sesuatu yang buruk yang ada pada diri orang lain. Sesuatu yang diceritakan mengenai orang lain itu mungkin berkaitan  tubuh badan seseorang, agamanya, dunia, diri, akhlak, harta, anak, orang tua, isteri, pembantu, pakaian, cara jalan, gerak-gerik, wajah atau segala hal yang berkaitan dengannya.

3.  Imam al-Ghazali mengatakan ghibah itu bermaksud: ‘…engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya, sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunan, akhlak, perbuatan, perkataan, agama, atau dunianya hatta pakaian, rumah atau haiwannya..’. (Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

4.  Ghibah atau Mengumpat atau Gossip boleh berlaku melalui lisan, tulisan, gambar atau melalui bahasa isyarat.

5.  Walaupun yang diperkatakan itu betul pada orang tersebut, ia adalah ghibah atau mengumpat yang diharamkan. Jika yang dibicarakan itu tidak benar, maka ia adalah fitnah.

6.  Dunia sosial hari ini mudah terdedah dengan mengumpat dan fitnah melalui media sosial sama ada melalui FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dan sebagainya. Bila di post atau ditularkan, akhirnya ia mengundang komen dan umpatan netizen walaupun ia betul  atau boleh menjadi fitnah jika tidak benar.

Berhati-hatilah dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan daripada perkara yang tidak benar, palsu, mencela, mengumpat, atau memfitnah. 

10hb September  2021
03hb Safar 1443H

Monday, 6 September 2021

Jaminan Syurga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaminan Syurga

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Daripada 'Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian." (HR Ahmad No: 21695) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:

1.  Jujur jika berbicara.
Ibnu Qayyim menyatakan: Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran (tidak berbohong) akan membezakan antara munafik dan beriman.
Justru jangan berbohong atau mereka-reka berita palsu apatah lagi jika ianya disebarkan ke media sosial.

2.  Menepati janji. 
Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.
Justru peliharalah janji apabila kita berjanji, jangan sekali-kali engkar kepada janji.

3.  Menunaikan amanah.
Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan.
Justru pelihara setiap amanah yang diberi kepada kita, jangan cuai dan culas.

4.  Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah) Justru jaga maruah diri.

5.  Menundukkan pandangan.
Ibnu Qayyim menyatakan: menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran.

6.  Menahan tangan.
Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan mahupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya.  Tahanlah tangan kamu. (tidak mencuri, tidak mengambil rasuah, tidak memukul orang dan tidak menulis atau menyebarkan sesuatu berita fitnah atau palsu).

Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan.

07hb September  2021
29hb Muharam 1443H

Sunday, 5 September 2021

Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menghuni Neraka Kerana Dosa Lisan

عن أبي هريرة رضي الله عنه قَالَ: قِيْلَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم يَا رَسُوْلَ اللهِ إِنَّ فُلاَنَةً تَقُوْمُ اللَّيْلَ وَ تَصُوْمُ النَّهَارَ وَ تَفْعَلُ وَ تَصَدَّقُ وَ تُؤْذِي جِيْرَانَهَا بِلِسَانِهَا  فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: لاَ خَيْرَ فِيْهَا هِيَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ قَالُوْا: وَ فُلاَنَةً تُصَلِّى اْلمَكْتُوْبَةَ وَ تَصَدَّقُ بِأَثْوَارٍ وَ لاَ تُؤْذِي أَحَدًا فَقَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه و سلم: هِيَ مِنْ أَهْلِ اْلجَنَّةِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, pernah ditanyakan kepada Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya si Fulanah rajin solat sunat malam, puasa di siang hari, mengerjakan (berbagai kebaikan) dan bersedekah, Cuma ia suka mengganggu para tetangganya dengan lisannya?”. Bersabda Rasulullah SAW, “Tiada kebaikan padanya, dia termasuk penghuni neraka”. Mereka bertanya lagi, “Sesungguhnya si Fulanah (yang lain) mengerjakan (hanya) solat wajib dan bersedekah dengan sepotong keju, namun tidak pernah mengganggu seorangpun?”. Bersabda Rasulullah SAW, “Dia termasuk penghuni syurga”. (HR Bukhari di dalam al-Adab al-Mufrod: 119) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga atau neraka bukan hanya bergantung banyaknya amal fardhu dan sunat.

2.  Ada orang yang rajin solat sunat malam, rajin puasa sunat, banyak melakukan kebaikan dan bersedekah, tetapi masuk neraka kerana mengganggu para tetangganya dengan lisannya (habis segala pahala kebaikannya)

3.  Ada orang yang hanya mengerjakan yang fardhu seperti solat fardhu dan puasa fardhu, sedekahnya sedikit namun masuk syurga kerana tidak pernah menganggu orang lain. 

4.  Pada hari ini dosa lisan banyak digantikan dalam bentuk tulisan yang kadang kala lebih kesat, buruk, penuh dengan adu domba, umpatan, kejian, fitnah dan berita palsu yang ditularkan di FB, Twitter, Whatsapp, Telegram dll. Apa yang dilakukan itu lebih menyakiti saudaranya.

5.  Ingatlah amaran Allah kepada pengumpat, pemfitnah dan pencela dalam surah al-Humazah

وَيْلٌ لِكُلِّ هُمَزَةٍ لُمَزَةٍ

Kecelakaanlah bagi setiap pengumpat lagi pencela

-  Humazah menurut Mujahid, pengumpat termasuk cemohan dengan lisan dan ucapan. 

-  Lumazah menurut Abi Hayan dalam Tafsir al-Bahrul Muhith bererti hinaan dengan isyarat mata, tangan dan sebagainya 

Syed Qutb: ini gambaran manusia jahiliah – jiwa manusia yang lemah dan hina kerana tidak memiliki iman dan kehormatan diri, kerjanya mengumpat dan mencemoh.

Ingatlah bahawa pengumpat akan dihumban ke neraka hutamah.

كَلا لَيُنْبَذَنَّ فِي الْحُطَمَةِ (٤) وَمَا أَدْرَاكَ مَا الْحُطَمَةُ (٥) نَارُ اللَّهِ الْمُوقَدَةُ (٦) الَّتِي تَطَّلِعُ عَلَى الأفْئِدَةِ (٧) إِنَّهَا عَلَيْهِمْ مُؤْصَدَةٌ (٨) فِي عَمَدٍ مُمَدَّدَةٍ (٩)

Sekali-kali tidak! Sesungguhnya dia benar-benar akan dilemparkan ke dalam Huthamah. (4) dan tahukah kamu apa Huthamah itu? (5) (iaitu) api (yang disediakan) Allah yang dinyalakan (6) yang (membakar) sampai ke hati. (7) Sesungguhnya api itu ditutup rapat atas mereka (8). (sedang mereka itu) diikat pada tiang-tiang yang panjang (9) (Al-Humazah)

Marilah kita pelihara ibadat fardhu dan bersungguh-sungguh menjaga lisan dan tulisan. Sesungguhnya dosa lisan mungkin hanya didengar oleh beberapa orang namun dosa tulisan akan berkekalan dan tersebar keseluruh dunia di alam tanpa sempadan ini.

06hb September  2021
28hb Muharam 1443H

Saturday, 4 September 2021

Perbuatan Dosa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbuatan Dosa 

عَنْ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنَعَ وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Daripada Al-Mughirah bin Syu'bah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan atas kalian durhaka kepada ibu, mengubur anak perempuan hidup-hidup,  mempercayai setiap khabar yang tidak tentu  sumbernya, banyak bertanya dan menyia-nyiakan harta (boros)". (HR Bukhari No: 2231) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah melarang setiap Muslim daripada melakukan perkara berikut:

1.  Mendurhakai ibu 

2.  Menanam anak perempuan hidup-hidup

3.  Mempercayai kepada khabar yang tidak pasti sumbernya (sama ada melalui lisan juga media sosial seperti FB, Twiter, Whatsapp, Telegram, Akhbar, TV dan lain-lain) lalu di sebarkan (forward). Awaslah daripada menjadi penyebar berita palsu.

4.  Banyak bertanya yang bertujuan untuk menguji atau mengadu domba

5.  Boros terhadap harta (tidak berjimat).

Marilah kita menjadi Muslim yang Rahmah dengan taat kepada kedua ibu dan bapa, mengasihi anak-anak dengan diberikan didikan dan asuhan, memastikan setiap berita yang sampai pada kita diselidiki terlebih dahulu kesahihannya sebelum mempercayai dan disebarkan, kurangkan bertanya yang bukan ikhlas untuk mendapatkan maklumat dan berjimat dalam membelanjakan harta.

05hb September  2021
27hb Muharam 1443H

Friday, 3 September 2021

Adab Menggunakan Media Sosia

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Adab Menggunakan Media Sosial

عَنْ حَفْصِ بْنِ عَاصِمٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Daripada Hafsh bin ‘Ashim, dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW baginda bersabda, “Cukup seseorang dikatakan dusta, jika dia menceritakan segala apa yang dia dengar (tanpa tabayyun).” (HR. Muslim no. 5). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dusta ialah memberitahu kepada orang ramai satu berita atau satu cerita yang tidak benar. Apabila dia membaca atau dia mendengar sesuatu maklumat, tanpa siasat dan tanpa bukti, dia terus menyampaikan kepada orang lain malah mungkin ada tambah menambah, bagi menyedapkan cerita.

2.  Setiap kita perlu berhati-hati sebelum kita menceritakan atau menyebar sesuatu maklumat yang diterima. Ambil sikap tawaqquf (diam hingga ada dalilnya) itu lebih baik dari berlumba-lumba menjadi orang pertama yang menyampaikan. 

3.  Imam Nawawi dalam Syarh Sahih Muslim ketika menjelaskan hadis ini menyatakan: Seseorang boleh dikatakan berdusta, apabila segera menceritakan khabar yang diperolehi, kerana berita yang didengar boleh jadi ditokok tambah. 

4.  Media sosial hari ini sering menyebarkan maklumat yang berbeza daripada yang asal. Contohnya petikan ucapan, video atau gambar mungkin juga diedit dan disebarkan yang boleh menimbulkan kontrovesi. Lalu di olah dan diulas dengan gambaran yang berbeza daripada cerita asal  atau keseluruhan ucapan. Oleh sebab itu apa yang didengar atau sesuatu yang ditulis boleh jadi benar, boleh  jadi tidak. Jika seseorang menceritakan atau menyebarkan setiap apa yang ia dengar atau setiap apa yang di terima seperti menerusi whatsaap, telegram, FB dan sebagainya, maka ia telah berdusta kerana memberitakan sesuatu yang sebenarnya mungkin tidak terjadi atau tidak benar. Kalaupun benar mungkin boleh jatuh kepada mengumpat kerana sengaja membuka aib orang lain serta membuka ruang kepada maki hamun dalam komen nitezen.

Ingatlah Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِن جَآءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإٖ فَتَبَيَّنُوٓاْ أَن تُصِيبُواْ قَوۡمَۢا بِجَهَٰلَةٖ فَتُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَٰدِمِينَ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya (tabayyun), supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan (al-Hujurat: 6)

5.  Imam al-Syaukani berkata;“Yang dimaksudkan dengan ‘tabayyun’ adalah memeriksa dengan teliti, berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sesuatu peristiwa dan khabar yang datang, sehingga menjadi jelas dan terang baginya.”

6.  Tidak semua berita yang benar itu boleh disebarluaskan jika ia boleh menimbulkan salah faham, keresahan juga kekacauan kepada masyarakat. Kata Abdullah bin Masud RA dalam Muqaddimah Sahih Muslim:  

مَا أَنْتَ بِمُحَدِّثٍ قَوْمًا حَدِيثًا لَا تَبْلُغُهُ عُقُولُهُمْ إِلَّا كَانَ لِبَعْضِهِمْ فِتْنَةً

“Tidak boleh engkau menceritakan (suatu berita) kepada sekelompok orang, berupa berita yang tidak boleh mereka fahami malah akan menjadi sumber kerusakan (keresahan atau kekacauan) kepada mereka.” 

7.  Berhati-hatilah apabila menyebar atau share sesuatu maklumat. Latihlah diri agar tidak terus share info yang diterima. Moga kita tidak menjadi pendusta. Justru diam itu lebih baik daripada menyebarkan berita palsu.

04hb September  2021
26hb Muharam 1443H

Thursday, 2 September 2021

Berhati-hati Dalam Berbicara

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berhati-hati Dalam Berbicara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda:  Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun. (HR Tirmizi No: 2314) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dalam menyampaikan berita, seseorang mesti bertanggungjawab dalam segala ucapan dan penyampaiannya sama ada secara lisan mahupun tulisan.  

2.  Al-Mubarakfuri menjelaskan bahawa sebahagian manusia memandang remeh perkataan yang diucapkannya sehingga dia tidak menyangka perkataan tersebut menjadi penyebab kepada dia dihumban ke neraka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 12/79).

3.  Setiap berita yang disampaikan mestilah benar serta tidak akan mengundang kepada keaiban dan pembohongan. Jangan sampai mengundang kemurkaan  Allah SWT dan berlaku kekacauan di dalam masyarakat. Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ جَاءُوا بِالْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ ۚ لَا تَحْسَبُوهُ شَرًّا لَّكُم ۖ بَلْ هُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ لِكُلِّ امْرِئٍ مِّنْهُم مَّا اكْتَسَبَ مِنَ الْإِثْمِ ۚ وَالَّذِي تَوَلَّىٰ كِبْرَهُ مِنْهُمْ لَهُ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).(Surah An-Nur, 11).

Al-Maraghi berkata: Allah SWT menerangkan hukuman yang menimpa ke atas orang yang ikut serta menyebarkan berita dusta; mereka semua akan mendapat hukuman yang setimpal dengan peranan yang dimainkan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4730).

Moga kita sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sebarang maklumat termasuk di media sosial.

03hb September  2021
25hb Muharam 1443H

Wednesday, 1 September 2021

Selidik Setiap Berita Elakkan Fitnah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Selidik Setiap Berita Elakkan Fitnah

عَنْ أَبي هُرَيْرَةَ  أَنَّهُ سَمِعَ النَّبيَّ ﷺ يَقُولُ: إنَّ الْعَبْد لَيَتَكَلَّمُ بِالكَلِمةِ مَا يَتَبيَّنُ فيهَا يَزِلُّ بهَا إِلَى النَّارِ أبْعَدَ مِمَّا بيْنَ المشْرِقِ والمغْرِبِ

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda : “Seorang hamba apabila dia bercakap tentang satu perkataan yang dia sendiri tidak selidiki (akan kebenarannya), maka dia akan tergelincir ke dalam neraka yang jauhnya adalah sejauh arah timur dan barat.” (HR Bukhari No: 6477) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap yang kita ucapkan mahupun yang kita tulis dan sebarkan pastikan yang benar bukan fitnah atau berbentuk umpatan.

2.  Sesiapa yang bercakap mahupun menulis sesuatu yang tidak diselidiki akan kebenarannya boleh menyebabkan ia tergelincir ke dalam neraka.

3.  Al-Qastalani menjelaskan sebagai kalimah atau ucapan tanpa berfikir akan keburukan natijah hasil percakapan tersebut. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/274)

4.  Akhir zaman menyaksikan begitu banyak fitnah dan penipuan berleluasa. Ada pihak yang menuduh tanpa bukti yang kukuh dan ada pihak yang begitu dangkal mempercayai berita yang tiada pucuk pangkalnya. Allah SWT memberikan amaran kepada sesiapa yang suka bercakap tentang perkara yang tidak diketahui kebenarannya.

Firman Allah SWT:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلْإِفْكِ عُصْبَةٌ مِّنكُمْ
 
“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu.” Surah Al-Nur (11)

Ibn Kathir menjelaskan maksud Firman Allah SWT, “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta,” iaitu dengan dusta, fitnah dan umpat keji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/25)

Moga Allah memelihara kita dari begitu mudah memperkatakan atau mentularkan sesuatu perkara yang diterima tanpa diselidiki. Ia boleh menjerumuskan seseorang sama ada kepada fitnah mahupun umpatan. Akhirnya akan dicampakkan kedalam neraka.

02hb September  2021
24hb Muharam 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...