Sunday, 31 October 2021

Jadilah Orang Yang Paling Baik Pada Ahli Keluarga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Orang Yang Paling Baik Pada Ahli Keluarga

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي وَإِذَا مَاتَ صَاحِبُكُمْ فَدَعُوهُ

Daripada Aisyah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku, apabila sahabat kalian meninggal dunia maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia jangan membicarakan keburukan- keburukannya)." (HR Tirmidzi No: 3830) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan bertujuan untuk mewujudkan rumah tangga dan ahli keluarga yang bahagia.

2.  Bagi mewujudkan kebahagiaan dalam berumah tangga, kita perlu berlaku baik terhadap ahli keluarga antaranya dengan saling memenuhi hak dan tanggungjawab sebagai suami dan isteri, bapa dan ibu serta anak.

3.  Sebaik-baik kita adalah orang yang paling baik pergaulannya terhadap ahli keluarganya.

4.  Syeikh Muhammad bin Abd al-Rahman al-Mubarakfuri  ketika mensyarahkan hadis ini beliau berkata: (Iaitu berbuat baik) kepada kaum keluarganya dan juga mereka yang mempunyai hubungan silaturahim dengannya. Menurut pendapat lain: kepada isterinya dan juga kaum kerabatnya. Rujuk Tuhfat al-Ahwazi, Al-Mubarakfuri (10/269).

5.  Bertimbang rasa, bertolak ansur dan saling menyayangi antara pasangan dan anak-anak merupakan antara faktor yang menjamin keharmonian rumahtangga.

6.  Contohilah Rasulullah SAW dalam berbuat baik dan memberi layanan kepada ahli keluarganya kerana Rasulullah SAW paling baik layanan terhadap isteri dan anak-anaknya.

01hb November  2021
25hb Rabiul Awal 1443H

Thursday, 28 October 2021

Jangan Meremehkan Kebaikan Kecil

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Meremehkan Kebaikan Kecil

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dzar, Rasulullah bersabda: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu".
HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah

2.  Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu sahabat adalah antara amal kebaikan yang dituntut

3.  Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4.  Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim.

5.  Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar.

Jadikan senyuman itu sedekah.

29hb Oktober  2021
22hb Rabiul Awal 1443H

Tuesday, 26 October 2021

Orang Yang Bakhil

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Yang Bakhil

 عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku. (HR Tirmizi No: 3469) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jadilah orang yang pemurah

2.  Orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebut nama Rasulullah SAW atau ganti nama baginda , dia tidak mengucapkan selawat kepada baginda.

3.  Mari kita berselawat antaranya:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Atau ketika mendengar, menulis nama Nabi Muhammad serta ganti nama baginda dengan lafaz:

–   صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ  

           Atau

–   عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Jangan jadi orang yang bakhil.

27hb Oktober  2021
20hb Rabiul Awal 1443H

Monday, 25 October 2021

Rasulullah Penyelamat Umat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah Penyelamat Umat 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya.
(HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih. 

Pengajaran: 

1.  Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman. 

2.  Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. 

3.  Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya. 

4.  Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.

5.  Jangan jadikan kita seperti kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.

6.  Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.

26hb Oktober  2021
19hb Rabiul Awal 1443H

Sunday, 24 October 2021

Berselawat Diampun Dosa dan Diangkat Darjat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berselawat Diampun Dosa dan Diangkat Darjat

عَنْ بُرَيْدِ بْنِ أَبِي مَرْيَمَ قَالَ حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Dari Buraid bin Abu Maryam dia berkata; telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan mengucapkan selawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan darinya sepuluh kesalahan, dan ia diangkat sepuluh darjat untuknya."
(HR An-Nasa'i No:1280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW sekali, Allah akan membalas dengan sepuluh kali.

2.  Orang yang berselawat sekali akan dihapuskan sepuluh kesalahannya

3.  Orang yang berselawat sekali akan diangkat sepuluh darjat untuknya di sisi Allah.

25hb Oktober  2021
18hb Rabiul Awal 1443H

Saturday, 23 October 2021

Berselawat Walaupun Sekali Dalam Suatu Majlis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berselawat Walaupun Sekali Dalam Suatu Majlis

عَنْ جَابِرٍ وَأَنَسٍ وَيُرْوَى عَنْ بَعْضِ أَهْلِ الْعِلْمِ قَالَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

Dari Jabir serta Anas dan telah diriwayatkan dari sebagian ulama, beliau mengatakan: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut. (HR Tirmidzi No: 3468) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW

2.  Berselawat apabila berada dalam satu majlis atau program paling tidak sekali.

3.  Memperbanyak selawat pada bila-bila masa amat digalakkan

24hb Oktober  2021
17hb Rabiul Awal 1443H

Friday, 22 October 2021

Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW




PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ أَنَّ هِرَقْلَ قَالَ لَهُ سَأَلْتُكَ مَاذَا يَأْمُرُكُمْ فَزَعَمْتَ أَنَّهُ أَمَرَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ وَالْوَفَاءِ بِالْعَهْدِ وَأَدَاءِ الْأَمَانَةِ قَالَ وَهَذِهِ صِفَةُ نَبِيٍّ

Abdullah bin Abbas RA berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Abu Sufyan bahawa Raja Herkulis berkata kepadanya: "Aku telah bertanya kepadamu apa yang dia (Nabi Muhammad) perintahkan kepada kalian, lalu kamu menjawab bahawa dia memerintahkan kalian untuk solat, bersedekah (zakat), menjauhkan diri dari berbuat buruk, menunaikan janji dan melaksanakan amanah". Lalu dia berkata; "Ini adalah diantara sifat-sifat seorang Nabi". (HR Bukhari No: 2484) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memerintahkan agar melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan ibadat yang wajib sebagai seorang Muslim.
 
2.  Rasulullah  SAW memerintahkan kepada umatnya agar:

a.  Melaksanakan solat
b.  Menunaikan zakat  dan bersedekah
c.  Menjauhi perbuatan buruk
d.  Menunaikan janji
e.  Melaksanakan amanah

3.  Sebagai umat contoh, adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan tanggungjawab yang bersifat peribadi seperti solat dan menjauhi perbuatan buruk. Muslim juga diperintahkan  menunaikan tanggungjawab yang berkaitan dengan masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah di samping menunaikan janji dan melaksanakan amanah.

JOM bersifat RAHMAH dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.

23hb Oktober  2021
16hb Rabiul Awal 1443H

Wednesday, 20 October 2021

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat






PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat 
 
عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.
 
Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)."
(Hadith riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim).
 
Pengajaran:
 
1.  Rasulullah SAW adalah rahmat yang diutus untuk seluruh alam.
Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧ 

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(al-Anbiya: 107)

2.  Menurut Ibnu Abbas, Allah mengutus Nabi Muhammad sebagai rahmat bagi seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin yaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah. Baginda penyebab memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap ajaran Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, berupa tidak disegerakannya bencana yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari ajaran Allah.

3.  Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

4.  Ibn Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa rahmat itu adalah kasih sayang iaitu sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang / makhluk alam atau menjauhkannya daripada bencana.

Jadilah kita pewaris sifat rahmah kepada sesama manusia juga kepada makhluk alam yang lain.

21hb Oktober  2021
14hb Rabiul Awal 1443H

Monday, 18 October 2021

Contohi Akhlak Rasulullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Contohi Akhlak Rasulullah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ وَاللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطُّ وَلَا قَالَ لِي لِشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا 

Daripada Anas bin Malik RA berkata : Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun, Demi Allah, Baginda SAW tidak pernah berkata kepadaku “ Uff ” dan tidak pernah berkata kepadaku kerana sesuatu : Kenapa awak buat begini ? Kenapa awak tidak buat begini?
(HR Muslim No : 2309) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran : 

1.  Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat terpuji. Tutur katanya sangat lembut dan penuh hikmah kepada sesiapa sahaja walaupun terhadap hamba. 

2.  Kalimah Uff adalah ucapan atau suara yang menunjukkan rasa tidak hormat dan menyakitkan hati. Mungkin bagi kita adalah kata-kata seperti ini : “ah !! , Ish !! Hoi !! Hey!! dan sebagainya. 

3.  Tutur kata merupakan antara penyebab utama seseorang itu mendapat dosa kerana terlalu mudah untuk menyebut perkataan yang tidak baik. Menjaga tutur kata juga adalah tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.

4.  Rasulullah SAW tidak pernah berkata perkataan kasar kepada sahabat hatta kepada pekerja seperti perkataan “Uff ”. Baginda juga tidak  memarahi orang yang berkhidmat dengannya. 

5.  Marilah kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita. Antaranya menjaga tutur kata dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk termasuk dalam penulisan. Firman Allah: 

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١ 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
(al-Ahzab: 21)

19hb Oktober  2021
12hb Rabiul Awal 1443H

Thursday, 14 October 2021

Keutamaan Orang Berselawat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Orang Berselawat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُ النَّاسِ عَلَيَّ صَلاةً

Daripada Abdullah Bin Masoud berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling utama bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku. (HR at-Tabrani No: 9679) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW adalah amalan yang dituntut.

2.  Mukmin yang paling utama akan bersama Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti adalah yang paling banyak berselawat ke atas baginda.

3.  Orang yang berselawat keatas Nabi SAW, para malaikat juga berselawat keatasnya (Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya). ‘Amir Bin Rabi’ah meriwayatkan,  Rasulullah bersabda:

ما مِنْ عبدٍ يُصَلِّي علَيَّ إلَّا صَلَّتْ عليه الملائكةُ ما دامَ يُصَلِّي علَيَّ فلْيُقِلَّ العبدُ مِنْ ذلِكَ أوْ لِيُكْثِرْ

Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak. (at-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, 2/182, no. 1654. Ahmad, 24/457, no. 15689)

Mari kita perbanyakkan berselawat. Semarak Cinta Rasul

15hb Oktober  2021
08hb Rabiul Awal 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...