Tuesday, 14 December 2021

Waktu Hujan Turun Mustajab Doa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Waktu Hujan Turun Mustajab Doa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ 

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda. Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa selepas waktu azan dan doa pada waktu hujan turun. (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran:

1.  Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2.  Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah akan diperkenankan iaitu:

a.  Doa selepas azan dan sebelum iqamah
b.  Doa pada waktu hujan mula turun

3.  Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut,  sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

15hb Disember  2021
10hb Jamadil Awal 1443H

Monday, 13 December 2021

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

عَنْ الْمِقْدَامِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى سَحَابًا مُقْبِلًا مِنْ أُفُقٍ مِنْ الْآفَاقِ تَرَكَ مَا هُوَ فِيهِ وَإِنْ كَانَ فِي صَلَاتِهِ حَتَّى يَسْتَقْبِلَهُ فَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ فَإِنْ أَمْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً وَإِنْ كَشَفَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَمْ يُمْطِرْ حَمِدَ اللَّهَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Al-Miqdam dari ayahnya bahawa Aisyah telah mengkhabarkan kepadanya bahwa Nabi SAW apabila baginda melihat awan gelap yang bergerak di antara ufuk yang tinggi, maka baginda meninggalkan semua kegiatannya termasuk solat sunat, sampai menatapnya dan berdoa: "Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya." Jika turun hujan, maka baginda berdoa: Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat  (penuh keberkatan)." (baginda membacanya) dua kali atau tiga kali. Dan jika Allah Azza Wa Jalla menghilangkannya dan tidak jadi turun hujan, maka baginda (bersyukur) memuji Allah atas semua itu."
(HR Ibnu Majah No: 3879)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap peristiwa yang berlaku seperti awan mendung yang berarak dan hujan yang turun adalah ketentuan dan ketetapan dari Allah

2.  Rasulullah mengajar kita berdoa apabila melihat awan mendung yang berarak agar jauh dari musibah

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya

3.  Rasulullah juga mengajar kita berdoa apabila hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) ini sebagai curahan yang bermanfaat (penuh keberkatan).

4.  Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat.
(Lihat: Fath al-Bari)

Kebetulan sekarang ini di kebanyakan tempat musim hujan, marilah kita membaca doa ini bila nampak awan mendung dan apabila hujan turun.

14hb Disember  2021
09hb Jamadil Awal 1443H

Saturday, 11 December 2021

Doa Bermusafir

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Bermusafir

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اسْتَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ كَبَّرَ ثَلَاثًا ثُمَّ قَالَ: سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Daripada Abdullah bin Umar RA, sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda duduk di atas tunggangannya dengan tujuan untuk keluar bermusafir, Baginda akan bertakbir sebanyak tiga kali (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali. Ya Allah! Kami mohon kepada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan ia dikira sebagai amalan yang Engkau redhai. Ya Allah! kami mohon agar permusafiran ini menjadi mudah ke atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika permusafiran dan Penjaga bagi ahli keluarga (yang ditinggalkan). Ya Allah! aku mohon berlindung daripada-Mu agar Engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga kami.”
(HR Muslim No:1342) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah mengajar adab ketika kita melakukan permusafiran dengan membaca doa dan zikir tertentu.

2.  Imam Nawawi berkata: berdasarkan hadis ini, sunat memulakan permusafiran dengan membaca doa ini di samping membanyakkan zikir dan doa agar dipermudahkan permusafiran. Antara doa bermusafir:

سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

3.  Imam al-Baidhawi menyatakan, hadis ini adalah doa bagi tujuan memohon perlindungan daripada segala pemandangan yang mengakibatkan kekecewaan dan daripada kepulangan yang buruk kerana berlaku kekurangan pada harta atau ahli keluarga (seperti kerosakan atau kematian).”
[Lihat: Tuhfah al-Abrar, 95/2]

4.  Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam doa ini terkandung permohonan agar dilindungi daripada sebarang kesusahan dan kepayahan, juga dijauhkan daripada perkara yang menyedihkan. Selain itu juga, memohon agar Allah SWT menjaga baginya setiap yang telah ditinggalkan dan setiap yang terpisah disebabkan permusafiran ini daripada ahli keluarga serta harta.
[Lihat: Bahjah al-Qulub, 197]

Setiap insan yang beriman memerlukan kepada doa agar setiap perkara yang dilakukan dipelihara oleh Allah SWT serta doa juga merupakan senjata dan kekuatan buat orang yang beriman.

12hb Disember  2021
07hb Jamadil Awal 1443H

Thursday, 9 December 2021

Pesanan Buat Musafir

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pesanan Buat Musafir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلاً قَالَ : يَا رَسُولَ اللهِ  إِنِّي أُرِيدُ أَنْ أُسَافِرَ فَأَوْصِنِي  قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ  وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كُلِّ شَرَفٍ  فَلَمَّا أَنْ وَلَّى الرَّجُلُ  قَالَ : اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ  وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawasanya ada seorang lelaki berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku hendak bermusafir. Maka berilah wasiat kepadaku. Baginda bersabda, Engkau hendaklah bertakwa kepada Allah dan bertakbir ketika menaiki di tempat yang tinggi. Kemudian ketika orang itu ingin pergi, Baginda SAW berdoa untuknya: Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya.”
(HR Tirmizi No: 3445) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ramai dalam kalangan kita mengambil kesempatan bulan Disember ini untuk bermusafir sama ada bercuti rehat bersama keluarga mahupun menziarahi keluarga. Antara pesanan Rasulullah SAW kepada orang yang ingin bermusafir:

a.  Sentiasa bertaqwa kepada Allah.

b.  Apabila menaiki tempat yang tinggi hendaklah bertakbir.

c.  Bagi ahli keluarga dan sahabatnya, doakanlah agar perjalannya segera sampai dan dipermudahkan 

2.  Syeikh al-Mubarakfuri yang mensyarahkan hadis ini menyatakan ia merupakan pesanan supaya orang yang bermusafir itu:

a. Sentiasa bertakwa kepada Allah SWT.

b. Sentiasa takut dan menjaga diri daripada melakukan maksiat kepada-Nya.

c. Mengingati kebesaran Allah SWT dan bersyukur dengan segala kurniaan-Nya.
(Lihat Tuhfah al-Ahwazi)

Bagi kita yang mengetahui ada ahli keluarga atau sahabat yang akan bermusafir, doakanlah mereka dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اطْوِ لَهُ الأَرْضَ  وَهَوِّنْ عَلَيْهِ السَّفَرَ

“Ya Allah, dekatkanlah jarak yang jauh baginya, dan mudahkanlah perjalanannya”.

10hb Disember  2021
05hb Jamadil Awal 1443H

MEMAKAN RIBA

Salam Jumaat 

ٱلَّذِينَ يَأْكُلُونَ ٱلرِّبَوٰا۟ لَا يَقُومُونَ إِلَّا كَمَا يَقُومُ ٱلَّذِى يَتَخَبَّطُهُ ٱلشَّيْطَٰنُ مِنَ ٱلْمَسِّ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ قَالُوٓا۟ إِنَّمَا ٱلْبَيْعُ مِثْلُ ٱلرِّبَوٰا۟ ۗ وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلْبَيْعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰا۟ ۚ فَمَن جَآءَهُۥ مَوْعِظَةٌۭ مِّن رَّبِّهِۦ فَٱنتَهَىٰ فَلَهُۥ مَا سَلَفَ وَأَمْرُهُۥٓ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَمَنْ عَادَ فَأُو۟لَٰٓئِكَ أَصْحَٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَٰلِدُونَ 

Those who eat Riba (usury) will not stand (on the Day of Resurrection) except like the standing of a person beaten by Shaitan (Satan) leading him to insanity. That is because they say: "Trading is only like Riba (usury)," whereas Allah has permitted trading and forbidden Riba (usury). So whosoever receives an admonition from his Lord and stops eating Riba (usury) shall not be punished for the past; his case is for Allah (to judge); but whoever returns [to Riba (usury)], such are the dwellers of the Fire - they will abide therein. 

Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri betul melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk Syaitan dengan terhuyung-hayang kerana sentuhan (Syaitan) itu. Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: "Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba". Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. Oleh itu sesiapa yang telah sampai kepadanya peringatan (larangan) dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) adalah menjadi haknya, dan perkaranya terserahlah kepada Allah. Dan sesiapa yang mengulangi lagi (perbuatan mengambil riba itu) maka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya. 

Quran Surah Al-Baqara (The Cow) (2:275)

Wassalam and have a good weekend.

p.s. Please share.

Tuesday, 7 December 2021

Amalan Menjelang Malam

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Menjelang Malam

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا اسْتَجْنَحَ اللَّيْلُ أَوْ قَالَ جُنْحُ اللَّيْلِ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ الْعِشَاءِ فَخَلُّوهُمْ وَأَغْلِقْ بَابَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَطْفِئْ مِصْبَاحَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَوْكِ سِقَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرْ إِنَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ تَعْرُضُ عَلَيْهِ شَيْئًا

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: "Apabla menjelang malam ketika terbenamnya matahari, maka jagalahlah bayi-bayi kamu kerana pada ketika itu syaitan sedang berkeliaran. Jika telah berlalu beberapa ketika daripada waktu  isyak, bolehlah kamu biarkan mereka dan tutuplah pintu rumah kalian dan sebutlah nama Allah dan padamkanlah lampu-lampu rumah kamu dan sebutlah nama Allah dan tutup tempat minum serta tutup pula bekas (tempat makanan) kamu dan sebutlah nama Allah padanya, walaupun kamu hanya sekedar melintangkan sesuatu di atasnya".
(HR Bukhari No: 3280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Waktu senja merupakan waktu permulaan bagi malam. Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggangu khususnya bayi, menggoda atau menumpang makan.

2.  Rasulullah SAW melarang kanak-kanak keluar berkeliaran atau bermain di luar rumah apabila menjelang waktu senja kerana syaitan dan jin berkeliaran pada waktu tersebut.

3.  Perintah menutup dan mengunci pintu rumah di waktu malam agar rumah tidak dimasuki sebarang binatang buas dan berbisa juga penceroboh berupa pencuri, penjenayah dan sebagainya.

4.  Rasulullah memerintah agar menutup bekas minuman dan makanan bertujuan agar makanan yang berbaki dapat dijauhi daripada virus, bakteria, debu, kotoran atau dimasuki sesuatu yang boleh mencemarkan minuman dan makanan tersebut seperti cicak, lipas dan sebagainya.

5.  Sunnah untuk kita menutup bekas-bekas makanan dan minuman agar tidak dihinggapi kuman dan bakteria. Ia sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan daripada pelbagai penyakit.

6.  Perintah menutup pintu, tempat minuman dan makanan dengan menyebut nama Allah tidak lain dari memohon perlindungan kepada Allah yang menjaga dan memelihara makhluk.

Pastikan anak-anak kita telah pulang kerumah sebelum masuknya waktu maghrib atau bagi anak lelaki, dapat bersama ke masjid.

08hb Disember  2021
03hb Jamadil Awal 1443H

Monday, 6 December 2021

Pekerjaan Paling Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pekerjaan Paling Baik

عن سعيد بن عمير الأنصاري قال : سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ قَالَ : عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ

Daripada Said bin Amir al-Ansari berkata, Rasulullah SAW ditanya, “Pekerjaan apakah yang paling baik?” Baginda menjawab, “Pekerjaan seseorang dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.”
(HR. Baihaqi No: 1222) Status: Sahih lighairihi

Pengajaran:

1.  Setiap kita wajib melakukan usaha dan ikhtiar bekerja mencari nafkah dan perbelanjaan kehidupan. 

2.  Sumber nafkah hendaklah diperolehi daripada sumber yang halal dan diharuskan syarak.

3.  Pekerjaan yang paling baik ialah yang dilakukan dengan tangan sendiri juga perniagaan yang halal.

4.  Pekerjaan dengan tangan sendiri bermaksud pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Pekerjaan tersebut termasuk yang menggunakan tulang empat kerat seperti buruh, tukang, operator juga yang menggunakan kelayakan akademik seperti doktor, guru dan yang lain-lain.

5.  Perniagaan yang baik bermaksud perniagaan atau perusahaan yang bersih dari penipuan dan kecurangan. Baik kecurangan timbangan mahupun kecurangan dengan menyembunyikan cacatnya barang yang dijual.

07hb Disember  2021
02hb Jamadil Awal 1443H

Sunday, 5 December 2021

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Anak Boleh Menjadikan Ibubapa Bakhil

عَنْ سَعِيدِ بْنِ أَبِي رَاشِدٍ عَنْ يَعْلَى الْعَامِرِيِّ أَنَّهُ قَالَ جَاءَ الْحَسَنُ وَالْحُسَيْنُ يَسْعَيَانِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضَمَّهُمَا إِلَيْهِ وَقَالَ إِنَّ الْوَلَدَ مَبْخَلَةٌ مَجْبَنَةٌ

Dari Sa'id bin Abu Rasyid dari Ya'la Al 'Amiri bahawa dia berkata, "Al-Hasan dan Al-Husain berusaha datang kepada Nabi SAW, kemudian baginda memeluk mereka berdua sambil bersabda: "Sesungguhnya anak adalah tempat kebakhilan dan kekhawatiran." (HR Ibnu Majah No: 3656) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Anak adalah amanah kepada ibu bapa untuk dijaga dan dididik 

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارٗا 

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari apa Neraka (at-Tahrim: 6)

2.  Anak adalah ujian (fitnah) untuk kedua ibubapa. Menjadi tanggungjawab ibubapa untuk memberi perlindungan, nafkah, pendidikan mahupun kasih sayang yang sebaiknya agar mereka menjadi anak yang soleh. Firman Allah: 

وَاعْلَمُوْا أَنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلاَدُكُمْ فِتْنَةٌ وَأَنَّ اللهَ عِندُ هُ أَجْرٌ عَضِيْمٌ

“Dan Ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (QS. Al Anfal: 28)

3.  Anak boleh menyebabkan ibu bapa memiliki sifat bakhil (tidak mahu bersedekah kerana ingin mengutamakan anak. Anak juga boleh menjadi penyebab orangtuanya pengecut untuk berdakwah atau berjihad kerana takut sesuatu berlaku sebab sayangkan anak.

4.  Al-Munawiy berkata: anak-anak boleh membawa kedua orang tuanya untuk menjadi bakhil dan mendorongnya untuk bersifat demikian sehingga dia menjadi kedekut harta kerananya, serta meninggalkan jihad kerananya.

5.  Al-Mawardiy berkata: “Hadis ini menjelaskan seseorang perlu berhati-hati terhadap anak, kerana ia boleh menyebabkan munculnya sifat-sifat ini (kedekut). Juga akan memunculkan akhlak yang demikian…” 

6.  Sifat bakhil akan mendapat seksa di hari kiamat. Firman Allah:

وَلَا يَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبۡخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦ هُوَ خَيۡرٗا لَّهُمۖ بَلۡ هُوَ شَرّٞ لَّهُمۡۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُواْ بِهِۦ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعۡمَلُونَ خَبِيرٞ ١٨٠ 

“Sekali-kali janganlah orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di lehernya di hari kiamat. Dan kepunyaan Allah-lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan (Ali Imran:180)

Moga anak-anak kita menjadi penyejuk mata, penenang dan penyubur untuk beramal bukan penyebab kita bakhil dan melalaikan perintah Allah.

06hb Disember  2021
01hb Jamadil Awal 1443H

Thursday, 2 December 2021

Sambungkan Silaturahim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sambungkan Silaturahim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Abu Hurairah bahwasanya seorang laki-laki pernah berkata; "Ya Rasulullah, saya mempunyai kerabat. Saya selalu berusaha untuk menyambung silaturahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskannya. Saya selalu berusaha untuk berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka menyakiti saya. Saya selalu berusaha untuk lemah lembut terhadap mereka, tetapi mereka acuh tak acuh kepada saya." Lalu Rasulullah SAW bersabda: 'Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu seperti memberi makan mereka debu yang panas, dan selama kamu berbuat demikian maka pertolongan Allah akan selalu bersamamu.'
(HR Muslim No: 4640) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tanggungjawab setiap Muslim ialah berbuat baik dengan kerabat dan sentiasa menghubungkan silaturahim.

2.  Allah sentiasa mengurniakan kebaikan kepada orang yang berbuat baik kepada orang lain.

3.  Orang yang berusaha menyambung silaturahim dengan kerabatnya walaupun tidak disambut oleh mereka, akan sentiasa mendapat pertolongan Allah disisinya.

4.  Antara ganjaran orang yang berusaha menyambung silaturrahim adalah syurga. Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

“Wahai orang ramai, Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”
(HR Ibnu Majah No: 3251)

Ayuh berbuat baik dan kukuhkan silaturahim walaupun mereka ingin memutuskannya. Doakan kebaikan untuk mereka.

03hb Disember  2021
28hb Rabiul Akhir 1443H

Wednesday, 1 December 2021

Mukmin Paling Sempurna Iman

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Paling Sempurna Iman 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang terbaik terhadap isteri-isterinya."
(HR Ahmad No: 7095) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Akhlak adalah ukuran keimanan seseorang.

2.  Mukmin yang paling sempurna iman adalah yang paling baik akhlak.

3.  Akhlak terpuji dengan saling berkasih sayang, bersifat rahmah sesama insan, tidak menghina, mentohmah dan mengadu domba berkait rapat dengan kesempurnaan iman seseorang.

4.  Lelaki beriman yang terbaik adalah yang paling baik akhlak terhadap isteri mereka.

5.  Berakhlak baik pada isteri berkait rapat dengan tahap iman seseorang.

6.  Berakhlak baik dan berlemah lembut dan penyayang terhadap ahli keluarga termasuk dalam kesempurnaan iman. Hadis Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Daripada Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya."
(HR Tirmizi No: 2537)

Jadilah orang yang paling baik akhlak dalam kehidupan termasuk dalam berkeluarga untuk menjadi mukmin yang paling sempurna.

02hb Disember  2021
27hb Rabiul Akhir 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...