Monday, 14 February 2022

Balaslah Kebaikan Dengan kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Balaslah Kebaikan Dengan kebaikan

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ أَتَى إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَلْيُكَافِئْ بِهِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَلْيَذْكُرْهُ فَمَنْ ذَكَرَهُ فَقَدْ شَكَرَهُ وَمَنْ تَشَبَّعَ بِمَا لَمْ يَنَلْ فَهُوَ كَلَابِسِ ثَوْبَيْ زُورٍ

Daripada Aisyah RA bahwasanya Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang mendapatkan kebaikan maka balaslah dengan kebaikan yang serupa, dan barangsiapa yang tidak mampu maka sebutlah (semacam terima kasih) kebaikan tersebut. Barangsiapa yang menyebutnya (mengucapkannya) sungguh ia telah bersyukur dan barangsiapa yang membangga-banggakan diri dengan (menggunakan) sesuatu yang ia tidak berikan maka ia seperti orang yang memakai pakaian keburukan." (HR Ahmad No: 23452) Status : Sahih dalam al-Adab al-Mufrad (215)

Pengajaran:

1.  Antara akhlak seorang Muslim apabila menerima kebaikan seperti pemberian atau hadiah, sewajarnya dibalas kebaikan dengan yang setimpal.

2.  Jika kita tidak mampu memberi balasan yang setimpal, berilah ucapan terima kasih kepada penyumbang sebagai satu dari cara kita bersyukur.

3.  Ucapan  “terima kasih” yang terbaik diungkapkan ialah kalimah “Jazakallahu khairan” (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan). Kalimat ini lebih bernilai kerana mengandungi doa di dalamnya.

عَنْ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ

Daripada Usamah bin Zaid r.a bahawasanya Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang diberikan satu perbuatan kebaikan kepadanya lalu dia membalasnya dengan mengatakan “jazaakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sungguh hal itu telah mencukupi dalam menyatakan rasa syukurnya.” (HR. Tirmidzi No:1958) Status Hadis: Hassan

Moga Allah memperbaiki akhlak kita. Jazakallahu khairan pada yang membaca dan berkongsi.

15hb Februari  2022
13hb Rejab 1443H

Sunday, 13 February 2022

Berbuat Baik Kepada Jiran

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbuat Baik Kepada Jiran

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Daripada Ibnu Umar radliallahu 'anhuma dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Jibril sentiasa mewasiatkanku untuk berbuat baik terhadap tetangga sehingga aku mengira tetangga juga akan mendapatkan harta waris."
(HR Bukhari No: 5556) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam menuntut umatnya agar sentiasa berbuat baik dan menghormati orang lain khususnya  jiran tetangga.

2.  Syaikh Abu Muhammad bin Abi Jamrah dalam Fathul Baari (X/456) mengatakan: terlaksananya wasiat berbuat baik kepada tetangga dengan menyampaikan beberapa bentuk perbuatan baik kepadanya sesuai dengan kemampuan seperti saling berhadiah, memberi salam, berwajah yang berseri-seri ketika bertemu, mengambil tahu keadaannya, membantunya dalam hal yang ia memerlukan, serta menahan sesuatu yang boleh mengganggunya.

3.  Ibnu Hajar menyebutkan, berbuat baik kepada tetangga itu mencakupi  yang muslim dan juga yang kafir, ahli ibadah dan orang fasik, teman dan lawan, orang asing dan penduduk tempatan, yang memberi manfaat dan yang memberi mudarat, kerabat dekat dan jauh, rumah yang paling dekat dan paling jauh. 

Moga kita sentiasa berbuat baik dan prihatin kepada jiran tetangga. Bersama kita membina masyarakat rahmah dan berkasih sayang.

14hb Februari  2022
12hb Rejab 1443H

Saturday, 12 February 2022

Mengutamakan Jiran Terdekat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mengutamakan Jiran Terdekat 

أَبُو عِمْرَانَ قَالَ سَمِعْتُ طَلْحَةَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي جَارَيْنِ فَإِلَى أَيِّهِمَا أُهْدِي قَالَ إِلَى أَقْرَبِهِمَا مِنْكِ بَابًا

Abu 'Imran berkata; Aku mendengar Tolhah bin Abdullah dari 'Aisyah radliallahu 'anha ' Aku bertanya: "Wahai Rasulullah, aku ada dua tetangga, kepada siapa dari keduanya yang paling berhak untuk aku beri hadiah?" Baginda bersabda: "Kepada yang paling dekat pintu rumahnya darimu".
(HR Bukhari No: 2099) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara cara berbuat baik dengan jiran ialah melalui pemberian dan saling bertukar hadiah contohnya dalam bentuk makanan dan buahan.

2.  Saling  memberi hadiah sesame jiran tetangga akan mengeratkan ukhuwah dan kasih sayang 

3.  Keutamaan memberi hadiah pada jiran adalah kepada jiran yang paling berhak iaitu yang paling hampir dengan rumah kita.

Jika kita memiliki limpahan rezeki, jangan lupa menghadiahkan sedikit kepada jiran tetangga. Moga sifat rahmah yang ada pada kita akan menjadikan kehidupan bermasyarakat lebih harmoni.

13hb Februari  2022
11hb Rejab 1443H

Friday, 11 February 2022

Akhirat Kita Berkait Dengan Jiran

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhirat Kita Berkait Dengan Jiran

عن ابن عمر قال سمعت النبي صلى الله عليه وسلم يقول  :كَم مِن جَارٍ مُتَعَلِّقٍ بِجَارِهِ يَومَ الْقِيَامَةِ يَقُولُ: يَارَبِّ هَذَاأَغْلِقُ بَابَهُ دُونِي فَمَنَعَ مَعْرُوفَهُ

Daripada Ibnu Umar berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: Berapa ramai orang di hari kiamat (nasibnya) bergantung pada tetangganya yang lain, (tetangganya itu) berkata: “Wahai Tuhanku, orang ini menutup pintunya untukku, dia tidak mahu memberi miliknya kepadaku”.
(HR Hannad dalam kitab Az-Zuhd No 2/58) Status: Hadis Hasan dalam Silsilah Ahadits Ash-Sahihah No:2616.

Pengajaran:

1.  Sebagai Muslim kita bertanggungjawab terhadap jiran tetangga.

2.  Antara hak jiran yang menjadi tanggungjawab kita ialah prihatin dan mengambil tahu hal ehwal jiran. Menunaikan tanggungjawab dengan memberi nasihat, mengajak kepada maaruf dan mencegah kemungkaran. Tidak lupa juga memberi bantuan kepada jiran yang memerlukan sama ada dalam bentuk wang ringgit, harta mahupun tenaga.

3.  Jangan sampai di hari kiamat, ketika kita ingin memasuki syurga tetapi tertahan kerana ada jiran mendakwa kita bahawa semasa di dunia dahulu, kita sebagai jiran tidak mengambil tahu hal mereka. Dibiarkan jiran tanpa keprihatinan dan bantuan dari kita. 

Jangan biarkan jiran tetangga kita tanpa disantuni dan diberi perhatian.

12hb Februari  2022
10hb Rejab 1443H

Thursday, 10 February 2022

Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tanda Kebahagiaan dan Kecelakaan

عَنْ إِسْمَاعِيلَ  بْنِ مُحَمَّدِ بْنِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ  عَنْ أَبِيهِ  عَنْ جَدِّهِ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَرْبَعٌ مِنَ السَّعَادَةِ : الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ  وَالْمَسْكَنُ الْوَاسِعُ  وَالْجَارُ الصَّالِحُ وَالْمَرْكَب الْهَنِيءُ  وَأَرْبَعٌ مِنَ الشَّقَاوَةِ : الْجَارُ السُّوءُ  وَالْمَرْأَةُ السُّوءُ  وَالْمَسْكَنُ الضِّيقُ  وَالْمَرْكَبُ السُّوءُ

Daripada Ismail Muhammad Bin Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada ayahnya daripada datuknya. Datuknya (Sa’ad Bin Abi Waqqas) berkata : Rasulullah SAW bersabda : 4 tanda kebahagiaan. Isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang soleh dan kenderaan yang elok. Manakala 4 tanda kedukaan adalah jiran yang buruk, isteri yang teruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.”
(HR Ibnu Hibban No: 4032) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Empat tanda kebahagiaan di dunia

a.  Isteri yang solehah – isteri yang baik. Dipandang suami ia menggembirakan, sentiasa menjaga maruah diri dan suami. 

b.  Tempat tinggal yang luas – yang banyak manfaat bagi penghuninya (tidak semestinya rumah besar). Rumah yang didalamnya hati akan menjadi lapang dan tidak sempit.
(Takhrij al-Musnad no 15372)

c.  Jiran yang soleh – jiran yang baik bermanfaat dan tidak menyakiti orang lain. 

d.  Kenderaan yang elok – selesa, tidak membebankan sama ada dengan hutang mahupun kerosakan.

2.  Empat tanda kesengsaraan di dunia

a.  Jiran yang buruk – akhlak dan kehidupannya akan mempengaruhi kita dan anak-anak.

b.  Isteri yang jahat – akhlak dan perangai yang buruk

c.  Tempat tinggal yang sempit – rumah yang tidak menjadikannya bahagia dan lapang

d.  Kenderaan yang buruk – yang menyusahkan dan membebankan.

Setiap Muslim disyariatkan berdoa antaranya doa memohon kelapangan dan keberkatan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW sering berdoa:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﻋُﻮﺫُ ﺑِﻚَ ﻣِﻦْ ﺟَﺎﺭِ ﺍﻟﺴُّﻮﺀ ﻭَﻣِﻦْ ﺯَﻭْﺝٍ ﺗُﺸَﻴِّﺒُﻨِﻲ ﻗَﺒْﻞَ ﺍﻟْﻤَﺸِﻴﺐِ ﻭَﻣِﻦْ ﻭَﻟَﺪٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﺭِﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﻣَﺎﻝٍ ﻳَﻜُﻮﻥُ ﻋَﻠَﻲَّ ﻋَﺬَﺍﺑًﺎ  ﻭَﻣِﻦْ ﺧَﻠِﻴﻞٍ ﻣَﺎﻛِﺮٍ  ﻋَﻴْﻨَﻪُ ﺗَﺮَﺍﻧِﻲ ﻭَﻗَﻠْﺒُﻪُ ﺗَﺮْﻋَﺎﻧِﻲ ﺇِﻥْ ﺭَﺃَﻯ ﺣَﺴَﻨَﺔً ﺩَﻓَﻨَﻬَﺎ ﻭَﺇِﺫَﺍ ﺭَﺃَﻯ ﺳَﻴِّﺌَﺔً ﺃَﺫَﺍﻋَﻬَﺎ 
  
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari tetangga yang buruk,  dari isteri yang membuatku beruban sebelum masa beruban, dari anak yang menjadi tuan bagiku, dari harta yang menjadi siksaan atasku, dan dari kawan yang berbuat makar, matanya memandangiku sedang hatinya mengawasiku. Jika ia melihat kebaikan, maka ia tanam (sembunyikan), dan jika melihat keburukan, maka ia menyebarkannya.
(HR. Hannad dalam Az-Zuhd (no. 1038) Status: Hadis sahih dalam Ash-Shohihah no. 3138)

10hb Februari  2022
08hb Rejab 1443H

Tidak Masuk Syurga Memudaratkan Jiran

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tidak Masuk Syurga Memudaratkan Jiran

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ لَا يَأْمَنُ جَارُهُ بَوَائِقَهُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga, orang yang jiran tetangganya tidak aman dari bahayanya."
(HR Muslim No: 66) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berbuat baik dan memuliakan jiran tetangga adalah pokok kehidupan bermasyarakat yang bahagia dan harmoni.

2.  Keberadaan kita sebagai jiran sentiasa dirasai bermanfaat dan membawa keamanan dan kesejahteraan.

3.  Jadilah jiran yang mendorong orang lain menjadi baik dan bahagia di dunia dan akhirat.

4.  Elakkan menganggu jiran atau melakukan perkara yang memudaratkan jiran sama ada dengan perbuatan mahupun perkataan.

5.  Tidak akan masuk syurga seseorang yang dengan sebab perbuatan atau perkataannya, menyebabkan jirannya  mendapat mudarat dan musibah.

11hb Februari  2022
09hb Rejab 1443H

Monday, 7 February 2022

Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Sahabat dan Jiran Yang Paling Baik

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ الْأَصْحَابِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِصَاحِبِهِ وَخَيْرُ الْجِيرَانِ عِنْدَ اللَّهِ خَيْرُهُمْ لِجَارِهِ

Daripada Abdullah bin Amr ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap jirannya."
(HR Tirmizi No: 1867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap orang mengharapkan kehidupan yang baik, bahagia dan sejahtera.

2.  Antara kebahagiaan seseorang ialah memiliki sahabat dan jiran yang baik.

3.  Sebaik-baik sahabat di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap temannya

4.  Sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah yang paling baik terhadap tetangganya

Jadilah sahabat dan jiran yang paling baik.

08hb Februari  2022
06hb Rejab 1443H

Friday, 4 February 2022

Jika Tidak Malu Berbuatlah Ikut Sukamu

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jika Tidak Malu Berbuatlah Ikut Sukamu

حَدَّثَنَا أَبُو مَسْعُودٍ عُقْبَةُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ

Telah bercerita kepada kami Abu Mas'ud 'Uqbah berkata; Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya diantara yang didapatkan manusia dari perkataan (yang disepakati) para Nabi adalah; "Jika kamu tidak malu, berbuatlah sesukamu".
(HR Bukhari No: 3224) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Malu adalah akhlak yang mendorong seseorang untuk meninggalkan perbuatan yang buruk dan tercela, sehingga mampu menghalangi seseorang dari melakukan dosa dan maksiat serta mencegah sikap melalaikan hak orang lain.

2.  Rasa malu merupakan satu perkara yang diwariskan oleh para Nabi kepada manusia generasi demi generasi hingga kepada generasi umat Nabi Muhammad SAW. Di antara perkara yang didakwahkan oleh para Nabi terdahulu kepada umatnya adalah berakhlak malu.

3.  Ungkapan ini bermaksud “ancaman”, (Apabila engkau tidak lagi memiliki rasa malu, maka perbuatlah sesukamu), kerana Allah pasti akan membalas perbuatan tersebut dengan yang setimpal. Firman Allah ta’ala:

اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ ۖ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

“Perbuatlah apa yang kamu kehendaki; Sesungguhnya Dia Maha melihat apa yang kamu kerjakan”.
(QS Fushilat: 40)

4.  Ibnu Qutaibah menyatakan: “Barangsiapa yang tidak lagi memiliki rasa malu, ia akan berbuat sesukanya, sebab yang menghalanginya untuk berbuat keburukan adalah rasa malu, barangsiapa yang tidak lagi memiliki rasa malu, pasti akan terjerumus dalam setiap amalan keji dan mungkar”.

5.  Orang yang memiliki sifat malu, tidak akan melakukan sesuatu sesuka hati tanpa mengira dosa dan pahala.  

6.  Malu adalah sifat yang mendorong pemiliknya untuk meninggalkan perbuatan-perbuatan yang buruk.

Ayuh bersifat MALU. Moga MALU menjadi PENCEGAH daripada melakukan sesuatu yang dilarang.

05hb Februari  2022
03hb Rejab 1443H

Wednesday, 2 February 2022

Menyayangi Yang Muda Dan Menghormati Yang Tua

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menyayangi Yang Muda Dan Menghormati Yang Tua

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو يَرْوِيهِ قَالَ ابْنُ السَّرْحِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ حَقَّ كَبِيرِنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Daripada Abdullah bin Amru ia meriwayatkan; Ibnu As Sarh berkata; dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa yang tidak menyayangi anak  kecil di antara kami dan tidak mengenal hak orang tua di antara kami, maka ia bukan dari golongan kami." (Abu Daud No: 4292) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya saling menyayangi dan menghormati orang lain.

2.  Sayangi orang yang lebih muda dari kita dan hormati yang lebih tua.

3.  Antara cara menghormati orang tua adalah

a.  Memanggil dengan gelaran serta panggilan yang baik
b.  Bercakap dengan sopan santun
c.  Berjalan dibelakang atau di sisi bukan dihadapan orang tua
d.  Meminta laluan jika melintasi orang tua
e.  Jika dinasihati, dengar dengan baik walaupun kita mungkin tidak bersetuju
f.  Jika ingin menasihati, gunalah saluran yang betul serta menjaga adab yang baik seperti penggunaan bahasa yang beradab.

4.  Antara cara menyayangi yang muda adalah:

a.  Memberi contoh yang baik
b.  Menasihatkan dengan cara yang baik jika dia melakukan kesalahan atau kesilapan
c.  Ajarlah serta bimbing mereka dengan cara yang terbaik
d.  Jangan mengherdik atau memaki hamun jika dia melakukan kesilapan
e.  Hargailah sesuatu yang telah dilaksanakan walaupun kecil
f.  Elak dari merendah dan meremehkan apa yang dilakukan oleh mereka

5.  Rasulullah SAW tidak mengaku sebagai umatnya kepada orang yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua.

JOM sayangi yang muda dan hormati yang tua.

03hb Februari  2022
01hb Rejab 1443H

Tuesday, 1 February 2022

Kasihi Yang Muda Hormati Yang Tua

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kasihi Yang Muda Hormati Yang Tua

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا وَيَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَ عَنْ الْمُنْكَرِ

Daripada Ibnu Abbas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar."
(HR Tirmidzi No: 1844) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang tidak mengasihi anak-anak kecil dan menghormati orang tua – mereka tidak mengikuti sunah Rasulullah dan Adab seorang Muslim.

2.  Menghormati orang tua atau orang yang lebih tua daripada kita termasuk sunnah Nabi. Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ جِبْرِيلَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَنِي أَنْ أُكَبِّرَ

"Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua".
(HR. Ahmad  No:1555)

3.  Dahulukan orang yang lebih tua dari kita. Malik bin Mighwal rahimahullah berkata:

كُنْتُ أَمْشِيْ مَعَ طَلْحَةَ بْنِ مُصَرِّفٍ  فَصِرْنَا إِلَى مَضْيَقٍ فَتَقَدَّمَنِيْ ثُمَّ قَالَ لِيْ : لَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ أَنَّكَ أَكْبَرُ مِنِّيِ بِيَوْمٍ مَا تَقَدَّمْتُكَ 

"Dahulu aku berjalan bersama Thalhah bin Musharrif, sampailah kami ke sebuah jalan sempit, maka beliaupun mendahuluiku, seraya berkata kepadaku: Seandainya aku mengetahui bahawa engkau lebih tua satu hari daripada aku nescaya aku tidak akan mendahuluimu".
(Diriwayatkan oleh Al-Khathiib Al Baghdaady dalam Al Jaami' li Akhlaaqi Ar Raawii wa Aadaabi As Saami', no: 249)

4.  Untuk menjadi orang yang bersama Rasulullah, kita perlu berperanan berdakwah ditengah-tengah masyarakat iaitu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada kemungkaran.

Berusahalah kita mencontohi Rasulullah SAW dengan  menghormati orang yang lebih tua dari kita, menyayangi  yang muda serta berusaha mengajak kepada kebaikan dan menjauhi kemungkaran.

02hb Februari  2022
30hb Jamadil Akhir 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...