Wednesday, 2 March 2022

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka ia pun berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa pada bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit."
(HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa memelihara ibadat puasa sunat setiap bulan seperti puasa Isnin, Khamis juga pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15 hari bulan).

2.  Rasulullah SAW berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadan

3.  Rasulullah membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

4.  Bulan Syaaban akan menemui kita. Marilah kita membuat persiapan untuk membanyakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban. 

5.  Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa agar dilepaskan dari pelbagai musibah dan lain-lain kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis daripada  Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

 ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”.
(HR Ibn Majah No:1752) Status:Hadis  hasan

Marilah kita melaksanakan ibadat puasa sunat dibulan Syaaban ini sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ramadan.

03hb Mac  2022
29hb Rejab 1443H

Tuesday, 1 March 2022

Doa utk semua pelajar SPM 2021

KHUSUS BUAT PERMATA HATI ANAK-ANAK SPM 2021 PPD PP

Doa utk semua pelajar SPM 2021 ...

بِسۡـــــــــمِ اللَّــــــــــهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
 اَلْحَمْد ُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
 وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ
  أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاء ِ وَالْمُرْسَلِيْن
 وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعين

Ya Allah,
Hari ini 2/03/2022 ; bermulanya pelajar2 kami akan menduduki peperiksaan SPM ,
Kami mohon kepada Mu ya ALLAH, bantulah pelajar2 kami dalam peperiksaan yang mereka hadapi  YA ALLAH .

YA ALLAH ,
Peliharalah kesihatan pelajari2 kami di hari peperiksaan . Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti . Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan , jauhilah mereka daripada resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan .

YA ALLAH,
Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

YA ALLAH ,
berilah keputusan cemerlang dalam peperiksaan pelajar2 kami . Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi , semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan solehah dan menghampiri diri mereka kepada Mu ya Allah .

YA ALLAH ,
Jadikanlah calon2 SPM kami pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat , kami mohon kepada Mu , Kau perbaiki akhlak pelajari2 kami.

Ya ALLAH,
kami tidak mampu mengawasi pelajari2 kami setiap waktu YA ALLAH , kami serahkan calon2 SPM 2021 kami untuk berada di bawah penjagaan Mu Ya ALLAH . Gerakkanlah hati mereka untuk mereka berada di tempat-tempat yang Engkau redhai . Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat yang Engkau murkai . Jauhilah mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah .

YA ALLAH ,
Tetapkan hati mereka untuk menunaikan solat dan jangan Kau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah Ya ALLAH .

YA ALLAH ,
Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak2 kami sahaja , tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak2  rakan dan sahabat kami Ya ALLAH . Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat Ya ALLAH.

YA ALLAH

Perkenankanlah doa kami ini.

   رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَاِنْ لمَ ْتَغْفِرْلَنَاوَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّا مِنَ اْلخَاسِرِيْنَ.
   رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَِلاِخْوَانِنَا اَّلذِيْنَ سَبَقُوْنَ بِاْلاِيْمَانِِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا اِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ. 
   رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَاْبَ النَّارِِ.
   رََََبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا اِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ اْلعَلِيْمُ وَتُبْ عَلَيْنَا اِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ.    وَصَلَّى اللهُ عَلىَ سَيِِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.    سُبْحَانَ رَبِِّكَ رَبِِّ اْلعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ 
   وَسَلاَمٌ عَلَى اْلُمرْسَلِيْنَ وَاْلحَمْدُ لِلهِ رَبِِّ اْلعَالَمِيْنَ.

 امين يا رب العالمين.

PPD PP

ZIARAH KUBUR

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ziarah Kubur

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ زَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ  اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ 

Daripada Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah SAW berziarah kepada makam ibunya, lalu beginda menangis, kemudian menangis pula lah orang-orang di sekitar baginda. Baginda lalu bersabda: “Aku meminta izin kepada Rabb-ku untuk memintakan ampunan bagi ibuku, namun aku tidak diizinkan melakukannya. Maka aku pun meminta izin untuk menziarahi kubur ibuku, aku pun diizinkan. Ziarahlah kubur, kerana ia dapat mengingatkan engkau akan kematian”.
(HR. Muslim No.108) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ziarah kubur merupakan salah satu ibadah yang disyariatkan dalam Islam. 

2.  Tujuan berziarah kubur adalah untuk menasihati diri dan mengingatkan diri sendiri akan kematian.
(Syarh Shahih Muslim Lin Nawawi, 3/402)

3.  Hikmah menziarahi kubur juga bagi melunakkan hati yang keras dan memadamkan kesombongan diri. Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور ألا فزوروها فإنها ترق القلب  وتدمع العين  وتذكر الآخرة  ولا تقولوا هجرا

“Dulu aku pernah melarang kalian untuk berziarah-kubur. Namun sekarang ketahuilah, hendaknya kalian berziarah kubur. Kerana ia dapat melembutkan hati, membuat air mata berlinang, dan mengingatkan kalian akan akhirat namun jangan kalian mengatakan perkataan yang tidak layak (qaulul hujr), ketika berziarah”.
(HR. Al Haakim no.1393, Status Sahih dalam Sahih Al Jaami’, 7584)

4.  Al Munawi berkata: “Tidak ada ubat yang paling bermanfaat bagi hati yang kelam selain menziarahi kubur. Ziarah kubur akan menjadi penyebab mengingati kematian, akan menghalangi seseorang dari maksiat, melembutkan hatinya yang kelam, mengusir kesenangan terhadap dunia, menjadikan musibah yang kita alami terasa ringan. Ziarah kubur itu sangat dahsyat pengaruhnya untuk mencegah hitamnya hati dan menguburkan sebab-sebab datangnya dosa. Tidak ada amalan yang sehebat ini pengaruhnya”.
(Faidhul Qaadir, 88/4)

Jadikan ziarah kubur kita sebagai pelembut hati dan penasihat diri.

02hb Mac  2022
28hb Rejab 1443H

Monday, 28 February 2022

Balasan Pengumpat dan Pengaib

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Balasan Pengumpat dan Pengaib

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: " لَمَّا عُرِجَ بِي مَرَرْتُ بِقَوْمٍ لَهُمْ أَظْفَارٌ مِنْ نُحَاسٍ يَخْمُشُونَ وُجُوهَهُمْ وَصُدُورَهُمْ فَقُلْتُ: مَنْ هَؤُلَاءِ يَا جِبْرِيلُ قَالَ: هَؤُلَاءِ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ لُحُومَ النَّاسِ وَيَقَعُونَ فِي أَعْرَاضِهِمْ 

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda : ‘Ketika aku dinaikkan ke langit (pada malam isra dan mikraj), aku melalui satu kaum yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka mencakar-cakar muka dan dada mereka, maka aku berkata : Siapakah mereka wahai Jibril? Jibril menjawab : Merekalah orang-orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan mengaibkan maruah mereka.”
(Riwayat Abu Daud No: 4878) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang mementingkan akhlak dan adab terpuji

2.  Islam melarang umatnya berakhlak buruk seperti mengumpat serta mengaibkan orang lain.

3.  Rasulullah SAW diperlihatkan pada malam baginda di isra dan dimikrajkan sekumpulan manusia yang mempunyai kuku dari tembaga dan mereka menyiksa diri sendiri dengan mencakar-cakar muka dan dada mereka. Jibril memberitahu mereka berbuat demikian kerana semasa di dunia mereka mengumpat dan mengaibkan orang Islam lain.

4.  Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩ 

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
(An-Nur: 19)

Orang mukmin perlu menjaga agar jangan sampai mengumpat dan mengaibkan orang lain hingga menjadi penyebab diseksa di akhirat dengan mencakar dada dan muka sendiri.

01hb Mac  2022
27hb Rejab 1443H

Friday, 25 February 2022

Takwa dan Berakhlak Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Takwa dan Berakhlak Baik

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اتَّقِ اللَّهِ حَيْثُمَا كُنْتَ وَأَتْبِعْ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا وَخَالِقِ النَّاسَ بِخُلُقٍ حَسَنٍ

Daripada Abu Dzar RA ia berkata; Rasulullah SAW pernah bersabda kepadaku: "Bertakwalah kamu kepada Allah dimana saja kamu berada dan ikutilah setiap keburukan dengan kebaikan yang dapat menghapuskannya (dosa), serta bergaulah sesama manusia dengan akhlak yang baik."
(HR Tirmizi No: 1910)  Status: Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu memiliki sifat takwa dimana sahaja ia berada dan dalam setiap waktu.

2.  Bertakwa dengan sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi perkara yang dilarang.

3.  Takwa itu ialah sifat berhati-hati dan sentiasa merasakan pengawasan diri oleh Allah dalam setiap perbuatan kita.

4.  Lakukanlah amal kebaikan kerana ia boleh menjadi penyebab kepada penghapusan dosa yang dilakukan.

5.  Berakhlak baiklah dalam pergaulan sesama manusia.

6.  Jagalah akhlak dalam perhubungan sesama kita, jangan ada umpatan, fitnah, hinaan, merendah-rendah orang lain dan sebagainya. 

Jadilah kita orang bertaqwa, yang melakukan amal soleh dan menjauhi mungkar, serta berakhlak mulia dalam pergaulan sesama manusia.

26hb Februari  2022
24hb Rejab 1443H

Thursday, 24 February 2022

Sedekah Berkualiti

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Berkualiti

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبَقَ دِرْهَمٌ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ قَالُوا وَكَيْفَ قَالَ كَانَ لِرَجُلٍ دِرْهَمَانِ تَصَدَّقَ بِأَحَدِهِمَا وَانْطَلَقَ رَجُلٌ إِلَى عُرْضِ مَالِهِ فَأَخَذَ مِنْهُ مِائَةَ أَلْفِ دِرْهَمٍ فَتَصَدَّقَ بِهَا

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW  bersabda, “Satu dirham dapat mengalahkan seratus ribu dirham“. Lalu ada sahabat yang bertanya, “Bagaimana boleh terjadi wahai Rasulullah?” Baginda menjelaskan, “Ada seorang yang memiliki dua dirham lalu mengambil satu dirham untuk disedekahkan. Ada pula seseorang memiliki harta yang banyak sekali, lalu ia mengambil dari hartanya seratus ribu dirham untuk disedekahkan.”
(HR. Nasai No: 2527) Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1.  Sedekah setiap Muslim ganjarannya bergantung kepada keikhlasan dan harta yang dimiliki.

2.  Ada Muslim yang bersedekah dengan nilai satu dirham, namun ganjarannya mengatasi orang yang bersedekah seratus ribu dirham kerana ia bersedekah separuh dari harta yang dimilikinya (dua dirham) walaupun yang disedekahkan dari segi jumlahnya sedikit namun nilainya sangat besar pada dirinya.

3.  Ada Muslim yang bersedekah seratus ribu dirham, mungkin dari segi jumlahnya banyak namun nilainya kecil di sisinya (hanya sedikit) kerana dia memiliki jutaan dirham yang lain.

4.  Sedekah itu bukan bergantung pada kuantiti namun yang lebih penting adalah kualiti dan keikhlasan.

5.  Galakan bersedekah tidak hanya kepada orang kaya malah juga kepada orang yang kurang berada kerana sedekah itu tidak akan mengurangi hartanya.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: Sedekah itu tidak akan mengurangi harta. Tidak ada orang yang memberi maaf kepada orang lain, melainkan Allah akan menambah kemuliaannya. Dan tidak ada orang yang merendahkan diri kerana Allah, melainkan Allah akan mengangkat darjatnya."
(HR. Muslim no. 4689) Status: Hadis Sahih

Mari kita hulurkan sedekah yang berkualiti.

25hb Februari  2022
23hb Rejab 1443H

Tuesday, 22 February 2022

Jaminan Masuk Syurga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaminan Masuk Syurga 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ أَصْبَحَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ صَائِمًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ تَبِعَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ جَنَازَةً قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ أَطْعَمَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مِسْكِينًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا قَالَ فَمَنْ عَادَ مِنْكُمْ الْيَوْمَ مَرِيضًا قَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا اجْتَمَعْنَ فِي امْرِئٍ إِلَّا دَخَلَ الْجَنَّةَ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bertanya: "Siapakah di antara kalian yang pagi ini sedang berpuasa?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menghantar jenazah?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah memberi makan orang miskin?" Abu Bakar menjawab: "Aku." Baginda bertanya lagi: "Siapa di antara kalian yang hari ini telah menjenguk orang sakit?" Abu Bakar menjawab, "Aku." Selanjutnya Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah semua itu ada pada seseorang kecuali dia pasti akan masuk syurga."
(HR Muslim No: 1707) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Syurga disediakan untuk mereka yang beriman dan melakukan amal yang soleh.

2.  Abu Bakar adalah contoh sahabat Rasulullah SAW yang menunjukkan amal soleh.

3.  Melaksanakan ibadat puasa adalah sebahagian daripada ibadat peribadi setiap Muslim sebagai bukti ketaatan dan keikhlasan seseorang kepada Allah.

4.  Menghantar jenazah, memberi makan kepada orang miskin dan menjenguk orang sakit merupakan kewajipan Muslim kepada masyarakat. Ia adalah sebahagian daripada penunaian tanggungjawab terhadap hak orang lain apabila kita hidup bermasyarakat.

5.  Mukmin yang melaksanakan kewajipan ibadat individu seperti solat, puasa, zakat serta kewajipan untuk cakna kepada masyarakat seperti ziarah orang sakit, menolong orang susah, pasti akan masuk syurga. 

Marilah kita menyantuni orang yang lemah seperti golongan fakir dan miskin, orang yang sakit juga anak yatim. Hidupkan budaya menziarahi atau bertanya khabar kerabat, sahabat, teman, jiran, rakan kita yang kurang sihat.

23hb Februari  2022
21hb Rejab 1443H

Monday, 21 February 2022

PUJUK HATI BERSANGKA BAIK

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakhatuh. 

*Allahumma Solli Alaa Muhammad Wa'ala Aali Muhammad*

Pujuklah HATI sentiasalah BERBAIK SANGKA.
Jangan suka BERSANGKA-SANGKA.
KERNA ia boleh menimbulkan SENGKETA sesama kita.

PUJUKLAH HATI sentiasalah BERBAIK SANGKA.Supaya dapat melihat KEBENARAN yang ada. Oleh itu HATI menjadi TENANG.
Dapat mengeratkan KASIH SAYANG.

Ya Allah..
Peliharalah Iman kami, tambahkan rezki kami, Jadikan kami hamba hamba yang sentiasa taat dengan perentah Mu.
Ampunilah dosa-dosa kedua ibu Dan ayah kami Berilah kesihatan buat keluarga kami, anak-anak dan Sahabat-sahabat kami, Semoga kami semua sentiasa dalam Rahmat Dan kasih sayang Mu.

 *Aamiin Aamiin*
       *Aamiinn*
   *Yarabalaamin*

Saturday, 19 February 2022

Berlaku Jujur Bukan Berdusta

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berlaku Jujur Bukan Berdusta

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantar kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta."
(HR Bukhari No: 5629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut memiliki sifat jujur dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

2.  Sifat jujur yang dimiliki akan sentiasa membimbing seseorang untuk melakukan kebaikan dan amal soleh menuju ke syurga.

3.  Sifat kejujuran yang berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang.

4.  Sifat dusta dan berbohong yang dimiliki oleh seseorang pula akan mendorongnya kepada kejahatan.

5.  Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk.

6.  Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Allah tidak memberi hidayah kepada pendusta dan pembohong. Firman Allah:

إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta.
(Mukmin: 28)

7.  Berusahalah memiliki sifat jujur, benar dan amanah bukan sifat pendusta dan pembohong. Orang yang biasa berdusta, akan berterusan berdusta dan membohongi orang lain.

Pastikan setiap info yang dikongsi khususnya dalam media sosial adalah benar bukan dusta.

20hb Februari  2022
18hb Rejab 1443H

Tuesday, 15 February 2022

Berterima Kasih Pada Manusia Bersyukur Kepada Allah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berterima Kasih Pada Manusia Bersyukur Kepada Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ لَا يَشْكُرُ اللَّهَ

Daripada Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Siapa yang tidak pandai bersyukur (berterima kasih) kepada manusia, bererti ia belum bersyukur kepada Allah."
(HR Tirmizi No: 1877) Status hadis : Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Satu daripada sifat terpuji ialah mengucapkan terima kasih di atas pemberian serta pertolongan orang lain terhadap kita ...Jazakallahu khairan.

2.  Orang yang kebiasaannya tidak berterima kasih terhadap kebaikan orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah  dan tidak bersyukur kepada-Nya.

3.  Allah tidak menerima syukurnya seorang hamba atas kebaikan Allah kepadanya jika seorang hamba tidak berterima kasih kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka.
(Sunan Abu Daud dengan Syarah Al Khaththaby, 5/ 157-158)

Ucaplah terima kasih ...jazakallahu khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan) di atas kebaikan dan pertolongan orang lain kepada kita. Moga kita menjadi orang yang bersyukur.

16hb Februari  2022
14hb Rejab 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...