Saturday, 23 July 2022

Amalan Ke Syurga Dengan Selamat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Ke Syurga Dengan Selamat

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ سَلَامٍ قَالَ: لَمَّا قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِيْنَةَ  اِنْجَفَلَ النَّاسُ إِلَيْهِ  وَقِيْلَ : قَدِمَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ  فَجِئْتُ فِي النَّاسِ لِأَنْظُرَ إِلَيْهِ  فَلَمَّا اسْتَبَنْتُ وَجْهَ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَرَفْتُ أَنَّ وَجْهَهُ لَيْسَ بِوَجْهٍ كَذَّابٍ  فَكَانَ أَوَّلَ شَيْءٍ تَكَلَّمَ بِهِ أَنْ قَالَ: ( يَا أَيُّهَا النَّاسُ  أَفْشُوْا السَّلَامَ  وَأَطْعِمُوْا الطَّعَامَ  وَصِلُوْا الْأَرْحَامَ  وَصَلُّوْا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ  تَدْخُلُوْا الْجَنَّةَ بِسَلَامٍ).

Daripada ‘Abdullah bin Salâm, ia berkata: “Ketika Rasûlullâh SAW datang ke Madinah, orang-orang segera pergi menuju kepada baginda (kerana ingin melihatnya). Ada yang mengatakan: Rasûlullâh SAW telah datang, lalu aku mendatanginya ditengah kerumunan orang ramai untuk melihatnya. Ketika aku melihat wajah Rasûlullâh SAW, aku mengetahui bahawa wajahnya bukanlah wajah pembohong. Perkara pertama yang baginda ucapkan adalah: ‘Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, sambungkan silaturrahim, dan solatlah di waktu malam ketika orang lain sedang tidur, nescaya kalian akan masuk syurga dengan selamat.”
(Sunan Tirmidzi no: 2485) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.Islam itu cantik dan indah. Abdullah bin Salam tertarik dan masuk Islam kerana melihat keindahan Islam yang ada pada diri Rasulullah SAW dan apa yang baginda tuturkan. 

2.Jadikanlah diri kita sebagai qudwah atau contoh ikutan melalui dakwah bil hal dengan keindahan dan kecantikan Islam pada diri kita.

3.Antara amalan yang menempatkan seseorang kedalam syurga adalah:

a.Menyebarkan salam iaitu selalu mengucapkan salam setiap kali bertemu sesame Muslim. Seorang Muslim yang tidak mahu mengucapkan salam setiap kali bertemu dianggap bakhil. Nabi SAW bersabda :

أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجِزَ فِيْ الدُّعَاءِ وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلاَمِ.

Selemah-lemah manusia adalah orang yang lemah (malas) berdoa kepada Allâh, dan sebakhil-bakhil manusia adalah orang yang bakhil mengucapkan salam.
(HR Thabarani dalam Mu’jamul Ausath (no. 5587) dan lainnya. Lihat Silsilah al-Ahâdîts ash-Shahîhah (no. 601). Status: Hadis Hasan

b.Memberi makan kepada orang yang memerlukan seperti tetamu, jiran tetangga atau orang yang memerlukan. Orang yang memberi atau bersedekah, nescaya Allah akan menambahkan rezeki kepadanya. Hadis Nabi SAW menyebutkan:

مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ …

Sedekah tidak mengurangi harta…
(Sahîh Muslim).

أَنْفِقْ أُنْفِقْ عَلَيْكَ

Berinfaqlah! Niscaya Aku akan berinfaq kepadamu.
(Sahîh Bukhâri) 

c.Menyambung silaturahim dengan semua kerabat sama ada melalui perkataan, perbuatan, dan tingkahlaku. 
Al-Arhâm adalah jamak dari rahim. Maksudnya kerabat yang memiliki hubungan kekeluargaan dari ibu atau bapa, seperti datok, nenek, bapa saudara, ibu saudara, sepupu dan lain-lain. Allâh SWT berfirman :

وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءَلُونَ بِهِ وَالْأَرْحَامَ

Bertakwalah kepada Allâh yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan
[an-Nisâ’: 4:1]

Silaturrahim merupakan sebab masuk syurga. Memutuskan silaturrahim menyebabkan laknat dan jauh dari rahmat Allâh Azza wa Jalla .

d.Solat di waktu malam, ketika manusia sedang tidur. Ia mencakupi solat wajib, seperti ‘Isya dan Subuh, juga mencakupi solat sunat malam, kerana malam adalah waktu orang tidur. 

24hb Julai  2022
24hb Zulhijjah 1443H

Tuesday, 19 July 2022

Pahala Ucapan Salam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pahala Ucapan Salam

عَنْ عِمْرَانَ بْنِ حُصَيْنٍ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ فَرَدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ ثُمَّ جَلَسَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرٌ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ عِشْرُونَ ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ فَرَدَّ عَلَيْهِ فَجَلَسَ فَقَالَ ثَلَاثُونَ

Daripada Imran bin Hushain ia berkata, "Seorang laki-laki datang kepada Nabi SAW dan mengucapkan, "Assalamu Alaikum?" Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Nabi SAW kemudian bersabda: "Sepuluh" (ganjaran pahala). Setelah itu ada seseorang datang dan mengucapkan salam, "Assalamu Alaikum wa Rahmatullah." Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Baginda bersabda: "Dua puluh." Setelah itu ada lagi orang datang dan mengucapakan salam, "Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa barakatuh." Baginda membalas salam orang tersebut lalu duduk, Baginda bersabda: "Tiga puluh."
(Sunan  Abu Daud No: 4521) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Ucapan salam adalah adab mulia seorang Muslim apabila bertemu sesama mereka. 

2.Memberi salam kepada Muslim yang lain akan mendapat ganjaran pahala 

3.Ucapan Salam adalah doakan kesejahteraan terhadap sesama Muslim. Mendoakan sesama Muslim agar sentiasa beroleh keamanan dan keselamatan amat dituntut.

4.Ucapan  السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ lebih utama dan wajar diucapkan kerana ganjarannya lebih baik (30 pahala) berbanding ucapan yang lain.

5.Ucapan salam sewajarnya disebar luaskan sesuai Islam adalah agama kedamaian, keamanan, perpaduan dan persaudaraan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلَا تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا أَوَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى شَيْءٍ إِذَا فَعَلْتُمُوهُ تَحَابَبْتُمْ أَفْشُوا السَّلَامَ بَيْنَكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, “Kalian tidak akan masuk syurga hingga kalian beriman. Dan kalian tidak dikatakan beriman hingga kalian saling mencintai. Mahukah kalian aku beritahu dengan sesuatu yang apabila kalian lakukan kalian akan saling mencintai? (iaitu) sebarkanlah (ucapkanlah) salam di antara kalian.”
(Sahih Muslim No 81) Status: Hadis Sahih

20hb Julai  2022
20hb Zulhijjah 1443H

Monday, 18 July 2022

SANTUNI WARGA EMAS

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللّه وَبَرَكَاتُهُ

*SANTUNI WARGA EMAS*

1. Jangan ditegur kalau orang lanjut usia, bertanya berulangkali. Biarkanlah kalau dia sentiasa mengulang cerita yang sama.

2. Semalam dia sudah beritahu, hari ini dia bercakap lagi. Petang cerita benda yang sama yang dicerita sebelah pagi.

3. Wahai anak muda!  Perkara ini akan kita lalui juga kemudian hari. Jangan angkuh dengan ingatan yang kuat. Itu adalah anugerah Allah yang boleh ditarik bila-bila masa sahaja.

4. Layanlah sebaik mungkin, kalau jemu mendengar, angguklah sahaja, tidak usah bercakap kalau malas membuka mulut. 

5. Mungkin satu hari nanti kita masih mahu mendengar cerita berulang tetapi dia telah tiada. Santunilah warga emas di sekeliling kita.

Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadikan Kejujuran Sebagai Tabiat
 
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas'ud) RA daripada Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga dia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantarkan pada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan menggiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta."
(HR Bukhari No: 6094) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang menuntut kepada setiap Muslim supaya sentiasa jujur dan menjauhi kedustaan dalam setiap perkara sama ada perkataan, perbuatan mahupun pekerjaan.

2.  Seorang Muslim yang sentiasa jujur dari segi percakapan, perbuatan,  akhlak, dan pekerjaan, ia akhirnya akan menjadi kebiasaan dalam amalannya. Kebiasaan yang jujur dan baik dalam amalannya menyebabkan ia dikenali oleh orang ramai sebagai orang yang jujur dan benar. Kebiasaan yang baik ini  akan mendekatkannya kepada syurga. 

3.  Seorang yang sentiasa berdusta, berbohong mahupun menyampaikan berita palsu, perbuatan tersebut akan mendorongnya kepada kejahatan. Jika berterusan, perbuatan itu akan menjadi tabiat kebiasaan kepadanya. Perbuatan itu merupakan dosa yang akan  menjadi penyebab dia dimasukkan ke neraka.

4.  Setiap Muslim hendaklah sentiasa jujur dan benar dalam setiap pertuturan,  penulisan dan perbuatan. Ucapkanlah perkataan yang betul, penulisan yang benar dan boleh mendatangkan kebaikan kerana ia akan menarik rahmat dan keampunan Allah SWT serta akan menyebabkan dirinya dikenali sebagai seorang yang benar. Ingatlah bahawa seseorang yang benar, sama sekali tidak pernah berdusta. Hindari berdusta kerana ia akan menghapuskan kebenaran.

Biasakan diri dengan sifat jujur dan benar dalam pertuturan, penulisan dan perbuatan sehingga kita akan dikenali sebagai orang yang jujur dan benar.

19hb Julai  2022
19hb Zulhijjah 1443H

Sunday, 17 July 2022

Jangan Tinggalkan Qiamullail

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Tinggalkan Qiamullail

عَنْ يَزِيدَ بْنِ خُمَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي قَيْسٍ يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُهُ وَكَانَ إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا

Daripada Yazid bin Khumair dia berkata; saya mendengar Abdullah bin Abu Qais berkata; Aisyah RA berkata; "Janganlah kamu meninggalkan solat malam (Qiamullail), kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, bahkan apabila baginda sedang sakit atau kepayahan, baginda solat dengan duduk."
(HR Abu Daud No: 1307) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara sunnah Rasulullah SAW ialah melaksanakan qiamullail.

2.  Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail walaupun dalam keadaan sakit atau kepayahan (lemah juga malas).

3.  Lakukanlah solat sunat di malam hari walaupun dalam keadaan duduk.

Ayuh contohi Rasulullah SAW dalam ibadat Qiamullail.

18hb Julai  2022
18hb Zulhijjah 1443H

Saturday, 16 July 2022

Bersedekah Satu Pintu Menuju Ke Syurga

*Bersedekah.* 

1. *Sedekah* adalah salah satu pintu untuk menuju ke Syurga Allah Subhanahu wa ta ala,

2. *Sedekah* ialah perbuatan yang paling mulia antara semua perbuatan kebaikan dan sedekah yang paling baik adalah dgn memberi makanan kepada orang,

3. *Sedekah* akan dihisab pada hari Kiamat dan sedekah akan Inn Syaa Allah menjauhi api neraka jahanam,

4. *Sedekah* mampu memadamkan kemurkaan Allah Subhanahu wa ta ala dan mampu memadamkan kepanasan di dalam kubur,

5. Perkara yang paling memberi keuntungan kepada orang² yang telah meninggal dunia adalah *sedekah* dan Allah Subhanahu wa ta ala akan sentiasa memanjangkan pahala dari *sedekah* tersebut,

6. *Sedekah* mampu mensucikan ruh dan menambah pahala kebaikan,

7. *Sedekah* adalah salah satu cara untuk mendapat kebahagiaan di hari Kiamat dihadapan Allah Subhanahu wa ta ala,

8. *Sedekah* boleh menyelamatkan diri dari celaka di hari Kiamat dan tidak akan membuat kita sengsara disebabkan masa lampau kita,

9. *Sedekah* mampu menghapuskan dan diampunkan dari dosa² yang telah dibuat,

10. *Sedekah* adalah kepastian untuk meninggal dunia dalam keimanan serta ketakwaan terhadap Allah Subhanahu wa ta ala dan malaikat akan mendoakan kebaikan kepada kita,

11. Orang² yang memberi *sedekah* ialah orang² yang baik dan siapapun yang terlibat dalam melakukan kebaikan tersebut akan diberi ganjaran oleh Allah Subhanahu wa ta ala, 

12. Orang yang memberi *sedekah* dijanjikan akan mendapat ganjaran yang hebat dari Allah Subhanahu wa ta ala In Syaa Allah, 

13. Orang yang memberi *sedekah* adalah tergolong dari golongan orang² yang disayang oleh masyarakat

14. Memberi *sedekah* adalah perbuatan yang mulia,

15. *Sedekah* mampu melepaskan kita drpd kesusahan dan doa² akan dimakbulkan Allah Subhanahu wa ta ala In Syaa Allah,

16. *Sedekah* mampu menghapuskan kesulitan hidup dan ditutup 70 pintu kecelakaan di dunia,

*17. Sedekah* mampu memanjangkan umur seseorang dan bisa memberi kejayaan hidup,

18. *Sedekah* adalah obat,

*19. Sedekah* mampu menolong anda dari kecurian, kematian yang dahsyat dan hina, kebakaran dan lemas &

20. *Sedekah* ialah ganjaran yang baik meskipun anda memberi kepada binatang² atau burung².

Yang terakhir sekali.....

_*Sedekah* yang paling baik adalah jika anda membagikan pesan yang baik ini kepada orang lain dan diniatkan sebagai sedekah..._

karena itu hanya dengan cara men-share tulisan ini kita akan mendapat bagian pahala *sedekah*,
Jika yg membaca tulisan ini tergerak hatinya untuk ber- *sedekah*...

Mari share sebanyak-banyaknya kpd grup keluarga, sanak famili, teman kerja, teman sekolah, tetangga dll...

*Semoga bermanfaat...🤲🤲🤲*

Friday, 15 July 2022

Miliki Sifat Zuhud

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Miliki Sifat Zuhud

عَنْ أَبِي الْعَبَّاسِ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ السَّاعِدِيِّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ الَى النَّبِيِّ صَلَي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَمَ فَقَالَ: يَا رَسولَ الله دُلَّنِي عَلَى عَمَلٍ إِذَا عَمِلْتُهُ اَحَبَنِيَ اللهُ وَ اَحَبَنِيَ النَّاسُ فَقَالَ: ازْهَدْ فِي الدُّنْيَا يُحِبَّكَ اللهُ وَ ازْهَدْ فِي مَا عِنْدَ النَّاسِ يُحِبَّكَ النَّاسُ حَدِيثٌ حَسَنٌ رَوَاهُ ابْنُ مَاجَه وَ غَيْرُهُ بِأَسَانِيدَ حَسَنَةٍ

Daripada Abi al-Abbas Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a berkata, bahawa seseorang datang kepada Nabi SAW seraya berkata: “Wahai Rasulullah, tunjukkanlah saya suatu pekerjaan yang jika dikerjakan nescaya saya dicintai Allah dan dicintai umat manusia.’ Rasulullah SAW bersabda: ‘Zuhudlah engkau akan dunia, nescaya Allah akan menyintaimu, dan zuhudlah engkau akan apa yang ada pada manusia, nescaya mereka mencintaimu.”
(HR Ibn Majah no. 4102) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Suatu sifat penting yang wajib ada pada diri setiap mukmin ialah sifat zuhud.

2.Zuhud terhadap dunia mempunyai banyak pengertian di kalangan ulama tasauf antaranya ialah membenci, berpaling, meninggalkan dan menjauhkan diri dari kemewahan dunia serta mengosongkan hati dari mengingati perkara dunia.

3.Zuhud terhadap apa yang dimiliki manusia, bererti menjauhkan diri dari merasa irihati terhadap apa yang dimiliki oleh manusia serta mengosongkan hati dari mengingati harta milik orang. Bukan bererti membenci sehingga suka agar kesenangan orang lain hilang kerana itu hasad dengki yang amat dilarang.

4.Zuhud sebenar bukan bererti meninggalkan dunia atau langsung tidak berharta. Zuhud sejati ialah tidak menjadikan dunia dan kemewahan hidup sebagai matlamat hidup, walaupun kekayaannya memenuhi dunia seumpama yang terjadi pada jutawan zaman Rasulullah SAW seperti Abdul Rahman ibn ‘Auf, kerana matlamat hidup seorang mukmin ialah Allah dan keredhaanNya, bukan benda-benda selainNya.

5.Sesiapa yang memiliki sifat zuhud, nescaya Allah akan menyintainya.

16hb Julai  2022
16hb Zulhijjah 1443H

Thursday, 14 July 2022

Benih Yang Menghasilkan Pahala

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Benih Yang Menghasilkan Pahala

عَنْ أَنَسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ إِنْسَانٌ أَوْ طَيْرٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةٌ

Daripada Anas, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang menanam tanaman atau menabur benih lalu (hasilnya) dimakan oleh manusia, burung atau binatang ternak melainkan hal tersebut menjadi sedekah baginya."
(HR Tirmizi No: 1303)Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Apa sahaja amal kebaikan yang dilakukan oleh seorang Muslim akan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah

2.Muslim yang menanam pokok yang hasilnya di makan oleh orang lain atau oleh binatang akan tetap mendatangkan pahala kepada penanamnya

3.Ibn Battal ketika menjelaskan hadis di atas: “Ini menunjukkan bahawa sedekah untuk semua jenis haiwan dan makhluk bernyawa di dalamnya terdapat pahala”.
(Syarh Ibn Battal)

4.Apa sahaja sumbangan yang ditinggalkan seorang muslim dan memberi manfaat kepada orang lain termasuk kepada orang bukan Islam juga binatang, ia akan menjadi sedekah buatnya

JOM sumbangkan suatu kebaikan untuk menjadi fixed deposit ganjaran pahala kita yang berterusan hingga  ke  akhirat kelak.

15hb Julai  2022
15hb Zulhijjah 1443H

Wednesday, 13 July 2022

Kejujuran

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kejujuran

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " اشْتَرَى رَجُلٌ مِنْ رَجُلٍ عَقَارًا لَهُ فَوَجَدَ الرَّجُلُ الَّذِي اشْتَرَى الْعَقَارَ فِي عَقَارِهِ جَرَّةً فِيهَا ذَهَبٌ ، فَقَالَ لَهُ : الَّذِي اشْتَرَى الْعَقَارَ خُذْ ذَهَبَكَ مِنِّي إِنَّمَا اشْتَرَيْتُ مِنْكَ الْأَرْضَ وَلَمْ أَبْتَعْ مِنْكَ الذَّهَبَ ، وَقَالَ : الَّذِي لَهُ الْأَرْضُ إِنَّمَا بِعْتُكَ الْأَرْضَ وَمَا فِيهَا فَتَحَاكَمَا إِلَى رَجُلٍ ، فَقَالَ : الَّذِي تَحَاكَمَا إِلَيْهِ أَلَكُمَا وَلَدٌ ، قَالَ : أَحَدُهُمَا لِي غُلَامٌ ، وَقَالَ : الْآخَرُ لِي جَارِيَةٌ ، قَالَ : أَنْكِحُوا الْغُلَامَ الْجَارِيَةَ وَأَنْفِقُوا عَلَى أَنْفُسِهِمَا مِنْهُ وَتَصَدَّقَا "

Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ada seorang lelaki membeli daripada seorang lelaki yang lain sebidang tanah yang ada rumah. Lelaki si pembeli itu kemudiannya terjumpa di dalam rumah tersebut sebuah bejana yang mengandungi emas. Dia lalu berkata kepada lelaki yang menjual tanah tersebut, "Engkau ambillah emasmu ini. Aku hanya membeli daripadamu sebidang tanah ini, bukan aku membeli emas daripadamu." Si lelaki penjual pula berkata, "Aku sudah menjual kepadamu tanah ini berserta segala apa yang ada di dalamnya sekali." Mereka berdua lantas bertemu seorang lelaki yang lain untuk dihakimi. Lelaki yang diminta menjadi hakim ini lalu bertanya, "Adakah kamu berdua mempunyai anak?" Salah seorang lelaki itu berkata, "Aku ada anak lelaki". Lelaki kedua pula berkata, "Aku ada anak perempuan." Lelaki yang menjadi hakim itu berkata, "Kahwinkahlah anak-anak kamu itu, dan infaqkanlah emas ini kepada mereka, di samping bersedekahlah juga." (HR Muslim No: 3246) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Pentingnya kejujuran di dalam menuntut hak. Orang yang jujur tidak akan rugi kerana sifat jujur membawa keberkatan.

2. Seorang hakim yang baik perlu bijak membuat keputusan penghakiman. Di dalam kisah ini, si hakim bukan hanya melihat bagaimana memutuskan emas tersebut menjadi hak siapa, tetapi beliau memikirkan bagaimana kes tersebut dapat diselesaikan dengan menghasilkan kebaikan serta kesejahteraan kepada kedua-dua pihak.

3. Dalam memberi pandangan atau nasihat, berusahalah seberapa boleh untuk membantu mengukuhkan persaudaraan, lebih daripada menentukan hak seseorang ke atas yang lain.

4.Orang yang beriman perlu sentiasa bersifat: lebih takut terambil hak orang lain daripada menuntut hak sendiri.

14hb Julai  2022
14hb Zulhijjah 1443H

Tuesday, 12 July 2022

Gambaran Orang Sombong Di akhirat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Gambaran Orang Sombong Di akhirat

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يُحْشَرُ الْمُتَكَبِّرُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَمْثَالَ الذَّرِّ فِي صُوَرِ الرِّجَالِ يَغْشَاهُمْ الذُّلُّ مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَيُسَاقُونَ إِلَى سِجْنٍ فِي جَهَنَّمَ يُسَمَّى بُولَسَ تَعْلُوهُمْ نَارُ الْأَنْيَارِ يُسْقَوْنَ مِنْ عُصَارَةِ أَهْلِ النَّارِ طِينَةَ الْخَبَالِ

Daripada Amru bin Syu'aib dari ayahnya dari datuknya dari nabi SAW bersabda: "Orang-orang sombong dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru, mereka diiring menuju penjara di neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas, mereka diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka yang namanya thinatul khabal."
(HR Tirmizi No: 2416) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Sombong adalah sifat Iblis yang merasa dirinya lebih mulia dan lebih baik serta merendahkan orang lain.

وَإِذۡ قُلۡنَا لِلۡمَلَٰٓئِكَةِ ٱسۡجُدُواْ لِأٓدَمَ فَسَجَدُوٓاْ إِلَّآ إِبۡلِيسَ أَبَىٰ وَٱسۡتَكۡبَرَ وَكَانَ مِنَ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٤ 

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; dia enggan dan takbur dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.
(al-Baqarah: 34)

2.Orang yang sombong tidak akan masuk syurga. Sabda Nabi Muhammad SAW:
لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sebesar zarah perasaan sombong”.
(HR Muslim)

3.Orang yang sombong akan dikumpulkan pada hari kiamat seperti semut bermuka manusia, mereka diliputi kehinaan dari segala penjuru.

4.Orang sombong akan  diiring menuju ke neraka jahanam yang bernama Bulas, di atas mereka ada api paling panas

5.Orang yang sombong akan  diberi minum muntahan dan darah penduduk neraka (nanah) yang namanya thinatul khabal (lumpur kebinasaan).

6.Sikap sombong merupakan satu sikap yang amat dilarang keras dalam Islam. Firman Allah SWT:

وَلَا تَمْشِ فِي الأرْضِ مَرَحًا إِنَّكَ لَنْ تَخرِقَ الأَرْضَ وَلَنْ تَبْلُغَ الْجِبَالَ طُولًا

“Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang”.
(al-Israa’: 37)

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjauhi sifat sombong. Sifat sombong itu apabila merasa dirinya lebih baik dari orang lain malah memperlekeh atau merendahkan mereka.

13hb Julai  2022
13hb Zulhijjah 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...