Monday, 20 March 2023

Panduan Tidur Seorang Muslim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Panduan Tidur Seorang Muslim

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ  ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ  ثُمَّ قُلْ : اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ  وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ  وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ  رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ  لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ  اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ  وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ  فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ  وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ

Daripada Al-Barra’ bin Azib RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila engkau hendak tidur, berwuduklah sebagaimana wuduk ketika hendak solat. Kemudian berbaringlah pada lambung sebelah kanan, dan bacalah: Ya Allah, aku tundukkan wajahku kepada-Mu, aku pasrahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan punggungku kepada-Mu, kerana rasa takut dan penuh harap kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari hukuman-Mu kecuali kepada-Mu. Ya Allah, aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan kepada nabi-Mu yang telah Engkau utus. Jika kamu mati di malam itu, kamu mati dalam keadaan fitrah. Jadikanlah doa itu, sebagai kalimat terakhir yang engkau ucapkan sebelum tidur.”(HR. Bukhari No: 247) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam sentiasa menggalakkan umatnya berada dalam keadaan bersih dan suci termasuk ketika hendak tidur.

2.  Rasulullah SAW mengajar adab-adab tidur antaranya:

a.  Berwuduk sebelum tidur.
b.  Tidur dengan berbaring diatas lambung sebelah kanan.
c.  Membaca doa sebelum tidur

3.  Menurut Ibnul Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat pada jantung. Sedangkan tidur pada sisi kiri berguna bagi badan (namun membuat seseorang semakin malas)” (Zaadul Ma’ad, 1/321-322).

4.  Sunat membaca doa sebelum tidur:

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ  وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ  وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ  رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ  لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ  اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ  وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

5.  Barangsiapa yang tidur berwuduk, dengan lambung disebelah kanan serta berdoa dengan doa di atas, jika dia mati di malam itu, dia mati dalam keadaan fitrah bersih dari dosa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

21hb Mac 2023
28hb Syaaban 1444H

Sunday, 19 March 2023

Amalan Yang Tidak Ditinggalkan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Yang Tidak Ditinggalkan 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَوْصَانِي خَلِيلِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِثَلَاثٍ صِيَامِ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ وَرَكْعَتَيْ الضُّحَى وَأَنْ أُوتِرَ قَبْلَ أَنْ أَنَامَ

Daripada Abu Hurairah radliallahu 'anhu berkata: "Kekasihku Rasulullah SAW memberi wasiat kepadaku agar aku berpuasa tiga hari dalam setiap bulan, mendirikan solat Dhuha dua rakaat dan solat witir sebelum aku tidur". (HR Bukhari: No 1845) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW mewasiatkan agar tidak meninggalkan tiga amalan sunat:

a.  Puasa sunat tiga hari sebulan
b.  Menunaikan solat sunat dhuha dua rakaat setiap hari
c.  Solat witir setiap malam sebagai penutup malam atau sebelum tidur

Marilah kita berusaha agar dapat melaksanakan apa yang dipesan oleh Rasulullah SAW.

20hb Mac 2023
27hb Syaaban 1444H

Saturday, 18 March 2023

Ibadat Yang Sia-Sia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ibadat Yang Sia-Sia

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapatkan pahala puasanya selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat malam tidak mendapatkan pahala solat malamnya selain berjaga (menyengkang mata)." (HR Ahmad No: 9308) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Puasa dan solat merupakan ibadat mendekatkan hamba kepada Allah.

2.  Puasa dan solat hendaklah dilaksanakan dengan sempurna dan  ikhlas.

3.  Bagi mereka yang berpuasa, ia bukan sahaja perlu meninggalkan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa malah perlu meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta. Terdapat sebuah hadith daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW:

مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّوْرِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلّٰهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَه

“Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”. (HR Bukhari No: 1770)

Di dalam Syarah Miskkah al-Masabih, qiam seseorang itu menjadi sia-sia apabila hilangnya dua syarat iaitu ikhlas dan khusyu’. (Lihat: Mir’ah al-Mafatih, 6/1053) Tambahan pula, riya’ juga boleh menyebabkan qiam seseorang itu boleh menjadi sia-sia. 

4.  Ibadat yang tidak sempurna dan  tidak ikhlas akan menyebabkan  ibadat puasa hanya mendapat lapar dan dahaga, ibadat solat malam hanya sekadar bersengkang mata.

Moga Ibadat dilakukan dengan sempurna mengikut syarat dan rukun di samping keikhlasan melaksanakan.

19hb Mac 2023
26hb Syaaban 1444H

Friday, 17 March 2023

Mahligai Di Syurga Kerana 12 Rakaat Solat Sunat Sehari

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mahligai Di Syurga Kerana 12 Rakaat Solat Sunat Sehari

عَنْ أُمِّ حَبِيبَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلَاةِ الْفَجْرِ

Daripada Ummu Habibah ia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa dalam sehari semalam solat sunat dua belas rakaat maka Allah akan membangunkan baginya rumah di syurga; iaitu empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya dan dua rakaat sebelum subuh." (HR Tirmizi No: 415) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Selain daripada solat fardhu lima waktu sehari semalam, kita juga digalakkan melakukan solat sunat mengiringi waktu.

2.  Orang yang melaksanakan 12 rakaat solat sunat sehari semalam, Allah akan membangunkan sebuah mahligai di syurga.

3.  12 rakaat solat sunat itu sehari semalam terdiri dari empat rakaat sebelum zuhur, dua rakaat selepas zohor, dua rakaat selepas maghrib, dua rakaat selepas isya dan dua rakaat sebelum subuh.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

18hb Mac 2023
25hb Syaaban 1444H

Thursday, 16 March 2023

Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Daripada 'Aisyah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Dua rakaat sunat fajar (sebelum solat fardhu subuh) lebih baik daripada dunia seisinya." (HR Muslim No: 1193) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keutamaan solat sunat dua rakaat sebelum fardhu subuh lebih baik daripada dunia seisinya.

2.  Solat sunat subuh hanya  dilakukan setelah terbit fajar subuh. Dianjurkan solat tersebut di awal waktunya dan dilakukan dengan dua rakaat yang ringan. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Syafi’i  dan jumhur ulama  seperti yang dicatat dalam Syarh Shahih Muslim (6: 3).

3.  Jika solat sunat sebelum subuh lebih baik daripada seluruh isi dunia ini, apatah lagi solat fardhu subuh yang kelebihannya lebih baik daripada itu.

Ayuh kita rebut peluang memelihara solat subuh dan solat sunat sebelum subuh.

17hb Mac 2023
24hb Syaaban 1444H

Wednesday, 15 March 2023

Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pelihara Solat Sunat Sebelum Subuh

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مُعَاهَدَةً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

Daripada 'Aisyah, bahawa tidak ada solat sunat yang lebih di jaga Nabi SAW daripada dua rakaat sebelum fardhu subuh." (HR Muslim No: 1191) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh dalam amalan harian antaranya solat sunat. 

2.  Antara solat sunat yang dijaga agar sentiasa dilaksanakan Rasulullah SAW  ialah solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

Marilah kita memelihara solat fardhu juga solat sunat mengiringi waktu. Antara solat sunat mengiringi waktu yang perlu kita bersungguh melaksanakannya ialah solat sunat sebelum subuh.

16hb Mac 2023
23hb Syaaban 1444H

Tuesday, 14 March 2023

Solat Sunat Zohor

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Sunat Zohor

عن أم حبيبة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرُمَ عَلَى النَّارِ

Daripada Ummu Habibah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Barangsiapa menjaga solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” (HR Tirmidzi no: 428) Status Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang mengerjakan solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah zuhur.

2.  Orang yang menjaga secara konsisten solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zohor, akan dijauhkan daripada api neraka. 

3.  Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari gelincir ke barat) atau disebut rawatib qabliyah zuhur (solat sunat sebelum solat zuhur).  Baginda SAW bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada waktu itu.” (HR. Tirmidzi, no. 478). Status hadis hasan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

15hb Mac 2023
22hb Syaaban 1444H

Monday, 13 March 2023

Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Sunat Yang Tidak Ditinggalkan Rasulullah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْغَدَاةِ

Daripada 'Aisyah radliallahu 'anha bahawa "Nabi SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat empat rakaat sebelum Zohor dan dua rakaat sebelum solat Subuh". (HR Bukhari No: 1110) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa melaksanakan solat sunat empat rakaat sebelum zohor.

2.  Baginda SAW juga sentiasa melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

Ayuh kita menuruti sunah Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat mengiringi waktu antaranya solat sunat sebelum zohor dan sebelum subuh.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

14hb Mac 2023
21hb Syaaban 1444H

Sunday, 12 March 2023

Witir Penutup Solat Malam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Witir Penutup Solat Malam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ مَا تَرَى فِي صَلَاةِ اللَّيْلِ قَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ

Daripada 'Abdullah bin 'Umar berkata: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW yang pada ketika itu sedang berada di atas mimbar. "Bagaimana cara solat malam?" Baginda menjawab: "Dua rakaat dua rakaat. Apabila dikhuatirkan masuk subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir (penutup) bagi solatnya." Ibnu  Umar berkata: "Jadikanlah witir sebagai solat terakhir kalian, kerana Nabi SAW memerintahkan hal yang demikian." (HR Bukhari No: 452) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar cara solat sunat malam hari (qiamullail) dilaksanakan dua rakaat dan salam diikuti dua rakaat lagi dan salam dan seterusnya sehingga ditutup dengan solat sunat witir.

2.  Jika waktu dah hampir solat subuh, disarankan agar menunaikan solat sunat witir satu rakaat.

3.  Solat witir dijadikan solat penutup kepada solat sunat di malam hari paling kurang satu rakaat.

Ayuh kita tunaikan solat sunat di malam hari sekurang-kurangnya satu rakaat witir.

13hb Mac 2023
20hb Syaaban 1444H

Saturday, 11 March 2023

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةً عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي فَأَوْتَرْتُ

Daripada 'Aisyah berkata, "Nabi SAW pernah berdiri solat malam sedangkan aku berbaring di atas tikarnya. Apabila baginda melaksanakan solat witir, baginda membangunkan aku hingga aku pun bangun mengerjakan solat witir." (HR Bukhari No: 997) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bangun di waktu malam untuk qiamullail menunaikan solat malam antara amalan yang perlu dicontohi daripada Rasulullah SAW.

2.  Rasulullah SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk menunaikan solat sunat malam.

Ayuh bangunkan ahli keluarga kita untuk menunaikan solat sunat malam, walaupun satu rakaat. Semoga solat sunat malam membina jati diri kita.

12hb Mac 2023
19hb Syaaban 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...