Saturday, 22 February 2025

Larangan Memburukan Orang Lain

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Memburukan Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا قَالَ الرَّجُلُ هَلَكَ النَّاسُ فَهُوَ أَهْلَكُهُمْ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila ada seseorang yang berkata; 'Celakalah (binasalah) manusia', maka sebenarnya ia sendiri yang lebih celaka dari mereka." (HR Muslim No: 4755) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Seorang Muslim tidak boleh berfikiran buruk dan menghukum kecelakaan ke atas orang lain kerana hukum berkenaan mungkin akan berpaling kepada dirinya sendiri.

2. Seseorang yang menganggap orang lain lebih buruk atau lebih sesat daripada dirinya cenderung jatuh dalam perangkap kesombongan dan rasa takabbur. Islam mengajar kita untuk bersikap rendah hati dan tidak menghakimi orang lain, kerana hanya Allah SWT yang mengetahui hati dan nasib setiap hamba-Nya. Jangan sekali-kali kita memburukkan orang lain kerana kita mungkin lebih buruk dari mereka.

3. Sikap sombong yang terkandung dalam ungkapan "celakalah atau binasalah sipolan" adalah suatu bentuk kebanggaan diri yang tidak seharusnya ada dalam hati seorang Muslim. Kebanggaan yang berlebihan terhadap amal ibadah atau status kita boleh menjerumuskan kita kepada kebinasaan, kerana ia menjauhkan kita dari sifat tawadhu' (rendah hati) dan mendorong kita untuk meremehkan orang lain.

4. Nasib diri kita adalah mengikut apa yang difikirkan oleh akal kita. Jika akal kita berfikiran negatif, maka natijahnya adalah negatif.  Seorang Muslim perlu memelihara baik sangka terhadap Allah.

5. Kecelakaan yang berlaku ke atas diri kita bukanlah semestinya disebabkan oleh perbuatan atau kejahatan orang lain. Bahkan ia mungkin berlaku kerana sikap diri sendiri.

6. Mengakui akan kelemahan dan kejahilan diri sebenarnya lebih penting dari menghukum kejahatan orang lain atau menyalahkan mereka. Islam mengajarkan kita untuk saling memahami dan bersikap kasih sayang terhadap sesama. Kita tidak tahu keadaan hati seseorang dan bagaimana Allah SWT melihat mereka. Oleh itu, seharusnya kita berusaha untuk membantu dan memberi nasihat dengan cara yang baik, bukan merendahkan atau mencela.

7. Kita harus mengakui akan kelemahan diri dahulu dan tidak menjadikan orang lain sebagai pelarian (escapist) dengan menuding jari kepada orang lain.

Marilah kita berusaha menjauhkan diri dari sifat mudah untuk menghukum orang lain dan memburuk-burukkan mereka.

24hb Syaaban 1446H
23hb Februari 2025

Thursday, 20 February 2025

Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Sunat Subuh Lebih Baik Dari Seisi Dunia

عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Daripada 'Aisyah dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Dua rakaat sunat fajar (sebelum solat fardhu subuh) lebih baik daripada dunia dan seisinya." (HR Muslim No: 1193) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keutamaan solat sunat dua rakaat sebelum fardhu subuh lebih baik daripada segala sesuatu yang ada di dunia ini dengan segala isinya.

2.  Solat sunat subuh hanya  dilakukan setelah terbit fajar subuh. Dianjurkan solat tersebut di awal waktunya dan dilakukan dengan dua rakaat yang ringan sebelum solat fardhu Subuh. Inilah pendapat Imam Malik, Imam Syafi’i  dan jumhur ulama  seperti yang dicatat dalam Syarh Shahih Muslim..

3.  Jika solat sunat sebelum subuh lebih baik daripada seluruh isi dunia ini, apatah lagi solat fardhu subuh yang kelebihannya lebih baik daripada itu.

Hadis ini mengajarkan kita untuk menjaga kualiti ibadah yang kita lakukan. Tidak semua ibadah itu sama nilainya, dan ada beberapa amalan yang mempunyai keutamaan yang lebih besar daripada yang lain. Ayuh kita rebut peluang memelihara solat subuh dan solat sunat sebelum subuh.

22hb Syaaban 1446H
21hb Februari 2025

Wednesday, 19 February 2025

PELIHARA SOLAT SUNAT SEBELUM SUBUH

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*PELIHARA SOLAT SUNAT SEBELUM SUBUH*

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَكُنْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مُعَاهَدَةً مِنْهُ عَلَى رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الصُّبْحِ

Daripada 'Aisyah, bahawa tidak ada solat sunat yang lebih di jaga Nabi SAW daripada dua rakaat sebelum fardhu subuh." (HR Muslim No: 1191) Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh dalam amalan harian antaranya solat sunat. 

2.  Antara solat sunat yang dijaga agar sentiasa dilaksanakan Rasulullah SAW  ialah solat sunat dua rakaat sebelum subuh.

3.  Nabi SAW tidak pernah meninggalkan dua rakaat solat sunat sebelum solat fardhu Subuh, walau dalam keadaan apapun. Ia menunjukkan betapa konsistennya baginda dalam melakukan amalan ibadah, walaupun amalan tersebut adalah sunat. Ia mengajarkan kita untuk menjaga konsistensi dalam beribadah, terutamanya dalam amalan-amalan sunnah yang boleh mendekatkan kita kepada Allah.

Marilah kita memelihara solat fardhu juga solat sunat mengiringi waktu. Antara solat sunat mengiringi waktu yang perlu kita bersungguh melaksanakannya ialah solat sunat sebelum subuh kerana ia memiliki banyak keberkatan dan keutamaan. Dengan menjaga amalan ini, kita dapat mendekatkan diri kepada Allah dan memperoleh ganjaran yang besar.

20hb Februari 2025
21hb Syaaban 1446H

Monday, 17 February 2025

Solat Sunat Zohor

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Sunat Zohor

عن أم حبيبة رضي الله عنها قالت: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرُمَ عَلَى النَّارِ

Daripada Ummu Habibah RA, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: “Barangsiapa menjaga solat 4 rakaat sebelum zuhur dan 4 rakaat sesudahnya, maka Allah mengharamkan neraka baginya.” (HR Tirmidzi no: 428) Status Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Hadis ini menerangkan kelebihan orang yang mengerjakan solat sunat 4 rakaat sebelum dan sesudah zuhur.

2.  Orang yang menjaga secara konsisten solat sunat empat rakaat sebelum dan selepas solat fardhu Zohor, akan dijauhkan daripada api neraka. Hal ini menunjukkan bahawa amalan sunat dapat membantu meningkatkan kualiti ibadah seseorang dan menjadi penyelamat di hari akhirat kelak.

3.  Dalam hadis yang lain, daripada Abdullah bin As-Saib, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW  menunaikan solat 4 rakaat setelah waktu zawal (matahari gelincir ke barat) atau disebut rawatib qabliyah zuhur (solat sunat sebelum solat zuhur).  Baginda SAW bersabda,

إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَأُحِبُّ أَنْ يَصْعَدَ لِى فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ

“Ini adalah waktu dibukakannya pintu langit. Aku suka jika amalan solehku naik pada waktu itu.” (HR. Tirmidzi, no. 478). Status hadis hasan.

4. Hadis ini memberikan dorongan yang kuat untuk menjaga solat sunat sebelum dan selepas solat Zuhur. Dengan menjaga amalan ini, seseorang tidak hanya mendekatkan dirinya kepada Allah, tetapi juga memperoleh perlindungan dari api neraka, sebagai balasan atas istiqamahnya dalam beribadah.

19hb Syaaban 1446H
18hb Februari 2025

Sunday, 16 February 2025

Witir Penutup Solat Malam

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Witir Penutup Solat Malam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ سَأَلَ رَجُلٌ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ عَلَى الْمِنْبَرِ مَا تَرَى فِي صَلَاةِ اللَّيْلِ قَالَ مَثْنَى مَثْنَى فَإِذَا خَشِيَ الصُّبْحَ صَلَّى وَاحِدَةً فَأَوْتَرَتْ لَهُ مَا صَلَّى وَإِنَّهُ كَانَ يَقُولُ اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ وِتْرًا فَإِنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِهِ

Daripada 'Abdullah bin 'Umar berkata: "Seorang laki-laki bertanya kepada Nabi SAW yang pada ketika itu sedang berada di atas mimbar. "Bagaimana cara solat malam?" Baginda menjawab: "Dua rakaat dua rakaat. Apabila dikhuatirkan masuk subuh, maka solatlah satu rakaat sebagai witir (penutup) bagi solatnya." Ibnu  Umar berkata: "Jadikanlah witir sebagai solat terakhir kalian, kerana Nabi SAW memerintahkan hal yang demikian." (HR Bukhari No: 452) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar cara solat sunat malam hari (qiamullail) dilaksanakan dua rakaat dan salam diikuti dua rakaat lagi dan salam dan seterusnya sehingga ditutup dengan solat sunat witir.

2.  Jika waktu dah hampir solat subuh, disarankan agar solat malam ditutup dengan menunaikan solat sunat witir satu rakaat.

3.  Solat witir dijadikan solat penutup kepada solat sunat di malam hari paling kurang satu rakaat.

4. Rasulullah SAW menyarankan agar akhir solat kita adalah witir. Baginda SAW sering menekankan tentang pentingnya solat witir sebagai penyempurna solat malam, dan bagi mereka yang mengerjakan solat malam, witir adalah satu amalan yang tidak boleh ditinggalkan. Solat witir merupakan solat yang memiliki keutamaan yang sangat tinggi dalam Islam.

Ayuh kita tunaikan solat sunat di malam hari sekurang-kurangnya satu rakaat witir.

18hb Syaaban 1446H
17hb Februari 2025

Saturday, 15 February 2025

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

Assalamualaikum warahmatullah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bangunkan Ahli Keluarga Solat Sunat Malam

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي وَأَنَا رَاقِدَةٌ مُعْتَرِضَةً عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يُوتِرَ أَيْقَظَنِي فَأَوْتَرْتُ

Daripada 'Aisyah berkata, "Nabi SAW pernah berdiri solat malam sedangkan aku berbaring di atas tikarnya. Apabila baginda melaksanakan solat witir, baginda membangunkan aku hingga aku pun bangun mengerjakan solat witir." (HR Bukhari No: 997) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bangun di waktu malam untuk qiamullail menunaikan solat malam antara amalan yang perlu dicontohi daripada Rasulullah SAW.

2.  Rasulullah SAW mengejutkan ahli keluarganya untuk menunaikan solat sunat malam.

3. Rasulullah SAW menunjukkan kepada kita bagaimana menjadi seorang suami yang lembut dan penuh perhatian terhadap keluarga. Beliau tidak hanya fokus pada ibadah diri sendiri, tetapi juga memberi galakan kepada Aisyah r.a. untuk beribadah. Dalam kehidupan rumah tangga, kita diajar untuk saling menyokong dalam amalan agama dan saling mengingatkan untuk berbuat kebaikan.

Ayuh bangunkan ahli keluarga kita untuk menunaikan solat sunat malam, walaupun satu rakaat. Semoga solat sunat malam membina jati diri kita. Semoga kebiasaan baik yang kita lakukan di bulan Syaaban akan berterusan di bulan Ramadan yang penuh barakah.

17hb Syaaban 1446H
16hb Februari 2025

Friday, 14 February 2025

Jangan Tinggalkan Qiamullail

*ASSALAMUALAIKUM wbt.*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Tinggalkan Qiamullail

عَنْ يَزِيدَ بْنِ خُمَيْرٍ قَالَ سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي قَيْسٍ يَقُولُ قَالَتْ عَائِشَةُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا لَا تَدَعْ قِيَامَ اللَّيْلِ فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَا يَدَعُهُ وَكَانَ إِذَا مَرِضَ أَوْ كَسِلَ صَلَّى قَاعِدًا

Daripada Yazid bin Khumair dia berkata; saya mendengar Abdullah bin Abu Qais berkata; Aisyah RA berkata; "Janganlah kamu meninggalkan solat malam (Qiamullail), kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya, bahkan apabila baginda sedang sakit atau kepayahan, baginda solat dengan duduk." (HR Abu Daud No: 1307) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara sunnah Rasulullah SAW ialah melaksanakan qiamullail.

2.  Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qiamullail walaupun dalam keadaan sakit atau kepayahan (lemah juga malas).

3.  Lakukanlah solat sunat di malam hari walaupun dalam keadaan duduk disebabkan sakit atau lemah.

4. Rasulullah SAW memberi teladan yang sangat baik bagi kita semua bahawa ibadah itu harus dilakukan dengan penuh ketekunan dan komitmen, tidak kira keadaan. Solat malam adalah amalan yang memerlukan usaha dan pengorbanan, tetapi ia memberi ganjaran yang besar dan mendekatkan kita kepada Allah.

5. Solat malam adalah salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ia adalah waktu yang penuh keberkahan, ketika hamba-hamba Allah yang lain sedang tidur, tetapi seseorang yang bangun untuk beribadah menunjukkan keikhlasan dan rasa cinta yang mendalam kepada Allah.

Ayuh contohi Rasulullah SAW dalam ibadat Qiamullail

16hb Syaaban 1446H
15hb Februari 2025

Thursday, 13 February 2025

Solat Malam Amalan Orang Soleh

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Solat Malam Amalan Orang Soleh

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ عَلَيْكُمْ بِقِيَامِ اللَّيْلِ فَإِنَّهُ دَأَبُ الصَّالِحِينَ قَبْلَكُمْ وَهُوَ قُرْبَةٌ إِلَى رَبِّكُمْ وَمَكْفَرَةٌ لِلسَّيِّئَاتِ وَمَنْهَاةٌ لِلْإِثْمِ 

Daripada Abu Umamah dari Rasulullah SAW bahawa baginda bersabda: "Hendaknya kalian melakukan solat malam kerana solat malam adalah amalan kebiasaan orang-orang soleh sebelum kalian, dapat mendekatkan kepada Tuhan kalian, menghapus keburukan, serta mencegah dosa." (Sunan Tirmidzi No: 3472) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Solat malam atau qiamullail adalah amalan orang-orang yang soleh. Allah SWT memuji para hamba-Nya yang soleh yang sentiasa melakukan solat malam seperti tahajud dan witir.

كَانُوا قَلِيلًا مِنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

“Mereka sedikit tidur di waktu malam; dan di akhir-akhir malam mereka memohon keampunan (kepada Allah).” [Adz-Dzaariyaat/51: 17-18]

2.  Solat malam adalah amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, sebagai makanan roh membina kekuatan dalaman diri setiap Muslim. Allah SWT memberikan ganjaran yang besar bagi mereka yang melakukannya dengan penuh ikhlas dan tawaduk, kerana pada waktu malam, ketika manusia lain tidur, seorang hamba yang bangun untuk beribadah menunjukkan pengabdian dan keikhlasan hati untuk berdoa dan bermunajat kepada Allah.

3.  Solat malam boleh menghapuskan keburukan atau kesalahan serta dosa.

4.  Kebiasaan melakukan solat malam dapat menjadi penolong bagi seseorang dalam menjaga dirinya dari terjerumus dalam dosa, kerana dalam keadaan hening dan sepi di malam hari, seorang hamba lebih mudah untuk merenung dan mengingati Allah.

Peruntukkanlah sedikit waktu pada waktu malam sebelum solat subuh untuk melakukan solat sunat malam agar ia menjadi sebahagian dari kebiasaan kita sepertimana kebiasaan amalan orang yang soleh.

15hb Syaaban 1446H
14hb Februari 2025

Wednesday, 12 February 2025

Malam Nisfu Syaaban

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malam Nisfu Syaaban

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.

2.  Malam Nisfu Syaaban juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang melakukan syirik dan bermusuhan sesama Muslim.

3.  Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana  Nabi SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi', baginda bersabda: " Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?" saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah ta'ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing." (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif

4.  Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).

5.  Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.

Hadis ini mengajarkan kita mengenai keistimewaan malam pertengahan Sya'ban sebagai malam pengampunan. Allah SWT memberi kesempatan untuk hamba-Nya yang bertaubat untuk mendapatkan ampunan-Nya, kecuali bagi mereka yang melakukan syirik atau memutuskan hubungan dengan sesama. Oleh itu, kita harus senantiasa menjaga keimanan, memperbaiki hubungan dengan sesama, dan memanfaatkan waktu-waktu istimewa untuk memohon ampunan Allah. Malam Nisfu Sya'ban adalah peluang yang berharga untuk mendekatkan diri kepada Allah dan mendapatkan rahmat serta pengampunan-Nya.

14hb Syaaban 1446H
13hb Februari 2025

Tuesday, 11 February 2025

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

Asssalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash berkata; bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya." Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa; “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!” (HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1. Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.

2. Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara kebaikan atau kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yang ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara. 

3. Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah. Allah memalingkan hati manusia tersebut sesuai dengan kehendak-Nya. Imam Nawawi menyebutkan: Allah membolak-balikkan hati seseorang sekehendak-Nya.

4. Setiap Muslim dituntut agar sentiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat). Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.

5. Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.

6. Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.

Hendaklah setiap kita sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar terus diteguhkan hati dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.

13hb Syaaban 1446H
12hb Februari 2025

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...