Wednesday, 31 March 2021

AMALAN PINTU KEBAIKAN

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Pintu Kebaikan
 
عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ 

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari. (Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka” (H.R. Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan  Syaaban ini yag berbaki ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka. 

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah wabak Covid 19. 

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma. (Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita. Ambillah kesempatan bermunajat dan berdoa di malam hari agar Allah mengangkat musibah wabak Covid 19 yang telah lebih setahun melanda.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail. 

01hb April 2021
18hb Syaaban 1442H

Tuesday, 30 March 2021

PERUMPAMAAN MUKMIN DALAM SEBUAH KAPAL

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perumpamaan Mukmin Di dalam Sebuah Kapal

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ قَالَ سَمِعْتُ عَامِرًا يَقُولُ سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنْ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا

Telah menceritakan kepada kami Abu Nu'aim telah menceritakan kepada kami Zakariyya' berkata, aku mendengar 'Amir berkata, aku mendengar An-Nu'man bin Basyir ٌdari Nabi ٍSAW bersabda: "Perumpamaan orang yang mematuhi dan melanggar  batas-batas hukum Allah adalah seperti suatu kaum yang mengundi untuk menentukan kedudukan masing-masing yang belayar di dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila mereka  yang berada di bahagian bawah ingin mendapatkan air, mereka melalui tempat orang yang berada di bahagian atas. Lalu mereka berkata sesama mereka: "Jika kita melubangi tempat kita, nescaya kita tidak akan mengganggu orang yang berada di atas.  Sekiranya orang yang berada di atas membiarkan saja apa yang dilakukan orang yang di bawah itu maka mereka semua akan binasa. Namun jika mereka mencegah dengan tangan mereka maka mereka akan selamat semuanya".(HR Bukhari No: 2313) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mungkar yang dilakukan oleh individu dalam masyarakat dan negara akan memberi saham yang mengugat keselamatan masyarakat dan negara tersebut.

2.  Perumpamaan hidup bermasyarakat juga bernegara seperti berada dalam satu kapal yang sedang belayar.

3.  Jika dibiarkan orang yang berada ditingkat bawah menebuk lubang hanya kerana ingin mudah mendapat air, mudaratnya akan ditanggung oleh seluruh penghuni isi kapal.

4.  Berusahalah mencegah maksiat dan mungkar yang berlaku, agar azab Allah tidak menimpa kepada semua (termasuk atas orang yang baik).  

Berusahalah mencegah kemungkaran yang berlaku di dalam KAPAL yang kita sedang naiki. 

Firman Allah:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan  (Taubah:  71)

Jangan biarkan orang menebuk kapal yang kita naiki (melakukan mungkar) tanpa usaha mencegah dari setiap kita. Apabila mungkar berleluasa,  musibah yang diturunkan tidak mengenal orang baik mahupun jahat.

31hb Mac 2021
17hb Syaaban 1442H

Sunday, 28 March 2021

PESANAN ROH DIDENGARI OLEH SEISI LANGIT DAN BUMI

▪️PESANAN ROH AKAN DIDENGAR SEISI LANGIT
     DAN BUMI .

*Apabila roh keluar dari jasad, ia akan berkata-kata dan seluruh isi alam sama ada di langit atau bumi akan mendengarnya kecuali jin dan manusia. 

Apabila mayat dimandikan, lalu roh berkata:
"Wahai orang yang memandikan, aku minta kepadamu kerana Allah untuk melepaskan pakaianku dengan perlahan-lahan sebab pada saat ini aku beristirahat daripada seretan malaikat maut." 

Selepas itu, mayat pula bersuara sambil merayu: 
"Wahai orang yang memandikan, janganlah engkau menuangkan airmu dalam keadaan panas. Begitu juga jangan menuangnya dengan air yang dingin kerana tubuhku terbakar apabila terlepasnya roh dari tubuh." 

Apabila dimandikan, roh sekali lagi merayu:
Dari Allah kita datang, kepada Allah kita kembali
"Demi Allah, wahai orang yang memandikan jangan engkau menggosok aku dengan kuat sebab tubuhku luka-luka dengan keluarnya roh" . 

Setelah dimandi dan dikafankan, telapak kaki mayat diikat dan ia pun memanggil-manggil dan berpesan lagi supaya jangan diikat terlalu kuat serta mengafani kepalanya kerana ingin melihat wajahnya sendiri, anak-anak, isteri atau suami buat kali terakhir kerana tidak dapat melihat lagi sampai Hari Kiamat. 

Sebaik keluar dari rumah lalu ia berpesan: 
"Demi Allah, wahai jemaahku, aku telah meniggalkan isteriku menjadi balu. Maka janganlah kamu menyakitinya. Anak-anakku telah menjadi yatim dan janganlah kalian menyakiti mereka. 

Sesungguhnya pada hari ini aku telah keluar dari rumahku dan aku tidak akan dapat kembali kepada mereka buat selama-lamanya." 

Sesudah mayat diletakkan pada pengusung, sekali lagi diserunya kepada jemaah supaya jangan mempercepatkan mayatnya ke kubur selagi belum mendengar suara anak-anak dan sanak saudara buat kali terakhir. 

Sesudah dibawa dan melangkah sebanyak tiga langkah dari rumah, roh pula berpesan: 
"Wahai kekasihku, wahai saudaraku dan wahai anak-anakku, jangan kamu diperdaya dunia sebagaimana ia memperdayakan aku" 

Semoga kita semua beroleh rahmat dan keampunan dari Allah agar matinya kita nanti di dalam Husnul Khotimah.

Aamiiin...🤲

Wallahu'alam Bissawab.

Kredit Kepada Penulis Asal. 

#FbIlmuDuniaDanAkhirat 
Copypaste

Saturday, 27 March 2021

TABUNG DIRI

#TabungDiri 

MACAM BIASA TETAPI BAHAYA

1. Seorang sahabat bertanya : “Berapa gajimu sekarang disini?”, 
Maka dia menjawab: “Cuma RM1200 sahaja”
“La banyak tu sahaja, cukup ker nak hidup di bandar besar nie?”
Sejak saat itu, sahabat kita mula membenci pekerjaan yang dia suka dan bahagia selama ini. Ketika dia meminta dari majikan untuk dinaikkan gaji dan ditolak hingga akhirnya dia diberhentikan kerja dan tiada pendapatan hingga kini. 

2. Ketika undangan seorang saudara dekat kita bertanya: “Wah, makin ramai ya anak kau ya Jemah, tak sempit ka rumah macam nie?”. 
Rumah yang selama ini kita rasa lapang dan bahagia mula rasa sempitnya. 
Kebahagian rumah tanpa hutang kita mula memikirkan untuk beli kediaman yang lebih besar dengan hutang besar yang baru. kita mula hilang rasa bahagia dari kediaman kecil kita.

3. Bapa saudara datang berkunjung untuk melihat adiknya yang baru melahirkan anak kecil: “Dapat hadiah apa kali ini dapat anak baru nie?” “Tak da lah bang” Jawab adiknya pendek sahaja. 
Maka bapa saudara ini berkata; “Takkan lah tak kasi apa apa, pakcik baru hadiahkan makcik kau sempena habis kelas mengaji dengan gelang bunga ketum baru baru nie”.

Bila petang sang suami pulang, sang isteri mula masam muka memikirkan dia tidak beruntung bernikah selama ini, sejak itu mula jadi sensetif dan rasa tidak dihargai. 

Bila sedikit pergaduhan berlaku akhirnya membawa kepada penceraian. 
Dari mana puncanya? 
Dari pertanyaan sederhana saudara kita sendiri akhirnya. 

4. Seseorang bertanya kepada pasangan ibubapa yang tua di kampung: “Berapa lama dah anak kau tak balik nie Musalmah?” “dah masuk 3 bulan tak boleh balik nie Rosmah”. 

 Maka yang bertanya sambung lagi; “ish anak anak aku balik jer tiap tiap bulan waktu PKP ini. Pandai pandai la diorang cipta alasan dan cari jalan”.
Maka hati ibubapa tua ini menjadi sempit, mula membanding bandingkan anaknya dengan anak tetangganya tadi. 
Dari dia redha selama ini,  akhirnya dia mula berasa sedih sebab anak tak hargai dan mula rasa sakit sebab banyak bersedih hati. 

Kawan kawan yang mulia, 
Apa sebenarnya keuntungan yang kita dapat ketika kita bertanyakan persoalan ini?
Jagalah diri dan janganlah mencampuri urusan  kehidupan orang lain. Jangan kecilkan dunia orang berdasarkan kacamata kita. 
Kita akan menjadi ejen kerosakkan dimuka bumi ini, tanya diri kita apakah kita sedang menjadi api yang menyalakan sumbu pelita kemusnahan pada orang lainnya. 

 Setiap dari kita ada neraca bahagia yang berbeza beza, raikan perbezaan ini kawan kawan.

MALAM NISFU SYAABAN

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malam Nisfu Syaaban

عَنْ مُعَاذِ بن جَبَلٍ عَن ِالنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:"يَطَّلِعُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى خَلْقِهِ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ"

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Allah mendatangi makhlukNya pada malam Nisfu Syaaban. Dia mengampuni makhluk kecuali orang musyrik (berbuat syirik) dan yang bermusuhan (HR Tobrani No: 16639) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban memiliki kelebihan tersendiri dimana merupakan bulan yang Rasulullah SAW paling banyak berpuasa sunat di dalamnya.

2.  Malam Nisfu Syaaban juga terdapat kelebihan dan keutamaan bagi mereka yang beribadat dengan diberikan keampunan kecuali kepada mereka yang syirik dan bermusuhan sesama mereka.

3.  Digalakkan kita memperbanyakkan ibadat dan memohon keampunan kerana  Nabi SAW bersabda:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ فَقَدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْلَةً فَخَرَجْتُ فَإِذَا هُوَ بِالْبَقِيعِ فَقَالَ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَنْزِلُ لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعْرِ غَنَمِ كَلْبٍ

Daripada 'Aisyah RA dia berkata, Pada suatu malam saya kehilangan Rasulullah SAW, lalu saya keluar, ternyata saya dapati baginda sedang berada di Baqi', baginda bersabda: " Apakah kamu takut akan dizalimi oleh Allah dan Rasul-Nya?" saya berkata, wahai Rasulullah, saya mengira tuan mendatangi sebahagian isteri-isterimu, baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah ta'ala turun ke langit dunia pada malam pertengahan bulan Syaaban, lalu mengampuni manusia lebih banyak dari sejumlah bulu kambing." (HR Tirmizi No:670) Status: Hadis Daif

4.  Ibnu Rajab mengatakan, berkaitan dengan malam nisfu Syaaban, para tabi’in penduduk Syam, seperti Khalid bin Ma’dan, Mak-hul, Luqman bin Amir, dan beberapa tabi’in lainnya memuliakannya dan bersungguh-sungguh dalam beribadah di malam itu” (Lathaiful Ma’arif, hlm. 247).

5.  Ulama bersetuju tidak ada jenis ibadat yang dikhususkan pada malam tersebut seperti tidak ada solat Nisfu Syaaban 100 rakaat, tiada doa-doa khusus atau bacaan-bacaan khusus. Namun boleh sahaja untuk kita melaksanakan solat sunat malam juga mempelbagaikan doa dan zikir.

Marilah kita merebut peluang memperbanyakkan ibadat dengan solat sunat, zikir, membaca al-Quran, selawat, doa dan memohon keampunan setiap waktu dan masa. Khususnya di waktu musibah Covid 19 yang masih belum reda ini kita mohon agar dijauhkan dan diangkat musibah ini.

28hb Mac 2021
14hb Syaaban 1442H

Thursday, 25 March 2021

PUASA HARI PUTEH

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Hari Puteh (13, 14 & 15) Hijrah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ أَمَرَنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ نَصُومَ مِنْ الشَّهْرِ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ

Daripada Abu Dzarr RA dia berkata; "Rasulullah  SAW  memerintahkan kami agar berpuasa tiga hari Bidh  (Puteh) dalam sebulan iaitu tiga belas, empat belas dan lima belas." (HR Nasai No: 2380) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW paling banyak berpuasa  sunat pada bulan Syaaban. Ada kalanya sebulan penuh, ada juga sebahagian besar daripadanya kecuali beberapa hari.

2.  Antara hari yang digalakkan berpuasa pada setiap bulan hijrah ialah pada pertengahan bulan atau dipanggil puasa hari puteh (13, 14 dan 15 haribulan Hijrah)

3.  Disepanjang bulan Syaaban ini kita digalakkan berpuasa sunat. Ada puasa sunat yang khusus antaranya puasa hari  Isnin dan Khamis juga puasa pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15) yang akan jatuh pada hari Sabtu 27hb Mac, Ahad 28hb Mac dan Isnin 29hb Mac ini.

4.  Berpuasa tiga hari sebulan menyamai ganjarannya sebulan penuh (kerana kebaikan itu digandakan dengan sepuluh kali ganda). Hadis Rasulullah SAW:

مَنْ صَامَ الْأَبَدَ صَوْمُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ الشَّهْرِ صَوْمُ الشَّهْرِ كُلِّهِ

Barangsiapa berpuasa tiga hari dalam satu bulan, sama halnya dengan berpuasa sebulan penuh."  (HR Muslim No: 1967)

Marilah kita merebut peluang melaksanakan ibadah puasa sunat di bulan Syaaban ini. Kita berpuasa sunat Hari-hari Puteh Sabtu, Ahad dan Isnin.

26hb Mac 2021
12hb Syaaban 1442H

Wednesday, 24 March 2021

AKIBAT MELENGAHKAN SOLAT

▪️Akibat Melengahkan Solat. 

*Kita Tetap Dihumban Ke Neraka Walaupun Tidak Pernah Meninggalkan Solat 5 Waktu.

Sekadar renungan dan  peringatan bersama…. 

Para Malaikat menyeretnya melalui orang ramai, menuju ke arah api neraka yang menjulang2. Dia menjerit sekuat hati dan tertanya2 jika ada mana2 orang yang mampu membantunya.

Dia menjerit lagi sambil menyebutkan semua kebaikan yang telah dia lakukan; bagaimana dia sering membantu ibu bapanya. Bagaimana dia tidak pernah tinggal puasanya, tidak pernah tinggal solatnya, selalu bersedekah dan rajin membaca al-Quran.

Dia terus menjerit lagi, namun tiada seorangpun tampil membantunya. Para malaikat terus mengheret dia. Dan… mereka semakin hampir dengan kawah api neraka. Dia menoleh ke belakang dan ini rayuannya yg terakhir. Dia teringat…

Tidak! Rasulullah SAW pernah bersabda;

“Bagaimana bersih seseorang yang mandi di sungai lima kali sehari dari kotoran, begitu juga bersihnya orang yang melaksanakan solat lima kali seharian daripada dosa2 mereka”

Dia menjerit lagi sekuat tenaga:

“Solat saya? Solat saya? Doa saya?”

Kedua-dua malaikat tidak berhenti, dan terus mengheretnya ke tepi jurang neraka. Bahang api neraka yang membahang terasa menyambar mukanya. Dia menoleh ke belakang sekali lagi, tetapi matanya telah kering dari sebarang harapan dan dia tidak mempunyai apa-apa lagi yang tinggal di dalam dirinya.

Salah satu malaikat menolak dia masuk ke kawah neraka Jahannam. Dia mendapati dirinya terawang di udara dan sedang jatuh ke dalam kawah api. Dia mandapati dirinya terus melayang dan akhirnya jatuh ke dalam kawah api neraka yg menjulang tinggi selama 70 tahun.

Setelah 70 tahun sengsara dibakar api, tiba2 terasa tangannya diraih oleh satu lengan. Dia ditarik kembali ke atas. Apabila dia mengangkat kepalanya, dia melihat seorang lelaki yang sangat tua dengan janggut putih yang panjang memegang tangannya.

Lelaki itu kelihatannya sangat daif. Sambil menyapu debu di tubuhnya dia bertanya lelaki tua itu:

“Siapakah anda?”

Orang tua itu menjawab: “Aku lah solat anda”

“Mengapa kamu begitu lewat bantu saya? Wahai solatku, saya telah terjunam ke dalam neraka selama 70 tahun! Kenapa setelah tubuh saya hangus dan hampir berkecai baru kamu datang selamatkan saya?? Kenapaaa…?.”

Orang tua itu tersenyum sambil menggelengkan kepalanya, dan berkata:

“Adakah awak lupa? Selama hidup di dunia dulu awak sentiasa laksanakan saya pada saat-saat akhir!!” “Setiap kali Maghrib awak beri tumpuan pada drama tv dulu..

“Zuhur awak lewat. Awak utamakan kerja dari saya. Asar dan Subuh selalu di hujung waktu. “Awak ingatkah itu semua??”

Jerkahan lelaki tua itu mengejutkannya dari tidur…Dia terjaga dan mengangkat kepalanya dari tidur. Seluruh tubuhnya basah oleh peluh ketakutan…

Ketika itu juga dia mendengar laungan azan dikumandangkan menandakan masuknya waktu Solat Subuh.Dia bangun dengan cepat dan mengambil wudhu. Dia berjanji tidak akan melengahkan solat lagi. Dia sedar kesalahannya kini. Dia telah mendapat petunjuk yang maha benar.

Kongsikan kisah ini kepada keluarga dan kawan2 anda. Mungkin anda boleh membantu mereka agar tidak melengah2kan solat lagi….

[ Petikan dari ceramah Ustaz Faqih Razak di Masjid Tanjung Piandang ]

Kredit kepada Penulis Asal.

Copypaste#ILMUDUNIADANAKHIRAT

JANGAN BIARKAN MUNGKAR TANPA MENCEGAH

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Biarkan Mungkar Tanpa Mencegah

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَتْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِذَا ظَهَرَتْ الْمَعَاصِي فِي أُمَّتِي عَمَّهُمْ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَذَابٍ مِنْ عِنْدِهِ فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَا فِيهِمْ يَوْمَئِذٍ أُنَاسٌ صَالِحُونَ قَالَ بَلَى قَالَتْ فَكَيْفَ يَصْنَعُ أُولَئِكَ قَالَ يُصِيبُهُمْ مَا أَصَابَ النَّاسَ ثُمَّ يَصِيرُونَ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ

Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi SAW berkata; aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Apabila kemaksiatan telah bermaharajalela pada umatku, maka Allah akan mengirim azab dari sisi-Nya secara umum." Aku bertanya; "Wahai Rasulullah! Bagaimana bila pada hari itu terdapat orang-orang soleh?" baginda menjawab: Ya, ikut tertimpa azab.” Ummu Salamah bertanya, “Lalu bagaimanakah nasib mereka selanjutnya?” Rasulullah SAW bersabda, “Orang-orang soleh itu ikut tertimpa azab yang menimpa kaumnya, kemudian mendapat ampunan dan reda dari Allah. (Musnad Ahmad No: 25382)

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu berperanan untuk mengajak anggota masyarakat yang lain melakukan amal soleh dan mencegah mereka daripada melakukan maksiat dan kejahatan.

2.  Kesolehan individu sahaja tidak mencukupi untuk selamat daripada azab Allah di dunia melainkan perlu berperanan menjadi musleh (agen merubah masyarakat melalui peranan amar makruf nahi mungkar).

3.  Azab Allah akan diturunkan jika maksiat dan kejahatan berleluasa tanpa ada usaha mencegahnya walaupun ada dalam kalangan mereka orang-orang yang soleh.

4.  Imam as-Suyuthi menyatakan: Allah memerintahkan kaum Muslim untuk tidak membiarkan kemungkaran. Jika tidak, Allah akan meratakan azab kepada mereka baik yang zalim mahupun yang tidak.

إِنَّ اللهَ لاَ يُعَذِّبُ الْعَامَةَ بِعَمَلِ الْخَاصَةِ حَتَّى يَرَوْا الْمُنْكَرَ بَيْنَ ظَهْرَانِيْهِمْ وَهُمْ قَادِرُوْنَ عَلَى أَنْ يُنْكِرُوْهُ فَلاَ يُنْكِرُوْهُ فَإِذَا فَعَلُوْا ذَلِكَ عَذَّبَ اللهُ الْعَامَةَ وَالْخَاصَةَ

Sesungguhnya Allah tidak akan menyiksa masyarakat umum kerana perbuatan orang-orang tertentu hingga masyarakat umum melihat kemungkaran di hadapan mereka sedang mereka mampu mengingkarinya tetapi mereka tidak mengingkarinya. Jika mereka berbuat demikian maka Allah akan menyiksa masyarakat umum dan orang-orang tertentu itu. (HR Tobrani No: 13788) 

Semoga Allah memberi kepada kita kekuatan untuk mencegah kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita.

25hb Mac 2021
11hb Syaaban 1442H

Monday, 22 March 2021

PEMIMPIN YANG ADIL

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Adil

حَدَّثَنَا فُضَيْلٌ عَنْ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَقْرَبَهُمْ مِنْهُ مَجْلِسًا إِمَامٌ عَادِلٌ وَإِنَّ أَبْغَضَ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَشَدَّهُ عَذَابًا إِمَامٌ جَائِرٌ

Telah menceritakan kepada kami Fudhail dari 'Athiyyah dari Abu Sa'id ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah 'azza wajalla pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dari Allah adalah seorang pemimpin yang adil, sedangkan orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaannya adalah pemimpin yang zalim." (HR Ahmad No:10745) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduk di sisi Allah ialah pemimpin yang adil.

2.  Pemimpin yang adil adalah satu  daripada tujuh golongan yang mendapat naungan di padang mahsyar. Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَوْ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ ....

Dari Abu Hurairah atau dari Abu Sa'id, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil…  (Hadis Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

3.  Syarah Musim: Imam ialah orang yang yang diserahkan padanya urusan dan maslahah umat Islam termasuk pegawai dan pemerintah. Dalam Sunan Tirmizi: Imam yang adil disebut sebagai golongan terawal mendapat perlindungan di Padang Mahsyar kerana kepentingan dan faedahnya kepada umat.

4.  Keistimewaan ini hanya diberi kepada mereka yang adil dalam perkara yang diamanahkan sama ada mereka itu khalifah, imamah, hakim, ketua jabatan, pegawai kerajaan, penjaga anak yatim juga dalam perkara yang wajib ke atasnya, keluarga dan lainnya.

5.  Ibn Hajar berkata: Imam yang dicintai Allah dalam hadis ini adalah orang yang mempunyai tanggungjawab terbesar mengendalikan urusan umat Islam dan ia berlaku adil padanya.

6.  Orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaan untuknya adalah pemimpin atau penguasa yang zalim dan menzalimi rakyat atau orang bawahannya.

7.  Ayuh, setiap kita yang diberi tanggungjawab mengurus umat ini, jangan sesekali berbuat zalim dengan tidak melaksanakan amanah yang diberi  atau berlaku cuai ketika melaksanakannya seperti rasuah, pecah amanah, pengadilan terpilih, racis, melakukan penipuan, membohongi rakyat dll. 

Berusahalah mewujudkan tadbir urus yang baik melalui kepimpinan yang adil dan berintegriti.

23hb Mac 2021
09hb Syaaban 1442H

Saturday, 20 March 2021

REZEKI ; KITA SERING TERLEPAS PANDANG

KITA SERING TERLEPAS PANDANG

"Mak Su, ni tengah hari ni semua orang makan apa?" tanya saya kepada sedara saya di rumah beliau yang ada kematian ahli keluarga. 

Mak Su jawab, "Ish... Orang mati ni boleh makan ka?"

Saya pun jawab lah, "Orang mati tak boleh makan dah. Tapi kita yang hidup ni kena makan..."

Mak Su jawab, "Tak tahu lah....."

Jam menunjukkan 11 pagi. Tengah hari dah tak lama. 

Saya pun cakap lah kat Mak Su, tak pa lah. Saya pi beli nasi dan lauk sekejap di luar, bungkus bawa balik mai sini. 

Kira-kira sedara mara yang ada, kesemuanya sekitar 40 orang. 

Jadi saya terus keluar dan belikan Nasi Ayam 50 bungkus. 

Saya sekadar berkongsi apa yang saya perhatikan. 

Sebenarnya, bila berlaku kematian dalam sesebuah keluarga. Kadang kadang, ahli keluarga terlepas pandang bab makan kerana mereka memikirkan bab pengurusan jenazah. 

Jadi, adalah menjadi TANGGUNG JAWAB JIRAN dan SAUDARA MARA LAIN untuk SEDIAKAN MAKANAN BUAT TUAN RUMAH.

Ini yang Islam ajar. 

Selepas saya balik, saya belikan nasi ayam dan 2 kotak air botol 500ml.

Ya la, dah makan mesti nak minum.

Kita kena fikir siap semua tu. Even though ada air kosong dirumah si mati, tapi kadang kadang susah nak diuruskan. 

Air botol akan memudahkan ahli keluarga yang balik ke rumah untuk minum. 

Seperti dijangka, sekitar jam 12.00 ahli keluarga mula lapar. Dan mereka mula mencari nasi.

Alhamdulillah, syukur. Nasi semua dah ready. 

Dan saya tengok, semua mereka dapat mengisi perut mereka yang kelaparan.

Percayalah, pada hari kematian ahli keluarga. Waris ramai terlupa bab makan.

Sebab tu kita kena "PEKA" bab ni. 

Ini bukan kali pertama saya menjadi "WONDERPET" bab makan di rumah ahli keluarga yang ada kematian. 

Ada sekali, sedara saya yang sangat kaya. Jutawan. Ada ahli keluarga meninggal dunia. Saya tengok mereka lupa bab makanan tengah hari kerana sibuk uruskan jenazah.

Saya nak pi beli makanan. Tapi ada sedara lain yang kata. "Rileks, tak yah kalut. Depa kaya. Depa tau la uruskan sendiri..."

Pada waktu macam ni, ada juga orang berfikiran macam ni.

Saya cakap, "Tak pa, dalam Islam. Islam bukan kata kalau dia kaya kita tak perlu bagi makan. Islam kata, kalau ada kematian, kita yang datang perlu bagi makan kepada keluarga mereka."

Saya keluar dan pergi beli makan bungkus, kemudian diam-diam letak di dapur rumah mereka.

Habis kebumi jenazah jam 11 pagi,  semua balik rumah dan lapar. Baru teringat bab makan. Dan nampak makanan semua dah tersedia di dapur.

Apa lagi, semua dok bising. "Sapa beli, sapa beli ni...?"

Saya dengar dari kejauhan, diam diam ja.

Sampai lah, depa punya curious nak tahu. Depa mai tanya saya. Saya jawablah, "Sayalah yang beli..."

Mereka kata, "Terima kasihlah beli makanan untuk kami. Hang pikiaq benda yang kami tak sempat nak pikiaq. Kalau tak semua kelaparan sekarang ni...."

Kes kedua, jiran saya pula. 

Saya nampak mereka kalut, jadi saya pergi kedai beli nasi untuk ahli keluarga mereka. Pun saya diam diam saja kali ni. Tak bagi tahu. 

Macam biasa, bila time makan. Makan dah ready. Mereka tertanya-tanya siapa yang beli dan bagi.

Selepas jenazah selamat diuruskan, pada waktu petang. Jiran datang ke rumah.

Ucap terima kasih kerana bantu. Mereka tanya, "Tahu tak siapa beli nasi dan lauk tu? Tiba tiba ada lauk ja di rumah?"

Saya cakaplah, "Saya yang beli..."

Mereka terharu.

Bermula dari situ, saya bagi tahu AJK Surau saya, jika ada kematian ahli qariah, surah wajib sediakan makan untuk ahli keluarga.

Bajet RM100-RM150 untuk sekali makan. Bergantung bilangan ahli keluarga yang ada.

Benda macam ni nampak simple tuan tuan. Tapi tak ramai yang nak dan sanggup buat.

Saya kongsikan benda macam ni supaya ia menjadi pengajaran kepada kita semua.

Benda yang baik, kita kongsikan. 

Saya tahu, ramai di kalangan rakan FB saya yang ada limpahan rezeki lebih.

Cuma, jom kita jadi lebih prihatin dalam situasi sebegini.

Semoga kisah ini menjadi pengajaran buat kita semua.

Kematian bukan berlaku hari hari, tapi bila ia berlaku. Tampilkan diri kita untuk buat tindakan yang sewajarnya.

Percayalah, "Tuan rumah akan sangat berterima kasih kepada anda...."

"Kita kena ingat apa yang mereka "terlupa" waktu mereka dalam kesulitan..."

Dan jangan risau bab duit yang kita keluarkan tu. Anggaplah ia sebagai sedekah dari kita buat mereka.

Dan sekadar nak kongsikan, pagi tu saya belanja sekitar RM250 untuk beli semua nasi dan air.

Petang tu, Allah berikan rezeki yang berlimpah ruah kepada saya.

Jangan takut untuk bersedekah ye.

Jika anda rasa apa saya katakan ini tak betul, tunggu nanti. Bila ada kematian dalam keluarga anda. Then anda akan faham apa saya maksudkan. Even kita "kaya" pun, kadang kadang otak kita terlupa fikir bab ni. 

Sila SHARE Jika Anda Rasa Kisah Ini Bermanfaat

Copy&Paste

#lazimiistighfar&selawat

۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞
۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞
۞ اَللهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ۞

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...