Sunday, 30 May 2021

KISAH LALU ERDAGON

Presiden Turki, Erdogan berkata:

Ketika saya masih kecil, saya sangat ego (hagah), selalu mengambil yang terbaik untuk diri saya sendiri.

Perlahan-lahan, semua orang meninggalkan saya dan saya tidak punya ramai kawan.

Tidak terfikir itu salah saya tetapi saya mengkritik dan menyalahkan orang lain.

Ayah saya telah memberi saya 3 kalimat pengajaran dan beberapa pilihan untuk membantu saya dalam hidup.

Pada suatu hari, ayah masak 2 mangkuk mee dan letak atas meja, semangkuk ada telur dan 1 lagi tiada.

Ayah berkata, "Anakku, pilih, mangkuk mana yang kamu nak".

Untuk pengetahuan, masa itu telur susah nak dapat.
Hanya boleh makan telur semasa adanya Temasya Tahun Baru Islam. Pasti saya pilih yg ada telur.

Ketika makan, saya rasa cukup bijak kerana pilih yg ada telur, tapi saya terkejut melihat mangkuk ayah ada 2 telur dibawah mee.

Saya sangat menyesal, marah pada diri sendiri kerana telah salah pilih.

Ayah tersenyum dan berkata; "Anakku, kamu harus ingat, apa yg kamu lihat, mungkin tidak benar, jika kamu berhasrat ingin beruntung dari orang lain, kamu akan menemui kegagalan dan kecewa....

Keesokan harinya, ayah masak 2 mangkuk mee spt biasa, semangkuk ada telur di atasnya, semangkuk lagi tiada, kemudian suruh pilih.

Kali ini saya rasa bijak buat pilihan yg mana saya pilih yg tiada telur namun terkejut bila mendapati tiada 1 pun telur dibawahnya.

Ayah saya tersenyum faham dan berkata...
"Anakku, kamu tidak harus selalu bergantung pada pengalaman, kerana ianya boleh mengucar-kacir dan mengecewakan hidupmu dan selalu tertipu. Tetapi kamu tidak boleh terlalu sugul dan bersedih. Ini merupakan pengajaran buat kamu. Kamu tidak akan dapat pengajaran seperti ini di sekolah hingga ke universiti.

Hari ketiga, ayah masak mee lagi, semangkuk ada 2 telur dan semangkuk lagi tiada dan suruh saya pilih.

Kali ini, saya suruh ayah pilih dulu kerana ayah adalah kepala keluarga yang pasti memilih yg ada telur dan saya ingin melepaskan mee yg ada telur kepada ayah, tidak
mengapa saya dapat yg tiada telur. Ayah telah pilih yg ada telur.

Ketika makan saya menjangkakan pasti mangkuk saya tiada telur, tapi rupa2 ada 3 telur dibawah.

Ayah tersenyum faham riak muka saya dan berkata;
"Anakku, harus ingat, ketika kamu berniat memberikan yg terbaik kepada orang lain, kebaikkan itu akan kembali kepada kamu".

Saya selalu ingat 3 untaian kalimat nasihat ayah dan hidup saya selalu melakukan sesuai nasihatnya.

Dan... Alhamdulillah saya berjaya.

Sebab, jika ada iri hati/dendam dan mementingkan diri sendiri, di situ ada kekacauan dan semua jenis kejahatan.

Copypaste#

Saturday, 29 May 2021

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Orang Lain

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Orang Lain

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak beriman  (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri". (Sahih Bukhari, no: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:  

1.  Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mengasihi sesama Muslim dengan memuliakan, menghormati dan menyayangi mereka.

2.  Jika kita suka diri mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mengasihi saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama. Ia adalah tanda kesempurnaan iman.

3.  Jika kita suka memperolehi nikmat dunia kita juga sewajarnya suka agar saudara muslim yang lain juga memperolehinya.

4.  Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.

5.  Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini  begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.

6.  Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:
إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara” (al-Hujurat: 10)

7.  Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.

Semoga Allah memberikan kita taufik untuk berkasih sayang sesama saudara kita yang beriman sebagaimana kita suka mendapatkan hal yang sama walau dimana mereka berada. 

30hb Mei  2021
18hb Syawal 1442H

Friday, 28 May 2021

Mengasihi Sesama Muslim Tuntutan Iman

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mengasihi Sesama Muslim Tuntutan Iman

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, Nabi SAW, bersabda: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”. (HR Bukhari No: 12 ) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengasihi sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Menyayangi dan mengasihi saudara Muslim yang lain walau dimana mereka berada, bangsa apapun mereka adalah antara kriteria sifat berukhuwah dan tanda kesempurnaan iman seseorang.

3.  Ibn Qayyim menyatakan kasih sayang dalam berukhuwah:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain
b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Dalam suasana PKP ini, ada orang yang dijangkiti virus Covid 19 dan tidak kurang mereka yang walaupun tidak dijangkiti virus namun terkesan dan melalui pelbagai kesusahan dan keperitan. Adakah kita memiliki sifat ukhuwah dan sanggup bersusah payah demi mereka?

5.  Saudara kita di Palestin yang melalui kesusahan dan keperitan mempertahankan bumi para anbiya dan Masjidil Aqsa dengan darah dan nyawa. Adakah kita juga turut merasainya dengan bersusah payah membela dan membantu mereka?

6.  Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan berkasih sayang sesama kita. 

Mari kita saling membantu agar saudara Muslim kita mendapat kebaikan dan kebahagiaan seperti mana kita juga memperolehinya. Buktikan kesempurnaan iman kita dengan saling berkongsi senang dan susah.  

29hb Mei  2021
17hb Syawal 1442H

Thursday, 27 May 2021

Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏  لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلاَّ إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صلى الله عليه وسلم وَمَسْجِدِ الأَقْصَى ‏.‏

 Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW (Masjid Nabawi) dan masjid al-Aqsa”. (HR Bukhari No: 1189) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Masjid adalah tempat yang mulia untuk dikunjungi dan menjadi tempat untuk beribadat.

2.  Tiga buah masjid yang disuruh agar bersusah payah bermusafir padanya bagi tujuan ibadah ialah Masjid al-Haram, Masjid al-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.

3.  Masjid Al-Aqsa merupakan kiblat para Nabi dan kiblat terawal umat Islam serta salah satu masjid yang sangat digalakkan untuk diziarahi dan menunaikan solat didalamnya. Malangnya sejak penguasaan rejim zionis ke atas Baitul Maqdis, kesucian Masjid al-Aqsa sering diceroboh. Pelbagai usaha dilakukan oleh rejim untuk menafikan hak umat Islam terhadap Masjid al-Aqsa.

4.  Walaupun kita tidak berpeluang untuk menziarahi Masjid al-Aqsa, kita masih bertanggungjawab untuk membantu umat Islam di Palestin yang menjadi benteng terakhir mempertahankan Masjid al-Aqsa dalam apa juga bentuk seperti doa dan sumbangan harta. Rasulullah SAW ditanya oleh Maimunah (pembantu Rasulullah SAW):

يا رسولَ اللَّهِ أفتِنا في بيتِ القُدُسِ قال ائتوهُ فصلُّوا فيهِ قالَتْ كيفَ والرُّومُ إِذ ذاكَ فيهِ قال صلَّى اللَّهُ عليهِ وسلَّمَ فإِن لَم تَستَطيعُوا فابعَثوا بِزيتٍ يُسرَجُ في قناديلِهِ

Daripada Maimunah maula Nabi SAW: "Wahai Rasulullah, berilah fatwa kepada kami tentang Baitul Maqdis. Baginda SAW bersabda: "Datangilah ia dan solatlah di dalamnya. Maimunah berkata: "Bagaimana (untuk datang dan solat) dengan keadaan Rom berada di dalamnya? Baginda SAW bersabda: "Jika kamu tidak mampu (untuk pergi ke Baitulmaqdis) kirimlah minyak ke sana untuk dinyalakan lampu-lampunya." (HR As-Sakhawi) Status: Hadis Hasan.

Isu Baitul Maqdis, Masjid al-Aqsa dan Palestin adalah perkara yang berkait dengan Iman. Menjadi kewajipan setiap orang Islam mengambil cakna dan membantu semampu mugkin antaranya memastikan perjuangan dan kehidupan umat Islam Palestin tetap kukuh. 

Menjadi tanggungjawab setiap kita menyalurkan bantuan.

Jom bersama MyCARE  menyalurkan sumbangan ke :
Maybank Islamic Berhad 5515 7500 4299
CIMB Islamic Bank Berhad 8602 135 592

28hb Mei  2021
16hb Syawal 1442H

Tuesday, 25 May 2021

Membela Muslim Yang Dizalimi Akan Terhindar Dari Neraka

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membela Muslim Yang Dizalimi Akan Terhindar Dari Neraka

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَرُدَّ عَنْهُ نَارَ جَهَنَّمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Darda' dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa membela harga diri saudaranya sesama muslim (mempertahankan kehormatan dan maruah), maka sudah menjadi hak Allah untuk menghindarkannya dari neraka pada hari Kiamat." (HR Ahmad No: 26260) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Menjadi kewajipan seorang Muslim mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudaranya yang diketahui seorang yang baik, jika ia dizalimi oleh orang lain.

2.  Sebagai Muslim, apabila kita mengetahui ada dalam kalangan umat Islam di zalimi hak mereka, seperti di Palestin, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mengembalikan kehormatan dan hak mereka dengan apa jua yang kita mampu seperti sumbangan wang ringgit serta doa dari kita.

3.  Orang yang mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudara Muslim yang lain, nescaya Allah akan menghindarkannya daripada api neraka pada hari kiamat.

Marilah kita saling menjaga maruah saudara Muslim kita walau dimana mereka berada dengan apa juga kemampuan yang kita ada. Semoga kita akan dipelihara daripada api neraka di akhirat nanti.

Semoga kita sentiasa tergolong dalam kalangan orang yang perihatin terhadap orang lain, menolong saudara kita yang dizalimi. Jangan sekali-kali kita membiarkannya tanpa pembelaan.

26hb Mei  2021
14hb Syawal 1442H

Saturday, 22 May 2021

Doa Dijauhkan Pelbagai Keburukan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Dijauhkan Pelbagai Keburukan

وَعَنْ قُطْبَةَ بْنِ مَالِكٍ  رضى الله عنه  قَالَ: كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ  صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ اَلْأَخْلَاقِ, وَالْأَعْمَالِ, وَالْأَهْوَاءِ, وَالْأَدْوَاءِ  

Daripada Qutaibah bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca doa: Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat. (Sunan Tirmidzi no 3591) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan agar dijauhi daripada  sesuatu yang buruk.

2.  Dalam kehidupan manusia, pelbagai akhlak buruk, amalan buruk, nafsu buruk, boleh menjadi tabiat kepada seseorang. Begitu juga penyakit berat dan merbahaya boleh menyerang seseorang. 

3.  Rasulullah SAW mengajar kita agar berdoa bagi memohon agar dijauhi daripada perangai yang tidak berakhlak, amal dan pekerjaan yang jahat, nafsu yang buruk serta mendapat penyakit yang berat dan merbahaya. 

4.  Akhlak keji seperti bersifat sombong, hasad, dengki, kedekut, suka berburuk sangka, mengumpat dan sebagainya.

5.  Amal yang mungkar adalah berkaitan dengan anggota tubuh, seperti perbuatan buruk berkaitan lisan dan tulisan, suka mencaci, suka mencela, memukul orang, membunuh, berzina, merompak dan pelbagai dosa besar.

6.  Hawa nafsu yang buruk seperti sombong, bangga diri, ujub dan lain-lain akan menjerumuskan seseorang kepada perkara yang membinasakan, menjadikan seseorang berani untuk melakukan dosa. Firman Allah :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ

Terangkanlah kepadaku bagaimana tentang seorang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya? (QS Al-Jatsiyah: 23)

7.  Penyakit berat yang memudaratkan dan merbahaya seperti jangkitan Covid 19, kanser, HIV, jantung, strok dan sebagainya. 

8.  Marilah kita amalkan doa agar dijauhi akhlak yang keji, amalan yang mungkar, hawa nafsu yang buruk serta penyakit-penyakit yang berat termasuk terhindar dari wabak Virus Covid 19:

اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلاَقِ
وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ وَالْأَدْوَاء

Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat      

23hb Mei  2021
11hb Syawal 1442H

Thursday, 20 May 2021

SEJARAH DAN KISAH BANI ISRAEL

1- Kisah bermula dengan kelahiran Nabi Ibrahim. Baginda AS mempunyai anak bernama Nabi Ishak. Bermula dari Nabi Ishak, lahir kaum Bani Israel.  Nabi Ishak ada anak bernama Nabi Yaakob. Nabi Yaakob pula mempunyai 12 orang anak berdasarkan al-Quran. (Surah Yusuf: 4)

2- 12 orang anak Nabi Yaakob melahirkan 12 suku dari Bani Israel kemudiannya. Antara anaknya adalah Nabi Yusuf AS. Kisah Nabi Yusuf di dalam al-Quran bermula dengan aduan mimpi Baginda AS kepada ayahnya tentang 11 bintang, bulan dan matahari yang tunduk kepadanya.

3- 11 bintang (adik beradik Nabi Yusuf), matahari dan bulan (ibu ayahnya). Adik beradik Nabi Yusuf dengki kepadanya lalu mencampakkannya ke dalam perigi. Dari situ, Nabi Yusuf dikutip oleh pedagang dan dijual ke Mesir. Bermula kisah Bani Israel di negeri Mesir.

4- Nabi Yusuf mendapat posisi penting dalam kerajaan Mesir yang dipimpin oleh puak Hyksos. Baginda AS menjada perbendaharaan negara Mesir. Akhir cerita, seluruh ahli keluarga Baginda AS tinggal bersamanya di negeri Mesir. Adik beradiknya bertaubat. 

5- Nabi Yusuf wafat. Masa berlalu ratusan tahun. Puak Hyksos dikalahkan oleh Ramses I (Firaun). Bermula era pemerintahan kaum Qibti dengan pengenalan nama Firaun. Ketika ini, Bani Israel tinggalan Nabi Yusuf diseksa dan dibunuh akibat mimpi Firaun bahawa kerajaannya akan musnah dari tangan Bani Israel.

6- Lahirlah Nabi Musa. Duduk menetap di istana Firaun. Nabi Musa pernah menumbuk seorang Qibti kerana mempertahankan kaumnya. Nabi Musa diperintahkan berdakwah kepada Firaun. Ditemani oleh adik beradik kandungnya iaitu Nabi Harun.

7- Akhirnya Nabi Musa dan Nabi Harun memimpin Bani Israel keluar dari Mesir sambil dikejar oleh tentera Firaun. Firaun mati tenggelam. Bani Israel terselamat. Mereka menuju ke Palestin dan diarahkan oleh Allah berperang melawan kaum Jabbarin yang membuat kerosakan dalam Palestin.

8- Bani Israel ingkar arahan tersebut, dihinakan oleh Allah. Mereka tidak mempunyai negara seperti sebelumnya. Kemudian, masa berlalu dan lahirlah pula Nabi Daud AS. Kisah Nabi Daud adalah berperang melawan tentera Jalut di Palestin melalui kepimpinan Talut.

9- Nabi Daud berjaya mengalahkan Jalut. Bani Israel masuk ke Palestin dan Talut menyerahkan jawatan penguasa kepada Nabi Daud kerana Baginda dilantik menjadi Nabi. Ketika itu Jerusalem menjadi ibu kota Palestin. Saat ini Bani Israel menjadi mulia.

10- Kemudian, Nabi Daud wafat. Lahirlah pula Nabi Sulaiman AS memimpin Bani Israel. Kerajaan Baginda AS lebih hebat dan besar. Baginda membina masjid untuk Bani Israel. Bani Israel mulia pada zaman ini kerana patuh pada Nabi Sulaiman AS.

11- Setelah Nabi Sulaiman wafat, kerajaannya berpecah dan ditawan oleh Nebuchadnezzar dari Babylon. Saat ini Allah tidak utuskan Nabi untuk mereka. Mereka dihina oleh Babylon dan mereka berpecah dan tersebar ke Afrika, Eropah dan Tanah Arab.

12- Ada yang masih di Palestin. Allah lahirkan Nabi Isa AS di Bethlehem memimpin mereka. Sebahagiannya ingkar dan melakukan percubaan membunuh Nabi Isa. Nabi Isa diangkat oleh Allah. Bani Israel hilang pedoman lagi dan mereka menanti pula Nabi akhir zaman yang disebutkan dalam taurat dan injil. 

13- Mereka melihat tanda Nabi akhir zaman lalu berhijrah ke Yathrib kerana mengkaji tanda-tanda tersebut. Tunggu punya tunggu, Nabi Muhammad lahir dari bangsa Arab. Bani Israel jadi ingkar lalu bermusuh dengan Nabi Muhammad.

14- Zaman Nabi Muhammad, kaum Yahudi dihalau keluar dari Madinah dan Khaibar selepas perang Ahzab dan perang Khaibar. Lalu sekali lagi mereka berserakan di atas dunia seperti ke Eropah dan Afrika. Mereka dihina kerana tidak mengikut Islam.

15- Zaman Saidina Umar, Palestin dibuka oleh umat Islam. Palestin menjadi milik Islam setelah berperang melawan Rom. Waktu ini tiada berita mengenai orang Yahudi. Sejarah dipenuhi dengan pertembungan antara Islam dan Kristian sahaja.

16- Kemudian, Kristian tawan semula Palestin. Lalu lahirlah tokoh Islam bernama Salahuddin al-Ayyubi dari bangsa Kurdi mengalahkan Kristian di Palestin dalam banyak siri peperangan salib. Umat Islam kembali membuka tanah Palestin dan memilikinya dari Kristian. Bukan Bani Israel yang berperang.

17- Sehinggalah zaman moden, Palestin diperintah oleh Islam sehingga zaman Uthmaniyyah. Palestin di bawah kekuasaan Syam pada waktu itu. Uthmaniyyah jatuh dan kalah perang dunia pertama. British dan Perancis buat perjanjian Sykes-Picot bahagikan tanah Islam.

18- Palestin diserahkan kepada British. Tahun 1917, British lakukan deklarasi Balfour dengan menyatakan Palestin diserahkan kepada orang Yahudi. Bermulalah era orang Yahudi bertapak di Palestin. Sebelumnya pada awal tahun 1900, Theodore (Yahudi Zionis) mohon Khalifah jual tanah Palestin untuk langsaikan hutang.

19- Masa berlalu, berlaku peristiwa Nakbah 1948. Imigrasi besar-besaran kaum Yahudi masuk ke Palestin melalui bantuan UK. Mereka mengumpulkan semula orang Yahudi yang bertebaran di Afrika dan Eropah untuk masuk ke Palestin. Populasi mereka meningkat.

20- Sehingga hari ini, pelbagai siri serangan dan perang seperti Yom Kippur telah berlaku kerana untuk menempatkan kaum Yahudi di Palestin. Hakikat sebenar mereka bukanlah kembali kepada tanah yang dijanjikan. Sebaliknya mereka kembali ke dalam kubur yang digali sendiri.

#copypaste#
Abdul Razak Ramli,
18 May 2021.

Tasbih Zikir Menghadapi Musibah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tasbih Zikir Menghadapi Musibah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ‏ كَلِمَتَانِ حَبِيبَتَانِ إِلَى الرَّحْمَنِ  خَفِيفَتَانِ عَلَى اللِّسَانِ ثَقِيلَتَانِ فِي الْمِيزَانِ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ 

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: Dua kalimah yang dicintai Al-Rahman. Ia ringan di atas lidah. Ia berat di atas timbangan. Maha Suci Allah, pujian untukNya. Maha Suci Allah yang Maha Agung. (HR Bukhari No: 7563) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dua kalimah yang dicintai Allah adalah kalimah tasbih:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ 
Maha Suci Allah, pujian untukNya

سُبْحَانَ اللَّهِ الْعَظِيمِ
Maha Suci Allah yang Maha Agung

2.  Kalimah tasbih ini adalah zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW untuk kita lazimi.

3.  Kedua-dua tasbih ini amat mudah untuk diucapkan namun ganjaran timbangannya amat berat.

4.  Imam al-Syafie berkata:  Aku tidak melihat sesuatu yang lebih bermanfaat berbanding tasbih ketika berlakunya wabak. (Hiyatul Awliya' 9:16).

5.  Dalam suasana Negara kita menghadapi penularan wabak Covid 19 yang semakin meningkat ini, marilah kita perbanyakkan zikir tasbih kita.

21hb Mei  2021
09hb Syawal 1442H

BAGUS JUGAK JAWAPAN BEKAS MUFTI SINGAPURA INI..



Ini lah jawapan Fatris Bakaram (bekas Mufti Singapura) apabila ada orang ajukan pertanyaan;

Takut Allah atau takut virus?

Dia menjawab;

Manusia perlu takut kepada Allah, dan di antara bukti takut kepada Allah adalah mematuhi segala perintahNya.

Di antara perintahNya adalah;

1. Mensyukuri nikmat nyawa, tubuh badan dan kesihatan;

2. Memelihara kesihatan, nyawa dan hal mudarat;

3. Taat kepada perintahNya dan ajaran Rasul, yakni menyuruh kita untuk mengelak dari wabak;

Maka, jika benar takut Allah  semua langkah untuk mengelakkan diri dari terkena jangkitan perlu diambil.

Dia turut memberi nasihat;

Takut kepada Allah memerlukan kewarasan akal, bukan dengan membutakan mata hati atau membekukan otak yang dikurniakan tuhan.

Ada yang berkata begini, “Kenapa nak takut, Virus itu juga makhluk Tuhan?”

Beginilah :-

Pergilah berenang di sungai penuh buaya, redha kerana buaya juga makhluk Tuhan;

Pergi ke lautan penuh dengan jerung, redha kerana jerung juga makhluk Tuhan;

Pergi masuk hutan penuh dengan ular, redha kerana ular ialah makhluk Tuhan;

Pergi lah ke zoo, masuk kandang singa, jangan takut dan redha, singa juga makhluk Tuhan.

Firman Allah (bermaksud):

”Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.”  (Surah Al-Baqarah, ayat 195).

Firman-Nya juga (bermaksud):

”Jangan kamu bunuh diri kamu, sesungguhnya Allah sangat kasih kepada kamu.” (Surah al-Nisa, ayat 29).

Dalam erti kata lain, menyelamatkan diri dari kemusnahan adalah tuntutan Islam. 

Dilarang menghampiri sebab-sebab yang membawa kemusnahan diri. Nabi SAW ketika berbicara tentang Taun menyebut (bermaksud):

"Jika kamu mendengar Taun di sesuatu tempat, jangan kamu pergi kepadanya. Jika berlaku di sesuatu tempat sedangkan kamu berada di situ, jangan kamu keluar daripadanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini mengajar tentang tindakan kuarantin agar penyakit atau wabak tidak tersebar. Hadis ini pernah dibaca oleh ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf kepada Khalifah ‘Umar bin al-Khattab ketika beliau bercadang pergi ke Syam semasa wabak Taun sedang merebak di sana pada zaman pemerintahnya. Mendengar hadis ini. .Amirul Mukminin ‘Umar al-Khattab membatalkan hasratnya. (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/5, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Jika terkena juga penyakit, Islam menyuruh pula penganutnya untuk berubat. Sabda Nabi SAW:

"Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).

Kata Al-Imam Nawawi (meninggal 676H): “Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafie), kebanyakan Salaf dan keseluruhan Khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya. Hadis-hadis ini juga menolak golongan sufi yang melampau yang membantah berubat dan berkata: “Kesemuanya dengan qada dan qadar Allah, tidak memerlukan kita berubat”.

Semoga ada manfaat buat kita semua. Aamiinnn
(Via fb : Dr Isahak Ghani)

Wednesday, 19 May 2021

Zikir Menghindar Musibah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Menghindar Musibah

عن عثمان بن عفان رضي الله عنه قال : سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّات لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حِينَ يُصْبِحُ ثَلَاثُ مَرَّاتٍ لَمْ تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حَتَّى يُمْسِيَ

Daripada Uthman bin Affan berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit, Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah yang datang secara tiba-tiba sehingga subuh. Dan barangsiapa yang membacanya ketika subuh sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah yang datang secara tiba-tiba sehingga petang (malam).” (HR Abu Daud No: 5088) Status: Hadis  hasan

Pengajaran:

1.  Muslim dituntut memperbanyak doa dan zikir dalam setiap perkara.

2.  Antara tujuan berzikir dan berdoa ialah untuk memohon perlindungan daripada musibah dan kerosakan. 

3.  Antara zikir yang diajar oleh Nabi SAW: 

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

4.  Sesiapa yang membaca zikir ini sebanyak 3 kali pada waktu pagi akan dipelihara daripada sebarang mudarat termasuk musibah seperti penyakit merbahaya sehingga ke petang. Sesiapa yang membaca sebanyak 3 kali pada waktu petang dia akan terpelihara sehingga waktu pagi.

Marilah kita mengamalkan zikir ini pada setiap pagi dan petang. Moga kita terhindar daripada sebarang penularan wabak penyakit seperti virus Covid 19 yang sudah lebih setahun melanda negara kita dan dunia.

20hb Mei  2021
08hb Syawal 1442H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...