Friday, 30 July 2021

HUKUM MAKAN SPESIS SIPUT

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Kenapa siput babi atau escargot tidak boleh dimakan sedangkan siput sedut boleh dimakan? Harap Datuk Mufti dapat memberikan pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Maidah : 96)

Ayat di atas menunjukkan bahawa telah dihalalkan untuk orang Islam haiwan buruan laut iaitu apa yang diburu daripadanya ketika masih hidup dan makanan yang didapati dari laut iaitu yang telah mati agar kamu dapat mengambil manfaat daripadanya (sebagai makanan). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 124)

Siput babi dan siput sedut

Sebelum kita membahaskan perkara ini lebih lanjut, kita harus bezakan dahulu antara kedua-dua jenis haiwan ini.

Siput babi atau nama saintifiknya Achatina fulica merupakan sejenis siput daratan. Ia adalah haiwan moluska dari kelas gastropoda (berjalan dengan perut). Berbeza dengan siput akuatik yang menggunakan insang, siput babi yang menggunakan paru paru untuk bernafas (pulmonata). Ia mempunyai cengkerang yang agak besar, padat dan berbentuk piramid dengan spira.[1]

Manakala siput sedut pula atau nama saintifiknya Cerithidea obtuse adalah merupakan salah satu spesies siput air dari kelas gastropoda  yang termasuk dalam famili Potamididae. Siput sedut adalah antara haiwan yang hidup di kawasan hutan bakau (mangrove ecosystem).[2]

Oleh itu, secara ringkasnya kita boleh katakan bahawa perbezaan yang paling ketara antara kedua-dua siput tersebut ialah siput babi adalah merupakan hidupan darat manakala siput sedut adalah merupakan siput akuatik (hidupan air).

Hidupan laut (air)

Haiwan laut (air) ialah haiwan yang tidak dapat hidup melainkan di dalamnya, apabila ia keluar daripada air, hidupnya seperti haiwan yang disembelih atau ia dapat hidup tetapi hayatnya tidak kekal lama (di atas darat). (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 8/150)

Secara umumnya, hidupan air terbahagi kepada dua kategori iaitu :

Kategori Pertama : Spesies ikan sebagaimana yang telah diketahui rupa dan bentuknya.
Kategori Kedua : Hidupan air yang tidak menyerupai bentuk ikan. Para ulama telah berselisih (khilaf) dalam kategori ini. Adakah ia boleh dimakan tanpa disembelih atau perlu disembelih atau haram dimakan?
Hukum makan siput sedut

Sepertimana yang telah kita nyatakan sebelum ini siput terbahagi kepada dua iaitu siput darat dan siput akuatik. Siput akuatik adalah halal dimakan tanpa perlu disembelih kerana termasuk di dalam umum firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah ayat 96. Juga sabda Rasulullah SAW :

هو الطهور ماؤه الحل ميتته

Maksudnya : “Air laut itu suci lagi menyucikan dan halal bangkainya.”

Riwayat Abu Daud (83), al-Tirmizi (69) dan al-Nasaie (59)

Imam al-Nawawi juga telah menyatakan bahawa pendapat yang paling sahih menurut mazhab Syafie bagi mana-mana hidupan air yang tidak menyerupai ikan ialah semuanya halal dimakan tanpa perlu disembelih. Ia adalah sebagaimana yang telah dinaskan oleh Imam Syafie di dalam al-Umm dan Mukhtasar al-Muzani. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/31-32 dan al-Mu’tamad di al-Fiqh al-Syafie, 2/548)

Adapun bagi siput daratan seperti siput babi atau Escargot, para ulama telah berbeza pandangan mengenainya kepada dua pendapat.

Pendapat yang pertama siput darat haram dimakan kerana ia termasuk dalam kategori serangga atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti lalat, semut, cicak dan seumpamanya. Pengharamannya adalah disebabkan oleh ia dianggap jijik (kotor) dan tabiat semulajadi manusia menjauhinya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 4/2793) Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa :

مَذْهَبُنَا أَنَّهَا حَرَامٌ وَبِهِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد

Maksudnya : “Menurut mazhab kami (Syafie) ia adalah haram (dimakan). Ini juga adalah merupakan pendapat Abu Hanifah, Ahmad dan Daud.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16)

Pengharaman ini adalah selari sebagaimana firman Allah SWT :

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya : “dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.”

(Surah al-A`raf : 157)

Menurut al-Maraghi (الطَّيِّبَاتِ) ialah makanan yang dirasakan baik oleh perasaan manusia, bahkan yang berguna sebagai makanan yang berzat dan berkhasiat. Manakala perkataan (الْخَبَائِثَ) bermaksud melarang daripada memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2420)

Begitu juga, Ibn Hazm al-Zahiri juga ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa tidak halal untuk makan siput daratan dan juga apa sahaja haiwan yang tergolong sebagai hasyarat (iaitu serangga atau haiwan kecil yang melata) seperti cicak, kumbang, semut, lebah, lalat dan lain-lain yang termasuk dalam kategorinya kerana haiwan-haiwan tersebut tidak boleh disembelih. Hal ini kerana sembelihan hanya berlaku pada leher atau dada (haiwan tersebut) sahaja. Adapun mana-mana haiwan yang tidak boleh disembelih, maka tiada jalan atau cara untuk memakannya. Oleh itu, ia adalah haram (dimakan) kerana terdapatnya halangan untuk memakannya (tidak boleh disembelih) kecuali bangkai yang tidak perlu kepada sembelihan. (Lihat al-Muhalla, 6/77)

Manakala pendapat yang kedua, semua hasyarat atau haiwan yang tidak mempunyai darah merah seperti siput daratan adalah halal dimakan. Ini adalah merupakan pendapat Imam Malik seperti yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/16) Terdapat riwayat daripada al-Talib bin Tha’labah al-Tamimi R.A, katanya :

صحِبْتُ النَّبيَّ صلّى اللهُ عليه وسلَّم فلم أسمَعْ لحشَرةِ الأرضِ تحريمًا

Maksudnya : “Aku telah bersahabat dengan Nabi SAW dan tidak mendengar mengenai pengharaman hasyarat (serangga dan haiwan kecil yang melata).” Riwayat Abu Daud (3798)

Di dalam al-Mudawwanah ada menyebutkan bahawa Imam Malik pernah ditanya berkenaan sejenis haiwan yang disebut sebagai siput (halazun) yang terdapat di padang pasir dan melekat di pokok-pokok. Adakah ia boleh dimakan? Beliau menjawab : “Aku berpendapat hukumnya adalah seperti belalang. Sekiranya ia masih hidup, kemudian (ia dimatikan) dengan cara direbus atau dipanggang, maka aku berpandangan tidak mengapa memakannya. Sekiranya ia telah mati (menjadi bangkai), maka tidak boleh dimakan.” (Lihat al-Mudawwanah, 1/542)

Abu al-Walid al-Baji menyatakan bahawa :

فَحُكْمُ الْحَلَزُونِ حُكْمُ الْجَرَادِ قَالَ مَالِكٌ: ذَكَاتُهُ بِالسَّلْقِ أَوْ يُغْرَزُ بِالشَّوْكِ وَالْإِبَرِ حَتَّى يَمُوتَ مِنْ ذَلِكَ وَيُسَمَّى اللَّهُ تَعَالَى عِنْدَ ذَلِكَ كَمَا يُسَمَّى عِنْدَ قَطْفِ رُءُوسِ الْجَرَادِ

Maksudnya : “Hukum siput adalah sebagaimana hukum belalang. Imam Malik berkata : Sembelihannya adalah dengan merebusnya atau mencucuknya dengan duri atau jarum sehingga mati sambil disebutkan nama Allah (basmalah) sebagaimana disebutkan juga (basmalah) ketika mencabut kepala belalang.” (Lihat al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’, 3/110)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa semua siput akuatik seperti siput sedut adalah halal dimakan selagimana tidak memudaratkan manakala bagi siput daratan seperti siput babi dan escargot, dan lain-lain, kami cenderung kepada pendapat yang mengharamkannya sebagaimana jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai jijik dan kotor serta tabiat manusia semulajadinya akan menjauhi perkara-perkara tersebut.

Imam al-Nawawi menjawab mereka yang berhujah dengan hadis al-Talib bin Tha’labah al-Tamimi bahawa perkataannya yang mengatakan dia tidak mendengar (mengenai pengharaman hasyarat), tidak menunjukkan perkara tersebut tidak didengari oleh sahabat yang lain.  (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/17)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Thursday, 29 July 2021

Amalan Sedikit Tapi Berterusan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Sedikit Tapi Berterusan

عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه وسلم أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

Daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan  walaupun jumlahnya sedikit.” (HR. Bukhari no: 6465) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan yang paling dicintai Allah terhadap hambanya adalah yang dilakukan secara berterusan walaupun jumlahnya sedikit.

2.  Menurut Ibnu Rajab: ”Balasan dari amalan kebaikan adalah amalan kebaikan selanjutnya. Barangsiapa melaksanakan kebaikan lalu melanjutkan dengan kebaikan lainnya, maka itu adalah tanda diterimanya amalan yang pertama. Begitu pula barangsiapa yang melaksanakan kebaikan, namun  dilanjutkan dengan amalan keburukan, maka itu adalah tanda tertolaknya atau tidak diterimanya amalan kebaikan yang telah dilakukan.” (Latho-if Al Ma’arif, hal. 394)

3.  ’Al-Qomah pernah bertanya pada Ummul Mukminin ’Aisyah, ”Wahai Ummul Mukminin, bagaimanakah Rasulullah SAW beramal? Apakah baginda mengkhususkan hari-hari tertentu untuk beramal?” ’Aisyah menjawab,

لاَ. كَانَ عَمَلُهُ دِيمَةً وَأَيُّكُمْ يَسْتَطِيعُ مَا كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- يَسْتَطِيعُ

”Tidak. Amalan beliau adalah amalan yang berterusan (rutin). Siapa saja di antara kalian pasti mampu melakukan yang baginda lakukan.”(HR. Muslim no. 783)

4.  Imam Nawawi mengatakan, ”Ketahuilah bahawa amalan yang sedikit namun berterusan dilakukan, itu lebih baik dari amalan yang banyak namun cuma sesekali saja dilakukan. Amalan sedikit yang rutin dilakukan akan memudahkan amalan ketaatan, zikir, pendekatan diri pada Allah, niat dan keikhlasan dalam beramal, juga akan membuat amalan tersebut diterima Allah. Amalan sedikit yang rutin dilakukan akan memberikan ganjaran yang besar dan berlipat dibandingkan dengan amalan yang banyak namun sesekali saja dilakukan.”(Syarh An Nawawi ‘ala Muslim, 3/133)

5.  Amalan yang sedikit tetapi berterusan akan mencegah masuknya virus ”futur” (penat atau jemu untuk beramal). Rasulullah SAW bersabda: 

وَلِكُلِّ عَمِلٍ شِرَّةٌ  وَلِكُلِّ شِرَّةٍ فَتْرَةٌ  فَمَنْ يَكُنْ فَتْرَتُهُ إِلَى السُّنَّةِ  فَقَدِ اهْتَدَى  وَمَنْ يَكُ إِلَى غَيْرِ ذَلِكَ  فَقَدْ ضَلَّ

”Setiap amal itu pasti ada masa semangatnya. Dan setiap masa semangat itu pasti ada masa futur (malasnya). Barangsiapa yang kemalasannya masih dalam sunnah (petunjuk) Nabi SAW, maka dia berada dalam petunjuk. Namun barangsiapa yang keluar dari petunjuk tersebut, sungguh dia telah menyimpang.”(HR. Thobroni dalam Al Mu’jam Al Kabir) Status: Sahih

6.  Hasan Al Basri mengatakan, ”Sesungguhnya bangunan di syurga dibangun oleh para Malaikat disebabkan amalan zikir yang terus dilakukan. Apabila seorang hamba mengalami rasa jemu untuk berzikir, maka malaikat pun akan berhenti dari pekerjaannya tadi. Lantas malaikat pun mengatakan, ”Apa yang terjadi padamu, wahai fulan?” Sebab malaikat boleh menghentikan pekerjaan mereka kerana orang yang berzikir tadi mengalami kefuturan (kemalasan) dalam beramal.”

30hb Julai  2021
20hb Zulhijjah 1442H

Wednesday, 28 July 2021

Larangan Membuat Tuduhan Buruk

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Membuat Tuduhan Buruk

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ إِلَّا ارْتَدَّتْ عَلَيْهِ إِنْ لَمْ يَكُنْ صَاحِبُهُ كَذَلِكَ

Daripada Abu Zar RA bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang melempar tuduhan kepada orang lain dengan kefasikan, dan tidak pula menuduh dengan kekufuran melainkan (tuduhan itu) akan kembali kepadanya, jika saudaranya tidak seperti itu." (HR Bukhari No: 5585) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim dilarang membuat tuduhan buruk sesama Muslim.

2.  Islam melarang melempar tuduhan fasik ataupun kufur kepada saudara Islam yang lain.

3.  Jika tuduhan itu tidak benar, sifat fasik dan kufur itu akan terkena kepadanya. Dalam hadis yang lain menyebutkan:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَيُّمَا رَجُلٍ قَالَ لِأَخِيهِ يَا كَافِرُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا

Dari Abdullah bin Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Siapa saja yang berkata kepada saudaranya; "Wahai Kafir" maka boleh jadi akan kembali kepada salah satu dari keduanya." (HR Bukhari No: 5639) Status: Hadis Sahih

Jauhilah amalan suka mencela serta mengelarkan dengan gelaran buruk terhadap orang lain.

29hb Julai  2021
19hb Zulhijjah 1442H

Tuesday, 27 July 2021

NABI AYUB YANG JUTAWAN

Saya pernah tulis Ustaz Wadi Annuar cerita pasal Nabi Ayub alaihis salam. Nabi Ayub ni orang kaya. Baginda ni rasul yang jutawan. Sampai satu hari, Allah uji dia.

Nabi yang jutawan.
Ternakan dia banyak.
Harta dia banyak.
Rumah dia besar.
Anak-anak pun ramai. Ada 14 orang.
Bangunan banyak.
Tanah banyak.
Jutawan besar.

Satu hari Allah uji.
Ternakan mati.
Tanam-tanamannya dimakan ulat.
Tanam banyak kali pun tak jadi.

Satu persatu harta Nabi Ayub alaihis salam diambil oleh Allah Ta'ala sampai tinggal 1 rumah saja.

Ketika Nabi Ayub diuji Allah, seorang demi seorang isteri-isteri baginda meninggalkannya. Akhirnya tinggal seorang isteri saja disampingnya. Ini yang betul-betul mencintai Nabi Ayub alaihis salam.

Kemudian Nabi Ayub alaihis salam diuji oleh Allah dengan ujian kematian kesemua anak-anaknya. Seorang demi seorang anak-anaknya meninggal dunia sampai habis semua anak-anak dia mati. Ini Allah uji.

Melihat anak-anak yang sudah membesar dan berbeza umur mati di depan mata. Macam mana kita nak bangkit dalam hidup?

Ustaz cakap, ramai orang anak dia meninggal dua orang je tapi dia tak boleh bangun dah. Kerja tak boleh pergi dah. Berhenti kerja, duduk rumah dan hidup dalam kemurungan. Sebab apa? Sebab tak boleh terima Allah tarik nyawa dua orang anaknya. 

Allah tarik nyawa dua orang anaknya tapi kerja masih ada cuma dia yang pilih untuk berhenti kerja. Rumah ada, suami masih ada, harta masih ada. Semua ada. Anak dua orang je yang Allah tarik sedangkan Nabi Ayub alaihis salam diuji Allah dengan kematian 14 orang anaknya silih berganti depan mata. Isteri-isteri dia lari tinggalkan dia saat dia diuji Allah, pekerja-pekerja dia lari, adik-beradik dia pun tak nak datang dekat, maka tinggalkan Nabi Ayub dengan seorang isteri sesudah habis segala harta dan keluarganya.

Lepas semua ni Allah uji Nabi Ayub, Allah tambah lagi dengan ujian sakit sehingga Nabi Ayub tak mampu untuk bangun dan menguruskan dirinya. Dia takde kekuatan. Lemah selemah-lemahnya. 

Dah lah diuji dengan macam-macam ujian, diuji pula dengan kesusahan dan kesempitan hidup sampaikan isteri Nabi Ayub yang berambut panjang dan cantik terpaksa menjual rambutnya semata-mata sebab nak beli bahan makanan untuk dimasak.

Isteri Nabi Ayub tak pernah dengar Nabi Ayub memohon pada Allah. Lalu isterinya pun berkata :
"Wahai suami, mintalah Allah Ta'ala angkat ujian ini."

Nabi Ayub alaihis salam tanya :
"Dah berapa tahun dah Allah Ta'ala uji?"

"18 tahun."
jawab isterinya.

Miskin.
Takde keluarga.
Tak ada harta.
Takde makanan.
Sakit sampai tak terurus.
Anak semua mati.

Nabi Ayub tanya :
"Dah berapa tahun Allah bagi nikmat kat kita?"

"80 tahun."
jawab isterinya.

Nabi Ayub tanya isterinya :
"Tak malu ke selama 80 tahun Allah bagi nikmat. Allah baru uji kita 18 tahun dah mula nak meminta pada Allah?"

Bila kita diuji Allah, Allah nak tengok apa tindakan kita. Allah nak tengok macam mana kita sambut ujianNya itu. Adakah kita akan menyalahkan Allah? Adakah kita menyalahkan taqdir? Adakah kita akan terus kembali kepada Allah?

.
Kredit:
seketoi sha,
hamba Allah paling lemah, faqir dan hina.

Monday, 26 July 2021

Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan (HR Abu Daud No: 4193) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

a.  Keperibadian seseorang berkait rapat dengan kebiasaan teman atau sahabat baik yang ia sering bergaul (tingkah lakunya sering dipengaruhi oleh  tingkah laku dan gaya hidup teman rapatnya) .

b.  Setiap ibu bapa perlu meneliti akhlak dan peribadi teman rapat anaknya. Jika teman pergaulan anaknya berakhlak buruk, perlu segera dijauhi. 

c.  Larangan bergaul dengan individu dalam masyarakat mencakupi pelaku dosa besar, bersahabat dengan mereka akan mendatangkan kemudaratan pada agama.

d.  Carilah teman rapat yang Soleh. Kata Imam Ahmad Ibn Hanbal: 

وَإِخْوَانُهُ الأَدْنُونَ كُلُّ مُوَفِّقِ   بَصِيرَةٍ بِأَمْرِ اللهِ يَسْمُو إِلَى الْعُلاَ

“Saudara yang dekat dengannya adalah setiap orang yang (menjadi sahabat kita, yang dengan sebab dia, kita) beroleh taufik, (dengan sebab kita berkawan dengan dia, kita dapat) memahami perintah Allah serta (dengan sebab dia, kita) suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat (di sisi Allah)”  

Ayuh pastikan dengan siapa kita bergaul termasuk di media sosial.

27hb Julai  2021
17hb Zulhijjah 1442H

Sunday, 25 July 2021

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tinggalkan Perkara Yang Tidak Bermanfaat

عَنْ أَبِي هُرَیْرَةَ رَضِىَ الله عَنْهُ قَالَ: قَالَ رَسُولُ الله صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّم : مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ 
 
Daripada Abu Hurairah RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Diantara kesempurnaan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu  yang tidak berkaitan dengannya (tidak berfaedah baginya). (HR Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Seorang mukmin dianggap elok, indah dan berakhlak tinggi apabila dia hanya melakukan perkara yang berfaedah dan meninggalkan perkara yang tidak berfaedah.

2.  Antara sifat seorang muslim yang berakhlak adalah sentiasa menyibukkan dirinya dengan perkara yang mulia dan bermanfaat serta menjauhkan perkara yang hina dan rendah moral.

3.  Menyibukkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat dan berfaedah adalah sia-sia apatah lagi jika membawa kepada dosa dan maksiat.  Ia merupakan pertanda kelemahan iman. 

4.  Antara perkara yang tidak berfaedah ialah bercakap kosong, menulis serta memfowardkan sesuatu yang tidak mendatangkan pahala. Termasuk juga menghabiskan masa bermain game, saja duduk di kedai kopi, suka mengambil tahu perkara yang tiada kaitan dengan dirinya, atau suka menjaga tepi kain orang kemudian memberi komen yang negatif.

5.  Anjuran ini menyerlahkan suatu ajaran lslam yang amat baik, yang boleh menyumbang ke arah pembangunan umat.

6.  Sekiranya semua umat lslam meninggalkan perkara yang tidak berfaedah dan yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, nescaya mereka mampu mencipta kejayaan dan kemajuan serta menghasilkan produktiviti yang berkualiti.

26hb Julai  2021
16hb Zulhijjah 1442H

Saturday, 24 July 2021

DO'A KESELAMATAN DARI KEMATIAN MENDADAK/MENGEJUT

Assalamualaikum W.B.H

*DO'A KESELAMATAN DARI KEMATIAN MENDADAK/MENGEJUT*

*CUKUP DIBACA SEKALI SEUMUR HIDUP*

*MARI KITA BACA SEKARANG JUGA !*

Diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W, bahawasanya Allah S.W.T berfirman: 
*Wahai (Kekasihku) Muhammad, tidak ada seorang pun dari umatmu yang membaca do'a ini walaupun sekali dalam umurnya kecuali dengan kemuliaan dan keagungan-Ku.*

*Aku (Allah) akan menjamin untuknya tujuh perkara :* 
*1*: Aku akan angkat kefakiran darinya;
*2*: Aku akan amankan dia dari pertanyaan Mungkar dan Nakir;
*3*: Aku akan tuntun jalannya di Shiratul Mustaqim;
*4*: Aku akan menjaganya dari kematian mendadak;
*5*: Aku akan haramkan neraka Jahannam atasnya;
*6*: Aku akan menjaga nya dari himpitan kubur;
*7*: Aku akan melindunginya dari kemurkaan raja yang jahat dan zalim.

*BERIKUT INI DO'ANYA :*

لَا اِلـهَ اَلٌَااللٌَهُ اَلْجَلِیْلُ الْجَبٌَارُ
*1. Laa ilaaha illalloohul.  jaliilul jabbaar,*
لَا اِلهَ اِلاّ اللهُ الْوَاحِدُ الْقَهٌَار
*2. Laa ilaaha illalloohul.    waahidul qohhaar,*
ُلَا اِلهَ اِلاّ اللهُ الْکَرِیْمُ السٌَتٌَار
*3. Laa ilaaha illalloohul kariimus sat taar,* 
لَا اِلهَ اِلاّ اللهُ الْکَبِیّرُ الْمُتَعَال
*4. Laa ilaaha illalloohul kabiirul mutta 'aal* 
لَا اِلهَ اِلاّ اللهُ وَحْدَهُ لَا شَریکَ لَهُ اِلَهًا وَاحِدًا رَبًٌا وَ شَاهِدًا اَحَدًا وَصَمَدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُوْنَ
*5. Laa ilaaha illalloohu wahdahu laa syarii ka lahu ilahan wahidan robban wa syaahidan ahadan wa shomadan wa nahnu lahu muslimuun,*
لَا اِلهَ اِلاّ اللهُ وَحْدَهُ لَا شَریْکَ لَهُ اِلَهًا وَاحِدًا رَبًٌا وَ شَاهِدًا اَحَدًا وَصَمَدًا وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُوْن
*6. Laa ilaaha illalloohu wahdahu laa syarii ka lahu ilahan wahidan robban wa syaahidan ahadan wa shomadan wa nahnu lahu 'aabiduun,*
َلَا اِلهَ اِلاّ اللهُ وَحْدَهُ لَا شَریکَ لَهُ اِلَهًا وَاحِدًا رَبًٌا وَ شَاهِدًا اَحَدًا وَصَمَدًا وَنَحْنُ لَهُ قَانِتُوْن
*7. Laa ilaaha illalloohu wahdahu laa syarii ka lahu ilahan wahidan robban wa syaahidan ahadan wa shomadan wa nahnu lahu koonituun,*
َلَا اِلهَ اِلاّ اللهُ وَحْدَهُ لَا شَریکَ لَهُ اِلَهًا وَاحِدًا رَبًٌا وَ شَاهِدًا اَحَدًا وَصَمَدًا وَنَحْنُ لَهُ صَابِرُوْنَ
*8. Laa ilaaha illalloohu wahdahu laa syarii ka lahu ilahan wahidan robban wa syaahidan ahadan wa shomadan wa nahnu lahu shoobiruun,*
لَا اِلهَ اِلاّ اللهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّه
*9. Laa ilaaha illalloohu Muhammadan Rosuululloh,*
اللَّهُمَّ اِلَیْکَ فَوٌَضْتُ اَمْری،
، وَعَلَیْکَ تَوَكَّلْتُ يَا اَرْحَمَ الرٌَاحِمٍیْنَ. 
*10. Allohumma ilaika fawadh'tu amrii,wa 'alaika tawak kaltu yaa arhamar roohimiin,*
اللَّهُمَّ صَلٌِ عَلَى مُحَمَّدٍ وآلِ مُحَمَّدٍ كَما صَلٌَیْتَ عَلَى اِبْرَاهِیْم وَآلِ اِبْرَاهِیْم اِنٌَکَ حَمِیْدٌ مَجِیْدُ
*11. Allohumma sholli 'alaa Muhammad wa ali Muhammad kamaa shollaita 'alaa Ibroohiim wa ali Ib'roohiim innaka hamiidum majiid,*
وَبَارِکْ عَلَى مُحَمَّدٍ وآلِ مُحَمَّدٍ كَما بَارَکْتَ عَلَى اِبْرَاهِیْم وَآلِ اِبْرَاهِیْم فِي الْعالَمينَ اِنٌَکَ حَمِیْدٌ مَجِیْدُ. 
*12. Wa baarik 'alaa Muhammad wa ali Muhammad kamaa barokta 'alaa Ibroohiim wa ali Ibroohiim fil 'aalamina innaka hamiidum majiid.*

Kongsikan dan sebarkan kepada 10 group keluarga/kawan yang anda sayangi. Anda telah mendapatkan pahala 10 juta selawat ke atas *Baginda Nabi Muhammad S.A.W* dalam buku catatan amal anda dengan izin *Allah S.W.T*. Semoga bermanfaat buat mereka semua. In shaa Allah. 

Aamiinn Ya Rabbal 'Alamiinnn 🤲🏻

Thursday, 22 July 2021

SELAMAT BERDOA DEMI KESEJAHTERAAN SEMUA

*بسم اللّه الرّحمن الرّحيم*

*السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ*
HARI INI JUMAAT, 23/07/2021 BERSAMAAN 13 DZULHIJJAH 1442H

Didoakan semoga:

*@ Dipanjangkan usia utk melakukan kerja² agama*
*@ Diluaskan rezeki utk memberi manfaat kpd umat islam serta umat umat yg lain*
*@ Ditetapkan keimanan dengan iman yg sempurna*
*@ Dikurniakan fikiran baik*
*@ Kesihatan yang sihat sehingga akhir hayat*
*@ Berjaya di dunia & akhirat*
*@ Sentiasa mendapat rahmat dariNya*
*@ Ilmu yg bermanfaat*
*@ Rezeki yg halal*
*@ Rumah tangga yg bahagia*
*@ Do'a yg mustajab*
*@ Hutang yg terbayar* 
*@ Diampunkan dosa kita, ibubapa, guru² dan ahli keluarga kita* dan
*@ Dilindungi dari dijangkiti Virus COVID-19*


*آمِيّنْ  آمِيّنْ  آمِيّنْ  يَا رَبَّ العَـــالَمِيْ@*

Menyayangi Untuk Disayangi*

Assalaamu'alaikum wbt.. 

Salam Jumaat Sayyidul Ayyam.. 

PERKONGSIAN Hadis. 

*Menyayangi Untuk Disayangi*

Setiap kita mengharapkan agar disayangi oleh orang lain. Sebagai pemimpin atau ketua contohnya, mengharapkan agar orang bawahan atau pekerja di bawahnya  menghormati dan menyayanginya. 

Sebagai suami atau isteri sentiasa mengharapkan agar pasangannya mengasihi dan menyayanginya.  Sebagai anak juga mengharapkan agar kedua ibu bapanya mengasihi dan menyayanginya.

Sebagai anggota dalam grup, dalam masyarakat, kita juga mengharapkan agar keberadaan kita dalam grup, dalam kampong mahupun taman dirasai dan hidup dalam suasana saling sayang menyayangi. 

Rasulullah SAW menunjukkan panduan untuk disayangi dan menyayangi. Daripada Abu Hurairah RA bahawa baginda SAW bersabda:
 
لا تَدْخُـلُوا الـجَنَّةَ حتـى تُؤمِنُوا ولا تُؤمِنُوا حتـى تَـحابُّوا أوَلا أدُلُّكُمْ علـى شَيءٍ إذا فَعَلْتُـمُوهُ تَـحَابَبْتُـمْ افْشُوا السّلامَ بَـيْنَكُمْ

“Mereka tidak akan masuk syurga sehingga mereka beriman dan tidak beriman mereka itu sehingga mereka berkasih sayang. Adakah kalian mahu aku tunjukkan sesuatu yang mana apabila kalian mengerjakannya nescaya kalian akan saling menyayangi sesama kalian? Sebarkanlah salam sesama kalian.”[HR Muslim, no: 81]

Untuk disayangi, kita perlu mempunyai sifat menyayangi. Rasulullah SAW bersabda:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن عَمْرٍو قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:"الرَّاحِمُونَ يَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ارْحَمْ مَنْ فِي الأَرْضِ يَرْحَمْكَ مَنْ فِي السَّمَاءِ

Daripada Abdullah bin Amir RA, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang menyayangi (orang lain) pasti akan disayangi Allah. Sayangilah setiap penduduk bumi, nescaya engkau akan disayangi para penghuni langit” (HR Tabrani No: 1460) Status: Hadis Sahih

Sifat saling menyayangi datang daripada mereka yang memiliki kejernihan jiwa dan kesucian rohani. Jauh dari sifat dendam, bongkak dan sombong.

Orang yang tidak menyayangi orang lain, akan jauh daripada kebaikan. Hadis Nabi SAW:

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ

Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), bererti ia dijauhkan dari kebaikan. (HR Muslim No: 4694) Status: Hadis Sahih

Berusahalah menyayangi orang lain dengan memberikan hak-hak mereka. Jika mereka meminta pertolongan, bantulah mereka, jika mereka meminta nasihat, nasihatilah, jika mereka sakit maka ziarahilah.

Jauhi perasangka buruk, membuat tuduhan, menghukum, memberi gelaran buruk dan memfitnah. Elakkan permusuhan dan persengketaan. Pereratkan yang dekat, rapatkan yang jauh.

Wednesday, 21 July 2021

Witir, Korban dan Duha

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Witir, Korban dan Duha

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ثَلَاثٌ هُنَّ عَلَيَّ فَرَائِضُ وَهُنَّ لَكُمْ تَطَوُّعٌ الْوَتْرُ وَالنَّحْرُ وَصَلَاةُ الضُّحَى

Daripada Ibn Abbas RA, Ia berkata, Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda; Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat bagi kamu : sembahyang witir, ibadah korban dan sembahyang duha. (HR Ahmad No 1946) Status: Isnad Dhaif

Pengajaran:

1.  Ada amalan yang wajib dilaksanakan oleh Rasulullah SAW namun bagi kita sebagai umatnya amat digalakkan jika dapat dilaksanakan.

2.  Solat sunat witir dan solat sunat duha jika tidak buat hari ini.. esok atau lusa masih sempat...ibadat korban..jika kita terlepas tahun ini..setahun lagi kena tunggu.. bimbang tidak sempat. untuk kita laksanakan 

3.  Ibadat korban pada hari raya Aidil Adha dan hari-hari tasyrik amat digalakkan untuk mereka yang berkemampuan.

4.  Orang yang melaksanakan ibadat korban adalah tanda orang bertakwa. Firman Allah:

وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوب

"Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah dari tanda ketakwaan hati" (Al-Hajj: 32)

5.  Berusahalah setiap kali kedatangan Aidil Adha untuk mengerjakan ibadah korban. Moga ia menjadi bukti ketakwaan kita.

22hb Julai  2021
12hb Zulhijjah 1442H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...