Tuesday, 31 August 2021

Muslim Yang Utama

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Yang Utama

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya".(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis dan menyebarkan sesuatu yang berbentuk umpatan,  fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain.

4.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, Whatsapp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا 

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

5.  Imam al-Khaththabi berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

Jadilah Muslim yang utama dengan menjaga lisan dan tangan kita daripada menyakiti dan menzalimi orang lain termasuk menulis juga mentularkan di media sosial.

01hb September  2021
23hb Muharam 1443H

Sunday, 29 August 2021

Mulia dan Tinggi Darajat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mulia dan Tinggi Darajat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah tidak akan mengurangi harta. Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada Allah, kecuali Allah mengangkat darjatnya”  (Sahih Muslim No: 258) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah dalam apa jua bentuk seperti wang ringgit, barangan, makanan tidak sama sekali mengurangkan harta malah menambahkannya. 

عَنْ أَسْمَاءَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنْفِقِي وَلَا تُحْصِي فَيُحْصِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَلَا تُوعِي فَيُوعِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ

Daripada Asma RA Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah, jangan engkau menghitung-hitungnya, agar Allah tidak menghitung-hitung pemberian-Nya kepadamu dan janganlah engkau mengumpul-ngumpulkannya (tidak bersedekah) agar Allah tidak kikir kepadamu” (Sahih Bukhari No: 2451) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

2.  Orang yang memaafkan, Allah akan menambahkan kemuliaan untuknya di sisi Allah. Ambillah kesempatan bulan Syawal ini untuk saling bermaafan sesama kita.

3.  Pemaaf dapat menghilangkan rasa permusuhan dan memperbanyak sahabat

4.  Pemaaf akan melahirkan sifat tawaduk, menghilangkan sifat sombong dan angkuh. Firman Allah:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ (١٩٩)

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. (QS. Al-A’raf 7:199)

5.  Allah mengangkat darjat kepada orang yang tawadukk.
Tawaduk ialah bersikap rendah hati iaitu sifat yang diperintahkan di dalam Islam. Di dalam Al-Quran Allah berfirman:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan rendahkanlah dirimu kepada kaum mukminin yang mengikutimu.” (Al Hijr: 88)

Marilah kita jadi pemurah, pemaaf dan rendah hati.

30hb Ogos  2021
21hb Muharam 1443H

Saturday, 28 August 2021

Sifat Lemah Lembut Menjemput Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sifat Lemah Lembut Menjemput Kebaikan

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ
 
Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: ‘Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), bererti ia dijauhkan dari kebaikan.'”(HR Muslim No:  4694) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:

1.  Lemah lembut adalah salah satu sifat terpuji

2.  Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), bererti ia dijauhkan dari kebaikan

3.  Jadilah orang yang memiliki sifat lemah lembut dan kasih sayang, nescaya pelbagai kebaikan akan dianugerahkan Ilahi seperti anugerah nikmat iman dan islam, nikmat kesihatan, nikmat rezeki dan dijauhkan musibah serta lain-lain.

4.  Setiap Muslim perlu sentiasa bertingkah laku dengan lemah lembut bukan keras. Firman Allah:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu (Ali Imran: 159).
 
Jangan sampai kita dijauhi daripada segala kebaikan dengan sebab tidak memiliki sifat lemah lembut (kasih sayang).

29hb Ogos  2021
20hb Muharam 1443H

Friday, 27 August 2021

Jadilah Orang Yang Paling Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Orang Yang Paling Baik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ

Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW berdiri di hadapan orang orang yang sedang duduk lalu baginda bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling baik di antara kalian dari orang yang paling buruk di antara kalian?" Abu Hurairah berkata: Para sahabat diam, baginda mengatakan demikian sampai tiga kali, kemudian salah seorang berkata: Ya, wahai Rasulullah, beritahukan kepada kami orang yang paling baik di antara kami dari orang yang paling buruk, baginda bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya." (HR Tirmizi No: 2189) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di kalangan kita ada orang yang paling baik dan ada orang yang paling buruk

2.  Orang yang paling baik dalam kalangan kita adalah orang yang sentiasa melakukan kebaikan dan tidak melakukan kejahatan

3.  Orang yang paling buruk dalam kalangan kita adalah orang yang tidak melakukan kebaikan dan tidak dapat manafaat dari kebaikannya serta melakukan kejahatan dan kita mendapat mudarat daripada kejahatannya.

4.  Kata Saidina Omar: Jadilah kamu orang yang apabila tiada pemimpin dari kalangan kamu, kamu seolah-olah pemimpin mereka. Jika kamu dilantik sebagai pemimpin, kamu seolah-olah salah seorang dari mereka.

Berusahalah menjadi orang yang paling baik agar kita bermanfaat kepada orang lain dan tidak mendatangkan keburukan dan mudarat.

28hb Ogos  2021
19hb Muharam 1443H

Thursday, 26 August 2021

Tanggungjawab Orang Beriman

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tanggungjawab Orang Beriman
  
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Daripada Ibnu Abbas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'adz bin Jabal RA ketika baginda mengutusnya ke Yaman: "Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani), jika kamu sudah mendatangi mereka maka ajaklah mereka itu untuk mengucap syahadah bersaksi bahawa tidak ada illah yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka hendaklah kamu beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan bagi mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bagi mereka zakat yang diambil dari kalangan orang mampu dari mereka untuk diagihkan kepada orang yang faqir dari kalangan mereka. Jika mereka mentaati kamu dalam hal itu maka janganlah kamu mengambil harta-harta terhormat mereka dan takutlah terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab (sekatan yang menghalangi)". (HR Bukhari No: 1401) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab dalam berdakwah untuk menyeru orang ramai supaya beriman kepada Allah dan Rasul dengan cara mengakui Allah yang menjadikan sekalian alam dan mentadbir sekalian makhluk di samping mentaati seruan dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah.

2.  Menjadi tanggungjawab orang yang beriman untuk melaksanakan perintah solat yang wajib lima kali sehari semalam sebagai tanda ketundukan dan kepatuhan kepada Pencipta.

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ ٤٥ 

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk (Al-Baqarah: 45)

3.  Menjadi tanggungjawab orang beriman yang memiliki harta untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bagi melahirkan kehidupan yang rahmah dan harmoni.

4.  Sebagai pemimpin dan pentadbir, diingatkan agar tidak sekali-kali menyalah gunakan kuasa untuk sebarang kepentingan diri dengan memerah rakyat bawahan, menyakiti mereka serta menzalimi mereka.

5.  Rasulullah SAW mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi itu amat mudah dimakbulkan Allah kerana tidak ada hijab antara dia dengan Allah.

Jangan sekali-kali kita menzalimi orang lain kerana kedudukan orang yang dizalimi itu amat dekat dengan Allah.

27hb Ogos  2021
18hb Muharam 1443H

Wednesday, 25 August 2021

Larangan Memboikot Sesama Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Memboikot Sesama Muslim

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kalian saling membelakangi dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga malam." (HR Bukhari No: 5612) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam melarang sifat saling membenci sesama Muslim.

2.  Islam juga melarang sifat saling dengki atau iri hati terhadap kelebihan orang lain

3.  Saling membelakangi atau saling bermusuh sesama Muslim adalah dilarang sama sekali

4.  Muslim dituntut saling bersaudara dan berkasih sayang

5.  Sesama Muslim dilarang  tidak bertegur sapa melebihi tiga malam.

6.  Tinggalkanlah segala umpat keji, fitnah yang mungkin dilakukan sebelum ini. Jalinkanlah kembali ikatan ukhuwah sesama muslim. Menjaga ukhuwah itu wajib seperti kita menjaga solat dan puasa.

Islam adalah agama RAHMAH, saling berkasih sayang, bukan membenci dan memusuhi.

26hb Ogos  2021
17hb Muharam 1443H

Saturday, 21 August 2021

Pemimpin & Pembantu Jujur

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin & Pembantu Jujur

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ

Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatkannya, dan apabila ia ingat maka ia tidak membantunya." (HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.

2.  Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.

3.  Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat dan amanah seperti firman Allah:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]

Sebaik-baik pekerja  ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada kemampuan melaksanakan tugas (kompeten) dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng (Integriti). 

4.  Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.

5.  Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.

6.  Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah, berintegriti dan memiliki kompeten (kemampuan) untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik. 

7.  Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan. 

8.  Sebagai pemimpin kita perlu  berintegriti, memiliki kompeten, berkemampuan dan amanah yang akan memacu kemakmuran dan kestabilan  Negara. 

Jika kita pembantu, jadilah kita orang yang berusaha memastikan ketua kita berada di atas landasan yang betul dan diredhai Allah bukan membiarkan ketua berterusan dalam kemurkaan Allah.


22hb Ogos  2021
13hb Muharam 1443H

Friday, 20 August 2021

Pemimpin dan Tanggungjawab

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin dan Tanggungjawab

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Daripada Ibnu Umar RA dari Nabi SAW, bahawa baginda bersabda: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya." (HR Muslim No: 3408) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap orang dari kalangan kita adalah pemimpin yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Antaranya:

a.  Sebagai menteri, wakil rakyat, ketua jabatan dan sebagainya, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas rakyat dan orang bawahannya.

b.  Sebagai lelaki, ia memiliki amanah dan bertanggungjawab kepada ahli keluarganya seperti sebagai suami, bapa mahupun anak lelaki.

c.  Sebagai wanita, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas suami dan anak-anaknya

d.  Sebagai hamba, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas harta tuannya. Sebagai pekerja, kita ada amanah dan tanggungjawab terhadap majikan untuk dlaksanakan selagi tidak bercangah dengan syarak.

2.  Setiap pemimpin perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh serta berupaya mewujudkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan kepada pengikut yang berada di bawah kepimpinannya. Bukan menggunakan jawatan untuk kepentingan diri.

3.  Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif). Segala amanah dan tanggungjawab yang diterima akan dipersoal setiap satu di hari kiamat. 

4.  Hakikat kepemimpinan adalah bertanggungjawab mewujudkan  kesejahteraan. Seorang bapa bukan hanya sekadar memberi makan dan minum kepada anak-anaknya tetapi perlu berusaha memenuhi standard keperluan makanan yang baik dan berzat. Bukan hanya keperluan material malah juga keperluan pendidikan dan kerohanian.

5.  Seorang pemimpin seperti pak menteri, bukan hanya menjadi  “pemerintah” sahaja, namun yang lebih penting berupaya mewujudkan kestabilan, menangani krisis, memulihkan ekonomi. Mampu mengangkat rakyatnya dari jurang kemiskinan kepada kesejahteraan. Tidak hanya berjaya melahirkan tokoh-tokoh korporat dari kalangan kawan rapat malah rakyat seluruhnya. Bukan hanya membangunkan kehidupan rakyat yang terdiri daripada ahli parti yang menyokongnya malah seluruh anggota rakyat di bawah pemerintahannya.

Berusahalah menjadi pemimpin yang kompeten dan berintegriti. Jauhi rasuah. Semoga Allah membantu setiap kita dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam kepimpinan ini.

21hb Ogos  2021
12hb Muharam 1443H

MADU

"Wahai 'asal(madu).." Perkataan yang digunakan orang Arab dengan tujuan bermanis mulut atau untuk berlemah lembut dalam ucapan. Namun hakikatnya bermaksud kamu mendoakan dengan satu doa yang sangat indah kepada orang yang kamu ucapkan ungkapan 'asal(madu) kepadanya.

" Ya 'Asal"

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila Allah mencintai seseorang hamba, nescaya Dia akan memberinya 'asal."

Sahabat bertanya, " Apakah maksud 'asal wahai Rasulullah?" 

Jawab Baginda, "Allah berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian Allah cabut nyawanya dalam keadaan husnul khatimah.”
-Hadis riwayat Ahmad

Wednesday, 18 August 2021

Pemimpin Yang Adil

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Adil

حَدَّثَنَا فُضَيْلٌ عَنْ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَقْرَبَهُمْ مِنْهُ مَجْلِسًا إِمَامٌ عَادِلٌ وَإِنَّ أَبْغَضَ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَشَدَّهُ عَذَابًا إِمَامٌ جَائِرٌ

Telah menceritakan kepada kami Fudhail dari 'Athiyyah dari Abu Sa'id ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah 'azza wajalla pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dari Allah adalah seorang pemimpin yang adil, sedangkan orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaannya adalah pemimpin yang zalim." (HR Ahmad No:10745) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduk di sisi Allah ialah pemimpin yang adil.

2.  Pemimpin yang adil adalah satu  daripada tujuh golongan yang mendapat naungan di padang mahsyar. Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَوْ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ ....

Dari Abu Hurairah atau dari Abu Sa'id, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil…  (Hadis Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

3.  Syarah Musimmenyatakan: Imam ialah orang yang yang diserahkan padanya urusan dan maslahah umat Islam termasuk pegawai dan pemerintah. Dalam Sunan Tirmizi: Imam yang adil disebut sebagai golongan terawal mendapat perlindungan di Padang Mahsyar kerana kepentingan dan faedahnya kepada umat.

4.  Keistimewaan ini hanya diberi kepada mereka yang adil dalam perkara yang diamanahkan sama ada mereka itu Khalifah, Sultan, Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, Wakil Rakyat, Hakim, Ketua Jabatan, Pegawai Kerajaan, penjaga anak yatim juga dalam perkara yang wajib ke atasnya, keluarga dan lainnya.

5.  Ibn Hajar berkata: Imam yang dicintai Allah dalam hadis ini adalah orang yang mempunyai tanggungjawab terbesar mengendalikan urusan umat Islam dan ia berlaku adil padanya.

6.  Orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaan untuknya adalah pemimpin atau penguasa yang zalim dan menzalimi rakyat atau orang bawahannya.

7.  Ayuh, setiap kita yang diberi tanggungjawab mengurus umat ini, jangan sesekali berbuat zalim dengan tidak melaksanakan amanah yang diberi  atau berlaku cuai ketika melaksanakannya seperti rasuah, pecah amanah, pengadilan terpilih, racis, melakukan penipuan, membohongi rakyat dll. 

Berusahalah mewujudkan tadbir urus yang baik melalui kepimpinan yang adil dan berintegriti.

19hb Ogos  2021
10hb Muharam 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...