Tuesday, 30 November 2021

Jadilah Wanita Solehah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Wanita Solehah

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Daripada Abdurrahman bin Auf berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; 'Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu inginkan'."
(HR Ahmad No: 1573) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Wanita yang solehah di hari akhirat diberi kelebihan untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki dengan syarat ia memenuhi empat kriteria berikut:

1.  Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna

2.  Berpuasa wajib di bulan Ramadhan

3.  Menjaga kemaluan (menjauhi berzina)

4.  Taat dan berbakti kepada suami.

Berusahalah menjadi wanita yang solehah.

01hb Disember  2021
26hb Rabiul Akhir 1443H

Monday, 29 November 2021

Sayangi Anak

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sayangi Anak

عَنِ أَبَا هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا‏.‏ فَقَالَ الأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا‏.‏ فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ ‏"‌‏.‏

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW mencium Al-Hasan bin 'Ali, dan di sisi Nabi ada Al-Aqro' bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro' berkata, "Aku punya 10 orang anak, tidak seorangpun dari mereka yang pernah kucium". Maka Rasulullah SAW pun melihat kepada Al-'Aqro' lalu beliau berkata, "Barangsiapa yang tidak menyayangi maka ia tidak akan dirahmati".
(HR Al-Bukhari, no 5997) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sebagai ibu bapa, perlu mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan penuh perhatian.

2.  Satu daripada cara menunjukkan kasih sayang ialah dengan mencium anak-anak khususnya semasa mereka masih kecil.

3.  Tanpa ciuman terhadap anak-anak boleh menyebabkan hilangnya sifat kasih sayang di hati ibu bapa terhadap anak-anaknya. Terhakisnya sifat kasih sayang inilah yang menyebabkan tidak berlaku proses pendidikan yang baik kepada anak-anak bahkan menyebabkan berlakunya sikap penderaan terhadap mereka.

4.  Rahmat adalah kasih sayang dari sesama makhluk atas kelembutan hati yang membuatkan seseorang memuliakan serta berbuat baik. 

5.  Jika kita menyayangi dan mengasihi anak-anak, nescaya kita juga akan disayangi dan dikasihi oleh anak-anak apatah lagi ketika kita berada dihari tua.

Sayangilah anak-anak kita.

30hb November  2021
25hb Rabiul Akhir 1443H

Sunday, 28 November 2021

Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَطْعَمْتَ نَفْسَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ وَلَدَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ زَوْجَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ خَادِمَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ

Daripada Al-Miqdam bin Ma'di Karib berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Jika kamu memberi makan pada diri kamu, maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada anakmu maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada isterimu maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada pelayanmu maka itu menjadi sedekah bagimu."
(HR Ahmad No: 16550) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut melakukan sedekah.

2.  Sedekah mempunyai ruang yang amat luas antaranya memberi atau menyediakan makanan. Setiap makanan yang  di sumbang kepada orang lain, ia menjadi pahala  sedekah.  

3.  Antara bentuk sedekah seseorang ialah memberi makan kepada:

a.  Diri sendiri
b.  Isteri
c.  Anak-anak
d.  Pembantu 

Tunaikanlah hak yang menjadi tanggungjawab seorang lelaki dengan menyediakan makanan yang baik lagi halal kepada diri dan ahli keluarga. Kesemua itu menjadi ganjaran sedekah untuk kita.                                                   

Berilah makan kepada yang berhak untuk mendapatkannya, terutama pemberian yang menjadi tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Sama ada untuk diri, anak, isteri dan pembantu.

29hb November  2021
24hb Rabiul Akhir 1443H

Friday, 26 November 2021

Jadilah Pemberi Bukan Peminta

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pemberi Bukan Peminta

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Daripada Hakim bin Hizam RA dari Nabi SAW bersabda: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”.
(HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bersedekah lebih baik daripada meminta-minta.

2.  Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita.

3.  Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang.

4.  Berusahalah mencari rezeki sebaik mungkin dan elakkan diri dari meminta-minta atau mengharap belas kasihan orang lain.

5.  Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki tanpa meminta-minta.

6.  Nabi SAW mencela orang yang suka meminta-minta (mengemis) kerana perbuatan tersebut merendahkan martabat kehormatan manusia. Padahal Allah sendiri sudah memuliakan manusia, seperti terungkap melalui firman-Nya :

وَلَقَدْ كَرَمْنَا بَنِى اَدَم َوَحَمْلنَاهُمْ فىِ اْلبَرِّ وَاْلبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيْرٍ مِمَنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلاً
Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas  kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Q.S Al-Isra’ : 70)

7.  Jangan sengaja menjadi peminta. Ingatlah amaran Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا  فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Barangsiapa meminta harta kepada orang lain untuk memperkaya diri, maka sungguh, ia hanyalah meminta bara api, maka silakan ia meminta sedikit atau banyak.
(HR. Muslim (no. 1041)

8.  Lakukanlah apa juga pekerjaan yang halal dan baik seperti bertani, berniaga, mengutip tin kosong dan menjualnya, bertukang, menjadi pelayan dan sebagainya untuk keperluan hidup, jangan sekali-kali mengharapkan pemberian orang lain.

Jadilah Kita Pemberi Bukan Orang Yang Mengharap Pemberian Orang Lain.

27hb November  2021
22hb Rabiul Akhir 1443H

7 AMALAN ZIKIR TERPENTING

Ada yang nak tahu, ‘ustaz setiap hari amalkan zikir apa?’



Saya nak share amalan kecil kami. Tak banyak mana pun tapi inilah 7 zikir
‘wajib baca’ yang sebolehnya saya takkan tinggal baca setiap hari :


 
1. Zikir terbesar : Baca Al-Quran (mengaji)

2. Zikir agar diampuni dosa & bersihkan hati : Istighfar Kabir

3. Zikir yang buatkan kita dijaga Ilahi : Ayat Kursi

4. Zikir untuk beratkan timbangan Mizan : Subhanallahi wabihamdih, subhanallahil Azim

5. Zikir agar mudah dapat anak kunci syurga : La ilaha illallah

6. Zikir mudah dapat syafaat Rasul : Selawat ke atas Nabi

7. Zikir supaya Allah sukai kita : Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu Akbar
 

Kenapa saya jaga betul-betul baca zikir-zikir ni?


 

Sebabnya tuan puan semua, dengan menjaga zikir inilah, hidup saya lebih
bahagia. Dengan tak tinggal zikir inilah banyak masalah dapat diselesaikan. Dengan
kerap berzikirlah, banyak pintu rezeki Tuhan buka untuk kami sekeluarga.

Thursday, 25 November 2021

Nasihati Wanita Dengan Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Nasihati Wanita Dengan Baik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Daripada Abi Hurairah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Nasihatilah para wanita dengan baik kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang  paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para Wanita (dengan baik).
(HR Bukhari No: 3038) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kaum lelaki dituntut untuk sentiasa berlaku baik, lemah-lembut serta sabar dengan wanita dalam apa jua keadaan. 

2.  Wanita adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa untuk kaum lelaki yang perlu dijaga akan kehormatannya dan memandunya ke arah mentaati Allah SWT dan melaksanakan segala syariat-Nya.

3.  Dalam mewujudkan kebahagiaan berumahtangga, para suami perlu sentiasa bersabar, redha, berlapang dada dan berlemah lembut membimbing serta menasihati isteri dan ahli keluarga yang lain. 

4.  Terimalah seadanya pasangan anda, belajarlah erti ikhlas dan pemaaf  serta berusahalah melayani isteri dan anak-anak dengan baik ke arah mewujudkan keharmonian keluarga.

5.  Elakkan perbalahan dengan pasangan yang mungkin menatijahkan penceraian. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW sepertimana hadis daripada Ibn Umar RA :
 
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
(HR Abu Daud No 2178) 

Walaupun penceraian itu jalan terakhir yang diharuskan, namun berusahalah agar ia tidak terjadi.

26hb November  2021
21hb Rabiul Akhir 1443H

Wednesday, 24 November 2021

Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

عن شهر بن حوشب قال‏:‏قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.

Daripada Syahr bin Hausyab, katanya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) - “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” - Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya."
(HR Tirmizi No: 3522) 
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sebagai Muslim kita perlu memperbanyakkan doa kepada Allah kerana doa umpama tali yang menghubungkan antara hamba dengan Pencipta.

2.  Antara doa yang sering dan banyak diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah permohonan agar ditetapkan hati:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu

3.  Dikhususkan doa untuk tetap hati kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.

4.  Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.

5.  Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik).

6.  Rasulullah mengajar doa agar kita memiliki hati yang tetap dan istiqamah

JOM banyakkan doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah diatas jalan Islam.

25hb November  2021
20hb Rabiul Akhir 1443H

Monday, 22 November 2021

Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Reda Allah terdapat pada reda seorang bapa, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang bapa."
(HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya

2.  Imam Al Ghazali antara adab anak kepada orang tuanya; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

3.  Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua.
(HR Tabrani dari Ibnu Umar)

Berusahalah menjadi anak yang soleh terhadap kedua ibu bapanya.

23hb November  2021
18hb Rabiul Akhir 1443H

Sunday, 21 November 2021

Berbakti Kepada Ibu

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti Kepada Ibu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا تَأْمُرُنِي قَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ فَقَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ بَرَّ أَبَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Seorang laki-laki mendatangi Rasulullah SAW seraya bertanya; "Apa yang engkau perintahkan kepadaku?" maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu, "lalu ia mengulangi pertanyaannya, dan baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu," lalu ia mengulangi pertanyaannya hingga yang keempat kalinya, maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada bapamu."
(HR Ahmad No: 8850)  Status: Hassan

Pengajaran:

1.  Kewajipan berbakti kepada ibu  adalah suatu keutamaan kepada setiap anak.

2.  Keutamaan berbuat baik kepada ibu melebihi dari ayah. Mengikut Ibn Battal kerana ibu mengalami tiga kepayahan:  

b.  Pertama ketika mengandung; 
c.  Kedua ketika melahirkan dan; 
d.  Ketiga ketika menyusukan.

Kerana itu berbakti kepada ibu tiga kali lebih berbanding ayah.

3.  Keutamaan pada sianak ialah berbakti kepada ibu kemudian kepada bapa.

Berusahalah untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan seterusnya kepada bapa.

22hb November  2021
17hb Rabiul Akhir 1443H

Friday, 19 November 2021

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Daripada Anas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang  dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersumpah palsu".
(HR Bukhari No: 2459) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika  pelakunya  tidak melakukan taubat nasuhah  hingga diampunkan dosanya oleh Allah.

2.  Antara dosa besar tersebut:

a.  Syirik kepada Allah
b.  Derhaka kepada kedua ibu bapa
c.  Membunuh
d.  Bersumpah dengan sumpah palsu

3.  Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapaknya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

4.  Berbuat baiklah kepada kedua ibubapa. Firman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(al-Isra’: 24)

Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik. Semoga kita menjauhi dosa-dosa besar ini.

20hb November  2021
15hb Rabiul Akhir 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...