Tuesday, 31 January 2023

Silaturahim Menjemput Rezeki Dan Keberkatan Umur

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Silaturahim Menjemput Rezeki Dan Keberkatan Umur 

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ فِي رِزْقِهِ وَيُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

Daripada Anas RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan umurnya maka hendaknya ia menyambung silaturahim (kekerabatan)."
(Sunan Abu Daud No: 1443) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara kebahagiaan seorang ialah apabila hidup dalam suasana saling berkasih sayang sesama anggota masyarakat.

2.  Saling berkasih sayang dituntut dalam menjaga hubungan silaturahim khususnya dengan ahli keluarga seperti kedua ibu bapa, adik beradik, ibu dan bapa saudara, sepupu  dan lain-lain.

3.  Antara kelebihan Muslim yang sentiasa menjaga hubungan silaturahim:

a.  Diluaskan rezeki (murah rezeki)

b.  Dipanjangkan umur (umur yang barakah dalam keadaan sihat dan beramal soleh).

4.  Imam Nawawi menjelaskan hadis: diluaskan dan dijadikan banyak hartanya. Menurut pendapat yang lain, maksudnya diberi keberkatan harta.
(Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim)

5.  Manakala dalam hadis daripada Abu Ayyub al-Ansari R.A, Rasulullah SAW pernah ditanya berkenaan amalan yang dapat memasukkan ke dalam syurga, lalu Baginda SAW menjawab:

تَعْبُدُ اللَّهَ لاَ تُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا  وَتُقِيمُ الصَّلاَةَ  وَتُؤْتِى الزَّكَاةَ  وَتَصِلُ الرَّحِمَ

“Sembahlah Allah dan jangan melakukan syirik pada-Nya, dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan jalinlah tali silaturrahim.
(HR Bukhari)

6.  Imam Nawawi menyebut: “Adapun maksud silaturrahim, ia adalah berbuat baik kepada kaum kerabat sesuai dengan keadaan orang yang hendak menghubungkan dan keadaan orang yang hendak dihubungkan. Terkadang dalam bentuk kebaikan dengan harta, terkadang dengan memberi bantuan tenaga, terkadang dengan mengunjunginya, dengan memberi salam, dan sebagainya.”
(al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj)

Marilah kita memelihara hubungan silaturahim dan ikatan kekeluargaan dengan adik beradik dan ahli keluarga yang lain.

01hb Februari  2023
10hb Rejab 1444H

Monday, 30 January 2023

Sambungkan Silaturahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sambungkan Silaturahim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَجُلًا قَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي قَرَابَةً أَصِلُهُمْ وَيَقْطَعُونِي وَأُحْسِنُ إِلَيْهِمْ وَيُسِيئُونَ إِلَيَّ وَأَحْلُمُ عَنْهُمْ وَيَجْهَلُونَ عَلَيَّ فَقَالَ لَئِنْ كُنْتَ كَمَا قُلْتَ فَكَأَنَّمَا تُسِفُّهُمْ الْمَلَّ وَلَا يَزَالُ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ عَلَيْهِمْ مَا دُمْتَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Abu Hurairah bahwasanya seorang laki-laki pernah berkata; "Ya Rasulullah, saya mempunyai kerabat. Saya selalu berusaha untuk menyambung silaturahim kepada mereka, tetapi mereka memutuskannya. Saya selalu berusaha untuk berbuat baik kepada mereka, tetapi mereka menyakiti saya. Saya selalu berusaha untuk lemah lembut terhadap mereka, tetapi mereka acuh tak acuh kepada saya." Lalu Rasulullah SAW bersabda: 'Jika benar seperti apa yang kamu katakan, maka kamu seperti memberi makan mereka debu yang panas, dan selama kamu berbuat demikian maka pertolongan Allah akan selalu bersamamu.'
(HR Muslim No: 4640) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tanggungjawab setiap Muslim ialah berbuat baik dengan kerabat dan sentiasa menghubungkan silaturahim.

2.  Allah sentiasa mengurniakan kebaikan kepada orang yang berbuat baik kepada orang lain.

3.  Orang yang berusaha menyambung silaturahim dengan kerabatnya walaupun tidak disambut oleh mereka, akan sentiasa mendapat pertolongan Allah disisinya.

4.  Antara ganjaran orang yang berusaha menyambung silaturrahim adalah syurga. Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّهَا النَّاسُ أَفْشوا السَّلامَ وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ وصلوا الأرحام وَصَلُّوا باللَّيْل وَالنَّاسُ نِيامٌ تَدخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلامٍ

“Wahai orang ramai, Sebarkanlah salam, berilah makan, sambunglah silaturrahim dan solatlah di waktu malam ketika mana manusia sedang tidur, nescaya kamu dapat masuk Syurga dengan sejahtera dan selamat.”
(HR Ibnu Majah)

Ayuh berbuat baik dan kukuhkan silaturahim walaupun mereka ingin memutuskannya. Doakan kebaikan untuk mereka.

31hb Januari  2023
09hb Rejab 1444H

Sunday, 29 January 2023

Mukmin Paling Sempurna Iman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Paling Sempurna Iman 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَكْمَلُ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَخِيَارُهُمْ خِيَارُهُمْ لِنِسَائِهِمْ

Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda: orang-orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya, dan yang terbaik di antara mereka adalah yang terbaik terhadap isteri-isterinya."
(HR Ahmad No: 7095) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Akhlak adalah ukuran keimanan seseorang.

2.  Mukmin yang paling sempurna iman adalah yang paling baik akhlak.

3.  Akhlak terpuji dengan saling berkasih sayang, bersifat rahmah sesama insan, tidak menghina, mentohmah dan mengadu domba berkait rapat dengan kesempurnaan iman seseorang.

4.  Lelaki beriman yang terbaik adalah yang paling baik akhlak terhadap isteri mereka.

5.  Berakhlak baik pada isteri berkait rapat dengan tahap iman seseorang.

6.  Berakhlak baik dan berlemah lembut dan penyayang terhadap ahli keluarga termasuk dalam kesempurnaan iman. Hadis Nabi SAW:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِنْ أَكْمَلِ الْمُؤْمِنِينَ إِيمَانًا أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا وَأَلْطَفُهُمْ بِأَهْلِهِ

Daripada Aisyah dia berkata, Rasulullah SAW bersabda; "Sesungguhnya termasuk orang yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling baik akhlaknya, dan paling lembut terhadap keluarganya."
(HR Tirmizi No: 2537)

Jadilah orang yang paling baik akhlak dalam kehidupan termasuk dalam berkeluarga untuk menjadi mukmin yang paling sempurna.

30hb Januari  2023
08hb Rejab 1444H

Saturday, 28 January 2023

Menanam Selagi Berkesempatan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menanam Selagi Berkesempatan

عن أنس رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: إِنْ قامَتِ السَّاعَةُ وَفِي يَدِ أَحَدِكُمْ فَسِيلَةٌ فَإِنِ اسْتَطَاعَ أَنْ لَا تَقُومَ حَتَّى يَغْرِسَهَا فَلْيَغْرِسْهَا

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan salah seorang dari kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” HR Ahmad (3/183), al-Tayalisi dalam Musnadnya (2068) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (479). Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Sebagai Muslim kita dituntut untuk menyumbang sesuatu untuk kebaikan dan manfaat orang lain dalam keadaan apapun.

2. Bagi mereka yang memiliki biji benih dan kebun, diperintahkan untuk menanam agar manfaat dari pokok yang ditanam tersebut dinikmati oleh makhluk lain dan dia akan mendapat pahala yang berterusan selagi tanaman tersebut hidup dan meninggalkan benih.

3. Imam al-Son’ani berkata: dalam hadis ini terdapat galakan untuk bercucuk tanam tumbuhan dan benih serta padanya terdapat kebaikan yang banyak. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 4/241)

4.  Hadis ini juga menggambarkan pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bidang ini tidak boleh diabaikan sama sekali kerana ia adalah penyumbang utama kepada kehidupan manusia. Pertanian merupakan satu ibadah.

Marilah kita menyediakan fix deposit amal semasa kita hidup walaupun manfaat tidak dapat kita perolehi semasa hidup antaranya melalui pertanian juga penanaman pokok bagi mereka yang memiliki tanah. Boleh sahaja menanam pokok sayur seperti cili, kangkung dan lain-lain di dalam pasu di rumah yang tiada tanah atau laman yang luas.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

29hb Januari  2023
07hb Rejab 1444H

Friday, 27 January 2023

Menanam Sebagai Sedekah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menanam Sebagai Sedekah

عَنْ جَابِرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ :‏ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا إِلاَّ كَانَ مَا أُكِلَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا سُرِقَ مِنْهُ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا أَكَلَ السَّبُعُ مِنْهُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةٌ وَمَا أَكَلَتِ الطَّيْرُ فَهُوَ لَهُ صَدَقَةً وَلاَ يَرْزَؤُهُ أَحَدٌ إِلاَّ كَانَ لَهُ صَدَقَةٌ ‏ ‏

Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah seorang Muslim menanam tanaman melainkan apa yang dimakan daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dicuri daripada tanaman itu dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh binatang liar dikira sebagai sedekah, apa yang dimakan oleh burung dikira sebagai sedekah. Tidaklah seseorang bercucuk tanam kecuali dia akan mendapat (pahala) sedekah daripadanya.
(HR Muslim, Kitab al-Musaaqaah, No: 1552) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Imam Nawawi menjelaskan: terdapat keutamaan menanam pohon dan tanaman, bahawa pahala pelakunya akan terus mengalir selama mana pohon dan tanaman itu masih ada, serta sesuatu (benih) yang keluar daripadanya sehingga  hari kiamat.

2.  Seorang Muslim akan diberi pahala atas sesuatu yang dicuri dari hartanya seperti tanaman yang ditanam, atau dirosakkan oleh haiwan, atau burung atau sejenisnya.”
(al-Minhaj Syarh Sahih Muslim ibn al-Hajjaj)

3.  Setiap yang diusahakan oleh seorang Muslim dan manfaatnya diperolehi oleh setiap makhluk termasuk binatang yang memakan buah, daun mahupun yang hinggap di dahan atau berteduh di bawah tanaman tersebut, akan memberikan ganjaran pahala kepada penanamnya.

4.  Alangkah besarnya ganjaran kepada mereka terlibat dalam bidang pertanian yang menyediakan sumber utama keperluan manusia seperti beras, buahan dan sayuran yang sebahagiannya menjadi fardhu kifayah kepada seseorang.

5.  Jangan kita bersedih hati jika hasil tanaman tersebut dimakan atau dirosakkan oleh makhluk lain ataupun dicuri oleh manusia kerana kita tetap akan mendapat ganjaran pahala.

28hb Januari  2023
06hb Rejab 1444H

Thursday, 26 January 2023

Kemuliaan Bercucuk Tanam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemuliaan Bercucuk Tanam

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ

Daripada Anas bin Malik RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang menanam sesuatu tanaman yang berbuah lalu dimakan oleh burung atau manusia atau binatang melainkan ia akan mendapat pahala sedekah baginya".
(HR Bukhari No: 2152) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Muslim digalakkan bercucuk tanam agar tanah yang dimiliki dapat diusahakan dan mendatangkan manfaat dan faedah kepada manusia mahupun binatang.

2.  Orang yang menanam pokok atau tumbuhan, akan tetap mendapat pahala sama ada pokok yang ditanam itu berbuah atau tidak, dimakan oleh manusia mahupun binatang. Hatta burung yang hinggap atau sesuatu yang berteduh di bawahnya, ia tetap akan mendapat ganjaran pahala.

3.  Menanam tanaman seperti sayuran mahupun pokok tumbuhan bukan hanya untuk faedah diri sendiri semata-mata malah juga untuk orang lain termasuk makhluk Allah yang lain.

4.  Pekerjaan sebagai petani bukanlah suatu pekerjaan yang hina atau rendah tetapi amat mulia di sisi Allah kerana ganjaran pahala sedekah akan diperolehi selagi tanaman tersebut masih hidup atau dimanfaatkan oleh orang lain.

27hb Januari  2023
05hb Rejab 1444H

Wednesday, 25 January 2023

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku ceritakan masalah itu, maka Baginda bersabda: “Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu daripada kehadiran anak-anak perempuannya (lalu dia berbuat baik kepada mereka), maka mereka akan menjadi pelindung baginya dari api neraka”.
(HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan ahli keluarga khususnya anak-anak, termasuk penyediaan makanan, pakaian tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.

2.  Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.

3.  Ibu bapa yang bersusah payah memberikan sesuatu makanan atau menyediakan keperluan seperti pembiayaan pembelajaran dan lain-lain kepada anaknya, akan menjadi saham melindunginya dari api neraka.

4.  Berusahalah menyediakan keperluan untuk ahli keluarga.

26hb Januari  2023
04hb Rejab 1444H

Tuesday, 24 January 2023

Sedekah Mengikut Keutamaan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seseorang berkata ya Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu yang berhak engkau beri." 
(HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW  menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala  sedekah.

2.  Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan mendahului untuk :

a.  Diri sendiri  dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan dan pakaian yang wajib. Jika ada lebihan, boleh diberi kepada;

b.  Isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami sama ada yang wajib mahupun yang sunat). Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

c.  Anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain), Jika ada lebihan boleh di beri kepada; 

d.  Pembantu. Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

e.  Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak.

25hb Januari  2023
03hb Rejab 1444H

Monday, 23 January 2023

Empat Bulan Haram

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Empat Bulan Haram

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.”
(HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:

1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

2.  Bulan Rejab Mudhor mengikut Syeikh Mustafa al-Bugho, perkataan Mudhor ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain. 

3.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain.
(Tafsir Ibn Kathir)

4.  Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

5.  Bulan Rejab antara empat bulan Haram dimana kita digalak  menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut. 

6.  Kita telah memasuki bulan Rejab, Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Bulan Rajab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi sebagai persiapan bertemu Ramadan nanti.

24hb Januari  2023
02hb Rejab 1444H

Sunday, 22 January 2023

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ فَقُلْتُ عَنْ النَّبِيِّ فَقَالَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Daripada Abu Mas'ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Jika seorang muslim memberi nafkah pada keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka baginya hal itu adalah sedekah."
(HR Bukhari No: 4932) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib.

2.  Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

كفى بًالمرء إثما أن يضيع من يقوت

“Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya”.
(HR. Abu Daud)

3.  Memberi nafkah  ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.

4.  Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

5.  Muslim yang memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu adalah sedekah.

23hb Januari  2023
01hb Rejab 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...