Saturday, 30 November 2024

Adab Orang Yang Ditimpa Musibah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Adab Orang Yang Ditimpa Musibah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَتَمَنَّيَنَّ أَحَدُكُمْ الْمَوْتَ مِنْ ضُرٍّ أَصَابَهُ فَإِنْ كَانَ لَا بُدَّ فَاعِلًا فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Daripada Anas bin Malik RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Janganlah salah seorang dari kalian mengharapkan kematian kerana musibah yang menimpanya, kalau memang hal itu harus, hendaknya ia mengatakan; Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku." (HR Bukhari No: 5239) Status: Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim diperintahkan agar bersabar dan redha apabila ditimpa musibah.

2.  Setiap musibah yang menimpa seorang Muslim bertujuan untuk menghapuskan dosa dan meningkatkan darajat seseorang.

3.  Bagi orang yang ditimpa musibah, tidak boleh meminta dan mengharap supaya dipercepatkan kematian.

4.  Diharuskan berdoa dengan lafaz ini:

اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مَا كَانَتْ الْحَيَاةُ خَيْرًا لِي وَتَوَفَّنِي إِذَا كَانَتْ الْوَفَاةُ خَيْرًا لِي

Ya Allah, hidupkanlah aku jika kehidupan itu baik untukku, dan matikanlah aku jika kematian itu baik bagiku

29hb Jamadil Awal 1446H
01hb Disember 2024

Friday, 29 November 2024

Berwuduk Di Rumah Kemudian Menuju Ke Masjid

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berwuduk Di Rumah Kemudian Menuju Ke Masjid

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلَاةِ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّلَاةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلَّاهَا مَعَ النَّاسِ أَوْ مَعَ الْجَمَاعَةِ أَوْ فِي الْمَسْجِدِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ

Daripada Uthman bin Affan dia berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berwuduk untuk solat, lalu menyempurnakan wuduknya, kemudian berjalan menuju solat yang fardu, lalu dia melaksanakannya bersama manusia, atau bersama jamaah, atau di masjid, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya." (HR Muslim No: 341) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah mengampunkan dosa seseorang yang pergi untuk solat fardu ke masjid dengan syarat;

a.  Menyempurnakan wuduk di rumah terlebih dahulu, kemudian

b.  Menuju ke tempat solat berjemaah atau ke masjid untuk mengerjakan solat fardu dan,

c.  Melaksanakan solat berjemaah bersama imam  

2.  Berwuduklah terlebih dahulu di rumah sebelum ke masjid atau ketempat solat berjemaah kerana ia pra syarat untuk pengampunan dosa bagi mereka yang akan melaksanakan solat fardu.

Rugilah jika ada yang beranggapan air di masjid air wakaf (free), lalu ia lebih selesa mengambil wuduk di masjid.

28hb Jamadil Awal 1446H
30hb November 2024

Thursday, 28 November 2024

Panduan Tidur Seorang Muslim

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Panduan Tidur Seorang Muslim

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ  ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ  ثُمَّ قُلْ : اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ  وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ  وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ  رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ  لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ  اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ  وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ  فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ  وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ

Daripada Al-Barra’ bin Azib RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila engkau hendak tidur, berwuduklah sebagaimana wuduk ketika hendak solat. Kemudian berbaringlah pada lambung sebelah kanan, dan bacalah: Ya Allah, aku tundukkan wajahku kepada-Mu, aku pasrahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan punggungku kepada-Mu, kerana rasa takut dan penuh harap kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari hukuman-Mu kecuali kepada-Mu. Ya Allah, aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan kepada nabi-Mu yang telah Engkau utus. Jika kamu mati di malam itu, kamu mati dalam keadaan fitrah. Jadikanlah doa itu, sebagai kalimat terakhir yang engkau ucapkan sebelum tidur.”(HR. Bukhari No: 247) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam sentiasa menggalakkan umatnya berada dalam keadaan bersih dan suci termasuk ketika hendak tidur.

2.  Rasulullah SAW mengajar adab-adab tidur antaranya:

a.  Berwuduk sebelum tidur.
b.  Tidur dengan berbaring diatas lambung sebelah kanan.
c.  Membaca doa sebelum tidur

3.  Menurut Ibnul Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat pada jantung. Sedangkan tidur pada sisi kiri berguna bagi badan (namun membuat seseorang semakin malas)” (Zaadul Ma’ad, 1/321-322).

4.  Sunat membaca doa sebelum tidur:

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ  وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ  وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ  رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ  لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ  اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ  وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

5.  Barangsiapa yang tidur berwuduk, dengan lambung disebelah kanan serta berdoa dengan doa di atas, jika dia mati di malam itu, dia mati dalam keadaan fitrah bersih dari dosa.

27hb Jamadil Awal 1446H
29hb November 2024

Wednesday, 27 November 2024

Anggota Wuduk Bercahaya Di Hari Kiamat

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Anggota Wuduk Bercahaya Di Hari Kiamat

عَنْ نُعَيْمٍ الْمُجْمِرِ قَالَ رَقِيتُ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ عَلَى ظَهْرِ الْمَسْجِدِ فَتَوَضَّأَ فَقَالَ إِنِّي سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أُمَّتِي يُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ غُرًّا مُحَجَّلِينَ مِنْ آثَارِ الْوُضُوءِ فَمَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يُطِيلَ غُرَّتَهُ فَلْيَفْعَلْ

Daripada  Nu'aim bin Al Mujmir berkata, "Aku ke masjid bersama Abu Hurairah, lalu dia berwuduk dan berkata, "Aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya umatku akan dihadirkan pada hari kiamat dengan wajah berseri-seri kerana sisa air wuduk,  barangsiapa di antara kalian mampu memperpanjang cahayanya hendaklah ia lakukan (lebihkan kawasan basuhan anggota wuduk)." (HR Bukhari No: 133) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara amalan yang digalakkan kepada setiap Muslim ialah sentiasa berwuduk.

2.  Mereka yang berwuduk, di hari kiamat akan dibangkitkan dengan wajah yang berseri-seri kesan daripada air wuduk semasa di dunia dahulu.

3.  Sunat melebihkan tempat basuhan anggota wuduk kerana di akhirat nanti kita akan dibangkitkan dengan anggota wuduk yang bercahaya. Lagi luas kawasan yang terkena air wuduk, lagi banyak kawasan yang bercahaya.

Marilah kita memperelokkan wuduk, menyempurnakannya serta menjaga wuduk.

26hb Jamadil Awal 1446H
28hb November 2024

Tuesday, 26 November 2024

Halau Syaitan Dirongga Hidung

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Halau Syaitan Dirongga Hidung

عن أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَتَوَضَّأَ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثًا  فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيتُ عَلَى خَيْشُومِهِ

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda,  “Jika salah seorang di antara kalian bangun dari tidurnya, maka hendaklah berwuduk lalu beristintsar (mengeluarkan air dari hidung) sebanyak tiga kali kerana syaitan bermalam di rongga hidungnya.” (HR. Bukhari No: 3295) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar kita beradab dan berakhlak dalam setiap perkara.

2.  Antara adab seorang Muslim selepas bangun daripada tidur adalah mengambl wuduk.

3.  Beristintsar (mengeluarkan air dari dalam rongga hidung selepas menghirupnya) ketika berwuduk adalah sunat dilakukan.

4.  Antara hikmah memasukkan air kedalam rongga hidung dan mengeluarkan kembali sebanyak tiga kali selain daripada membersihkan kotoran daripada hidung juga bertujuan untuk menghalau syaitan yang menumpang bermalam di lubang hidung.

Pastikan amalan memasukkan dan mengeluarkan air ke dalam rongga hidung kita lakukan sebaik sahaja bangun dari tidur melalui amalan berwuduk.

25hb Jamadil Awal 1446H
27hb November 2024

Monday, 25 November 2024

Bersiwak Apabila Masuk Rumah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersiwak Apabila Masuk Rumah

عَنْ الْمِقْدَامِ بْنِ شُرَيْحٍ عَنْ أَبِيهِ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ قُلْتُ بِأَيِّ شَيْءٍ كَانَ يَبْدَأُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ بَيْتَهُ قَالَتْ بِالسِّوَاكِ

Daripada al-Miqdam bin Syuraih dari bapaknya dia berkata, "Saya bertanya kepada Aisyah, Apakah perkara yang Nabi SAW lakukan apabila apabila masuk kedalam rumahnya? ' Dia menjawab: “bersiwak". (HR Muslim No: 371) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amalan bersiwak atau menggosok gigi amat dituntut ke atas setiap Muslim.

2.  Bersiwak atau membersihkan gigi bukan hanya dituntut ketika hendak mengerjakan solat malah masuk ke rumah untuk bersama dengan ahli keluarga.

3.  Nabi SAW apabila memasuki rumahnya, perkara pertama akan dilakukan ialah bersiwak ini menunjukkan Islam mementingkan kebersihan termasuk kebersihan mulut.

4.  Bersiwak boleh dilakukan setiap waktu (Syarhul mumti’ 1/120, Fiqhul Islami wa Adillatuhu) dan ia tidak disyaratkan hanya bersiwak ketika mulut dalam keadaan kotor [Syarhul Mumti’ 1/125].

24hb Jamadil Awal 1446H
26hb November 2024

Sunday, 24 November 2024

Tuntutan Bersiwak

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Bersiwak

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلَاةٍ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya tidak memberatkan ummatku atau manusia, nescaya aku akan perintahkan kepada mereka untuk bersiwak (menggosok gigi) pada setiap kali hendak solat." (HR Bukhari No: 838) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bersiwak (menggosok gigi) adalah antara sunah yang mudah dan paling kerap dilakukan oleh Rasulullah SAW.

2.  Rasulullah SAW sentiasa bersiwak  (menggosok gigi) dan amat menggalakkan umatnya agar menggosok gigi setiap kali hendak melaksanakan solat fardhu mahupun nawafil (sunat).

3.  Kebersihan dituntut kepada setiap Muslim antaranya kebersihan mulut dan gigi lebih-lebih lagi ketika melaksanakan ibadat solat (bertaqarub).

4.  Bersiwak atau menggosok gigi memiliki faedah yang banyak  antaranya mulut akan sentiasa bersih, gigi menjadi puteh dan sihat, menghilangkan bau kurang enak yang keluar dari mulut, dan lain-lain. 

5.  Dr. Wahbah Az-Zuhaili dalam  Fiqhul Islami wa Adillatuhu  menyebutkan: “Telah sepakat para ulama bahawasanya bersiwak adalah sunnah muakkadah kerana anjuran Rasulullah SAW dan baginda sentiasa melakukannya dan kecintaan baginda serta ajakan baginda kepada siwak tersebut.”

23hb Jamadil Awal 1446H
25hb November 2024

Saturday, 23 November 2024

Dosa Meresahkan Hati

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dosa Meresahkan Hati

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سَمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ أَنَّهُ سَأَلَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي نَفْسِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ النَّاسُ عَلَيْهِ

Daripada Nawwas bin Sam'an Al Anshari, bahawa ia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang kebaikan dan dosa. Maka baginda bersabda: "Sesungguhnya kebaikan itu adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa itu adalah apa yang menggelisahkan hatimu dan kamu benci jika manusia mengetahuinya." (HR Ahmad No: 16975) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap amal baik yang dilakukan seorang Muslim merupakan akhlak yang terpuji dan mendapat ganjaran pahala

2.  Amal buruk merupakan akhlak keji dan perbuatan tersebut mendapat dosa

3.  Perbuatan dosa yang dilakukan oleh seorang Muslim akan menjadikan hatinya tidak tenang dan tenteram

4.  Pelaku perbuatan dosa akan malu dan tidak suka kalau perbuatan tersebut diketahui orang lain

Berusaha melakukan amal kebaikan dan menjauhi bersungguh-sungguh perbuatan dosa

22hb Jamadil Awal 1446H
24hb November 2024

Friday, 22 November 2024

Istiqamah Jaga Lidah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Istiqamah Jaga Lidah

عن أَبي سَعيدٍ الخُدْرِيِّ عن النَّبيّ ﷺ قَالَ إِذَا أَصْبَحَ ابْنُ آدَمَ فَإِنَّ اْلأََعْضَاءَ كُلَّهَا تُكَفِّرُ اللِّسَانَ فَتَقُوْلُ : اِتَّقِ اللهَ فِيْنَا فَإِنَّمَـا نَحْنُ بِكَ فَإِنِ اسْتَقَمْتَ اِسْتَقَمْنَا وَإِنِ اعْوَجَجْتَ اِعْوَجَجْنَا

Daripada Abu Said al-Hudari dari Nabi SAW baginda bersabda: “Jika anak keturunan Adam berada di pagi hari, seluruh organ tubuh tunduk kepada lidah dengan berkata, ‘Bertakwalah kepada Allah Azza wa Jalla pada kami, kerana kami bersamamu. Jika engkau istiqâmah, kami juga istiqâmah. Jika engkau menyimpang, kami juga menyimpang.” (HR Tirmidzi No: 2407). Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Lidah boleh menjadi penyebab seseorang kufur.

2. Jika lisannya (termasuk tulisan) istiqâmah dalam ketaatan atau tidak mengucapkan perkataan yang mendatangkan dosa dan murka Allah, seseorang itu akan selamat di sisi Allah.

3. Lisan yang tidak dijaga (termasuk tulisan) malah biasa dengan mengumpat dan memfitnah, maka perbuatan itu akan berterusan dan akan menyeret tuannya ke neraka.

4. Setiap yang diucap mahupun ditulis sama ada yang baik mahupun yang buruk akan dicatat oleh Malaikat dan akan dihisab. Firman Allah:

مَّا يَلۡفِظُ مِن قَوۡلٍ إِلَّا لَدَيۡهِ رَقِيبٌ عَتِيدٞ

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya). (Surah Qâf ayat:18)

21hb Jamadil Awal 1446H
23hb November 2024

Thursday, 21 November 2024

Hanya Amal Solleh Yang Kekal

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hanya Amal Solleh Yang Kekal

سَمِعَ أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَتْبَعُ الْمَيِّتَ ثَلَاثَةٌ فَيَرْجِعُ اثْنَانِ وَيَبْقَى مَعَهُ وَاحِدٌ يَتْبَعُهُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَعَمَلُهُ فَيَرْجِعُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَيَبْقَى عَمَلُهُ

Telah mendengar Anas bin Malik bahawa, Rasulullah SAW bersabda: "Mayat akan diiringi dengan tiga perkara, yang dua akan kembali hanya satu yang menemaninya. Ia akan diiringi oleh keluarganya, hartanya dan amalnya. Harta dan keluarganya akan kembali meninggalkannya, hanya amalnya yang akan terus tetap bersamanya." (HR Bukhari No: 6033) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bila mati anak Adam, akan mengiringi mayatnya kekubur terdiri daripada ahli keluarga, harta juga amalnya.

2.  Selepas pengkebumian, dua yang mengiringi akan pulang: 

a.  Ahli keluarga akan pulang kerumah masing-masing untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. 
b.  Harta yang ditinggalkan simati akan diagih-agihkan kepada pewaris.

3.  Yang kekal mengiringi si mati hanyalah amalnya. Jika banyak amal solleh semasa dia hidup dahulu – beruntunglah si mati, amal itu menjadi teman dan pembantunya.

Marilah kita memastikan semasa kita hidup untuk membanyakkan amal yang boleh dijadikan teman dan menjadi bekalan kita nanti.

20hb Jamadil Awal 1446H
22hb November 2024

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...