السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PEKERJAAN PALING BAIK
عن سعيد بن عمير الأنصاري قال : سُئِلَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- أَىُّ الْكَسْبِ أَطْيَبُ؟ قَالَ: عَمَلُ الرَّجُلِ بِيَدِهِ، وَكُلُّ بَيْعٍ مَبْرُورٍ
Daripada Said bin Amir al-Ansari berkata, Rasulullah SAW ditanya,
“Pekerjaan apakah yang paling baik?”
Baginda menjawab:
“Pekerjaan seseorang yang dilakukan dengan tangannya sendiri dan setiap perniagaan yang baik.”
(HR. Baihaqi, No: 1222)
Status: Sahih lighairihi
Pengajaran:
1. Setiap kita wajib melakukan usaha dan ikhtiar bekerja mencari nafkah dan perbelanjaan kehidupan.
2. Sumber nafkah hendaklah diperoleh daripada sumber yang halal dan diharuskan syarak.
3. Pekerjaan yang paling baik ialah yang dilakukan dengan tangan sendiri (usaha sendiri dan tidak bergantung kepada yang lain), juga perniagaan yang halal.
4. Pekerjaan dengan tangan sendiri bermaksud pekerjaan yang dilakukan seseorang tanpa meminta-minta. Ia termasuk kerja menggunakan tulang empat kerat seperti buruh, tukang, operator; serta kerja menggunakan kelayakan akademik seperti doktor, guru, pegawai tadbir dan seumpamanya.
5. Perniagaan yang baik ialah yang bebas daripada penipuan dan kecurangan — sama ada dari segi timbangan, maklumat produk, atau unsur penindasan.
6. Keberkatan dalam rezeki lebih utama daripada kuantiti. Rezeki yang halal dan digunakan pada jalan yang diredai Allah memberi keberkatan dalam kehidupan.
03 Zulkaedah 1446H | 01 Mei 2025M
Selamat Hari Pekerja – Pekerja Kesuma Bangsa