Wednesday, 14 May 2025

GURU PEMACU REFORMASI PENDIDIKAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ

GURU PEMACU REFORMASI PENDIDIKAN

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
"مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا، وَمَنْ دَعَا إِلَى ضَلاَلَةٍ، كَانَ عَلَيْهِ مِنَ الإِثْمِ مِثْلُ آثَامِ مَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ آثَامِهِمْ شَيْئًا."

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa mengajak kepada kebaikan, maka ia akan mendapat pahala sebanyak pahala yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Sebaliknya, barang siapa mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun.”

(Hadis Riwayat Muslim, No. 4831 – Hadis Sahih)

Pengajaran Hadis:

1. Sesiapa sahaja yang mengajak, menasihati serta membimbing kepada kebaikan adalah seorang guru pada hakikatnya.


2. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa besar ganjaran orang yang menyampaikan kebenaran kerana pahalanya terus mengalir daripada mereka yang mengikutinya.


3. Guru yang ingin meraih pahala berterusan mesti melengkapkan diri dengan ilmu yang sahih, selari dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.


4. Guru sejati akan berusaha tanpa jemu menyampaikan ilmu demi membentuk generasi berilmu dan bermanfaat.


5. Ganjaran pahala bagi guru yang mengajar ilmu yang benar adalah sama seperti orang yang mengamalkannya.


6. Lebih ramai yang diajar kepada kebaikan, lebih banyak pahala berpanjangan yang dikumpul.


7. Sebaliknya, sesiapa yang mengajak kepada keburukan akan mendapat dosa seperti mana yang dilakukan oleh pengikutnya.


8. Menyebarkan maklumat palsu, fitnah atau pengaruh buruk di media sosial juga termasuk dalam kesesatan yang berdosa berpanjangan.


9. Berhati-hatilah dengan kata-kata, tulisan dan perkongsian kita kerana ia mungkin memberi kesan baik atau buruk kepada orang lain.


10. Hadis ini mengingatkan bahawa amalan seseorang, baik atau buruk, boleh memberi kesan berterusan walaupun setelah meninggal dunia.



Marilah kita menjadi “guru” yang menyampaikan ilmu dan kebaikan, walaupun bukan secara formal. Gunakanlah medium semasa seperti TikTok, FB, WhatsApp dan lain-lain sebagai saluran menyebar pahala berterusan.

SELAMAT HARI GURU – GURU PEMACU REFORMASI PENDIDIKAN

17 Zulkaedah 1446H | 15 Mei 2025M

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...