السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
DUA TITISAN DAN KESAN YANG DICINTAI ALLAH SWT
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ شَيْءٌ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ قَطْرَتَيْنِ وَأَثَرَيْنِ، قَطْرَةٌ مِنْ دُمُوعٍ فِي خَشْيَةِ اللَّهِ، وَقَطْرَةُ دَمٍ تُهَرَاقُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَأَمَّا الْأَثَرَانِ: فَأَثَرٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَأَثَرٌ فِي فَرِيضَةٍ مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ.
Daripada Abu Umamah RA, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:
"Tiada sesuatu perkara yang paling disukai oleh Allah melainkan dua titisan dan dua kesan:
Titisan air mata yang menangis kerana takutkan kepada Allah, dan titisan darah yang tumpah di jalan Allah.
Adapun dua kesan yang Allah sukai ialah kesan pada jalan Allah dan kesan daripada kefardhuan Allah."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi, No. 1669)
Status: Hasan
Pengajaran Hadis:
1. Allah SWT amat menyukai amalan yang dilakukan secara ikhlas semata-mata kerana-Nya. Semakin banyak kesusahan yang dilalui, semakin besar ganjaran pahala.
2. Dua titisan yang dicintai Allah:
Air mata yang mengalir kerana takut kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang dilakukan.
> Rasulullah SAW menyebut salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat naungan Allah pada Hari Kiamat ialah:
"Seorang lelaki yang mengingati Allah dalam keadaan bersendirian lalu mengalir air matanya."
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Darah yang tumpah kerana berjuang di jalan Allah SWT.
3. Dua kesan yang dicintai Allah:
Kesan luka akibat berjuang di jalan Allah SWT.
Kesan fizikal atau perubahan yang berlaku hasil melakukan ibadah fardhu seperti kesan sujud di dahi, kepenatan dari berpuasa, dan sebagainya.
4. Hadis ini mendidik kita untuk menghargai pengorbanan dalam ibadah, walau sekecil mana pun ia.
📆 02 Zulhijjah 1446H | 30 Mei 2025M
No comments:
Post a Comment