السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
KEWAJIPAN IBADAH HAJI
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ:
خَطَبَنَا رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ قَدْ فَرَضَ اللَّهُ عَلَيْكُمْ الْحَجَّ فَحُجُّوا. فَقَالَ رَجُلٌ: أَكُلَّ عَامٍ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ فَسَكَتَ حَتَّى قَالَهَا ثَلَاثًا، فَقَالَ النَّبِيُّ ﷺ: لَوْ قُلْتُ نَعَمْ لَوَجَبَتْ وَلَمَا اسْتَطَعْتُمْ.
Daripada Abu Hurairah RA, ia berkata:
Rasulullah SAW pernah berkhutbah:
“Wahai sekalian manusia, Allah telah mewajibkan haji bagi kalian, maka laksanakanlah ibadat haji.”
Seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah ia diwajibkan setiap tahun?”
Baginda diam, sehingga lelaki itu bertanya tiga kali.
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
“Jika aku katakan ‘ya’, nescaya ia akan diwajibkan, dan kamu tidak akan mampu melaksanakannya.”
(Hadis Riwayat Muslim, No. 1337) | Status: Sahih
PENGAJARAN HADIS:
1. Ibadah haji adalah salah satu daripada rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf.
2. Kewajipan ibadah haji hanya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.
3. Mereka yang tiada halangan dari segi kewangan, kesihatan dan kemudahan, tetapi masih tidak berusaha menunaikannya dengan alasan “belum sampai seru”, dibimbangi meninggal dunia dalam keadaan tidak diredhai Allah.
عَنْ أَبِي أُمَامَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
مَنْ لَمْ يَمْنَعْهُ عَنِ الْحَجِّ حَاجَةٌ ظَاهِرَةٌ أَوْ سُلْطَانٌ جَائِرٌ أَوْ مَرَضٌ حَابِسٌ، فَمَاتَ وَلَمْ يَحُجَّ، فَلْيَمُتْ إِنْ شَاءَ يَهُودِيًّا وَإِنْ شَاءَ نَصْرَانِيًّا.
Daripada Abu Umamah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang tidak terhalang daripada menunaikan haji oleh keuzuran yang nyata, pemerintah yang zalim atau penyakit yang menghalang, lalu dia mati tanpa sempat menunaikan haji, maka matilah dia – jika dia mahu – sebagai Yahudi atau Nasrani.”
(Hadis Riwayat al-Darimi, No. 1719) | Status: Isnad Dhaif
4. Kewajipan menunaikan haji tertakluk kepada keupayaan kewangan dan logistik, termasuk nafkah keluarga yang ditinggalkan.
5. Jika belum dapat giliran haji tahun ini, pastikan sudah mendaftar dan menabung di Tabung Haji sebagai persiapan awal.
6. Menurut Imam Ahmad Ibn Hanbal, jika seseorang memiliki lebihan harta seperti rumah atau kenderaan melebihi keperluan, maka wajib dijual sebahagiannya untuk menunaikan haji.
Bersegeralah menyediakan kemampuan untuk menunaikan haji dan umrah. Jika tidak menabung dan mendaftar sekarang, bila lagi? Daftarkan juga anak-anak dari awal.
Bagi yang terpilih menjadi Duyufurrahman tahun ini, selamat berangkat dan semoga dikurniakan haji yang mabrur.
06 Zulkaedah 1446H | 04 Mei 2025M
No comments:
Post a Comment