Friday, 2 May 2025

Zulkaedah Antara Bulan Haram

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Zulkaedah Antara Bulan Haram*

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

_*Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.”*_ (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang juga sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain. 

2.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan pada bulan bulan ini juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

3. Dalam  empat bulan ini, umat Islam diperintahkan untuk menjauhi peperangan, kezaliman, dan dosa, kerana kemuliaan waktu ini menjadikan dosa lebih besar dan pahala lebih berganda. Empat bulan haram adalah peluang untuk memperbanyak amal soleh dan meninggalkan dosa.
Umat Islam digalakkan berpuasa sunat, memperbanyak sedekah dan ibadah lain dalam bulan ini.

4. Ambillah kesempatan ketika berada di salah satu bulan haram yang mulia ini untuk melakukan pelbagai amal soleh. Antara amal soleh yang boleh dilakukan:

a)  Perbanyakkan zikir, membaca al-Quran, berdoa dan memohon  keampunan
b)  Puasa sunat seperti isnin, khamis, 13, 14 & 15 haribulan
c)  Hidupkan malam hari dengan ibadat qiamullail
d)  Perbanyakkan bersedekah dan melakukan amal kebajikan yang lain
e)  Berusahalah melaksanakan ibadat kurban pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah
f)  Berusahalah meninggalkan maksiat dan perkara yang tidak berfaedah.

05hb Zulkaedah 1446H
03hb Mei 2025

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...