Tuesday 31 August 2021

Muslim Yang Utama

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Yang Utama

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya".(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis dan menyebarkan sesuatu yang berbentuk umpatan,  fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain.

4.  Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, Whatsapp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا 

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.” (Surah Al-Isra 17 ; Ayat 36)

5.  Imam al-Khaththabi berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

Jadilah Muslim yang utama dengan menjaga lisan dan tangan kita daripada menyakiti dan menzalimi orang lain termasuk menulis juga mentularkan di media sosial.

01hb September  2021
23hb Muharam 1443H

Sunday 29 August 2021

Mulia dan Tinggi Darajat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mulia dan Tinggi Darajat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ لِلَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sedekah tidak akan mengurangi harta. Allah pasti menambahkan kemuliaan kepada seorang hamba yang memiliki sifat memaafkan. Tidak ada balasan bagi seseorang yang rendah hati kepada Allah, kecuali Allah mengangkat darjatnya”  (Sahih Muslim No: 258) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sedekah dalam apa jua bentuk seperti wang ringgit, barangan, makanan tidak sama sekali mengurangkan harta malah menambahkannya. 

عَنْ أَسْمَاءَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَنْفِقِي وَلَا تُحْصِي فَيُحْصِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَلَا تُوعِي فَيُوعِيَ اللَّهُ عَلَيْكِ

Daripada Asma RA Rasulullah SAW bersabda: Bersedekahlah, jangan engkau menghitung-hitungnya, agar Allah tidak menghitung-hitung pemberian-Nya kepadamu dan janganlah engkau mengumpul-ngumpulkannya (tidak bersedekah) agar Allah tidak kikir kepadamu” (Sahih Bukhari No: 2451) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

2.  Orang yang memaafkan, Allah akan menambahkan kemuliaan untuknya di sisi Allah. Ambillah kesempatan bulan Syawal ini untuk saling bermaafan sesama kita.

3.  Pemaaf dapat menghilangkan rasa permusuhan dan memperbanyak sahabat

4.  Pemaaf akan melahirkan sifat tawaduk, menghilangkan sifat sombong dan angkuh. Firman Allah:

خُذِ الْعَفْوَ وَأْمُرْ بِالْعُرْفِ وَأَعْرِضْ عَنِ الْجَاهِلِينَ (١٩٩)

Jadilah engkau pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang makruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh. (QS. Al-A’raf 7:199)

5.  Allah mengangkat darjat kepada orang yang tawadukk.
Tawaduk ialah bersikap rendah hati iaitu sifat yang diperintahkan di dalam Islam. Di dalam Al-Quran Allah berfirman:

وَاخْفِضْ جَنَاحَكَ لِمَنِ اتَّبَعَكَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan rendahkanlah dirimu kepada kaum mukminin yang mengikutimu.” (Al Hijr: 88)

Marilah kita jadi pemurah, pemaaf dan rendah hati.

30hb Ogos  2021
21hb Muharam 1443H

Saturday 28 August 2021

Sifat Lemah Lembut Menjemput Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sifat Lemah Lembut Menjemput Kebaikan

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ
 
Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: ‘Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), bererti ia dijauhkan dari kebaikan.'”(HR Muslim No:  4694) Status: Hadis Sahih
 
Pengajaran:

1.  Lemah lembut adalah salah satu sifat terpuji

2.  Orang yang dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), bererti ia dijauhkan dari kebaikan

3.  Jadilah orang yang memiliki sifat lemah lembut dan kasih sayang, nescaya pelbagai kebaikan akan dianugerahkan Ilahi seperti anugerah nikmat iman dan islam, nikmat kesihatan, nikmat rezeki dan dijauhkan musibah serta lain-lain.

4.  Setiap Muslim perlu sentiasa bertingkah laku dengan lemah lembut bukan keras. Firman Allah:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ

Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu (Ali Imran: 159).
 
Jangan sampai kita dijauhi daripada segala kebaikan dengan sebab tidak memiliki sifat lemah lembut (kasih sayang).

29hb Ogos  2021
20hb Muharam 1443H

Friday 27 August 2021

Jadilah Orang Yang Paling Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Orang Yang Paling Baik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ

Daripada Abu Hurairah RA Rasulullah SAW berdiri di hadapan orang orang yang sedang duduk lalu baginda bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling baik di antara kalian dari orang yang paling buruk di antara kalian?" Abu Hurairah berkata: Para sahabat diam, baginda mengatakan demikian sampai tiga kali, kemudian salah seorang berkata: Ya, wahai Rasulullah, beritahukan kepada kami orang yang paling baik di antara kami dari orang yang paling buruk, baginda bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya." (HR Tirmizi No: 2189) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di kalangan kita ada orang yang paling baik dan ada orang yang paling buruk

2.  Orang yang paling baik dalam kalangan kita adalah orang yang sentiasa melakukan kebaikan dan tidak melakukan kejahatan

3.  Orang yang paling buruk dalam kalangan kita adalah orang yang tidak melakukan kebaikan dan tidak dapat manafaat dari kebaikannya serta melakukan kejahatan dan kita mendapat mudarat daripada kejahatannya.

4.  Kata Saidina Omar: Jadilah kamu orang yang apabila tiada pemimpin dari kalangan kamu, kamu seolah-olah pemimpin mereka. Jika kamu dilantik sebagai pemimpin, kamu seolah-olah salah seorang dari mereka.

Berusahalah menjadi orang yang paling baik agar kita bermanfaat kepada orang lain dan tidak mendatangkan keburukan dan mudarat.

28hb Ogos  2021
19hb Muharam 1443H

Thursday 26 August 2021

Tanggungjawab Orang Beriman

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tanggungjawab Orang Beriman
  
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ حِينَ بَعَثَهُ إِلَى الْيَمَنِ إِنَّكَ سَتَأْتِي قَوْمًا أَهْلَ كِتَابٍ فَإِذَا جِئْتَهُمْ فَادْعُهُمْ إِلَى أَنْ يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ خَمْسَ صَلَوَاتٍ فِي كُلِّ يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَأَخْبِرْهُمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ فَرَضَ عَلَيْهِمْ صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِنْ أَغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ عَلَى فُقَرَائِهِمْ فَإِنْ هُمْ أَطَاعُوا لَكَ بِذَلِكَ فَإِيَّاكَ وَكَرَائِمَ أَمْوَالِهِمْ وَاتَّقِ دَعْوَةَ الْمَظْلُومِ فَإِنَّهُ لَيْسَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Daripada Ibnu Abbas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda kepada Mu'adz bin Jabal RA ketika baginda mengutusnya ke Yaman: "Sesungguhnya kamu akan mendatangi kaum Ahlul Kitab (Yahudi dan Nasrani), jika kamu sudah mendatangi mereka maka ajaklah mereka itu untuk mengucap syahadah bersaksi bahawa tidak ada illah yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah utusan Allah. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka hendaklah kamu beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan bagi mereka solat lima waktu sehari semalam. Jika mereka mengikuti seruan kamu, maka beritahu kepada mereka bahawa Allah mewajibkan bagi mereka zakat yang diambil dari kalangan orang mampu dari mereka untuk diagihkan kepada orang yang faqir dari kalangan mereka. Jika mereka mentaati kamu dalam hal itu maka janganlah kamu mengambil harta-harta terhormat mereka dan takutlah terhadap doa orang yang dizalimi kerana antara dia dan Allah tidak ada hijab (sekatan yang menghalangi)". (HR Bukhari No: 1401) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab dalam berdakwah untuk menyeru orang ramai supaya beriman kepada Allah dan Rasul dengan cara mengakui Allah yang menjadikan sekalian alam dan mentadbir sekalian makhluk di samping mentaati seruan dan perintah yang dibawa oleh Rasulullah.

2.  Menjadi tanggungjawab orang yang beriman untuk melaksanakan perintah solat yang wajib lima kali sehari semalam sebagai tanda ketundukan dan kepatuhan kepada Pencipta.

وَٱسۡتَعِينُواْ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى ٱلۡخَٰشِعِينَ ٤٥ 

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk (Al-Baqarah: 45)

3.  Menjadi tanggungjawab orang beriman yang memiliki harta untuk mengeluarkan sebahagian daripada harta mereka sebagai zakat kepada golongan fakir miskin yang memerlukan bagi melahirkan kehidupan yang rahmah dan harmoni.

4.  Sebagai pemimpin dan pentadbir, diingatkan agar tidak sekali-kali menyalah gunakan kuasa untuk sebarang kepentingan diri dengan memerah rakyat bawahan, menyakiti mereka serta menzalimi mereka.

5.  Rasulullah SAW mengingatkan bahawa doa orang yang dizalimi itu amat mudah dimakbulkan Allah kerana tidak ada hijab antara dia dengan Allah.

Jangan sekali-kali kita menzalimi orang lain kerana kedudukan orang yang dizalimi itu amat dekat dengan Allah.

27hb Ogos  2021
18hb Muharam 1443H

Wednesday 25 August 2021

Larangan Memboikot Sesama Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Larangan Memboikot Sesama Muslim

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ

Daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian saling membenci, janganlah saling mendengki dan janganlah kalian saling membelakangi dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara, dan tidak halal bagi seorang muslim mendiamkan saudaranya melebihi tiga malam." (HR Bukhari No: 5612) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam melarang sifat saling membenci sesama Muslim.

2.  Islam juga melarang sifat saling dengki atau iri hati terhadap kelebihan orang lain

3.  Saling membelakangi atau saling bermusuh sesama Muslim adalah dilarang sama sekali

4.  Muslim dituntut saling bersaudara dan berkasih sayang

5.  Sesama Muslim dilarang  tidak bertegur sapa melebihi tiga malam.

6.  Tinggalkanlah segala umpat keji, fitnah yang mungkin dilakukan sebelum ini. Jalinkanlah kembali ikatan ukhuwah sesama muslim. Menjaga ukhuwah itu wajib seperti kita menjaga solat dan puasa.

Islam adalah agama RAHMAH, saling berkasih sayang, bukan membenci dan memusuhi.

26hb Ogos  2021
17hb Muharam 1443H

Saturday 21 August 2021

Pemimpin & Pembantu Jujur

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin & Pembantu Jujur

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِالْأَمِيرِ خَيْرًا جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صِدْقٍ إِنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ وَإِنْ ذَكَرَ أَعَانَهُ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ إِنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ وَإِنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ

Daripada Aisyah RA, ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri pemimpin maka Allah akan menjadikan baginya menteri (pembantu) yang jujur, apabila ia lupa maka ia akan mengingatkannya dan apabila ia ingat maka ia akan membantunya. Dan apabila Allah menghendaki selain itu (keburukan) pada diri seorang pemimpin maka Allah jadikan baginya menteri (pembantu) yang buruk, apabila ia lupa maka ia tidak mengingatkannya, dan apabila ia ingat maka ia tidak membantunya." (HR Abu Daud No: 2543) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Pemimpin memerlukan pembantu yang boleh meringankan tugas kepimpinan.

2.  Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik, akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredhai Allah.

3.  Pembantu dan pekerja yang baik memiliki sifat kuat dan amanah seperti firman Allah:

إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَئْجَرْتَ الْقَوِىُّ الاَمِينُ

Sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah. [al-Qasas:26]

Sebaik-baik pekerja  ialah yang memiliki dua sifat iaitu kuat yang merujuk kepada kemampuan melaksanakan tugas (kompeten) dan amanah yang merujuk kepada orang yang dipercayai dan takut kepada Allah serta tidak menyeleweng (Integriti). 

4.  Pembantu yang baik akan memberikan maklumat yang tepat dan benar kepada ketua agar tindakan dapat diambil dengan tepat dan hikmah.

5.  Pembantu yang jujur, akan mengingatkan kepada ketua jika lupa atau silap dan akan segera membantu, bukan turut sama mengiakan kesilapan.

6.  Pemimpin atau ketua sewajarnya melantik pembantu yang benar-benar layak, amanah, berintegriti dan memiliki kompeten (kemampuan) untuk membantunya memimpin organisasi atau Negara dengan baik. 

7.  Jika kita sebagai ketua, pastikan pembantu yang dipilih benar-benar layak dan sentiasa bersedia mengingatkan pemimpin bukan hanya pembodek dan pengambil kesempatan. 

8.  Sebagai pemimpin kita perlu  berintegriti, memiliki kompeten, berkemampuan dan amanah yang akan memacu kemakmuran dan kestabilan  Negara. 

Jika kita pembantu, jadilah kita orang yang berusaha memastikan ketua kita berada di atas landasan yang betul dan diredhai Allah bukan membiarkan ketua berterusan dalam kemurkaan Allah.


22hb Ogos  2021
13hb Muharam 1443H

Friday 20 August 2021

Pemimpin dan Tanggungjawab

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin dan Tanggungjawab

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Daripada Ibnu Umar RA dari Nabi SAW, bahawa baginda bersabda: "Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin, dan setiap kalian bertanggung jawab atas apa yang dipimpinnya. Seorang pemimpin yang memimpin rakyat akan bertanggung jawab atas rakyatnya, seorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang wanita juga pemimpin atas rumah suaminya dan anak-anaknya, dan dia bertanggung jawab atas mereka semua, seorang hamba adalah pemimpin atas harta tuannya, dan dia bertanggung jawab atas harta tersebut. Setiap kalian adalah pemimpin dan akan bertanggung jawab atas kepemimpinannya." (HR Muslim No: 3408) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap orang dari kalangan kita adalah pemimpin yang mempunyai amanah dan tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Antaranya:

a.  Sebagai menteri, wakil rakyat, ketua jabatan dan sebagainya, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas rakyat dan orang bawahannya.

b.  Sebagai lelaki, ia memiliki amanah dan bertanggungjawab kepada ahli keluarganya seperti sebagai suami, bapa mahupun anak lelaki.

c.  Sebagai wanita, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas suami dan anak-anaknya

d.  Sebagai hamba, ia memiliki amanah dan tanggungjawab ke atas harta tuannya. Sebagai pekerja, kita ada amanah dan tanggungjawab terhadap majikan untuk dlaksanakan selagi tidak bercangah dengan syarak.

2.  Setiap pemimpin perlu melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh serta berupaya mewujudkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan kepada pengikut yang berada di bawah kepimpinannya. Bukan menggunakan jawatan untuk kepentingan diri.

3.  Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan atau kebanggaan (tasyrif) tetapi ia adalah tanggungjawab dan amanah (taklif). Segala amanah dan tanggungjawab yang diterima akan dipersoal setiap satu di hari kiamat. 

4.  Hakikat kepemimpinan adalah bertanggungjawab mewujudkan  kesejahteraan. Seorang bapa bukan hanya sekadar memberi makan dan minum kepada anak-anaknya tetapi perlu berusaha memenuhi standard keperluan makanan yang baik dan berzat. Bukan hanya keperluan material malah juga keperluan pendidikan dan kerohanian.

5.  Seorang pemimpin seperti pak menteri, bukan hanya menjadi  “pemerintah” sahaja, namun yang lebih penting berupaya mewujudkan kestabilan, menangani krisis, memulihkan ekonomi. Mampu mengangkat rakyatnya dari jurang kemiskinan kepada kesejahteraan. Tidak hanya berjaya melahirkan tokoh-tokoh korporat dari kalangan kawan rapat malah rakyat seluruhnya. Bukan hanya membangunkan kehidupan rakyat yang terdiri daripada ahli parti yang menyokongnya malah seluruh anggota rakyat di bawah pemerintahannya.

Berusahalah menjadi pemimpin yang kompeten dan berintegriti. Jauhi rasuah. Semoga Allah membantu setiap kita dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dalam kepimpinan ini.

21hb Ogos  2021
12hb Muharam 1443H

MADU

"Wahai 'asal(madu).." Perkataan yang digunakan orang Arab dengan tujuan bermanis mulut atau untuk berlemah lembut dalam ucapan. Namun hakikatnya bermaksud kamu mendoakan dengan satu doa yang sangat indah kepada orang yang kamu ucapkan ungkapan 'asal(madu) kepadanya.

" Ya 'Asal"

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Apabila Allah mencintai seseorang hamba, nescaya Dia akan memberinya 'asal."

Sahabat bertanya, " Apakah maksud 'asal wahai Rasulullah?" 

Jawab Baginda, "Allah berikan taufiq untuk beramal soleh, kemudian Allah cabut nyawanya dalam keadaan husnul khatimah.”
-Hadis riwayat Ahmad

Wednesday 18 August 2021

Pemimpin Yang Adil

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Adil

حَدَّثَنَا فُضَيْلٌ عَنْ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَقْرَبَهُمْ مِنْهُ مَجْلِسًا إِمَامٌ عَادِلٌ وَإِنَّ أَبْغَضَ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَشَدَّهُ عَذَابًا إِمَامٌ جَائِرٌ

Telah menceritakan kepada kami Fudhail dari 'Athiyyah dari Abu Sa'id ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah 'azza wajalla pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dari Allah adalah seorang pemimpin yang adil, sedangkan orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaannya adalah pemimpin yang zalim." (HR Ahmad No:10745) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduk di sisi Allah ialah pemimpin yang adil.

2.  Pemimpin yang adil adalah satu  daripada tujuh golongan yang mendapat naungan di padang mahsyar. Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَوْ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ ....

Dari Abu Hurairah atau dari Abu Sa'id, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil…  (Hadis Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

3.  Syarah Musimmenyatakan: Imam ialah orang yang yang diserahkan padanya urusan dan maslahah umat Islam termasuk pegawai dan pemerintah. Dalam Sunan Tirmizi: Imam yang adil disebut sebagai golongan terawal mendapat perlindungan di Padang Mahsyar kerana kepentingan dan faedahnya kepada umat.

4.  Keistimewaan ini hanya diberi kepada mereka yang adil dalam perkara yang diamanahkan sama ada mereka itu Khalifah, Sultan, Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, Wakil Rakyat, Hakim, Ketua Jabatan, Pegawai Kerajaan, penjaga anak yatim juga dalam perkara yang wajib ke atasnya, keluarga dan lainnya.

5.  Ibn Hajar berkata: Imam yang dicintai Allah dalam hadis ini adalah orang yang mempunyai tanggungjawab terbesar mengendalikan urusan umat Islam dan ia berlaku adil padanya.

6.  Orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaan untuknya adalah pemimpin atau penguasa yang zalim dan menzalimi rakyat atau orang bawahannya.

7.  Ayuh, setiap kita yang diberi tanggungjawab mengurus umat ini, jangan sesekali berbuat zalim dengan tidak melaksanakan amanah yang diberi  atau berlaku cuai ketika melaksanakannya seperti rasuah, pecah amanah, pengadilan terpilih, racis, melakukan penipuan, membohongi rakyat dll. 

Berusahalah mewujudkan tadbir urus yang baik melalui kepimpinan yang adil dan berintegriti.

19hb Ogos  2021
10hb Muharam 1443H

Saturday 14 August 2021

Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berpuasa Hari Asyura Tanda Kecintaan Kepada Rasul

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ قَدِمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ وَالْيَهُودُ تَصُومُ عَاشُورَاءَ فَقَالُوا هَذَا يَوْمٌ ظَهَرَ فِيهِ مُوسَى عَلَى فِرْعَوْنَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَنْتُمْ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْهُمْ فَصُومُوا

Daripada  Ibnu 'Abbas RA dia berkata; "Ketika Rasulullah SAW  tiba di Madinah, baginda melihat kaum Yahudi berpuasa pada hari Asyura` (10 muharam), mereka berkata; "Lebih tepatnya pada hari Musa mengalahkan Firaun. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Kalian lebih berhak terhadap Musa daripada mereka, maka berpuasalah." (HR Bukhari No: 4312) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibadat Puasa adalah antara syariat yang diwajibkan keatas umat terdahulu. Puasa Hari Asyura (10 muharam) adalah antara syariat Nabi Musa sebagai tanda bersyukur diselamatkan dari Firaun dan tenteranya.

2.  Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura sejak sebelum kewajipan berpuasa Ramadan dan mengajak para sahabat juga berpuasa.

3.  Kita sebagai umat Islam lebih wajar menunjukkan tanda kecintaan kepada para Rasul termasuk kepada Nabi Allah Musa AS. Antara tanda kecintaan itu dengan berpuasa pada hari Nabi Allah Musa AS mengalahkan Firaun dan tenteranya yang ditenggelamkan di laut Merah.

Moga Allah sentiasa menjadikan kita orang yang cinta dan kasih kepada para RasulNya. SELAMAT BERPUASA sunat di bulan Muharam.

15hb Ogos  2021
06hb Muharam 1443H

TUKAR CARA BERDOA

TUKAR CARA BERDOA 

INSYA ALLAH siapa yang betul-betul amalkan, The Power of Doa ini, boleh mengubah hidup kita menjadi yang lebih baik. Biiznillah.

🍀FORMULA 1

Sebelum ini kita selalu berdoa, " Ya ALLAH berikanlah aku kekuatan." Jika kita berdoa begitu, maka ALLAH akan sentiasa uji untuk test kekuatan kita. Faham faham?

Jadi doa yang kita boleh betulkan ialah,

" Ya ALLAH lapangkan kesulitan apa yang aku hadapi ini, Ya ALLAH keluarkan aku dari kesulitan ini, Ya ALLAH bantulah aku)'.

🍀FORMULA KE 2

Selain daripada itu, kita sebelum ini mungkin selalu berdoa, "Ya ALLAH berilah aku...". Jadi, selepas ini kita tukar sikit doa iaitu,

" Ya ALLAH kurniakanlah aku..."

Kerana apa? Jika kita sebut beri maka bila-bila masa ALLAH boleh ambil balik. Namun, jika sebut kurnia, maka ALLAH akan kurniakan kita sesuatu sampai bila-bila INSYA ALLAH.

🍀FORMULA KE 3

Satu lagi, selalu saya dengar dan nampak orang doa begini, "semoga DIMURAHKAN rezeki". Selepas ini, latihkan baca doa begini,

" semoga DILIMPAHKAN rezeki yang berpanjangan dan berkat."

Nampakkan dua perbezaan doa itu? Doa kena betul, sebab setiap doa kita ALLAH dengar dan yakin ALLAH makbulkan doa kita. Jadi dengan doa ini saya nampak betapa pentingnya untuk kita praktikkan dalam kehidupan seharian.

🍀FORMULA KE 4

Selain itu, selalu kan kita berdoa seperti ini, contonya, “Ya ALLAH, kurniakanlah kami zuriat, anak yang soleh dan solehah.” Dan setiap kali itu jugalah kita akan berasa kecewa, stress bila doa tidak dimakbulkan ALLAH.

Kalau selama ni kita hanya minta pada ALLAH sekadar nikmat sahaja. Kita tak benar-benar ikhlas meminta padaNya supaya diberikan nikmat yang lebih bernilai. Maka hari ini, ayuh kita tukar cara berdoa seperti ini, contohnya,

' Ya ALLAH, sekiranya dengan mempunyai zuriat dapat mendekatkan aku dengan diriMu maka makbulkan ya ALLAH..

Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan Engkau lebih memandangku ya Allah, maka kurniakanlah..

Sekiranya dengan mempunyai anak membuatkan ibadahku lebih bertambah dan solatku lebih khusyuk maka izinkanlah nikmat ini Engkau pinjamkan padaku ya ALLAH..

Kerana Engkau sahajalah sebaik2 perancang dan Engkaulah Rabb Yang Maha Mengetahui atas segala sesuatu yang terbatas bagiku. '

Amin Ya Mujib.

Sebabnya, bilamana kita berdoa seperti di atas ini, matlamat dan objektif dalam doa itu bukan terfokus pada nikmat semata, tapi lebih ikhlas kerana hubungan kita pada ALLAH yang memberikan nikmat itu.

🍀FORMULA KE 5

Selalu juga, bila kita berdoa kita minta macam-macam pada ALLAH.. Hingga kita lupa nak bersyukur atas segala nikmat yg telah ALLAH beri.. Kita lupa nak bersyukur dengan rezeki yg sudah ada di hadapan kita..

Jadinya, bersyukur dulu atas apa yg ALLAH dah beri, maka ALLAH akan tambahkan lagi.. Sebagai contoh,

' Ya ALLAH, aku bersyukur umurku masih panjang lagi pada hari ini, maka Engkau jadikanlah hariku sebagai ibadah kepada Mu. Dan redhalah kepadaku ya ALLAH..'

🍀FORMULA KE 6

Satu lagi cara berdoa adalah dengan mendoakan orang lain. Kerana bila mendoakan orang lain, seluruh malaikat di arasy akan turut mengaminkan doa kita.. satu contoh,

' Ya ALLAH, sahabatku ini dalam kesulitan dan kesempitan ya ALLAH.. bantu lah dia ya ALLAH, lapangkan kesulitannya.. permudahkan perjalanan hidupnya ya ALLAH..'

Moga Allah makbulkan setiap permintaan kita. Aamiin Ya Rabbal 'Alamiin.

Sumber : Tanyalah ustaz via Hasmah Solan

Sumber t.me/elewschannel 

#elewschannel

Friday 13 August 2021

Puasa Sunat Di bulan Muharam

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Di bulan Muharam

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Seutama-utama puasa setelah Ramadan ialah puasa dalam bulan Allah iaitu bulan Muharam, dan seutama-utama solat sesudah solat Fardu, ialah solat malam." (HR Muslim No: 1982) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bulan Muharam adalah salah satu bulan haram yang didalamnya dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk memperbanyakan puasa sunat.

2.  Bulan Muharam disebut sebagai bulan Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihan bulan Muharam.

3.  Menurut Imam Nawawi bulan Muharam adalah antara bulan yang paling utama untuk memperbanyak puasa sunat. Antaranya berpuasa pada hari ke-9 (Tasuua’a) dan ke-10 (Asyura’).

4.  Solat sunat yang utama selepas solat fardu ialah solat sunat malam (qiamullail).

Rebutlah peluang kedatangan bulan Muharam untuk melakukan banyak puasa sunat  khususnya pada 9hb Muharam (18hb Ogos - hari Rabu)  dan 10hb Muharam (19hb Ogos - hari Khamis) di samping memperbanyak solat malam.  

14hb Ogos  2021
05hb Muharam 1443H

Thursday 12 August 2021

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin 

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) ' (HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.  Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan. 

3.  Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan. 

4.  Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.  Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.  Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajiran untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.

Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Ummah Sejahtera Yang Berkualiti. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.

13hb Ogos  2021
04hb Muharam 1443H

Wednesday 11 August 2021

Membangun dan Mengimarahkan Masjid

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membangun dan Mengimarahkan Masjid

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَنْ بَنَى مَسْجِدًا يُذْكَرُ فِيهِ اسْمُ اللَّهِ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ

Daripada Umar Ibnul Khatthab RA ia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa membangunkan masjid yang di dalamnya digunakan untuk berzikir kepada Allah, maka Allah akan membangunkan baginya sebuah rumah di syurga." (Sunan Ibnu Majah No: 727) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah memberikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang membina masjid dengan ikhlas semata-mata untuk digunakan di dalamnya bagi mengingati Allah.

2.  Orang yang membangunkan masjid ini tergolong dari kalangan pemakmur masjid Allah. Firman Allah: 

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang  beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain Allah, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (dari Allah Ta’ala)” (QS At-Taubah: 18).

3.  Ibnu al-Jauzi dalam Zaadul Masiir (3/408) berkata: yang dimaksudkan dengan memakmurkan dalam ayat di atas ialah mereka yang:

a.  Selalu mendatangi masjid dan beribadat di dalamnya 
b.  Membangun masjid dan memperbaikinya.

4.  Masjid perlu dibangunkan fizikal serta rohnya (program dan aktiviti yang mendekatkan seseorang kepada Allah). Orang yang membangunkan masjid akan diberi ganjaran mahligai di syurga.

5.  Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah adalah membina Masjid. Dimulakan dengan masjid Quba dan diikuti dengan Masjid Madinah. Masjid dijadikan tempat menghimpunkan rakyat, merapatkan ukhuwah, menyampaikan dakwah, mengajarkan al-Quran serta mengurus pemerintahan. 

6.  Jangan jadikan masjid seperti *gajah puteh*. Kata Saidina Ali: Akan datang suatu zaman ke atas manusia, tidak kekal di dalam Islam kecuali namanya sahaja dan tidak kekal dalam ajaran al-Quran melainkan tinggal tulisannya sahaja, masjid yang besar dan indah dibangunkan di sana sini tetapi manusia tidak mengambil petunjuk daripadanya.

Marilah sempena Sambutan Hijrah 1443 ini kita mencontohi kejayaan dan kegemilangan Rasulullah SAW membangunkan Negara Islam Madinah dengan dimulakan di masjid. Jom ikat diri kita dengan masjid. Mengimarahkan Masjid Tanggungjawab Kita.

Gunakan kelonggaran yang diberi khususnya kepada yang telah mendapat suntikan vaksin untuk mengimarahkan masjid.

12hb Ogos  2021
03hb Muharam 1443H

Monday 9 August 2021

Hijrah Sebenar Meninggalkan Dosa

Hijrah Sebenar Meninggalkan Dosa
=========
1. Dalam sebuah hadis, Rasulullah ﷺ memberikan definisi yang menarik tentang pengertian hijrah. Hijrah bukan sekadar perpindahan secara fizikal semata tetapi perubahan jiwa ke arah yang baik, menjauhkan diri dari perkara yang ditegah oleh Allah. Sabda Rasulullah ﷺ:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Dan orang yang berhijrah itu adalah orang yang berhijrah (menjauhkan diri) daripada melakukan apa yang Allah larang. (HR al-Bukhari)

2. Dalam sebuah riwayat yang lain, Rasulullah ﷺ memperincikan lagi maksud ini kepada meninggalkan dosa dan maksiat. Sabda Rasulullah:

وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ الْخَطَايَا وَالذُّنُوبَ

“Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.” (HR Ahmad)

3. Jelas di sini bahawa definisi hijrah bukan sekadar pepindahan berbentuk fizikal tetapi adalah proses peralihan ke arah sesuatu yang lebih baik. Dalam erti kata yang lain, konsep hijrah merangkumi perubahan jiwa ke arah yang lebih baik.

4. Ketika menghuraikan hadis ini, Mulla Ali al-Qari menjelaskan:

لِأَنَّ الْحِكْمَةَ مِنَ الْهِجْرَةِ التَّمَكُّنُ مِنَ الطَّاعَةِ بِلَا مَانِعٍ، وَالتَّبَرُّؤُ عَنْ صُحْبَةِ الْأَشْرَارِ الْمُؤَثِّرَةِ فِي اكْتِسَابِ الْخَطَايَا

“Ini adalah kerana, hikmah hijrah adalah memperkukuh ketaatan dan melepaskan diri manusia daripada sebarang pengaruh jahat yang memberikan kesan kepada jiwa manusia sehingga menyebabkan diri mereka terjerumus ke dalam kancah dosa.” (Mirqah al-Mafatih)

5. Oleh yang demikian, sempena Maal Hijrah tahun ini, mari bersama tanamkan azam untuk melaksanakan perubahan diri ke arah yang lebih baik. Bukan sekadar laungan dan nyanyian yang mengiringi sambutan peristiwa penting ini malah disertai dengan azam kebaikan. 

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi

Sunday 8 August 2021

Hijrah Untuk Kesejahteraan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hijrah Untuk Kesejahteraan

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ

Daripada Abdullah bin Amru dari Nabi SAW, bersabda: "Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya, dan seorang Muhajir adalah orang yang meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah " (HR Bukhari No: 9) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Muslim yang sempurna adalah seorang yang sentiasa sejahtera kepada orang Islam lain (sentiasa  selamat dari gangguan lisan dan tangannya seperti umpatan, fitnah, adu domba dan lain-lain).

2.  Seseorang yang mempunyai iman yang sempurna akan mendorong pemiliknya untuk melaksanakan hak-hak iman. Di antara hak-hak iman adalah: Menjaga amanah, jujur dalam bermuamalah, dan menahan diri dari berbuat zalim terhadap sesama manusia dalam perkara darah dan harta mereka  sehingga orang lain merasa aman (kerana merasa tidak terganggu) darah dan harta mereka.

3.  Hijrah adalah perpindahan dari satu situasi atau keadaan kepada satu situasi atau keadaan yang lain.  Seorang yang berhijrah adalah mereka yang berpindah dari perkara yang kurang baik kepada yang lebih baik. Berpindah dari perbuatan berdosa dan maksiat kepada yang baik dan mendatangkan pahala.

4.  Hijrah dituntut ke atas setiap Muslim. Untuk berubah, setiap kita perlu melakukan hijrah.

5.  Hijrah dan perubahan menuntut pengorbanan.  Para sahabat berhijrah dari Mekah ke Madinah terpaksa meninggalkan segala yang dimiliki di Mekah dan menempuh perit getir perjalanan untuk ke Madinah sehingga mereka selamat sampai. Oleh itu untuk berhijrah dan berubah, setiap kita perlu berkorban.

Marilah kita melakukan perubahan dan berhijrah dari keadaan yang kurang baik kepada keadaan yang lebih cemerlang dan gemilang serta diredhai Allah. Bersama mewujudkan kesejahteraan ummah. 

Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti

Selamat Menyambut Kedatangan Tahun Baru Hijrah 1443

09hb Ogos  2021
30hb Zulhijjah 1442H

Saturday 7 August 2021

Dosa Yang Dipercepatkan Balasan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dosa Yang Dipercepatkan Balasan

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا مَعَ مَا يَدَّخِرُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ الْبَغْيِ وَقَطِيعَةِ الرَّحِمِ 

Daripada Abi Bakrah RA, Rasulullah SAW bersabda: "Tidak ada suatu dosa yang lebih layak dipercepat hukumannya didunia oleh Allah kepada pelakunya di samping (azab) yang disimpan baginya di akhirat daripada berlaku zalim (atau keluar daripada pemerintahan Islam atau sombong/angkuh) dan memutuskan silaturahim. (Sunan Tirmizi No: 2511) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perbuatan zalim dan memutuskan silaturahim adalah antara dosa  yang perlu dijauhi

2.  Pelaku zalim dan orang yang memutuskan silaturahim akan menerima azab di dunia dan di akhirat jika tidak bersegera memohon ampun daripada Allah.

3.  Antara perbuatan dosa yang layak mendapat hukuman yang segera di dunia ialah pelaku zalim dan orang yang memutuskan silaturahim.

4.  Hadis ini meletakkan perbuatan zalim dan memutuskan silaturahim sebagai kesalahan yang sama berat.

Marilah kita berusaha menjauhi perbuatan zalim dan sentiasa menghubungkan silaturahim.  

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

08hb Ogos  2021
29hb Zulhijjah 1442H

Friday 6 August 2021

Kebajikan Itu Akhlak Yang Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kebajikan Itu Akhlak Yang Baik

عَنْ النَّوَّاسِ بْنِ سِمْعَانَ الْأَنْصَارِيِّ قَالَ سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْبِرِّ وَالْإِثْمِ فَقَالَ الْبِرُّ حُسْنُ الْخُلُقِ وَالْإِثْمُ مَا حَاكَ فِي صَدْرِكَ وَكَرِهْتَ أَنْ يَطَّلِعَ عَلَيْهِ النَّاسُ

Daripada An Nawwas bin Sim'an Al-Anshari dia berkata; "Aku pernah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang erti kebajikan dan dosa. Sabda baginda: "Kebajikan itu ialah budi pekerti yang baik. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, dan engkau sendiri benci jika perbuatanmu itu diketahui orang lain." (HR Muslim No: 4632) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap kebajikan yang dilakukan oleh seorang Muslim dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya akan diberikan ganjaran pahala.

2.  Kebajikan bermaksud setiap budi pekerti dan akhlak terpuji oleh seorang Muslim dalam setiap aspek perlakuan hidupnya.

3.  Dosa ialah perlakuan maksiat yang dilakukan oleh seseorang.

4.  Dosa ialah sesuatu perlakuan yang menyesakkan dada.

5.  Orang yang melakukan dosa tidak suka jika orang lain mengetahui perbuatannya.

Lakukan amal kebajikan dan hiasi dengan akhlak terpuji. Jauhkan setiap perkara dosa dan akhlak keji.

07hb Ogos  2021
28hb Zulhijjah 1442H

Thursday 5 August 2021

Allah Mencintai Sifat Lemah Lembut

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Allah Mencintai Sifat Lemah Lembut

عَنْ عَائِشَةَ زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِي عَلَى الرِّفْقِ مَا لَا يُعْطِي عَلَى الْعُنْفِ وَمَا لَا يُعْطِي عَلَى مَا سِوَاهُ

Daripada 'Aisyah RA, isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: "Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia mencintai sikap lemah lembut. Allah akan memberikan pada sikap lemah lembut sesuatu yang tidak Dia berikan pada sikap yang keras dan juga akan memberikan apa-apa yang tidak diberikan pada sikap lainnya." (HR Muslim No: 4697) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Allah Maha Lembut kepada hambanya.

2.  Allah mencintai orang yang memiliki sikap lemah lembut sama ada dalam pertuturan, penulisan juga perbuatan.

3.  Sifat berlemah lembut dan bersantun akan melahirkan kasih sayang

4.  Allah tidak akan memberi sikap berlemah lembut kepada orang yang memiliki sikap keras.

5.  Sikap keras dan kasar akan menyebabkan orang menjauh dari kebenaran. Dalam berdakwah, Allah tetap memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun agar menasihati Firaun dengan lemah lembut. Allah Ta’ala berfirman,

فَقُولا لَهُ قَوْلا لَيِّنًا

“Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut.” (Thaha: 44)

Pupuklah sifat berlemah lembut yang dicintai Allah. Hindarilah sifat keras atau kasar dalam pertuturan, perbuatan mahupun dalam penulisan di media sosial. Ingatlah bahawa setiap yang kita tulis dan tularkan akan diminta untuk dipertanggungjawabkan.

06hb Ogos  2021
27hb Zulhijjah 1442H

DOA DIHARI JUMAAT BAROKAH

*Bismillahhirrahmannirrahim*
*Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh*
*Selamat Pagi Jumaat*
*27 Dzulhijjah 1442H*
*06 August 2021.*

*Ya Allah..Ya Rahman.. Ya Rahim,* 
Dihari Jumaat yang penuh barokah ini Engkau bersihkanlah hati kami daripada sifat buruk lagi tercela dan gantikanlah dengan sifat mulia lagi terpuji agar lami dapat ta'at dan patuh kepada-Mu serta mengabdikan diri kami hanya kepada Mu,

*Ya Allah,* hidupkanlah kami dalam Islam dan matikanlah kami dalam Iman, lindungilah kami dari bisikan dan tipu helah syaitan.

*Ya Allah,* hindarkanlah dan jauhkanlah kami daripada segala penyakit atau wabak terutama pandemik *Covid 19*. Bagi yang sedang dan telah dijangkiti wabak ini mohon sembuhkanlah mereka, peliharalah keselamatan dan kesihatan para petugas barisan hadapan yang sedang bertugas bertungkus lumus untuk memutuskan rantaian wabak pandemik ini.

*Ya Allah,* ampunkanlah segala dosa-dosa kami, dosa kedua ibu bapa kami, pasangan kami, anak-anak kami, keluarga kami, saudara-mara kami, guru-guru kami, masyarakat kami, sahabat-sahabat kami dan dosa seluruh umat Islam  yang telah tiada serta yang masih hidup. Akhirilah hayat kami dengan husnol khotimah.

Selawat dan salam keatas junjungan kami *Nabi Muhammad SAW* serta ahli keluarga dan para sahabatnya.

Segala puji-pujian hanya untuk-Mu *Ya Allah.*

*Aamiin..Aamiin..Ya Rabbal Aalamiin.*

*#Selamat Menunaikan Sholat Tahajjud & Sholat Subuh*
*#Perbanyakan Berselawat*
*#Allah Jaga Kita/Kita Jaga Kita*
*#Patuhi SOP/Jaga Jarak*
*#Stay Safe/Stay Home*
*#Self Lockdown*

*🌹INDAHNYA UKHUWAH*🌹

Tuesday 3 August 2021

Manusia Yang Dibenci Allah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Manusia Yang Dibenci Allah

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)" (HR Bukhari No: 6651) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

2.  Iblis menjadi kufur akibat dari sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik dari orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Daripada Abdullah RA,  Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi dari kesombongan." (HR Muslim No: 133) Status: Hadis Sahih

3.  Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya  seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.

Marilah kita menjauhi sifat keras kepala dan suka membantah. Bukalah minda kita untuk menerima teguran dan nasihat. Allah memberikan kepada kita akal untuk berfikir. Jika ada pandangan dan fakta yang lebih baik maka terimalah dengan berlapang dada. Jangan sekali-kali berkeras dan sombong dengan apa yang kita milik.

Ya Allah lembutkanlah hati kami untuk menerima yang hak dan kebenaran. Jauhilah kami dari sifat keras kepala dan suka bermusuh.

04hb Ogos  2021
25hb Zulhijjah 1442H

Sunday 1 August 2021

DOA BUST KAWAN SEKALIAN

🙋‍♂
Saya mohon keMAAFan dari kawan kawan sekalian bagi kesalahan dan kesilapan yang saya pernah lakukan. 

#Assalamualaikum
🤲
"ya Allah lindungi aku dari penulisan dan percakapan serta perbuatan yang boleh mendatangkan dosa kepada kawan kawan ku kerananya"
🤲
Doa untuk kawan kawan ku.
🤲
1. Ya Allah jika disaat ini ada kawan ku yang sakit, sembuhkan lah dia.
🤲
2. Ya Allah jika disaat ini ada kawan ku yang bermasalah, beri lah jalan keluar untuk dia.
🤲
3. Ya Allah jika disaat ini ada kawan ku yang kesempitan wang, kau limpahkan lah rezeki kepada dia.
🤲
4. Ya Allah jika disaat ini ada kawan ku yang bermasam muka diantara satu sama lain damaikan lah mereka.
🤲
5. Ya Allah jika disaat ini ada kawan ku yang sesat duniawi, kurniakan Nur dan hidayah kepada dia.
🤲
6. Ya Allah jika disaat ini ada kawan ku yang lalai, kurniakan lah pertunjuk dan hidayah Mu kepada dia.
🤲
7. Ya Allah jika di saat ini ada kawan ku yang bersedih hati, kembalikan lah kecerian dan kegembiraan kepada dia.
🤲
8. Ya Allah jika disaat ini ada kawan ku yang berada dipersimpangan jalan yang berliku, tunjukkan lah jalan yang diredai oleh Mu.
🤲
Aamiin Aamiin Ya Rabbal Alamin...
😎

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berpada Ketika Mencintai dan Membenci Orang Lain

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْبِبْ حَبِيبَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ بَغِيضَكَ يَوْمًا مَا وَأَبْغِضْ بَغِيضَكَ هَوْنًا مَا عَسَى أَنْ يَكُونَ حَبِيبَكَ يَوْمًا مَا

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Cintailah orang yang kamu cintai sekadarnya. Boleh jadi orang yang sekarang kamu cintai suatu hari nanti menjadi orang yang kamu benci. Dan bencilah orang yang kamu benci sekadarnya, boleh jadi suatu hari nanti dia menjadi orang yang kamu cintai.” (Sunan Tirmidzi No: 1997) Status: Hadis Sahih  

Pengajaran:

1.  Sifat cinta dan kasih adalah fitrah manusia namun biarlah berpada. Contohnya mencintai pasangan juga ahli keluarga yang berlebihan sehingga jika berlaku kematian, atau orang yang disayangi meninggalkannya, impak kesedihan amat mendalam yang boleh membawa kecelakaan padanya.

2.  Maka cintailah saudaramu sewajarnya dengan memberikan hak-haknya tanpa berlebihan dan tanpa meremehkan haknya.

3.  Hasan Bashri RA berkata, “Hendaknya kalian mencintai jangan berlebihan dan membenci tidak berlebihan. Telah ada orang-orang yang berlebihan dalam mencintai satu kaum akhirnya binasa. Ada pula yang berlebihan dalam membenci satu kaum dan mereka pun binasa.”

4.  Jika seseorang berlebihan dalam membenci lawannya, mungkin suatu masa nanti hubungan mereka menjadi baik maka mereka akan malu untuk menjadi sahabat dan kawan kerana merasa malu disebabkan berlebihan dalam membencinya sebelum ini. Kebencian berlebihan juga boleh membinasakan.

5.  Awasilah sifat benci yang boleh mendorong kita berlaku zalim kepada orang lain juga menjadi penyebab kita tidak berlaku adil terhadap mereka.

Berpadalah dalam mengasihi dan membenci seseorang dengan menjaga dan memberi hak mereka sepatutnya.

02hb Ogos  2021
23hb Zulhijjah 1442H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...