Monday 31 October 2022

Akhlak Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhlak Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَنَاجَشُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا يَبِعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَيْعِ بَعْضٍ وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يَخْذُلُهُ وَلَا يَحْقِرُهُ التَّقْوَى هَاهُنَا وَيُشِيرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ بِحَسْبِ امْرِئٍ مِنْ الشَّرِّ أَنْ يَحْقِرَ أَخَاهُ الْمُسْلِمَ كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ دَمُهُ وَمَالُهُ وَعِرْضُهُ

Dari Abu Hurairah dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: 'Janganlah kalian saling mendengki, saling memfitnah, saling membenci, dan saling memusuhi. Janganlah ada seseorang di antara kalian yang berjual beli sesuatu yang masih dalam penawaran muslim lainnya dan jadilah kalian hamba-hamba Allah yang saling bersaudara. Muslim yang satu dengan muslim yang lainnya adalah bersaudara tidak boleh menyakiti, merendahkan, ataupun menghina. Takwa itu ada di sini (Rasulullah menunjuk dadanya), Baginda mengucapkannya sebanyak tiga kali. Seseorang telah dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. Muslim yang satu dengan yang Iainnya haram darahnya. hartanya, dan kehormatannya."
(HR Muslim No: 4650) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam melarang berakhlak buruk antaranya: 

a.  saling mendengki
b.  saling memfitnah
c.  saling membenci
d.  saling memusuhi
e.  membeli sesuatu yang telah dibeli atau janjikan kepada orang lain

2.  Setiap Muslim saling bersaudara. Muslim dilarang berbuat zalim dengan Muslim yang lain antaranya dengan:

a.  Menyakiti
b.  Merendahkan
c.  Menghina

3.  Takwa itu di dada (rasa taat dan patuh kepada Allah itu terletak di dalam hati)

4.  Seseorang Muslim dianggap berbuat jahat apabila ia menghina saudaranya sesama muslim. 

5.  Penghinaan  boleh berlaku apabila seseorang meremeh dan merendahkan orang lain sama ada dengan perkataan atau perbuatan. Penghinaan ini adalah bentuk sifat sombong dan bangga diri serta menganggap dirinya lebih mulia dari orang lain.

6.  Muslim sesama Muslim dilarang:

a.  Menumpahkan darah sesama Muslim
b.  Menzalimi hartanya
c.  Merendahkan kehormatannya

Dalam kehangatan berkempen untuk PRU 15 ini, setiap kita perlu sentiasa berhati-hati menjaga lisan dan tulisan daripada menghina, memfitnah serta merendahkan kehormatan lawan sama ada yang kita tulis atau yang kita tularkan. Sesungguhnya dosa lisan mungkin hanya didengar oleh beberapa orang namun dosa tulisan berkekalan dan tersebar keseluruh dunia di dunia tanpa sempadan ini.

Marilah kita memelihara hak saudara Muslim kita dengan tidak berakhlak buruk terhadap mereka serta tidak menzaliminya.

01hb Nov  2022
06hb Rabiul Akhir 1444H

Sunday 30 October 2022

Perumpamaan Mukmin Di dalam Sebuah Kapal

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perumpamaan Mukmin Di dalam Sebuah Kapal

حَدَّثَنَا أَبُو نُعَيْمٍ حَدَّثَنَا زَكَرِيَّاءُ قَالَ سَمِعْتُ عَامِرًا يَقُولُ سَمِعْتُ النُّعْمَانَ بْنَ بَشِيرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ الْقَائِمِ عَلَى حُدُودِ اللَّهِ وَالْوَاقِعِ فِيهَا كَمَثَلِ قَوْمٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَأَصَابَ بَعْضُهُمْ أَعْلَاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا فَكَانَ الَّذِينَ فِي أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوْا مِنْ الْمَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقَهُمْ فَقَالُوا لَوْ أَنَّا خَرَقْنَا فِي نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤْذِ مَنْ فَوْقَنَا فَإِنْ يَتْرُكُوهُمْ وَمَا أَرَادُوا هَلَكُوا جَمِيعًا وَإِنْ أَخَذُوا عَلَى أَيْدِيهِمْ نَجَوْا وَنَجَوْا جَمِيعًا

Telah menceritakan kepada kami Abu Nu'aim telah menceritakan kepada kami Zakariyya' berkata, aku mendengar 'Amir berkata, aku mendengar An-Nu'man bin Basyir ٌdari Nabi ٍSAW bersabda: "Perumpamaan orang yang mematuhi dan melanggar  batas-batas hukum Allah adalah seperti suatu kaum yang mengundi untuk menentukan kedudukan masing-masing yang belayar di dalam sebuah kapal. Sebahagian mereka mendapat tempat di bahagian atas dan sebahagian lagi di bahagian bawah. Apabila mereka  yang berada di bahagian bawah ingin mendapatkan air, mereka melalui tempat orang yang berada di bahagian atas. Lalu mereka berkata sesama mereka: "Jika kita melubangi tempat kita, nescaya kita tidak akan mengganggu orang yang berada di atas.  Sekiranya orang yang berada di atas membiarkan saja apa yang dilakukan orang yang di bawah itu maka mereka semua akan binasa. Namun jika mereka mencegah dengan tangan mereka maka mereka akan selamat semuanya".
(HR Bukhari No: 2313) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mungkar yang dilakukan oleh individu dalam masyarakat dan negara akan memberi saham yang mengugat keselamatan masyarakat dan negara tersebut.

2.  Perumpamaan hidup bermasyarakat juga bernegara seperti berada dalam satu kapal yang sedang belayar.

3.  Jika dibiarkan orang yang berada ditingkat bawah menebuk lubang hanya kerana ingin mudah mendapat air, mudaratnya akan ditanggung oleh seluruh penghuni isi kapal.

4.  Berusahalah mencegah maksiat dan mungkar yang berlaku, agar azab Allah tidak menimpa kepada semua (termasuk atas orang yang baik).  

Berusahalah mencegah kemungkaran yang berlaku di dalam KAPAL yang kita sedang naiki. 

Firman Allah:

وَٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَٱلۡمُؤۡمِنَٰتُ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ يَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan.
(Taubah: 71)

Jangan biarkan orang menebuk kapal yang kita naiki (melakukan mungkar) tanpa usaha mencegah dari setiap kita. Apabila mungkar berleluasa,  musibah yang diturunkan tidak mengenal orang baik mahupun jahat.

31hb Okt  2022
05hb Rabiul Akhir 1444H

Saturday 29 October 2022

Jadilah Orang Yang Paling Bermanfaat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Orang Yang Paling Bermanfaat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ فَقَالَ أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ قَالَ فَسَكَتُوا فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَقَالَ رَجُلٌ بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا قَالَ خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW berdiri di hadapan orang orang yang sedang duduk lalu baginda bersabda: "Mahukah kalian aku beritahu orang yang paling baik di antara kalian dari orang yang paling buruk di antara kalian?" Abu Hurairah berkata: Para sahabat diam, baginda mengatakan demikian sampai tiga kali, kemudian salah seorang berkata: Wahai Rasulullah, beritahukan kepada kami orang yang paling baik di antara kami dari orang yang paling buruk, baginda bersabda: "Orang yang paling baik di antara kalian adalah orang yang diharapkan kebaikannya dan aman dari kejahatannya, dan orang yang paling buruk di antara kalian adalah orang yang tidak diharapkan kebaikannya dan tidak aman dari kejahatannya."
(HR Tirmizi No: 2189) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Di kalangan kita ada orang yang paling baik dan ada orang yang paling buruk

2.  Orang yang paling baik dalam kalangan kita adalah orang yang sentiasa melakukan kebaikan dan tidak melakukan kejahatan serta orang lain mendapat manfaat dari kebaikannya.

3.  Orang yang paling buruk pula adalah orang yang tidak melakukan kebaikan dan tidak dapat memberi manafaat kepada orang lain serta melakukan kejahatan dan orang lain mendapat mudarat daripada kejahatannya.

4.  Berusahalah menjadi orang yang melakukan kebaikan dan kebaikannya dirasai bermanfaat kepada orang lain. Jika kita pemimpin, jadilah orang yang dirasai manfaatnya oleh orang lain. Jangan sekali-kali menjadi orang atau pemimpin yang buruk malah apa yang dilakukan memudaratkan orang lain juga negara.

Ayuh jadilah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain dan tidak mendatangkan mudarat.

30hb Okt  2022
04hb Rabiul Akhir 1444H

Friday 28 October 2022

Jangan Biarkan Mukmin Direndahkan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Biarkan Mukmin  Direndahkan

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ بْنِ سَهْلِ بْنِ حُنَيْفٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَنْ أُذِلَّ عِنْدَهُ مُؤْمِنٌ فَلَمْ يَنْصُرْهُ وَهُوَ قَادِرٌ عَلَى أَنْ يَنْصُرَهُ أَذَلَّهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَلَى رُءُوسِ الْخَلَائِقِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Umamah bin Sahal bin Hunaif dari bapaknya dari Nabi SAW baginda bersabda: "Barangsiapa yang di sampingnya ada seorang Mukmin yang direndahkan, lalu dia tidak menolongnya padahal dia mampu, nescaya Allah Azzawajalla akan merendahkannya di hadapan semua makhluk pada Hari Kiamat".
(HR Ahmad No: 15416) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut memelihara hak persaudaraan dengan memiliki sifat berkasih sayang dan bersaling bantu dalam perkara kebenaran.

2.  Jika saudara Islam kita dizalimi, sama ada berbentuk fitnah atau sesuatu yang tidak benar maka menjadi tanggungjawabnya untuk membantu dan mempertahankannya.

3.  Mukmin yang membiarkan saudaranya direndahkan sedangkan dia mampu untuk menolongnya, di akhirat nanti dia akan direndahkan di hadapan semua makhluk.

4. Bantulah saudaramu yang benar namun dia dizalimi sama ada pada harta, diri dan maruahnya. Jangan sesekali kita biarkan orang lain menzalimi kehidupan saudara kita yang lain.

Dalam kehangatan berkempen pada PRU ke 15 ini, berkempenlah dengan perkara yang boleh mendatangkan pahala bukan dosa. Jauhi penipuan, ugutan, penghinaan dan cercaan.

Pertahankan serta perjuangkan yang hak dan benar demi masa depan negara yang lebih baik dan rahmah.

29hb Okt  2022
03hb Rabiul Akhir 1444H

Thursday 27 October 2022

Tekun dan Bersungguh-sungguh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tekun dan Bersungguh-sungguh

 عَنْ عَائِشَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إن اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ

Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ‘Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu yang melakukan sesuatu amalan, dilakukan secara tekun.”
(HR Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (897) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929). Status Hadis Sahih

Pengajaran

1. Tekun bermaksud menyempurnakan atau melaksanakan tugas atau kerja dengan sebaik dan sesempurna mungkin sebagaimana yang dikehendaki tanpa kurang sedikitpun. 

2. Sifat tekun ini merupakan salah satu lambang atau tanda keislaman

3. Tekun adalah asas bagi menghasilkan prestasi dan mutu kerja yang berkualiti. Pekerja yang tekun akan sentiasa melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh pada setiap masa.

4. Ganjaran disisi Allah bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan seseorang melakukan sesuatu pekerjaan yang diredhai Allah.

5. Allah SWT mengasihi orang yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan baik dan bersungguh-sungguh.

6. Setiap pekerja dari peringkat bawahan sehinggalah pemimpin tertinggi perlu melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Lebih lagi apabila ia dipilih dan dilantik oleh orang bawahan sebagai ketua atau wakil rakyat. Janganlah hanya menjelang pilihanraya baru nampak muka untuk menyantuni rakyat. Perlu diingat pemimpin adalah khadam kepada rakyat!.

28hb Okt  2022
02hb Rabiul Akhir 1444H

Tuesday 25 October 2022

Pemimpin Yang Menipu Rakyat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Menipu Rakyat

مَعْقِلَ بْنَ يَسَارٍ الْمُزنِيَّ قَالَ إِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ عَبْدٍ يَسْتَرْعِيهِ اللَّهُ رَعِيَّةً يَمُوتُ يَوْمَ يَمُوتُ وَهُوَ غَاشٌّ لِرَعِيَّتِهِ إِلَّا حَرَّمَ اللَّهُ عَلَيْهِ الْجَنَّةَ

Ma'qil bin Yasar al-Muzani RA berkata, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa diberi amanah oleh Allah untuk memimpin rakyatnya lalu mati dalam keadaan menipu rakyat, nescaya Allah mengharamkan Syurga keatasnya.
(HR Muslim No: 203) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Amanah adalah modal paling besar dalam melaksanakan kewajipan kepimpinan.

2.  Kejujuran pemimpin melaksanakan amanah adalah dituntut.

3.  Pemimpin atau ketua sewajarnya menunjukkan kejujuran melaksanakan amanah dalam kepimpinan untuk dijadikan contoh dan ikutan kepada rakyat atau pekerja di bawahnya daripada tukang sapu hinggalah pegawai tertingginya.

4.  Allah mengharamkan syurga kepada mana-mana pemimpin yang menipu rakyat atau pekerja, menzalimi atau memudaratkan mereka. 

5.  Ibnu Bathal berkata:  “Ini adalah ancaman keras terhadap para pemimpin zalim yang menyia-nyiakan amanah yang diberikan Allah kepada mereka, atau mengkhianati rakyat, atau menzalimi mereka, sehingga dia dituntut kerana menzalimi rakyat pada hari kiamat”. 

6.  Sebagai pemimpin, ketua, pegawai, sama ada di peringkat tertinggi Negara mahupun dalam sebuah organisasi kecil perlu bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab kepimpinan bukan menipu rakyat atau orang bawahan.

7.  Milikilah sifat kepimpinan yang kompeten dan berintegriti ke arah pembentukan negara  yang dirahmati Allah.

26hb Okt  2022
29hb Rabiul Awal 1444H

Sunday 23 October 2022

Hilang Amanah dan Berlaku Kiamat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hilang Amanah dan Berlaku Kiamat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ بَيْنَمَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي مَجْلِسٍ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ جَاءَهُ أَعْرَابِيٌّ فَقَالَ مَتَى السَّاعَةُ فَمَضَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحَدِّثُ فَقَالَ بَعْضُ الْقَوْمِ سَمِعَ مَا قَالَ فَكَرِهَ مَا قَالَ وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ لَمْ يَسْمَعْ حَتَّى إِذَا قَضَى حَدِيثَهُ قَالَ أَيْنَ أُرَاهُ السَّائِلُ عَنْ السَّاعَةِ قَالَ هَا أَنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ فَإِذَا ضُيِّعَتْ الْأَمَانَةُ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا قَالَ إِذَا وُسِّدَ الْأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرْ السَّاعَةَ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Ketika Nabi SAW berada dalam suatu majlis membicarakan suatu kaum, tiba-tiba datanglah seorang Arab Badwi lalu bertanya: "Bila datangnya hari kiamat?" Namun Nabi SAW tetap melanjutkan pembicaraannya. Sementara itu sebahagian sahabat ada yang berkata; "baginda mendengar perkataannya akan tetapi baginda tidak menyukai apa yang dikatakannya itu", dan ada pula sebahagian yang mengatakan; "bahawa baginda tidak mendengar perkataannya." Hingga akhirnya Nabi SAW menyelesaikan pembicaraannya, seraya berkata: "Mana orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi?" Orang itu berkata: "saya wahai Rasulullah!". Maka Nabi SAW bersabda: "Apabila sudah hilang amanah maka tunggulah terjadinya kiamat". Orang itu bertanya: "Bagaimana hilangnya amanah itu?" Nabi SAW menjawab: "Jika urusan diserahkan bukan kepada ahlinya, maka akan tunggulah terjadinya kiamat". (HR Bukhari No: 57) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hari Kiamat adalah hari kemusnahan dan kehancuran pada alam ini

2.  Antara tanda kiamat akan berlaku apabila hilang sifat Amanah

3.  Amanah itu adalah nilai keimanan. Bila hilang kejujuran, tergoda dengan habuan dunia, terlibat dengan penyelewengan dosa dan maksiat seperti rasuah, pecah amanah, salah guna kuasa maka akan lunturlah nilai keimanan. 

4.  Amanah hilang apabila urusan dan pentadbiran diserahkan kepada orang yang bukan ahli dan tidak layak apabila nilai keimanannya hilang.

5.  Menurut Al-Munawi, dekatnya kiamat apabila menyerahkan urusan dalam hal amar (perintah) maaruf dan nahi (larangan) mungkar kepada yang tidak amanah, rapuh agamanya, lemah Islamnya, dan mengakibatkan bermaharajalelanya kebodohan. 

Dalam kita memilih pemimpin di musim PRU ke 15 ini, pastikan calon yang dipilih seorang yang amanah, berintegriti dan kompeten.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

24hb Okt  2022
27hb Rabiul Awal 1444H

Saturday 22 October 2022

Miliki Sifat Jujur Bukan Pendusta

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Miliki Sifat Jujur Bukan Pendusta

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى الْبِرِّ وَإِنَّ الْبِرَّ يَهْدِي إِلَى الْجَنَّةِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا وَإِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الْفُجُورِ وَإِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Daripada Abdullah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Sesungguhnya kejujuran akan membimbing pada kebaikan, dan kebaikan itu akan membimbing ke syurga, sesungguhnya jika seseorang yang sentiasa berlaku jujur hingga ia akan dicatat sebagai orang yang jujur. Dan sesungguhnya kedustaan itu akan menghantar kepada kejahatan, dan sesungguhnya kejahatan itu akan mengiringi ke neraka. Dan sesungguhnya jika seseorang yang selalu berdusta sehingga akan dicatat baginya sebagai seorang pendusta." (HR Bukhari No: 5629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut memiliki sifat jujur dalam setiap perbuatan dan pekerjaan.

2.  Sifat jujur yang dimiliki akan sentiasa membimbing seseorang untuk melakukan kebaikan dan amal soleh menuju ke syurga.

3.  Sifat kejujuran yang berterusan akan menjadi tabiat kebiasaan yang akhirnya membentuk akhlak kepada seseorang.

4.  Sifat dusta dan berbohong yang dimiliki oleh seseorang akan mendorong kepada kejahatan.

5.  Sifat dusta dan bohong yang menjadi kebiasaan secara berterusan kepada seseorang, akhirnya akan membentuk tabiat dan akhlak yang buruk.

6.  Sifat dusta akan menjadi pemandu dan pembimbing seseorang ke neraka. Allah tidak memberi hidayah kepada pendusta dan pembohong. Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ لا يَهْدِي مَنْ هُوَ مُسْرِفٌ كَذَّابٌ

Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang melampaui batas lagi pendusta (Mukmin: 28).

Berusahalah memiliki sifat jujur, benar dan amanah bukan sifat pendusta dan pembohong. 

Dalam kita melantik pemimpin, pastikan mereka yang memiliki sifat jujur, benar dan amanah.

Pemimpin Khadam Umat

23hb Okt  2022
26hb Rabiul Awal 1444H

Friday 21 October 2022

Agama Itu Nasihat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Agama Itu Nasihat

عَنْ أَبِي رُقَيَّةَ تَمِيْم الدَّارِي رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ   وَسَلَّمَ قَالَ : الدِّيْنُ النَّصِيْحَةُ . قُلْنَا لِمَنْ  قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُوْلِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

Daripada Abu Ruqayyah Tamim Ad-Daary RA, bahawasanya Nabi SAW  bersabda, “Agama itu nasihat”. Kami pun bertanya, “Untuk siapa (nasihat itu)?”. Baginda menjawab, “Nasihat itu adalah untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, Imam-imam kaum muslimin dan seluruh muslimin (rakyatnya)”. (HR Muslim No: 50) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Agama ini terletak pada  nasihat menasihati kerana dengan nasihat akan menjadikan seseorang menunaikan hak-hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

2.  Ibnu Mubarak pernah ditanya : Amal apakah yang paling utama? Beliau menjawab: Memberi nasihat kerana Allah.  

3.  Nasihat untuk Allah bermaksud beriman kepada Allah dengan mentauhidkan Allah, menunaikan hak-hak Allah sama ada hak yang wajib mahupun yang sunat. Ikhlas dalam beramal, menjauhi maksiat dan berjihad dijalanNya.

4.  Nasihat untuk kitab-Nya bermaksud menunaikan hak Al-Quran: hak untuk dipelajari, dibaca, dijadikan sebagai petunjuk dan hidayah dengan membenarkan beritanya dan melaksanakan perintahnya.

5.  Nasihat untuk Rasul bermaksud dengan cara membenarkan ajarannya, mengimani semua yang dibawa, mencintai dan mencontohi akhlaknya, berselawat serta menghidupkan sunnahnya, mentaati perintah dan larangannya, melawan para musuhnya, membela para pengikutnya, menghormati hak-haknya, memuliakannya, mengikuti seruannya juga menyebarluaskan sunahnya.

6.  Nasihat untuk imam kaum muslimin dengan cara menolong dan mentaati pemimpin dan pemerintah  dalam perkara kebenaran dan keadilan, patuh kepada mereka dalam urusan kebaikan, menegur dan mengingati mereka dikala mereka lalai dari kewajipan dengan penuh hikmah. Jangan biarkan pemimpin berterusan dalam kemurkaan Allah. Berusahalah menggantikan dengan yang lebih berintegriti dan baik.

7.  Nasihat untuk kaum Muslimin dengan memberikan bimbingan kepada mereka apa yang dapat memberikan kebaikan dalam urusan dunia dan akhirat, memimpin mereka, memberikan bantuan kepada mereka, menutup aib dan cacat mereka, menghindarkan diri dari hal-hal yang membahayakan dan mengusahakan kebaikan bagi mereka, menyuruh mereka berbuat makruf dan mencegah mereka berbuat kemungkaran. Mengasihi mereka, memuliakan yang tua dan menyayangi yang muda, memberikan nasihat kepada mereka, menjauhi kebencian dan kedengkian, melindungi harta dan kehormatan mereka baik dengan ucapan mahupun perbuatan.

Semoga agama menjadi penasihat dan peringatan kepada kita untuk saling nasihat menasihati, ingat mengingati agar menjadi Muslim yang menunaikan hak Allah, hak al-Quran, hak Rasul, hak pemimpin dan rakyat.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

22hb Okt  2022
25hb Rabiul Awal 1444H

Thursday 20 October 2022

Jawatan Adalah Amanah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jawatan Adalah Amanah

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَسْتَعْمِلُنِي قَالَ فَضَرَبَ بِيَدِهِ عَلَى مَنْكِبِي ثُمَّ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا

Daripada Abu Dzar RA dia berkata, saya berkata, "Wahai Rasulullah SAW, tidakkah anda menjadikanku sebagai pegawai (pejabat)?" Abu Dzar berkata, "kemudian baginda menepuk bahuku dengan tangan baginda seraya bersabda: "Wahai Abu Dzar, kamu ini lemah (untuk memegang jawatan) padahal jawatan merupakan amanah. Pada hari kiamat ia adalah kehinaan dan penyesalan, kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haq dan melaksanakan tugas dengan benar."
(HR Muslim No: 3404) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jawatan adalah suatu tanggungjawab dan amanah (taklif), bukan satu kemuliaan atau kebanggaan. 

2.  Segala amanah dan tanggungjawab yang diterima akan disoal di hari kiamat. Menteri, wakil rakyat memiliki tanggungjawab yang besar untuk membawa kesejahteraan rakyatnya tanpa mengira kelompok dan golongan. Seorang suami memiliki tanggungjawab besar menafkahkan isteri dan mendidik serta membesarkan anak-anak menjadi keluarga soleh dan diredhai Allah.

3.  Apabila kita tidak berlaku adil dan tidak mampu mewujudkan kehidupan yang lebih baik bagi pihak yang kita pimpin, maka janganlah sekali-kali kita biarkan amanah jawatan tersebut. Apabila seorang wakil rakyat tidak mampu melaksanakan amanah untuk membawa kehidupan rakyatnya menuju kesejahteraan dan keadilan, maka gantikanlah dengan yang lebih baik dan beramanah. Amanah adalah sesuatu yang ringan disebut namun berat untuk dilaksanakan. 

4.  Mereka yang hanya merebut pangkat dan kedudukan untuk kemuliaan dunia demi harta dan kehormatan, akan menyesal di hari kiamat kelak.

5.  Semoga kita tidak menjadi hina disisi Allah dengan menyalahgunakan  jawatan yang diperolehi hasil kepercayaan orang ramai.  Berusahalah menunaikan tanggung jawab dengan bersungguh-sungguh kerana jawatan adalah suatu amanah.

21hb Okt  2022
24hb Rabiul Awal 1444H

Wednesday 19 October 2022

Bersedekah Semampu Mungkin

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersedekah Semampu Mungkin

عَنْ سَعِيدُ بْنُ أَبِي بُرْدَةَ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ فَيَعْمَلُ بِيَدَيْهِ فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ أَوْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُعِينُ ذَا الْحَاجَةِ الْمَلْهُوفَ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيَأْمُرُ بِالْخَيْرِ أَوْ قَالَ بِالْمَعْرُوفِ قَالَ فَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ قَالَ فَيُمْسِكُ عَنْ الشَّرِّ فَإِنَّهُ لَهُ صَدَقَة

Daripada Said bin Abi Burdah, dari datuknya berkata, Nabi SAW bersabda: "Wajib bagi setiap muslim untuk bersedekah." Para sahabat bertanya; "Bagaimana jika ia tidak mempunyai apa-apa? ' Baginda bersabda: Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya, sehingga ia boleh memberi manfaat untuk dirinya dan bersedekah.' Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak boleh melakukannya? ' Baginda bersabda: Hendaklah dia menolong orang yang kesusahan atau sangat memerlukan bantuan.' Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak mampu melakukannya? ' Baginda bersabda: Suruhlah orang melakukan kebaikan atau; menyuruh melakukan yang makruf'. Mereka bertanya lagi; 'Bagaimana jika ia tidak dapat melakukannya? ' Baginda bersabda: Tahanlah dirimu diri dari kejahatan, kerana itu juga adalah sedekah baginya.'
(HR Bukhari No: 5563) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar umatnya agar menjadi insan yang berguna, sentiasa memberi bukan mengharap pemberian.

2.  Pemberian tidak semestinya dalam bentuk kebendaan. Sumbangan boleh dalam bentuk tenaga, harta, ilmu, kemahiran, nasihat yang berguna, buah fikiran yang baik, kepakaran yang dimiliki dan sebagainya.

3.  Setiap Muslim perlu bekerja, agar ia memperoleh hasil yang dengannya ia mampu mengurus dirinya dan menyumbang untuk orang lain, serta menjauhkannya dari kehinaan meminta-minta.

4.  Bersedekah dan menyumbang menjadi bukti kebenaran iman seseorang. Sebagai muslim wajar bersedekah atau menyumbang sesuai dengan potensi dan kemampuan masing-masing, perlu bersegera jangan menunda, bimbang kematian menjemput kita.

5.  Jika ia tidak mampu membantu keperluan orang lain dalam bentuk harta, menjadi sedekah juga bagi kita apabila dapat  menyuruh kepada kebaikan. Berdakwah melalui pelbagai relong – berceramah, edar pamplet, forward 1 hari 1 hadis. Ini juga sedekah!

6.  Jika tidak ada apa-apa yang boleh diberikan untuk kebaikan orang lain, maka tahan diri dari melakukan sebarang kejahatan. Kejahatan amat luas pengetiannya. Ia merangkumi kezaliman dengan mencerobohi nyawa, maruah, harta orang lain sama ada dengan perbuatan, perkataan, memek muka, tulisan, gambar, atau menyimpan dendam serta buruk sangka terhadap sesama manusia. Jadi apabila Nabi SAW bersabda “tahan dirimu dari kejahatan” bererti mendidik diri agar menjauhi kejahatan lahir dan batin.

7.  Rasulullah SAW mengajar kepada kita adab dan akhlak mulia. Diajukan kepadanya soalan bertubi-tubi, namun setiap satunya dilayani dan dijawab dengan tenang tanpa mengherdik atau merendah-rendahkan si penanya.

Rasulullah SAW Qudwah Terbaik

20hb Okt  2022
23hb Rabiul Awal 1444H

Tuesday 18 October 2022

Tanggungjawab Muslim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tanggungjawab Muslim

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَمَرَنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِسَبْعٍ وَنَهَانَا عَنْ سَبْعٍ أَمَرَنَا بِاتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَعِيَادَةِ الْمَرِيضِ وَإِجَابَةِ الدَّاعِي وَنَصْرِ الْمَظْلُومِ وَإِبْرَارِ الْقَسَمِ وَرَدِّ السَّلَامِ وَتَشْمِيتِ الْعَاطِسِ وَنَهَانَا عَنْ آنِيَةِ الْفِضَّةِ وَخَاتَمِ الذَّهَبِ وَالْحَرِيرِ وَالدِّيبَاجِ وَالْقَسِّيِّ وَالْإِسْتَبْرَقِ

Dari Al Bara' bin 'Azib RA berkata: "Nabi SAW memerintahkan kami dengan tujuh jenis perintah dan melarang kami dengan tujuh jenis larangan. Baginda memerintahkan kami untuk; mengiringi jenazah, mengunjungi orang yang sakit, memenuhi undangan, menolong orang yang dizalimi (teraniaya), mematuhi sumpah, menjawab salam dan mendoakan orang yang bersin. Baginda melarang kami dari menggunakan bekas yang diperbuat dari perak, memakai cincin emas, memakai kain sutera kasar, sutera halus, baju bersulam sutera dan sutera tebal".
(HR Bukhari No: 1163) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Antara tanggungjawab Muslim kepada saudaranya :

1.  Mengiringi jenazah hingga ke kubur di samping menyembahyangkan serta mendoakan.

2.  Mengunjungi orang yang sakit bagi melahirkan rasa kasih sayang sesama Muslim

3.  Memenuhi undangan sebagai tanda hidup bermasyarakat seperti undangan perkahwinan.

4.  Menolong orang yang dizalimi (teraniaya) sebagai tanggungjawab menyuruh yang makruf dan mencegah mungkar

5.  Mematuhi sumpah adalah wajib selagi tidak melibatkan perkara maksiat

6.  Menjawab salam apabila bertemu sebagai dorongan sifat kasih sayang dan mengikat ukhuwah.

7.  Mendoakan orang yang bersin semoga dia memperolehi rahmat

Menjadi tanggungjawab seorang Muslim untuk menjauhi perkara yang dilarang oleh Rasulullah SAW antaranya:

a.  Menggunakan bekas atau peralatan dapur yang diperbuat dari emas dan perak

b.  Memakai cincin emas bagi lelaki

c.  Memakai pelbagai jenis kain sutera bagi kaum lelaki: sutera  kasar, sutera halus, baju bersulam sutera dan sutera tebal.

19hb Okt  2022
22hb Rabiul Awal 1444H

Monday 17 October 2022

Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ أَنَّ هِرَقْلَ قَالَ لَهُ سَأَلْتُكَ مَاذَا يَأْمُرُكُمْ فَزَعَمْتَ أَنَّهُ أَمَرَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ وَالْوَفَاءِ بِالْعَهْدِ وَأَدَاءِ الْأَمَانَةِ قَالَ وَهَذِهِ صِفَةُ نَبِيٍّ

Abdullah bin Abbas RA berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Abu Sufyan bahawa Raja Herkulis berkata kepadanya: "Aku telah bertanya kepadamu apa yang dia (Nabi Muhammad) perintahkan kepada kalian, lalu kamu menjawab bahawa dia memerintahkan kalian untuk solat, bersedekah (zakat), menjauhkan diri dari berbuat buruk, menunaikan janji dan melaksanakan amanah". Lalu dia berkata; "Ini adalah diantara sifat-sifat seorang Nabi".
(HR Bukhari No: 2484) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memerintahkan agar melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan ibadat yang wajib sebagai seorang Muslim.
 
2.  Rasulullah  SAW memerintahkan kepada umatnya agar:

a.  Melaksanakan solat
b.  Menunaikan zakat  dan bersedekah
c.  Menjauhi perbuatan buruk
d.  Menunaikan janji
e.  Melaksanakan amanah

3.  Sebagai umat contoh, adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan tanggungjawab yang bersifat peribadi seperti solat dan menjauhi perbuatan buruk. Muslim juga diperintahkan  menunaikan tanggungjawab yang berkaitan dengan masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah di samping menunaikan janji dan melaksanakan amanah.

Marilah kita menunjukkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Baginda.

18hb Okt  2022
21hb Rabiul Awal 1444H

Sunday 16 October 2022

Amalan Rasulullah SAW Sebelum Tidur

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Rasulullah SAW Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ   أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ  ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ فَبَدَأَهُمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ 

Daripada Aisyah RA bahawa biasanya Nabi SAW ketika berada di tempat tidur di setiap malam, baginda menyatukan kedua telapak tangannya lalu ditiup dan dibacakan ’Qul huwallahu ahad’ (surat Al Ikhlas), ’Qul a’udzu birobbil falaq’ (surat Al Falaq) dan ’Qul a’udzu birobbin naas’ (surat An Naas). Kemudian baginda mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah, dan tubuh bahagian depan. Baginda melakukan yang demikian sebanyak tiga kali.”
(HR. Bukhari No. 5017). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar umatnya agar sentiasa memiliki adab termasuk ketika hendak tidur malam.

2.  Antara adab sebelum tidur ialah membaca al-Muawwizat iaitu  surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas sebanyak tiga kali dan ditiup ditapak tangan serta disapu ke seluruh anggota tubuh badan dimana yang sampai.

3.  Ibnu Hajar Al Asqolani menyatakan bahawa; “Yang dimaksudkan dengan ‘Al-Muawwizat’adalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.”
(Fathul Bari)

4.  Antara kelebihan membaca al-Muawwizat adalah untuk menjauhkan daripada gangguan jin, syaitan, sihir, was-was dan segala kejahatan
termasuk dijauhi dari kesakitan. Hadis Rasuullah SAW:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا

Daripada Aisyah RA, bahwasanya; Apabila Rasulullah SAW menderita sakit, maka baginda membacakan al-Mu'awwidzaat untuk dirinya sendiri, lalu baginda meniupkannya. Dan ketika sakitnya parah, maka akulah yang membacakannya pada baginda, lalu mengusapkan dengan menggunakan tangannya bagi mengharap keberkahannya.
(HR Bukhari No: 4629) status:Hadis Sahih

Ayuh kita amalkan bacaan al-Mu'awwidzaat  setiap malam sebelum tidur.

17hb Okt  2022
20hb Rabiul Awal 1444H

Saturday 15 October 2022

Jadilah Orang Yang Paling Berakhlak

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Orang Yang Paling Berakhlak

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خِيَارُكُمْ أَحَاسِنُكُمْ أَخْلَاقًا 

Daripada Abdullah bin Amr ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sebaik-baik orang di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya di antara kalian." (HR Tirmizi No: 1898) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW di utus untuk menyempurnakan akhlak manusia

Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
 
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ

“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)] Status: Hadis sahih 

2.  Sebaik-baik kita ialah yang paling baik akhlaknya

3.  Akhlak yang baik adalah akhlak terpuji yang dicontohi dari Rasulullah SAW

4.  Bersifat terpujilah kita dengan sentiasa memiliki akhlak yang paling baik sama ada dalam beribadat mahupun ketika berhubungan sesama manusia dan makhluk yang lain.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

16hb Okt  2022
19hb Rabiul Awal 1444H

Friday 14 October 2022

Jangan Meremehkan Kebaikan Kecil

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Meremehkan Kebaikan Kecil

عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ قَالَ لِيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا تَحْقِرَنَّ مِنْ الْمَعْرُوفِ شَيْئًا وَلَوْ أَنْ تَلْقَى أَخَاكَ بِوَجْهٍ طَلْقٍ

Daripada Abu Dzar, Rasulullah bersabda: Jangan sekali-kali kalian menganggap remeh suatu kebajikan meskipun hanya berupa keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu".
(HR Muslim No 4760. Status: Hadis Sahih)

Pengajaran:

1.  Setiap amal baik walaupun kecil, tetap mendapat ganjaran di sisi Allah

2.  Berwajah ceria atau senyum apabila bertemu sahabat adalah antara amal kebaikan yang dituntut

3.  Sikap ceria, senyum, gembira dan bertutur dengan kata-kata yang baik ketika berinteraksi dengan orang lain adalah suatu tuntutan akhlak Islam.

4.  Penampilan wajah yang ceria ketika bertemu dapat mewujudkan ikatan ukhuwah sesama muslim.

5.  Jangan memandang remeh perkara yang mungkin kecil tetapi memberi kesan dan ganjaran yang besar.

Marilah kita sentiasa berwajah ceria dengan senyuman sebagai menyahut sunah Nabi walaupun amalan ini dilihat kecil kerana senyuman itu sedekah.

15hb Okt  2022
18hb Rabiul Awal 1444H

Thursday 13 October 2022

Orang Yang Bakhil

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Yang Bakhil

 عَنْ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْبَخِيلُ الَّذِي مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Daripada Ali bin Abi Talib, Rasulullah SAW bersabda: Orang yang kedekut (bakhil) adalah orang yang ketika namaku disebut tetapi dia tidak berselawat ke atasku. (HR Tirmizi No: 3469) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jadilah orang yang pemurah

2.  Orang yang bakhil ialah orang yang apabila disebut nama Rasulullah SAW atau ganti nama baginda , dia tidak mengucapkan selawat kepada baginda.

3.  Mari kita berselawat antaranya:

اللَّهُمَّ صِلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Atau ketika mendengar, menulis nama Nabi Muhammad serta ganti nama baginda dengan lafaz:

–   صَلَّي اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ  

           Atau

–   عَلَيْهِ الصّلاَةُ وَالسَّلاَمُ

Jangan jadi orang yang bakhil. Semarakkan selawat ke atas Rasulullah SAW setiap masa secara berterusan.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

14hb Okt  2022
17hb Rabiul Awal 1444H

Wednesday 12 October 2022

Berselawat Diampun Dosa dan Diangkat Darjat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berselawat Diampun Dosa dan Diangkat Darjat

عَنْ بُرَيْدِ بْنِ أَبِي مَرْيَمَ قَالَ حَدَّثَنَا أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ قَالَ  قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ

Dari Buraid bin Abu Maryam dia berkata; telah menceritakan kepada kami Anas bin Malik dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa berselawat kepadaku satu kali, maka Allah akan mengucapkan selawat kepadanya sepuluh kali, dihapuskan darinya sepuluh kesalahan, dan ia diangkat sepuluh darjat untuknya."
(HR An-Nasa'i No:1280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang berselawat ke atas Rasulullah SAW sekali, Allah akan membalas dengan sepuluh kali.

2.  Orang yang berselawat sekali akan dihapuskan sepuluh kesalahannya

3.  Orang yang berselawat sekali akan diangkat sepuluh darjat untuknya di sisi Allah.

13hb Okt  2022
16hb Rabiul Awal 1444H

Tuesday 11 October 2022

Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Melaksanakan Perintah Rasulullah SAW

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا أَخْبَرَهُ قَالَ أَخْبَرَنِي أَبُو سُفْيَانَ أَنَّ هِرَقْلَ قَالَ لَهُ سَأَلْتُكَ مَاذَا يَأْمُرُكُمْ فَزَعَمْتَ أَنَّهُ أَمَرَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَالصِّدْقِ وَالْعَفَافِ وَالْوَفَاءِ بِالْعَهْدِ وَأَدَاءِ الْأَمَانَةِ قَالَ وَهَذِهِ صِفَةُ نَبِيٍّ

Abdullah bin Abbas RA berkata, telah mengkhabarkan kepada kami Abu Sufyan bahawa Raja Herkulis berkata kepadanya: "Aku telah bertanya kepadamu apa yang dia (Nabi Muhammad) perintahkan kepada kalian, lalu kamu menjawab bahawa dia memerintahkan kalian untuk solat, bersedekah (zakat), menjauhkan diri dari berbuat buruk, menunaikan janji dan melaksanakan amanah". Lalu dia berkata; "Ini adalah diantara sifat-sifat seorang Nabi".
(HR Bukhari No: 2484) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memerintahkan agar melaksanakan ketaatan kepada Allah dengan melaksanakan ibadat yang wajib sebagai seorang Muslim.
 
2.  Rasulullah  SAW memerintahkan kepada umatnya agar:

a.  Melaksanakan solat
b.  Menunaikan zakat  dan bersedekah
c.  Menjauhi perbuatan buruk
d.  Menunaikan janji
e.  Melaksanakan amanah

3.  Sebagai umat yang mencontohi Nabi SAW serta menjadi contoh kepada orang lain, adalah menjadi kewajipan kita untuk melaksanakan tanggungjawab yang bersifat peribadi seperti solat dan menjauhi perbuatan buruk. Muslim juga diperintahkan  menunaikan tanggungjawab yang berkaitan dengan masyarakat seperti mengeluarkan zakat dan bersedekah di samping menunaikan janji dan melaksanakan amanah.

Ayuh kita miliki sifat RAHMAH dengan melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW.

12hb Okt  2022
15hb Rabiul Awal 1444H

Monday 10 October 2022

Rahmat Kepada Semua

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rahmat Kepada Semua

عن أبي موسى الأشعري  رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم قال لن تُؤْمِنوا حتى تَراحموا قالوا يا رسولَ اللهِ كُلُّنا رحيمٌ قال إنه ليس برحمةِ أحدِكم صاحِبَه ولكنَّها رحمةُ الناسِ رحمةُ العامَّةِ

Daripada Abu Musa RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu tidak dikira beriman sehingga kamu berkasih sayang (saling rahmah). Para Sahabah berkata: Wahai utusan Allah, kami semua telah berkasih sayang. Baginda bersabda: “(Maksud aku) bukan seperti kasih sayang seseorang kamu terhadap kawannya, tetapi rahmah kasih sayang terhadap seluruh manusia, rahmah secara umum” (Riwayat al-Haythami dalam Majma’ al-Zawaid 8/189, al-Hakim dalam al-Mustadrak 7418 Hadis Hasan Lighairihi)

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama rahmah. Rahmah adalah kata terbitan daripada kata akar ra-hi-ma / yar-ha-mu yang bermaksud lembut hati terhadap seseorang, memberi kasih sayang, belas ihsan, santun dan simpati (al-Mu’jam al’Arabiy al-Asasiy, 1989)

2.  Memiliki sifat rahmah dengan berkasih sayang sesama Muslim adalah tanda keimanan seseorang.

3.  Sifat rahmah berkasih sayang bukan hanya sesama Muslim malah juga kepada seluruh manusia termasuk juga yang bukan Islam serta makhluk alam yang lain seperti binatang dan tumbuhan.

4.  Umat Islam haruslah memahami bagaimana proses ummah dijelmakan dalam peradaban Islam dari sudut kesatuan masyarakat manusia. Al-Quran mengarahkan untuk kita melakukan engagement dengan pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari (sepasang manusia) lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenali.” (hujurat: 13)

5.  Memiliki sifat rahmah kepada manusia secara umum termasuk bukan Islam dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia dengan saling mengenali serta berusaha melakukan usaha dakwah melalui pelbagai pendekatan termasuk menunjukkan contoh terpuji. Menyayangi orang lain agar mereka juga mendapat hidayah dan taufik menjadi hamba Allah yang diredhai.

Zahirkanlah sifat rahmah kita sebagai Muslim kepada orang lain termasuk kawan dan lawan dengan engagement yang berterusan agar kita benar-benar memiliki sifat RAHMAH.

11hb Okt  2022
14hb Rabiul Awal 1444H

Sunday 9 October 2022

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah SAW Pembawa Rahmat 
 
عَنْ أَبِي صَالِحٍ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُنَادِيهِمْ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ, إِنَّمَا أَنَا رَحْمَةٌ مُهْدَاةٌ.
 
Daripada Abu Soleh RA, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW (pada suatu hari) menyeru para sahabat: "Wahai sekalian manusia! (Ketahuilah) Bahawa sesungguhnya daku ini adalah rahmat yang dihadiahkan (oleh Allah SWT kepada seluruh alam)."
(Hadith riwayat Ad-Darimi, No: 15, Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, No: 98, beliau berkata: " Hadith ini adalah sahih dengan mengikuti syarat-syarat yang telah digariskan oleh Imam al-Bukhari & Muslim).
 
Pengajaran:
 
1.  Rasulullah SAW adalah rahmat yang diutus untuk seluruh alam.
Firman Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَٰكَ إِلَّا رَحۡمَةٗ لِّلۡعَٰلَمِينَ ١٠٧

Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.
(al-Anbiya: 107)

2.  Menurut Ibnu Abbas, Allah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi seluruh manusia, baik mukmin mahupun kafir. Rahmat bagi orang mukmin iaitu Allah memberinya petunjuk dengan sebab diutusnya Rasulullah. Baginda penyebab memasukkan orang-orang beriman ke dalam syurga dengan iman dan amal mereka terhadap perintah Allah. Sedangkan rahmat bagi orang kafir, berupa tidak disegerakannya bencana seperti yang menimpa umat-umat terdahulu yang mengingkari perintah Allah.

3.  Rahmat adalah kasih sayang. Nabi SAW diutuskan semata-mata untuk membawa risalah ketauhidan, iaitu dengan mengeluarkan manusia daripada lembah penghambaan sesama manusia kepada semata-mata menyembah Allah SWT, Tuhan Yang Esa. Risalah tauhid ini disampaikan dengan penuh rahmat melalui jalan dakwah iaitu mengajak manusia beriman kepada Allah SWT. Tatkala manusia itu beriman maka alam pun akan mendapat manfaat diatas keimanan tersebut. Itulah rahmat dan hadiah yang besar daripada Allah SWT kepada seluruh alam.

4.  Ibn Qayyim al-Jauziyah menyatakan bahawa rahmat itu adalah kasih sayang iaitu sifat memberikan manfaat kepada orang lain juga sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada orang lain atau makhluk alam juga menjauhkannya daripada bencana.

Jadilah kita pewaris sifat rahmah kepada sesama manusia juga kepada makhluk alam yang lain.

10hb Okt  2022
13hb Rabiul Awal 1444H

Saturday 8 October 2022

Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah SAW Contoh Akhlak Terbaik

حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ اللَّهِ الْجَدَلِيُّ قَالَ قُلْتُ لِعَائِشَةَ كَيْفَ كَانَ خُلُقُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي أَهْلِهِ قَالَتْ كَانَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا لَمْ يَكُنْ فَاحِشًا وَلَا مُتَفَحِّشًا وَلَا سَخَّابًا بِالْأَسْوَاقِ وَلَا يُجْزِئُ بِالسَّيِّئَةِ مِثْلَهَا وَلَكِنْ يَعْفُو وَيَصْفَحُ

Telah menceritakan kepadaku Abu Abdullah Al Jadali dia berkata; Saya bertanya kepada Aisyah; "Bagaimanakah akhlak Rasulullah SAW terhadap keluarganya." Aisyah berkata; "Baginda adalah orang yang paling baik akhlaknya, tidak pernah berbuat keji, tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor, tidak berteriak-teriak di pasar, dan tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya), akan tetapi baginda seorang yang pemaaf dan pengampun."
(HR Ahmad No: 24797) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW adalah orang yang paling baik akhlak terhadap keluarga dan orang lain. 

2.  Rasulullah SAW tidak pernah melakukan perbuatan keji seperti perbuatan syirik.

3.  Rasulullah SAW tidak bercakap dengan kata-kata yang kotor serta tidak terjerit-jerit di pasar (shoping kompleks).

4.  Antara akhlak terpuji Rasulullah SAW ialah tidak pernah membalas dengan kejahatan yang sama (yang diperlakukan kepadanya).

5.  Rasulullah SAW adalah seorang yang pemaaf kepada orang lain.

09hb Okt  2022
12hb Rabiul Awal 1444H

Friday 7 October 2022

Contohi Akhlak Rasulullah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Contohi Akhlak Rasulullah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: خَدَمْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ سِنِينَ وَاللهِ مَا قَالَ لِي: أُفًّا قَطُّ وَلَا قَالَ لِي لِشَيْءٍ: لِمَ فَعَلْتَ كَذَا وَهَلَّا فَعَلْتَ كَذَا 

Daripada Anas bin Malik RA berkata : Aku telah berkhidmat kepada Rasulullah SAW selama 10 tahun, Demi Allah, Baginda SAW tidak pernah berkata kepadaku “ Uff ” dan tidak pernah berkata kepadaku kerana sesuatu : Kenapa awak buat begini ? Kenapa awak tidak buat begini?
(HR Muslim No : 2309) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran : 

1.  Rasulullah SAW memiliki akhlak yang sangat terpuji. Tutur katanya sangat lembut dan penuh hikmah kepada sesiapa sahaja walaupun terhadap hamba. 

2.  Kalimah Uff adalah ucapan atau suara yang menunjukkan rasa tidak hormat dan menyakitkan hati. Mungkin bagi kita adalah kata-kata seperti ini : “ah !! , Ish !! Hoi !! Hey!! dan sebagainya. 

3.  Tutur kata merupakan antara penyebab utama seseorang itu mendapat dosa kerana terlalu mudah untuk menyebut perkataan yang tidak baik. Menjaga tutur kata juga adalah tanda orang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.

4.  Rasulullah SAW tidak pernah berkata perkataan kasar kepada sahabat hatta kepada pekerja seperti perkataan “Uff ”. Baginda juga tidak  memarahi orang yang berkhidmat dengannya. 

5.  Marilah kita membuktikan kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menjadikan Rasul sebagai contoh terbaik dalam kehidupan kita. Antaranya menjaga tutur kata dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang buruk termasuk dalam penulisan. Firman Allah: 

لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١ 

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).
(al-Ahzab: 21)

08hb Okt  2022
11hb Rabiul Awal 1444H

Thursday 6 October 2022

Berselawat Dalam Majlis

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berselawat Dalam Majlis

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّى الرَّجُلُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَرَّةً فِي الْمَجْلِسِ أَجْزَأَ عَنْهُ مَا كَانَ فِي ذَلِكَ الْمَجْلِسِ

Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Apabila seseorang berselawat kepada Nabi SAW sebanyak sekali di dalam sesebuah majlis, maka ianya telah mencukupi sepanjang ia berada di majlis tersebut.
(Sunan at-Tirmidzi No: 3468) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Majlis yang diberkati, di dalamnya disertakan dengan kalimah Allah dan selawat ke atas Nabi SAW

2.  Berselawat sekali apabila berada dalam satu majlis atau program mencukupi bermaksud sangat mudah untuk dilakukan tetapi memiliki pahala yang sangat besar termasuk keampunan.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dari Abdullah bin ‘Amr RA, ia berkata:

مَنْ صَلَّى عَلَى رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى الله ُعَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاَةً صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَمَلاَئِكَتُهُ سَبْعِيْنَ صَلاَةً, فَلْيُقِلَّ عَبْدٌ مِنْ ذَلِكَ أَوْ لِيُكْثِرْ.

“Barangsiapa yang berselawat kepada Rasulullah SAW sekali sahaja, maka Allah dan para Malaikatnya akan berselawat kepadanya sebanyak tujuh puluh selawat, maka perbanyaklah seorang hamba dalam membacanya.”
(Al-Musnad Imam Ahmad) Status: Hadis Hasan 

3.  Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya.

4.  Memperbanyak selawat pada bila-bila masa amat digalakkan.

07hb Okt  2022
10hb Rabiul Awal 1444H

Wednesday 5 October 2022

Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Gigit Sunnah Rasulullah SAW Dengan Gigi Geraham

حَدَّثَنِي يَحْيَى بْنُ أَبِي الْمُطَاعِ قَالَ سَمِعْتُ الْعِرْبَاضَ بْنَ سَارِيَةَ يَقُولُ قَامَ فِينَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَوَعَظَنَا مَوْعِظَةً بَلِيغَةً وَجِلَتْ مِنْهَا الْقُلُوبُ وَذَرَفَتْ مِنْهَا الْعُيُونُ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَظْتَنَا مَوْعِظَةَ مُوَدِّعٍ فَاعْهَدْ إِلَيْنَا بِعَهْدٍ فَقَالَ عَلَيْكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِ وَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا وَسَتَرَوْنَ مِنْ بَعْدِي اخْتِلَافًا شَدِيدًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيِّينَ عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَالْأُمُورَ الْمُحْدَثَاتِ فَإِنَّ كُلَّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ

Telah menceritakan kepadaku Yahya bin Abi Al Mutha' ia berkata; aku mendengar 'Irbadl bin Sariyah berkata; "Pada suatu hari Rasulullah SAW berdiri di tengah-tengah kami. Baginda memberi nasihat yang sangat menyentuh, membuat hati menjadi gemetar, dan airmata berlinangan. Lalu dikatakan; "Wahai Rasulullah, engkau telah memberikan nasihat kepada kami satu nasihat perpisahan, maka berilah kami satu wasiat." Baginda bersabda: "Hendaklah kalian bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat meskipun kepada seorang hamba Habasyi. Dan sepeninggalku nanti, kalian akan melihat perselisihan yang sangat dahsyat, maka hendaklah kalian berpegang dengan sunnahku dan sunnah para khulafaur Rasyidin yang mendapat petunjuk. Gigitlah sunnah itu dengan gigi geraham, dan jangan sampai kalian mengikuti perkara-perkara (bid’ah) yang dibuat-buat, kerana sesungguhnya semua bid’ah itu adalah sesat." (HR Ibnu Majah No: 42) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW meninggalkan wasiat untuk kita laksanakan:

1.  Hendaklah kita bertakwa kepada Allah, mendengar dan taat kepada pemimpin yang benar dan hak, meskipun kepada seorang hamba Habasyi. 

2.  Sepeninggalan Rasulullah SAW,  akan berlaku banyak perselisihan yang dahsyat. Sebagai orang beriman, kita mesti berpegang teguh dan bersungguh-sungguh (menggigit dengan gigi geraham)  sunnah Rasulullah SAW dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Mengigit dengan gigi geraham lebih kuat dan mantap berbanding mengigit dengan gigi kacip yang boleh terlepas.

3.  Berpegang teguh dengan sunnah yang dimaksudkan ialah teguh dan berterusan mengikuti dan mencontohi semua jalan hidup, pemikiran, amalan dan tunjuk ajar Rasulullah SAW dalam segenap lapangan hidup. Juga mengikuti jalan hidup khulafa ar-Rashidin.

Jadilah seperti Saidina Abu Bakar Ash Shiddiq RA yang menyatakan:

لَسْتُ تَارِكًا شَيْئًا كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَ سَلَّمَ يَعْمَلُ بِهِ إِلَّا عَمِلْتُ بِهِ إِنِّي أَخْشَى إِنْ تَرَكْتُ شَيْئًا مِنْ أَمْرِهِ أَنْ أَزِيْغَ 

“Tidaklah aku biarkan satupun yang Rasulullah SAW amalkan kecuali aku mengamalkannya kerana aku takut jika meninggalkannya sedikit saja, aku akan menyimpang.” (Atsar R. Abu Daud No. 2970)

4.  Jangan terlibat dengan perkara bid’ah yang dikeji. Bid’ah yang dikeji mengikut Ibnu Hajar al-Asqalani adalah menambah atau mengurangkan dalam hal agama yang tiada dalil syarak dan ia adalah amalan yang dikeji oleh syarak.

Marilah sempena mengingati bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkan dan mencontohi sunnah baginda dan khulafa ar-Rashidin.

06hb Okt  2022
09hb Rabiul Awal 1444H

Tuesday 4 October 2022

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Al-Quran dan Sunnah Panduan Hidup Diredhai

عَنْ مَالِك أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ

Daripada Malik, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang kalian tidak akan tersesat selamanya selama berpegang teguh dengan keduanya iaitu Kitabullah dan Sunnah Nabi ".
(Muwatta’ Malik No: 1661 Dar Ihya Ulum Arabiyyah) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW meninggalkan pusaka yang amat berharga untuk diwarisi oleh orang beriman agar sentiasa berada di dalam petunjuk dan hidayah Allah.

2.  Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW merupakan dua pusaka yang wajib di amalkan dan dijadikan panduan dalam kehidupan ini.

3.  Al-Quran adalah kitab hidayah dan panduan untuk kehidupan. Berusahalah mempelajari, membaca, memahami dan melaksanakan tuntutan al-Quran.

عن جابر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال اَلقُرْءَانُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ وَمَاحِلٌ مُصَدَّقٌ مَن جَعَلَهُ أَمَامَهُ قَادَهُ إِلَى الْجَنَّةِ وَمَن جَعَلَهُ خَلْفَ ظَهْرِهِ سَاقَطَهُ إِلَى النَّارِ

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: Al-Quran adalah pemberi syafaat (yang mana) syafaatnya akan diterima dan sebagai penghujah (yang mana) hujahnya disokong. Barangsiapa meletakkan al-Quran di hadapannya maka al-Quran akan memandunya ke syurga dan barangsiapa yang meletakkan al-Quran di belakangnya maka al-Quran akan mencampakkannya ke neraka”.
(HR Ibn Hibban No: 124) Status: Hadis Sahih

4.  Sunnah adalah penjelas bagi al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Al-Sunnah adalah jalan, tingkah laku, amalan, pembawaan atau cara hidup Rasulullah SAW sama ada melalui percakapan, perbuatan mahupun perakuan.

5.  Menerusi sunnah, orang beriman dapat memahami asas ibadah yang diterangkan dalam al-Quran serta dalam bidang-bidang lain yang diperlihatkan oleh Rasulullah SAW seperti muamalah, jinayat, akhlak, pentadbiran dan lain-lain.

Marilah kita memastikan dua pusaka ini kita pelajari, fahami dan mengamalkannya sebagai tanda kecintaan kepada Rasulullah SAW.

05hb Okt  2022
08hb Rabiul Awal 1444H

Monday 3 October 2022

Keutamaan Orang Berselawat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Orang Berselawat

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مَسْعُودٍ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَكْثَرُ النَّاسِ عَلَيَّ صَلاةً

Daripada Abdullah Bin Masoud berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya orang yang paling utama bersamaku di hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat kepadaku.
(HR at-Tabrani No: 9679) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memperbanyakkan selawat ke atas Nabi SAW adalah amalan yang dituntut.

2.  Mukmin yang paling utama akan bersama Rasulullah SAW pada hari kiamat nanti adalah yang paling banyak berselawat ke atas baginda.

3.  Orang yang berselawat keatas Nabi SAW, para malaikat juga berselawat keatasnya (Sufyan As-Sauri mengatakan bahawa selawat dari para malaikat adalah permohonan ampun baginya). ‘Amir Bin Rabi’ah meriwayatkan,  Rasulullah bersabda:

ما مِنْ عبدٍ يُصَلِّي علَيَّ إلَّا صَلَّتْ عليه الملائكةُ ما دامَ يُصَلِّي علَيَّ فلْيُقِلَّ العبدُ مِنْ ذلِكَ أوْ لِيُكْثِرْ

Tidaklah seseorang hamba berselawat kepadaku melainkan para malaikat sentiasa berselawat untuknya sebanyak mana dia berselawat kepadaku. Maka berselawatlah sama ada sedikit atau banyak.
(at-Thabrani, al-Mu’jam al-Ausath, Ahmad)

04hb Okt  2022
07hb Rabiul Awal 1444H

Sunday 2 October 2022

Orang Yang Enggan Masuk Syurga

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Yang Enggan Masuk Syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Daripada Abu Hurairah RA, bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Setiap umatku akan masuk syurga kecuali yang enggan, " Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, siapa yang enggan?" Nabi menjawab: "Siapa yang taat kepadaku masuk syurga dan siapa yang mendurhakaiku dialah orang yang enggan."
(HR Bukhari No: 6737) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap umat Nabi Muhammad SAW akan masuk ke syurga dengan syarat mentaati dan mengikuti apa yang ditunjukkan Rasulullah SAW. Melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala yang dilarang. 
  
2.  Taat dan patuh itu antaranya dengan mentauhidkan Allah serta istiqamah dalam melaksanakan syariat Allah seperti menunaikan solat, mengeluarkan zakat, melaksanakan puasa Ramadhan, berbakti kepada kedua orang tua, menjaga dari perkara yang haram seperti perbuatan zina, minum yang memabukkan, serta perkara haram yang  lain.

3.  Orang yang enggan dan tidak mahu mentaati syariat yang diperintahkan oleh Allah dan Rasulullah SAW adalah orang yang enggan untuk masuk syurga. Orang tersebut mencegah dirinya untuk masuk ke dalam syurga dengan melakukan amal keburukan dan meninggalkan syariat yang diwajibkan.

4.  Wajib bagi setiap muslim untuk mentaati segala perintah Allah, serta mengikuti Nabi Muhammad SAW dalam setiap syariat yang baginda bawa. Firman Allah: 

وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu, maka terimalah. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah amat keras hukumannya”.
(Al Hasyr: 7)
 
Marilah kita sempena bulan Maulidurasul ini menjadi orang yang akan masuk syurga bukan orang yang enggan.

03hb Okt  2022
06hb Rabiul Awal 1444H

Saturday 1 October 2022

Rasulullah Penyelamat Umat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Rasulullah Penyelamat Umat 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّمَا مَثَلِي وَمَثَلُ أُمَّتِي كَمَثَلِ رَجُلٍ اسْتَوْقَدَ نَارًا فَجَعَلَتِ الدَّوَابُّ وَالْفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهِ فَأَنَا آخِذٌ بِحُجَزِكُمْ وَأَنْتُمْ تَقَحَّمُونَ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya perumpamaan diriku dengan umatku adalah seperti seorang lelaki yang menyalakan api. Ketika itu, binatang dan kelekatu berjatuhan ke dalamnya. Maka aku mencegah kalian, namun kalian melemparkan diri ke dalamnya.
(HR Bukhari No: 6483) Status : Hadis Sahih. 

Pengajaran: 

1.  Rasulullah SAW diutus untuk memberitahu manusia akan ancaman azab api Neraka yang menanti di Akhirat bagi mereka yang berbuat maksiat juga yang tidak beriman. 

2.  Rasulullah SAW berusaha untuk menyelamatkan manusia dari menjadi ahli Neraka. Baginda SAW menyampaikan Islam sebagai kesejahteraan hidup dunia dan akhirat. 

3.  Imam An-Nawawi berkata: hadis ini membawa maksud bahawa Rasulullah SAW menggambarkan perbuatan orang jahil dan ingkar yang bergelumang dengan maksiat dan syahwat sebenarnya melemparkan diri ke dalam Neraka, seperti kelekatu yang terbang ke dalam api kerana mengikut keinginan dan tidak mampu membezakan bahaya atau tidak, sedangkan Baginda SAW berusaha menghalang mereka dari terjatuh ke dalamnya. 

4.  Teknik memberikan perumpamaan yang boleh digambarkan oleh akal, adakalanya diperlukan bagi menyampaikan dakwah dan menyedarkan jiwa umat.

5.  Jangan jadikan kita seperti kelekatu yang terhumban ke dalam api kerana tidak dapat membezakan antara bahaya dan bahagia. Ikutilah perintah dan larangan Rasulullah SAW yang sayang dan kasih kepada umatnya agar tidak terhumban ke dalam neraka.

6.  Jadikan diri kita pewaris tugas Rasulullah sebagai pendakwah untuk menyelamatkan diri kita dan orang lain daripada api neraka.

02hb Okt  2022
05hb Rabiul Awal 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...