Saturday 31 December 2022

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلاَةِ الفَجْرِ وَهُوَ ثَانٍ رِجْلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَتَكَلَّمَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ وَمُحِيَ عَنْهُ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ وَرُفِعَ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ وَكَانَ يَوْمَهُ ذَلِكَ كُلَّهُ فِي حِرْزٍ مِنْ كُلِّ مَكْرُوهٍ وَحُرِسَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَلَمْ يَنْبَغِ لِذَنْبٍ أَنْ يُدْرِكَهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ إِلاَّ الشِّرْكَ بِاللَّهِ. 

Daripada Abu Dzar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: "Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata dia membaca: Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah tidak ada sekutu bagi-Nya, semua kerajaan milik-Nya dan bagi-Nya seluruh pujian, Dia yang menghidupkan, serta mematikan, dan Dia Maha Mampu melakukan segala sesuatu, sebanyak 10 kali, maka tercatat untuknya sepuluh kebaikan dan terhapus darinya sepuluh kesalahan serta diangkat untuknya sepuluh darjat, dan pada hari itu dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini, serta terjaga dari Syaitan, begitu juga tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu kecuali syirik kepada Allah."
(HR Tirmidzi No: 3474) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim digalakkan berzikir dan berdoa selepas solat.

2.  Antara zikir yang dianjurkan untuk dibaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata yang lain adalah; 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Barang siapa membaca sebanyak 10 kali, maka:

a.  Dicatat untuknya sepuluh kebaikan 

b.  Terhapus daripadanya sepuluh kesalahan

c.  Diangkat untuknya sepuluh darjat

d.  Pada hari tersebut dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini

e.  Terjaga dari Syaitan pada hari tersebut

f.  Tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu (terampun) kecuali dosa syirik kepada Allah

3.  Orang yang membaca zikir ini selepas solat subuh sebanyak 10 kali dalam keadaan masih duduk seperti tahiyat akhir dan belum bercakap yang lain, maka akan terpelihara daripada sesuatu yang tidak diingini termasuklah pelbagai penyakit seperti virus Covid 19 juga dilindungi dari mara bahaya yang lain.

Marilah kita mulakan awal tahun baharu Masihi 2023 ini untuk mengamalkan wirid ini selepas solat fardhu subuh juga maghrib. Moga kita sentiasa mendapat kebaikan dan terpelihara dari sebarang keburukan dan dosa.

01hb Januari  2023
08hb Jamadil Akhir 1444H

Friday 30 December 2022

Amal Yang Dicintai Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Yang Dicintai Allah

أَبَا عَمْرٍو الشَّيْبَانِيَّ يَقُولُ حَدَّثَنَا صَاحِبُ هَذِهِ الدَّارِ وَأَشَارَ إِلَى دَارِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ أَيٌّ قَالَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ قَالَ حَدَّثَنِي بِهِنَّ وَلَوْ اسْتَزَدْتُهُ لَزَادَنِي

Abu Amru Asy Syaibani berkata, "Pemilik rumah ini menceritakan kepada kami - seraya menunjuk rumah Abdullah - ia berkata, "Aku pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Amal apakah yang paling dicintai oleh Allah?" Baginda menjawab: "Solat pada waktunya." Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa kagi?" Baginda menjawab: "Kemudian berbakti kepada kedua orang tua."Abdullah bertanya lagi, "Kemudian apa lagi?" Baginda menjawab: "Jihad fi sabilillah." Abdullah berkata, "Baginda sampaikan semua itu, sekiranya aku minta tambah, nescaya baginda  akan menambahkannya untukku."
(HR Bukhari No: 496) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pelbagai amal soleh dituntut untuk kita lakukan. Ada amal yang utama untuk dilakukan, ada amal yang paling dicintai Allah bergantung kepada keadaan, masa dan tempat.

2.  Tiga amal yang paling dicintai Allah:

a.  Solat pada waktunya dengan kita berusaha melaksanakan kewajipan ibadat solat di awal waktu.

b.  Berbakti kepada ibu bapa dengan berusaha melakukan kebaikan, berbakti kepada kedua ibu bapa dan mengembirakannya, sama ada semasa dia hidup mahupun selepas kematian mereka. 

c.  Berjihad dijalan Allah dengan berkorban harta, diri, keselesaan untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar

Berusahalah melakukan amal yang dicintai Allah melalui penjagaan waktu solat, berbakti kepada ibu bapa dan berjihad di jalan Allah dalam pelbagai ruang amal kebaikan.

31hb Dis  2022
07hb Jamadil Akhir 1444H

Thursday 29 December 2022

Reda Allah Dengan Reda Ibu Bapa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Reda Allah Dengan Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Reda Allah terdapat pada reda seorang bapa, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang bapa."
(HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya

2.  Imam Al Ghazali berkata: Antara adab anak kepada orang tuanya; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

3.  Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua.
(HR Tabrani dari Ibnu Umar).

Berusahalah menjadi anak yang soleh terhadap kedua ibu bapanya.

30hb Dis  2022
06hb Jamadil Akhir 1444H

Wednesday 28 December 2022

Membalas Jasa Ibu bapa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membalas Jasa Ibu bapa

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا يَقُولُ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَهُ فِي الْجِهَادِ فَقَالَ أَحَيٌّ وَالِدَاكَ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَفِيهِمَا فَجَاهِدْ

Abdullah bin 'Amru radliallahu 'anhuma berkata: "Datang seorang laki-laki kepada Nabi SAW lalu meminta izin untuk pergi berjihad. Maka Baginda bertanya: "Apakah kedua orang tuamu masih hidup?" Laki-laki itu menjawab: "ya". Maka Baginda berkata: "Kepada keduanyalah kamu berjihad (berbakti) ".
(HR Bukhari No: 2782) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berkhidmat dan berbuat baik kepada ibu bapa adalah dituntut seperti membantu dari sudut kewangan, penjagaan terutama semasa mereka tidak sihat atau tua serta kasih sayang.

2.  Berkhidmat dan berbakti kepada kedua ibu bapa adalah sebahagian daripada jihad.

3.  Ada sahabat yang Rasulullah SAW tidak izinkan untuk pergi berjihad dan diminta berbakti kepada kedua ibu bapanya yang masih hidup.

4.  Berbakti juga dituntut selepas ibubapa meninggal dunia. Antaranya Menunaikan hutang-hutang yang wajib iaitu hutang dengan Allah SWT seperti puasa, haji, nazar dan juga hutang kepada manusia. Hadis Nabi SAWdaripada Ibn Abbas RA,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا قَالَ: نَعَمْ قَالَ: فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Telah datang kepada Nabi SAW seorang lelaki, lalu berkata: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan ke atasnya puasa Ramadhan (meninggalkan puasa). Adakah aku perlu qadha’ puasa bagi pihaknya? Rasulullah SAW bersabda: “Ya, kerana hutang dengan Allah lebih berhak untuk ditunaikan.”
(HR Bukhari)

Berbuat baiklah kepada ibu bapa  yang telah berjasa kepada kita. Sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

29hb Dis  2022
05hb Jamadil Akhir 1444H

Tuesday 27 December 2022

Golongan Mustajab Doa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang bermusafir, dan doa orang tua untuk anaknya."
(HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Ada tiga golongan yang Allah bagi keistimewaan dimana doa mereka mustajab di sisi Allah:

a)  Doa dari orang yang dizalimi
b)  Doa orang yang  sedang bermusafir
c)  Doa dua ibu bapa kepada anak

2.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

3.  Elakkan hubungan yang buruk dengan orang lain hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

4.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk dengan menzalimi orang lain sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita.

5.  Bagi yang bermusafir, ambillah kesempatan waktu mustajab doa sepanjang masa bermusafir dengan memperbanyakkan doa untuk diri dan orang lain.  

6.  Bagi ibu bapa, ambillah kesempatan perbanyakkan doa yang baik untuk anak-anak.  Kata-kata yang buruk kepada anak juga boleh menjadi doa buat mereka dan ia perlu dielakkan.

28hb Dis  2022
04hb Jamadil Akhir 1444H

Monday 26 December 2022

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Hati Tidak Berbolak-balik

عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ يَقُولُا أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ قُلُوبَ بَنِي آدَمَ كُلَّهَا بَيْنَ إِصْبَعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ الرَّحْمَنِ كَقَلْبٍ وَاحِدٍ يُصَرِّفُهُ حَيْثُ يَشَاءُ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Abdullah bin 'Amru bin Al 'Ash berkata; bahawasanya ia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati semua manusia itu berada di antara dua jari dari sekian jari Allah Yang Maha Pemurah. Allah SWT akan memalingkan hati manusia menurut kehendak-Nya." Setelah itu, Rasulullah SAW berdoa; “Ya Allah, Zat yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu!”
(HR Muslim No: 4798) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Sesungguhnya al-qalb (hati) itu berasal daripada perkataan ‘taqallub’ yang bermaksud kerap bertukar (berbolak balik). Hati diumpamakan seperti bulu di atas pokok yang berubah-ubah ketika ditiup angin. Ia juga berbolak balik diumpamakan lebih cepat daripada air yang mendidih dalam periuk.

2.  Begitulah fitrah hati yang cepat berubah dan bertukar antara kebaikan atau kejahatan. Maka berhati-hatilah dalam menjaga apa yang ada dalam hati agar tetap berada atas kebaikan. Sesungguhnya penglihatan, pendengaran, persekitaran, pergaulan dan apa yang dimakan atau diminum serta dibaca oleh seseorang mampu menyebabkan hati itu berubah-ubah dengan izin Allah SWT. Namun, Allah SWT jua yang memberikan ilham dan ikhtiar kepada hamba-Nya untuk memilih jalan bahagia ataupun sengsara. 

3.  Hati manusia berada di bawah kekuasaan Allah yang Maha Pemurah. Allah memalingkan hati manusia tersebut  sesuai dengan kehendak-Nya. Imam Nawawi menyebutkan: Allah membolak-balikkan hati seseorang sekehendak-Nya.

4.  Setiap Muslim dituntut agar sentiasa berdoa memohon hidayah kepada Allah SWT sekurang-kurang sebanyak 17 kali sehari (dalam solat).  Rasulullah SAW sendiri sentiasa memohon kepada Allah SWT agar diteguhkan hati dalam melaksanakan ketaatan dan beragama kerana hidayah itu adalah milik Allah SWT. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَى طَاعَتِكَ

Ya Allah, Engkau yang membolak-balikkan hati, palingkanlah hati kami kepada ketaatan beribadah kepada-Mu.

5.  Jika seorang hamba bergantung dan bersandar pada dirinya sendiri, tentu ia akan binasa.

6.  Kita hendaklah menyerahkan segala usaha kepada Allah dan janganlah berpaling dari-Nya walaupun sebentar.

Hendaklah setiap kita sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah agar terus diteguhkan hati  dalam ketaatan dan tidak terjerumus dalam maksiat atau kesesatan.

27hb Dis  2022
03hb Jamadil Akhir 1444H

Sunday 25 December 2022

Berbakti Kepada Ibubapa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti Kepada Ibubapa

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ الْوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ فَأَضِعْ ذَلِكَ الْبَابَ أَوْ احْفَظْهُ

Daripada Abu Ad Darda dia mendengar Nabi SAW bersabda: "Orang tua ibarat penengah pintu-pintu syurga, oleh kerana itu  letakkanlah ia atau jagalah ia baik-baik."
(Sunan Ibnu Majah No: 3653) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ibu bapa ibarat pintu syurga bagi setiap anak.

2.  Menjadi kewajipan kepada anak-anak untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa nescaya Allah akan memberikan ganjaran syurga.

3.  Al-Qadhi Baidhawi berkata: Cara terbaik untuk masuk syurga, dan cara mendapatkan darjat yang tinggi di syurga adalah dengan mentaati orang tua dan berusaha mengasihi dan berbakti padanya. Ada juga ulama yang mengatakan, ‘Di syurga ada banyak pintu. Yang paling selesa untuk dimasuki adalah yang paling tengah. Untuk membolehkan masuk ke syurga melalui pintu tengah itu adalah dengan berbakti kepada orang tua.’
(Tuhfatul Ahwadzi)

4.  Anak-anak yang tidak berbakti dan berbuat baik kepada orang tua, akan terlepas peluang ke syurga. 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ 

Daripada Abu Hurairah dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah satu dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)."
(HR Muslim No: 4628) Status: Sahih

Berbaktilah sebaik mungkin kepada kedua ibu bapa sama ada mereka masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia (dengan mendoakannya).

26hb Dis  2022
02hb Jamadil Akhir 1444H

Saturday 24 December 2022

Kekayaan Dan Kesihatan Orang Bertakwa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kekayaan Dan Kesihatan Orang Bertakwa 

حَدَّثَنَا مُعَاذُ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ خُبَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَمِّهِ قَالَ كُنَّا فِي مَجْلِسٍ فَطَلَعَ عَلَيْنَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى رَأْسِهِ أَثَرُ مَاءٍ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ نَرَاكَ طَيِّبَ النَّفْسِ قَالَ أَجَلْ قَالَ ثُمَّ خَاضَ الْقَوْمُ فِي ذِكْرِ الْغِنَى فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا بَأْسَ بِالْغِنَى لِمَنْ اتَّقَى وَالصِّحَّةُ لِمَنْ اتَّقَى خَيْرٌ مِنْ الْغِنَى وَطِيبُ النَّفْسِ مِنْ النَّعِيمِ

Telah bercerita kepada kami Mu'adz bin 'Abdullah bin Khubaib dari ayahnya dari pamannya berkata; Kami berada disuatu majlis kemudian Rasulullah SAW datang, dirambut baginda ada sisa-sisa air, kami berkata; Wahai Rasulullah! Kami melihat Rasulullah sedang bahagia. Rasulullah SAW  bersabda: "Benar." Kemudian orang-orang membincangkan kekayaan. Rasulullah SAW bersabda: "Tidak mengapa kekayaan bagi orang yang bertakwa kepada Allah dan kesihatan bagi orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik (dari kekayaan) dan kebahagiaan jiwa itu termasuk sebahagian dari kenikmatan." (Musnad Ahmad No:  22144)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kekayaan yang dimiliki oleh seseorang tidak tercela asalkan ia diurus dengan cara yang bertakwa.

2.  Pemilik yang bertakwa akan memastikan sumber hartanya bersih lagi halal disamping menunaikan hak terhadap harta yang dimiliki seperti zakat dan sedekah. 

3.  Orang kaya yang dicela apabila ia tidak menunaikan hak harta dan tidak pernah merasa cukup dengan apa yang dimiliki.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ قَدْ أَفْلَحَ مَنْ أَسْلَمَ وَرُزِقَ كَفَافًا وَقَنَّعَهُ اللَّهُ بِمَا آتَاهُ

Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sangat beruntung orang yang telah masuk Islam, diberikan rezeki yang cukup dan Allah menjadikannya merasa puas (qanaah) dengan apa yang diberikan kepadanya.” (HR Muslim no: 1746)

4.  Kesihatan yang dimiliki oleh orang yang bertakwa kepada Allah itu lebih baik dari harta kekayaan. Kesihatan yang dimiliki tidak boleh ditukar dengan wang ringgit dan harta.

5.  Kebahagiaan jiwa (ketenangan, ketenteraman dan kelapangan) merupakan sebahagian dari kekayaan  kenikmatan hidup. 

6.  Memiliki wang ringgit dan kekayaan harta belum menjamin ketenangan jiwa.

Biar berharta, asalkan memiliki sifat qanaah (merasa cukup) dan sentiasa bersyukur dengan menunaikan hak-hak harta serta jiwa pemilik harta sentiasa merasa tenang dan bahagia. 

25hb Dis  2022
01hb Jamadil Akhir 1444H

Friday 23 December 2022

Mukmin Yang Lebih Dicintai Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Yang Lebih Dicintai Allah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤْمِنُ الْقَوِيُّ خَيْرٌ وَأَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ الْمُؤْمِنِ الضَّعِيفِ وَفِي كُلٍّ خَيْرٌ احْرِصْ عَلَى مَا يَنْفَعُكَ وَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَلَا تَعْجَزْ وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: 'Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah. Pada masing-masing memang terdapat kebaikan. Bersemangatlah melakukan hal yang bermanfaat untukmu dan meminta tolonglah pada Allah, serta janganlah engkau malas (menjadi orang yang lemah). Apabila kamu tertimpa suatu kemalangan, maka janganlah kamu mengatakan; 'Seandainya tadi aku berbuat begini dan begitu, nescaya tidak akan menjadi begini dan begitu'. Tetapi katakanlah; 'lni sudah takdir Allah dan apa yang dikehendaki-Nya pasti akan dilaksanakan-Nya.Dan jauhilah olehmu dari ucapan 'Seandainya' (kalau), kerana sesungguhnya ungkapan 'Seandainya' (kalau) membuka peluang masuknya syaitan ".
(HR Muslim No: 4816) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah SWT daripada Mukmin yang lemah.

2.  Mukmin yang kuat dan dicintai Allah adalah yang kuat imannya dan mampu melaksanakan kewajiban dan menyempurnakan tanggungjawabnya.

3.  Mukmin yang lemah tidak melaksanakan kewajiban dan enggan meninggalkan yang haram. Orang seperti inilah yang memiliki kekurangan dan tidak disukai Allah

4.  Kedua-dua mukmin ini sama-sama memiliki kebaikan. Mukmin yang lemah imannya, masih tetap memiliki kebaikan dan dia tentu saja lebih baik daripada orang kafir. Namun mukmin yang kuat imannya tentu saja lebih dicintai oleh Allah.

5.  Rasulullah memerintahkan agar bersemangat dalam melakukan hal-hal yang bermanfaat dalam perkara yang berkaitan dengan agama dan dunia untuk menjadi mukmin yang lebih baik dan lebih dicintai Allah.

6.  Jika berlaku sesuatu yang kurang menyenangkan, redhalah di atas ketetapan taqdir dengan hati yang tenang sehingga bertambahlah imannya.

7.  Jauhilah berkata "kalau" atau "seandainya" kerana ia akan membuka peluang hasutan syaitan.

Marilah kita bersifat RAHMAH dengan menjadi Mukmin yang KUAT IMAN.

24hb Dis 2022
29hb Jamadil Awal 1444H

Thursday 22 December 2022

Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Perlindungan Semasa Tahiyat Akhir

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْعُو وَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW berdoa: Ya Allah aku berlindung kepadaMu dari siksa kubur dan dari siksa api neraka dan dari fitnah kehidupan dan kematian dan dari fitnah Al Masih Dajjal.
(HR Bukhari No: 1288) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hidup manusia sentiasa terdedah kepada bahaya dan kejahatan. Kita disuruh berdoa agar sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang, selamat daripada ujian di dunia dan juga di hari akhirat.

2.  Antara tempat yang disunatkan berdoa ialah setelah selesai bacaan tahiyat akhir dan sebelum Salam.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَعَذَابِ الْقَبْرِ وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ شَرِّ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jika salah seorang di antara kalian bertasyahud, maka mintalah perlindungan pada Allah dari empat perkara yaitu dari siksa Jahannam, dari siksa kubur, dari fitnah hidup dan mati dan dari kejahatan Al Masih Ad Dajjal, kemudian hendaklah ia berdoa untuk dirinya sendiri dengan doa apa saja yang ia inginkan.”
(HR. An Nasai no: 1293) Status: Sahih

3.  Antara lafaz doa semasa selesai bacaan tahiyat akhir:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

4.  Doa di atas mengandungi permohonan perlindungan daripada siksa neraka jahanam serta daripada segala fitnah yang melanda manusia sepanjang masa hidup sehingga kematian. 

Ayuh kita amalkan doa ini agar sentiasa terhindar dari fitnah semasa hidup, fitnah dajjal, fitnah ketika mati, siksa kubur serta siksa neraka jahanam.

23hb Dis  2022
28hb Jamadil Awal 1444H

Wednesday 21 December 2022

Berbakti dan Berbuat Baik Pada Ibu, Bapa dan Kerabat

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti dan Berbuat Baik Pada Ibu, Bapa dan Kerabat

عَنْ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِ يكَرِبَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يُوصِيكُمْ بِأُمَّهَاتِكُمْ ثَلَاثًا إِنَّ اللَّهَ يُوصِيكُمْ بِآبَائِكُمْ إِنَّ اللَّهَ يُوصِيكُمْ بِالْأَقْرَبِ فَالْأَقْرَبِ

Daripada Al Miqdam bin Ma'dikarib, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewasiatkan kalian supaya berbakti kepada ibu-ibu kalian, baginda mengucapkan hingga tiga kali. Sesungguhnya Allah telah mewasiatkan kepada kamu agar berbakti kepada bapa-bapa kalian, berbakti kepada kaum kerabat kalian, lalu kepada kerabat yang lebih dekat lagi."
(Sunan Ibnu Majah No: 3651) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab untuk berbuat baik dan berbakti mengikut keutamaan:

a.  Berbuat baik dan berbakti dengan ibu 

b.  Berbuat baik dan berbakti dengan bapa

c.  Berbuat baik dan berbakti dengan kaum kerabat yang dekat

d.  Berbuat baik dan berbakti dengan  kaum kerabat yang jauh

2.  Menjadi tanggungjawab setiap anak untuk berbuat baik kepada ibu terlebih dahulu.

3.  Menurut Al-Qurthubi: “Hadis tersebut menunjukkan bahawa kecintaan dan kasih sayang terhadap seorang ibu, harus tiga kali ganda besarnya dibandingkan terhadap seorang ayah. Nabi SAW menyebutkan kata ibu sebanyak tiga kali, sementara kata ayah hanya satu kali. Ini disebabkan kesulitan si ibu semasa mengandung, kesulitan ketika melahirkan, dan kesusahan menyusuinya yang mana seorang ayah tidak memilikinya.
(Tafsir Al-Qurthubi X)

4.  Berbuat baik juga dituntut kepada bapa, kerabat terdekat seperti adik beradik, datok dan nenek juga kerabat yang jauh seperti sepupu dan lain-lain.

Moga kita sentiasa berbuat baik dan berbakti.

22hb Dis  2022
27hb Jamadil Awal 1444H

Tuesday 20 December 2022

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Musibah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Musibah

أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ  مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Daripada Ummul Mukminin, Ummu Salamah isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.”
(HR Muslim No: 918) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Musibah adalah ujian yang didatangkan oleh Allah kepada kita dalam bentuk kesusahan, kesakitan, dukacita  seperti kematian, banjir dan sebagainya.

2.  Bersabar terhadap segala musibah yang menimpa adalah tuntutan kepada setiap Muslim.

3.  Musibah yang menimpa seorang mukmin mempunyai banyak hikmahnya antaranya bertujuan untuk menghapuskan dosa dan meningkatkan pahala.

4.  Muslim yang menerima musibah seperti banjir, kemalangan, kesakitan dan sebagainya, disunatkan agar mengucapkan kalimah istirja dan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya, Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini”.

5.  Orang yang membaca kalimah istirja dan doa diatas apabila menerima musibah akan diberi gantian yang lebih baik antaranya pahala di sisi Allah diatas kesabarannya serta pengampunan dosa.

6.  Sebagai Muslim, kita perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku terdapat didalamnya hikmah tertentu.

21hb Dis  2022
26hb Jamadil Awal 1444H

Monday 19 December 2022

Musibah Menghapus Dosa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Musibah Menghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap yang dihadapi oleh seseorang, sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya di sisi Allah.

2.  Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun  kesusahan termasuk musibah banjir yang melanda di beberapa Kawasan sekarang ini.

3.  Musibah banjir dibeberapa negeri khususnya di Pantai Timur Malaysia  menyebabkan orang yang terlibat mengalami kesusahan dan kepayahan. Ada yang kehilangan nyawa, kemusnahan harta juga kerosakan harta benda terkena air banjir seperti kenderaan yang ditenggelami air. 

4.  Sebagai Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai penghapus dosa dan peninggi darajat agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.

5.  Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah ini.

6.  Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.

7.  Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat:  Nabi SAW bersabda:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ  فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ

Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga. (HR. Bukhari no. 7386)

Semoga kesusahan, kepayahan, kesedihan dan keperitan akibat banjir ini kita terima dengan bersabar dan reda. Moga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

20hb Dis  2022
25hb Jamadil Awal 1444H

Sunday 18 December 2022

Jangan Jadi Umat Seperti Buih

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Jadi Umat Seperti Buih

عَنْ ثَوْبَانَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ

Daripada Tsauban ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Hampir  umat-umat berkerumun memusuhi kamu (umat Islam), seperti orang yang kuat makan mengerumuni makanan di dulang." Seorang laki-laki bertanya, "Apakah kami waktu itu jumlahnya sedikit?" baginda menjawab: "Jumlah kamu  pada waktu itu sangat banyak, namun kamu seperti buih laut. Sungguh Allah mencabut kehebatan gerun yang ada pada kamu daripada hati musuh, dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit al-Wahn." Seseorang lalu bertanya, "Wahai Rasulullah, apa itu Al-Wahn?" baginda menjawab: "Cintakan dunia dan takutkan mati."
(HR Abu Daud No: 3745) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Akan sampai suatu masa umat Islam bilangannya ramai namun penghayatan kepada amalan Islam amat longgar. Penghayatan terhadap al-Quran dan al-Hadis tidak dihiraukan, semangat jihad dan pengorbanan semakin luntur.

2.  Musuh Islam mengerumuni umat Islam seperti mengerumuni makanan kerana tidak ada lagi rasa gerun di atas kehebatan yang ada pada umat Islam. Sifat yang ada pada umat Islam adalah ingin memenuhi keperluan nafsu masing-masing.

3.  Walaupun bilangan umat Islam ramai namun umpama buih, tiada kekuatan dan kemuliaan. Ditiup angin pecah dan berterbangan, tidak tahan lama menghadapi suasana dan cabaran. Berbeza di zaman Rasulullah dan para sahabat, walaupun bilangan mereka sedikit namun mereka boleh mengalahkan musuh yang ramai.

كَم مِّن فِئَةٖ قَلِيلَةٍ غَلَبَتۡ فِئَةٗ كَثِيرَةَۢ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۗ وَٱللَّهُ مَعَ ٱلصَّبِرِينَ ٢٤٩ 

"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
(al-Baqarah: 249)

4.  Umat Islam lemah kerana telah dicampakkan kedalam hati mereka  sifat al-wahan iaitu kecintaan kepada dunia dan bencikan kematian (mereka hanya berlumba mendapatkan kepentingan keduniaan seolah-olah mereka tidak akan mati).

5.  Penyakit al-Wahan berpunca dari kekosongan rohani, mereka hanya mengutamakan hawa nafsu dengan menumpukan kepentingan dunia dan menggunakan pelbagai cara dan tipu daya sehingga hilang nilai akhlak. Yang wujud hanyalah kecurangan, khianat, fitnah dan dengki terhadap orang lain.

6.  Nilai kekuatan umat Islam bukan dari segi bilangan tetapi yang lebih penting adalah dari aspek kualiti, mereka yang menghayati dan beramal dengan ajaran Islam.

Marilah kita berusaha membina kekuatan jati diri serta menunaikan tanggungjawab ukhuwah sesama kita dan saling bertolong bantu memastikan kekuatan Islam dihadapan, bukan kepentingan peribadi.

19hb Dis  2022
24hb Jamadil Awal 1444H

Saturday 17 December 2022

Berwaspada Dalam Mengharungi Kehidupan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berwaspada Dalam Mengharungi Kehidupan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ خَطَبَنَا عُمَرُ بِالْجَابِيَةِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قُمْتُ فِيكُمْ كَمَقَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِينَا فَقَالَ أُوصِيكُمْ بِأَصْحَابِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَفْشُو الْكَذِبُ حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلَا يُسْتَحْلَفُ وَيَشْهَدَ الشَّاهِدُ وَلَا يُسْتَشْهَدُ أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فَذَلِكُمْ الْمُؤْمِنُ

Daripada Ibnu 'Umar RA dia berkata; Suatu ketika Umar menyampaikan pidato kepada kami di Jabiyyah (sebuah kampong). Katanya: "Wahai sekalian manusia, aku berdiri di hadapan kalian sebagaimana berdirinya Rasulullah SAW dihadapan kami, dan baginda telah bersabda: 'Aku berpesan kepada kalian dengan (melalui) para sahabatku kemudian orang-orang setelah mereka dan orang-orang yang datang lagi setelah mereka. Kemudian tersebarlah kedustaan, sehingga seseorang bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah, kemudian seseorang memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi. Ingatlah, jangan berdua-duaan antara  seorang laki-laki  dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya turut bersama adalah syaitan. Perlulah kamu selalu bersama Jamaah. Janganlah kalian berpecah belah, kerana syaitan itu selalu bersama dengan orang yang sendirian, sedangkan terhadap dua orang, ia jauh lebih baik (berjemaah). Barangsiapa yang menginginkan kemewahan syurga, maka hendaklah ia berjamaah. Barangsiapa merasa gembira dengan  kebajikannya yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin.' (Sunan Tirmidzi No: 2091) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa orang yang suka bersumpah walaupun tanpa diminta hanya semata-mata untuk membenar dan membuktikan kebenaran sesuatu perkara supaya orang memberi kepercayaan kepadanya walaupun ia merupakan sumpah palsu.

2.  Rasulullah SAW berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa orang yang suka memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi walaupun sebagai saksi palsu hanya kerana kepentingan peribadi.

3.  Rasulullah SAW melarang perbuatan khalwat atau berdua-duaan yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang boleh mendatangkan syak wasangka serta maksiat.

4.  Rasulullah SAW mengarahkan kita agar sentiasa hidup berjamaah, saling berukhuwah, tolong menolong dan bantu membantu, saling nasihat menasihati kearah mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan Negara Rahmah.

5.  Kita dilarang hidup dengan mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan orang lain. Hidup berjamaah dan bermasyarakat menuntut saling bertolong bantu dan nasihat menasihati.

6.  Barangsiapa merasa gembira dengan  kebajikan yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

18hb Dis  2022
23hb Jamadil Awal 1444H

Friday 16 December 2022

Waktu Mustajab Berdoa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ 

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda. Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa selepas waktu azan dan doa pada waktu hujan turun.
(HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran:

1.  Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2.  Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah akan diperkenankan iaitu:

a.  Doa selepas azan dan sebelum iqamah
b.  Doa pada waktu hujan mula turun

3.  Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut,  sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim.
(Fathul Qadir)

17hb Dis  2022
22hb Jamadil Awal 1444H

Wednesday 14 December 2022

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

عَنْ الْمِقْدَامِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى سَحَابًا مُقْبِلًا مِنْ أُفُقٍ مِنْ الْآفَاقِ تَرَكَ مَا هُوَ فِيهِ وَإِنْ كَانَ فِي صَلَاتِهِ حَتَّى يَسْتَقْبِلَهُ فَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ فَإِنْ أَمْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً وَإِنْ كَشَفَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَمْ يُمْطِرْ حَمِدَ اللَّهَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Al-Miqdam dari ayahnya bahawa Aisyah telah mengkhabarkan kepadanya bahwa Nabi SAW apabila baginda melihat awan gelap yang bergerak di antara ufuk yang tinggi, maka baginda meninggalkan semua kegiatannya termasuk solat sunat, sampai menatapnya dan berdoa: "Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya." Jika turun hujan, maka baginda berdoa: Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat  (penuh keberkatan)." (baginda membacanya) dua kali atau tiga kali. Dan jika Allah Azza Wa Jalla menghilangkannya dan tidak jadi turun hujan, maka baginda (bersyukur) memuji Allah atas semua itu."
(HR Ibnu Majah No: 3879)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap peristiwa yang berlaku seperti awan mendung yang berarak dan hujan yang turun adalah ketentuan dan ketetapan dari Allah

2.  Rasulullah mengajar kita berdoa apabila melihat awan mendung yang berarak agar jauh dari musibah

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya

3.  Rasulullah juga mengajar kita berdoa apabila hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) ini sebagai curahan yang bermanfaat (penuh keberkatan).

4.  Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat.
(Fath al-Bari)

Kebetulan sekarang ini di kebanyakan tempat musim hujan, marilah kita membaca doa ini bila nampak awan mendung dan apabila hujan turun.

15hb Dis  2022
20hb Jamadil Awal 1444H

Tuesday 13 December 2022

Bergaul Dengan Orang Soleh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bergaul Dengan Orang Soleh

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا وَلَا يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلَّا تَقِيٌّ

Daripada Abu Sa'id RA ia mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Janganlah berteman kecuali dengan orang mukmin dan jangan ada yang memakan makananmu kecuali orang yang bertakwa."
(Sunan Tirmizi No: 2318) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bergaullah dengan mereka yang beriman dan berakhlak mulia.

2.  Syarah Sunan Abi Daud: Tabiat atau kebiasaan itu adalah sesuatu yang dicuri (diambil) dari orang lain (dibimbangi bila bergaul dengan orang yang tidak berakhlak akan menyebabkan seseorang meniru akhlak buruk tersebut).

3.  Berilah makan kepada orang-orang yang soleh dan bertakwa.

4.  Al-Khathabi: Larangan memakan makanan kecuali orang yang bertakwa hanya berlaku pada makanan undangan bukan makanan kerana keperluan  (kita disuruh membantu kepada sesiapapun lebih-lebih lagi kepada yang memerlukan termasuk non muslim juga binatang).

Pastikan teman karib kita orang yang soleh. Moga kesolehannya menjangkit pada kita.

14hb Dis  2022
19hb Jamadil Awal 1444H

Monday 12 December 2022

Bersahabat Dengan Penjual Minyak Wangi Bukan Pembakar Besi

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersahabat Dengan Penjual Minyak Wangi Bukan Pembakar Besi

حَدَّثَنَا أَبُو بُرْدَةَ بْنُ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا بُرْدَةَ بْنَ أَبِي مُوسَى عَنْ أَبِيهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْجَلِيسِ الصَّالِحِ وَالْجَلِيسِ السَّوْءِ كَمَثَلِ صَاحِبِ الْمِسْكِ وَكِيرِ الْحَدَّادِ لَا يَعْدَمُكَ مِنْ صَاحِبِ الْمِسْكِ إِمَّا تَشْتَرِيهِ أَوْ تَجِدُ رِيحَهُ وَكِيرُ الْحَدَّادِ يُحْرِقُ بَدَنَكَ أَوْ ثَوْبَكَ أَوْ تَجِدُ مِنْهُ رِيحًا خَبِيثَةً

Telah menceritakan kepada kami Abu Burdah bin 'Abdullah berkata; Aku mendengar Abu Burdah bin Abu Musa daripada bapanya RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang yang bersahabat dengan orang soleh dan orang yang bersahabat dengan orang buruk perangai seperti penjual minyak wangi dan tukang kimpal besi. Pasti engkau akan dapat bauan wangi dari penjual minyak wangi samada membeli atau tidak. Sedangkan dari tukang besi kamu akan merasa bahang atau kainmu atau kamu akan mendapatkan bau yang tidak sedap".
(Sahih Bukhari No: 1959) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hidup bermasayarakat memerlukan sahabat serta orang lain yang akan saling bertolong bantu bagi menyempurnakan kehidupan.

2.  Pelbagai jenis manusia yang berada di sekeliling kita, ada yang baik ada juga yang jahat dan buruk akhlak.

3.  Bergaul serta bersama dengan orang  yang baik dan soleh umpama berada bersama penjual minyak wangi, jika kita tidak membelinya, bau wangi tetap melekat pada tubuh kita.

4.  Bergaul serta bersama dengan orang yang buruk akhlak umpama berada bersama pembakar besi, walaupun kita tidak membakarnya, bahang panasnya tetap kita rasai.

Carilah orang yang soleh dan berakhlak mulia sebagai teman dan sahabat untuk kita bersama mereka. Moga tempias kebaikannya mempengaruhi kita.

13hb Dis  2022
18hb Jamadil Awal 1444H

Sunday 11 December 2022

Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Akhlak Seseorang Bergantung Akhlak Temannya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الرَّجُلُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِلُ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang laki-laki itu bergantung dengan agama teman pergaulannya (sahabat rapat), maka hendaklah salah seorang melihat siapa yang menjadi teman pergaulan.
(Sunan Abu Daud No: 4193) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

a.  Keperibadian seseorang berkait rapat dengan kebiasaan teman atau sahabat baik yang ia sering bergaul (tingkah lakunya sering dipengaruhi oleh  tingkah laku dan gaya hidup teman rapatnya) .

b.  Setiap ibu bapa perlu meneliti akhlak dan peribadi teman rapat anaknya. Jika teman pergaulan anaknya berakhlak buruk, perlu segera dijauhi. 

c.  Larangan bergaul dengan individu dalam masyarakat mencakupi pelaku dosa besar, bersahabat dengan mereka akan mendatangkan kemudaratan pada agama.

d.  Carilah teman rapat yang Soleh. Kata Imam Ahmad Ibn Hanbal: 

وَإِخْوَانُهُ الأَدْنُونَ كُلُّ مُوَفِّقِ   بَصِيرَةٍ بِأَمْرِ اللهِ يَسْمُو إِلَى الْعُلاَ

“Saudara yang dekat dengannya adalah setiap orang yang (menjadi sahabat kita, yang dengan sebab dia, kita) beroleh taufik, (dengan sebab kita berkawan dengan dia, kita dapat) memahami perintah Allah serta (dengan sebab dia, kita) suka kepada hal-hal yang meninggikan darjat (di sisi Allah)”  

Ayuh pastikan dengan siapa kita bergaul.

12hb Dis  2022
17hb Jamadil Awal 1444H

Saturday 10 December 2022

Bersabar Ketika Bersama Manusia

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersabar Ketika Bersama Manusia

عَنْ يَحْيَى بْنِ وَثَّابٍ عَنْ شَيْخٍ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُسْلِمُ إِذَا كَانَ مُخَالِطًا النَّاسَ وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ خَيْرٌ مِنْ الْمُسْلِمِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ
قَالَ أَبُو عِيسَى قَالَ ابْنُ أَبِي عَدِيٍّ كَانَ شُعْبَةُ يَرَى أَنَّهُ ابْنُ عُمَرَ

Daripada Yahya bin Watsab dari seorang syeikh salah seorang sahabat Rasulullah dari Nabi SAW baginda bersabda: "Jika seorang muslim bergaul (berinteraksi sosial) dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul (tidak berinteraksi sosial) dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka." Ibnu Abi Adi berkata: Syu'bah berpendapat syeikh itu adalah Ibnu Umar.
(Sunan Tirmizi No: 2431) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat sabar adalah tuntutan Iman yang perlu ada pada setiap Muslim

2.  Kewujudan kita di tengah-tengah masyarakat bukan Islam atau masyarakat yang tidak menghayati Islam adalah suatu yang dipuji oleh Islam. Kehadirannya menjadi sumber peluang bagi memperoleh kebaikan yang banyak bagi sesiapa yang bersifat positif dan mahu meraihnya.

3.  Kewujudan kita di tengah-tengah  masyarakat adalah suatu keperluan untuk merebut peluang berperanan memperbaiki masyarakat. Peluang untuk menyebarkan dakwah, menjadi pengislah kepada kejahilan dan kejahatan. Melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar memerlukan kesabaran.

4.  Berada di tengah-tengah kelompok manusia yang pelbagai ragam,  melakukan engagement dengan semua golongan dan kaum, Islam dan bukan Islam, pastilah akan menghadapi pelbagai kerenah, kejahatan dan kesulitan.

5.  Muslim yang ingin ganjaran besar di sisi Allah akan menghadapi semua golongan masyarakat, Islam dan bukan Islam atau pelaku maksiat ketika bergaul bersama mereka dengan sifat RAHMAH bukan kebencian, permusuhan dan perkauman. 

6.  Bersabar menghadapi pelbagai kerenah kelompok semasa engagement dilakukan akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah

7.  Mereka yang memilih untuk berada di luar dari tengah-tengah manusia atau di luar dari kejahatan dan kerenah manusia, tidak seharusnya merasa dirinya lebih suci dari mereka yang berada di tengah-tengah manusia dan kejahatan. 

8.  Penting bagi Muslim untuk mempertingkatkan amal-amal peribadinya secara konsisten agar menjadi qudwah kepada orang lain dan menjadi benteng terpengaruh dengan kejahatan juga keburukan mereka.

11hb Dis  2022
16hb Jamadil Awal 1444H

Friday 9 December 2022

Menunaikan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menunaikan Tangungjawab Ke atas Muslim

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: الْمُسْلِمُ أَخُو الْمُسْلِمِ لَا يَظْلِمُهُ وَلَا يُسْلِمُهُ وَمَنْ كَانَ فِي حَاجَةِ أَخِيهِ كَانَ اللَّهُ فِي حَاجَتِهِ وَمَنْ فَرَّجَ عَنْ مُسْلِمٍ كُرْبَةً فَرَّجَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرُبَاتِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَة

Daripada Abdullah bin 'Umar RA,  bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak boleh menganiaya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Dan siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Dan siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari kiamat, dan siapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutup aibnya di hari kiamat.
(Sahih Bukhari No: 2310) Dar Ibn Kathir.  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain

2.Sebagai orang Islam, kita perlu menjaga hak orang Islam yang lain antaranya:

a.Tidak boleh berlaku zalim atau menganiaya ke atas orang Islam yang lain
b.Tidak boleh membiarkan orang Islam yang lain di zalimi

3.Menjadi tanggungjawab kita membantu saudara kita yang memerlukan bantuan atau hajat. Orang yang berbuat demikian, Allah akan memperkenan hajatnya.

4.Orang Islam yang melapangkan kesempitan orang Islam yang lain semasa di dunia, Allah akan melapangkan dan mempermudah kehidupannya di hari kiamat

5.Menjadi tanggungjawab seorang Muslim menutup aib atau keburukan saudara Muslim yang lain.

6.Orang yang menutup kekurangan, aib atau keburukan sahabatnya semasa di dunia, nescaya Allah akan menutup aib dan kekurangannya semasa di akhirat kelak.

7.Menurut Al-Qadhi Iyadh dalam Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim (16/360): “Ditutupnya aib si hamba pada hari kiamat berkemungkinan dua keadaan:

a.Allah akan menutup maksiat dan aibnya dengan cara tidak mengumumkannya kepada manusia di padang mahsyar. 

b.Allah Taala tidak akan menghisab aibnya dan tidak akan menyebut aib tersebut.” 

Dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara, berusahalah kita memelihara hak saudara Islam kita yang lain serta miliki sifat cakna dan prihatin membantu kepada yang memerlukan.

10hb Dis  2022
15hb Jamadil Awal 1444H

Thursday 8 December 2022

Hak Muslim Keatas Muslim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hak Muslim Keatas Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَشَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.”
(Sahih  Muslim No: 4023) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Hak muslim sesama Muslim ada enam:

a.  Apabila bertemu dengan setiap Muslim hendaklah mengucapkan salam kepadanya.

b.  Apabila diundang atau dijemput kenduri seperti perkahwinan, kesyukuran dan lain-lain, hendaklah pergi memenuhi undangan selama tiada keuzuran.

c.  Apabila ia meminta nasihat, hendaklah kita memberi nasihat yang diperlukan. (Imam An-Nawawi berkata: Syarat memberi nasihat jika diminta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta). 

d.  Apabila dia bersin dan bertahmid اَلْحَمْدُ للَّه, maka tasymitkan (doakan) يَرْحَمُكَ الله (semoga Allah mencucuri rahmat keatas kamu). 

e.  Apabila mereka sakit, ziarahilah mereka untuk bertanya khabar dan mendoakan

f.  Apabila mereka meninggal dunia, usahakan untuk menziarahi dan mengiringi jenazahnya hingga ke kubur 

Marilah kita tunaikan hak Muslim saudara yang lain.

09hb Dis  2022
14hb Jamadil Awal 1444H

Tuesday 6 December 2022

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin 

عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya)'
(HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.

2.Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan. 

3.Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan. 

4.Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji

5.Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.

6.Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajirin untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.

7.Bagi membangunkan Negara Malaysia tercinta ini, marilah kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Masyarakat Yang Utuh, Negara Yang Teguh. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.

07hb Dis  2022
12hb Jamadil Awal 1444H

Monday 5 December 2022

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa   

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.'
(Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2.  Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan, malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3.  Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan adalah mustajab. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

“Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”.
(Riwayat Muslim)

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ

"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak".
(HR Al-Bazzar)

Marilah kita doakan saudara Muslim kita termasuk pemimpin   kita dengan kebaikan. Moga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang baik dan dirahmati. 

Al-Fudhayl bin 'Iyadh berkata: "Jika aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya akan kudoakan (kebaikan) buat sang pemimpin".
(Abu Nu'aym al-Asbahani)

Imam Ahmad bin Hanbal mewajibkan dirinya untuk mendoakan ulil amri siang dan malam supaya dikurniakan ketepatan, taufik dan pertolongan  (al-Khallal).

06hb Dis  2022
11hb Jamadil Awal 1444H

Sunday 4 December 2022

Sifat Kasih Sayang Dicabut Akibat Perbuatan Keji

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sifat Kasih Sayang Dicabut Akibat Perbuatan Keji

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang tidak akan dicabut kecuali daripada orang yang celaka (berbuat keji)."
(Sunan Tirmizi No: 1923) Dar Kutub Ilmiyyah. Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji.

3.  Perbuatan keji (seperti memfitnah, mengumpat dan mencela) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim.

Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi ia menjadi akhlak terpuji.

05hb Dis  2022
10hb Jamadil Awal 1444H

Saturday 3 December 2022

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"
(Musnad Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mencintai kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW dalam hadis yang lain:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya).
(HR Muslim)

Jadikanlah diri kita orang yang dicintai Allah kerana kecintaan kita kepada orang lain.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

04hb Dis  2022
09hb Jamadil Awal 1444H

Friday 2 December 2022

Bayan Maulana Mustaqim berkenaan Dajjal

Bayan Maulana Mustaqim berkenaan Dajjal (diterjemah oleh Ustaz Lutfi Indonesia)

 1. Dajjal akan keluar apabila Imam Mahdi berada di Damsyik, Syam.

2. Dajjal akan keluar di tengah-tengah lautan bersama Iblis, tentera-tenteranya yang pakar sihir dari kalangan Jin dan Manusia.

3. Mereka berpakaian jubah panjang dan juga menutup kepala dengan memakai kain selendangnya.

4. Tujuan mereka muncul sebab nak rosakkan iman dengan kadar segera.

5. Jumlah tenteranya ramai dan yang sahih 70 ribu setelah itu akan bertambah lagi.

6. Dajjal akan sesatkan seluruhnya.

7. Masa yang sangat menguji iman, orang yang beriman banyak berpuasa dan berzikir.

8. Orang yang lemah iman akan meronta-ronta minta makanan dan minuman kerana tiada sumber makanan dan minuman.

9. Dajjal datang bawa api dan air dan segunung roti.

10. Siapa yang hafal al kahfi 10 ayat awal dan akhir akan terselamat aqidahnya dan syariatnya dari tipudaya Dajjal.

11. Dajjal setelah menguasai bumi, dia jadikan Israel pusat dunia.

12. Dajjal menjadi menteri besar Israel.

13. Dajjal turun di Mekah dan di Madinah, bumi bergoncang sebanyak 7 kali, dan mereka yang kleuar dari kwsan masjid, terus disihir dan jadi pengikut Dajjal.

14. Istana Dajjal di bukit/gunung sebagai pusat sihir yang terbesar.

15. Dajjal bertemu dengan seorang hamba Allah yang beriman yang kuat untuk melawannya.
khilaf ulama' ada kata lelaki itu Nabi Khidir, ada kata dari ummat Muhammad.

16. Setelah berlaku pembuktian kejahatan Dajjal, guna sihir yang dahsyat, ramai orang beriman yang jadi kafir.

17. Dajjal membunuh orang yang murtad.

18. Cara Dajjal... bila orang jadi murtad, dia terus bunuh.

19. Sihir yang terbesar adalah menghidupkan orang yang berada dalam kubur dan mengakui Dajjal sebagai Tuhan.

20. Sihir besar adalah hujan turun dengan tangan Dajjal dan tunjuk tanah kering yang boleh jadi subur ditumbuhi pokok dan buah-buahan.

21. Sihir keinginan -
apa-apa yang dihajati Dajjal akan tunaikan.

22.  Ramai pengikutnya dari kalangan wanita.

23. Orang lelaki pun ramai yang jadi pengikut Dajjal disebabkan wanitanya.

24. Dajjal berjaya menguasai semua tempat dan kawasan, sekaligus kelompok-kelompok yang mempertahankan iman waktu itu, yang sanggup mati dari menerima hukuman mati mengikut Dajjal.

Kemanisan Iman Kerana Cinta Dan Benci

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemanisan Iman Kerana Cinta Dan Benci

عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال:   ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (iaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka (Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a.  Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b.  Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c.  Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.  Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3.  Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4.  Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW  adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5.  Imam Nawawi berkata: “Apabila seseorang tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia cinta kepada dirinya sendiri, maka dia adalah seorang pendengki”. Pendengki menurut pendapat Imam Ghazali ada tiga keadaan:

a.  Bercita-cita supaya hilang terus nikmat orang lain dan berpindah nikmat itu kepadanya
b.  Bercita-cita supaya hilang nikmat tersebut sekalipun ia tidak mendapatnya
c.  Tidak bercita-cita hilang nikmat itu dari orang lain tetapi dia tidak suka melihat orang itu lebih tinggi keadaan daripadanya atau lebih banyak mendapat bahagian daripadanya, apa yang disukainya biar sama tarafnya.

6.  Kemanisan iman juga tercapai apabila ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu (benci) untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

03hb Dis  2022
08hb Jamadil Awal 1444H

Thursday 1 December 2022

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Orang Lain

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kesempurnaan Iman Dengan Mencintai Orang Lain

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidak beriman  (sempurna iman) seseorang dari kalian sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri". (Sahih Bukhari No: 13) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam memerintahkan umatnya agar sentiasa memiliki sifat saling mencintai sesama Muslim.

2.  Jika kita suka diri mendapat nikmat dalam hal keagamaan, maka wajib baginya mencintai saudara Muslim yang lain agar mendapat nikmat yang sama.

3.  Jika kita suka memperolehi nikmat dunia kita juga sewajarnya suka agar saudara muslim yang lain juga memperolehinya.

4.  Jangan sesekali kita memiliki sifat dengki dan khianat dengan nikmat yang dimiliki oleh saudara kita yang lain.

5.  Ambillah iktibar kisah Aus dan Khazraj di Madinah yang mana kedua-dua kaum ini  begitu taksub dan fanatik dengan kaum masing-masing namun Allah telah satukan hati mereka dengan kasih sayang dan mereka saling mencintai antara satu sama lain apabila menerima Islam. Mereka bersatu atas nama Islam dan mereka berjuang atas nama Islam.

6.  Ingatlah bahawa setiap mukmin ini bersaudara. Firman Allah:

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ

“Sesungguhnya orang-orang beriman itu adalah bersaudara” (al-Hujurat: 10)

7.  Saudara kita seagama adalah tanggungjawab kita untuk membantu jika mereka memerlukan bantuan, memberi nasihat ketika mereka memerlukan nasihat, meminjamkan telinga kita untuk mendengar masalah dan kisah mereka, memberi sokongan dan dorongan kepada mereka dan akhir sekali jangan kita lupa untuk mendoakan kepada mereka kerana doa adalah senjata terbaik apatah lagi doa yang tidak diketahui oleh saudaranya sendiri.

Semoga Allah memberikan kita taufik untuk mencintai saudara kita yang beriman sebagaimana kita suka mendapatkan hal yang sama.

"Walau Kita Berbeza, Tetap Teguh Bersama"

02hb Dis  2022
07hb Jamadil Awal 1444H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...