Monday 25 November 2013

Friday 22 November 2013

Hidung  'Menara Eiffel'  jadi kegilaan di China

Seorang pelajar menjalani pembedahan hidung di klinik kepunyaan Wang di bandar raya 
Chongqing, barat daya China semalam. Sementara gambar kecil pula iklan yang digunakan 
klinik untuk mempromosikan pembedahan hidung ala ‘Menara Eiffel’ di Chongqing. - Foto AFP


Pelajar jalani pembedahan kosmetik tingkat prospek demi dapatkan kerja

Chongqing: Ribuan pelajar di China dilaporkan berlumba-lumba menjalani pembedahan plastik dalam usaha untuk bersaing mendapatkan kerja manakala sekurang-kurangnya sebuah klinik menawarkan pembedahan hidung yang diilhamkan daripada Menara Eiffel.

Majikan di China sering berterus terang mengenai pilihan calon kerja mereka malah, menetapkan ketinggian tertentu di dalam iklan pengambilan pekerja baru.

Dengan rekod tujuh juta graduan yang akan memasuki pasaran kerja tahun ini, ditambah dengan pertumbuhan ekonomi perlahan, media China menyifatkan 2013 sebagai tahun paling sukar kepada kakitangan kolar putih. - AFP


sumber :bharian.com.my/

10 Minit Lupus Sebuah Kereta

10 minit lupus sebuah kereta
Abd Manaf memeriksa beberapa buah enjin daripada kenderaan dicuri di sebuah 
syarikat perniagaan barangan lusuh di Mukim Labu, Sepang, semalam. - Foto Izhari Ariffin

Sepang: Hanya 10 minit, sebuah kereta boleh bertukar menjadi kepingan besi. Itulah masa diambil bagi sebuah syarikat membeli barang lusuh dan terpakai di Mukim Labu, di sini, untuk meranapkan mana-mana kereta yang baru dilarikan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan polis.

Syarikat yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu dipercayai melupuskan antara 20 hingga 40 kereta sehari yang dibeli daripada individu atau sindiket samun dan curi kenderaan dari seluruh negara untuk dijadikan kiub logam dan kepingan besi sebelum dijual kepada syarikat pelebur besi.

Kegiatan syarikat yang turut membeli 70 unit motosikal, selain enam hingga 10 kenderaan berat sehari ini terbongkar selepas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Risikan (D4) Bukit Aman, menyerbu premis itu pada jam 9 pagi semalam, hasil risikan dan maklumat Operasi Cantas Khas Lejang (Ops Cantas Lejang).

Ketua Penolong Pengarah (D4), Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abd Manaf Abd Razak, berkata ketika serbuan dibuat, polis menemui tiga kereta PROTON Iswara Aeroback dan sebuah kereta import yang sudah diremukkan jentera berat sebelum dimasukkan ke dalam mesin pemampat logam dan besi.

“Ketika serbuan itu juga, seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan secara tiba-tiba memandu kereta jenis PROTON Iswara Aeroback, memasuki premis jualan barang lusuh ini untuk menjual kereta itu yang baru beberapa jam dicuri di Klang dengan harga RM500.
Mengaku curi kereta

“Hasil pemeriksaan, lelaki berusia 40 tahun yang tidak memiliki dokumen jual beli serta geran kereta itu akhirnya mengaku dia melarikan kereta berkenaan untuk dijual kepada syarikat terbabit,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikat ini mempunyai lesen kebenaran polis dan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan kegiatan membeli dan menjual barang lusuh serta terpakai di kalangan penduduk sekitar kawasan Sepang dan Nilai, Negeri Sembilan.

Syarikat ini didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan berusia 43 tahun, namun urusan jual beli dijalankan suami dan anak lelakinya.


'Sejak 2008, PM dan Rosmah tak naik MAS'


NONE
Lawatan ke Qatar-UAE bukan tindakan pertama yang menyaksikan isteri perdana menteri Datin Sri Rosmah Mansor menggunakan jet kerajaan tanpa penyertaan Datuk Seri Najib Razak, dakwa PKR.

"Ini bukan kali pertama beliau lakukannya," kata Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, sambil berkata beliau  sedang mendapatkan lebih maklumat berhubung perkara itu.

Azmin (kanan) berkata, sumbernya dalam Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) mengesahkan, Rosmah dan Najib tidak pernah terbang menggunakan penerbangan negara sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008.


Azmin yang juga anggota Parlimen Gombak berkata, lawatan itu menimbulkan dua persoalan, iaitu kelayakan isteri perdana menteri menggunakan jet kerajaan dan sama ada beliau boleh menggantikan kerajaan dalam urusan rasmi.

Semasa lawatan antara 10 hingga 14 November, Rosmah antaranya bertemu dengan perdana menteri Qatar bagi menyampaikan undangan Najib supaya beliau melawat negara ini semasa program Tahun Melawat Malaysia 2014.

"Ini bukan peranan isteri perdana menteri. Sebarang undangan daripada perdana menteri sepatutnya disampaikan oleh menteri luar  atau perdana menteri sendiri. Jadi di mana menteri luar sekarang?"

Rosmah sebelum ini, apabila ditanya berhubung penerbangannya ke Qatar menggunakan jet yang dibiayai kerajaan, dilaporkan berkata, beliau hanya melakukan kerjanya.

Beliau juga dilapor enggan mengulas lanjut.

Manakala pegawai khasnya Siti Azizah Sheikh Abod berkata, lawatan ke Qatar itu dibuat demi kepentingan negara dan bukan atas sebab-sebab peribadi.




Wednesday 13 November 2013

Naik cukai taksiran supaya harta tanah meningkat


Selain berfungsi sebagai sumber pendapatan kerajaan, cukai taksiran di Kuala Lumpur dinaikkan kadarnya bagi membolehkan harga harta tanah meningkat bagi manfaat pemiliknya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian dalam Dewan Rakyat sewaktu menjawab soalan MP Segambut, Lim Lip Eng tentang kenaikan cukai taksiran yang dibangkitkan tujuh MP daripada Kuala Lumpur pada sidang media pagi tadi.

"Harta tanah di KL meningkat, apabila cukai taksiran terlalu rendah bagaimana nilai hartanahnya hendak meningkat berkali-kali ganda?" kata Tengku Adnan (kiri).

Menurutnya, cukai taksiran sebelum ini kekal pada kadar yang sama selama 21 tahun.

Namun katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menghantar notis tentang perkara itu dan masih membuka ruang untuk menerima maklum balas dari penduduk Kuala Lumpur sehingga 17 Disember ini.

"Kalau rakyat tak setuju, boleh tulis kepada DBKL dan kerajaan BN akan pertimbangkan.

"Kerajaan ini kerajaan yang adil," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan bersedia mempertimbang sebarang maklum balas walaupun kenaikan cukai itu tetap akan diteruskan.

"Kita perlu sumber untuk beri perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

"Kenaikan akan dilakukan, mungkin dengan kadar berbeza dengan apa yang telah kita lakukan," katanya lagi.

Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Nurul Izzah (PKR-Lembah Pantai), Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang), Teresa Kok (DAP - Seputeh), Tian Chua (PKR - Batu) dan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mendakwa mereka tidak dimaklumkan tentang kenaikan itu walaupun menghadiri mesyuarat belanjawan DBKL baru-baru ini.

Tan Kok Wai mendakwa kenaikan cukai paling tinggi adalah sebanyak 267 peratus terhadap sebuah rumah kos rendah di Taman Orkid Desa, Cheras.




Nor Farhan tak jadi sarung jersi JDT

Farhan

PEMAIN tengah Kelantan Mohd Nor Farhan Muhammad tidak jadi untuk menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk Liga Malaysia musim depan.

Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) melalui satu kenyataan di sini hari ini berkata Mohd Nor Farhan membatalkan hasrat tersebut atas sebab-sebab peribadi dan juga keluarga.

Beliau pada awalnya merupakan antara barisan pemain yang telah menandatangani perjanjian untuk bermain bersama pasukan JDT.

“Oleh kerana polisi PBNJ yang hanya fokus kepada para pemain yang benar-benar ingin berbakti kepada pasukan merah biru; dengan ini, PBNJ ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Nor Farhan dengan pasukan pilihannya,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama PBNJ membidas kenyataan bekas pengurus Safee Sali, Zakaria Ab. Rahim bahawa pemain itu wajar berhijrah ke kelab luar negara sekiranya sayangkan kariernya sebagai pemain bola sepak.

PBNJ mendakwa kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu itu seolah-olah Zakaria tidak suka Safee beraksi bersama pasukan JDT.

Sementara itu, presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyokong kritikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tunku Ismail berkata, Khairy layak menyuarakan pendapat kerana selaku Menteri Belia dan Sukan beliau telah diberi mandat oleh kerajaan untuk mentadbir hala tuju sukan negara ini termasuk sukan bola sepak.

“Selain itu, beliau juga membuat teguran dengan niat yang baik, demi kemajuan sukan bola sepak tanah air,” katanya.

Khairy sebelum ini secara terbuka mengkritik badan induk bola sepak negara itu atas keprihatinannya yang mahu melihat sukan tersebut maju ke depan.

Kritikan tersebut bagaimanapun tidak disenangi sesetengah pihak termasuk bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyifatkan Khairy seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam persatuan berkenaan.

Ekoran itu Khairy kemudiannya menyatakan beliau sudah bosan dengan FAM apabila tidak boleh menerima teguran daripada mana-mana pihak. – Bernama




sumber :www.sinarharian.com

Sunday 10 November 2013

Suspek Bunuh Pegawai Bank Sembunyi Di rumah Kosong


Suspek bunuh pegawai bank sembunyi di rumah kosong

KUALA LUMPUR - Suspek kes bunuh dan rompak pegawai AmBank di Subang Jaya 
menjadikan bangunan serta rumah kosong sebagai lokasi persembunyian selama 
19 hari ketika dalam buruan polis.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata 
suspek bersembunyi di beberapa buah rumah serta bangunan kosong sekitar 
Lembah Klang dan Johor.

"Bagaimanapun, suspek dipercayai melarikan diri menggunakan pengangkutan awam 
seperti bas dan teksi untuk keluar dari Lembah Klang menuju ke Johor sejurus selepas 
kejadian pada 23 Oktober lepas.

"Ketika berada di sana (Johor), suspek juga cuba mendapatkan bantuan sindiket 
pemalsuan dokumen pasport bagi melarikan diri ke negara jiran," katanya ketika 
dihubungi Bernama hari ini.

Suspek ditahan di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada kira-kira 7 pagi tadi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, dalam twitter beliau hari ini, memaklumkan 
bahawa suspek ditahan di Johor serta mengucapkan terima kasih kepada rakyat 
Malaysia yang membantu polis.

Dalam kejadian 23 Oktober lepas, pegawai AmBank Subang Jaya Norazita Abu Talib, 37, 
maut ditembak suspek ketika membuka peti besi dalam bilik kebal bank berkenaan.

Mangsa, yang berkhidmat selama 16 tahun dengan bank itu, meninggal dunia di tempat 
kejadian akibat kecederaan parah di kepala setelah ditembak dengan 'pump gun' oleh suspek.

Suspek turut melarikan diri dengan hasil rompakan wang tunai RM450,000. - Bernama




Malaysia Dalam Ranking Dunia


Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Abd Aziz

JOHOR BAHRU - Malaysia merupakan negara Asia tunggal tersenarai 
sebagai destinasi teratas (10 destinasi terbaik) untuk dilawati 
pada tahun hadapan oleh agensi pelancongan terkenal, Lonely Planet.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz 
berkata pencapaian itu berikutan pembukaan produkproduk 
pelancongan berprofil tinggi dan bertaraf antarabangsa di negara ini.

Menurutnya, produk berorientasikan keluarga dan menepati selera 
semua peringkat usia seperti yang terletak di kawasan Iskandar 
Malaysia seperti Johor Premium Outlet, Taman Tema Legoland, 
Taman Tema Puteri Harbour, Sanrio Hello Kitty Town dan Restoran 
Lat’s Place.

“Statistik kedatangan pelancongan ke negeri ini amat memberangsangkan 
dan mengalami lonjakan luar biasa dengan adanya produk pelancongan 
baru di Iskandar Malaysia," katanya.




SUMBER :www.sinarharian.com

Thursday 7 November 2013

S'gor Dimuktamad Ambilalih SYABAS dan 3 Syarikat Konsesi Air



Kerajaan negeri Selangor dimuktamadkan untuk mengambil alih dan mengurus sepenuhnya empat syarikat konsesi bekalan air di negeri itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Beliau berkata surat rasmi yang diterima pada 9 September lepas daripada kerajaan persekutuan menunjukkan kesepakatan untuk kedua-dua pihak menyelesaikan segera isu pengurusan air demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  
"Benar, pengurusan SYABAS telah diberikan kepada kerajaan negeri namun sekarang, kita masih berunding dengan pihak terlibat tentang bayaran dan nilai pengambilalihan tersebut.
  
"Jika rundingan dapat diselesaikan pada hujung tahun ini, proses mengambi alih akan memakan sedikit masa...mungkin dalam tiga hingga enam bulan.
  
"Apa yang penting, para pekerja syarikat konsesi air itu tidak akan diberhentikan malah boleh bekerja seperti biasa cuma di bawah pentadbiran baru saja," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.
  
Katanya, biarpun pihaknya diberi kuasa penuh mentadbir industri air di negeri itu, namun kerajaan persekutuan tetap menjadi pemegang saham emas sebagai syarat keempat-empat syarikat itu tidak boleh dijual kepada pihak lain melainkan kerajaan persekutuan.

Terdapat empat syarikat konsesi air di Selangor - Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang merupakan anak syarikat Kumpulan Gamuda; dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS); serta Korsortium Abass Sdn Bhd.
  
Kerajaan negeri telah membuat tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil alih kesemua empat syarikat tersebut.
  
Abdul Khalid sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Penghulu, Ketua-ketua kampung serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seluruh negeri Selangor bagi mengenal pasti permasalahan penduduk.
  
Berhubung isu-isu penduduk yang disuarakan semasa himpunan itu, Abdul Khalid berkata pihaknya akan berusaha membantu menyelesaikan isu yang timbul.
  
Beliau berkata jumlah peruntukan kepada ketua-ketua masyarakat itu sebagai dana pembangunan komuniti desa akan diumum pada pembentangan belanjawan negeri 18 November ini.

- Bernama

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...