Wednesday 13 November 2013

Nor Farhan tak jadi sarung jersi JDT

Farhan

PEMAIN tengah Kelantan Mohd Nor Farhan Muhammad tidak jadi untuk menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk Liga Malaysia musim depan.

Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) melalui satu kenyataan di sini hari ini berkata Mohd Nor Farhan membatalkan hasrat tersebut atas sebab-sebab peribadi dan juga keluarga.

Beliau pada awalnya merupakan antara barisan pemain yang telah menandatangani perjanjian untuk bermain bersama pasukan JDT.

“Oleh kerana polisi PBNJ yang hanya fokus kepada para pemain yang benar-benar ingin berbakti kepada pasukan merah biru; dengan ini, PBNJ ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Nor Farhan dengan pasukan pilihannya,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam kenyataan yang sama PBNJ membidas kenyataan bekas pengurus Safee Sali, Zakaria Ab. Rahim bahawa pemain itu wajar berhijrah ke kelab luar negara sekiranya sayangkan kariernya sebagai pemain bola sepak.

PBNJ mendakwa kenyataan yang dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu itu seolah-olah Zakaria tidak suka Safee beraksi bersama pasukan JDT.

Sementara itu, presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyokong kritikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Tunku Ismail berkata, Khairy layak menyuarakan pendapat kerana selaku Menteri Belia dan Sukan beliau telah diberi mandat oleh kerajaan untuk mentadbir hala tuju sukan negara ini termasuk sukan bola sepak.

“Selain itu, beliau juga membuat teguran dengan niat yang baik, demi kemajuan sukan bola sepak tanah air,” katanya.

Khairy sebelum ini secara terbuka mengkritik badan induk bola sepak negara itu atas keprihatinannya yang mahu melihat sukan tersebut maju ke depan.

Kritikan tersebut bagaimanapun tidak disenangi sesetengah pihak termasuk bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyifatkan Khairy seolah-olah mahu melepaskan geram kepada individu tertentu dalam persatuan berkenaan.

Ekoran itu Khairy kemudiannya menyatakan beliau sudah bosan dengan FAM apabila tidak boleh menerima teguran daripada mana-mana pihak. – Bernama




sumber :www.sinarharian.com

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...