Wednesday 13 November 2013

Naik cukai taksiran supaya harta tanah meningkat


Selain berfungsi sebagai sumber pendapatan kerajaan, cukai taksiran di Kuala Lumpur dinaikkan kadarnya bagi membolehkan harga harta tanah meningkat bagi manfaat pemiliknya, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata demikian dalam Dewan Rakyat sewaktu menjawab soalan MP Segambut, Lim Lip Eng tentang kenaikan cukai taksiran yang dibangkitkan tujuh MP daripada Kuala Lumpur pada sidang media pagi tadi.

"Harta tanah di KL meningkat, apabila cukai taksiran terlalu rendah bagaimana nilai hartanahnya hendak meningkat berkali-kali ganda?" kata Tengku Adnan (kiri).

Menurutnya, cukai taksiran sebelum ini kekal pada kadar yang sama selama 21 tahun.

Namun katanya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menghantar notis tentang perkara itu dan masih membuka ruang untuk menerima maklum balas dari penduduk Kuala Lumpur sehingga 17 Disember ini.

"Kalau rakyat tak setuju, boleh tulis kepada DBKL dan kerajaan BN akan pertimbangkan.

"Kerajaan ini kerajaan yang adil," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan bersedia mempertimbang sebarang maklum balas walaupun kenaikan cukai itu tetap akan diteruskan.

"Kita perlu sumber untuk beri perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

"Kenaikan akan dilakukan, mungkin dengan kadar berbeza dengan apa yang telah kita lakukan," katanya lagi.

Tan Kok Wai (DAP-Cheras), Nurul Izzah (PKR-Lembah Pantai), Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Fong Kui Lun (DAP - Bukit Bintang), Teresa Kok (DAP - Seputeh), Tian Chua (PKR - Batu) dan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) mendakwa mereka tidak dimaklumkan tentang kenaikan itu walaupun menghadiri mesyuarat belanjawan DBKL baru-baru ini.

Tan Kok Wai mendakwa kenaikan cukai paling tinggi adalah sebanyak 267 peratus terhadap sebuah rumah kos rendah di Taman Orkid Desa, Cheras.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...