Friday 22 November 2013

10 Minit Lupus Sebuah Kereta

10 minit lupus sebuah kereta
Abd Manaf memeriksa beberapa buah enjin daripada kenderaan dicuri di sebuah 
syarikat perniagaan barangan lusuh di Mukim Labu, Sepang, semalam. - Foto Izhari Ariffin

Sepang: Hanya 10 minit, sebuah kereta boleh bertukar menjadi kepingan besi. Itulah masa diambil bagi sebuah syarikat membeli barang lusuh dan terpakai di Mukim Labu, di sini, untuk meranapkan mana-mana kereta yang baru dilarikan bagi mengelak kegiatan mereka dikesan polis.

Syarikat yang beroperasi sejak dua tahun lalu itu dipercayai melupuskan antara 20 hingga 40 kereta sehari yang dibeli daripada individu atau sindiket samun dan curi kenderaan dari seluruh negara untuk dijadikan kiub logam dan kepingan besi sebelum dijual kepada syarikat pelebur besi.

Kegiatan syarikat yang turut membeli 70 unit motosikal, selain enam hingga 10 kenderaan berat sehari ini terbongkar selepas sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Risikan (D4) Bukit Aman, menyerbu premis itu pada jam 9 pagi semalam, hasil risikan dan maklumat Operasi Cantas Khas Lejang (Ops Cantas Lejang).

Ketua Penolong Pengarah (D4), Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Abd Manaf Abd Razak, berkata ketika serbuan dibuat, polis menemui tiga kereta PROTON Iswara Aeroback dan sebuah kereta import yang sudah diremukkan jentera berat sebelum dimasukkan ke dalam mesin pemampat logam dan besi.

“Ketika serbuan itu juga, seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan secara tiba-tiba memandu kereta jenis PROTON Iswara Aeroback, memasuki premis jualan barang lusuh ini untuk menjual kereta itu yang baru beberapa jam dicuri di Klang dengan harga RM500.
Mengaku curi kereta

“Hasil pemeriksaan, lelaki berusia 40 tahun yang tidak memiliki dokumen jual beli serta geran kereta itu akhirnya mengaku dia melarikan kereta berkenaan untuk dijual kepada syarikat terbabit,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, syarikat ini mempunyai lesen kebenaran polis dan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan kegiatan membeli dan menjual barang lusuh serta terpakai di kalangan penduduk sekitar kawasan Sepang dan Nilai, Negeri Sembilan.

Syarikat ini didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan berusia 43 tahun, namun urusan jual beli dijalankan suami dan anak lelakinya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...