Thursday 31 March 2022

Ramadan Bulan Ibadah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ramadan Bulan Ibadah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ وَصُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bila bulan Ramadan tiba, maka dibukalah pintu-pintu syurga, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu."
(HR Muslim No: 1793) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Apabila Ramadan menjelang, Rasulullah SAW mengingatkan para sahabat agar bersedia dengan kedatangan bulan Ibadah:

1.  Ramadan adalah bulan yang diwajibkan keatas umat Islam berpuasa.

2.  Ramadan adalah bulan Syiam (berpuasa di siang hari) dan Qiam (menghidupkan malam dengan solat sunat, tilawah al-Quran, zikir, doa). 

3.  Ramadan adalah bulan ibadah dimana dibuka pintu-pintu syurga.  Mereka yang terus melaksanakan pelbagai perbuatan yang mengandungi ibadah atau kebaikan,  akan  disediakan  padanya dengan rahmah Allah syurga.

4.  Pintu neraka ditutup di bulan Ramadan. Ertinya, dengan kehadiran bulan Ramadan, kita dianjurkan  untuk memperbanyak amal kebaikan maka dengan sendirinya perbuatan yang tidak baik (maksiat) dihindarkan. Dengan demikian, maka tidak ada lagi kesempatan untuk bermaksiat, dengan itu tertutuplah pintu-pintu neraka.

5.  Bulan Ramadan dipermudahkan kepada umat Islam melaksanakan ibadah kerana syaitan telah dirantai atau dibatasi pergerakkannya untuk mengganggu.

Ayuh kita menyediakan diri dengan bersungguh-sungguh untuk menemui Ramadan yang dijangka akan bermula pada 3hb April ini. Ahlan Ya Ramadan. Ramadan Mubarak. Memburu Taqwa Menyebar Rahmah

01hb April  2022
29hb Syaaban 1443H

Wednesday 30 March 2022

Orang Kaya Yang Miskin Di Akhirat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Kaya Yang Miskin Di Akhirat

عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَرَجْتُ لَيْلَةً مِنْ اللَّيَالِي فَإِذَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْشِي وَحْدَهُ وَلَيْسَ مَعَهُ إِنْسَانٌ قَالَ فَظَنَنْتُ أَنَّهُ يَكْرَهُ أَنْ يَمْشِيَ مَعَهُ أَحَدٌ قَالَ فَجَعَلْتُ أَمْشِي فِي ظِلِّ الْقَمَرِ فَالْتَفَتَ فَرَآنِي فَقَالَ مَنْ هَذَا قُلْتُ أَبُو ذَرٍّ جَعَلَنِي اللَّهُ فِدَاءَكَ قَالَ يَا أَبَا ذَرٍّ تَعَالَهْ قَالَ فَمَشَيْتُ مَعَهُ سَاعَةً فَقَالَ إِنَّ الْمُكْثِرِينَ هُمْ الْمُقِلُّونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إِلَّا مَنْ أَعْطَاهُ اللَّهُ خَيْرًا فَنَفَحَ فِيهِ يَمِينَهُ وَشِمَالَهُ وَبَيْنَ يَدَيْهِ وَوَرَاءَهُ وَعَمِلَ فِيهِ خَيْرًا 

Daripada Abu Dzar RA dia berkata; "Pada suatu malam, aku pernah keluar rumah, tiba-tiba aku melihat Rasulullah SAW berjalan sendirian tanpa ditemani oleh seorang pun, aku menyangka mungkin baginda ingin berjalan tanpa ditemani oleh orang lain, maka aku pun berjalan di bawah bayangan rembulan, ternyata baginda menoleh dan melihatku, baginda bersabda: 'Siapakah itu? ' Aku menjawab; 'Saya... Abu Dzar. Demi Allah yang menjadikanku sebagai tebusanmu.' Baginda bersabda: 'Wahai Abu Dzar, kemarilah.' Abu Dzar melanjutkan; 'Lalu aku berjalan bersama baginda beberapa ketika, lantas baginda bersabda: 'Sungguh orang-orang yang banyak harta (mengumpulkan harta) akan menjadi sedikit (melarat) pada hari kiamat, kecuali yang diberikan kebaikan oleh Allah padanya dengan harta tersebut lalu ia memberikannya serta membuat kebajikan dengan harta tersebut ke kirinya, kanannya, hadapannya serta belakangnya (dia menggunakan harta tersebut) dengan baik.'
(HR Bukhari No: 5962) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang banyak harta di dunia tidak semestinya akan berterusan kaya di akhirat. Orang yang miskin di dunia tidak semestinya akan juga miskin di akhirat.

2.  Orang yang kaya di dunia, di akhirat akan jadi miskin dan melarat apabila harta yang dihimpun bukan dari jalan yang halal dan harta itu tidak digunakan untuk menambah pahala kebaikan. Firman Allah: 

وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ ٣٤ يَوۡمَ يُحۡمَىٰ عَلَيۡهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكۡوَىٰ بِهَا جِبَاهُهُمۡ وَجُنُوبُهُمۡ وَظُهُورُهُمۡۖ هَٰذَا مَا كَنَزۡتُمۡ لِأَنفُسِكُمۡ فَذُوقُواْ مَا كُنتُمۡ تَكۡنِزُونَ 

Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya (34). (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam Neraka Jahannam, lalu diselar dengannya dahi mereka dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.
(At-Taubah: 34-35)

3.  Orang yang kaya di dunia akan juga kaya di akhirat apabila ia menggunakan harta tersebut untuk kebajikan dan kebaikan sepanjang masa pada keluarga, masyarakat dan Negara melalui zakat, wakaf, sedekah, derma, infak kebajikan dan amalan kebaikan yang lain.

4.  Kita dilarang mengumpulkan harta di dunia tanpa dibelanjakan pada jalan Allah yang mendatangkan ganjaran pahala yang berterusan buat kita.

Jangan sekali-kali kita menjadi kaya di dunia namun miskin di akhirat kerana tamak, bakhil, bermegah dan takabur dengan harta kekayaan semasa di dunia.

Jom infak sebahagian dari harta yang ada pada kita. Moga ia menjadi simpanan tetap buat kita diakhirat nanti.

31hb Mac  2022
28hb Syaaban 1443H

Tuesday 29 March 2022

Amal Masuk Syurga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Masuk Syurga

عن جابر بن عبد الله رضي الله عنهما  أَنَّ رَجُلاً سَأَلَ رَسُولَ اللهِ صل الله عليه و سلم فَقَالَ: أَرَأَيْتَ إِذَا صَلَّيْتُ الْمَكْتُوبَاتَ وَصُمْتُ رَمَضَانَ وَأَحْلَلْتُ الْحَلاَلَ وَحَرَّمْتُ الْحَرَامَ وَلَمْ أَزِدْ عَلَى ذَلِكَ شَيْئاً أَأَدْخُلُ الْجَنَّةَ قَالَ: نَعَمْ 
 
Daripada Jabir bin Abdullah RA, bahawa seorang lelaki telah bertanyakan Rasulullah SAW, dia berkata: Bagaimana pandanganmu jika aku mendirikan sembahyang fardhu, aku berpuasa bulan Ramadhan, aku menghalalkan perkara yang halal dan aku mengharamkan perkara yang haram. Aku tidak akan menambah apa-apa lagi lebih daripada itu. Apakah aku akan masuk syurga? Baginda bersabda: Ya!.
(HR Muslim, no. 15) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap muslim dituntut untuk bertanya kepada orang yang arif tentang syariat Islam, tentang kewajibannya dan apa yang dihalalkan dan diharamkan baginya jika hal tersebut tidak diketahuinya.

2.  Penghalalan dan pengharaman merupakan aturan syariat, tidak ada yang berhak menentukannya kecuali Allah SWT.

3.  Keinginan dan perhatian yang besar dari para sahabat terhadap syurga diperlihatkan pada kesungguhan mereka dalam mencari jalan untuk sampai ke sana dengan bertanya kepada Rasulullah SAW melalui amal soleh yang boleh dilakukan.

4.  Apabila seorang mukmin menunaikan segala tanggungjawab agama yang fardhu dengan sempurna (tanpa cacat) seperti solat fardhu dan puasa di bulan Ramadan, menghalalkan perkara yang halal (mengambilnya) dan mengharamkan perkara yang haram (meninggalkan), dia akan masuk syurga dengan kemurahan dan rahmat Allah SWT terhadap hamba-hambaNya, walaupun dia tidak melakukan amalan-amalan sunat yang lain.

30hb Mac  2022
27hb Syaaban 1443H

Monday 28 March 2022

Hiasi Diri Dengan Sifat Malu

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hiasi Diri Dengan Sifat Malu

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا كَانَ الْفُحْشُ فِي شَيْءٍ إِلَّا شَانَهُ وَمَا كَانَ الْحَيَاءُ فِي شَيْءٍ إِلَّا زَانَهُ

Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah sifat buruk berada dalam sesuatu kecuali akan memperburuknya, dan tidaklah sifat malu ada dalam sesuatu kecuali akan menghiasinya".
(Sunan Tirmidzi No: 1897) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sifat malu yang ada pada seseorang akan menjadi penghias akhlak dan diberikan ganjaran pahala

2.  Sifat buruk yang ada pada seseorang akan menjadikannya bertambah buruk dan hina di sisi Allah dan makhluk.

3.  Sifat malu diganjari Syurga, sifat buruk diganjari neraka:

اَلْحَيَاءُ مِنَ الْإِيمَانِ وَالإِيمَانُ فِي الْجَنَّةِ وَالْبَدَاءُ مِنَ الْجَفَاءِ وَالْجَفَاءُ فِي النَّارِ

“Rasa malu adalah sebahagian dari keimanan dan keimanan berada disyurga. Sedangkan tindakan atau ucapan kotor adalah sebahagian dari perangai yang kasar dan perangai kasar tempatnya di neraka”.
(Sunan Tirmidzi No: 1932)

Hiasilah diri kita dengan mulia dan terpuji seperti sifat malu. Moga sifat malu yang ada sebagai ganjaran ke syurga. Jauhi sifat dan perangai buruk seperti menghina, mengeji, memfitnah kerana balasannya adalah neraka.

29hb Mac  2022
26hb Syaaban 1443H

Sunday 27 March 2022

Ganjaran Menunjukkan Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ganjaran Menunjukkan Kebaikan
 
عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ عُقْبَةَ بْنِ عَمْرٍو الْأَنْصَارِيِّ البَدْرِيِّ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ.

Daripada Abu Mas'ud 'Uqbah bin Amriy Al-Anshori Al-Badriy, beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya." (HR Muslim, No: 1893) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:
   
1.  Amal kebaikan yang dilakukan serta diusahakan oleh seseorang Muslim akan menjadi bekalan pahala di sisi Allah.

2.  Antara amal kebaikan seseorang ialah menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain sama ada untuk kebaikan di dunia atau di akhirat. Kemudian amal kebaikan itu diikuti dan dilakukan oleh orang lain dan pelakunya akan mendapat ganjaran pahala. 

3.  Amalan menunjukkan kepada kebaikan merupakan amalan yang boleh dicontohi oleh orang lain  dan lebih besar manfaatnya berbanding amalan yang manfaatnya  hanya terbatas untuk diri sendiri.

4.  Amalan kebaikan yang boleh ditunjukkan merangkumi perbuatan, percakapan dan penulisan.  Contohnya menghasilkan poster, menulis tazkirah dan berkongsi di media sosial serta diamalkan oleh orang lain seperti tazkirah menghadapi ibadah Ramadan.

28hb Mac  2022
25hb Syaaban 1443H

Saturday 26 March 2022

Tinggalkan Yang Tidak Bermanfaat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tinggalkan Yang Tidak Bermanfaat

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صلى الله عليه وسلم: مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيْهِ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata : Rasulullah  SAW bersabda : Merupakan tanda baiknya Islam seseorang, dia meninggalkan sesuatu yang tidak berguna baginya.
(Sunan Tirmidzi No: 2239 )  Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Termasuk sifat orang Muslim adalah dia menyibukkan dirinya dengan perkara-perkara yang mulia dan bermanfaat untuk diri, keluarga, masyarakat dan Negara.

2.  Termasuk sifat seorang Muslim adalah menjauhkan diri dari perkara yang tidak bermanfaat baginya, perbuatan yang sia-sia, serta dosa dan maksiat.

3.  Menyibukkkan diri dengan sesuatu yang tidak bermanfaat adalah sia-sia dan merupakan tanda kelemahan iman contohnya semasa cuti sekolah banyak tidur, asyik dengan bermain game serta menonton video hiburan.

4.  Anjuran untuk memanfaatkan waktu dengan sesuatu yang bermanfaat untuk dunia dan akhirat.  Kerana waktu yang berlalu tidak akan kembali. Gunakan waktu yang ada untuk kerja yang bermanfaat seperti membaca bahan bermanfaat, menulis bagi menghasilkan artikel yang boleh dikongsikan, mengajar anak-anak di rumah dan sebagainya.

5.  Jadilah orang bermanfaat kepada orang lain. Hadis Rasulullah SAW

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.
(HR Ibn Hibban)

6.  Jadilah kita jika sedang dikuarantin contohnya, bermanfaat seperti Pak Hamka ketika dipenjara beliau berjaya menghasilkan Tafsir al-Azhar. Syed Qutb ketika dipenjara mampu menghasilkan tafsir fi Zilal. 

Jom jadikan diri kita bermanfaat khususnya semasa berada di rumah bukan dengan bermain game atau menonton sesuatu yang tidak bermanfaat. Jadilah kita bermanfaat kepada ahli keluarga, sahabat handai juga kepada masyarakat seluruhnya.

27hb Mac  2022
24hb Syaaban 1443H

Thursday 24 March 2022

Jangan Hanya Bercakap Tapi Tidak Melaksanakan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Hanya Bercakap Tapi Tidak Melaksanakan

يُؤْتَى بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُ بَطْنِهِ فَيَدُورُ بِهَا كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِالرَّحَى فَيَجْتَمِعُ إِلَيْهِ أَهْلُ النَّارِ فَيَقُولُونَ يَا فُلَانُ مَا لَكَ أَلَمْ تَكُنْ تَأْمُرُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ فَيَقُولُ بَلَى قَدْ كُنْتُ آمُرُ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَى عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ

"Seseorang didatangkan pada hari kiamat kemudian dilemparkan ke neraka hingga ususnya terburai keluar dan berputar-putar dineraka seperti keledai memutarkan alat penumbuk gandumnya. Kemudian penghuni neraka berhimpun sekelilingnya seraya bertanya: 'Wahai fulan! Kenapa kamu begini?, bukankah dulu kamu menyuruh supaya melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran?' Lalu dia menjawab: 'Benar, dulu saya memerintahkan agar melakukan kebaikan tapi saya tidak melakukannya dan saya melarang kemungkaran tapi saya melakukannya'.
(HR Muslim No: 5305) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tugas setiap Muslim antaranya adalah mengajak orang lain melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran.

2.  Suruhan dan ajakan kepada orang lain perlu didahului oleh diri sendiri terlebih dahulu.

3.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada orang yang hanya  mengajak orang lain berbuat kebaikan dan menjauhi mungkar namun dia sendiri tidak melakukannya bahawa mereka akan dilemparkan ke neraka hingga ususnya terburai keluar dan berputar-putar dineraka.

4.  Allah mengingatkan pada setiap orang beriman:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٢ كَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ ٣ 

Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! (2) Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya (3).
(As-Soff: 2-3)

Ayuh kita berusaha untuk menjadi soleh dan musleh dengan berperanan dalam masyarakat melakukan perubahan yang lebih baik.

JOM bikin serupa cakap.

25hb Mac  2022
22hb Syaaban 1443H

Wednesday 23 March 2022

Mukmin Umpama Pohon Muda

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mukmin Umpama Pohon Muda 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِ كَمَثَلِ خَامَةِ الزَّرْعِ يَفِيءُ وَرَقُهُ مِنْ حَيْثُ أَتَتْهَا الرِّيحُ تُكَفِّئُهَا فَإِذَا سَكَنَتْ اعْتَدَلَتْ وَكَذَلِكَ الْمُؤْمِنُ يُكَفَّأُ بِالْبَلَاءِ وَمَثَلُ الْكَافِرِ كَمَثَلِ الْأَرْزَةِ صَمَّاءَ مُعْتَدِلَةً حَتَّى يَقْصِمَهَا اللَّهُ إِذَا شَاءَ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang mukmin adalah ibarat sebatang tanaman yang muda lembut yang melambai-lambai daunnya, bergoyang apabila ditiup angin. Apabila berhenti angin daripada bertiup maka dia berdiri tegak. Demikian keadaan seorang mukmin, kadang-kadang dicondongkan (sentiasa diuji) dengan bala atau ujian. Sebaliknya perumpamaan orang kafir bagaikan pohon kayu jati yang keras yang berdiri tegak (tidak bergerak-gerak) hingga Allah (dengan mudah) mematahkannya (membinasakannya) bila  Allah menghendakinya."
(HR Bukhari No: 6912) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap Mukmin akan melalui pelbagai ujian dan dugaan dalam hidup.

2.  Perumpamaan orang mukmin seperti sepohon pokok muda lembut (elastic), apabila ditiup angin menyebabkan ia condong kekanan dan kekiri dan mudah tegak kembali. Hal ini bermaksud  keadaan seorang mukmin yang sentiasa melalui ujian dan cobaan, namun ia tahan diuji tidak akan patah malah akan berdiri tegak kembali selepas ujian tersebut.

3.  Perbandingan orang yang berbuat dosa atau kafir seperti pokok kayu jati yang keras dan berdiri tegak, apabila ditiup angin akan mudah patah atau tombang. Berterusan melakukan kemungkaran tanpa rasa bersalah hingga Allah mendatangkan hukuman kepadanya sama ada di dunia mahupun di akhirat. 

4.  Untuk menjadi mukmin sebenar, mesti melalui ujian dan cabaran dengan sabar dan redha di atas ketetapan qada dan qadar. Dalam masa melalui ujian dan bencana inilah dapat diketahui kekuatan, keyakinan dan kesabaran seseorang kepada Allah.

5.  Ujian yang dilalui seperti kesusahan semasa Wabak Covid 19, terpaksa dikuarantin, bagi frontliner terpaksa berdepan dengan risiko yang tinggi. Ada juga yang terputus pendapatan kerana terpaksa tidak bekerja dan lain-lain,  kesemua  kepayahan, kesempitan, kelaparan dan sebagainya merupakan satu proses pembersihan dosanya serta mengangkat darjat seseorang ketempat yang lebih tinggi. Hadis Nabi SAW:

مَا يُصِيبُ الْمُؤْمِنَ مِنْ شَوْكَةٍ فَمَا فَوْقَهَا إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَةً أَوْ حَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

"Tidak ada satupun musibah (kesusahan) yang menimpa seorang muslim berupa duri atau yang semisalnya, melainkan dengannya Allah akan mengangkat darjatnya atau menghapus kesalahannya."
(Sahih Muslim No: 4665)

Jadilah seperti pohon muda yang tidak patah atau tumbang apabila ditiup angin, malah lebih kuat dan cekal. Jadilah mukmin yang tahan diuji, sabar melalui ujian dan musibah ini.

24hb Mac  2022
21hb Syaaban 1443H

Tuesday 22 March 2022

Adab Tidur

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Adab Tidur

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَوَى أَحَدُكُمْ إِلَى فِرَاشِهِ فَلْيَأْخُذْ دَاخِلَةَ إِزَارِهِ فَلْيَنْفُضْ بِهَا فِرَاشَهُ وَلْيُسَمِّ اللَّهَ فَإِنَّهُ لَا يَعْلَمُ مَا خَلَفَهُ بَعْدَهُ عَلَى فِرَاشِهِ فَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَضْطَجِعَ فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى شِقِّهِ الْأَيْمَنِ وَلْيَقُلْ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَاغْفِرْ لَهَا وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Daripada Abu Hurairah RA bahwasanya Rasulullah SAW telah bersabda: "Apabila seseorang hendak berbaring, maka hendaklah ia mengambil alat pembersih untuk membersihkan alas tidurnya dan sebutlah nama Allah, kerana ia tidak tahu apa yang terdapat di atas tempat tidurnya. Apabila seseorang hendak tidur, maka hendaknya ia tidur dengan mengiring ke kanan dan mengucapkan doa: 'Maha suci Engkau ya Allah, Tuhanku. Dengan nama-Mu aku baringkan tubuhku dan kerana-Mu lah aku bangun dari tidur. Apabila Engkau mematikanku, maka berilah ampunan dan apabila Engkau menghidupkanku, maka peliharalah sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.'
(HR Muslim No: 4889) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam adalah agama yang sempurna dan menyeluruh termasuk perkara yang kecil seperti adab ketika tidur.

2.  Rasulullah mengajar cara terbaik ketika seseorang hendak tidur:


a.  Membersihkan tempat tidur terlebih dahulu, seperti membersihkan cadar yang digunakan.

b.  Menyebut nama Allah paling kurang kalimah Basmallah

c.  Berbaring dengan mengiringkan lambung ke sebelah kanan

b)  Membaca doa:

سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ رَبِّي بِكَ وَضَعْتُ جَنْبِي وَبِكَ أَرْفَعُهُ إِنْ أَمْسَكْتَ نَفْسِي فَاغْفِرْ لَهَا وَإِنْ أَرْسَلْتَهَا فَاحْفَظْهَا بِمَا تَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَ الصَّالِحِينَ

Moga Allah menjaga, memelihara sepanjang kita tidur dan mengampunkan dosa kita.

23hb Mac  2022
20hb Syaaban 1443H

Monday 21 March 2022

Berwaspada Dalam Mengharungi Kehidupan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berwaspada Dalam Mengharungi Kehidupan

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ خَطَبَنَا عُمَرُ بِالْجَابِيَةِ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي قُمْتُ فِيكُمْ كَمَقَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِينَا فَقَالَ أُوصِيكُمْ بِأَصْحَابِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَفْشُو الْكَذِبُ حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلَا يُسْتَحْلَفُ وَيَشْهَدَ الشَّاهِدُ وَلَا يُسْتَشْهَدُ أَلَا لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ عَلَيْكُمْ بِالْجَمَاعَةِ وَإِيَّاكُمْ وَالْفُرْقَةَ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الْوَاحِدِ وَهُوَ مِنْ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ مَنْ أَرَادَ بُحْبُوحَةَ الْجَنَّةِ فَلْيَلْزَمْ الْجَمَاعَةَ مَنْ سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فَذَلِكُمْ الْمُؤْمِنُ

Daripada Ibnu 'Umar RA dia berkata; Suatu ketika Umar menyampaikan pidato kepada kami di Jabiyyah (sebuah kampong). Katanya: "Wahai sekalian manusia, aku berdiri di hadapan kalian sebagaimana berdirinya Rasulullah SAW dihadapan kami, dan baginda telah bersabda: 'Aku berpesan kepada kalian dengan (melalui) para sahabatku kemudian orang-orang setelah mereka dan orang-orang yang datang lagi setelah mereka. Kemudian tersebarlah kedustaan, sehingga seseorang bersumpah tanpa diminta untuk bersumpah, kemudian seseorang memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi. Ingatlah, jangan berdua-duaan antara  seorang laki-laki  dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya turut bersama adalah syaitan. Perlulah kamu selalu bersama Jamaah. Janganlah kalian berpecah belah, kerana syaitan itu selalu bersama dengan orang yang sendirian, sedangkan terhadap dua orang, ia jauh lebih baik (berjemaah). Barangsiapa yang menginginkan kemewahan syurga, maka hendaklah ia berjamaah. Barangsiapa merasa gembira dengan  kebajikannya yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin.'
(HR Tirmidzi No: 2091) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa orang yang suka bersumpah walaupun tanpa diminta hanya semata-mata untuk membenar dan membuktikan kebenaran sesuatu perkara supaya orang memberi kepercayaan kepadanya walaupun ia merupakan sumpah palsu.

2.  Rasulullah SAW berpesan akan datang suatu zaman dimana berleluasa orang yang suka memberi kesaksian padahal ia tidak diminta untuk menjadi saksi walaupun sebagai saksi palsu hanya kerana kepentingan peribadi.

3.  Rasulullah SAW melarang perbuatan khalwat atau berdua-duaan yang berlaku antara seorang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang boleh mendatangkan syak wasangka serta maksiat.

4.  Rasulullah SAW mengarahkan kita agar sentiasa hidup berjamaah, saling berukhuwah, tolong menolong dan bantu membantu, saling nasihat menasihati kearah mewujudkan kehidupan yang sejahtera dan Negara Rahmah.

5.  Kita dilarang hidup dengan mementingkan diri sendiri tanpa memperdulikan orang lain.

6.  Barangsiapa merasa gembira dengan  kebajikan yang ia lakukan, dan berasa tidak senang dengan keburukan atau kejahatannya, maka dia adalah seorang mukmin.

22hb Mac  2022
19hb Syaaban 1443H

Sunday 20 March 2022

Bersifat Tawaduk

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersifat Tawaduk

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَإِنَّهُ أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Lihatlah orang yang lebih rendah daripada kamu dan janganlah kamu melihat orang yang lebih tinggi darjatnya daripada kamu, itulah yang lebih baik supaya kamu tidak merendah-rendahkan nikmat Allah yang dikurniakan kepada kamu".
(HR Tirmidzi No: 2437) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Memiliki sifat redha dan merasa cukup dengan apa yang dimiliki adalah suatu yang dituntut.

2.  Buatlah perbandingan nikmat yang kita miliki dengan orang lain yang tidak memilikinya, nescaya kita akan sentiasa bersyukur dan merasa cukup dengan apa yang kita ada, tidak akan kecewa, sedih mahupun dengki pada orang lain.

3.  Elakkan dari  membuat perbandingan dengan orang yang lebih kaya dan berada kerana akan menghilangkan rasa bersyukur malah akan mendatangkan rasa kecewa, sedih malah sentiasa berdengki dengan kelebihan pada orang lain.

4.  Dalam hal yang berkaitan dengan akhirat, kita hendaklah sentiasa melihat orang yang lebih baik daripada diri kita untuk bersaing dan berlumba mencontohinya.

5.  Kita perlu merasa cemburu melihat kealiman dan kesolehan orang lain untuk diikuti dan dicontohi.

وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ ٧٧ 

Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.
(al-Qasas: 77)

21hb Mac  2022
18hb Syaaban 1443H

Saturday 19 March 2022

Bahaya Memuji Orang Berlebihan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bahaya Memuji Orang Berlebihan

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرَةَ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ رَجُلًا ذُكِرَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَثْنَى عَلَيْهِ رَجُلٌ خَيْرًا فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيْحَكَ قَطَعْتَ عُنُقَ صَاحِبِكَ يَقُولُهُ مِرَارًا إِنْ كَانَ أَحَدُكُمْ مَادِحًا لَا مَحَالَةَ فَلْيَقُلْ أَحْسِبُ كَذَا وَكَذَا إِنْ كَانَ يُرَى أَنَّهُ كَذَلِكَ وَحَسِيبُهُ اللَّهُ وَلَا يُزَكِّي عَلَى اللَّهِ أَحَدًا

Daripada Abdurrahman bin Abu Bakrah dari Ayahnya bahwa seorang laki-laki disebut-sebut disamping Nabi SAW, lalu laki-laki lain memuji kebaikan laki-laki tersebut, lalu Nabi SAW bersabda: "Celaka kamu, kamu telah memenggal leher saudaramu." Baginda mengatakannya berulang-ulang. Baginda berkata, Jika salah seorang dari kalian ingin memuji temannya, hendaklah ia mengucapkan: 'Aku kira fulan seperti ini dan itu, walaupun jika diperhatikan ia memang seperti itu. Cukuplah Allah yang menentukan kebaikannya dan janganlah mendahului Allah dalam memuji orang."
(HR Bukhari No: 5601) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Memuji kebaikan yang ada pada seseorang tidaklah dilarang secara mutlak. Namun Rasulullah menegur dengan keras orang yang memuji orang lain dengan:

a.  Pujian yang berlebihan
b.  Pujian yang mengandung sifat yang tidak ada pada diri orang yang dipuji.
c.  Pujian yang menimbulkan fitnah (timbul ujub, menyombongkan diri) pada orang yang dipuji terutama apabila dipuji dihadapannya.

2.  Rasulullah memberi teguran keras kepada orang yang memuji orang lain yang disetarakan dengan memenggal leher kawan tersebut kerana bimbang terjerumus seperti ummat terdahulu, khususnya kaum Yahudi dan Nasrani yang memuji sehingga menyamakan dengan sifat Allah (syirik yang merupakan dosa besar).

3.  Amal yang kita lakukan adalah ikhlas untuk mencari redha Allah bukan pujian manusia. Dzun Nuun menyebutkan tiga tanda ikhlas:

a.  Tetap merasa sama antara pujian dan celaan orang lain.
b.  Melupakan amalan kebajikan yang dulu pernah diperbuat.
c.  Mengharap balasan dari amalan di akhirat (dan bukan di dunia).
(Lihat At Tibyan fi Adabi Hamalatil Qur’an, An Nawawi, hal. 50-51, Maktabah Ibnu ‘Abbas, cetakan pertama, tahun 1426 H)

4.  Jika kita dipuji orang, berdoalah seperti doa Abu Bakar RA apabila menerima pujian: 

اللَّهُمَّ أَنْتَ أَعْلَمُ مِنِّى بِنَفْسِى وَأَنَا أَعْلَمُ بِنَفْسِى مِنْهُمْ اللَّهُمَّ اجْعَلْنِى خَيْرًا مِمَّا يَظُنُّوْنَ وَاغْفِرْ لِى مَا لاَ يَعْلَمُوْنَ وَلاَ تُؤَاخِذْنِى بِمَا يَقُوْلُوْنَ

Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku. Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka.
(Diriwayatkan oleh Al Baihaqi dalam Syu’abul Iman, 4/228, no.4876. Lihat Jaami’ul Ahadits, Jalaluddin As Suyuthi, 25/145, Asy Syamilah)

20hb Mac  2022
17hb Syaaban 1443H

Friday 18 March 2022

Reda Terhadap Maksiat Itu Berdosa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Reda Terhadap Maksiat Itu Berdosa

عَنْ الْعُرْسِ ابْنِ عَمِيرَةَ الْكِنْدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا عُمِلَتْ الْخَطِيئَةُ فِي الْأَرْضِ كَانَ مَنْ شَهِدَهَا فَكَرِهَهَا وَقَالَ مَرَّةً أَنْكَرَهَا كَانَ كَمَنْ غَابَ عَنْهَا وَمَنْ غَابَ عَنْهَا فَرَضِيَهَا كَانَ كَمَنْ شَهِدَهَا

Daripada Al 'urs bin Amirah Al Kindi dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Apabila ada satu maksiat dikerjakan dimuka bumi, maka orang yang melihat lalu membencinya, dalam riwayat lain, "lalu ia mengingkarinya, maka ia sama seperti orang yang tidak melihatnya. Barangsiapa tidak melihatnya, namun ia reda dengan maksiat tersebut, maka ia seperti orang yang melihatnya."
(HR Abu Daud No: 3782)  Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Barangsiapa melihat kemungkaran lalu ia membencinya atau mengingkari dengan berusaha mencegahnya maka ia seperti orang yang tidak melihat mungkar tersebut (seorang yang beriman).

2.  Barangsiapa mengetahui suatu maksiat yang berlaku dan dia reda dengannya (tidak berusaha mencegah dengan kuasa, lisan atau benci dengan hati) sesungguhnya dia telah melakukan dosa.

3.  Muslim yang tidak melihat kemungkaran tetapi reda dengannya, maka dosanya adalah sama dengan orang yang melihat dan tidak mengingkarinya.

4.  Reda terhadap maksiat akan menghilangkan perasaan ingin mengingkarinya dengan hati. Sedangkan mengingkari maksiat dengan hati adalah fardhu ain.

5.  Jadilah Mukmin yang berjaya. Firman Allah:

وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٞ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَٰئِكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ ١٠٤ 

Dan hendaklah ada di antara kamu sekumpulan yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan  dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
(Ali Imran: 104).

Semoga kita sentiasa memiliki sifat mukmin dengan tidak meredhai kemungkaran yang berlaku.

19hb Mac  2022
16hb Syaaban 1443H

Thursday 17 March 2022

Takutlah Kepada Azab

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Takutlah Kepada Azab

عَنْ حُذَيْفَةَ بْنِ الْيَمَانِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ

Daripada Hudzaifah bin Al Yaman dari Nabi SAW baginda bersabda: "Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, hendaknya kalian melakukan amar makruf dan nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran)  atau jika tidak nescaya Allah akan mengirimkan siksaan dari sisi-Nya kepada kalian, kemudian kalian memohon kepada-Nya namun doa kalian tidak lagi dikabulkan."
(Sunan Tirmidzi No: 2095) Status: Hadis  Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim diperintahkan untuk menyampaikan dakwah, mengajak orang lain melakukan kebaikan dan dalam masa yang sama mencegah sebarang bentuk kemungkaran.

2.  Jika kemungkaran yang berlaku dibiarkan tanpa sebarang usaha mencegah, dibimbangi akan diturunkan azab ke atas mereka. Firman Allah:

وَٱتَّقُواْ فِتۡنَةٗ لَّا تُصِيبَنَّ ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ مِنكُمۡ خَآصَّةٗۖ وَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ ٢٥ 

“Dan peliharalah diri kalian dari fitnah yang tidak hanya menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kalian, dan ketahuilah bahawa Allah amat keras siksaan-Nya.”
(QS. Al-Anfaal: 25)

3.  At-Thabari menyampaikan sebuah riwayat dari Ibn ‘Abbas tentang ayat ini, Ibn ‘Abbas berkata: “Allah memerintahkan orang-orang yang beriman untuk tidak mendiamkan kemungkaran yang tampak di hadapan mereka, jika demikian (tetap mendiamkan) maka Allah akan menimpakan azab yang berlaku kepada umum.

4.  Allah juga tidak akan mengabulkan doa kepada mereka.

18hb Mac  2022
15hb Syaaban 1443H

Sunday 13 March 2022

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menolong Saudara Yang Zalim dan Dizalimi

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ انْصُرْ أَخَاكَ ظَالِمًا أَوْ مَظْلُومًا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنْصُرُهُ إِذَا كَانَ مَظْلُومًا أَفَرَأَيْتَ إِذَا كَانَ ظَالِمًا كَيْفَ أَنْصُرُهُ قَالَ تَحْجُزُهُ أَوْ تَمْنَعُهُ مِنْ الظُّلْمِ فَإِنَّ ذَلِكَ نَصْرُهُ

Daripada Anas RA mengatakan, Rasulullah SAW bersabda: "'Tolonglah saudaramu baik ia berbuat zalim atau dizalimi." Ada seorang laki-laki bertanya; 'ya Rasulullah, saya maklum jika ia dizalimi, namun bagaimana saya menolong saudara yang  melakukan kezaliman? ' Nabi menjawab; "engkau mencegahnya atau menahannya dari kezaliman, itulah cara menolongnya."
(HR Bukhari No: 6438) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang Muslim wajib membantu muslim yang lain.

2.  Jika saudara kita dizalimi, menjadi tanggungjawab untuk menolong dengan  membela dan mempertahankannya.

3.  Jika saudara kita melakukan kezaliman, menjadi tanggung jawab kita untuk membantunya agar tidak berterusan melakukan kezaliman. Contohnya jika saudara kita mencuri, rasuah, menganiaya orang atau binatang, kita wajib menghentikan, menghalangnya agar tidak berterusan membuat kezaliman.

4.  Seorang Muslim tidak boleh membabi buta membela saudaranya yang berbuat zalim 

5.  Bantu orang lain agar tidak dizalimi oleh orang yang zalim dengan cara memberi peringatan kepada mereka tentang kezaliman orang yang zalim.

14hb Mac  2022
11hb Syaaban 1443H

Saturday 12 March 2022

Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خَبٌّ وَلَا بَخِيلٌ وَلَا مَنَّانٌ وَلَا سَيِّئُ الْمَلَكَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ الْمَمْلُوكُ إِذَا أَطَاعَ اللَّهَ وَأَطَاعَ سَيِّدَهُ

Daripada Abu Bakar Ash Shiddiq RA dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Tidak akan masuk syurga seorang penipu, orang yang bakhil, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya dan pemimpin yang berperangai buruk. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya)." (HR Ahmad No: 32) Status: Isnad Maqbul

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya dengan ancaman tidak akan masuk syurga kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri berikut:

a.  Orang yang menipu

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٞ كَذَّابٞ ٢٨

Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi penipu (al-Ghafir: 28).

b.  Orang yang bakhil

عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي مِنْ بَيْتِي إِلَّا مَا أَدْخَلَ عَلَيَّ الزُّبَيْرُ أَفَأُعْطِي قَالَ نَعَمْ وَلَا تُوكِي فَيُوكَى عَلَيْكِ يَقُولُ لَا تُحْصِي فَيُحْصَى عَلَيْكِ

Daripada Asma' binti Abu Bakar RA ia berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu kecuali apa yang diberikan oleh Zubair kepadaku, apakah aku harus bersedekah dengannya?" Nabi menjawab: "Ya, dan janganlah engkau bakhil, (jika engkau bakhil) maka Allah akan bakhil kepadamu.
(Sunan Tirmidzi No: 1883) Status: Hadis Hasan Sahih. 

c.  Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan si penerima).”
(Al-Baqarah: 264)

d.  Pemimpin yang berperangai buruk (pemimpin yang menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang sejahtera)

Jadilah kita pemimpin yang benar-benar mengutamakan rakyat di bawah. Janganlah kerana kepentingan kedudukan dan pangkat, kita sanggup menyusahkan rakyat. 

2.  Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).

3.  Jauhilah perangai penipu, bakhil, suka mengungkit pemberiannya dan berperangai buruk.

13hb Mac  2022
10hb Syaaban 1443H

Friday 11 March 2022

Jaminan Syurga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaminan Syurga

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اضْمَنُوا لِي سِتًّا مِنْ أَنْفُسِكُمْ أَضْمَنْ لَكُمْ الْجَنَّةَ اصْدُقُوا إِذَا حَدَّثْتُمْ وَأَوْفُوا إِذَا وَعَدْتُمْ وَأَدُّوا إِذَا اؤْتُمِنْتُمْ وَاحْفَظُوا فُرُوجَكُمْ وَغُضُّوا أَبْصَارَكُمْ وَكُفُّوا أَيْدِيَكُمْ

Daripada 'Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: "Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian."
(HR Ahmad No: 21695) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk Syurga jika memelihara enam perkara:

1.  Jujur jika berbicara.
Ibnu Qayyim menyatakan: Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran (tidak berbohong) akan membezakan antara munafik dan beriman.

2.  Menepati janji. 
Tidak memenuhi janji adalah diantara sifat munafik.

3.  Menunaikan amanah.
Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan (pelihara amanah yang diberi kepada kita)

4.  Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah)

5.  Menundukkan pandangan.
Ibnu Qayyim menyatakan: menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran.

6.  Menahan tangan.
Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, mahupun tetangganya baik dengan lisan mahupun tangannya. Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya.  Tahanlah tangan kamu. (tidak mencuri, tidak mengambil rasuah, tidak memukul orang dan tidak menulis atau menyebarkan sesuatu berita fitnah).

Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan.

12hb Mac  2022
09hb Syaaban 1443H

Thursday 10 March 2022

Pemimpin Yang Adil

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemimpin Yang Adil

حَدَّثَنَا فُضَيْلٌ عَنْ عَطِيَّةَ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ أَحَبَّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَقْرَبَهُمْ مِنْهُ مَجْلِسًا إِمَامٌ عَادِلٌ وَإِنَّ أَبْغَضَ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَأَشَدَّهُ عَذَابًا إِمَامٌ جَائِرٌ

Telah menceritakan kepada kami Fudhail dari 'Athiyyah dari Abu Sa'id ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling dicintai Allah 'azza wajalla pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduknya dari Allah adalah seorang pemimpin yang adil, sedangkan orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaannya adalah pemimpin yang zalim."
(HR Ahmad No:10745) Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Orang yang paling dicintai Allah pada hari kiamat dan paling dekat tempat duduk di sisi Allah ialah pemimpin yang adil.

2.  Pemimpin yang adil adalah satu  daripada tujuh golongan yang mendapat naungan di padang mahsyar. Hadis Rasulullah SAW:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَوْ عَنْ أَبِي سَعِيدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمْ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ إِمَامٌ عَادِلٌ ....

Dari Abu Hurairah atau dari Abu Sa'id, Rasulullah SAW bersabda: "Tujuh (golongan) yang akan dinaungi Allah pada hari di mana tidak ada naungan lain kecuali naunganNya; pemimpin adil.
(Hadis Tirmidzi No: 2313) Status: Hadis Hasan Sahih

3.  Syarah Musim: Imam ialah orang yang yang diserahkan padanya urusan dan maslahah umat Islam termasuk pegawai dan pemerintah. Dalam Sunan Tirmizi: Imam yang adil disebut sebagai golongan terawal mendapat perlindungan di Padang Mahsyar kerana kepentingan dan faedahnya kepada umat.

4.  Keistimewaan ini hanya diberi kepada mereka yang adil dalam perkara yang diamanahkan sama ada mereka itu khalifah, imamah, wakil rakyat, hakim, ketua jabatan, pegawai kerajaan, penjaga anak yatim juga dalam perkara yang wajib ke atasnya, keluarga dan lainnya.

5.  Ibn Hajar berkata: Imam yang dicintai Allah dalam hadis ini adalah orang yang melaksanakan tanggungjawab terbesar mengendalikan urusan umat Islam dan ia berlaku adil padanya.

6.  Orang yang paling dibenci Allah pada hari kiamat dan paling keras siksaan untuknya adalah pemimpin atau penguasa yang zalim dan menzalimi rakyat atau orang bawahannya.

7.  Ayuh, setiap kita yang diberi tanggungjawab mengurus umat ini, jangan sesekali berbuat zalim dengan tidak melaksanakan amanah yang diberi  atau berlaku cuai ketika melaksanakannya seperti rasuah, pecah amanah, pengadilan terpilih, racis, melakukan penipuan, membohongi rakyat dll. 

Berusahalah mewujudkan tadbir urus yang baik melalui kepimpinan yang adil dan berintegriti.

11hb Mac  2022
08hb Syaaban 1443H

Wednesday 9 March 2022

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jauhi Maksiat Agar Kasih Sayang Tidak Dicabut 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ سَمِعْتُ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, "Rasa kasih sayang (rahmat Allah) tidak akan dicabut kecuali dari orang yang celaka (berbuat keji)."
(HR  Tirmizi No: 1846) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Allah menganugerahkan sifat kasih sayang kepada sesiapa yang dikehendaki

2.  Allah akan mencabut sifat kasih sayang (rahmat-Nya) daripada seseorang yang melakukan perbuatan keji dan maksiat.

3.  Perbuatan keji (seperti menghina, memfitnah, mengumpat dan mencela malah segala perbuatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada sekeliling) akan menghilangkan perasaan kasih sayang kepada orang lain dan akan menjadi penyebab kepada perbuatan yang  memutuskan hubungan ukhuwah dan silaturahim. Tanpa disedari Allah telah menghilangkan rasa kasih sayang dalam dirinya.

4.  Salman al-Farisi berkata: “Sesungguhnya apabila Allah inginkan kebinasaan kepada seorang hambaNya, maka Dia mencabut darinya sifat malu, apabila sifat tersebut tercabut maka akan dicabut darinya sifat amanah sehingga dia menjadi pengkhianat. Apabila sifat amanah dicabut darinya maka akan dicabut darinya sifat rahmah (sifat belas kasih)  sehingga dia memiliki sikap keras dan berhati kasar. Apabila dia sudah dalam keadaan demikian, maka akan dicabut sebahagian iman dari tengkuknya dan bila sudah demikian maka dia tidak akan ditemui kecuali dalam keadaan telah menjadi syaitan yang dilaknat dan suka melaknat”.

Jauhi perkara keji. Pupuklah sifat kasih sayang dalam diri kita terhadap orang lain secara berterusan agar ia menjadi akhlak terpuji.

10hb Mac  2022
07hb Syaaban 1443H

Tuesday 8 March 2022

Amal Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Kebaikan 

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا 
 
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap orang keluar waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat). (HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, dan ia merupakan  sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan terutama di zaman Wabak Covid-19 ini.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

4.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a.  Zikir al-Hamdulillah akan memenuhi neraca timbangan. 

b.  Zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. 

c.  Solat adalah cahaya. 

d.  Sedekah adalah saksi (Seruan untuk berinfaq pada jalan-jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda dan bukti benarnya keimanan).

e.  Sabar adalah sinaran (bersabar tatkala mengalami musibah, khususnya apa yang dialami seorang muslim kerana perbuatan amar ma’ruf nahi munkar).

f.  Al-Quran adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al-Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

5.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan. Ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

6.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

Negara Rahmah Ummah Sejahtera

#KeluargaUtuh
#MasyarakatProgresif
#BinaNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

08hb Mac  2022
05hb Syaaban 1443H

Sunday 6 March 2022

Amalan Pintu Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Pintu Kebaikan

عَنْ مُعَاذٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ سَأُنَبِّئُكَ بِأَبْوَابٍ مِنْ الْخَيْرِ الصَّوْمُ جُنَّةٌ وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْمَاءُ النَّارَ وَقِيَامُ الْعَبْدِ مِنْ اللَّيْلِ 

Daripada Muaz bin Jabal RA bahawa Nabi SAW bersabda; "Aku akan memberitahu kepadamu pintu-pintu kebaikan iaitu; puasa adalah perisai, sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api, dan seorang hamba bangun (qiamullail) di malam hari.
(Musnad Ahmad No: 21628). Dar Ihya Turath Arabiy. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Nabi SAW  menyampaikan pesanan tentang pintu-pintu kebaikan kepada umatnya iaitu Ibadat puasa, sedekah dan qiamullail.

2.  Pintu kebaikan pertama ialah Ibadat puasa. Puasa menjadi benteng atau perisai kepada seseorang daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah. Puasa adalah perisai yang akan melindungi daripada kehancuran jiwa, kerosakan perjalanan hidup, melindungi diri daripada terjerumus ke dalam golongan manusia yang tidak memiliki sifat sabar.

3.  Puasa juga menjadi perisai memberikan keteguhan hati dalam bertakwa kepada Allah. Puasa adalah perisai seseorang dari api neraka. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا الصِّيَامُ جُنَّةٌ يَسْتَجِنُّ بِهَا الْعَبْدُ مِنَ النَّارِ

Puasa adalah perisai yang dapat melindungi seorang hamba dari siksa neraka”.
(HR Ahmad No: 3868 dalam sahih al-Jami’).

4.  Persiapkanlah diri dengan mula berpuasa sunat pada bulan  Syaaban ini. Moga akan memudahkan kita melaksanakannya pada bulan Ramadan yang menjelang tiba. Semoga ibadat puasa menjadi perisai buat kita dari api neraka. 

5.  Pintu kebaikan kedua ialah bersedekah. Sedekah meleburkan dosa seperti air memadamkan api. Kita dianjurkan bersedekah khususnya kepada mereka yang memerlukan seperti derma kepada mereka yang terkesan akibat musibah wabak Covid 19 atau terkena musibah banjir. 

6.  Ambillah kesempatan untuk menyumbang dan menderma. Semoga sumbangan kita menjadi pelebur dosa dan penghindar kita dari api neraka. Sabda Nabi SAW:

اِتَّقُوا النَّارَوَلَوبِشِقِّ تَمْرَةٍ

Hindarilah neraka meskipun dengan sebelah biji korma.
(Sahih Bukhari No: 5677) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

7.  Pintu kebaikan ketiga adalah menghidupkan malam dengan Qiamullail. Antaranya dengan melaksanakan solat sunat malam, memperbanyakkan zikir dan munajat kepada Allah. Semoga amalan ini  mampu membina kekuatan rohani kita. Ambillah kesempatan bermunajat dan berdoa di malam hari agar Allah mengangkat musibah wabak Covid 19 yang telah lebih dua tahun melanda.

Marilah kita melaksanakan amal-amal  yang menjadi antara pintu kebaikan iaitu membanyakkan puasa sunat, bersedekah dan qiamullail.

07hb Mac  2022
04hb Syaaban 1443H

Friday 4 March 2022

Amalan Syaaban Menghadapi Ramadan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan  Syaaban Menghadapi Ramadan

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ أَنَّ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا حَدَّثَتْهُ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ شَهْرًا أَكْثَرَ مِنْ شَعْبَانَ فَإِنَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ وَكَانَ يَقُولُ خُذُوا مِنْ الْعَمَلِ مَا تُطِيقُونَ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا وَأَحَبُّ الصَّلَاةِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا دُووِمَ عَلَيْهِ وَإِنْ قَلَّتْ وَكَانَ إِذَا صَلَّى صَلَاةً دَاوَمَ عَلَيْهَا

Daripada Abu Salamah bahawa 'Aisyah RA menceritakan kepadanya, katanya: "Rasulullah SAW tidak pernah melaksanakan puasa lebih banyak dalam sebulan selain bulan Syaaban, ada kalanya baginda melaksanakan puasa bulan Syaaban seluruhnya. Baginda bersabda: "Lakukanlah amal-amal yang kalian sanggup melaksanakannya, kerana Allah tidak akan berpaling (dalam memberikan pahala) sampai kalian yang lebih dahulu berpaling (dari mengerjakan amal) ". Solat yang paling Nabi SAW cintai adalah solat yang dijaga kesinambungannya sekalipun sedikit. Baginda bila sudah biasa melaksanakan solat (sunat) baginda menjaga kesinambungannya".
(HR Bukhari No: 1834) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW melaksanakan puasa sunat paling banyak pada bulan Syaaban untuk kita contohi.

2.  Laksanakanlah setiap amal kita semampunya dengan istiqamah, kerana Allah sentiasa memberikan ganjaran pahala.

3.  Solat sunat yang Nabi SAW cintai ialah yang dilakukan secara istiqamah walaupun sedikit.

4.  Pelihara solat sunat mengiringi waktu, duha, tahajud, witir dan lain-lain  walaupun hanya dua rakaat.

Marilah kita berterusan melaksanakan puasa sunat, solat sunat serta pelbagai amal soleh di bulan Syaaban ini khususnya sebagai persiapan menemui bulan Ramadan. Semoga kebiasaan yang kita lakukan pada bulan ini akan berterusan di bulan Ramadan.

05hb Mac  2022
02hb Syaaban 1443H

Thursday 3 March 2022

Syaaban dan Puasa Sunat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syaaban dan Puasa Sunat

عَنْ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ قَالَ ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الْأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ

Daripada Usamah bin Zaid dia berkata, aku bertanya kepada Rasulullah SAW; "Wahai Rasulullah SAW, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban. Baginda bersabda: Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah Rab semesta alam. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa".
(HR an-Nasai No: 2317) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Bulan Syaaban, bulan paling banyak Rasulullah SAW berpuasa sunat berbanding bulan lain.

2.  Bulan Syaaban, bulan kebanyakan manusia lalai daripada meningkatkan amal. Ramai yang menyibukkan diri dengan urusan dunia seperti menyediakan persiapan hari raya, mengadakan majlis kenduri kendara dan sebagainya.

3.  Ibnu Rajab menyatakan: “Dalam hadis ini terdapat dalil mengenai dianjurkan melakukan amalan ketaatan di saat manusia lalai. Inilah amalan yang dicintai di sisi Allah.” (Lathaif Al Ma’arif, 235) Beribadah pada waktu ramai orang dilalaikan akan lebih ikhlas sehingga pahalanya semakin besar. Beribadat ketika ini akan lebih berat dirasakan oleh jiwa, kerana biasanya jiwa kita ini akan terpengaruh dengan apa yang dilihatnya. Ketika orang mungkin sibuk menjamu selera sebab nanti di bulan Ramadan tak boleh makan siang hari, maka akan semakin berat bagi jiwa untuk menjalankan ketaatan. Oleh sebab itu, secara umum, meningkatkan ibadah seperti puasa sunat pada bulan Sya'ban dan menjaga diri dari terikut-ikut orang lain adalah amal yang dicintai.

4.  Setiap kita disarankan agar memperbanyakkan amal pada bulan Syaaban seperti puasa sunat, solat sunat, sedekah, membaca al-Quran dan lain-lain sebagai persiapan bertemu  bulan Ramadan.

5.  Setiap hari amalan kita akan diangkat ke langit, ada amalan kita yang akan dibawa naik kepada Allah SWT pada bulan Syaaban.

6.  Rasulullah SAW memperbanyakkan amal seperti puasa sunat pada bulan Syaaban kerana baginda suka amalnya diangkat ketika sedang berpuasa.

7.  Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Bulan Rajab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.

Ayuh kita merebut peluang memperbanyakkan amal soleh di bulan Syaaban  antaranya berpuasa sunat. Jadikanlah bulan ini untuk kita menyiram amal soleh agar ia tumbuh subur dan segar berterusan di bulan Ramadan nanti.

04hb Mac  2022
01hb Syaaban 1443H

Wednesday 2 March 2022

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Perbanyak Puasa Sunat Dibulan Syaaban

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ صَامَ وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ قَدْ أَفْطَرَ وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salamah ia berkata, saya pernah bertanya kepada Aisyah RA tentang puasa Rasulullah SAW, maka ia pun berkata; Rasulullah SAW sering berpuasa hingga kami mengira bahawa baginda akan puasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak puasa) sehingga kami mengira baginda akan berbuka (tidak puasa) terus-menerus. Dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa terus sebulan penuh kecuali bulan Ramadan. Dan aku juga tidak pernah melihat baginda puasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban. Baginda berpuasa pada bulan Syaaban hingga sisa harinya tinggal sedikit."
(HR Muslim No: 1957) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa memelihara ibadat puasa sunat setiap bulan seperti puasa Isnin, Khamis juga pada hari-hari puteh (13, 14 dan 15 hari bulan).

2.  Rasulullah SAW berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadan

3.  Rasulullah membanyakkan puasa sunatnya pada bulan Syaaban kecuali beberapa hari dihujung Syaaban.

4.  Bulan Syaaban akan menemui kita. Marilah kita membuat persiapan untuk membanyakkan berpuasa sunat di bulan Syaaban. 

5.  Ambillah peluang kelebihan berpuasa dengan memperbanyakkan doa agar dilepaskan dari pelbagai musibah dan lain-lain kerana doa orang yang sedang berpuasa adalah mustajab. Hal ini berdasarkan hadis daripada  Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

 ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الْإِمَامُ الْعَادِلُ وَالصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ وَدَعْوَةُ الْمَظْلُومِ

“Tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi”.
(HR Ibn Majah No:1752) Status:Hadis  hasan

Marilah kita melaksanakan ibadat puasa sunat dibulan Syaaban ini sebagai latihan dan persiapan menghadapi Ramadan.

03hb Mac  2022
29hb Rejab 1443H

Tuesday 1 March 2022

Doa utk semua pelajar SPM 2021

KHUSUS BUAT PERMATA HATI ANAK-ANAK SPM 2021 PPD PP

Doa utk semua pelajar SPM 2021 ...

بِسۡـــــــــمِ اللَّــــــــــهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
 اَلْحَمْد ُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
 وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلىَ
  أَشْرَفِ اْلأَنْبِيَاء ِ وَالْمُرْسَلِيْن
 وَعَلَى ءَالِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعين

Ya Allah,
Hari ini 2/03/2022 ; bermulanya pelajar2 kami akan menduduki peperiksaan SPM ,
Kami mohon kepada Mu ya ALLAH, bantulah pelajar2 kami dalam peperiksaan yang mereka hadapi  YA ALLAH .

YA ALLAH ,
Peliharalah kesihatan pelajari2 kami di hari peperiksaan . Permudahkanlah mereka menjawab soalan ketika peperiksaan nanti . Berikanlah ketenangan kepada mereka ketika menjawab soalan , jauhilah mereka daripada resah dan gelisah ketika menjawab soalan peperiksaan .

YA ALLAH,
Dorongkanlah hati mereka untuk menjawab setiap soalan sepertimana skema jawapan.

YA ALLAH ,
berilah keputusan cemerlang dalam peperiksaan pelajar2 kami . Mudah-mudahan dengan keputusan yang cemerlang ini mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi lagi , semoga ia sebagai pembuka jalan untuk mereka menjadi hamba Mu yang soleh dan solehah dan menghampiri diri mereka kepada Mu ya Allah .

YA ALLAH ,
Jadikanlah calon2 SPM kami pelajar yang cemerlang di dunia dan di akhirat , kami mohon kepada Mu , Kau perbaiki akhlak pelajari2 kami.

Ya ALLAH,
kami tidak mampu mengawasi pelajari2 kami setiap waktu YA ALLAH , kami serahkan calon2 SPM 2021 kami untuk berada di bawah penjagaan Mu Ya ALLAH . Gerakkanlah hati mereka untuk mereka berada di tempat-tempat yang Engkau redhai . Dan jauhilah mereka daripada berada di tempat yang Engkau murkai . Jauhilah mereka daripada melakukan amalan-amalan yang membawa mereka ke neraka Mu ya Allah .

YA ALLAH ,
Tetapkan hati mereka untuk menunaikan solat dan jangan Kau melalaikan mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah Ya ALLAH .

YA ALLAH ,
Apa yang kami doakan ini bukan untuk diri anak2 kami sahaja , tetapi apa yang kami doakan ini juga untuk anak2  rakan dan sahabat kami Ya ALLAH . Berikanlah mereka kejayaan yang cemerlang di dunia dan di akhirat Ya ALLAH.

YA ALLAH

Perkenankanlah doa kami ini.

   رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَاِنْ لمَ ْتَغْفِرْلَنَاوَتَرْحَمْنَا لَنَكُوْنَنَّا مِنَ اْلخَاسِرِيْنَ.
   رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَِلاِخْوَانِنَا اَّلذِيْنَ سَبَقُوْنَ بِاْلاِيْمَانِِ وَلاَ تَجْعَلْ فِى قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا اِنَّكَ رَؤُوْفٌ رَحِيْمٌ. 
   رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَاْبَ النَّارِِ.
   رََََبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا اِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيْعُ اْلعَلِيْمُ وَتُبْ عَلَيْنَا اِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيْمُ.    وَصَلَّى اللهُ عَلىَ سَيِِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.    سُبْحَانَ رَبِِّكَ رَبِِّ اْلعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ 
   وَسَلاَمٌ عَلَى اْلُمرْسَلِيْنَ وَاْلحَمْدُ لِلهِ رَبِِّ اْلعَالَمِيْنَ.

 امين يا رب العالمين.

PPD PP

ZIARAH KUBUR

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ziarah Kubur

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ زَارَ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- قَبْرَ أُمِّهِ فَبَكَى وَأَبْكَى مَنْ حَوْلَهُ فَقَالَ  اسْتَأْذَنْتُ رَبِّى فِى أَنْ أَسْتَغْفِرَ لَهَا فَلَمْ يُؤْذَنْ لِى وَاسْتَأْذَنْتُهُ فِى أَنْ أَزُورَ قَبْرَهَا فَأُذِنَ لِى فَزُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ 

Daripada Abu Hurairah, ia berkata: Rasulullah SAW berziarah kepada makam ibunya, lalu beginda menangis, kemudian menangis pula lah orang-orang di sekitar baginda. Baginda lalu bersabda: “Aku meminta izin kepada Rabb-ku untuk memintakan ampunan bagi ibuku, namun aku tidak diizinkan melakukannya. Maka aku pun meminta izin untuk menziarahi kubur ibuku, aku pun diizinkan. Ziarahlah kubur, kerana ia dapat mengingatkan engkau akan kematian”.
(HR. Muslim No.108) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ziarah kubur merupakan salah satu ibadah yang disyariatkan dalam Islam. 

2.  Tujuan berziarah kubur adalah untuk menasihati diri dan mengingatkan diri sendiri akan kematian.
(Syarh Shahih Muslim Lin Nawawi, 3/402)

3.  Hikmah menziarahi kubur juga bagi melunakkan hati yang keras dan memadamkan kesombongan diri. Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda:

كنت نهيتكم عن زيارة القبور ألا فزوروها فإنها ترق القلب  وتدمع العين  وتذكر الآخرة  ولا تقولوا هجرا

“Dulu aku pernah melarang kalian untuk berziarah-kubur. Namun sekarang ketahuilah, hendaknya kalian berziarah kubur. Kerana ia dapat melembutkan hati, membuat air mata berlinang, dan mengingatkan kalian akan akhirat namun jangan kalian mengatakan perkataan yang tidak layak (qaulul hujr), ketika berziarah”.
(HR. Al Haakim no.1393, Status Sahih dalam Sahih Al Jaami’, 7584)

4.  Al Munawi berkata: “Tidak ada ubat yang paling bermanfaat bagi hati yang kelam selain menziarahi kubur. Ziarah kubur akan menjadi penyebab mengingati kematian, akan menghalangi seseorang dari maksiat, melembutkan hatinya yang kelam, mengusir kesenangan terhadap dunia, menjadikan musibah yang kita alami terasa ringan. Ziarah kubur itu sangat dahsyat pengaruhnya untuk mencegah hitamnya hati dan menguburkan sebab-sebab datangnya dosa. Tidak ada amalan yang sehebat ini pengaruhnya”.
(Faidhul Qaadir, 88/4)

Jadikan ziarah kubur kita sebagai pelembut hati dan penasihat diri.

02hb Mac  2022
28hb Rejab 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...