Tuesday 30 November 2021

Jadilah Wanita Solehah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Wanita Solehah

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ خَمْسَهَا وَصَامَتْ شَهْرَهَا وَحَفِظَتْ فَرْجَهَا وَأَطَاعَتْ زَوْجَهَا قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الْجَنَّةَ مِنْ أَيِّ أَبْوَابِ الْجَنَّةِ شِئْتِ

Daripada Abdurrahman bin Auf berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seorang wanita melaksanakan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, nescaya akan dikatakan kepadanya; 'Masuklah kamu ke dalam syurga dari pintu mana saja yang kamu inginkan'."
(HR Ahmad No: 1573) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

Wanita yang solehah di hari akhirat diberi kelebihan untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang ia kehendaki dengan syarat ia memenuhi empat kriteria berikut:

1.  Melaksanakan solat lima waktu dengan sempurna

2.  Berpuasa wajib di bulan Ramadhan

3.  Menjaga kemaluan (menjauhi berzina)

4.  Taat dan berbakti kepada suami.

Berusahalah menjadi wanita yang solehah.

01hb Disember  2021
26hb Rabiul Akhir 1443H

Monday 29 November 2021

Sayangi Anak

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sayangi Anak

عَنِ أَبَا هُرَيْرَةَ رضى الله عنه قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا‏.‏ فَقَالَ الأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنَ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا‏.‏ فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ قَالَ ‏ "‏ مَنْ لاَ يَرْحَمُ لاَ يُرْحَمُ ‏"‌‏.‏

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW mencium Al-Hasan bin 'Ali, dan di sisi Nabi ada Al-Aqro' bin Haabis At-Tamimiy yang sedang duduk. Maka Al-Aqro' berkata, "Aku punya 10 orang anak, tidak seorangpun dari mereka yang pernah kucium". Maka Rasulullah SAW pun melihat kepada Al-'Aqro' lalu beliau berkata, "Barangsiapa yang tidak menyayangi maka ia tidak akan dirahmati".
(HR Al-Bukhari, no 5997) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sebagai ibu bapa, perlu mendidik anak-anak dengan penuh kasih sayang dan penuh perhatian.

2.  Satu daripada cara menunjukkan kasih sayang ialah dengan mencium anak-anak khususnya semasa mereka masih kecil.

3.  Tanpa ciuman terhadap anak-anak boleh menyebabkan hilangnya sifat kasih sayang di hati ibu bapa terhadap anak-anaknya. Terhakisnya sifat kasih sayang inilah yang menyebabkan tidak berlaku proses pendidikan yang baik kepada anak-anak bahkan menyebabkan berlakunya sikap penderaan terhadap mereka.

4.  Rahmat adalah kasih sayang dari sesama makhluk atas kelembutan hati yang membuatkan seseorang memuliakan serta berbuat baik. 

5.  Jika kita menyayangi dan mengasihi anak-anak, nescaya kita juga akan disayangi dan dikasihi oleh anak-anak apatah lagi ketika kita berada dihari tua.

Sayangilah anak-anak kita.

30hb November  2021
25hb Rabiul Akhir 1443H

Sunday 28 November 2021

Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Setiap Pemberian Makanan Itu Sedekah

عَنِ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِي كَرِبَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَطْعَمْتَ نَفْسَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ وَلَدَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ زَوْجَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ وَمَا أَطْعَمْتَ خَادِمَكَ فَهُوَ لَكَ صَدَقَةٌ

Daripada Al-Miqdam bin Ma'di Karib berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Jika kamu memberi makan pada diri kamu, maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada anakmu maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada isterimu maka itu menjadi sedekah bagimu, jika kamu memberi makan pada pelayanmu maka itu menjadi sedekah bagimu."
(HR Ahmad No: 16550) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim dituntut melakukan sedekah.

2.  Sedekah mempunyai ruang yang amat luas antaranya memberi atau menyediakan makanan. Setiap makanan yang  di sumbang kepada orang lain, ia menjadi pahala  sedekah.  

3.  Antara bentuk sedekah seseorang ialah memberi makan kepada:

a.  Diri sendiri
b.  Isteri
c.  Anak-anak
d.  Pembantu 

Tunaikanlah hak yang menjadi tanggungjawab seorang lelaki dengan menyediakan makanan yang baik lagi halal kepada diri dan ahli keluarga. Kesemua itu menjadi ganjaran sedekah untuk kita.                                                   

Berilah makan kepada yang berhak untuk mendapatkannya, terutama pemberian yang menjadi tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Sama ada untuk diri, anak, isteri dan pembantu.

29hb November  2021
24hb Rabiul Akhir 1443H

Friday 26 November 2021

Jadilah Pemberi Bukan Peminta

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pemberi Bukan Peminta

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Daripada Hakim bin Hizam RA dari Nabi SAW bersabda: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”.
(HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bersedekah lebih baik daripada meminta-minta.

2.  Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita.

3.  Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang.

4.  Berusahalah mencari rezeki sebaik mungkin dan elakkan diri dari meminta-minta atau mengharap belas kasihan orang lain.

5.  Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki tanpa meminta-minta.

6.  Nabi SAW mencela orang yang suka meminta-minta (mengemis) kerana perbuatan tersebut merendahkan martabat kehormatan manusia. Padahal Allah sendiri sudah memuliakan manusia, seperti terungkap melalui firman-Nya :

وَلَقَدْ كَرَمْنَا بَنِى اَدَم َوَحَمْلنَاهُمْ فىِ اْلبَرِّ وَاْلبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَلْنَاهُمْ عَلَى كَثِيْرٍ مِمَنْ خَلَقْنَا تَفْضِيْلاً
Dan sesungguhnya telah kami muliakan anak-anak Adam. Kami angkat mereka di daratan dan di lautan. Kami berikan mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas  kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.”
(Q.S Al-Isra’ : 70)

7.  Jangan sengaja menjadi peminta. Ingatlah amaran Nabi SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا  فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ

Barangsiapa meminta harta kepada orang lain untuk memperkaya diri, maka sungguh, ia hanyalah meminta bara api, maka silakan ia meminta sedikit atau banyak.
(HR. Muslim (no. 1041)

8.  Lakukanlah apa juga pekerjaan yang halal dan baik seperti bertani, berniaga, mengutip tin kosong dan menjualnya, bertukang, menjadi pelayan dan sebagainya untuk keperluan hidup, jangan sekali-kali mengharapkan pemberian orang lain.

Jadilah Kita Pemberi Bukan Orang Yang Mengharap Pemberian Orang Lain.

27hb November  2021
22hb Rabiul Akhir 1443H

7 AMALAN ZIKIR TERPENTING

Ada yang nak tahu, ‘ustaz setiap hari amalkan zikir apa?’



Saya nak share amalan kecil kami. Tak banyak mana pun tapi inilah 7 zikir
‘wajib baca’ yang sebolehnya saya takkan tinggal baca setiap hari :


 
1. Zikir terbesar : Baca Al-Quran (mengaji)

2. Zikir agar diampuni dosa & bersihkan hati : Istighfar Kabir

3. Zikir yang buatkan kita dijaga Ilahi : Ayat Kursi

4. Zikir untuk beratkan timbangan Mizan : Subhanallahi wabihamdih, subhanallahil Azim

5. Zikir agar mudah dapat anak kunci syurga : La ilaha illallah

6. Zikir mudah dapat syafaat Rasul : Selawat ke atas Nabi

7. Zikir supaya Allah sukai kita : Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah, Allahu Akbar
 

Kenapa saya jaga betul-betul baca zikir-zikir ni?


 

Sebabnya tuan puan semua, dengan menjaga zikir inilah, hidup saya lebih
bahagia. Dengan tak tinggal zikir inilah banyak masalah dapat diselesaikan. Dengan
kerap berzikirlah, banyak pintu rezeki Tuhan buka untuk kami sekeluarga.

Thursday 25 November 2021

Nasihati Wanita Dengan Baik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Nasihati Wanita Dengan Baik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَيْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلَاهُ فَإِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ فَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ

Daripada Abi Hurairah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Nasihatilah para wanita dengan baik kerana wanita diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok dan yang  paling bengkok daripada tulang rusuk itu adalah pangkalnya, jika kamu cuba untuk meluruskannya maka ia akan patah, namun bilamana kamu biarkan ia maka ia akan tetap bengkok, untuk itu, nasihatilah para Wanita (dengan baik).
(HR Bukhari No: 3038) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kaum lelaki dituntut untuk sentiasa berlaku baik, lemah-lembut serta sabar dengan wanita dalam apa jua keadaan. 

2.  Wanita adalah ciptaan Allah SWT yang istimewa untuk kaum lelaki yang perlu dijaga akan kehormatannya dan memandunya ke arah mentaati Allah SWT dan melaksanakan segala syariat-Nya.

3.  Dalam mewujudkan kebahagiaan berumahtangga, para suami perlu sentiasa bersabar, redha, berlapang dada dan berlemah lembut membimbing serta menasihati isteri dan ahli keluarga yang lain. 

4.  Terimalah seadanya pasangan anda, belajarlah erti ikhlas dan pemaaf  serta berusahalah melayani isteri dan anak-anak dengan baik ke arah mewujudkan keharmonian keluarga.

5.  Elakkan perbalahan dengan pasangan yang mungkin menatijahkan penceraian. Ingatlah pesanan Rasulullah SAW sepertimana hadis daripada Ibn Umar RA :
 
أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

“Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.”
(HR Abu Daud No 2178) 

Walaupun penceraian itu jalan terakhir yang diharuskan, namun berusahalah agar ia tidak terjadi.

26hb November  2021
21hb Rabiul Akhir 1443H

Wednesday 24 November 2021

Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Yang Banyak Dibaca Rasulullah SAW

عن شهر بن حوشب قال‏:‏قُلْتُ لأُمِّ سَلَمَةَ : يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ مَا كَانَ أَكْثَرُ دُعَاءِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ عِنْدَكِ قَالَتْ : كَانَ أَكْثَرُ دُعَائِهِ : يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ مَا لأَكْثَرِ دُعَائِكَ يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ قَالَ : يَا أُمَّ سَلَمَةَ إِنَّهُ لَيْسَ آدَمِيٌّ إِلاَّ وَقَلْبُهُ بَيْنَ أُصْبُعَيْنِ مِنْ أَصَابِعِ اللهِ فَمَنْ شَاءَ أَقَامَ وَمَنْ شَاءَ أَزَاغَ.

Daripada Syahr bin Hausyab, katanya: Aku pernah bertanya kepada Ummu Salamah: “Wahai Ummul Mukminin! Apakah doa Rasulullah SAW yang paling banyak apabila Baginda SAW disisi engkau?" Beliau menjawab: “Doa Baginda SAW yang paling banyak adalah: (يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ) - “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu.” - Ummu Salamah berkata: "Aku pernah berkata kepada Rasulullah SAW; Wahai Rasulullah! Betapa sering engkau berdoa: “يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ”. Lalu Baginda SAW menjawab: "Wahai Ummu Salamah! Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya."
(HR Tirmizi No: 3522) 
Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Sebagai Muslim kita perlu memperbanyakkan doa kepada Allah kerana doa umpama tali yang menghubungkan antara hamba dengan Pencipta.

2.  Antara doa yang sering dan banyak diucapkan oleh Rasulullah SAW adalah permohonan agar ditetapkan hati:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agama-Mu

3.  Dikhususkan doa untuk tetap hati kerana jika hati itu baik, maka seluruh anggota badan yang lain akan ikut menjadi baik.

4.  Sesungguhnya tidak ada seorang anak Adam pun melainkan hatinya berada di dalam genggaman kekuasaan Allah. Barangsiapa yang Allah kehendaki, maka Dia akan meluruskannya dan barangsiapa yang Allah kehendaki maka Dia akan membelokkannya.

5.  Setiap kita memiliki hati yang bila-bila masa boleh berubah (berbolak balik).

6.  Rasulullah mengajar doa agar kita memiliki hati yang tetap dan istiqamah

JOM banyakkan doa agar memiliki hati yang tetap dan istiqamah diatas jalan Islam.

25hb November  2021
20hb Rabiul Akhir 1443H

Monday 22 November 2021

Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Reda Allah Dari Reda Ibu Bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ رِضَى الرَّبِّ فِي رِضَى الْوَالِدِ وَسَخَطُ الرَّبِّ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ

Daripada Abdullah bin Amr RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Reda Allah terdapat pada reda seorang bapa, dan murka Allah juga terdapat pada murkanya seorang bapa."
(HR Tirmizi No:1821) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Adab seorang anak ialah berbakti dan berbuat baik kepada kedua orang tuanya

2.  Imam Al Ghazali antara adab anak kepada orang tuanya; mendengarkan perkataannya, mentaati perintahnya (selagi tidak bertentangan syarak), tidak berjalan di hadapannya, tidak meninggikan suara, serta berusaha untuk mendapatkan keredaannya.

3.  Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada keredaan kedua orang tua

رِضَا الرَّبِّ فِى رِضَا الْوَالِدَيْنِ وَسُخْطُهُ فِى سُخْطِهِمَا

Reda Allah terletak pada reda kedua orang tua dan murka Allah terletak pada murka kedua orang tua.
(HR Tabrani dari Ibnu Umar)

Berusahalah menjadi anak yang soleh terhadap kedua ibu bapanya.

23hb November  2021
18hb Rabiul Akhir 1443H

Sunday 21 November 2021

Berbakti Kepada Ibu

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti Kepada Ibu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا تَأْمُرُنِي قَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ فَقَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ بَرَّ أَبَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Seorang laki-laki mendatangi Rasulullah SAW seraya bertanya; "Apa yang engkau perintahkan kepadaku?" maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu, "lalu ia mengulangi pertanyaannya, dan baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu," lalu ia mengulangi pertanyaannya hingga yang keempat kalinya, maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada bapamu."
(HR Ahmad No: 8850)  Status: Hassan

Pengajaran:

1.  Kewajipan berbakti kepada ibu  adalah suatu keutamaan kepada setiap anak.

2.  Keutamaan berbuat baik kepada ibu melebihi dari ayah. Mengikut Ibn Battal kerana ibu mengalami tiga kepayahan:  

b.  Pertama ketika mengandung; 
c.  Kedua ketika melahirkan dan; 
d.  Ketiga ketika menyusukan.

Kerana itu berbakti kepada ibu tiga kali lebih berbanding ayah.

3.  Keutamaan pada sianak ialah berbakti kepada ibu kemudian kepada bapa.

Berusahalah untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu dan seterusnya kepada bapa.

22hb November  2021
17hb Rabiul Akhir 1443H

Friday 19 November 2021

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dosa Besar Menderhaka Kepada Ibu bapa

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ الْكَبَائِرِ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَقَتْلُ النَّفْسِ وَشَهَادَةُ الزُّورِ

Daripada Anas radliallahu 'anhu berkata; Nabi SAW ditanya tentang  dosa-dosa besar. Maka baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, derhaka kepada kedua orang tua, membunuh orang dan bersumpah palsu".
(HR Bukhari No: 2459) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dosa besar ialah kesalahan yang dijanjikan azab yang pedih jika  pelakunya  tidak melakukan taubat nasuhah  hingga diampunkan dosanya oleh Allah.

2.  Antara dosa besar tersebut:

a.  Syirik kepada Allah
b.  Derhaka kepada kedua ibu bapa
c.  Membunuh
d.  Bersumpah dengan sumpah palsu

3.  Setiap anak tidak boleh menyakiti kedua ibu bapaknya, baik dengan perkataan, tindakan mahupun perbuatan, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

4.  Berbuat baiklah kepada kedua ibubapa. Firman Allah SWT:

وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

“Dan hendaklah kamu merendahkan diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(al-Isra’: 24)

Derhaka kepada ibu bapa merupakan dosa besar kedua selepas dosa perbuatan syirik. Semoga kita menjauhi dosa-dosa besar ini.

20hb November  2021
15hb Rabiul Akhir 1443H

Thursday 18 November 2021

Golongan Yang Dilaknat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Golongan Yang Dilaknat

أَبُو الطُّفَيْلِ عَامِرُ بْنُ وَاثِلَةَ قَالَ كُنْتُ عِنْدَ عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيْكَ قَالَ فَغَضِبَ وَقَالَ مَا كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُسِرُّ إِلَيَّ شَيْئًا يَكْتُمُهُ النَّاسَ غَيْرَ أَنَّهُ قَدْ حَدَّثَنِي بِكَلِمَاتٍ أَرْبَعٍ قَالَ فَقَالَ مَا هُنَّ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ قَالَ قَالَ لَعَنَ اللَّهُ مَنْ لَعَنَ وَالِدَهُ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ ذَبَحَ لِغَيْرِ اللَّهِ وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ آوَى مُحْدِثًا وَلَعَنَ اللَّهُ مَنْ غَيَّرَ مَنَارَ الْأَرْضِ

Abu At Thufail 'Amir bin Wastilah berkata, "Saya berada di samping Ali bin Abu Thalib, tiba-tiba seorang laki-laki datang menemuinya seraya berkata, "Apakah Nabi SAW pernah menyampaikan suatu rahsia kepadamu (yang tidak diberitahukan kepada orang lain)?" Abu Thufail berkata, "Ali pun marah seraya berkata, "Tidaklah Nabi SAW menyampaikan suatu rahsia kepadaku dan tidak menyampaikannya kepada manusia, kecuali bahawa baginda pernah menyampaikan empat hal kepadaku." Abu Thufail berkata, "Laki-laki tersebut bertanya, "Apakah empat perkara itu wahai Amirul Mukminin?" Abu Thufail melanjutkan, "Ali lalu menjawab, "Allah melaknat orang yang melaknat orang tuanya;  melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah; melaknat orang yang menyembunyikan penjahat (orang yang melanggar hukum Allah) dan;  melaknat orang yang memindah batas tanah." (HR Muslim No: 3657) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Allah melaknat empat golongan pelaku maksiat berikut:

1.  Allah melaknat orang yang mencela orang tuanya;  

2.  Allah melaknat orang yang menyembelih untuk selain Allah; 

3.  Allah melaknat orang yang melindungi pelaku kejahatan (orang tersebut mendapat keringanan hukuman atau bebas dari hukuman yang telah ditetapkan syariat)  dan; 

4.  Allah melaknat orang yang memindah batas tanah (batu tanda mengukur sempadan tanah) .

Hidup berkeluarga dan bermasyarakat menuntut kita bersifat rahmah kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat di sekeliling. Pastikan kita tidak tergolong orang yang dilaknat Allah.

19hb November  2021
14hb Rabiul Akhir 1443H

Monday 15 November 2021

Gembirakan Ibu bapa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Gembirakan Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ جِئْتُ أُبَايِعُكَ عَلَى الْهِجْرَةِ وَتَرَكْتُ أَبَوَيَّ يَبْكِيَانِ فَقَالَ ارْجِعْ عَلَيْهِمَا فَأَضْحِكْهُمَا كَمَا أَبْكَيْتَهُمَا

Daripada Abdullah bin 'Amr RA, ia berkata; terdapat seorang laki-laki yang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata; aku datang membaiah engkau untuk berhijrah, dan aku telah meninggalkan kedua orang tua ku dalam keadaan menangis. Kemudian baginda bersabda: "Kembalilah kepada mereka berdua dan buatlah mereka tertawa sebagaimana engkau membuat mereka menangis!" (HR Abu Daud: 2166) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kewajipan anak ialah sentiasa mengembirakan kedua ibu bapanya

2.  Lakukan sesuatu yang sentiasa membuatkan kedua orang tua kita gembira

3.  Tidak ada hadiah yang berharga melainkan sesuatu yang membuatkan kedua ibu bapa gembira di dunia dan gembira di syurga.

Bagi setiap anak yang masih memiliki kedua ibu bapa atau salah seorang daripadanya, buatlah sesuatu yang mengembirakan kedua mereka. 

16hb November  2021
11hb Rabiul Akhir 1443H

Sunday 14 November 2021

Jangan Jadi Orang Celaka

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Jadi Orang Celaka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُهُ قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلْ الْجَنَّةَ 

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dia celaka! Dia celaka! Dia celaka!" lalu baginda ditanya; "Siapakah yang celaka, ya Rasulullah?" Jawab Nabi SAW: "Barang Siapa yang mendapati kedua orang tuanya (dalam usia lanjut), atau salah seorang dari keduanya, tetapi dia tidak berusaha masuk syurga (dengan berusaha berbakti kepadanya dengan sebaik-baiknya)."  (HR Muslim No: 4628) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Jangan jadikan kita orang yang celaka

2.  Orang yang celaka dimurkai Allah dan menyediakan dirinya ke neraka

3.  Orang yang celaka adalah mereka yang masih ada ibu atau bapa yang sudah tua tapi tidak berusaha berbakti kepada mereka.

4.  Celakalah anak-anak yang tidak sanggup menjaga kedua ibu bapa lalu menghantar kerumah orang tua. Dibiarkan orang tua tanpa diziarahi.

5.  Bagi yang ada ibu atau bapa yang sudah tua, rebutlah peluang berbakti dan berbuat baik kepada mereka dengan segala daya upaya.

6.  Daripada Abu Darda’ RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

الوَالِدُ أَوْسَطُ أَبْوَابِ الجَنَّةِ، فَإِنْ شِئْتَ فَأَضِعْ ذَلِكَ البَابَ أَوْ احْفَظْهُ

 “Ibubapa (orang tua) merupakan pintu tengah syurga, Jika kamu mahu letakkanlah pintu itu atau jagalah ia”.(HR Tirmizi No:1900)

Syeikh al-Mubarakfuri ketika mensyarahkan hadis ini berkata bahawa kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa. Barangsiapa yang mentaati orang tua maka dia telah mentaati Allah dan barangsiapa yang memurkai mereka sesungguhnya mereka dimurkai Allah. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 21,23/6]

Hindarkan diri dari tergolong orang yang celaka.

15hb November  2021
10hb Rabiul Akhir 1443H

Saturday 13 November 2021

Tiga Golongan Mustajab Doa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Golongan Mustajab Doa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Ada tiga jenis doa yang akan dikabulkan yang tidak ada keraguan padanya; doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang bermusafir, dan doa orang tua untuk anaknya."
(HR Tirmizi No: 1828) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Muslim dituntut sentiasa berbuat baik dalam pergaulan dan perhubungan dengan anggota masyarakat termasuk kedua ibu bapa.

2.  Elakkan hubungan yang buruk hingga menjadi penyebab kita menzalimi orang lain.

3.  Tiga golongan doanya mustajab di sisi Allah:

b.  Doa dari orang yang dizalimi
c.  Doa orang yang  sedang bermusafir
d.  Doa dua ibu bapa kepada anak

4.  Pastikan kita tidak melakukan sesuatu yang buruk kepada golongan ini sehingga menjadi penyebab mereka berdoa yang buruk untuk kita

Semoga kita mendapat doa yang baik dari orang yang sedang bermusafir. Bagi  kedua ibu bapa, pastikan apa yang keluar dari mulut dan yang terlintas dalam  doa untuk anak-anak adalah yang baik-baik kerana ia boleh menjadi mustajab. 

Mari kita bina keluarga yang sejahtera dengan doa yang terbaik menuju ke syurga. Doa ibubapa memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga Bahagia.

14hb November  2021
09hb Rabiul Akhir 1443H

Friday 12 November 2021

Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menghubungkan Silaturahim Sahabat Kedua Ibu bapa

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ أَنَّ رَجُلًا مِنْ الْأَعْرَابِ لَقِيَهُ بِطَرِيقِ مَكَّةَ فَسَلَّمَ عَلَيْهِ عَبْدُ اللَّهِ وَحَمَلَهُ عَلَى حِمَارٍ كَانَ يَرْكَبُهُ وَأَعْطَاهُ عِمَامَةً كَانَتْ عَلَى رَأْسِهِ فَقَالَ ابْنُ دِينَارٍ فَقُلْنَا لَهُ أَصْلَحَكَ اللَّهُ إِنَّهُمْ الْأَعْرَابُ وَإِنَّهُمْ يَرْضَوْنَ بِالْيَسِيرِ فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ إِنَّ أَبَا هَذَا كَانَ وُدًّا لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ وَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ أَبَرَّ الْبِرِّ صِلَةُ الْوَلَدِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

Daripada Abdullah bin Umar RA dia berkata; "Seorang laki-laki desa bertemu dengannya di salah satu jalan di kota Mekah. Lalu Abdullah memberi salam kepadanya dan menaikkannya ke atas keldai yang dinaikinya, dan diberinya serban yang sedang dipakainya di kepala." Kata Ibnu Dinar; "Maka kami berkata kepada Abdullah bin Umar; 'semoga Allah membalas kebaikan anda. Sesungguhnya orang desa itu lebih suka yang sederhana." Jawab Abdullah; "Bapa orang ini adalah sahabat baik Umar bin Khathab. Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda: "Sesungguhnya kebajikan yang utama ialah apabila seorang anak melanjutkan hubungan (silaturahim) dengan keluarga sahabat baik ayahnya."
(HR Muslim No: 4629) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berbuat baik kepada kedua ibu bapa perlu berterusan, walaupun selepas keduanya meninggal dunia.

2.  Selain daripada mendoakan kebaikan untuk kedua ibu bapa, seorang anak juga disuruh menghubungkan silaturahim dengan keluarga  dan sahabat ibu bapa.

3.  Berbuat baik dengan sahabat baik ibu bapa juga adalah antara cara berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.

Semoga kita sentiasa berbakti kepada ibu bapa walaupun mereka telah meninggal dunia dengan cara menghubungkan silaturahim keluarga dan sahabat handai ibu bapa.

13hb November  2021
08hb Rabiul Akhir 1443H

Thursday 11 November 2021

Tiga Amalan Penerus Pahala

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tiga Amalan Penerus Pahala

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang mendoakannya."
(HR Muslim No: 3084) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap keturunan anak Adam bergantung dengan amal yang mereka lakukan semasa hidup.

2.  Ada amalan yang dilakukan semasa hidup akan berterusan mengalir pahalanya walaupun dia telah meninggal dunia antaranya:

a.  Sedekah jariah berbentuk harta seperti wakaf, derma yang disumbang semasa hidup yang manfaatnya diguna oleh orang lain termasuk haiwan.

b.  Ilmu bermanfaat yang diajarkan kepada orang lain dan dimanafaatkannya untuk kemaslahatan hidup termasuk hasil ciptaan daripada ilmu yang dipelajari. Ilmu juga termasuk sesuatu yang dihasilkan berbentuk buku, artikel, juga sebarang penulisan yang baik dan bermanfaat dalam bentuk elektronik seperti laman web, FB, telegram dan whatsapp.   

c.  Anak soleh yang melakukan amal-amal soleh serta yang mendoakan keampunan untuk kedua ibu bapanya.

Lakukanlah sesuatu yang boleh menjadi penerus amal dan pemberi ganjaran pahala berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.

12hb November  2021
07hb Rabiul Akhir 1443H

Monday 8 November 2021

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemberian Pada Anak Menjadi Pelindung Neraka

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua putrinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua putrinya sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku kabarkan masalah itu, maka Baginda bersabda: “Siapa yang memberikan sesuatu kepada anak-anak ini, maka mereka akan menjadi pelindung dari api neraka baginya”.
(HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan ahli keluarga khususnya anak-anak, termasuk penyediaan makanan, pakaian tempat tinggal, pendidikan dan sebagainya.

2.  Ibu bapa yang solleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.

3.  Ibu bapa yang bersusah payah memberikan sesuatu makanan atau menyediakan keperluan seperti pembiayaan pembelajaran dan lain-lain kepada anaknya, akan menjadi saham melindunginya dari api neraka.

4.  Berusahalah menyediakan keperluan untuk ahli keluarga.

09hb November  2021
04hb Rabiul Akhir 1443H

Sunday 7 November 2021

Tangan Di atas Lebih Baik Dari Di bawah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tangan Di atas Lebih Baik Dari Di bawah

عَنْ حَكِيمِ بْنِ حِزَامٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْيَدُ الْعُلْيَا خَيْرٌ مِنْ الْيَدِ السُّفْلَى وَابْدَأْ بِمَنْ تَعُولُ وَخَيْرُ الصَّدَقَةِ عَنْ ظَهْرِ غِنًى وَمَنْ يَسْتَعْفِفْ يُعِفَّهُ اللَّهُ وَمَنْ يَسْتَغْنِ يُغْنِهِ اللَّهُ

Daripada Hakim bin Hiram RA dari Nabi SAW berkata: “Tangan yang diatas lebih baik dari pada tangan yang di bawah, maka mulailah untuk orang-orang yang menjadi tanggunganmu dan sedekah yang paling baik adalah dari orang yang sudah cukup (untuk keperluan dirinya). Maka barangsiapa yang berusaha memelihara dirinya, Allah akan memeliharanya dan barangsiapa yang berusaha mencukupkan dirinya maka Allah akan mencukupkannya”.
(HR Bukhari No: 1338) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tangan yang di atas (memberi) adalah lebih baik daripada tangan di bawah (meminta-minta).

2.  Berusahalah menjadi pemberi berbanding penerima. Orang yang memberi lebih baik dan barakah rezekinya berbanding orang yang menerima.

3.  Menghulurkan sedekah dan sumbangan hendaklah dimulakan terlebih dahulu kepada ahli keluarga yang menjadi tanggungan kita.

4.  Sedekah yang paling baik adalah lebihan daripada keperluan asas seseorang.

5.  Bagi ketua keluarga, berusahalah mencari rezeki untuk keperluan keluarga dan elakkan diri dari meminta-minta.

6.  Allah akan memelihara dan mencukupkan keperluan kepada orang yang berusaha dan bekerja mencari rezeki.

08b November  2021
03hb Rabiul Akhir 1443H⁰

Saturday 6 November 2021

Sedekah Mengikut Keutamaan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Sedekah Mengikut Keutamaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَدَّقُوا فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ عِنْدِي دِينَارٌ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى نَفْسِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى زَوْجَتِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى وَلَدِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ تَصَدَّقْ بِهِ عَلَى خَادِمِكَ قَالَ عِنْدِي آخَرُ قَالَ أَنْتَ أَبْصَرُ

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Bersedekahlah kalian", lalu seseorang berkata ya Rasulullah aku hanya memiliki satu dinar, baginda menjawab: "Bersedekahlah dengannya untuk dirimu," ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk isterimu, " ia berkata aku mempunyai yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk anakmu, " ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Bersedekahlah untuk pembantumu," ia berkata aku memiliki yang lain, baginda bersabda: "Engkau lebih tahu yang berhak engkau beri."
(HR Nasai No: 2488) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW  menganjurkan agar kita bersedekah jika memiliki harta. Setiap yang dibelanjakan kepada orang lain, ia akan mendapat pahala  sedekah.

2.  Jika kita memiliki harta atau wang ringgit, belanjakanlah untuk keperluan mengikut keutamaan dengan mendahului untuk :

a.  Diri sendiri  dengan menunaikan hak tubuh badan seperti makanan dan pakaian yang wajib. Jika ada lebihan, boleh diberi kepada;

b.  Isteri (keperluan isteri yang menjadi tanggungjawab suami sama ada yang wajib mahupun yang sunat). Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

c.  Anak (keperluan anak-anak seperti makan minum, pelajaran dan lain-lain), Jika ada lebihan boleh di beri kepada; 

d.  Pembantu. Jika ada lebihan boleh di beri kepada;

e.  Mereka yang dirasakan layak dan berhak mengikut keutamaan.

Ayuh bersedekah mengikut keutamaan kepada yang berhak.

07hb November  2021
02hb Rabiul Akhir 1443H

Friday 5 November 2021

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemberian Nafkah Kepada Keluarga Adalah Sedekah

عَنْ أَبِي مَسْعُودٍ الْأَنْصَارِيِّ فَقُلْتُ عَنْ النَّبِيِّ فَقَالَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا أَنْفَقَ الْمُسْلِمُ نَفَقَةً عَلَى أَهْلِهِ وَهُوَ يَحْتَسِبُهَا كَانَتْ لَهُ صَدَقَةً

Daripada Abu Mas'ud Al-Anshari maka aku berkata; Dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Jika seorang muslim memberi nafkah pada keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka baginya hal itu adalah sedekah." (HR Bukhari No: 4932) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Bagi seorang suami dan bapa kepada anak-anak, memberi nafkah keperluan kepada ahli keluarga adalah tanggungjawab wajib.

2.  Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga isteri dan anak-anak-anak mengikut kemampuannya. Menyia-nyiakannya akan menyebabkan berdosa. Sabda Rasulullah SAW:

كفى بًالمرء إثما أن يضيع من يقوت

“Cukuplah seseorang dikatakan berdosa jika ia menyia-nyiakan orang yang menjadi tanggungannya” (HR. Abu Daud 1692) Status:  Hadis Sahih 

3.  Memberi nafkah  ke atas orang yang berada di bawah tanggungannya adalah sedekah. Suami wajib memberi nafkah kepada ahli keluarga dengan sebab perkahwinan, merangkumi makan minum, rumah kediaman, penjagaan kesihatan, perlindungan, kasih sayang, pendidikan dan lain-lain.

4.  Dalam masyarakat hari ini, walaupun isteri sama-sama bekerja, namun tanggungjawab memberi nafkah masih tetap terpikul di bahu suami. Isteri masih boleh membantu di mana yang sesuai sebagai pelengkap. Sumbangan isteri kepada keluarga juga dikira sebagai sedekah yang akan dibalas dengan ganjaran yang besar oleh Allah S.W.T.

5.  Muslim yang memberi nafkah pada ahli keluarganya dengan niat mengharap pahala, maka itu adalah sedekah

06hb November  2021
01hb Rabiul Akhir 1443H

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ciri Wanita Untuk Dikahwini

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لِأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Wanita itu dinikahi kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan kerana agamanya. Maka pilihlah kerana agamanya, nescaya kamu akan beruntung dan bernasib baik."
(HR Bukhari No: 4700) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Perkahwinan adalah ibadah yang digalakkan bagi yang berkemampuan bagi menyalurkan naluri seks yang halal serta dibenarkan oleh syarak untuk mencari keredhaan Allah.

2.  Wanita ideal yang dipilih menjadi isteri sebaiknya memiliki empat ciri berikut:

a.  Harta
b.  Keturunan (termasuk keturunan yang ramai)
c.  Kecantikan
d.  Agama 

3.  Pemilihan wanita yang berdasarkan semata-mata kepada harta, keturunan dan kecantikan semata-mata tidak digalakkan oleh Islam. Pemilihan ini tidak dapat menjamin sepenuhnya kebahagiaan rumahtangga serta pendidikan anak-anak yang bakal dilahirkan.

5.  Pemilihan jodoh sama ada bagi lelaki mahupun wanita hendaklah mengutamakan kepada mereka yang beragama dan beramal dengan kehendak agama (soleh dan solehah). Selepas aspek beragama, barulah dilihat aspek harta, keturunan dan kecantikan.

6.  Memilih pasangan yang beragama sebagai keutamaan dan pra syarat akan melahirkan kehidupan yang Sakinah mawaddah warahmah serta menjadikan hidupnya sentiasa kaya dengan akhlak, rohani dan jasmani serta beruntung di dunia dan akhirat

Rasulullah SAW juga mengingatkan kita:

لاَ تَزَوَّجُوا النِّسَاءَ لِحُسْنِهِنَّ فَعَسَى حُسْنُهُنَّ أَنْ يُرْدِيَهُنَّ وَلاَ تَزَوَّجُوهُنَّ لأَمْوَالِهِنَّ فَعَسَى أَمْوَالُهُنَّ أَنْ تُطْغِيَهُنَّ وَلَكِنْ تَزَوَّجُوهُنَّ عَلَى الدِّينِ وَلأَمَةٌ خَرْمَاءُ سَوْدَاءُ ذَاتُ دِينٍ أَفْضَلُ

Janganlah kalian menikahi para wanita semata-mata kerana kecantikan mereka kerana kecantikannya mungkin akan merosakkan mereka (kerana tertipu dan sombong dengan kecantikan). Jangan juga menikahi para wanita kerana harta-harta mereka kerana berkemungkinan harta akan menyebabkan mereka jatuh dalam maksiat dan kejahatan. Akan tetapi, hendaklah kalian berkahwin dengan perempuan atas dasar agama. Seorang hamba perempuan yang sumbing pada mulut dan telinga tetapi mengamalkan ajaran Islam dengan sempurna lebih baik (daripada perempuan yang merdeka yang membelakangi perintah agamanya.
(HR Ibn Majah No: 185)

05hb November  2021
29hb Rabiul Awal 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...