Tuesday 31 May 2022

Penyelamat Dari Neraka dan Masuk Syurga

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Penyelamat Dari Neraka dan Masuk Syurga

قُلْتُ ثِنْتَانِ أَسْأَلُكَ عَنْهُمَا مَا يُنَجِّينِي مِنْ النَّارِ وَمَا يُدْخِلُنِي الْجَنَّةَ قَالَ فَنَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّمَاءِ ثُمَّ نَكَسَ رَأْسَهُ ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيَّ بِوَجْهِهِ قَالَ لَئِنْ كُنْتَ أَوْجَزْتَ فِي الْمَسْأَلَةِ لَقَدْ أَعْظَمْتَ وَأَطْوَلْتَ فَاعْقِلْ عَنِّي إِذًا اعْبُدْ اللَّهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا وَأَقِمْ الصَّلَاةَ الْمَكْتُوبَةَ وَأَدِّ الزَّكَاةَ الْمَفْرُوضَةَ وَصُمْ رَمَضَانَ وَمَا تُحِبُّ أَنْ يَفْعَلَهُ بِكَ النَّاسُ فَافْعَلْهُ بِهِمْ وَمَا تَكْرَهُ أَنْ يَأْتِيَ إِلَيْكَ النَّاسُ فَذَرْ النَّاسَ مِنْهُ 

Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Al-Muntafiq: Aku telah bertemu Rasulullah SAW di Arafah.  Aku lalu berkata, "Aku ingin bertanya kepadamu dua perkara: Apakah yang dapat menyelamatkan aku daripada neraka, dan apa yang menyebabkan aku masuk syurga? ' Lalu Rasulullah SAW menengadahkan kepalanya ke langit dan menurunkannya lagi, kemudian menatapku dengan wajahnya, baginda bersabda: telah meringkaskan soalan kamu tetapi kamu telah bertanya sesuatu yang amat besar dan perjalanannya adalah jauh. Oleh itu berilah perhatian kepada jawapanku:  sembahlah Allah dan jangan kamu sekutukan dengan sesuatupun, dirikan solat yang difardhukan, keluarkan zakat yang diwajibkan, dan berpuasalah pada bulan Ramadan. Jika kamu ingin supaya manusia melakukan sesuatu (kebaikan) kepadamu, maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada mereka. Sebaliknya jika kamu benci orang lain melakukan keburukan itu kepadamu, maka kamu hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada mereka."
(HR Ahmad No: 25901) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Rasulullah SAW memberikan peringatan perkara yang boleh menyelamatkan seseorang daripada neraka dan memasukkan seseorang ke syurga:

1. Menyembah  Allah dan jangan melakukan perbuatan syirik

2. Menunaikan solat yang difardhukan

3. Mengeluarkan zakat yang diwajibkan

4. Berpuasalah pada bulan Ramadan.

5. Jika ingin orang lain melakukan kebaikan kepada diri kita,  maka lakukanlah kebaikan itu terlebih dahulu kepada orang lain.

6. Jika tidak mahu orang lain melakukan keburukan kepada diri kita, maka hendaklah terlebih dahulu tidak melakukan keburukan itu kepada orang lain. 

Ayuh lakukan amalan ahli Syurga.

01hb Jun  2022
01hb Zulqa'dah 1443H

Monday 30 May 2022

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kalimah Mengumpat Umpama Membusukkan Seluruh Air Laut

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم حَسْبُكَ مِنْ صَفِيَّةَ كَذَا وَكَذَا قَالَ غَيْرُ مُسَدَّدٍ تَعْنِي قَصِيرَةً ‏.‏ فَقَالَ ‏"‏ لَقَدْ قُلْتِ كَلِمَةً لَوْ مُزِجَتْ بِمَاءِ الْبَحْرِ لَمَزَجَتْهُ ‏"‏ ‏.‏ قَالَتْ وَحَكَيْتُ لَهُ إِنْسَانًا فَقَالَ ‏"‏ مَا أُحِبُّ أَنِّي حَكَيْتُ إِنْسَانًا وَأَنَّ لِي كَذَا وَكَذَا ‏"‏

Daripada ‘Aisyah RA dia berkata : Aku berkata kepada Nabi SAW : Cukuplah bagimu dari keburukan Safiyah seperti ini. Berkata sebahagian perawi : Dia (‘Aisyah) mengisyaratkan bahawa Safiyah itu rendah. Baginda bersabda: “Sesungguhnya engkau telah mengucapkan suatu kalimah yang mana jika dicampurkan (kalimah itu) dengan air laut nescaya akan tercampurlah (rosaklah dan bertukarlah) ia.” ‘Aisyah berkata : Aku menceritakan kepada baginda mengenai seseorang, baginda berkata : “Tidaklah aku suka bercerita mengenai seseorang walaupun aku diberi itu dan ini (dari benda-benda keduniaan).”
(Sunan Abu Daud No: 4875) Status: Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.Mengikut Imam Ghazali, mengumpat itu ialah engkau menyebut sesuatu mengenai saudaramu dengan perkara yang tidak disukainya sekiranya sampai perkara itu kepadanya, sama ada kekurangan pada tubuh badannya, keturunannya, akhlaknya, perbuatannya, perkataannya, agamanya, atau dunianya termasuk pakaiannya, rumahnya atau haiwannya’.
(Al-Ghazali, Ihya’ ‘Ulum al-Din, 3/143, Beirut : Dar al-Ma’rifah)

2.Mengumpat boleh terhasil dengan perkataan, penulisan, isyarat, gelaran dan lain-lain, walau sekecil mana pun perkara itu, ia dikira mengumpat. 

3.Cukuplah hadis ini menerangkan betapa buruknya mengumpat. Hanya dengan satu perkataan, bahkan dalam hadis di atas ‘Aisyah RA hanya mengisyaratkan sahaja bahawa Safiyah RA itu rendah (pendek), maka ia cukup untuk mengotorkan air laut seluruhnya. 

4.Berkata al-Nawawi: Makna ‘tercampurlah ia’ dalam hadis di atas ialah air itu bercampur dengan kalimah itu sehingga bertukar rasanya atau baunya disebabkan buruknya perkataan mengumpat  itu.

5.Ramai pengguna laman sosial hari ini sama ada secara sengaja mahupun tidak sengaja menulis seakan gembira mempersenda mana-mana tokoh figura yang tidak digemari tanpa disedari perilaku tersebut sebahagian dari cemuhan dan umpatan yang ditegah agama. Sama ada melalui pelbagai posting juga gambar yang dimuat naik serta yang di tularkan.

6.Moga kelak kita di akhirat, tidak termasuk dari kalangan orang-orang yang berkata:

يَٰحَسۡرَتَىٰ عَلَىٰ مَا فَرَّطتُ فِي جَنۢبِ ٱللَّهِ وَإِن كُنتُ لَمِنَ ٱلسَّخِرِينَ ٥٦

“Sungguh besar sesal dan kecewaku kerana aku telah mencuaikan kewajipanku terhadap Allah serta aku telah menjadi dari orang-orang yang sungguh memperolok-olokkan”.
[al-Zumar: 56]

31hb Mei  2022
30hb Syawal 1443H

Sunday 29 May 2022

Muslim Yang Menyelamatkan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Muslim Yang Menyelamatkan

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya".
(Sahih Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk terhadap orang Islam lain seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti Muslim lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.

4.Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa besar yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, WhatsApp, telegram, tanpa sedikitpun terdetik dihati bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis akan diminta pertanggungjawab dihadapan Allah. Firman Allah:

إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا 

“Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati nurani, semua anggota itu tetap akan diminta pertanggungjawabannya (ditanya di akhirat) tentang apa yang dilakukannya.”
(Al-Isra 17 ;36)

5.Imam al-Khaththabi rahimahullâh berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga dituntut menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

6.Muslim yang paling utama ialah yang lisan dan tangannya menyelamatkan dirinya dan Muslim yang lain.

Berusahalah menjadi insan yang baik dan soleh dengan menjaga lisan dan tangan kita. 

30hb Mei  2022
29hb Syawal 1443H

Saturday 28 May 2022

Makan Daging Saudara SeIslam

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makan Daging Saudara SeIslam

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْن مَسْعُودٍ رَضِيَ الله عَنْهُ قَالَ: كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَامَ رَجُلٌ فَوَقَعَ فِيهِ رَجُلٌ مِنْ بَعْدِهِ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "تَخَلَّلْ" قَالَ: وَمَا أَتَخَلَّلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَكَلْتُ لَحْمًا قَالَ: "إِنَّكَ أَكَلْتَ لَحْمَ أَخِيكَ
 
Daripada Abdullah ibn Masud RA beliau berkata : Kami berada di sisi Nabi SAW, kemudian berdirilah seorang lelaki, dan seorang lelaki lain menceritakan keaibannya selepas dia pergi, berkata Nabi SAW : “Keluarkanlah ia (baki-baki makanan) dari celah-celah gigimu!”, kemudian dia berkata : Apa yang perlu aku keluarkan? Aku tidak makan apa-apa daging! Baginda berkata : “Sesungguhnya engkau telah memakan daging saudaramu.”
(HR Thabarani  No: 13145) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Mengumpat adalah perbuatan yang dilarang oleh Islam.

2.Orang yang mengumpat diumpamakan seperti memakan daging saudara Islam yang lain. Firman Allah:

يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٞۖ وَ لَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًاۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمۡ أَن يَأۡكُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتٗا فَكَرِهۡتُمُوهُۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٞ رَّحِيمٞ ١٢ 

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.
(al-Hujurat: 12)

3.Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyatakan; mengumpat adalah haram secara ijma’ dan tidak dikecualikan suatu apa pun dari itu melainkan terdapat maslahah (kebaikan) pada mengumpat lebih kuat daripada mafsadahnya (kerosakan).
(Ahmad Syakir, ‘Umdat al-Tafsir, 3/359)

4.Al-Nawawi dan Ibn Qudamah menyebut Enam keadaan mengumpat yang diharuskan oleh syarak:

a.Membuat aduan mengenai kezaliman kepada pihak berkuasa atau  hakim agar kezaliman dapat dibanteras dan diadili.
b.Meminta bantuan untuk mengubah kemungkaran dan maksiat 
c.Meminta fatwa 
d.Memberikan peringatan kepada orang lain terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang terhindar daripada kejahatannya.
e.Seseorang yang terang-terang melakukan kemungkaran.
f.Dibolehkan jika dia memang dikenali dan dipanggil dengan gelaran-gelaran tertentu seperti si buta dan dia redha dengannya.

29hb Mei  2022
28hb Syawal 1443H

Friday 27 May 2022

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Allah Membuka Aib Kepada Pembuka Aib

عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الْأَسْلَمِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلْ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ لَا تَغْتَابُوا الْمُسْلِمِينَ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ فَإِنَّهُ مَنْ اتَّبَعَ عَوْرَاتِهِمْ يَتَّبِعُ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ

Daripada Abu Barzah Al Aslami ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Wahai orang-orang yang beriman dengan lisannya namun keimanannya belum masuk ke dalam hatinya, janganlah kalian mengumpat seorang muslim dan jangan pula mencari-cari kesalahannya. Sebab siapa saja yang mencari-cari kesalahan orang lain, maka Allah akan mencari-cari kesalahannya. Maka siapa saja yang Allah telah mencari-cari kesalahannya, Allah tetap akan menampakkan kesalahannya meskipun ia ada di dalam rumahnya."
(Sunan Abu Daud No: 4236) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Orang yang beriman wajib memelihara lisannya dari mengumpat dan mencari kelemahan orang lain, sama ada sesuatu yang dituturkan mahupun yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

2.Islam adalah agama rahmah yang mengajar umatnya untuk tidak mengumpat dan membuka aib orang lain.

3.Sesiapa yang menutup aib saudaranya sesama muslim, nescaya Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Rasulullah bersabda:

مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

"Barang siapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang tersebut di dunia dan akhirat."
(Sunan Ibnu Majah)

4.Barangsiapa yang mencari-cari kesalahan saudara muslimnya, maka Allah akan membuka kesalahan dan aibnya walaupun yang ada di dalam rumahnya.

5.Orang yang gemar membicarakan aib orang lain, sebenarnya tanpa ia sedari ia sedang memperlihatkan jati dirinya yang asli. Semakin banyak aib yang ia sebarkan, maka semakin jelas keburukan diri si penyebar itu. Allah mengingatkan dengan nada keras kepada golongan ini:

إِنَّ ٱلَّذِينَ يُحِبُّونَ أَن تَشِيعَ ٱلۡفَٰحِشَةُ فِي ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ فِي ٱلدُّنۡيَا وَٱلۡأٓخِرَةِۚ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ وَأَنتُمۡ لَا تَعۡلَمُونَ ١٩ 

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
(An-Nur: 19)

Kepada pencela dan pembuka aib, ingatlah azab Allah di dunia dan akhirat.

28hb Mei  2022
27hb Syawal 1443H

Thursday 26 May 2022

Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jauhi Prasangka Dan Mencari Aib Orang

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِيَّاكُمْ وَالظَّنَّ فَإِنَّ الظَّنَّ أَكْذَبُ الْحَدِيثِ وَلَا تَحَسَّسُوا وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَلَا تَبَاغَضُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا 

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda: "Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah ucapan yang paling dusta, janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci, tetapi, jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara."
(HR Bukhari No: 5604) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Orang beriman dilarang menaruh prasangka buruk kepada orang lain kerana ia akan mendorong kepada perbuatan menuduh tanpa bukti yang menjadi dosa besar. Ibnu Sirin berkata: “Jika sampai kepadamu berita yang tidak kamu sukai tentang saudaramu, maka carilah uzur untuknya. Jika kamu tidak mendapati uzur maka katakan, barangkali dia memiliki uzur yang aku tidak mengetahuinya.

2.Islam menyuruh agar tidak mendiamkan diri jika kemungkaran berlaku di hadapan kita dengan mencegah atau menasihat dengan hikmah mengikut kemampuan. 

3.Muslim dilarang mencari-cari isu atau kelemahan orang lain. Lebih-lebih lagi isu atau kelemahan itu ditulis dan ditularkan di media elektronik seperti FB, Whatsapp, telegram dan sebagainya hingga mengaibkan peribadi seseorang. 

4.Setiap kita juga dilarang saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci. Raikanlah perbezaan yang ada pada kita dengan saling bermaafan.

5.Setiap Muslim dituntut agar berusaha menjaga tali persaudaraan sesama Muslim. 

Menjaga persaudaraan itu wajib seperti wajibnya solat dan puasa dengan  menjauhi sangka buruk, tidak mencari kelemahan dan aib orang lain, jangan berdengki, elakkan membenci, tidak membelakangkan orang lain dan bantu sahabat dengan mencegah dia dari melakukan maksiat.

27hb Mei  2022
26hb Syawal 1443H

Wednesday 25 May 2022

Berakhlak Dalam Pertuturan

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
 
Berakhlak Dalam Pertuturan

عَنْ عَائِشَةَ  رضي الله عنها قَالَتْ : اسْتَأْذَنَ رَهْطٌ مِنَ الْيَهُودِ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا : السَّامُ عَلَيْكُمْ  فَقَالَتْ عَائِشَةُ : بَلْ عَلَيْكُمُ السَّامُ وَاللَّعْنَةُ  فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا عَائِشَةُ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الرِّفْقَ فِي الْأَمْرِ كُلِّهِ قَالَتْ : أَلَمْ تَسْمَعْ مَا قَالُوا  قَالَ : قَدْ قُلْتُ وَعَلَيْكُمْ 

Daripada Aisyah RA berkata, sekumpulan orang Yahudi meminta izin untuk bertemu baginda lalu mereka mengucapkan: Assam ‘alaikum (Mati ke atas kamu). Aku (Aisyah) berkata: Ke atas kamu mati dan laknat! Lalu baginda menegur: Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah itu penyantun menyukai kesantunan dalam semua perkara.” ‘Aku (Aisyah) bertanya: Kamu tak dengarkah apa yang mereka sebut? Baginda berkata: Ya, aku sudah jawab Wa a’laikum (ke atas kamu juga).(Sahih Bukhari no: 6927) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.Islam agama rahmah yang mengajar umatnya berakhlak mulia dalam perbuatan, pertuturan mahupun penulisan.

2.Islam mengajar umatnya sentiasa menunjukkan akhlak yang mulia dengan bersikap lunak dan santun kerana Allah itu menyukai kesantunan dalam semua perkara.

3.Rasulullah SAW menegur perbuatan Aisyah RA yang membalas ucapan Yahudi yang memberi salam kepada Rasulullah SAW dengan ucapan Assam ‘alaikum yang membawa maksud buruk iaitu “Mati ke atas kamu”. Aisyah membalas dengan Alaikum sam wa laknatu membawa maksud  “Ke atas kamu mati dan laknat!”

4.Islam mengajar kita memelihara tutur kata yang baik-baik dan jangan sampai dipengaruhi oleh syaitan dalam mengeluarkan kata-kata sama ada dalam percakapan mahupun penulisan. Firman Allah:

وَقُل لِّعِبَادِي يَقُولُواْ ٱلَّتِي هِيَ أَحۡسَنُۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ يَنزَغُ بَيۡنَهُمۡۚ إِنَّ ٱلشَّيۡطَٰنَ كَانَ لِلۡإِنسَٰنِ عَدُوّٗا مُّبِينٗا 
 
“Dan katakanlah (Wahai Muhammad) kepada hamba-hamba-Ku (yang beriman), supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik sesungguhnya syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang amat nyata bagi manusia.” (al-Isra: 53).

Kata Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini: “Allah memerintah Rasulullah SAW memberitahu kepada hamba-hamba Allah agar berkata dalam ucapan dan perbincangan mereka ungkapan yang terbaik dan kalimat yang baik. Jika itu tidak dilakukan, syaitan akan menghasut mereka. Maka ucapan itu akan membawa tindak balas, berlaku keburukan, permusuhan dan peperangan.” (Ibn Kathir, 5/87. Mekah: Dar al-Taybah).

5.Seseorang boleh, bahkan disuruh menegur ataupun mengkritik sesuatu perkara yang salah. Namun, Islam mengajar agar kita berdisiplin dalam ucapan dan tulisan kita. Jangan sekali-kali menggunakan bahasa yang buruk dan kotor. 

Orang yang suka memaki orang lain merupakan golongan yang fasik (golongan pendosa). Mereka bukanlah penegak agama sebaliknya untuk memenuhi kehendak nafsu sendiri dan dipengaruhi syaitan.

26hb Mei  2022
25hb Syawal 1443H

Tuesday 24 May 2022

Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Penyebab Ramai Dihumban Ke Neraka

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ النَّاسَ النَّارَ الْأَجْوَفَانِ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْأَجْوَفَانِ قَالَ الْفَرْجُ وَالْفَمُ قَالَ أَتَدْرُونَ أَكْثَرَ مَا يُدْخِلُ الْجَنَّةَ تَقْوَى اللَّهِ وَحُسْنُ الْخُلُقِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Sesungguhnya kebanyakkan penyebab manusia masuk neraka adalah disebabkan dua lubang.  Para sahabat bertanya; "Wahai Rasulullah, apakah dua lubang itu?" maka baginda bersabda: "Kemaluan dan mulut. Baginda bersabda: Tahukah kalian apa penyebab kebanyakan orang masuk syurga? Jawab baginda:  taqwa kepada Allah dan akhlak yang baik."
(HR Ahmad No: 9319) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.Seseorang akan ditempatkan kedalam neraka ataupun syurga bergantung pada amalan semasa di dunia. 

2.Kebanyakan penghuni neraka adalah berpunca daripada dosa mulut dan kemaluan:

a.Dosa kemaluan seperti berzina, liwat, homoseks, lesbian.

b.Dosa mulut atau lidah seperti makan dan minum dari sumber yang haram, mengucapkan ucapan kufur, laknat, qazaf, mengumpat, memfitnah, menghina, merendah-rendahkan orang lain, mengadu domba dan lain-lain termasuk yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan.

3.Mudahnya orang pada hari ini melakukan dosa mulut yang diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Memperkatakan serta forward sesuatu yang mengaibkan peribadi seseorang, mengumpat, memfitnah, mengadu domba di media elektronik dan diviralkan seperti FB, WhatsApp, telegram, tanpa terdetik dihatinya bahawa apa yang diperkatakan, yang ditulis dan diviral akan diminta pertanggungjawaban dihadapan Allah. 

4.Syeikh al-Mubarakfuri menyatakan makna mulut di dalam hadis ini ialah menjaga lidahnya kerana menjaga lidah boleh menyelamatkan keseluruhan urusan agamanya dan memakan yang halal kerana itu adalah penghulu kepada ciri ketaqwaan.
(Tuhfah al-Ahwazi)

5.Seseorang akan ditempatkan kedalam syurga disebabkan rahmat Allah atas amalan soleh yang dilakukan.

6.Kebanyakan penyebab seseorang masuk syurga nanti adalah berpunca dari sifat taqwanya serta akhlak terpuji yang dimiliki.

Peliharalah kemaluan dan mulut dari sesuatu yang berdosa yang menjadi penyebab dihumbankan ke neraka. Marilah kita suburkan sifat taqwa dan akhlak mulia dalam diri masing-masing agar dengan rahmat Allah ia menjadi penyebab kita memasuki syurga.

25hb Mei  2022
24hb Syawal 1443H

Monday 23 May 2022

Segera Mohon Maaf

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Segera Mohon Maaf 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ كَانَتْ لَهُ مَظْلَمَةٌ لِأَخِيهِ مِنْ عِرْضِهِ أَوْ شَيْءٍ فَلْيَتَحَلَّلْهُ مِنْهُ اليَوْمَ  قَبْلَ أَنْ لاَ يَكُونَ دِينَارٌ وَلاَ دِرْهَمٌ  إِنْ كَانَ لَهُ عَمَلٌ صَالِحٌ أُخِذَ مِنْهُ بِقَدْرِ مَظْلَمَتِهِ  وَإِنْ لَمْ تَكُنْ لَهُ حَسَنَاتٌ أُخِذَ مِنْ سَيِّئَاتِ صَاحِبِهِ فَحُمِلَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa pernah melakukan kesalahan terhadap saudaranya, sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta dihalalkan kepadanya hari ini (di dunia) sebelum datang suatu hari yang sudah tidak ada lagi dinar dan dirham (hari Kiamat). Ketika itu, jika dia memiliki amalan soleh, amalan solehnya diambil darinya dan diserahkan kepada saudaranya sesuai dengan kadar pelanggaran yang pernah diperbuatnya. Namun, jika dia tidak memiliki amal-amal kebaikan, kesalahan-kesalahan saudaranya itu diambil, lalu dipikulkan kepadanya.
(HR Bukhari No: 2282) Status Hadis Sahih.

Pengajaran:

1.Setiap Muslim perlu sentiasa berusaha menghindarkan diri dari melakukan dosa dan maksiat sama ada kepada Allah mahupun sesama manusia lain. 

2.Barangsiapa yang pernah melakukan kesalahan terhadap orang lain,  sama ada yang berkait dengan kehormatannya atau hartanya, hendaklah dia segera meminta maaf semasa hidup.

3.Jika dosa seseorang terhadap orang lain tidak dimaafkan, dibimbangi ia menjadi hutang yang perlu dibayar dengan pahala amalan solehnya di akhirat nanti.

4.Jika amal kebaikan yang dimiliki telah habis kerana membayar hutang kepada orang lain, maka dosa saudaranya itu akan dipikulkan kepadanya.

5.Ingatlah firman Allah SWT:

ثُمَّ إِنَّكُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عِندَ رَبِّكُمْ تَخْتَصِمُونَ

Kemudian, sesungguhnya kamu semua, pada hari kiamat, akan bertengkar berhujah di hadapan Tuhan kamu.
(al-Zumar: 31)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Zubair bin Awwam, dia berkata: Ketika turunnya ayat 31 Surah al-Zumar (di atas), Zubair bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah perkara yang terjadi di antara kita di dunia akan diungkit kembali di samping dosa-dosa peribadi?” Baginda SAW menjawab:

نَعَمْ لَيُكَرَّرَنَّ عَلَيْكُمْ حَتَّى يُؤَدَّى إِلَى كُلِّ ذِي حَقٍّ حَقُّهُ

Ya, benar. Semuanya akan diungkit semula sehingga setiap orang memperoleh hak yang semestinya.
(HR: Tirmizi No: 3236)

Imam al-Suyuti ketika mengulas ayat ini berkata: “Orang yang dizalimi menuntut (haknya) daripada orang yang zalim, orang yang dhaif menuntut haknya daripada orang yang menindas, sehinggalah setiap mereka dipulangkan hak-hak mereka. Apabila telah dipulangkan hak masing-masing, maka diperintahkan kepada ahli syurga untuk masuk ke syurga manakala ahli neraka untuk masuk ke dalam neraka.”
(Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/16)

Semoga kita tidak memandang mudah dosa yang kita lakukan kepada orang lain semasa di dunia. Jika kita berdosa, maka bersegeralah meminta maaf dan tidak mengulangi lagi.

24hb Mei  2022
23hb Syawal 1443H

Sunday 22 May 2022

Manusia Paling Dibenci

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Manusia Paling Dibenci

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah radliallahu 'anha, ia mengatakan; Rasulullah SAW bersabda: "Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka membantah (suka bermusuh)".
(Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Keras kepala adalah sifat yang beriringan dengan sifat sombong, bongkak, takbur dan ego. Kesemua sifat-sifat mazmumah ini amat dibenci oleh Allah SWT dan merupakan sifat Iblis.

2.  Iblis menjadi kufur akibat daripada sifat keras kepala dan sombong dengan merasakan dia lebih baik daripada orang lain.

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بن مسعود عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ

Daripada Abdullah bin Masud RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada kesombongan."
(Sahih Muslim No: 133) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

3.  Orang yang suka membantah adalah mereka yang suka bertengkar dan suka menegakkan pendapatnya sendiri walaupun salah. Ia akan menjadikannya  seorang yang angkuh dan sombong. Baginya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Dia sukar untuk berbincang dengan cara baik kerana dia menganggap pendapat orang lain rendah dan pendapatnya sahaja yang baik dan perlu diutamakan. Akhirnya mewujudkan ketidak sefahaman dan permusuhan.

Marilah kita menjauhi sifat keras kepala dan suka membantah.

23hb Mei  2022
22hb Syawal 1443H

Saturday 21 May 2022

Jangan Saling Bermusuh

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jangan Saling Bermusuh

عَنْ أَنَسُ بْنُ مَالِكٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَبَاغَضُوا وَلَا تَحَاسَدُوا وَلَا تَدَابَرُوا وَكُونُوا عِبَادَ اللَّهِ إِخْوَانًا وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثَةِ أَيَّام

Daripada Anas bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu saling membenci, jangan saling iri hati, saling bermusuhan, saling memutuskan hubungan dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal bagi seorang Muslim untuk menjauhi saudaranya lebih dari tiga hari".
(Sahih Bukhari No: 5718) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Umat Islam dilarang saling membenci sesama mereka

1.  Sifat iri hati dan cemburu kelebihan yang ada pada orang lain perlu dijauhi. Elakkan saling berdengki sesama Muslim

2.  Sifat bermusuhan dengan sesama Muslim adalah dilarang kerana setiap Muslim adalah bersaudara. 

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَبْغَضُ الرِّجَالِ إِلَى اللَّهِ الْأَلَدُّ الْخَصِمُ

Daripada Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: Manusia yang paling dibenci Allah adalah yang keras kepala dan suka bermusuh".
(Sahih Bukhari No: 6765) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih

3.  Muslim boleh berbeza pandangan namun perlu saling memaafkan

4.  Elakkan diri daripada tidak bertegur atau menjauhi saudara Muslim melebihi tiga hari.

Jauhi sikap bermusuh, benci dan dengki. Binalah ukhuwah melalui sifat saling berkasih sayang.

22hb Mei  2022
21hb Syawal 1443H

Thursday 19 May 2022

Kemanisan Iman

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kemanisan Iman

عن أنسٍ رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Daripada Anas RA dari Nabi SAW baginda bersabda: Ada tiga perkara, barangsiapa ada pada dirinya tiga perkara ini, maka dia akan merasakan manisnya iman (yaitu, yang pertama): Allâh Azza wa Jalla dan Rasul-Nya lebih dia cintai berbanding dengan yang lain, (kedua) dia mencintai seseorang dan dia tidak mencintai kecuali kerana Allâh dan (ketiga) dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan kedalam api neraka.
(Sahih Muslim No: 43) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Tiga perkara jika dimiliki oleh seorang Muslim akan menjadikannya memperoleh kemanisan iman:

a.  Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai dari selain keduanya.

b.  Apabila ia mencintai seseorang, ia hanya mencintainya kerana Allah.

c.  Ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

2.  Mencintai Rasulullah SAW mewajibkan adanya penghormatan, ketundukan dan mengikuti serta mencontohi apa yang dilakukan oleh baginda (mengagungkan sunnahnya).

3.  Di antara tanda cinta kepada Rasulullah SAW adalah dengan mengamalkan Sunnahnya, menghidupkan, dan mengajak kaum Muslimin untuk mengamalkannya, serta berjuang membela As-Sunnah dari orang-orang yang mengingkari As-Sunnah dan melecehkannya. Termasuk cinta kepada Nabi SAW adalah menolak dan mengingkari semua bentuk bidah dan kesesatan.

4.  Mencintai seseorang adalah semata-mata kerana Allah sebagai tanda mencapai kemanisan iman. Ibnul Qayyim berkata: “Setiap kecintaan dan pengagungan kepada manusia hanya dibolehkan dalam rangka mengikuti kecintaan dan pengagungan kepada Allah. Mencintai dan mengagungkan Rasulullah SAW  adalah penyempurnaan kecintaan dan pengagungan kepada Allah”.

5.  Kemanisan iman juga tercapai apabila ia tidak suka untuk kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, sebagaimana ia tidak mahu untuk dicampakkan ke dalam api neraka.

20hb Mei  2022
19hb Syawal 1443H

Tuesday 17 May 2022

Malaikat Mendoakan Kepada Pendoa

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malaikat Mendoakan Kepada Pendoa   

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.'
(Sahih Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2.  Mereka yang mendoakan sahabatnya ketika berjauhan (tanpa pengetahuannya), malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuknya.

3.  Doa seseorang kepada sahabatnya ketika berjauhan tidak akan tertolak. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ
"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak".
(HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita mendoakan sahabat kita dengan kebaikan. Moga malaikat juga mendoakan yang sama untuk kita.

18hb Mei  2022
17hb Syawal 1443H

Monday 16 May 2022

Hak Muslim Keatas Muslim

*COPY AND PASTE UNTUK PERKONGSIAN*

❤️1 HARI 1 HADIS❤️

Hak Muslim Keatas Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ - رضي الله عنه - قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَقُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ سِتٌّ قِيلَ مَا هُنَّ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ إِذَا لَقِيتَهُ فَسَلِّمْ عَلَيْهِ وَإِذَا دَعَاكَ فَأَجِبْهُ وَإِذَا اسْتَنْصَحَكَ فَانْصَحْ لَهُ وَإِذَا عَطَسَ فَحَمِدَ اللَّهَ فَشَمِّتْهُ وَإِذَا مَرِضَ فَعُدْهُ وَإِذَا مَاتَ فَاتَّبِعْهُ

Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda: “Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain itu ada enam: (iaitu) apabila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam, apabila dia mengundangmu, penuhilah undangannya, apabila dia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah dia, apabila dia bersin lalu mengucapkan Alhamdulillah, doakan dia (dengan mengucapkan Yarhamukallah), apabila dia sakit, jenguklah dia, dan apabila dia meninggal, iringilah jenazahnya.” (Sahih  Muslim No: 4023) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih


Pengajaran:

Hak muslim sesama Muslim ada enam:

a.  Apabila bertemu dengan setiap Muslim hendaklah mengucapkan salam kepadanya.

b.  Apabila diundang atau dijemput kenduri seperti perkahwinan, kesyukuran dan lain-lain, hendaklah pergi memenuhi undangan selama tiada keuzuran.

c.  Apabila ia meminta nasihat, hendaklah kita memberi nasihat yang diperlukan. (Imam An-Nawawi berkata: Syarat memberi nasihat jika diminta, hanya terbatas pada masalah dunia. Tetapi jika bersangkutan dengan masalah agama, kita wajib memberi nasihat walaupun tidak dipinta). 

d.  Apabila dia bersin dan bertahmid اَلْحَمْدُ للَّه, maka tasymitkan (doakan) يَرْحَمُكَ الله (semoga Allah mencucuri rahmat keatas kamu). 

e.  Apabila mereka sakit, ziarahilah mereka untuk bertanya khabar dan mendoakan

f.  Apabila mereka meninggal dunia, usahakan untuk menziarahi dan mengiringi jenazahnya hingga ke kubur 

Marilah kita tunaikan hak Muslim saudara yang lain.

17hb Mei  2022
16hb Syawal 1443H
Kredit:hadisharian_ikram

Friday 13 May 2022

Jadilah Cerminan Mukmin

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Cerminan Mukmin 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْمُؤْمِنُ مِرْآةُ الْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنُ أَخُو الْمُؤْمِنِ يَكُفُّ عَلَيْهِ ضَيْعَتَهُ وَيَحُوطُهُ مِنْ وَرَائِهِ

Daripada Abu Hurairah dari Rasulullah SAW bersabda: "Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin yang lain, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin yang lain; ia membantu saudaranya ketika kehilangan (ikut menanggung kesusahannya) serta menjaganya (membelanya) dari belakang." (HR Abu Daud No: 4272) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1.  Seorang Mukmin apabila melihat akhlak mulia pada diri saudara mukminnya, maka dia akan mencontohinya. Jika dia melihat berbagai sifat tercela dalam diri saudaranya, dia mengetahui bahawa dirinya memiliki keburukan yang sama, maka dia segera berusaha membersihkan dan menyingkirkan sifat-sifat tercela itu dari dirinya.

2.  Seorang Mukmin apabila melihat sifat tercela pada diri saudara mukminnya, dia akan segera menasihatkan saudaranya itu untuk menghilangkannya. Dia menjadi cermin bagi saudara Mukminnya. Dengan nasihat yang diberi diharap dia sendiri dapat melihat aibnya, seperti cermin yang menampakkan keburukan wajah seseorang.

3.  Seorang Mukmin akan memandang Mukmin yang lain sesuai dengan keadaan hatinya. Jika hatinya baik, suci, jujur dan bersih dari sifat tercela, maka dalam pandangannya semua Mukmin yang lain juga baik. Dia berprasangka baik kepada seluruh Mukmin dan sama sekali tidak akan berfikiran buruk terhadap orang lain.

4.  Seorang mukmin akan saling bertolong bantu sesama mukmin jika berada di dalam kesusahan dan membela mukmin yang lain jika mereka dianiaya atau dizalimi.

Marilah kita jadi cerminan kepada saudara Mukmin kita yang lain. Kemenangan Dirai Silaturahim Bersemi.

14hb Mei  2022
13hb Syawal 1443H

Thursday 12 May 2022

Bersifat Lemah Lembut dan Penyayang

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bersifat Lemah Lembut dan Penyayang

عَنْ جَرِيرٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ يُحْرَمْ الرِّفْقَ يُحْرَمْ الْخَيْرَ

Daripada Jarir RA dari Nabi SAW bersabda: Barang siapa dijauhkan dari sifat lemah lembut (kasih sayang), berarti ia dijauhkan dari kebaikan.
(HR Muslim  No: 4694) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Sifat penyayang dan lemah lembut dituntut ke atas setiap Muslim

2.  Orang yang tidak mempunyai sifat penyayang atau lemah lembut terhadap orang lain akan dijauhkan dari rahmat Allah.

3.  Saling menyayangi dan mengasihi adalah tanda kesempurnaan iman. Rasul SAW. bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لاَ تَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّى تُؤْمِنُوا وَلاَ تُؤْمِنُوا حَتَّى تَحَابُّوا 

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Kalian tidak masuk syurga hingga kalian beriman dan belum sempurna keimanan kalian hingga kalian saling mencintai.
(HR Muslim No: 81)

Sempena kita masih berada dibulan Syawal ini, marilah kita suburkan sifat rahmah dengan berlemah lembut dan penyayang terhadap orang lain. 

Moga kita menjadi warganegara yang saling menyayangi. Kemenangan Dirai Silaturrahim Bersemi.

13hb Mei  2022
12hb Syawal 1443H

Wednesday 11 May 2022

Mengasihi Muslim Tuntutan Iman

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Mengasihi Muslim Tuntutan Iman

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لاَيُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

Daripada Anas RA, Nabi SAW, bersabda: “Tidak sempurna Iman seseorang dari kamu sehingga ia suka saudaranya mendapat kebaikkan seperti apa yang ia sendiri suka mendapatnya”.
(HR Bukhari No: 12 ) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Mengasihi sesama Muslim adalah pra syarat kesempurnaan iman seseorang.

2.  Menyayangi dan mengasihi saudara Muslim yang lain walau dimana mereka berada, bangsa apapun mereka adalah antara kriteria sifat berukhuwah dan tanda kesempurnaan iman seseorang.

3.  Ibn Qayyim menyatakan kasih sayang dalam berukhuwah:

a.  Kasih sayang itu adalah sifat memberikan manfaat kepada orang lain
b.  Sifat bersusah payah demi memberikan kemudahan kepada sahabat atau menjauhkannya daripada bencana.

4.  Dalam kehidupan bermasyarakat, sikap prihatin dan saling mengambil berat terhadap orang lainadalah amat dituntut.  Adakah kita memiliki sifat ukhuwah dan sanggup bersusah payah demi mereka?

5.  Jangan jadikan perbezaan pemikiran, pandangan dan kumpulan sebagai pemisah antara kita. Banyak titik persamaan yang boleh dicari untuk berada di bawah payung keimanan, toleransi dan berkasih sayang sesama kita. 

Mari kita saling membantu agar saudara Muslim kita mendapat kebaikan dan kebahagiaan seperti mana kita juga memperolehinya. Buktikan kesempurnaan iman kita dengan saling berkongsi senang dan susah serta bersifat kasih sayang sesama Muslim.  Kemenangan Dirai Silaturrahim Bersemi.

12hb Mei  2022
11hb Syawal 1443H

Tuesday 10 May 2022

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Orang Yang Berhak Mendapat Kecintaan Allah

حَدَّثَنَا هَاشِمٌ حَدَّثَنِي عَبْدُ الْحَمِيدِ حَدَّثَنِي شَهْرٌ حَدَّثَنِي أَبُو ظَبْيَةَ قَالَ إِنَّ شُرَحْبِيلَ بْنَ السِّمْطِ دَعَا عَمْرَو بْنَ عَبَسَةَ السُّلَمِيَّ فَقَالَ يَا ابْنَ عَبَسَةَ هَلْ أَنْتَ مُحَدِّثِي حَدِيثًا سَمِعْتَهُ أَنْتَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ فِيهِ تَزَيُّدٌ وَلَا كَذِبٌ وَلَا تُحَدِّثْنِيهِ عَنْ آخَرَ سَمِعَهُ مِنْهُ غَيْرِكَ قَالَ نَعَمْ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يَقُولُ قَدْ حَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَحَابُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَصَافُّونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَزَاوَرُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَبَاذَلُونَ مِنْ أَجْلِي وَحَقَّتْ مَحَبَّتِي لِلَّذِينَ يَتَنَاصَرُونَ مِنْ أَجْلِي

Telah menceritakan kepada kami Hasyim telah menceritakan kepadaku Abdul Hamid telah menceritakan kepadaku Syahr telah menceritakan kepadaku Abu Dzabyah ia berkata; Bahawasanya Syurahbil bin As Simth memanggil Amru bin Abasah As Sulami dan bertanya, "Wahai Ibnu Abasah, apakah Anda mahu menceritakan kepadaku suatu hadis yang telah Anda dengar dari Rasulullah SAW tanpa ada tambahan ataupun kedustaan? Dan janganlah anda ceritakan kepadaku suatu hadis dari sahabat lain yang ia mendengarnya dari baginda selain anda. Amru bin Abasah berkata; Baiklah, aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Allah Ta'ala telah berfirman: 'Sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling merapatkan barisan kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Aku, dan sungguh telah berhak mendapatkan kecintaan-Ku orang-orang yang saling menolong kerana Aku.'"
(HR Ahmad No: 18621) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

Setiap Muslim berhak mendapat kecintaan Allah apabila:

1.  Saling mengasihi kerana Allah

2.  Saling merapatkan hubungan (ukhuwah) kerana Allah

3.  Saling menziarahi kerana Allah

4.  Saling berkorban (untuk membantu yang lain) kerana Allah

5.  Saling bantu membantu dan tolong menolong kerana Allah

Jadikanlah diri kita orang yang disayangi Allah kerana penyayangnya kita kepada orang lain semata-mata kerana Allah. Ambillah kesempatan di bulan Syawal ini untuk saling merapatkan hubungan ukhuwah sesama Muslim antaranya melalui ziarah menziarahi. Kemenangan Dirai Silaturrahim Bersemi.

11hb Mei  2022
10hb Syawal 1443H

Saturday 7 May 2022

Berjabat Tangan Mengerat Ukhuwah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berjabat Tangan Mengerat Ukhuwah

عَنْ عَطَاءِ بْنِ أَبِي مُسْلِمٍ عَبْدِ اللَّهِ الْخُرَاسَانِيِّ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَصَافَحُوا يَذْهَبْ الْغِلُّ وَتَهَادَوْا تَحَابُّوا وَتَذْهَبْ الشَّحْنَاءُ

Daripada Atha bin Abu Muslim Abdullah Al-Khurasani berkata,  Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah kalian saling berjabat tangan, dengan begitu akan menghilangkan kebencian, dan hendaklah kalian saling memberi hadiah nescaya kalian akan saling mencintai dan menghilangkan perasaan dendam”.
(Muwatta No: 1685)  Dar Ihya Ulum Arabiyyah. Status: Isnad Hasan

Pengajaran:

1.  Berjabat tangan akan melahirkan perasaan kasih, “mengeratkan” ukhuwah Islamiyah diantara sesama muslim

2.  Berjabat tangan akan menghilangkan permusuhan dan kedengkian di dalam hati, menghilangkan rasa “al-ghil” (perasaan tidak suka)

3.  Berusaha untuk memulai berjabat tangan terlebih dahulu ketika saling bertemu. Rasulullah SAW merupakan orang yang terlebih dahulu memulai berjabat tangan apabila bertemu sahabat

4.  Bersalaman merupakan bentuk penghormatan, kita dianjurkan untuk membalas penghormatan dengan cara yang lebih baik daripada penghormatan yang dilakukan oleh saudara kita. Apabila saudara kita mengucapkan salam, maka hendaknya kita balas dengan salam serupa atau yang lebih baik (lebih sempurna) daripada salamnya, dan jika ia menjabat tangan, maka hendaknya kita membalasnya dengan jabatan tangan yang lebih erat dan lebih hangat kepadanya. Dalam sebuah riwayat disebutkan :

عَنْ ابْنِ مَسْعُودٍ رَضيَ اللهُ عَنْهُ، عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مِنْ تَمَامِ التَّحِيَّةِ الْأَخْذُ بِالْيَدِ 

Daripada Abdullah bin Masud RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Diantara bentuk penghormatan yang paling sempurna adalah berjabat tangan.
(Sunan Tirmizi No: 2730) Dar Kutub Ilmiyyah.

5.  Saling memberi hadiah akan melahirkan perasaan kasih dan sayang sesama kita. Memberi duit raya kepada kanak-kanak akan melahirkan rasa kegembiraan dan kasih sayang.

6.  Saling memberi hadiah menghilangkan perasaan dendam dan marah. Alangkah elok bagi yang muda menziarahi orang tua di musim perayaan dengan memberi hadiah kepada mereka sama ada berbentuk wang ringgit mahupun kuih muih.

08hb Mei  2022
07hb Syawal 1443H

Wednesday 4 May 2022

Puasa Sunat Enam Syawal

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Puasa Sunat Enam Syawal  

عَنْ أَبِي أَيُّوبَ الْأَنْصَارِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ

Daripada Abu Ayyub Al-Ansari RA bahawa ia telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang berpuasa Ramadan kemudian dia mengiringinya dengan puasa enam hari dari bulan Syawal maka seolah-olah ia berpuasa sepanjang tahun.” (Sahih Muslim No: 1984) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran :

1.  Kewajipan mukmin melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan.

2.  Orang yang berpuasa penuh sepanjang bulan Ramadan dan diikuti puasa sunat Syawal sebanyak enam hari, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun. 

3.  Menurut Imam Nawawi: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

4.  Puasa sunat enam hari pada bulan Syawal, tidak semestinya dilakukan enam hari berturut-turut. Puasa sunat boleh bermula pada dua, tiga, empat hari raya Aidil Fitri atau bila-bila masa pada bulan Syawal sehingga berakhirnya Syawal. 

5.  Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini menaqalkan; Berkata Ashab al-Syafie: “Yang paling afdhal dalam melaksanakan puasa sunat enam hari di dalam bulan Syawal adalah secara berturut-turut yang dimulakan selepas Eid al-Fitri, jika sekiranya tidak berturut-turut, misalnya sehari puasa dua hari tidak, kemudian puasa lagi, asalkan genap enam hari dalam bulan Syawal maka itu juga turut mendapat fadhilat al-Mutaba‘ah (puasa yang mengiringi).”

Marilah dalam kemeriahan kita meraikan hari raya, jangan lupa puasa sunat enam hari Syawal. 

Jadilah kita seorang Rabbani (hamba Allah yang selalu beribadah kepada-Nya di setiap waktu dan tempat), dan janganlah kita menjadi seorang Ramadani (orang yang hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadan)

05hb Mei  2022
04hb Syawal 1443H

Monday 2 May 2022

Semarak Ukhuwah Untuk Dicintai Allah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Semarak Ukhuwah Untuk Dicintai Allah 

 عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَعَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى فَأَرْصَدَ اللَّهُ لَهُ عَلَى مَدْرَجَتِهِ مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ قَالَ أَيْنَ تُرِيدُ قَالَ أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ قَالَ هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا قَالَ لَا غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ فَإِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكَ بِأَنَّ اللَّهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Laki-laki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahu kepadamu bahawasanya Allah akan sentiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.'
(HR Muslim No: 4656) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara tanda mengasihi saudara dan sahabat ialah berusaha menziarahi mereka dengan ikhlas bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah.

2.  Allah sentiasa mencintai kepada orang yang mencintai dan mengasihi orang lain kerana Allah. 

3.  Ambillah peluang sempena Hari Raya ini untuk menziarahi dan kunjung mengunjung sesama saudara mara dan sahabat handai semata-mata kerana Alla. Namun jagalah SOP yang dicadangkan oleh pihak berkuasa dalam suasana endemik.  

4.  Moga kecintaan dan kasih sayang kita kepada kerabat dan sahabat handai akan menjadikan kita dikasihi dan dirahmati Allah melalui ziarah sempena Hari Raya ini.

5.  Suburkan Silaturahim dan Ukhuwah sebagai bukti peribadi terpuji. Moga menjadi pemangkin kepada Perubahan Masyarakat dan Negara ke arah Malaysia Yang Lebih Baik.

03hb Mei  2022
02hb Syawal 1443H

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...