Monday 31 January 2022

Uban Adalah Cahaya Buat Mukmin

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Uban Adalah Cahaya Buat Mukmin

عَنْ عَمْرِو بْنِ عَبَسَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Amru bin Abasah bahawa Rasulullah SAW  bersabda: "Barangsiapa tumbuh satu uban di jalan Allah, maka uban tersebut akan menjadi cahaya baginya pada hari kiamat." (HR Tirmidzi No: 1559) Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Uban yang tumbuh pada seorang Muslim akan menjadi  cahaya di hari kiamat. 

2.  Uban akan menjadi cahaya, sehingga pemiliknya menjadikannya sebagai penunjuk jalan sehingga Allah Ta’ala memasukkannya ke dalam syurga. Uban, muncul bersebab, seperti jihad (melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh) atau takut kepada Allah Ta’ala. Oleh kerana itu, dimakruhkan mencabut uban yang ada. (Faidhul Qadir karya Al-Munawi, 6/202).

3.  Uban umumnya muncul pada seseorang pada usia tua. Uban menjadi peringatan bahawa ia sudah berada di penghujung kehidupan.

4.  Dengan munculnya uban, maka orang yang berakal akan semakin insaf bahawa usianya semakin singkat dan bersemangat untuk melaksanakan hak Allah dan hak sesama makhluk dengan amal kebajikan yang banyak. 

5.  Al-Quran memberikan peringatan:

أَوَلَمْ نُعَمِّرْكُمْ مَا يَتَذَكَّرُ فِيهِ مَنْ تَذَكَّرَ وَجَاءَكُمُ النَّذِيرُ ۖ فَذُوقُوا فَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ نَصِير

Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolongpun (Fathir ayat 37).

Ibnu Katsir membawa pandangan Ibnu Abbas dan Ikrimah  menjelaskan bahawa maksud Pemberi peringatan dalam ayat di atas adalah uban. (Tafsir Ibnu Katsir 6/542)

Semoga uban dirambut kita akan menjadikan peringatan, pendorong serta cahaya untuk melakukan amal soleh.

01hb Februari  2022
29hb Jamadil Akhir 1443H

Sunday 30 January 2022

Bikin Serupa Cakap

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bikin Serupa Cakap

قَالَ  أُسَامَةَ سَمِعْتُهُ يَقُولُ يُجَاءُ بِالرَّجُلِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُلْقَى فِي النَّارِ فَتَنْدَلِقُ أَقْتَابُهُ فِي النَّارِ فَيَدُورُ كَمَا يَدُورُ الْحِمَارُ بِرَحَاهُ فَيَجْتَمِعُ أَهْلُ النَّارِ عَلَيْهِ فَيَقُولُونَ أَيْ فُلَانُ مَا شَأْنُكَ أَلَيْسَ كُنْتَ تَأْمُرُنَا بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَانَا عَنْ الْمُنْكَرِ قَالَ كُنْتُ آمُرُكُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَلَا آتِيهِ وَأَنْهَاكُمْ عَنْ الْمُنْكَرِ وَآتِيهِ

Usamah berkata; "Aku mendengar baginda bersabda: Pada hari kiamat nanti ada  seseorang yang dihadirkan, kemudian dia dilempar ke dalam neraka dengan isi perutnya keluar dan terburai. Di dalam neraka, orang tersebut akan  berputar-putar seperti berputarnya seekor keledai yang menarik mesin penggiling gandum. Penduduk neraka berkumpul mengelilinginya seraya berkata; "Wahai fulan, apa yang terjadi denganmu?. Bukankah kamu dahulu orang yang memerintahkan kami berbuat maaruf dan melarang kami berbuat munkar?". Orang itu berkata; "Aku memang memerintahkan kalian agar berbuat maaruf tapi aku sendiri tidak melaksanakannya dan melarang kalian berbuat munkar, namun aku mengerjakannya".
(HR Bukhari No: 3027) Status: Hadis Sahih

Pengajaran: 

1.  Tugas mengajak orang lain untuk melakukan amal kebaikan dan melarang berbuat mungkar adalah tanggung jawab kepada setiap Muslim

2.  Pastikan kita melaksanakan amal soleh dan menjauhi kemungkaran disamping menasihatkan orang lain agar melakukannya.

3.  Orang yang mengajak dan menasihati orang lain agar melakukan maaruf dan menjauhi kemungkaran, sedangkan dia sendiri tidak melakukannya, kelak pada hari kiamat mereka akan  dilempar ke neraka hingga isi perutnya keluar dan terburai. 

Marilah kita menjadi contoh kepada orang lain dengan melaksanakan amar makruf nahi mungkar disamping mengajak orang lain berbuat demikian. Jangan sekali-kali menyediakan diri untuk dicampakkan kedalam api neraka.

31hb Januari  2022
28hb Jamadil Akhir 1443H

Saturday 29 January 2022

Beramal Soleh Sebelum Kematian

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Beramal Soleh Sebelum Kematian 

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ

Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal." Para sahabat bertanya; "Bagaimana membuatnya beramal?" baginda menjawab: "Allah akan memberikan taufik padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum dia meninggal." (HR Ahmad No: 11595) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Allah yang menjadikan seseorang itu baik dan soleh.

2.  Seseorang Muslim itu menjadi baik apabila Allah menggerakkannya untuk melakukan amal soleh.

3.  Allah memberikan taufik kepada Muslim yang baik untuk ia melakukan amal soleh sehinggalah ia meninggal dunia.

Berusaha bersungguh-sungguh dengan amal soleh dan berdoalah agar kita sentiasa diberi taufik untuk istiqamah dengan amal soleh hingga akhir hayat kita.

30hb Januari  2022
27hb Jamadil Akhir 1443H

Friday 28 January 2022

Jadilah Muslim Paling Utama

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Muslim Paling Utama

عَنْ أَبِي مُوسَى رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْإِسْلَامِ أَفْضَلُ قَالَ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ

Daripada Abu Musa RA berkata: 'Wahai Rasulullah, Islam manakah yang paling utama?" Rasulullah SAW menjawab: "Siapa yang kaum Muslimin selamat dari lisan dan tangannya".(HR Bukhari No: 10) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam mengajar umatnya agar sentiasa memiliki akhlak yang mulia.

2.  Menjaga lisan daripada menuturkan sesuatu yang buruk seperti mengumpat, menghina, mencela, mengadu domba dan lain-lain adalah dituntut.

3.  Memelihara tangan dari melakukan perbuatan keji dan menyakiti orang lain bukan hanya memukul malah termasuk menulis, memforward sesuatu yang berbentuk fitnah, menghina, mengadu domba dan lain-lain adalah dilarang.

4.  Imam al-Khaththabi rahimahullâh berkata, hadis ini bermaksud bahawa kaum muslimin yang paling utama adalah orang yang selain menunaikan hak-hak Allah  dengan baik, dia juga menunaikan hak-hak sesama kaum muslimin dengan baik pula.

5.  Muslim yang paling utama ialah yang sentiasa menjaga lisan dan tangannya dan menjadi penyebab penyelamat Muslim yang lain.

Marilah kita menjadi baik dengan menjaga lisan dan tangan kita.

29hb Januari  2022
26hb Jamadil Akhir 1443H

Thursday 27 January 2022

Panduan Tidur Seorang Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Panduan Tidur Seorang Muslim

عَنْ الْبَرَاءِ بْنِ عَازِبٍ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَتَيْتَ مَضْجَعَكَ فَتَوَضَّأْ وُضُوءَكَ لِلصَّلَاةِ  ثُمَّ اضْطَجِعْ عَلَى شِقِّكَ الْأَيْمَنِ  ثُمَّ قُلْ : اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ  وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ  وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ  رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ  لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ  اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ  وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ  فَإِنْ مُتَّ مِنْ لَيْلَتِكَ فَأَنْتَ عَلَى الْفِطْرَةِ  وَاجْعَلْهُنَّ آخِرَ مَا تَتَكَلَّمُ بِهِ

Daripada Al-Barra’ bin Azib RA, Rasulullah SAW bersabda, “Apabila engkau hendak tidur, berwuduklah sebagaimana wuduk ketika hendak solat. Kemudian berbaringlah pada lambung sebelah kanan, dan bacalah: Ya Allah, aku tundukkan wajahku kepada-Mu, aku pasrahkan urusanku kepada-Mu, aku sandarkan punggungku kepada-Mu, kerana rasa takut dan penuh harap kepada-Mu. Tidak ada tempat berlindung dan menyelamatkan diri dari hukuman-Mu kecuali kepada-Mu. Ya Allah, aku beriman kepada kitab-Mu yang telah Engkau turunkan, dan kepada nabi-Mu yang telah Engkau utus. Jika kamu mati di malam itu, kamu mati dalam keadaan fitrah. Jadikanlah doa itu, sebagai kalimat terakhir yang engkau ucapkan sebelum tidur.”(HR. Bukhari No: 247) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam sentiasa menggalakkan umatnya berada dalam keadaan bersih dan suci termasuk ketika hendak tidur.

2.  Rasulullah SAW mengajar adab-adab tidur antaranya:

a.  Berwuduk sebelum tidur.
b.  Tidur dengan berbaring diatas lambung sebelah kanan.
c.  Membaca doa sebelum tidur

3.  Menurut Ibnul Qayyim, “Tidur berbaring pada sisi kanan dianjurkan dalam Islam agar seseorang tidak susah untuk bangun solat malam. Tidur pada sisi kanan lebih bermanfaat pada jantung. Sedangkan tidur pada sisi kiri berguna bagi badan (namun membuat seseorang semakin malas)” (Zaadul Ma’ad, 1/321-322).

4.  Sunat membaca doa sebelum tidur:

اللَّهُمَّ أَسْلَمْتُ وَجْهِي إِلَيْكَ  وَفَوَّضْتُ أَمْرِي إِلَيْكَ  وَأَلْجَأْتُ ظَهْرِي إِلَيْكَ  رَغْبَةً وَرَهْبَةً إِلَيْكَ  لَا مَلْجَأَ وَلَا مَنْجَا مِنْكَ إِلَّا إِلَيْكَ  اللَّهُمَّ آمَنْتُ بِكِتَابِكَ الَّذِي أَنْزَلْتَ  وَبِنَبِيِّكَ الَّذِي أَرْسَلْتَ

5.  Barangsiapa yang tidur berwuduk, dengan lambung disebelah kanan serta berdoa dengan doa di atas, jika dia mati di malam itu, dia mati dalam keadaan fitrah bersih dari dosa.

28hb Januari  2022
25hb Jamadil Akhir 1443H

Tuesday 25 January 2022

Amalan Rasulullah SAW Sebelum Tidur

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Rasulullah SAW Sebelum Tidur

عَنْ عَائِشَةَ   أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ وَ قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ  ثُمَّ مَسَحَ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ فَبَدَأَهُمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ 

Daripada Aisyah RA bahawa biasanya Nabi SAW ketika berada di tempat tidur di setiap malam, baginda menyatukan kedua telapak tangannya lalu ditiup dan dibacakan ’Qul huwallahu ahad’ (surat Al Ikhlas), ’Qul a’udzu birobbil falaq’ (surat Al Falaq) dan ’Qul a’udzu birobbin naas’ (surat An Naas). Kemudian baginda mengusapkan kedua telapak tangan tadi pada anggota tubuh yang mampu dijangkau dimulai dari kepala, wajah, dan tubuh bahagian depan. Baginda melakukan yang demikian sebanyak tiga kali.”
(HR. Bukhari No. 5017). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW mengajar umatnya agar sentiasa memiliki adab termasuk ketika hendak tidur malam.

2.  Antara adab sebelum tidur ialah membaca al-Muawwizat iaitu  surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Naas sebanyak tiga kali dan ditiup ditapak tangan serta disapu ke seluruh anggota tubuh badan dimana yang sampai.

3.  Ibnu Hajar Al Asqolani menyatakan bahawa; “Yang dimaksudkan dengan ‘Al-Muawwizat’adalah surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Naas.”
(Fathul Bari 9/62)

4.  Antara kelebihan membaca al-Muawwizat adalah untuk menjauhkan daripada gangguan jin, syaitan, sihir, was-was dan segala kejahatan
termasuk dijauhi dari kesakitan. Hadis Rasuullah SAW:

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا اشْتَكَى يَقْرَأُ عَلَى نَفْسِهِ بِالْمُعَوِّذَاتِ وَيَنْفُثُ فَلَمَّا اشْتَدَّ وَجَعُهُ كُنْتُ أَقْرَأُ عَلَيْهِ وَأَمْسَحُ بِيَدِهِ رَجَاءَ بَرَكَتِهَا

Daripada Aisyah RA, bahwasanya; Apabila Rasulullah SAW menderita sakit, maka baginda membacakan al-Mu'awwidzaat untuk dirinya sendiri, lalu baginda meniupkannya. Dan ketika sakitnya parah, maka akulah yang membacakannya pada baginda, lalu mengusapkan dengan menggunakan tangannya bagi mengharap keberkahannya.
(HR Bukhari No: 4629) status:Hadis Sahih

Ayuh kita amalkan bacaan al-Mu'awwidzaat  setiap malam sebelum tidur.

26hb Januari  2022
23hb Jamadil Akhir 1443H

Monday 24 January 2022

Surah Al-Ikhlas Menyamai Sepertiga Al-Quran

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Surah Al-Ikhlas Menyamai Sepertiga Al-Quran

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَصْحَابِهِ أَيَعْجِزُ أَحَدُكُمْ أَنْ يَقْرَأَ ثُلُثَ الْقُرْآنِ فِي لَيْلَةٍ فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ وَقَالُوا أَيُّنَا يُطِيقُ ذَلِكَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اللَّهُ الْوَاحِدُ الصَّمَدُ ثُلُثُ الْقُرْآنِ

Daripada Abu Sa'id Al Khudri RA, ia berkata; Nabi SAW bersabda kepada para sahabatnya: "Apakah salah seorang dari kalian tidak mampu bila ia membaca sepertiga dari Al-Quran pada setiap malamnya?" dan ternyata para sahabat merasa kesulitan seraya berkata, "Siapakah di antara kami yang mampu melakukan hal itu wahai Rasulullah?" maka baginda pun bersabda: "ALLAHUL WAAHID ASH SHAMAD (maksudnya surat al-ikhlas) nilainya adalah sepertiga Al-Quran."
(HR Bukhari No: 4628) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Membaca al-Quran adalah dituntut kepada setiap Mukmin.

2.  Membaca surah al-Ikhlas sekali nilainya menyamai sepertiga al-Quran.

3.  Mengikut Ibnu Hajar, “Nilai sepertiga al-Quran” bermaksud  surah al-Ikhlas nilainya sama dengan sepertiga apabila dilihat dari kandungan makna al-Quran. Kerana isi Quran terdiri daripada perkara yang berkaitan hukum, kisah, dan akidah. Surah al-Ikhlas mencakup pembahasan akidah, sehingga dinilai sepertiga berdasarkan tinjauan ini.
(Fathul Bari, 9/61)

4.  Membaca surat al-Ikhlas mendapat nilai seperti membaca 1/3 al-Quran maknanya adalah senilai dalam pahala (al-Jaza’). Bukan senilai dalam amal (al-Ijza’). Jika seseorang membaca surat al-Ikhlas, dia mendapat pahala senilai pahala sepertiga al-Quran. Namun bukan bererti pahala yang diperolehi sepadan dengan bentuk pahala untuk ayat-ayat Quran yang lainnya. Bahkan boleh jadi dia memerlukan bentuk pahala dari memahami perintah, larangan, dan kisah al-Quran. Sehingga surat al-Ikhlas tidak boleh menggantikan semua itu.
(Majmu’ al-Fatawa, 17/138)

Usahakanlah membaca al-Quran paling kurang surah al-Ikhlas sebelum tidur.

25hb Januari  2022
22hb Jamadil Akhir 1443H

Saturday 22 January 2022

Doa Mohon Kebaikan Jauhi Keburukan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mohon Kebaikan Jauhi Keburukan

عَنْ عَائِشَةَ رضي الله عنها  أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَّمَهَا هَذَا الدُّعَاءَ : 
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

Daripada Aisyah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW telah mengajarkan suatu doa kepadanya: “Ya Allah, aku bermohon dikurniakan segala kebaikan yang hampir dan yang masih jauh, yang aku tahu dan yang aku tidak tahu. Dan lindunglah aku daripada kejahatan dan keburukan yang hampir dan yang masih jauh sama ada yang aku tahu dan yang aku tidak tahu. Sesungguhnya aku meminta kepada-Mu semua doa kebaikan yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan yang hamba dan Nabi-Mu meminta perlindungan dari keburukan itu. Ya Allah, aku meminta kepada-Mu syurga dan segala yang mendekatkan menuju syurga, sama ada perkataan mahupun perbuatan. Aku berlindung kepada-Mu dari neraka dan segala yang mendekatkan menuju neraka, sama ada perkataan mahupun perbuatan. Dan aku meminta kepada-Mu agar menjadikan semua takdir yang Engkau takdirkan untukku adalah kebaikan.”
(HR. Ahmad no. 25019, Ibnu Majah no. 3846 dan Ibnu Hibban no. 869) Status: Hadis Sahih 

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW sentiasa mendidik umatnya agar berdoa. Antara doa yang dipohon:

a.  Mohon dikurniakan segala kebaikan sama ada yang hampir mahupun yang masih jauh, yang diketahui mahupun tidak.

b.  Mohon agar dilindungi daripada kejahatan dan keburukan yang hampir mahupun yang jauh,  sama ada yang diketahui atau tidak.

c.  Memohon agar dikurniakan syurga dan segala yang mendekatkan ke syurga sama ada dengan perkataan mahupun perbuatan.

d.  Mohon berlindung dari neraka dan segala yang mendekatkan menuju ke neraka, sama ada melalui perkataan mahupun perbuatan. 

e.  Mohon agar Allah menjadikan semua takdir yang baik untuk kita.

2.  Ayuh kita amalkan doa ini:

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنَ الْخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ مَا عَلِمْتُ مِنْهُ وَمَا لَمْ أَعْلَمْ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ وَأَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لِي خَيْرًا

23hb Januari  2022
20hb Jamadil Akhir 1443H

Friday 21 January 2022

Berwasiat Harta

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berwasiat Harta

عَنْ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ جَاءَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُنِي وَأَنَا بِمَكَّةَ وَهُوَ يَكْرَهُ أَنْ يَمُوتَ بِالْأَرْضِ الَّتِي هَاجَرَ مِنْهَا قَالَ يَرْحَمُ اللَّهُ ابْنَ عَفْرَاءَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أُوصِي بِمَالِي كُلِّهِ قَالَ لَا قُلْتُ فَالشَّطْرُ قَالَ لَا قُلْتُ الثُّلُثُ قَالَ فَالثُّلُثُ وَالثُّلُثُ كَثِيرٌ إِنَّكَ أَنْ تَدَعَ وَرَثَتَكَ أَغْنِيَاءَ خَيْرٌ مِنْ أَنْ تَدَعَهُمْ عَالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ فِي أَيْدِيهِمْ وَإِنَّكَ مَهْمَا أَنْفَقْتَ مِنْ نَفَقَةٍ فَإِنَّهَا صَدَقَةٌ حَتَّى اللُّقْمَةُ الَّتِي تَرْفَعُهَا إِلَى فِي امْرَأَتِكَ وَعَسَى اللَّهُ أَنْ يَرْفَعَكَ فَيَنْتَفِعَ بِكَ نَاسٌ وَيُضَرَّ بِكَ آخَرُونَ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ يَوْمَئِذٍ إِلَّا ابْنَةٌ

Daripada Sa'ad bin Abi Waqosh RA berkata; Nabi SAW datang menjengukku (ketika aku sakit) ketika aku berada di Makkah". Baginda tidak suka sekiranya seseorang meninggal dunia di negeri dimana dia sudah berhijrah darinya. Baginda bersabda; "Semoga Allah merahmati Ibnu 'Afra'". Aku katakan: "Wahai Rasulullah, aku mahu berwasiat untuk menyerahkan seluruh hartaku". Baginda bersabda: "Jangan". Aku katakan: "Setengah darinya" Baginda  bersabda: "Jangan". Aku katakan lagi: "Sepertiga darinya". Baginda bersabda: "Ya, sepertiganya dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika kamu meninggalkan ahli warismu dalam keadaan kaya itu lebih baik daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin lalu mengemis kepada manusia dengan menadahkan tangan mereka. Sesungguhnya apa sahaja yang kamu keluarkan berupa nafkah sesungguhnya itu termasuk sedekah sekalipun satu suapan yang kamu masukkan ke dalam mulut isterimu. Semoga Allah mengangkatmu dimana Allah memberi manfaat kepada manusia melalui dirimu atau memberikan mudarat orang-orang yang lainnya". Ketika itu dia (Sa'ad) tidak memiliki ahli waris kecuali seorang anak perempuan.
(HR Bukhari No: 2591) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Berwasiat adalah satu daripada sunnah Rasulullah SAW dan mengikut ijmak ulama hukumnya sunat muakad.

2.  Harta yang di wasiatkan  untuk pembinaan masjid, sekolah dan sebagainya merupakan satu cara agar harta yang ditinggalkan boleh menjadi penerus amal yang mendapat ganjaran pahala berterusan kepada pewasiat.

3.  Wasiat yang dibenarkan, tidak boleh melebihi 1/3 daripada jumlah harta.

4.  Meninggalkan ahli waris dalam keadaan berharta itu lebih baik daripada meninggalkan mereka dalam keadaan miskin dan akhirnya menjadi pengemis.

5.  Nafkah yang dikeluarkan termasuk menyuapkan makanan kemulut isteri merupakan salah satu daripada amal soleh.

22hb Januari  2022
19hb Jamadil Akhir 1443H

Thursday 20 January 2022

Tertangguh Keampunan Kerana Persengketaan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Tertangguh Keampunan Kerana Persengketaan

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الِاثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلَّا رَجُلًا كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا

Daripada Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibuka pada hari Isnin dan Khamis. Semua dosa hamba yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu akan diampuni, kecuali bagi orang yang antara dia dan saudaranya terdapat kebencian dan perpecahan (bersengketa)." Lalu dikatakan kepadanya: 'Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai! Tangguhkanlah dua orang ini hingga mereka berdamai! Tangguhkanlah kedua orang ini hingga mereka berdamai!
(HR Muslim No:  4652) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Pintu syurga dibuka setiap hari Isnin dan Khamis.

2.  Hari Isnin dan Khamis ada kelebihannya dimana Rasulullah SAW suka berpuasa sunat pada hari tersebut.

تُعْرَضُ الأَعْمَالُ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَالْخَمِيسِ فَأُحِبُّ أَنْ يُعْرَضَ عَمَلِى وَأَنَا صَائِمٌ

“Berbagai amalan diangkat (pada Allah) pada hari Isnin dan Khamis, maka aku suka jika amalanku diangkat  sedangkan aku sedang berpuasa.”
(HR. Tirmidzi No: 747) Status: Hadis Hasan

3.  Dosa setiap mukmin akan diampunkan dengan syarat tidak melakukan syirik.

4.  Dosa setiap mukmin tidak akan diampunkan segera jika dia membenci dan tidak bertegur sapa  dengan Muslim yang lain sehinggalah dia berdamai dan berkasih sayang.

5. Diulang tiga kali agar ditangguhkan keampunan daripada dosa bagi mereka yang masih tidak bertegur dan berdamai, menunjukkan pentingkan perdamaian dan kasih sayang.
 
Ayuh kita saling mengasihi. Berdamailah segera jika bergaduh dan bermusuh sesama Muslim.

21hb Januari  2022
18hb Jamadil Akhir 1443H

Wednesday 19 January 2022

Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Memutuskan Ukhuwah Menjauhkan Rahmat

عَنْ هِشَامَ بْنَ عَامِرٍ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ مُسْلِمًا فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ فَإِنْ كَانَ تَصَارَمَا فَوْقَ ثَلَاثٍ فَإِنَّهُمَا نَاكِبَانِ عَنْ الْحَقِّ مَا دَامَا عَلَى صُرَامِهِمَا وَأَوَّلُهُمَا فَيْئًا فَسَبْقُهُ بِالْفَيْءِ كَفَّارَتُهُ فَإِنْ سَلَّمَ عَلَيْهِ فَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ وَرَدَّ عَلَيْهِ سَلَامَهُ رَدَّتْ عَلَيْهِ الْمَلَائِكَةُ وَرَدَّ عَلَى الْآخَرِ الشَّيْطَانُ فَإِنْ مَاتَا عَلَى صُرَامِهِمَا لَمْ يَجْتَمِعَا فِي الْجَنَّةِ أَبَدًا

Daripada Hisyam bin 'Amir berkata; saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak halal bagi seorang muslim untuk memutuskan hubungan dengan saudara Muslim lebih dari tiga malam, jika mereka berdua saling mendiamkan lebih dari tiga malam tersebut, keduanya jauh dari kebenaran selama mereka berdua masih memutuskan hubungan. Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dari rasa marah (menyambung kembali hubungan ukhuwah), maka ia menjadi penebus dosanya. Jika (si 'A') memberi salam terhadap temannya (si 'B') namun tidak diterima, padahal (si 'A') masih mahu menjawab salamnya, maka (si 'A') akan dijawab oleh Malaikat, dan (si 'B') yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. Jika mereka berdua meninggal dalam keadaan saling mendiamkan, maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya."
(HR Ahmad No: 15668) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Seorang muslim tidak boleh memutuskan hubungan dengan saudara Muslimnya lebih dari tiga malam

2.  Jika kedua-dua Muslim yang berselisih, saling mendiamkan diri dengan tidak bertegur sapa lebih dari tiga malam, keduanya akan jauh dari kebenaran (Rahmat) selama mereka berdua masih memutuskan hubungan.

3.  Jika salah seorang di antaranya kembali sedar dan segera menyambung kembali hubungan ukhuwah, maka ia akan menjadi penebus dosanya kerana memutuskan.

4.  Jika ia memberi salam kepada temannya namun tidak dijawab oleh  temannya, maka ucapan salamnya akan dijawab oleh Malaikat, dan teman yang mendiamkan akan dijawab oleh syaitan. 

5.  Jika mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan saling mendiamkan diri (tidak mahu menghubungkan kembali ukhuwah), maka mereka berdua tidak akan berkumpul di syurga selama-lamanya. 

Bersamalah kita menghubungkan ukhuwah dan semailah sifat berkasih sayang sesama kita.

20hb Januari  2022
17hb Jamadil Akhir 1443H

Tuesday 18 January 2022

Bertawakal Umpama Burung

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Bertawakal Umpama Burung

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ أَنَّكُمْ كُنْتُمْ تَوَكَّلُونَ عَلَى اللَّهِ حَقَّ تَوَكُّلِهِ لَرُزِقْتُمْ كَمَا يُرْزَقُ الطَّيْرُ تَغْدُو خِمَاصًا وَتَرُوحُ بِطَانًا

Daripada Umar bin Al-Khaththab RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: "Jika sekiranya kamu bersungguh-sungguh bertawakal kepada Allah, nescaya Allah memberi rezeki kepada kamu seperti rezeki seekor burung yang keluar di waktu pagi dengan perut kosong dan pulang di waktu petang dengan perut terisi penuh kenyang." (HR Tirmidzi No: 2266) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim diperintahkan agar bertawakal iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu selepas usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

2.  Bertawakal dengan menyerahkan semata-mata kepada Allah tanpa usaha dan ikhtiar adalah menyalahi pengajaran daripada hadis ini.

3.  Jadilah seperti burung yang keluar pada waktu pagi dalam keadaan perutnya kosong namun berusaha mencari makanan dan akan pulang pada waktu petang dalam keadaan perut yang penuh dengan makanan.

4.  Muslim yang berusaha mencari rezeki dan bertawakal bersungguh-sungguh, nescaya dia tetap akan memperoleh rezeki seperti burung.

5.  Muslim tidak boleh menganggur dan berpeluk tubuh tanpa usaha dan ikhtiar. Contohilah burung yang keluar dari sarang mencari makanan kerana rezeki itu mengikut sebab dan musabab.

6.  Tawakal akan menimbulkan ketenangan jiwa dan ketenteraman dalam menghadapi sebarang perkara. Bertawakal dengan penuh yakin bahawa kejayaan dan kegagalan bukanlah hak mutlak manusia.

19hb Januari  2022
16hb Jamadil Akhir 1443H

Monday 17 January 2022

Amal Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amal Kebaikan 

عَنْ أَبِي مَالِكٍ الْحَارِثِ بْنِ عَاصِمٍ الْأَشْعَرِيِّ  قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ  الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيْمَانِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلأُ الْمِيزَانَ وَسُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ تَمْلآنِ – أَوْتَمْلأُ – مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ وَالصَّلاَةُ نُورٌ وَالصَّدَقَةُ بُرْهَانٌ وَالصَّبْرُ ضِيَاءٌ وَالْقُرْآنُ حُجَّةٌ لَكَ أَوْ عَلَيْكَ كُلُّ النَّاسِ يَغْدُو فَبَائِعُ نَفْسَهُ فَمُعْتِقُهَا أَوْ مُوبِقُهَا 
 
Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya’arie RA beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir Subhaanallah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi (bukti). Sabar itu adalah sinaran (memberi cahaya). Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi (berusaha), ada yang menjual dirinya (sama ada kepada Allah dengan melakukan ketaatan atau kepada syaitan dan hawa nafsu dengan melakukan maksiat dan kemurkaan Allah), ada yang memerdekakan dirinya (daripada kehinaan di dunia dan azab akhirat) dan ada pula yang mencelakakan dirinya (dengan melakukan maksiat).
(HR Muslim No: 223) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  lslam amat menitikberatkan soal kebersihan, sehingga menganggapnya sebahagian daripada lman. Jagalah kebersihan terutama di zaman Wabak Covid-19 ini.

2.  Bersuci merupakan syarat sahnya ibadah, oleh itu setiap Muslim perlu sentiasa mengambil perhatian.

3.  Menjaga ibadat solat akan mendatangkan cahaya petunjuk dan mampu memperbaiki diri seorang muslim terhadap manusia lain, menjadikan ia  berakhlak dan berperilaku terpuji, memiliki sifat kewarakan dan ketakwaan di sisi Allah.

4.  Semua amalan soleh merupakan kebaikan dan keindahan bagi seorang mukmin dan mempunyai nilai yang tinggi. Ada amalan yang menjadi hujah baginya, ada yang menjadi cahaya baginya, ada yang menjadi pemberat timbangannya dan sebagainya. Antaranya;

a.  Zikir al-Hamdulillah akan memenuhi neraca timbangan. 

b.  Zikir Subhaanallah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. 

c.  Solat adalah cahaya. 

d.  Sedekah adalah saksi (Seruan untuk berinfaq pada jalan-jalan kebaikan dan bersegera melakukannya dimana hal tersebut merupakan pertanda dan bukti benar keimanannya).

e.  Sabar adalah sinaran. (bersabar tatkala mengalami musibah, khususnya apa yang dialami seorang muslim kerana perbuatan amar ma’ruf nahi munkar)

f.  Al-Qur’an adalah hujah bagi mukmin (Membaca Al Quran dengan pemahaman dan mentadabbur (merenungkan) maknanya, mengamalkan kandungannya kerana hal tersebut dapat memberi syafaat bagi seorang hamba pada hari kiamat).

5.  Setiap manusia dalam kegiatan hariannya mendedahkan dirinya sama ada kepada kebaikan atau kecelakaan. Ada yang menjual dirinya kepada Allah, lalu beroleh kebaikan dan kejayaan dan pula ada yang menjual dirinya kepada syaitan lalu beroleh kecelakaan.

6.  Pastikan segala aktiviti harian kita membawa kebaikan dan pahala bukan keburukan dan dosa.

18hb Januari  2022
15hb Jamadil Akhir 1443H

Sunday 16 January 2022

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Syurga Untuk Pengunjung Masjid

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ غَدَا إِلَى الْمَسْجِدِ أَوْ رَاحَ أَعَدَّ اللَّهُ لَهُ فِي الْجَنَّةِ نُزُلًا كُلَّمَا غَدَا أَوْ رَاحَ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa datang ke masjid pada pagi atau petang hari, maka Allah akan menyediakan persinggahan baginya di syurga, setiap kali dia berangkat ke masjid di pagi atau petang hari."
(Sahih Muslim No:1073) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang sentiasa solat waktu di masjid pagi dan petang akan disediakan baginya tempat tinggal yang baik di syurga.

2.  Rasulullah SAW menjanjikan perlindungan di hari kiamat kepada tujuh golongan, satu daripada golongan itu adalah …. mereka yang hatinya terikat dengan masjid walau di mana dia berada:

عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ…..  وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ 

Daripada Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW, baginda bersabda, “Tujuh golongan yang dinaungi Allâh dalam naungan-Nya pada hari dimana tidak ada naungan kecuali naungan-Nya (di hari Akhirat): …. seorang yang hatinya sentiasa terikat ke masjid.
(Sahih Bukhari: 660)

3.  Bersungguhlah menjaga solat berjemaah khususnya di masjid bagi kaum lelaki. Ingatlah kisah Sulaiman Ibn Hamzah al-Maqdisi keturunan Ibn Qudamah seorang ketua hakim di Syam, beliau pernah berkata: Aku tidak pernah solat fardu secara sendirian kecuali 2 kali dan sehingga sekarang aku seakan-akan merasa masih belum mengerjakannya (padahal usianya ketika itu mencecah 90 tahun) (dalam ar-Raqaik oleh Muhammad Ahmad ar-Rasyid)

Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan masjid sebagai rumah kedua kita untuk menunaikan solat berjemaah, mendalami ilmu agama, dan mengeratkan hubungan ukhuwah sesama ahli kariah. Kunjungilah masjid khususnya apabila masuk waktu solat fardhu.

17hb Januari  2022
14hb Jamadil Akhir 1443H

Saturday 15 January 2022

Awal Pagi Waktu Barakah

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Awal Pagi Waktu Barakah

عَنْ صَخْرٍ الْغَامِدِيِّ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا وَكَانَ إِذَا بَعَثَ سَرِيَّةً أَوْ جَيْشًا بَعَثَهُمْ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ وَكَانَ صَخْرٌ رَجُلًا تَاجِرًا وَكَانَ يَبْعَثُ تِجَارَتَهُ مِنْ أَوَّلِ النَّهَارِ فَأَثْرَى وَكَثُرَ مَالُهُ
قَالَ أَبُو دَاوُد وَهُوَ صَخْرُ بْنُ وَدَاعَةَ

Daripada Shakhr Al Ghamidi, dari Nabi SAW, baginda mengucapkan: "ALLAAHUMMA BAARIK LI UMMATII FII BUKUURIHAA (Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka). Dan baginda apabila mengirim expedisi atau pasukan baginda mengirim mereka di awal siang (awal pagi). Dan Shakhr adalah seorang pedagang dan ia mengirim perdagangannya di awal siang, maka hartanya bertambah banyak. Abu Daud berkata; ia adalah Shakhr bin Wada'ah.
(Sunan Abu Daud No: 2239) Status: Hadis Sahih
Dan adalah Shakhr seorang pedagang; ia mengirimkan perniagaannya dari awal siang (pagi hari), maka ia pun menjadi kaya raya dan banyak harta”.

Pengajaran:

1.  Awal pagi adalah waktu yang banyak keberkatan dari Allah.

2.  Rasulullah mendoakan umatnya keberkatan pada setiap waktu pagi. 

اللَّهُمَّ بَارِكْ لِأُمَّتِي فِي بُكُورِهَا

(Ya Allah, berkatilah bagi umatku di awal pagi hari mereka)

3.  Perkataan bukur (بُكُور ) bermaksud awal pagi sehingga terbitnya matahari. Syeikh Abu Usamah Salim dalam syarah Riyad as-Salihin menyatakan: waktu yang terbaik dan berkat. Menghidupkan waktu pagi merupakan sunah Nabi SAW dan amalan orang yang berjaya.

4.  Hadis ini menunjukkan bahawa waktu awal pagi adalah waktu penting untuk melaksanakan kerja-kerja penting dan utama. Elakkan waktu awal pagi dengan kerja yang kurang manfaatnya seperti tidur selepas subuh.

5.  Shakhr al-Ghamidi menjadi kaya raya dan banyak harta antaranya kerana ia mengikut sunah Nabi SAW dengan memulakan perniagaan di awal pagi.

6.  Waktu sebelum terbitnya matahari umpama waktu rezeki diluluskan manakala apabila terbitnya matahari, waktu rezeki diagih-agihkan.

Ayuh rebut dan manfaatkan waktu penuh keberkatan di awal pagi dengan melakukan kerja bermanfaat seperti waktu untuk belajar, waktu untuk bekerja dan memulakan perniagaan.

16hb Januari  2022
13hb Jamadil Akhir 1443H

Friday 14 January 2022

Lepaskan Jerutan Tali Syaitan Ketika Tidur

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Lepaskan Jerutan Tali Syaitan Ketika Tidur

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّه صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ يَعْقِدُ الشَّيْطَانُ عَلَى قَافِيَةِ رَأْسِ أَحَدِكُمْ إِذَا هُوَ نَامَ ثَلَاثَ عُقَدٍ يَضْرِبُ كُلَّ عُقْدَةٍ عَلَيْكَ لَيْلٌ طَوِيلٌ فَارْقُدْ فَإِنْ اسْتَيْقَظَ فَذَكَرَ اللَّهَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ تَوَضَّأَ انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَإِنْ صَلَّى انْحَلَّتْ عُقْدَةٌ فَأَصْبَحَ نَشِيطًا طَيِّبَ النَّفْسِ وَإِلَّا أَصْبَحَ خَبِيثَ النَّفْسِ كَسْلَانَ

Daripada Abu Hurairah RA bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Syaitan mengikat tengkuk kepala seseorang dari kalian ketika dia tidur dengan tiga tali ikatan dan syaitan mengikatkannya sedemikian rupa sehingga setiap ikatan diletakkan pada tempatnya lalu syaitan akan mengatakan: Malam masih panjang, maka tidurlah dengan nyenyak. Jika dia bangun dan berzikir mengingat Allah maka lepaslah satu tali ikatan. Kemudian jika ia berwuduk maka lepas lagi satu ikatan berikutnya. Kemudian jika ia mendirikan solat, lepaslah ikatan terakhir. Di pagi harinya dia akan bersemangat dan segar yang mententeramkan jiwa. Namun bila dia tidak melakukan seperti itu, maka pagi harinya jiwanya jadi kotor (merasa tidak segar) dan menjadi malas".
(HR Bukhari, no: 1074) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran:

1.  Syaitan akan sentiasa bekerja untuk menggoda dan menyesatkan manusia pada setiap masa.

2.  Pada setiap malam ketika seorang Muslim tidur, syaitan akan membuat ikatan ditengkuk orang yang tidur dengan tiga lapis yang boleh membuat jiwa seseorang kotor dan malas.

3.  Rasulullah SAW mengajar cara untuk melepaskan ikatan tersebut:

a.  Segera bangun awal sebelum subuh dengan membaca doa

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِيْ أَحْيَانَا بَعْدَ مَا أَمَاتَنَا وَإِلَيْهِ النُّشُوْرِ

"Segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan (membangunkan) kami setelah mematikan (menidurkan) kami dan kepada-Nyalah kami dibangkitkan" 

b.  Bangun membersihkan diri serta berwuduk

c.  Lakukan solat sunat sekurang-kurangnya dua rakaat. 

4.  Orang yang melaksanakan solat sunat sebelum masuk waktu subuh (solat malam) secara umumnya akan melaksanakan ketiga-tiga amalan di atas.

Jangan biarkan tali syaitan itu mengikat kita hingga menyebabkan kita menjadi malas. Pastikan setiap kali bangun tidur, ketiga-tiga tali ikatan dibuka dengan amalan diatas agar kita sentiasa bersemangat dan rajin melakukan amal soleh.

15hb Januari  2022
12hb Jamadil Akhir 1443H

Thursday 13 January 2022

Simpanan Tetap Seorang Muslim

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Simpanan Tetap Seorang Muslim

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya antara perkara yang akan mengikut orang-orang mukmin dari segi amalan dan kebajikannya sesudah mati antaranya Ilmu (berguna) yang diajar dan disebarkan, atau anak yang soleh yang ditinggalkan (memohon istighfar dan berdoa untuknya), atau al-Quran yang diwariskan, atau masjid yang ia bina, atau rumah yang ia bina untuk ibnu sabil (musafir yang terputus perjalanan), atau sungai yang ia alirkan (untuk orang lain), atau sedekah yang ia keluarkan dari harta miliknya pada masa ia sihat dan masa hidupnya, semuanya akan mengiringinya setelah meninggal" (HR Ibnu Majah No: 238) Status: Hadis Hasan.

Pengajaran:

Amalan seorang Mukmin yang akan berterusan ganjaran pahalanya walaupun pemiliknya telah meninggal dunia antaranya:

1.  Ilmu berguna dan bermanfaat yang diajar dan disebarkan kepada orang lain: melalui lisan seperti ceramah juga tulisan dalam bentuk buku, artikel, jurnal, termasuk dalam bentuk e-book, dalam FB, Laman Sesawang mahupun telegram dan whatsapp.

2.  Anak soleh yang ditinggalkan, ia berdoa dan memohon keampunan untuk ayah dan ibunya.

3.  Al-Quran yang diwariskan berbentuk mushaf atau yang diajar

4.  Masjid yang dibina

5.  Rumah yang dibangunkan untuk musafir yang terputus bekalan

6.  Sungai yang dibina untuk manfaat manusia dan makhluk lain

7.  Sedekah yang kita lakukan ke atas harta semasa kita sihat dan semasa hidup sama ada dalam bentuk wakaf, derma, mahupun sedekah.

Marilah kita berusaha melakukan semua amal solleh di atas agar ia menjadi simpanan tetap yang faedah keuntungannya akan berterusan walaupun kita telah meninggal dunia.

14hb Januari  2022
11hb Jamadil Akhir 1443H

Wednesday 12 January 2022

Berilmu Satu Jalan Ke syurga

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berilmu Satu Jalan Ke syurga

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ 

Daripada Abu Hurairah RA dia berkata; Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa menempuh jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan ke syurga baginya. Tidaklah sekelompok orang berkumpul di suatu masjid (rumah Allah) untuk membaca Al Qur'an dan saling mempelajari di antara mereka, melainkan ketenangan akan turun kepada mereka, mereka akan diliputi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat, dan Allah akan menyebut-nyebut mereka pada malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.
(HR Muslim No: 4867) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Orang yang menuntut ilmu akan dipermudahkan Allah jalan untuknya ke syurga.

2.  Orang yang berhimpun di masjid untuk membaca al-Quran dan saling mempelajarinya, akan memperolehi:

a.  Dicucuri rahmat dan ketenangan dari Allah
b.  Dikelilingi malaikat dan akan dilindungi
c.  Allah menyebut-nyebut tentang mereka kepada malaikat.

3.  Orang yang tidak melakukan amal solleh seperti mempelajari ilmu, membaca dan mendalami al-Quran, dia tidak akan memperolehi kelebihan di atas.

4.  Kata Abu Darda’ RA: “Aku mempelajari satu masalah ilmu itu lebih aku suka daripada qiyamullail”.

5.  Kata Ibn al-Mubarak RA: “Aku hairan dengan orang yang tidak pernah menuntut ilmu. Bagaimana dia boleh mendakwa dirinya mulia?”

Berusahalah kita agar sentiasa berusaha mempelajari ilmu yang akan mempermudahkan jalan kita kesyurga. 

Semoga ilmu dan al-Quran akan menjadi bekalan dan meninggikan kedudukan kita di syurga.

Kedudukan kita di syurga bergantung dengan amalan semasa kita hidup di dunia.

13hb Januari  2022
10hb Jamadil Akhir 1443H

Tuesday 11 January 2022

Doa Mustajab Di Malam Hari

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Mustajab Di Malam Hari

عن معاذ بن جبل عن النبي صلى الله عليه وسلم قال  مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَبِيْتُ عَلَى ذِكْرٍ طَاهِرًا فَيَتَعَارُّ مِنَ اللَّيْلِ فَيَسْأَلُ اللهَ خَيْرًا مِنَ الدُّنْياَ وَاْلآخِرَةِ إِلاَّ أَعْطَاهُ إِياَّهُ.

Daripada Muaz bin Jabal RA dari Nabi SAW baginda bersabda: “Tidaklah seorang muslim bermalam dalam keadaan berzikir kepada Allah dan dalam keadaan suci, lalu ia bangun pada waktu malam dan berdoa memohon kebaikan dunia atau akhirat kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkan permintaannya.”
(Sunan Abi Daud No: 5042) Status Hadis Sahih (dalam kitab Shahiih at-Targhiib wat Tarhiib (I/317)

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu sentiasa berzikir kepada Allah termasuk ketika hendak tidur di samping suci dan berwuduk.

2.  Muslim yang tidur dalam keadaan berzikir kepada Allah dan suci dengan berwuduk, jika ia bangun dari tidur dan berdoa memohon kebaikan dunia serta akhirat nescaya akan dimakbulkan Allah.

3.  Bangun dimalam hari ialah terbangun tanpa sengaja pada malam hari dan berdoa.
(dalam An-Nihayah fi Gharibil Hadits 1/190)

Orang yang tidur dalam keadaan suci dan berzikir lalu ia bangun dan memohon kebaikan dunia atau akhirat, maka Allah SWT akan mengabulkan permohonannya tersebut.

Rebutlah peluang doa mustajab di malam hari.

10hb Januari  2022
07hb Jamadil Akhir 1443H

Penuntut Ilmu Yang Dirahmati

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Penuntut Ilmu Yang Dirahmati

عَنْ صَفْوَانَ بْنَ عَسَّالٍ الْمُرَادِيَّ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ مَا مِنْ خَارِجٍ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ فِي طَلَبِ الْعِلْمِ إِلَّا وَضَعَتْ لَهُ الْمَلَائِكَةُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا بِمَا يَصْنَعُ

Daripada Shafwan bin Assal Al Muradi, ia berkata,  Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:"Tidaklah seseorang yang keluar dari rumahnya untuk menuntut ilmu kecuali para malaikat akan mengembangkan sayap-sayapnya untuk orang tersebut kerana redha dengan apa yang ia kerjakan."
(Sunan Ibnu Majah No: 222)  Status: Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Menuntut ilmu adalah suatu tuntutan ke atas setiap Muslim

2.  Setiap Muslim yang keluar dari rumah untuk menuntut ilmu akan sentiasa dinaungi para Malaikat.

3.  Menuntut ilmu tidak hanya terhad kepada golongan pelajar di peringkat sekolah mahupun Institut Pengajian Tinggi, malah setiap masa, tempat dan usia seperti di kuliah dan ceramah di masjid, surau dan lain-lain. 

4.  Allah mengangkat darjat orang yang berilmu lebih tinggi dari yang lain:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

“Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.
(al-Mujadalah: 11)

Rasulullah mengajar kita berdoa agar mendapat ilmu bermanfaat

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا وَرِزْقًا طَيِّبًا وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Daripada Ummu Salamah berkata, "Selepas salam dalam solat subuh Nabi SAW mengucapkan: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amal yang diterima.
(Ibn Majah No 915) Status: Hadis Sahih

Marilah kita menjadikan azam tahun baru 2022 ini untuk sentiasa menambah ilmu. Semoga dengan ilmu yang bermanfaat, kita menjadi warganegara Malaysia yang “celik” “bijak” dan “cerdik” dalam menentukan masa hadapan kita, keluarga dan negara yang lebih baik.

11hb Januari  2022
08hb Jamadil Akhir 1443H

Friday 7 January 2022

Keutamaan Alim Dari Abid

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Keutamaan Alim Dari Abid

عَنْ أَبِي أُمَامَةَ الْبَاهِلِيِّ قَالَ ذُكِرَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلَانِ أَحَدُهُمَا عَابِدٌ وَالْآخَرُ عَالِمٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِي عَلَى أَدْنَاكُمْ ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ

Daripada Abu Umamah Al Bahili RA ia berkata; "Dua orang disebutkan di sisi Rasulullah SAW, salah seorang adalah ahli ibadah dan seorang lagi yang berilmu, kemudian Rasulullah SAW bersabda: "Keutamaan seorang alim dari seorang abid seperti keutamaanku dari orang yang paling rendah di antara kalian, " kemudian baginda melanjutkan sabdanya: "Sesungguhnya Allah, Malaikat-Nya serta penduduk langit dan bumi bahkan semut yang ada di dalam sarangnya sampai ikan paus, mereka akan mendoakan untuk orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia."
(HR Tirmizi No: 2609) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Kedudukan orang yang berilmu yang beramal adalah lebih baik berbanding seorang ahli ibadah yang tidak berilmu.

2.  Perumpamaan orang berilmu seperti kedudukan Rasulullah, berbanding seorang abid hanya umpama orang kebanyakan yg paling rendah.

3.  Orang berilmu yang mengajarkan ilmu kepada orang lain akan didoakan oleh penduduk langit dan bumi termasuk semut dan ikan di lautan.

4.  Alangkah beruntungnya ilmuan yang beramal dan mengajar kepada orang lain. Kata Al Fudlail bin Iyadl; "Seorang alim yang mengamalkan ilmunya dan mengajarkan ilmunya akan disebut-sebut oleh para Malaikat yang ada di langit."

Marilah kita sentiasa memperuntukkan masa untuk menambah ilmu. Semoga dengan ilmu yang ada membolehkan kita beramal dengannya. Ingatlah pesanan Saidina Muadz bin Jabal RA:

“Pelajarilah ilmu, sebab mempelajarinya kerana Allah adalah khashyah (rasa takut), menuntutnya adalah ibadah, mempelajarinya adalah tasbih, mencarinya adalah jihad, mengajarkannya kepada orang yang tidak mengetahuinya adalah sedekah, menyerahkannya kepada ahlinya adalah sebagai taqarrub. Dia (ilmu) teman dekat ketika bersendirian dan sahabat dalam kesunyian.”

08hb Januari  2022
05hb Jamadil Akhir 1443H

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Pembuka Pintu Kebaikan

عن أنس بن مالك قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلْخَيْرِ مَغَالِيقَ لِلشَّرِّ وَإِنَّ مِنَ النَّاسِ مَفَاتِيحَ لِلشَّرِّ مَغَالِيقَ لِلْخَيْرِ فَطُوبَى لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الْخَيْرِ عَلَى يَدَيْهِ وَوَيْلٌ لِمَنْ جَعَلَ اللَّهُ مَفَاتِيحَ الشَّرِّ عَلَى يَدَيْهِ

Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya di antara manusia ada orang yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. Dan sesungguhnya di antara manusia ada yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. Beruntunglah orang yang Allah jadikan dirinya sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. Dan celakalah orang yang menjadi pembuka pintu keburukan melalui tangannya.” (HR. Ibnu Majah no. 237) Status: Hadis Hasan 

Pengajaran:

1.  Allah menciptakan manusia yang pelbagai. Ada diantara manusia yang menjadi pembuka pintu kebaikan dan menutup pintu keburukan. 

2.  Namun terdapat di antara manusia yang menjadi pembuka pintu keburukan dan menutup pintu kebaikan. 

3.  Beruntunglah kepada orang yang Allah jadikan sebagai pembuka pintu kebaikan melalui tangannya. 

4.  Orang yang ingin dirinya menjadi pembuka pintu kebaikan serta menjadi penutup pintu keburukan, maka hendaklah melakukan hal-hal berikut:

a.  Mengikhlaskan segala perbuatan dan perkataan hanya untuk beribadah kepada Allah dan jadikan ia sebagai sumber kebaikan dan kemuliaan kita.

b.  Berdoa kepada Allah agar diberi taufik menjadi seseorang pembuka pintu kebaikan, kerana doa adalah kunci segala kebaikan. 

c.  Bersungguh dalam menuntut ilmu kerana ilmu mendorong seseorang kepada kebaikan dan kemuliaan. 

d.  Sentiasa beribadah kepada Allah, khususnya solat, kerana solat dapat mencegah dari perbuatan keji dan munkar.

e.  Bersikap dengan akhlak yang mulia dan lemah lembut, serta jauh dari akhlak yang buruk dan tidak beradab.

f.  Bersahabat dengan orang-orang yang soleh dan sering bersama mereka. Menasihati orang lain, baik yang dikenali atau tidak, agar kita kebaikan bersama kita dan jauh dari maksiat.

g.  Sentiasa ingat hari pembalasan agar kita sentiasa berbuat amal kebaikan sebagai bekalan

h.  Sentiasa berusaha memberi manfaat kepada yang lain. 

Berusahalah menjadikan diri kita sebagai pembuka pintu kebaikan dan sentiasa menutup pintu keburukan.

07hb Januari  2022
04hb Jamadil Akhir 1443H

Wednesday 5 January 2022

Membantu Orang Lain Mendapat Ganjaran Besar

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membantu Orang Lain Mendapat Ganjaran Besar

عَنِ ابْنِ عُمَرَ  قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ , وَأَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ تَعَالَى سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ , أَوْ تَكَشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً , أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا , أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوعًا , وَلأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ شَهْرًا

Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi SAW  bersabda, “Manusia yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling memberikan manfaat bagi manusia. Adapun amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat muslim yang lain bahagia, meringankan kesusahan orang lain, membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. Seandainya aku berjalan bersama saudaraku untuk memenuhi suatu keperluan, maka hal itu lebih aku cintai daripada iktikaf sebulan di masjid ini iaitu masjid Nabawi di Madinah selama sebulan penuh.
(HR. Tobarani dalam Al Mu’jam Al Kabir no. 13280, 12: 453). Status: hadis hasan.

Pengajaran:

1.  Muslim yang paling dicintai oleh Allah adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain. 

2.  Amalan yang paling dicintai oleh Allah adalah membuat orang lain bahagia antaranya dengan cara meringankan kesusahan seseorang,  membayarkan hutangnya atau menghilangkan rasa laparnya. 

3.  Seorang Muslim yang pergi untuk membantu bagi memenuhi keperluan seseorang, lebih dicintai Allah daripada dia beriktikaf sebulan di masjid Nabawi. 

Marilah kita merebut peluang membantu dan meringankan beban saudara Muslim kita yang terkesan dengan banjir, PKP dan lain-lain.  Jadilah Muslim yang bermanfaat pada orang lain.

06hb Januari  2022
03hb Jamadil Akhir 1443H

Tuesday 4 January 2022

Jadilah Manusia Terbaik

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jadilah Manusia Terbaik

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَفَ عَلَى أُنَاسٍ جُلُوسٍ  فَقَالَ : " أَلَا أُخْبِرُكُمْ بِخَيْرِكُمْ مِنْ شَرِّكُمْ  " قَالَ : فَسَكَتُوا  فَقَالَ ذَلِكَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ  فَقَالَ رَجُلٌ : بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ  أَخْبِرْنَا بِخَيْرِنَا مِنْ شَرِّنَا  قَالَ : " خَيْرُكُمْ مَنْ يُرْجَى خَيْرُهُ وَيُؤْمَنُ شَرُّهُ  وَشَرُّكُمْ مَنْ لَا يُرْجَى خَيْرُهُ وَلَا يُؤْمَنُ شَرُّهُ " 

Daripada Abu Hurarirah RA berkata, “Nabi SAW melewati sekelompok orang yang sedang duduk. Baginda SAW bersabda, “Mahukah aku beritahu kalian, orang yang terbaik di antara yang terburuk dalam kalangan kalian?” Mereka pun terdiam. Rasulullah SAW pun mengulangi pertanyaan tersebut sampai tiga kali. Kemudian mereka pun menjawab, “ya, wahai Rasulullah! Beritahu kepada kami siapakah orang yang terbaik di antara yang terburuk di antara kami.” Rasulullah SAW kemudian bersabda, “Manusia terbaik di antara kalian adalah yang diharapkan kebaikannya dan orang lain merasa aman dari gangguannya. Manusia terburuk di antara kalian adalah yang tidak diharapkan kebaikannya dan orang lain juga tidak merasa aman dari gangguannya.”
(HR. Tirmidzi No. 2263). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Manusia yang terbaik adalah yang sentiasa mendatangkan  kebaikan kepada orang lain dan orang lain merasa aman dari gangguannya. 

2.  Manusia terburuk adalah yang tidak mendatangkan kebaikan kepada orang lain malah orang lain merasa tidak aman dari gangguannya

3.  Jadikanlah kehadiran kita ditengah-tengah masyarakat sebagai orang yang bermanfaat dan dirasai oleh orang lain. Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ

Sebaik-baik manusia adalah orang paling bermanfaat bagi orang lain.
(HR Ibn Hibban  No:  2/48) 

4.  Orang yang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat pada orang lain. Sabda Rasulullah SAW:

أحَبُّ النَّاسِ إلى اللهِ أنفَعُهم للنَّاسِ

Orang paling dicintai Allah adalah orang yang paling bermanfaat bagi orang lain.
(Riwayat at-Tabarani) Al-Mu’jam Al-Ausot, no.hadis dan juzu’ : 6/139

5.  Jauhilah diri dari menjadi orang yang buruk akhlak dan orang lain tidak merasa aman dengan kehadiran kita di dalam masyarakat.

Moga kita berusaha menjadi orang yang bermanfaat.

05hb Januari  2022
02hb Jamadil Akhir 1443H

Saturday 1 January 2022

Hindari Amalan Buruk

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Hindari Amalan Buruk

عَنْ وَرَّادٍ كَاتِبِ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ أَنَّ مُعَاوِيَةَ كَتَبَ إِلَى الْمُغِيرَةِ أَنْ اكْتُبْ إِلَيَّ بِحَدِيثٍ سَمِعْتَهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَكَتَبَ إِلَيْهِ الْمُغِيرَةُ إِنِّي سَمِعْتُهُ يَقُولُ عِنْدَ انْصِرَافِهِ مِنْ الصَّلَاةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ قَالَ وَكَانَ يَنْهَى عَنْ قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةِ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةِ الْمَالِ وَمَنْعٍ وَهَاتِ وَعُقُوقِ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدِ الْبَنَاتِ

Daripada Warrad setiausaha Mughirah bin Syu'bah, bahawa Mu'awiyah berkirim surat kepada Mughirah "Tulislah untukku hadis yang pernah kamu dengar dari Rasulullah SAW Warrad berkata; Lantas Mughirah menjawab suratnya; "Sesungguhnya aku pernah mendengar baginda  selalu mengucapkan doa selepas solat iaitu; LAA-ILAAHA ILLALLAAH, WAHDAHU LAA SYARIIKA LAHU, LAHUL MULKU WALAHUL HAMDU WAHUWA 'ALAA KULLI SYAI'IN QADIIR, (Tiada sembahan yang berhak selain Allah, tiada sekutu bagi-Nya, Milik-Nya lah segala kerajaan dan bagi-Nya segala puji dan Dia maha berkuasa atas segala sesuatu)." Baginda mengucapkannya hingga tiga kali. Dan baginda juga melarang desas desus (gosip), banyak bertanya dan menghambur-hamburkan harta (membazir), baginda juga melarang mendurhakai ibu, menghalangi orang lain memperoleh kemanfaatan dan menanam hidup-hidup anak perempuan".
(HR Bukhari No: 5992) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW membaca wirid ini selepas solat fardhu sebanyak tiga kali:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

2.  Rasulullah melarang amalan buruk yang mendatangkan dosa:

a.  Khabar angin atau Gosip (rumor) yang disebarkan  

b.  Banyak bertanya  dalam perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan pahala

c.  Boros serta membazir dalam membelanjakan harta 

d.  Mendurhakai ibu

e.  Menghalang orang lain daripada mendapat manfaat atau kebaikan

f.  Menanam anak perempuan hidup-hidup 

Mari kita berazam di awal tahun baru 2022 ini untuk menjauhkan diri daripada perbuatan buruk dan berdosa.

Kita mulakan dengan wirid diatas yang diajar oleh Baginda selepas solat fardhu.

02hb Januari  2022
28hb Jamadil Awal 1443H

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Menjauhi Perkara Yang Tidak Diingini

عَنْ أَبِي ذَرٍّ أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: مَنْ قَالَ فِي دُبُرِ صَلاَةِ الفَجْرِ وَهُوَ ثَانٍ رِجْلَيْهِ قَبْلَ أَنْ يَتَكَلَّمَ: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ عَشْرَ مَرَّاتٍ كُتِبَتْ لَهُ عَشْرُ حَسَنَاتٍ وَمُحِيَ عَنْهُ عَشْرُ سَيِّئَاتٍ وَرُفِعَ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ وَكَانَ يَوْمَهُ ذَلِكَ كُلَّهُ فِي حِرْزٍ مِنْ كُلِّ مَكْرُوهٍ وَحُرِسَ مِنَ الشَّيْطَانِ وَلَمْ يَنْبَغِ لِذَنْبٍ أَنْ يُدْرِكَهُ فِي ذَلِكَ اليَوْمِ إِلاَّ الشِّرْكَ بِاللَّهِ. 

Daripada Abu Dzar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda: "Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata dia membaca: Tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah tidak ada sekutu bagi-Nya, semua kerajaan milik-Nya dan bagi-Nya seluruh pujian, Dia yang menghidupkan, serta mematikan, dan Dia Maha Mampu melakukan segala sesuatu, sebanyak 10 kali, maka tercatat untuknya sepuluh kebaikan dan terhapus darinya sepuluh kesalahan serta diangkat untuknya sepuluh darjat, dan pada hari itu dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini, serta terjaga dari Syaitan, begitu juga tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu kecuali syirik kepada Allah."
(HR Tirmidzi No: 3474) Status: Hassan Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim digalakkan berzikir dan berdoa selepas solat.

2.  Antara zikir yang dianjurkan untuk dibaca selepas solat Subuh dalam keadaan menyilangkan kedua kakinya (dalam kedudukan tasyahud), sebelum berkata-kata yang lain adalah; 

لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Barang siapa membaca sebanyak 10 kali, maka:

a.  Dicatat untuknya sepuluh kebaikan 

b.  Terhapus daripadanya sepuluh kesalahan

c.  Diangkat untuknya sepuluh darjat

d.  Pada hari tersebut dia berada dalam perlindungan dari segala yang tidak diingini

e.  Terjaga dari Syaitan pada hari tersebut

f.  Tidak layak ada dosa atasnya pada hari itu (terampun) kecuali dosa syirik kepada Allah

3.  Orang yang membaca zikir ini selepas solat subuh sebanyak 10 kali dalam keadaan masih duduk seperti tahiyat akhir dan belum bercakap yang lain, maka akan terpelihara daripada sesuatu yang tidak diingini termasuklah pelbagai penyakit seperti virus Covid 19 juga dilindungi dari mara bahaya yang lain.

Marilah kita menjaga amalan wirid ini selepas solat fardhu subuh juga maghrib. Moga kita terhindar daripada sebarang penularan wabak penyakit juga dilindungi daripada sebarang musibah.

01hb Januari  2022
27hb Jamadil Awal 1443H

BANTUAN BENCANA BANJIR KELUARGA MALAYSIA

Selaras dengan pengumuman YAB PM semalam, berikut adalah inisiatif-inisiatif Kerajaan khusus untuk meringankan beban mangsa banjir:⠀
📌 Bantuan Wang Ihsan (BWI) sejumlah RM1,000 untuk setiap Ketua Isi Rumah terkesan dan bantuan kematian RM10,000 kepada waris mangsa⠀
📌 Sumbangan Pembelian Barang Keperluan sejumlah RM2,500 bagi mangsa yang mengalami kerosakan barangan/peralatan rumah akibat kediaman ditenggelami air. 

📌 Bantuan Baik Pulih Rumah sehingga RM5,000 bagi membaik pulih rumah yang terjejas. Bagi kerosakan serius, Kerajaan menyediakan bantuan sehingga RM15,000 dan RM56,000 untuk pembinaan semula rumah yang musnah⠀
📌 Rebat Pembelian Barangan Elektrik RM500 bagi menggantikan barangan-barangan elektrik yang rosak akibat banjir⠀
📌 Rebat Bil Elektrik 100% bagi bulan Disember
📌 Diskaun Baik Pulih Kenderaan merangkumi servis tunda percuma, diskaun 25% upah baik pulih dan 50% untuk alat ganti kereta oleh Proton. Manakala Perodua pula menawarkan servis tunda dan upah baik pulih percuma, serta 50% diskaun untuk alat ganti kereta. Syarikat-syarikat kenderaan berdaftar dengan MAA juga menawarkan servis tunda percuma serta diskaun sekurang-kurangnya 25% bagi upah baik pulih dan alat ganti kenderaan⠀
📌 Kerajaan juga menyediakan rebat baik pulih / penggantian kenderaan baharu sejumlah RM1,000 kepada mangsa banjir⠀
Secara keseluruhan, mangsa banjir boleh menerima bantuan sehingga RM61,000. 

Saya berharap bantuan Kerajaan ini akan dapat meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan dengan musibah banjir yang melanda negara.⠀

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10216711322134148&id=1794406024

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...