Friday 20 December 2013

Tempat Membeli - Belah Menarik di KL dan Petaling


Kuala Lumpur yang tersenarai sebagai bandar raya beli-belah keempat terbaik di dunia selepas New York, Tokyo dan London oleh CNN menerusi kajian ‘10 Top Best Shopping Cities in The World’ dan menduduki tempat kedua destinasi beli-belah terbaik di Asia Pasifik dalam kajian Globe Shopper Index merancakkan lagi aktiviti kegemaran ramai ini.

Foto
SURIA KLCC

Terletak di Menara Berkembar Petronas. Kompleks beli-belah Suria KLCC adalah antara lokasi pilihan ramai tidak kira warga tempatan mahupun pelancong antarabangsa.

Dengan rekaan unik, Suria KLCC menawarkan pelbagai barangan dan perkhidmatan meliputi fesyen, hiburan, seni dan budaya serta makanan dalam dan luar negara.
Jualan murah, jualan penghabisan stok, jualan hujung tahun, jualan Krismas! Hampir setiap gedung dan pasar raya kini menawarkan pelbagai potongan harga yang cukup mengujakan.

Kuala Lumpur yang tersenarai sebagai bandar raya beli-belah keempat terbaik di dunia selepas New York, Tokyo dan London oleh CNN menerusi kajian ‘10 Top Best Shopping Cities in The World’ dan menduduki tempat kedua destinasi beli-belah terbaik di Asia Pasifik dalam kajian Globe Shopper Index merancakkan lagi aktiviti kegemaran ramai ini.
Tarikan lain di sini adalah taman rekreasi seisi keluarga, Petronas Art Gallery, Petrosains dan juga kawasan tinjau Sky Bridge yang menggabungkan Menara Berkembar Petronas.

Selain itu, Suria KLCC dikelilingi hotel dan taman yang indah dengan air pancuran memberikan keseronokan kepada pengunjung.


SUNGEI WANG PLAZA

Dikenali juga sebagai ‘The River Of Gold’. Terletak dalam Golden Triangle, Sungei Wang Plaza mempunyai tarikan tersendiri. Ia mempunyai lebih daripada 800 kedai yang menjadi syurga untuk mereka yang gemar membeli-belah.

Mengunjungi Sungei Wang Plaza sebagai lokasi beli-belah cukup menyenangkan kerana ia menawarkan tempat letak kereta yang banyak, di samping mudah di­akses dengan pengangkutan awam. 

STARHILL GALLERY

Starhill Gallery menawarkan pelbagai barangan mewah dan berjenama. Oleh itu, ia disenaraikan sebagai ‘pusat beli-belah paling cantik di Asia’. 

Dibina dengan teknologi terkini dengan menawarkan pengalaman beli-belah lebih privasi dan punya kelas tersendiri, Starhill Gallery menjadi perintis dalam kemewahan antarabangsa.

Pusat beli-belah tujuh tingkat ini bukan saja menawarkan barangan berkualiti tinggi tetapi juga memberikan persekitaran hebat dan bergaya prestij buat pengunjungnya.

Ikon kemewahan antarabangsa, kedai dan butik terkemuka dunia dan banyak lagi yang ditawarkan di Starhill Gallery.

Aras paling dramatik dan menampilkan konsep seni bina tersendiri ialah Feast Village yang menonjolkan 13 restoran bercita rasa antarabangsa. Dengan aneka hidangan antarabangsa, Feast Village menawarkan makanan laut, Barat, India, Jepun, Thailand, Timur Tengah dan Korea yang pastinya memberikan kelainan kepada pengunjung untuk menjamu selera.


MID VALLEY MEGAMALL

Disenaraikan sebagai gedung terkemuka dan keenam terbesar di dunia, dengan pelbagai barangan boleh didapati, daripada barangan berjenama hinggalah barangan dapur, segala-galanya ada di Mid Valley Megamall.

Mid Valley Megamall juga menawarkan perkhidmatan yang pelbagai dan kerana itu ia sentiasa dikunjungi ramai pengunjung tidak kira masa.


PAVILION KUALA LUMPUR

Alami keseronokan membeli-belah yang menawarkan barangan terbaik, fesyen dan banyak lagi aksesori lain di 500 kedai.

Terletak di tengah-tengah kawasan yang cukup bergaya sekitar Bukit Bintang, Pavilion adalah pusat beli-belah terkemuka negara yang dikunjungi pelbagai lapisan masyarakat dan pelancong asing.

Di Pavilion, selain membeli-belah, pengunjung berpeluang melihat keindahan malam di Pavilion Crystal Fountain iaitu air pancuran kristal tertinggi di Malaysia yang juga diiktiraf Malaysia Book of Records.

Tujuh kawasan menempatkan butik utama dari seluruh dunia menanti untuk dikunjungi anda yang gemar aktiviti membeli-belah.


KENANGA WHOLESALE CITY

Ia satu lagi pusat beli-belah yang semakin menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar negara. Gedung terbaru ini menjadi pusat sehenti bagi industri borong fesyen Asia, dengan lebih daripada 800 lot dan ruang runcit seluas 46,452 meter persegi.

Pelbagai jenis fesyen wanita, lelaki dan kanak-kanak, aksesori, kasut, hadiah, cenderamata, bara­ngan kulit dan banyak lagi yang ditawarkan buat peng­gemar aktiviti membeli-­belah dan fesyen semasa.

Lebih menarik, semua­nya di bawah satu bumbung. Harganya pula usah ­ditanya. Ini kerana anda boleh memperoleh harga ­terhebat di sini dengan setiap pembelian yang dilakukan. 


SUNWAY PYRAMID

Berada di tangga ke-9 daripada 10 pusat beli-belah terbesar di dunia, Sunway Pyramid bukan saja menawarkan suasana beli-belah yang menyeronokkan, malah menyediakan kelengkapan dan kemudahan terbaik merang­kumi pelbagai aspek.

Antara yang menarik boleh dicuba sambil berbelanja adalah bermain luncur ais, boling, memanah, taman tema mini dan menonton wayang.

Sunway Pyramid juga adalah pusat beli-belah pertama yang menyediakan lampu pemberitahuan di setiap petak letak kenderaan bagi memudahkan pengunjung mencari petak kosong.


BERJAYA TIMES SQUARE

Terletak di Jalan Imbi dan betul-betul di tengah Kuala Lumpur, Berjaya Times Square dengan keluasan 696,776 meter persegi adalah pusat beli-belah yang menempatkan 1,000 lot kedai, taman tema, pawagam, kedai makan dan banyak lagi yang memenuhi keperluan pengunjung pertengahan.

Sama ada anda ingin membeli pelbagai jenis pakaian, penginapan mewah, kemudahan perniagaan atau restoran, Berjaya Times Square mempunyai semua itu di bawah satu bumbung. 


ONE UTAMA SHOPPING ­CENTRE

Dengan slogan ‘It’s all in one’, destinasi beli-belah terkemuka negara, One Utama Shopping Centre menggabungkan gaya hidup perdana dan tempat tumpuan hiburan.

Pusat beli-belah ini pernah memenangi pelbagai anugerah dan bukan saja memberi peluang kepada pengunjung membeli pelbagai barangan diinginkan, tetapi juga menawarkan aktiviti lain.

Jambatannya yang menyambungkan sayap lama dan sayap baru nyata tidak membosankan kerana pelbagai kedai dengan jualan masing-masing menawarkan harga berpatutan.

Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati kehijauan alam semula jadi di sudut hutan hujan tropika atau di Secret Garden, taman atas bumbung terbesar di Asia Tenggara.


Wednesday 18 December 2013

Jumlah Perdagangan Malaysia Meningkat

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan kepada 3.4 peratus dengan nilai RM1.132 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding RM1.095 trilion pada tempoh masa sama pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, jumlah eksport mencatatkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus kepada RM591.83 bilion, manakala import 6.3 peratus kepada RM540.38 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Wong Lai Sum berkata, peningkatan eksport itu dilihat satu perkembangan baik bagi negara memandangkan negara mencatatkan penurunan pada separuh pertama tahun ini dan menjangkakan prestasi itu mampu dikekalkan menjelang hujung tahun ini.

“Kami percaya mampu mencapai sasaran pertumbuhan jumlah eksport kepada satu hingga dua peratus pada suku terakhir tahun ini dengan negara kini berada pada landasan baik dalam mencatatkan jumlah dagangan keseluruhan lebih tinggi berbanding tahun lalu,” katanya pada majlis taklimat media mengenai aktiviti promosi perdagangan MATRADE, di sini, semalam. Beliau berkata, negara menyasarkan pertumbuhan eksport sebanyak dua hingga tiga peratus pada tahun depan dibantu penyertaan dalam sektor yang mencatatkan pertumbuhan pantas seperti minyak dan gas, elektrik dan elektronik, telekomunikasi, peralatan perubatan, bahan kimia dan lain-lain. “Kami akan terus menerokai pasaran di seluruh dunia dengan tumpuan diberikan kepada negara di sekitar Asia, Amerika Latin, Rusia, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah di samping menerokai kembali pasaran di beberapa negara seperti Uganda, Afrika, Chile dan Kazakhstan,” katanya.

Sunday 15 December 2013

PR1MA bantu pembeli tak layak pinjaman

Kuala Lumpur: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan memperkenalkan program bantuan pembeli rumah pada awal tahun depan bagi membantu mereka yang tidak layak untuk pinjaman perumahan daripada bank-bank, tetapi dipilih untuk memiliki rumah perumahan rakyat 1Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias (gambar) berkata, PR1MA kini bekerjasama dengan rakan kongsi untuk membangunkan skim pembiayaan khas itu dan sedang menyiapkan butiran akhir.

Beliau berkata, terdapat pembeli yang berjaya dalam pengundian gagal mendapat pembiayaan bank.
“Kami pernah melihat orang menangis selepas berjaya dalam pengundian kerana mereka tidak boleh mendapat pembiayaan. Kami berpendapat perlu ada mekanisme lain yang kami boleh berikan bantuan, oleh itu adanya program bantuan pembeli kami ini,” katanya.

Meskipun PR1MA berharap peratusan pembeli yang mendapat pembiayaan bank meningkat, terdapat keperluan untuk mereka bentuk skim seumpama itu untuk bertindak sebagai penampan.

“Program sebegini terdapat dalam Akta PR1MA 2012. PR1MA dibenarkan untuk mengadakan pelbagai program bantuan bagi membantu pembeli yang disasarkan yang tidak boleh mendapatkan pembiayaan. Setakat ini, kita hanya bergantung kepada pembiayaan bank,” katanya.
Beliau berkata, akan terdapat dua skim iaitu ‘Pelan Sewa & Bayar’ serta ‘Pelan Sewa & Tinggal’ untuk dipilih pembeli dan apabila mereka mampu mendapatkan pembiayaan bank, mereka boleh membeli rumah itu pada harga asal.

“Secara progresif, apabila pendapatan mereka meningkat, mereka akan boleh mendapatkan pembiayaan bank dan menukar skim ini pada pembiayaan tradisional biasa pada harga asal.
“Skim ini juga dibuka kepada pemohon yang mencari rumah kedua. Kami sentiasa menegaskan bahawa mereka yang sudah memiliki rumah layak memohon PR1MA. Rasionalnya adalah mudah. Sesetengah orang membeli sebuah rumah di lokasi yang tidak menguntungkan kerana itu yang mereka mampu pada masa itu,” katanya. - BERNAMA


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...