Wednesday 18 December 2013

Jumlah Perdagangan Malaysia Meningkat

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan peningkatan jumlah perdagangan kepada 3.4 peratus dengan nilai RM1.132 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini berbanding RM1.095 trilion pada tempoh masa sama pada tahun lalu. Daripada jumlah itu, jumlah eksport mencatatkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus kepada RM591.83 bilion, manakala import 6.3 peratus kepada RM540.38 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Wong Lai Sum berkata, peningkatan eksport itu dilihat satu perkembangan baik bagi negara memandangkan negara mencatatkan penurunan pada separuh pertama tahun ini dan menjangkakan prestasi itu mampu dikekalkan menjelang hujung tahun ini.

“Kami percaya mampu mencapai sasaran pertumbuhan jumlah eksport kepada satu hingga dua peratus pada suku terakhir tahun ini dengan negara kini berada pada landasan baik dalam mencatatkan jumlah dagangan keseluruhan lebih tinggi berbanding tahun lalu,” katanya pada majlis taklimat media mengenai aktiviti promosi perdagangan MATRADE, di sini, semalam. Beliau berkata, negara menyasarkan pertumbuhan eksport sebanyak dua hingga tiga peratus pada tahun depan dibantu penyertaan dalam sektor yang mencatatkan pertumbuhan pantas seperti minyak dan gas, elektrik dan elektronik, telekomunikasi, peralatan perubatan, bahan kimia dan lain-lain. “Kami akan terus menerokai pasaran di seluruh dunia dengan tumpuan diberikan kepada negara di sekitar Asia, Amerika Latin, Rusia, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah di samping menerokai kembali pasaran di beberapa negara seperti Uganda, Afrika, Chile dan Kazakhstan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...