Thursday 7 November 2013

S'gor Dimuktamad Ambilalih SYABAS dan 3 Syarikat Konsesi Air



Kerajaan negeri Selangor dimuktamadkan untuk mengambil alih dan mengurus sepenuhnya empat syarikat konsesi bekalan air di negeri itu, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. 

Beliau berkata surat rasmi yang diterima pada 9 September lepas daripada kerajaan persekutuan menunjukkan kesepakatan untuk kedua-dua pihak menyelesaikan segera isu pengurusan air demi kesejahteraan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  
"Benar, pengurusan SYABAS telah diberikan kepada kerajaan negeri namun sekarang, kita masih berunding dengan pihak terlibat tentang bayaran dan nilai pengambilalihan tersebut.
  
"Jika rundingan dapat diselesaikan pada hujung tahun ini, proses mengambi alih akan memakan sedikit masa...mungkin dalam tiga hingga enam bulan.
  
"Apa yang penting, para pekerja syarikat konsesi air itu tidak akan diberhentikan malah boleh bekerja seperti biasa cuma di bawah pentadbiran baru saja," katanya kepada pemberita di Shah Alam hari ini.
  
Katanya, biarpun pihaknya diberi kuasa penuh mentadbir industri air di negeri itu, namun kerajaan persekutuan tetap menjadi pemegang saham emas sebagai syarat keempat-empat syarikat itu tidak boleh dijual kepada pihak lain melainkan kerajaan persekutuan.

Terdapat empat syarikat konsesi air di Selangor - Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) yang merupakan anak syarikat Kumpulan Gamuda; dua anak syarikat Puncak Niaga Holdings Bhd, iaitu Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS); serta Korsortium Abass Sdn Bhd.
  
Kerajaan negeri telah membuat tawaran RM9.65 bilion untuk mengambil alih kesemua empat syarikat tersebut.
  
Abdul Khalid sebelum itu menghadiri majlis Himpunan Penghulu, Ketua-ketua kampung serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) seluruh negeri Selangor bagi mengenal pasti permasalahan penduduk.
  
Berhubung isu-isu penduduk yang disuarakan semasa himpunan itu, Abdul Khalid berkata pihaknya akan berusaha membantu menyelesaikan isu yang timbul.
  
Beliau berkata jumlah peruntukan kepada ketua-ketua masyarakat itu sebagai dana pembangunan komuniti desa akan diumum pada pembentangan belanjawan negeri 18 November ini.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...