Tuesday, 31 December 2024

Rejab Bulan Haram

*ASSALAMUALAIKUM wbt*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Rejab Bulan Haram*

عن أبي بكرة نفيع بن الحارث رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال‏:‏   الزَّمَانُ قَدْ اسْتَدَارَ كَهَيْئَتِهِ يَوْمَ خَلَقَ اللَّهُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ، السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا، مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثَةٌ مُتَوَالِيَاتٌ: ذُو القَعْدَةِ وَذُو الحِجَّةِ وَالمُحَرَّمُ، وَرَجَبُ مُضَرَ، الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

_*Daripada Abi Bakrah Nafi’ bin al Harith RA, dari Nabi SAW bersabda: “Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika Allah SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab Mudhor terletak antara Jamadi al-Akhir dan Sya’ban.”*_ (HR Bukhari No: 4054) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Bulan Haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) bermaksud bulan ini diharamkan berperang dan juga ia adalah bulan yang suci, di mana Allah SWT mengharamkan sebarang kezaliman dan setiap kezaliman yang dilakukan dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan yang lain.

2.  Mengikut Syeikh Mustafa al-Bugho, perkataan Mudhor pada Rejab ini dinisbahkan kepada satu kabilah yang dinamakan Bani Mudhor kerana kabilah ini amat menjaga akan pengharaman bulan tersebut berbanding bulan-bulan lain. 

3.  Imam al-Hafiz Ibn Kathir di dalam tafsirnya telah menukilkan pendapat Ibn Abbas RA yang menyatakan bahawa setiap kezaliman yang dilakukan di dalam bulan-bulan Haram ini, dosanya adalah lebih besar berbanding bulan-bulan lain. Begitu juga, amal soleh yang dilakukan juga adalah lebih besar (pahala) berbanding bulan-bulan yang lain. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 130/4)

4.  Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia. Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Isra’ dan Mikraj yang menurut majoriti ulama’ ia berlaku pada 27 Rejab.

5.  Bulan Rejab antara empat bulan Haram dimana kita digalak  menggandakan setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut. 

6.  Kita telah memasuki bulan Rejab, Abu Bakr Al-Balkhi berkata:

شَهْرُ رَجَبٍ شَهْرُ الزَّرْعِ  وَشَهْرُ شَعْبَانَ شَهْرُ سَقْيِ الزَّرْعِ وَشَهْرُ رَمَضَانَ شَهْرُ حِصَادِ الزَّرْعِ

Maksudnya: *Bulan Rejab waktu menanam, bulan Syaaban waktu menyiram tanaman dan bulan Ramadhan waktu menuai hasil.*

Untuk itu, marilah sama-sama kita mempertingkatkan amalan kita seperti solat sunat, puasa sunat, bersedeqah dan lain-lain lagi sebagai persiapan bertemu Ramadan nanti.

01hb Rejab 1446H
01hb Januari 2025

Monday, 30 December 2024

Doa Diberikan Hidayah, Taqwa, Afaf dan Kecukupan

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Doa Diberikan Hidayah, Taqwa, Afaf dan Kecukupan*

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى

_*Daripada Abdullah (Abdullah bin Mas’ud) daripada Nabi SAW bahawasanya baginda SAW pernah berdoa: "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan kecukupan (tidak meminta-minta)."*_ (HR Muslim  No: 2721) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Rasulullah SAW mengajar kita berdoa agar dikurniakan petunjuk, memiliki sifat taqwa, dikurniakan sifat ‘afaf (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan ghina (tidak meminta-minta).

2.  Hidayah ialah petunjuk dan bimbingan daripada Allah SWT. Tiada seorang pun yang mendapat hidayah melainkan hanya Allah sahaja yang memberikannya.

3.  Setiap orang perlu meminta hidayah kepada Allah, agar dibimbing untuk mengukuhkan keimanannya, meningkatkan amal solehnya dan tutur bicaranya serta akhlak yang baik dalam menghadapi pelbagai masalah dunia dan akhirat.

4.  Jika seseorang yang menginginkan agar dirinya diberi hidayah untuk menjadi seorang Muslim yang baik, bertaqwa, dapat menjalani kehidupan ini dengan baik, selamat, hati yang damai dan terhindar daripada perbuatan yang buruk, maka mintalah hanya kepada Allah SWT, bukan kepada yang lain.

5.  Imam Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim: mengatakan, “”Afaf bermakna menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak diperbolehkan. Sedangkan al-ghina adalah hati yang selalu merasa cukup dan tidak perlu kepada apa yang ada di sisi manusia.”

6.  Marilah sempena kehadiran tahun baru 2025 ini, kita perbanyakkan berdoa dengan doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW ini:

*اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى وَالتُّقَى وَالْعَفَافَ وَالْغِنَى*

Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, al-iffah (terhindar daripada perbuatan yang tidak baik) dan al-ghina (kecukupan serta tidak meminta-minta)

Rasulullah mengajar kita agar meminta empat perkara dalam doa ini:

a.  Al-huda iaitu petunjuk dalam ilmu dan amal. 

b.  Al-taqwa iaitu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan.

c.  Al-afaf iaitu dijauhkan dari perkara yang diharamkan seperti zina dan yang seumpamanya.

d.  Al-ghina iaitu dicukupkan oleh Allah dari apa yang ada di sisi manusia dengan sifat qonaah, selalu merasa cukup ketika Allah memberinya harta sedikit atau pun banyak.

Moga dengan berakhirnya tahun masihi 2024 dan menjelangnya tahun 2025, Allah menganugerahkan kita dengan petunjuk yang akan memandu kita menjadi orang yang bertakwa serta memiliki sifat yang menjauhkan kita dari yang haram dan sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang ada.

29hb Jamadil Akhir 1446H
31hb Disember 2024

Sunday, 29 December 2024

Zikir Pagi dan Petang

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Pagi dan Petang 

عَنْ أَبَانَ بْنِ عُثْمَانَ قَال سَمِعْتُ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَقُولُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ يَقُولُ فِي صَبَاحِ كُلِّ يَوْمٍ وَمَسَاءِ كُلِّ لَيْلَةٍ بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لَمْ يَضُرَّهُ شَيْءٌ

Daripada Aban bin Utsman ia berkata; saya mendengar Utsman bin 'Affan RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Tidaklah seorang hamba setiap pagi dan petang hari mengucapkan; BISMILLAAHILLADZII LAA YADHURRU MA'AS MIHI SYAI UN FIL ARDHI WA LAA FIS SAMAAI WA HUWAS SAMII'UL 'ALIIM (Dengan menyebutkan nama Allah yang tidak ada sesuatupun dengan menyebut namaNya yang boleh memudaratkan di bumi mahupun di langit dengan izin-Nya, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha mengetahui) sebanyak tiga kali melainkan ia tidak akan dimudaratkan oleh sesuatupun dengan izin Allah." (Sunan Tirmidzi No: 3310) Status: Hadis Hasan Sahih 

Pengajaran:

1. Setiap Muslim dituntut untuk sentiasa berzikir dan berdoa kepada Allah.

2. Pelbagai jenis zikrullah dan doa boleh dibaca, sama ada mengikut peristiwa, perkara yang ingin dilakukan atau masa tertentu.

3. Ada zikir dan doa yang digalakkan untuk dibaca pada pagi dan petang, antaranya:

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dengan menyebutkan nama Allah yang tidak ada sesuatupun dengan menyebut namaNya yang boleh memudaratkan di bumi mahupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha mengetahui

4. Barangsiapa yang membaca doa di atas pada pagi dan petang hari sebanyak 3 kali, dengan izin Allah, dia akan dijauhi dari sesuatu kecelakaan.

5. Doa ini mengajar kita untuk sentiasa bergantung kepada Allah dalam apa jua keadaan. Keyakinan bahawa hanya Allah yang berkuasa melindungi kita daripada bahaya menjadikan hati lebih tenang.

6. Hadis ini menegaskan bahawa tiada sesuatu pun yang dapat memberi manfaat atau mudarat melainkan dengan izin Allah. 

Ayuh kita amalkan bacaan doa ini yang boleh dibaca sebaik-baiknya selepas solat Asar dan Subuh.

28hb Jamadil Akhir 1446H
30hb Disember 2024

Saturday, 28 December 2024

Pengadu Domba Tidak Masuk Syurga

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pengadu Domba Tidak Masuk Syurga

عَنْ حُذَيْفَةَ قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ

Daripada Hudzaifah RA berkata, "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak akan masuk syurga orang yang suka mengadu domba'." (HR Muslim No: 151) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Setiap Muslim perlu memperlihatkan akhlak mulia dan saling mengasihi.

2. Muslim dilarang menjadi pengadu domba, penghasut dan menyebarkan fitnah, gossip dan cerita yang boleh mencerai beraikan hubungan ukhuwah sesama Muslim.

3. Namimah atau pengadu domba tergolong dalam perbuatan dosa besar kerana ia melibatkan penipuan, pengkhianatan amanah, dan kerosakan masyarakat. Perbuatan ini boleh membawa kepada perpecahan keluarga, organisasi, masyarakat dan negara.

4. Tidak akan masuk syurga orang yang menjadi pemfitnah dan pengadu domba. Namun jika dia bertaubat bersungguh-sungguh kepada Allah, Allah akan mengampuni dosa-dosanya.

5. Setiap Muslim perlu memainkan peranan aktif dalam menjaga ukhuwah dengan mencegah penyebaran gosip atau fitnah. Jangan biarkan diri menjadi medium untuk menyampaikan berita yang boleh merosakkan hubungan orang lain.

Jadilah kita orang yang menyembunyikan aib saudaranya, bukan pengadu domba. Berusahalah mengeratkan hubungan ukhuwah sesama kita serta berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat.

27hb Jamadil Akhir 1446H
29hb Disember 2024

Friday, 27 December 2024

Membela Muslim Yang Dizalimi Akan Terhindar Dari Neraka

*ASSALAMUALAIKUM wbt*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membela Muslim Yang Dizalimi Akan Terhindar Dari Neraka

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ الْمُسْلِمِ كَانَ حَقًّا عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ يَرُدَّ عَنْهُ نَارَ جَهَنَّمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Daripada Abu Darda' dari Nabi SAW, baginda bersabda: "Barangsiapa membela harga diri saudaranya sesama Muslim (mempertahankan kehormatan dan maruah), maka sudah menjadi hak Allah untuk menghindarkannya daripada neraka pada hari Kiamat." (HR Tirmizi No: 1931) Status: Hadis Hasan

Pengajaran:

1. Menjadi kewajipan seorang Muslim mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudaranya yang diketahui seorang yang baik, jika ia dizalimi dengan umpatan, dihina, difitnah, atau diperleceh.

2. Orang yang mempertahankan kehormatan dan maruah diri saudara Muslim yang lain, nescaya Allah akan menghindarkannya daripada api neraka pada hari kiamat. Ganjaran ini mencerminkan betapa pentingnya sikap peduli terhadap kehormatan sesama Muslim.

3. Diam ketika melihat saudara Muslim dihina atau diperlakukan secara tidak adil boleh membawa kepada kerosakan yang lebih besar. Islam mengajarkan umatnya untuk tegas dalam mempertahankan hak dan kebenaran.

4. Melindungi maruah satu sama lain akan memperkukuh ukhuwah Islamiyah, menjadikan masyarakat lebih aman dan saling menghormati.

Marilah kita menghormati hak saudara kita dengan menjaga maruahnya dan menghalang daripada diumpat, difitnah mahupun dihina. Semoga kita akan dipelihara daripada api neraka di akhirat nanti.

Jangan sekali-kali kita terjebak dengan kelompok pengumpat dan pemfitnah dengan cara memforward sebarang mesej yang mengandungi unsur tersebut atau membiarkan tanpa pembelaan.


26hb Jamadil Akhir 1446H
28hb Disember 2024

Thursday, 26 December 2024

Makanan Paling Baik Hasil Usaha Sendiri

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Makanan Paling Baik Hasil Usaha Sendiri

عَنْ الْمِقْدَامِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ

Daripada Al Miqdam RA dari Rasulullah SAW baginda bersabda: "Tidak ada seseorang yang memakan satu makanan pun yang lebih baik dari makanan hasil usaha tangannya (bekerja) sendiri. Dan sesungguhnya Nabi Allah Daud AS. memakan makanan dari hasil usahanya sendiri." . (HR Bukhari No: 1930) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Islam menganjurkan umatnya supaya bekerja keras mencari rezeki dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain. Makanan paling baik yang di makan adalah datang dari hasil usaha sendiri.

2.  Pekerjaan dari hasil usaha dan penat lelah seseorang yang halal dan bersih adalah lebih baik dan barakah walaupun sedikit.

3. Islam memandang kerja sebagai satu ibadah jika dilakukan dengan niat yang betul dan bersungguh-sungguh. 

4.  Bekerja untuk menyara diri serta keluarga dan menghindari dari meminta-minta adalah suatu tindakan mulia malah ia  menjadi sedekah buatnya. Hadis Nabi SAW:

عَنْ الْمِقْدَامِ بْنِ مَعْدِيكَرِبَ الزُّبَيْدِيِّ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا كَسَبَ الرَّجُلُ كَسْبًا أَطْيَبَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ وَمَا أَنْفَقَ الرَّجُلُ عَلَى نَفْسِهِ وَأَهْلِهِ وَوَلَدِهِ وَخَادِمِهِ فَهُوَ صَدَقَةٌ

Daripada Al Miqdam bin Ma'dikarib Az Zubaidi dari Rasulullah SAW, baginda bersabda: "Tidak ada yang lebih baik dari usaha seorang laki-laki kecuali dari hasil tangannya (bekerja) sendiri. Dan apa sahaja yang dinafkah oleh seorang laki-laki kepada diri, isteri, anak dan pembantunya adalah sedekah."  (Sunan Ibnu Majah No: 2129) Status: Hadis Sahih

Pastikan wang yang kita perolehi untuk menyara diri dan keluarga hasil daripada usaha gigih kita bekerja bukan mengharap belas kasihan pemberian orang lain.


25hb Jamadil Akhir 1446H
27hb Disember 2024

Wednesday, 25 December 2024

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Malaikat Mendoakan Kebaikan Kepada Pendoa   

عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يَدْعُو لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ إِلَّا قَالَ الْمَلَكُ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Daripada Abi Darda RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan, melainkan malaikat akan mendoakannya pula: 'Dan bagimu kebaikan yang sama.' (HR Muslim No: 4912) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Antara adab persaudaraan dan menjaga ukhuwah serta berkasih sayang sesama Muslim ialah mendoakan kebaikan kepada sahabat kita.

2.  Mereka yang mendoakan sahabatnya tanpa pengetahuan orang yang didoakan, menunjukkan keikhlasan hatinya dan malaikat juga akan mendoakan kebaikan yang sama untuk dirinya.

3. Mendoakan sahabat yang lain walaupun tanpa diminta mencerminkan menifestasi ukhuwah Islamiah sejati. Dia tidak hanya memikirkan kebaikan untuk dirinya malah juga untuk saudara muslim yang lain. 

4.  Doa seseorang kepada sahabatnya tanpa pengetahuannya adalah mustajab. Sepertimana hadis Rasulullah SAW:

Daripada Safwan bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

دَعْوَةُ الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ لأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ مُسْتَجَابَةٌ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ مُوَكَّلٌ كُلَّمَا دَعَا لأَخِيهِ بِخَيْرٍ قَالَ الْمَلَكُ الْمُوَكَّلُ بِهِ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلٍ

Maksudnya: “Doa seseorang muslim untuk saudaranya secara berjauhan (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di kepalanya (yang berdoa) terdapat malaikat yang diwakilkan kepadanya, setiap kali dia berdoa kepada saudaranya dengan kebaikan maka malaikat yang diwakilkan itu akan berkata: Amin dan bagi engkau seperti itu juga (sama seperti apa yang didoakan itu)”. (Riwayat Muslim No: 4914) Status: Hadis Sahih

دُعَاءُ الأخِ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الغَيبِ لايُرَدُّ

"Doa seseorang kepada saudaranya yang tidak ada disisinya, tidak akan tertolak" (HR Al-Bazzar: 500)

Marilah kita doakan saudara Muslim kita khususnya di Palestin diberikan kekuatan, ketabahan dan kemenangan.  Jangan lupa doakan juga pemimpin   kita dengan kebaikan. Moga dapat memacu Malaysia menjadi negara yang baik dan dirahmati. 

Al-Fudhayl bin 'Iyadh berkata: "Jika aku memiliki satu doa yang mustajab, nescaya akan kudoakan (kebaikan) buat sang pemimpin" (Abu Nu'aym al-Asbahani).

Imam Ahmad bin Hanbal mewajibkan dirinya untuk mendoakan ulil amri siang dan malam supaya dikurniakan ketepatan, taufik dan pertolongan  (al-Khallal).

24hb Jamadil Akhir 1446H
26hb Disember 2024

Tuesday, 24 December 2024

Jaga Iman dan Lidah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Jaga Iman dan Lidah

وعن سفيان بن عبد الله رضي الله عنه قال‏:‏ قلت يَا رَسُوْلَ اللهِ حَدِّثْنِيْ بِأَمْرٍ أَعْتَصِمُ بِهِ قالَ : قُلْ رَبِّيَ اللهُ، ثُمَّ اسْتَقِمْ  قُلْتُ : يَا رَسُوْلَ اللهِ مَا أَخْوفُ مَا تَخَافُ عَلَيَّ؟ فَأَخَذَ بِلِسَانِ نَفْسِهِ ، ثُمَّ قَال : هَذَا

Daripada Sufyan Ibnu ‘Abdillâh radhiyallaahu ‘anhu, ia berkata: “Aku berkata: “Wahai Rasûlullâh, ajarkanlah aku tentang sesuatu yang aku jadikan sebagai pegangan!” Baginda bersabda: “Katakanlah, Allâh adalah Tuhanku, kemudian istiqamahlah (dengan kalimat tadi). Aku berkata: “Wahai Rasûlullâh perkara apa yang paling engkau takutkan atasku?” Maka Rasûlullâh SAW memegang lidahnya kemudian bersabda: “Ini!” (HR Tirmizi No: 1965) Status Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menggambarkan nasihat Rasulullah SAW kepada sahabat mengenai perkara penting dalam menjaga keimanan dan kehidupan sebagai seorang Muslim iaitu menyatakan keimanan kepada Allah dengan penuh yakin dan beristiqamah di atas jalannya di samping memberi amaran tentang bahaya lisan.

2.  Keimanan kepada Allah dengan mengesakan-Nya dalam ibadah, ketaatan dan pergantungan menjadi asas dalam kehidupan Muslim.

3.  Istiqamah dalam ketaatan kepada Allah dan sentiasa memperbaiki diri dengan melaksanakan amal soleh dan menjauhi larangan adalah dituntut sebagai bukti keimanan kepada Allah SWT.

4.  Istiqamah tidak bermaksud melakukan amal yang banyak dalam satu masa, tetapi melakukan amal yang sedikit namun berterusan. Allah lebih mencintai amalan yang berterusan walaupun kecil.

5.  Rasulullah SAW memberi amaran bahawa lidah adalah salah satu bahagian tubuh yang paling berbahaya jika tidak dijaga. Banyak dosa besar berkaitan dengan lisan, dan ini memerlukan seorang Muslim untuk berhati-hati dalam setiap perkataannya.

6.  Seorang Muslim dituntut berkata perkara yang baik atau diam jika tiada perkara baik untuk diperkatakan. Rasulullah SAW mengingatkan:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: “Barang siapa beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaknya ia berkata yang baik atau diam." (HR Bukhari No: 5673)


23hb Jamadil Akhir 1446H
25hb Disember 2024

Monday, 23 December 2024

Antara Angan-angan dan Ajal

ASSALAMUALAIKUM wbt.

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Antara Angan-angan dan Ajal

عَنْ أَنَسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ خَطَّ النَّبي صلى الله عليه وسلم خُطُوطاً فقال : هذا الأَمَلُ وهذا أَجَلُهُ فَبَيْنَمَا هُوَ كَذَلِكَ إِذْ جَاءَهُ الْخَطُّ الْأَقْـرَبُ

Daripada Anas RA ia berkata, Nabi SAW membuat beberapa garisan, lalu baginda bersabda, ini angan-angan (manusia), dan ini adalah ajalnya. Ketika ia dalam keadaan demikian (mengejar angan-angan), tiba-tiba datanglah kepadanya garis yang paling dekat (ajalnya). (HR Bukhari No: 6493) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah menggambarkan hakikat kehidupan manusia melalui sebuah lukisan dengan garis-garis, di mana garis panjang mewakili angan-angan, dan garis pendek mewakili ajal (kematian).

2.  Angan-angan yang terlalu panjang boleh melalaikan manusia daripada tanggungjawab mereka kepada Allah SWT. Oleh itu, seorang Muslim perlu memastikan bahawa harapan dan usaha mereka seiring dengan ketakwaan kepada Allah.

3.  Kita perlu sedar bahawa kematian adalah kepastian yang boleh berlaku pada bila-bila masa malah mungkin lebih dekat. Oleh itu, perlu sentiasa bersiap sedia dengan amal soleh dan tidak menunda-nunda kebaikan.

4.  Dunia hanyalah perjalanan sementara, dan kita perlu menjadikannya sebagai ladang yang perlu diusahakan dengan tanaman berkualiti untuk menuai hasil di akhirat kelak.

5.  Dalam mengejar kehidupan dunia, penting untuk menumpukan kepada amalan-amalan yang memberi manfaat di akhirat. Angan-angan yang membawa kepada amal soleh dan persediaan akhirat adalah bentuk angan-angan yang terpuji.

6.  Ajal adalah rahsia yang hanya diketahui oleh Allah. Oleh itu, manusia perlu sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia dan tidak leka dengan kehidupan dunia.


21hb Jamadil Akhir 1446H
23hb Disember 2024

Ucapan Boleh Mendatangkan Pahala Atau Dosa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ucapan Boleh Mendatangkan Pahala Atau Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللهِ تَعَالى مَا يُلْقِي لَهَا بَالاً يَرْفَعُهُ اللهُ بِهَا دَرَجَاتٍ ، وَإِنَّ الْعبْدَ لَيَتَكلَّمُ بالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللهِ تَعَالَى لاَ يُلْقِي لَهَا بَالاً يَهْوِيْ بِهَا فِيْ جَهَنَّمَ 

Daripada Abû Hurairah RA, dari Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata dari keredhaan Allâh tanpa ia menaruh perhatian padanya, maka Allâh akan mengangkatnya lantaran (ucapannya) beberapa darjat, dan sesungguhnya seorang hamba berbicara dengan kata-kata yang mengandung kemurkaan Allâh tanpa memikirkannya maka ia menjerumuskannya ke dalam neraka jahannam. (HR Bukhari No: 6478) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Hadis ini menunjukkan bahawa ucapan seseorang boleh menjadi sebab kenaikan darjat atau kehinaan dirinya. Hal ini kerana Allah memberikan perhatian kepada apa yang kita katakan dan akan menilai setiap perkataan kita.

2.  Kita perlu sentiasa menjaga lisan agar tidak mengeluarkan perkataan yang mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah seperti menghina, memfitnah juga menyakiti orang lain.
Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Qaf ayat 18:

مّا يَلفِظُ مِن قَولٍ إِلّا لَدَيهِ رَقيبٌ عَتيدٌ
Maksudnya: Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya melainkan ada di dekatnya malaikat pengawas yang selalu hadir.

3.  Berhati-hatilah dengan dosa yang dianggap remeh seperti memandang ringan kata-kata buruk terhadap orang lain seperti umpatan, senda gurau yang melukai hati orang lain kerana ia boleh mendatangkan kemurkaan Allah.

4.  Ucapkanlah kata-kata yang mendatangkan pahala dan kebaikan seperti memberi salam, memberi nasihat, ucapan yang menggembirakan dan memberi semangat, kata-kata memuji Allah, zikir dan doa.

5.  Kata-kata boleh menjadi sebab untuk seseorang mendapat keredhaan atau kemurkaan Allah. Oleh itu, kita perlu sentiasa berhati-hati dengan apa yang diucapkan dan berusaha menggunakan lisan untuk kebaikan. Dengan menjaga kata-kata, kita bukan sahaja memperbaiki hubungan dengan sesama manusia tetapi juga meraih ganjaran besar di sisi Allah SWT.

22hb Jamadil Akhir 1446H
24hb Disember 2024

Saturday, 21 December 2024

Kaya dan Miskin Sebenar

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kaya dan Miskin Sebenar 

عن أبي ذر رضي الله عنه قَالَ لِي رَسُول اللَّه صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : يَا أَبَا ذَرّ أَتَرَى كَثْرَة الْمَال هُوَ الْغِنَى قُلْت : نَعَمْ . قَالَ : وَتَرَى قِلَّة الْمَال هُوَ الْفَقْر قُلْت : نَعَمْ يَا رَسُول اللَّه . قَالَ : إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْب وَالْفَقْر فَقْر الْقَلْب

Daripada Abi Dzar RA: “Rasulullah SAW berkata padaku, “Wahai Abu Dzar, apakah engkau memandang bahawa banyaknya harta itulah yang disebut kaya?” “ya,” jawab Abu Dzar. Baginda bertanya lagi, “Apakah engkau memandang bahawa sedikitnya harta itu bererti fakir?” “ya,” Abu Dzar menjawab dengan jawapan serupa. Lantas baginda pun bersabda, “Sesungguhnya kaya yang sebenar adalah kaya hati (hati yang selalu merasa cukup). Sedangkan fakir yang sebenar adalah fakirnya hati (hati yang selalu merasa tidak puas).” (HR. Ibnu Hibban. Syaikh Syu’aib Al Arnauth berkata bahawa sanad hadis ini sahih sesuai syarat Muslim)

Pengajaran:

1.  Banyaknya harta dan kemewahan dunia bukanlah jalan untuk meraih kebahagiaan sejati. 

2.  Kekayaan sejati adalah hatinya sentiasa tenang merasa cukup dengan apa yang Allah anugerahkan dan bersyukur. Inilah sifat qona’ah. 

3.  Ibnu Baththol menyatakan: “Hakikat kekayaan sebenarnya bukanlah dengan banyaknya harta. Kerana ramai orang yang diluaskan rezeki oleh Allah, namun ia tidak pernah merasa puas dengan apa yang diberi. Orang seperti ini selalu berusaha keras untuk menambah dan terus menambah harta, tanpa mengira dari manakah harta tersebut diperolehi. Orang inilah yang disebut fakir kerana usaha kerasnya untuk terus menerus memuaskan hatinya dengan harta. 

4.  Ibnu Hajar Al Asqolani menyatakan: “Orang yang kaya adalah orang yang selalu qona’ah (merasa puas) dengan rezeki yang Allah beri. Ia tidak tamak untuk menambahnya tanpa ada keperluan. Ia selalu reda dengan rezeki Allah. Orang inilah yang akan kaya selamanya.

5.  Orang yang fakir hatinya sentiasa gelisah, tidak puas, tidak pernah merasa cukup, tamak dan tidak bersyukur walaupun memiliki harta yang banyak.

Berusahalah kita memiliki hati yang kaya dengan memiliki sifat qonaah dan sentiasa bersyukur dengan apa sahaja nikmat Allah yang dianugerahkan kepada kita.


20hb Jamadil Akhir 1446H
22hb Disember 2024

Friday, 20 December 2024

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

*ASSALAMUALAIKUM wbt*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dunia Adalah Jambatan Akhirat

عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ أَخَذَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَنْكِبِي فَقَالَ كُنْ فِي الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أَوْ عَابِرُ سَبِيلٍ
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ يَقُولُ إِذَا أَمْسَيْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الصَّبَاحَ وَإِذَا أَصْبَحْتَ فَلَا تَنْتَظِرْ الْمَسَاءَ وَخُذْ مِنْ صِحَّتِكَ لِمَرَضِكَ وَمِنْ حَيَاتِكَ لِمَوْتِكَ

Daripada Ibnu Umar RA dia berkata; Rasulullah SAW pernah memegang bahuku dan bersabda: Jadilah kamu di dunia ini seolah-olah orang asing atau seorang pengembara. Ibnu Umar telah berkata; Apabila kamu berada di waktu petang, janganlah kamu menunggu datangnya waktu pagi, dan apabila kamu berada di pagi hari, maka janganlah menunggu waktu petang. Manfaatkanlah waktu sihatmu sebelum sakitmu, dan hidupmu sebelum matimu. (HR Bukhari No: 5937) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Dunia adalah jambatan menuju akhirat. Jangan jadikan dunia sebagai matlamat dan tempat tinggal hakiki. Sebagai musafir di perjalanan, kita tidak membawa kesemua yang kita milik berbentuk harta untuk bermusafir. Kita hanya membawa sekadarnya.

2.  Jadikanlah diri kita sebagai seorang musafir di perjalanan. Kita hanya membawa bekalan penting berbentuk ibadat, amal soleh dan taqwa menuju akhirat yang kekal abadi.

3.  Elakkan dari bertangguh untuk melakukan amal soleh kerana kita tidak pasti apakah berkesempatan untuk melakukannya pada masa akan datang.

4.  Setiap Muslim perlu merebut peluang dan kesempatan yang ada sebaik mungkin. Lakukan amal kebaikan ketika kita sihat dan masih hidup. Sakit dan ajal boleh berlaku bila-bila masa.

Rebutlah peluang beramal ketika kita masih muda, sihat, berharta, lapang dan semasa hidup ini. Peluang yang ada belum tentu berulang buat kita.


19hb Jamadil Akhir 1446H
21hb Disember 2024

Thursday, 19 December 2024

Lima Sunah Fitrah

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Lima Sunah Fitrah

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رِوَايَةً الْفِطْرَةُ خَمْسٌ أَوْ خَمْسٌ مِنْ الْفِطْرَةِ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَنَتْفُ الْإِبْطِ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

Daripada Abu Hurairah secara periwayatan, (sunnah-sunnah) fitrah itu ada lima, atau lima dari sunnah-sunnah fitrah, iaitu; berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan mencukur kumis." (HR Bukhari No: 5439) Status Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Islam menuntut umatnya sentiasa bersih 

2. Antara amalan sunah yang menjadi fitrah agar dibersihkan:

a. Berkhatan
b. Mencukur bulu kemaluan
c. Mencabut bulu ketiak
d. Memotong kuku
e. Mencukur misai

3. Amalan ini bertujuan menjaga kesihatan, penampilan, serta mencegah penyakit. Contohnya, mencukur bulu ketiak dan bulu di kawasan kemaluan akan membantu menghindari bakteria dan bau yang kurang menyenangkan.

4. Jangan biarkan ianya tidak dibersihkan dalam tempoh yang lama. Anas bin Malik R.A meriwayatkan hadis Nabi SAW:

وُقِّتَ لَنَا فِي قَصِّ الشَّارِبِ وَتَقْلِيمِ الأَظْفَارِ وَنَتْفِ الإِبْطِ وَحَلْقِ الْعَانَةِ أَنْ لاَ نَتْرُكَ أَكْثَرَ مِنْ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً ‌‏

Maksudnya: Ditetapkan waktu buat kami pada memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, agar kami tidak membiarkannya lebih dari empat puluh malam. (HR Muslim  no: 258)

5. Melakukan amalan ini dengan niat memenuhi sunnah Rasulullah SAW adalah satu ibadah yang mendatangkan pahala. Ia juga merupakan cara kita memuliakan diri yang dianugerahkan oleh Allah.

6. Dengan menjaga kebersihan, bukan sahaja tubuh menjadi sihat dan bersih, tetapi ia juga mencerminkan ketaatan kepada Allah SWT. Oleh itu, setiap Muslim perlu mengamalkan sunnah ini sebagai sebahagian daripada kehidupan harian.


18hb Jamadil Akhir 1446H
20hb Disember 2024

Wednesday, 18 December 2024

Amalan Menjelang Malam

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Amalan Menjelang Malam

عَنْ جَابِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا اسْتَجْنَحَ اللَّيْلُ أَوْ قَالَ جُنْحُ اللَّيْلِ فَكُفُّوا صِبْيَانَكُمْ فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ تَنْتَشِرُ حِينَئِذٍ فَإِذَا ذَهَبَ سَاعَةٌ مِنْ الْعِشَاءِ فَخَلُّوهُمْ وَأَغْلِقْ بَابَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَطْفِئْ مِصْبَاحَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَأَوْكِ سِقَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَخَمِّرْ إِنَاءَكَ وَاذْكُرْ اسْمَ اللَّهِ وَلَوْ تَعْرُضُ عَلَيْهِ شَيْئًا

Daripada Jabir RA dari Nabi SAW bersabda: "Apabla menjelang malam ketika terbenamnya matahari, maka jagalah bayi-bayi kamu kerana pada ketika itu syaitan sedang berkeliaran. Jika telah berlalu beberapa ketika daripada waktu isyak, bolehlah kamu biarkan mereka dan tutuplah pintu rumah kalian dan sebutlah nama Allah dan padamkanlah lampu-lampu rumah kamu dan sebutlah nama Allah dan tutup tempat minum serta tutup pula bekas (tempat makanan) kamu dan sebutlah nama Allah padanya, walaupun kamu hanya sekedar melintangkan sesuatu di atasnya". (HR Bukhari No: 3280) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Waktu senja merupakan waktu permulaan bagi malam. Pada waktu ini, syaitan akan keluar berkeliaran. Mereka akan memasuki segenap ruang termasuk kediaman manusia sama ada untuk menggangu khususnya bayi, menggoda atau menumpang makan.

2. Keselamatan perlu diutamakan antaranya dengan melarang kanak-kanak keluar berkeliaran atau bermain di luar rumah apabila menjelang waktu senja. Pelbagai musuh berkeliaran pada waktu tersebut seperti syaitan, jin juga pelbagai makhluk jahat yang lain.

3. Perintah menutup dan mengunci pintu rumah di waktu malam agar rumah tidak dimasuki sebarang binatang buas dan berbisa juga penceroboh berupa pencuri, penjenayah dan sebagainya.

4. Rasulullah memerintah penting menjaga kebersihan dengan menutup bekas minuman dan makanan berbaki agar dijauhi daripada virus, bakteria, debu, kotoran atau dimasuki sesuatu yang boleh mencemarkan minuman dan makanan tersebut seperti cicak, lipas dan sebagainya.

5. Sunnah untuk kita menutup bekas-bekas makanan dan minuman agar tidak dihinggapi kuman dan bakteria. Ia sebagai salah satu usaha untuk menjaga kesihatan daripada pelbagai penyakit.

6. Perintah menutup pintu, tempat minuman dan makanan dengan menyebut nama Allah bertujuan memohon perlindungan kepada Allah yang menjaga dan memelihara makhluk.

Pastikan anak-anak kita telah pulang kerumah sebelum masuknya waktu maghrib atau bagi anak lelaki, dapat bersama ke masjid.

17hb Jamadil Akhir 1446H
19hb Disember 2024

Tuesday, 17 December 2024

Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Dilaut

*ASSALAMUALAIKUM wbt*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Zikir Penghapus Dosa Sebanyak Buih Dilaut

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ سَبَّحَ اللَّهَ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَحَمِدَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ وَكَبَّرَ اللَّهَ ثَلَاثًا وَثَلَاثِينَ فَتْلِكَ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَقَالَ تَمَامَ الْمِائَةِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ غُفِرَتْ خَطَايَاهُ وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Daripada Abu Hurairah dari Rasulullah SAW  baginda bersabda: "Barangsiapa bertasbih kepada Allah selepas solat sebanyak tiga puluh tiga kali, dan bertahmid kepada Allah tiga puluh tiga kali, dan bertakbir kepada Allah tiga puluh tiga kali, hingga semuanya berjumlah sembilan puluh sembilan, dan baginda  menambah dan kesempurnaan seratus adalah membaca - Laa ilaaha illallah wahdahu laa syariika lahu, lahul mulku walahul walahul hamdu wahuwa 'alaa kulli syai'in qadiir - (Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu), maka kesalahannya akan diampunkan walau sebanyak buih di lautan." (HR Muslim No: 939) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rasulullah mengajar amalan zikir selepas solat fardhu ialah membaca Tasbih (Subhaanallah) sebanyak 33 kali, Tahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan Takbir (Allahu Akbar) sebanyak 33 kali.

2.  Bagi menjadikan zikir tersebut sempurna, zikir terakhir (ke 100) dibaca sekali:

لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Tiada Tuhan melainkan Allah yang tunggal tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nyalah kerajaan dan puji-pujian, dan Dia berkuasa membuat segala sesuatu.”

3.  Rasulullah SAW memberi jaminan bahawa dengan mengamalkan zikir ini secara konsisten, dosa-dosa kecil akan diampunkan, walaupun sebanyak buih di lautan. Hal ini menunjukkan rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-Nya.

4. Amalan ini adalah contoh bahawa ibadah yang mudah dilakukan boleh mendatangkan ganjaran yang besar. Ia tidak memerlukan masa yang panjang, tetapi sangat bermakna dalam timbangan amal di akhirat.

JOM istiqamah dengan zikir selepas solat fardhu kita semoga ia menjadi penghapus dosa.

16hb Jamadil Akhir 1446H
18hb Disember 2024

Monday, 16 December 2024

Alkisah kehilangan kad kredit

Alkisah kehilangan kad kredit

Farid yang baru bekerja kehilangan kad kredit yang baru dipohonnya…
.
Rakan-rakan sekerja simpati pada nasib malangnya.
.
Farid hanya mampu tersenyum, “Nasib buruk? Nasib baik? Wallahua’lam!”
.
Seminggu selepas itu, ada pihak menelefon berkata kad kredit Farid telah digunakan di satu stesen minyak dan kad kredit itu telah dicabut untuk memenangi hadiah bernilai RM2,000.
.
Semua rakan sekerja Farid berkata dia amat bernasib baik, kad kredit yang hilang pun dapat hadiah.
.
“Nasib baik? Nasib buruk? Wallahua’lam!” jawab Farid sambil tersenyum.
.
Setelah menerima wang RM2,000 tersebut, Farid telah membeli sebuah motor. Tidak lama kemudian, Farid terjatuh motor dan tercedera parah.
.
Rakan sekerja Farid berasa dia amat bernasib malang kerana motor yang baru rosak bertambah dia terpaksa dirawat di hospital kerana kakinya patah.
.
“Nasib buruk? Nasib baik? Wallahua’lam!” jawab Farid sambil tersenyum.
.
Di sana, Farid berkenal dengan seorang jururawat yang jelita yang sering merawatnya. Akhirnya, jodoh Farid tiba dan sejurus keluar hospital, Farid mengumumkan bahawa dia bakal berkahwin…
.
Wahai anakku..
Janganlah kamu suka mendahului Allah dengan melabel sesuatu situasi dengan perkataan nasib baik atau pun sebaliknya. Terimalah dengan hati terbuka apa yang berlaku, kerana ia berlaku dengan keizinan Allah.  
.
Yang menyedapkan hati, kamu jangan lupa bersyukur, yang kurang menyedapkan hati, pohonlah kemaafan dari Allah. 
.
Ingatlah anak kesayanganku, sesungguhnya Allah tidak menguji seseorang di luar batas kemampuannnya. Kamu mungkin tidak memahami potensi sebenar kamu, tapi Allah tahu.
.
Senyum
.
Saya copy paste daripada seorang guru, saya tak ingat siapa. Sebabnya ada tersimpan dalam HP saya. Dan hari ni tergerak untuk saya pinjam dan repost posting ini supaya kita semua mendapat manfaat darinya.
.
Assalamualaikum dan selamat pagi semua. Ada yang dah start kerja hari ni?

Dua Nikmat Yang Sering Dilupakan

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Dua Nikmat Yang Sering Dilupakan

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; Nabi SAW bersabda: "Dua kenikmatan yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia adalah kesihatan dan waktu lapang."  (HR Bukhari No: 5933) Status: Hadis Sahih

Pengajaran

1.  Allah memberikan nikmat yang pelbagai kepada kita antaranya nikmat sihat dan masa lapang.

2.  Kebanyakan manusia lupa menggunakan sebaiknya dua nikmat ini. Penyesalan tidak berguna bila telah sakit dan usia semakin pendek.

3.  Ibnu Baththol berkata,  barangsiapa memiliki dua nikmat ini (waktu lapang dan nikmat sihat), hendaklah ia mensyukurinya dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi setiap larangan Allah. Barangsiapa yang tidak bersyukur, maka dialah orang yang tertipu.

4.  Ibnul Jauzi berkata: Dunia adalah ladang beramal untuk menuai hasil di akhirat kelak. Dunia adalah tempat kita menjaja barang dagangan, sedangkan keuntungannya akan diraih di akhirat nanti. Barangsiapa yang memanfaatkan waktu lapang dan nikmat sihat dalam rangka melakukan ketaatan, maka dialah yang akan berbahagia. Sebaliknya, barangsiapa memanfaatkan keduanya dalam maksiat, dialah yang tertipu. 

5.  Ibnu Mas’ud berkata; Aku sangat benci orang yang menganggur, iaitu tidak beramal untuk penghidupan dunianya dan akhiratnya.

Semoga Allah selalu memberi kita taufik dan hidayah-Nya untuk kita memanfaatkan nikmat sihat dan masa lapang untuk melakukan ketaatan. Semoga kita tidak termasuk orang-orang yang tertipu dan terperdaya.


15hb Jamadil Akhir 1446H
17hb Disember 2024

Sunday, 15 December 2024

Pelindung Daripada Api Neraka

*ASSALAMUALAIKUM wbt*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pelindung Daripada Api Neraka

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ دَخَلَتْ امْرَأَةٌ مَعَهَا ابْنَتَانِ لَهَا تَسْأَلُ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدِي شَيْئًا غَيْرَ تَمْرَةٍ فَأَعْطَيْتُهَا إِيَّاهَا فَقَسَمَتْهَا بَيْنَ ابْنَتَيْهَا وَلَمْ تَأْكُلْ مِنْهَا ثُمَّ قَامَتْ فَخَرَجَتْ فَدَخَلَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَيْنَا فَأَخْبَرْتُهُ فَقَالَ مَنْ ابْتُلِيَ مِنْ هَذِهِ الْبَنَاتِ بِشَيْءٍ كُنَّ لَهُ سِتْرًا مِنْ النَّارِ

Daripada ‘Aisyah RA berkata; Telah datang seorang wanita bersama dua puterinya menemuiku untuk meminta sesuatu namun aku tidak mempunyai apa-apa selain sebutir kurma lalu aku berikan kepadanya. Lalu wanita itu membahagi kurma itu menjadi dua bahagian yang diberikannya untuk kedua puterinya sedangkan dia tidak memakan sedikitpun. Lalu wanita itu berdiri untuk segera pergi. Ketika itulah Nabi SAW datang kepada kami, lalu aku khabarkan masalah itu, maka Baginda bersabda: “Siapa yang memberikan sesuatu kepada anak-anak ini, maka mereka akan menjadi pelindung dari api neraka baginya”. (HR Bukhari No: 1329) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan keperluan untuk anak termasuk penyediaan makanan.

2. Ibu bapa yang soleh akan mendahulukan keperluan anak-anaknya walaupun terpaksa mengikat perut.

3. Orang yang memberikan sesuatu makanan yang baik dan halal kepada anaknya, akan menjadi saham (pahala) melindunginya dari api neraka.


14hb Jamadil Akhir 1446H
16hb Disember 2024

Saturday, 14 December 2024

Berbakti Kepada Ibu

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Berbakti Kepada Ibu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ أَتَى رَجُلٌ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ مَا تَأْمُرُنِي قَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ فَقَالَ بَرَّ أُمَّكَ ثُمَّ عَادَ الرَّابِعَةَ فَقَالَ بَرَّ أَبَاكَ

_*Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata; Seorang laki-laki mendatangi Rasulullah SAW seraya bertanya; "Apa yang engkau perintahkan kepadaku?" maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu, "lalu ia mengulangi pertanyaannya, dan baginda bersabda: "Berbaktilah kepada ibumu," lalu ia mengulangi pertanyaannya hingga yang keempat kalinya, maka baginda bersabda: "Berbaktilah kepada bapamu."*_ (HR Ahmad No: 8850) Status: Hassan

*Pengajaran:*

1. Kewajipan berbakti kepada ibu adalah suatu keutamaan kepada setiap anak.

2. Keutamaan berbuat baik kepada ibu melebihi dari ayah. Mengikut Ibn Battal kerana ibu mengalami tiga kepayahan: 

a.  Pertama ketika mengandung; 
b.  Kedua ketika melahirkan dan; 
c.  Ketiga ketika menyusukan.

Kerana itu berbakti kepada ibu tiga kali lebih berbanding ayah.

3. Keutamaan pada sianak ialah berbakti kepada ibu kemudian kepada bapa.

4. Walaupun ayah disebut selepas tiga kali ibu, ayah juga mempunyai hak besar kerana tanggungjawabnya dalam menyediakan nafkah, pendidikan, dan perlindungan kepada anak-anak. Hak ayah juga tidak boleh diabaikan, perlu dihormati, ditaati, dan diberikan penghargaan atas pengorbanannya.

Berusahalah untuk berbuat baik dan berbakti kepada ibu bapa. Berbakti kepada ibu bapa adalah satu amalan yang mendatangkan keredhaan Allah.


13hb Jamadil Akhir 1446H
15hb Disember 2024

Friday, 13 December 2024

Beramal Soleh

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Beramal Soleh  

عَنْ أَنَسٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ قَالُوا وَكَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ قَالَ يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ مَوْتِهِ

Daripada Anas RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal." Para sahabat bertanya; "Bagaimana membuatnya beramal?" baginda menjawab: "Allah akan memberikan taufik padanya untuk melaksanakan amal soleh sebelum dia meninggal." (HR Ahmad No: 11595) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Allah yang menjadikan seseorang itu baik dan soleh.

2.  Seseorang Muslim itu menjadi baik apabila Allah menggerakkannya untuk beribadat, beramal soleh dan memberi manfaat kepada orang lain.

3. Allah memberikan taufik kepada Muslim yang baik untuk ia melakukan amal soleh sehinggalah ia meninggal dunia.

4.Taufik adalah restu Allah berupa terwujudnya amal-amal baik.

Dalam Kitab Jauharah Tauhid: Taufiq ialah sesuatu yang diciptakan oleh Allah SWT yang mendorong seseorang itu untuk melakukan kebaikan jika perkara tersebut berada di dalam dirinya.

5.Taufiq tidak akan diberikan Allah melainkan hanya kepada mereka yang bersungguh-sungguh mengabdikan diri dengan rasa kehambaan demi mendekatkan diri kepadaNYA.

6. Jika seseorang diberikan peluang untuk melakukan amalan soleh menjelang akhir hayatnya, ia adalah tanda Allah menghendaki kebaikan untuknya.

Berusaha bersungguh-sungguh dengan amal soleh dan berdoalah agar kita sentiasa diberi taufik untuk istiqamah dengan amal soleh dan mendapat husnul khatimah diakhir hayat kita.

12hb Jamadil Akhir 1446H
14hb Disember 2024

Thursday, 12 December 2024

Pemilikan Harta dan Pembayaran Hutang

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Pemilikan Harta dan Pembayaran Hutang

عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُتْبَةَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَوْ كَانَ لِي مِثْلُ أُحُدٍ ذَهَبًا لَسَرَّنِي أَنْ لَا تَمُرَّ عَلَيَّ ثَلَاثُ لَيَالٍ وَعِنْدِي مِنْهُ شَيْءٌ إِلَّا شَيْئًا أَرْصُدُهُ لِدَيْنٍ

Daripada 'Ubaidullah bin Abdullah bin 'Utbah, Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Sekiranya aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, maka aku tidak suka jika ia masih berada disisiku selama tiga hari, dan sekiranya aku memiliki sedikit sahaja dari itu, nescaya aku telah membayarkan untuk hutang." (HR Bukhari No: 5964) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Rezeki yang dimiliki adalah kurniaan Allah.

2.  Rasulullah SAW seorang yang pemurah, akan segera membantu orang lain yang memerlukan dengan apa yang dimiliki.

3.  Rasulullah SAW tidak suka harta yang dimiliki kekal lama di sisinya melainkan untuk keperluan penting seperti membayar hutang (jika ada) juga disedekahkan atau dibelanjakan di jalankan Allah. Harta hanya alat untuk mencapai keredhaan Allah bukan tujuan hidup.

4.  Kewajipan orang yang memiliki harta adalah memberi keutamaan untuk menjelaskan hutang yang ada. Rasulullah SAW memberikan peringatan keras kepada orang yang enggan menjelaskan hutang dengan ancaman tidak bahagia:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَفْسُ الْمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Daripada Abu Hurairah ia berkata, "Rasulullah SAW bersabda: "Jiwa seorang mukmin itu bergantung dengan hutangnya hingga dijelaskan" (Sunan Tirmidzi No: 999) Status: Hadis Sahih

Hadis ini mengajar agar kita hidup sederhana dan tidak membazir. Harta adalah Amanah daripada Allah yang perlu digunakan untuk kebaikan. Berusahalah menggunakan harta yang dimiliki dijalan Allah seperti derma, sedekah dan lain-lain. Bagi orang yang berhutang, menjadi kewajipan untuk segera menjelaskannya.

11hb Jamadil Akhir 1446H
13hb Disember 2024

Tuesday, 10 December 2024

Doa Yang Mencukupi Untuk Urusan Agama dan Dunia

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Yang Mencukupi Untuk Urusan Agama dan Dunia

حَدَّثَنَا يَزِيدُ بْنُ هَارُونَ أَنْبَأَنَا أَبُو مَالِكٍ سَعْدُ بْنُ طَارِقٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَدْ أَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ أَقُولُ حِينَ أَسْأَلُ رَبِّي قَالَ قُلْ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي وَجَمَعَ أَصَابِعَهُ الْأَرْبَعَ إِلَّا الْإِبْهَامَ فَإِنَّ هَؤُلَاءِ يَجْمَعْنَ لَكَ دِينَكَ وَدُنْيَاكَ

Telah menceritakan kepada kami Yazid bin harun telah memberitakan kepada kami Abu Malik Sa'd bin Thariq dari ayahnya bahawa dia mendengar Nabi SAW telah di kunjungi oleh seseorang laki-laki sambil bertanya; "Wahai Rasulullah, apa yang harus  diucapkan ketika aku memohon kepada Rabbku?" baginda menjawab: "Ucapkanlah; Ya Allah, ampunilah aku, kasihanilah aku, berikanlah aku keafiatan dan berilah aku rezeki." Kemudian baginda merapatkan keempat jari tangannya selain ibu jari: "Sesungguhnya kalimat-kalimat tersebut akan mencukup bagimu agamamu dan duniamu." (HR Ibnu Majah No: 3835)  Status Hadis: Sahih

Pengajaran:

1.  Berdoa adalah tuntutan seorang Muslim dan tanda kebergantungan kita kepada Allah.

2.  Rasulullah SAW mengajar satu doa yang mencakupi keperluan hamba di dunia dan akhirat yang mengandungi empat permintaan utama  iaitu Keampunan, Rahmat, Kesihatan dan Rezeki.

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي وَارْحَمْنِي وَعَافِنِي وَارْزُقْنِي

Ya Allah, ampunilah aku, rahmatilah aku, berikanlah aku kesihatan dan kurniakanlah aku rezeki

3. Keutamaan meminta keampunan terlebih dahulu اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي” (Ya Allah, ampunilah aku) kerana dosa adalah penghalang kepada keberkatan hidup. Keampunan Allah adalah kunci kepada kebahagiaan dunia dan akhirat.

4. Memohon Rahmat Allah untuk kehidupan yang penuh berkat  “وَارْحَمْنِي” (Rahmatilah aku) mengingatkan kita bahawa rahmat Allah adalah sebab utama untuk kejayaan dunia dan keselamatan di akhirat.

5. Memohon kesihatan dan keselamatan “وَعَافِنِي” (Sihatkanlah aku) menunjukkan pentingannya kesihatan fizikal, mental, dan emosi dalam menjalani kehidupan dengan sempurna. 

6. Memohon rezeki yang mencukupi “وَارْزُقْنِي” (Kurniakanlah rezeki kepadaku) mengingatkan bahawa rezeki datang daripada Allah. Permohonan ini merangkumi rezeki material dan spiritual yang mencukupi untuk kehidupan yang baik.

JOM kita baca dan amalkan doa ini.

09hb Jamadil Akhir 1446H
11hb Disember 2024

Monday, 9 December 2024

Kelebihan Tasbih

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Kelebihan Tasbih

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ قَالَ حِينَ يُصْبِحُ وَحِينَ يُمْسِي سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ مِائَةَ مَرَّةٍ لَمْ يَأْتِ أَحَدٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَفْضَلَ مِمَّا جَاءَ بِهِ إِلَّا أَحَدٌ قَالَ مِثْلَ مَا قَالَ أَوْ زَادَ عَلَيْهِ

Daripada Abu Hurairah dia berkata; "Rasulullah SAW bersabda: 'Barang siapa, ketika pagi dan petang, membaca; Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya sebanyak seratus kali, maka pada hari kiamat tidak ada orang lain yang melebihi pahalanya kecuali orang yang juga pernah mengucapkan bacaan seperti itu atau lebih dari itu.' (HR Muslim No: 4858) Status: Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap Muslim perlu sentiasa berzikir kepada Allah.

2.  Zikir adalah salah satu bentuk ibadah yang sangat mudah dilakukan tetapi mempunyai ganjaran yang amat besar. 

3.  Antara lafaz zikir yang digalakkan pada waktu pagi dan petang:

سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ

4.  Mukmin yang berzikir dengan zikir di atas sebanyak 100 kali pagi dan petang, akan datang pada Hari Kiamat dengan amal yang besar. Tidak ada yang dapat melebihi ganjaran mereka kecuali orang yang berzikir lebih banyak.

5. Meskipun zikir ini merupakan  amalan ringan yang tidak memerlukan tenaga atau masa yang banyak, kesannya sangat berat di timbangan amal di akhirat.

6. Islam menekankan pentingnya permulaan hari (pagi) dan penutup hari (petang) dengan kebaikan berzikir. 

Ayuh dalam apa jua keadaan marilah kita sentiasa berzikir memuji Allah dengan lisan kita.

08hb Jamadil Akhir 1446H
10hb Disember 2024

Sunday, 8 December 2024

Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ucapan Untuk Pasangan Pengantin

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَفَّأَ الْإِنْسَانَ إِذَا تَزَوَّجَ قَالَ بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

Daripada Abu Hurairah RA bahawa jika Nabi SAW mendoakan orang yang baru menikah baginda membaca: "BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR (semoga Allah memberi berkah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan)." (Sunan Tirmizi No: 1011) Status: Hadis Hasan Sahih

Pengajaran:

1.  Apabila seseorang mendapat kebaikan, kita digalak mengucapkan tahniah dan mendoakan kebaikan buat mereka.

2.  Apabila ada orang yang berkahwin, kita disunahkan memberi ucapan dan mendoakan kepada pasangan pengantin yang kita raikan:

بَارَكَ اللَّهُ لَكَ وَبَارَكَ عَلَيْكَ وَجَمَعَ بَيْنَكُمَا فِي الْخَيْرِ

"BARAKALLAHU LAKA WA BARAKA 'ALAIKA WA JAMA'A BAINAKUMA FIL KHAIR 

(Semoga Allah memberi barakah kepadamu dan keberkahan atas pernikahan kamu, dan mengumpulkan kalian berdua dalam kebaikan).

Musim cuti hujung tahun ini ramai orang mengambil kesempatan mengadakan majlis pernikahan anak mereka.

Marilah kita ucapkan doa ini apabila mengunjungi majlis walimah atau mengucapkan tahniah kepada pasangan pengantin dengan doa penuh keberkatan dan kebaikan ini. Semoga keberkahan juga melimpah pada kita yang mendoakan.

07hb Jamadil Akhir 1446H
09hb Disember 2024

Saturday, 7 December 2024

Menghadiri Majlis Walimah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Menghadiri Majlis Walimah

عن ابن عمر قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم إِذَا دُعِىَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Daripada Ibnu Umar dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Apabila kamu dijemput ke majlis kenduri perkahwinan, maka hadirilah. (HR. Bukhari No: 5173). Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Ulama bersepakat bahawa wajib menghadiri kenduri kahwin apabila dijemput jika majlis kenduri itu tidak bercampur aduk dengan maksiat. 

Abu Hurairah mengatakan,

شَرُّ الطَّعَامِ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى لَهَا الأَغْنِيَاءُ ، وَيُتْرَكُ الْفُقَرَاءُ ، وَمَنْ تَرَكَ الدَّعْوَةَ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ – صلى الله عليه وسلم –

Seburuk-buruk makanan kenduri kahwin ialah kenduri yang hanya dijemput orang-orang kaya, dan tidak dijemput orang miskin. Sesiapa yang tidak memenuhi jemputan maka dia telah melakukan maksiat kepada Allah dan Rasulnya SAW. (HR Bukhari No: 5177).

2.  Syarat-syarat yang menjadikan seseorang wajib menghadiri kenduri kahwin:

a.  Jemputan tidak dikhaskan kepada orang-orang kaya sahaja
b.  Jemputan itu memang ditujukan khas kepada kita (bukan jemputan umum contohnya hanya diumumkan imam selepas solat untuk para jamaah
c.  Yang menjemput itu adalah Muslim
d.  Yang dijemput tidak mempunyai keuzuran seperti sakit dan sebagainya

3.  Haram menghadiri kenduri kahwin yang diisi dengan perkara maksiat. Akan tetapi jika seseorang mampu mengubah maksiat itu agar berhenti dengan kehadirannya, hendaklah dia hadir. Sebahagian ulama berpendapat boleh hadir kerana bukan kita yang melakukan maksiat itu.

4.  Ulama berbeza pendapat tentang hukum memenuhi jemputan kenduri selain majlis perkahwinan. Di sisi mazhab Syafie, hukum memenuhi jemputan kenduri selain perkahwinan adalah tidak wajib.

Hujung tahun ini ramai orang mengadakan majlis kenduri perkahwinan. Tunaikan jemputan jika tiada sebarang keuzuran syarie.

06hb Jamadil Akhir 1446H
08hb Disember 2024

Friday, 6 December 2024

Ujian Penghapus Dosa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Ujian Penghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Ujian (bala) akan sentiasa menimpa orang mukmin  sama ada lelaki mahupun perempuan, pada dirinya, anak dan hartanya hingga ia bertemu Allah dengan tidak membawa satu kesalahan (dosa) pun atasnya.” (HR Tirmizi No: 2323) Hadis Hasan Sahih.

Pengajaran:

1.  Setiap ujian (bala) atau musibah yang dihadapi oleh orang mukmin sama ada pada dirinya, harta serta ahli keluarganya adalah sebagai pengampun dosa-dosanya.

2.  Al-Baghawi menyatakan: Tidak ada satupun musibah yang menimpa seorang hamba, demikian pula musibah yang lebih besar (dan luas) darinya, kecuali kerana sebab dosa yang Allah mengampuninya hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya) atau Allah hendak mengangkat darjatnya (kepada suatu darjat kemuliaan) hanya dengan (cara menimpakan) musibah tersebut (kepadanya)” (Tafsir Al-Baghawi: 4/85)

3.  Ada Muslim di hari akhirat nanti diampunkan semua dosanya ketika bertemu Allah kerana kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berbentuk musibah semasa di dunia.

4.  Antara tujuan utama Allah SWT menimpakan ujian kepada hamba-Nya adalah untuk mengetahui siapakah di antara mereka yang baik amalannya. Firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلً

“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” Al-Mulk: 2

Moga kita bersabar dengan setiap ujian yang dilalui agar ia menjadi penghapus dosa-dosa kita.

05hb Jamadil Akhir 1446H
07hb Disember 2024

Thursday, 5 December 2024

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Ditimpa Musibah

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Membaca Istirja' dan Doa Ketika Ditimpa Musibah

أُمَّ سَلَمَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ  مَا مِنْ عَبْدٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَجَرَهُ اللهُ فِي مُصِيبَتِهِ وَأَخْلَفَ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا

Daripada Ummul Mukminin, Ummu Salamah isteri Nabi SAW bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada daripada kalangan hamba (Allah) yang ditimpa suatu musibah, kemudian mengucapkan: “Innā lillāhi wa innā ilaihi rājiʿun (Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya), Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini,” melainkan Allah akan memberikan pahala kepadanya kerana musibah itu dan menggantikan yang lebih baik.” (HR Muslim No: 918) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Musibah adalah ujian yang didatangkan oleh Allah kepada kita dalam bentuk kesusahan, kesakitan, dukacita  seperti kematian, banjir dan sebagainya.

2.  Bersabar terhadap segala musibah yang menimpa adalah tuntutan kepada setiap Muslim.

3.  Musibah yang menimpa seorang mukmin mempunyai banyak hikmahnya antaranya bertujuan untuk menghapuskan dosa dan meningkatkan pahala.

4.  Muslim yang menerima musibah seperti banjir, kemalangan, kesakitan dan sebagainya, disunatkan agar mengucapkan kalimah istirja dan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW:

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ . اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

“Sesungguhnya kami milik Allah dan pastinya kami akan kembali kepada-Nya, Ya Allah! Aku mohon agar kurniakanlah ganjaran pada musibahku ini, dan berikanlah ganti yang lebih baik daripada musibah ini”.

5.  Orang yang membaca kalimah istirja dan doa diatas apabila menerima musibah akan diberi gantian yang lebih baik antaranya pahala di sisi Allah diatas kesabarannya serta pengampunan dosa.

6.  Sebagai Muslim, kita perlu meyakini bahawa setiap yang berlaku terdapat didalamnya hikmah tertentu.

04hb Jamadil Akhir 1446H
06hb Disember 2024

Wednesday, 4 December 2024

Musibah Menghapus Dosa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Musibah Menghapus Dosa

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ

Daripada Abu Hurairah RA dari Nabi SAW baginda bersabda: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa suatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya melainkan Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya." (HR Bukhari No: 5641) Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap yang dihadapi oleh seseorang, sama ada berupa kesenangan mahupun kesusahan adalah ujian untuk melihat siapakah yang lebih baik amalannya di sisi Allah.

2.  Setiap muslim perlu sentiasa bersabar dan reda apabila ditimpa dengan penyakit, keletihan, kesedihan, mahupun  kesusahan termasuk musibah banjir yang melanda di beberapa kawasan sekarang ini.

3.  Musibah banjir dibeberapa negeri di Malaysia  menyebabkan orang yang terlibat mengalami kesusahan dan kepayahan. Ada yang kehilangan nyawa, kemusnahan harta juga kerosakan harta benda terkena air banjir seperti kenderaan yang ditenggelami air juga rumah yang rosak. 

4.  Sebagai Muslim hendaklah sentiasa sedar bahawa setiap kejadian yang berlaku dalam kehidupan ada hikmah yang tersendiri. Allah SWT mendatangkan ujian berupa musibah, kesakitan, keletihan, kegusaran, dan sesuatu yang menganggu kehidupan adalah sebagai penghapus dosa dan peninggi darajat agar hamba-Nya sentiasa dalam rahmat-Nya.

5.  Rahmat Allah SWT Maha Luas. Seseorang hamba yang bersabar dengan musibah maka akan diampuni dosanya. Usahlah kita menyalahkan antara satu sama lain diatas musibah ini.

6.  Semoga dosa kita terampun walaupun kesakitan dan kesulitan yang kita lalui mungkin kecil berbanding dengan orang lain. Mungkin ibarat duri yang mencucuk atau melukakan anggota tubuh.

7.  Marilah kita menyerahkan segala musibah kepada Allah dengan memperbanyakkan zikir yang diajar oleh Rasulullah kepada sahabat:  Nabi SAW bersabda:

يَا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ قَيْسٍ قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللَّهِ  فَإِنَّهَا كَنْزٌ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ

Wahai ‘Abdullah bin Qois, katakanlah ‘laa hawla wa laa quwwata illa billah’ (Tidak ada daya dan upaya kecuali dengan kekuatan Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung), kerana ia merupakan simpanan pahala berharga di syurga. (HR. Bukhari no. 7386)

Semoga mereka yang diuji dengan pelbagai kesusahan dan kepayahan akibat banjir dan sebagainya, dapat menerima dengan sabar dan reda. Moga Allah menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

03hb Jamadil Akhir 1446H
05hb Disember 2024

Tuesday, 3 December 2024

Waktu Mustajab Berdoa

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Waktu Mustajab Berdoa

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ 

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda. Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa selepas waktu azan dan doa pada waktu hujan turun. (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih. 

Pengajaran:

1.  Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.

2.  Ada waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah akan diperkenankan iaitu:

a.  Doa selepas azan dan sebelum iqamah
b.  Doa pada waktu hujan mula turun

3.  Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut,  sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).

Ambil peluang di musim hujan sekarang untuk membanyakkan doa pada waktu hujan mula turun, moga diperkenankan hajat kita.

02hb Jamadil Akhir 1446H
04hb Disember 2024

Monday, 2 December 2024

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

Assalamualaikum warahmatullah,

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

Doa Awan Mendung dan Hujan Turun

عَنْ الْمِقْدَامِ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ عَائِشَةَ أَخْبَرَتْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا رَأَى سَحَابًا مُقْبِلًا مِنْ أُفُقٍ مِنْ الْآفَاقِ تَرَكَ مَا هُوَ فِيهِ وَإِنْ كَانَ فِي صَلَاتِهِ حَتَّى يَسْتَقْبِلَهُ فَيَقُولُ اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ فَإِنْ أَمْطَرَ قَالَ اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا مَرَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثَةً وَإِنْ كَشَفَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ وَلَمْ يُمْطِرْ حَمِدَ اللَّهَ عَلَى ذَلِكَ

Daripada Al-Miqdam dari ayahnya bahawa Aisyah telah mengkhabarkan kepadanya bahwa Nabi SAW apabila baginda melihat awan gelap yang bergerak di antara ufuk yang tinggi, maka baginda meninggalkan semua kegiatannya termasuk solat sunat, sampai menatapnya dan berdoa: "Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya." Jika turun hujan, maka baginda berdoa: Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) bermanfaat  (penuh keberkatan)." (baginda membacanya) dua kali atau tiga kali. Dan jika Allah Azza Wa Jalla menghilangkannya dan tidak jadi turun hujan, maka baginda (bersyukur) memuji Allah atas semua itu." (HR Ibnu Majah No: 3879)  Status: Hadis Sahih

Pengajaran:

1.  Setiap peristiwa yang berlaku seperti awan mendung yang berarak dan hujan yang turun adalah ketentuan dan ketetapan dari Allah

2.  Rasulullah mengajar kita berdoa apabila melihat awan mendung yang berarak agar jauh dari musibah

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا أُرْسِلَ بِهِ

Ya Allah, kami berlindung kepada-Mu dari keburukan yang Engkau datangkan bersamanya

3.  Rasulullah juga mengajar kita berdoa apabila hujan turun.

اللَّهُمَّ صَيِّبًا نَافِعًا

Ya Allah jadikanlah curahan (air hujan) ini sebagai curahan yang bermanfaat (penuh keberkatan).

4.  Al-Hafiz Imam Ibn Hajar al-Asqalani mengatakan bahawa doa di atas adalah sunat untuk dibaca ketika turunnya hujan bagi menambahkan kebaikan dan juga keberkatan di samping menolak segala yang boleh memberi mudharat. (Lihat: Fath al-Bari, 518/2)

Kebetulan sekarang ini di kebanyakan tempat musim hujan serta banyak tempat telah dinaiki air, marilah kita membanyakkan membaca doa ini, moga hujan yang turun mendatangkan manfaat bukan musibah.

01hb Jamadil Akhir 1446H
03hb Disember 2024

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...