Friday, 9 January 2026

Uban Itu Kebaikan

Assalamualaikum warahmatullah

*Uban Itu Kebaikan*

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ فَإِنَّهُ نُورُ الْمُسْلِمِ مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً وَكَفَّرَ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً وَرَفَعَهُ بِهَا دَرَجَةً

_*Daripada 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata; bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kalian mencabut uban, kerana sesungguhnya ia adalah cahaya bagi seorang muslim, barangsiapa tumbuh padanya sehelai uban di dalam Islam maka dengannya Allah akan menuliskan untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu darjat."*_ (HR Ahmad No: 6668) Status: Isnad Tsiqah.

*Pengajaran:*

1.  Hargailah setiap anugerah Allah kepada kita.

2.  Rambut beruban (metalik) semula jadi adalah anugerah kebaikan kepada setiap Muslim yang memilikinya. Uban melambangkan ketuaan dan kematangan.

3.  Uban yang tumbuh tidak digalakkan mencabutnya kerana menghormati perubahan semula jadi tubuh manusia. Rambut beruban adalah cahaya  seorang Muslim di hari kiamat (menjadi kelebihan dan kemuliaan kepada pemiliknya di sisi Allah).

4.  Saidina Anas Bin Malik RA bahawa beliau berkata:

يُكْرَهُ أَنْ يَنْتِفَ الرَّجُلُ، الشَّعْرَةَ الْبَيْضَاءَ مِنْ رَأْسِهِ وَلِحْيَتِهِ
Maksudnya: *Dimakruhkan bagi seorang lelaki itu mencabut rambut yang putih daripada kepalanya dan juga janggutnya.* (HR Muslim No: 2341)

5.  Uban yang tumbuh di kepala, pada setiap helai Allah akan menulis untuknya satu kebaikan, menghapus darinya satu kesalahan dan mengangkatnya dengan satu darajat.

6.  Uban yang tumbuh pada seorang Muslim adalah simbol kesabaran dan pengalaman hidup dalam beribadat kepada Allah. Ia menjadi saksi terhadap umur yang dihabiskan dalam ketaatan dan perjuangan dalam agama.

19hb Rejab 1447H
09hb Januari 2026M

Wednesday, 7 January 2026

UBAN ADALAH CAHAYA PADA HARI KIAMAT

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
UBAN ADALAH CAHAYA PADA HARI KIAMAT
عَنْ عَمْرِو بْنِ عَبَّاسَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
مَنْ شَابَ شَيْبَةً فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ.
Daripada Amru bin Abasah bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: “Barangsiapa tumbuh satu uban di jalan Allah, maka uban tersebut akan menjadi cahaya baginya pada Hari Kiamat.”
(HR At-Tirmizi No. 1559) — Hasan Sahih
Pengajaran:
◾ Uban yang tumbuh kerana ketaatan kepada Allah menjadi cahaya di Hari Kiamat.
◾ Uban ialah peringatan tentang usia, kematian dan akhirat.
◾ Orang berakal akan meningkatkan amal soleh apabila melihat uban sebagai peringatan.
◾ Al-Quran menyebut “pemberi peringatan”, dan para mufassir menjelaskan antaranya ialah uban (Surah Fāthir: 37; Tafsir Ibn Kathir).
18 Rejab 1447H / 08 Januari 2026M

Tuesday, 6 January 2026

PELIHARA HAK JALAN

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
PELIHARA HAK JALAN
عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
إِيَّاكُمْ وَالْجُلُوسَ عَلَى الطُّرُقَاتِ، فَقَالُوا: مَا لَنَا بُدٌّ إِنَّمَا هِيَ مَجَالِسُنَا نَتَحَدَّثُ فِيهَا،
قَالَ: فَإِذَا أَبَيْتُمْ إِلَّا الْمَجَالِسَ فَأَعْطُوا الطَّرِيقَ حَقَّهَا،
قَالُوا: وَمَا حَقُّ الطَّرِيقِ؟
قَالَ: غَضُّ الْبَصَرِ، وَكَفُّ الْأَذَى، وَرَدُّ السَّلَامِ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ، وَنَهْيٌ عَنِ الْمُنْكَرِ.
Daripada Abu Sa‘id al-Khudri RA, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
“Jauhilah kamu daripada duduk di tepi-tepi jalan.”
Mereka berkata: “Kami tidak dapat mengelakkannya, kerana ia merupakan tempat kami duduk berbual.”
Baginda bersabda: “Jika kamu tetap mahu duduk di situ, maka tunaikanlah hak jalan tersebut.”
Mereka bertanya: “Apakah hak jalan itu?”
Baginda menjawab: “Menundukkan pandangan, menjauhkan gangguan, membalas salam, menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.”
Sumber: Sahih al-Bukhari (No. 5790) – Hadis Sahih
Pengajaran:
Rasulullah SAW melarang duduk atau melepak di tepi jalan yang mengganggu laluan orang ramai.
Larangan ini merangkumi semua bentuk gangguan terhadap pengguna jalan, sama ada secara fizikal atau perbuatan.
Jika terpaksa berada di tepi jalan, wajib menjaga hak jalan: menundukkan pandangan, tidak mengganggu, membalas salam serta melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
Hadis ini mendidik umat Islam supaya menjaga adab dan keharmonian di ruang awam.
17 Rejab 1447H / 07 Januari 2026

Monday, 5 January 2026

ZIARAH KUBUR

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ ◾
ZIARAH KUBUR
عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، أَلَا فَزُورُوهَا، فَإِنَّهَا تُرِقُّ الْقَلْبَ، وَتُدْمِعُ الْعَيْنَ، وَتُذَكِّرُ الْآخِرَةَ، وَلَا تَقُولُوا هُجْرًا
Daripada Anas bin Malik رضي الله عنه, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Aku dahulu telah melarang kamu daripada menziarahi kubur. Maka sekarang, ziarahilah ia, kerana sesungguhnya ia melembutkan hati, mengalirkan air mata, mengingatkan tentang akhirat, dan janganlah kamu berkata perkara yang batil.”
Sumber: Riwayat Ahmad (Musnad Ahmad)
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
◾1. Ziarah kubur disyariatkan sebagai peringatan tentang kematian dan akhirat.
◾2. Ia melembutkan hati yang keras dan menimbulkan rasa insaf.
◾3. Ziarah kubur mendorong kepada taubat dan memperbanyakkan amal soleh.
◾4. Dilarang mengucapkan perkataan batil seperti meratap, mencela takdir atau memohon kepada si mati.
◾5. Ziarah kubur hendaklah dilakukan dengan adab yang betul serta disertai doa dan istighfar.
◾6. Tujuan utama ziarah kubur ialah mengingatkan bahawa kehidupan dunia adalah sementara.
16 Rejab 1447H | 6 Januari 2026M

Sunday, 4 January 2026

Ziarahi Pesakit Seumpama Berada Di taman Syurga

*السلام عليكم ورحمة الله وبركاته*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Ziarahi Pesakit Seumpama Berada Di taman Syurga*

عَنْ أَبِي أَسْمَاءَ الرَّحَبِيِّ عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ قَالَ جَنَاهَا

_*Daripada Abu Asma' Ar Rahabi dari Tsauban maula (hamba yang dimerdekakan) Rasulullah SAW, dari Rasulullah SAW baginda bersabda: "Apabila seorang muslim mengunjungi saudaranya yang sedang sakit, maka orang itu sentiasa berada dalam sebuah taman syurga. Baginda ditanya; Bagaimana taman syurga itu? Baginda menjawab: 'Taman yang penuh dengan buah-buahan yang dapat dipetiknya.'*_ (HR Muslim No: 4660) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Menziarahi orang sakit adalah ibadah yang besar ganjarannya. Amalan ini merupakan sunat muakkad (amat digalakkan).

2.  Menziarahi orang sakit adalah salah satu daripada tanggung jawab kita bagi menyempurnakan hak saudara Muslim yang lain. 

3.  Orang yang menziarahi orang sakit seolah-olah ia berada dalam sebuah dari taman di syurga.

4.  Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebut dalam Fath al-Bari bahawa hadis ini menunjukkan orang yang menziarahi orang sakit berada dalam kedudukan hampir kepada rahmat syurga, dan pahala itu berterusan selama dia berada bersama pesakit.

5.  Ziarah orang sakit bukan hanya untuk pahala, tetapi juga untuk memberi sokongan moral, doa, dan mengingatkan tentang rahmat Allah serta kesabaran.

6.  Apabila menziarahi orang sakit, doakanlah pesakit.  Rasulullah SAW  mengajar doa ketika menziarahi orang sakit:

أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ اِشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا

Maksudnya: *Hilangkanlah penyakitnya wahai Tuhan sekalian manusia, sembuhkanlah wahai zat Yang Maha Menyembuhkan, tidak ada yang dapat menyembuhkan melainkan kesembuhan dari-Mu, iaitu kesembuhan yang tidak membawa rasa sakit.* (HR Bukhari No: 5243) Status Hadis Sahih.

Tunaikanlah tanggungjawab kita untuk menziarahi sahabat yang sakit dan doakan kesembuhan kepadanya.

14hb Rejab 1447H
04hb Januari 2026M

BERDIRI MENGHORMATI JENAZAH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
BERDIRI MENGHORMATI JENAZAH
عَنْ عَامِرِ بْنِ رَبِيعَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ:
إِذَا رَأَيْتُمُ الْجَنَازَةَ فَقُومُوا حَتَّى تُخَلِّفَكُمْ أَوْ تُوضَعَ
Daripada ‘Amir bin Rabi‘ah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah sehingga jenazah itu melepasi kamu atau sehingga ia diletakkan.”
Sumber Hadis: Riwayat Muslim (No. 958)
Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
Rasulullah ﷺ mengajar adab terhadap jenazah dengan berdiri sebagai tanda hormat, simpati dan peringatan tentang kematian.
Mazhab Syafi‘i dan Hanbali menyatakan sunat berdiri apabila melihat jenazah lalu, walaupun jenazah bukan Muslim.
Islam memuliakan manusia walaupun selepas kematian. Nabi ﷺ pernah berdiri ketika jenazah seorang Yahudi melintas, lalu Baginda bersabda: “Bukankah dia juga manusia?”
Melihat jenazah seharusnya menyedarkan kita bahawa kematian pasti menimpa setiap insan dan kehidupan dunia hanyalah sementara.
Menghidupkan sunnah Rasulullah ﷺ dalam perkara kecil seperti ini mendidik jiwa agar sentiasa merendah diri, bertaqwa dan menghormati sesama manusia tanpa mengira kedudukan.
15 Rejab 1447H
05 Januari 2026

Friday, 2 January 2026

FAKIR DAN MISKIN SEBENAR

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ ◾
FAKIR DAN MISKIN SEBENAR
عَنْ أَبِي ذَرٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ: قَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
يَا أَبَا ذَرٍّ، أَتَرَى كَثْرَةَ الْمَالِ هُوَ الْغِنَى؟
قُلْتُ: نَعَمْ.
قَالَ: وَتَرَى قِلَّةَ الْمَالِ هُوَ الْفَقْرَ؟
قُلْتُ: نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ.
قَالَ: إِنَّمَا الْغِنَى غِنَى الْقَلْبِ، وَالْفَقْرُ فَقْرُ الْقَلْبِ.
Daripada Abu Dzar RA, Rasulullah SAW bersabda kepadaku:
“Wahai Abu Dzar, apakah engkau memandang bahawa banyaknya harta itulah yang disebut kaya?”
Aku menjawab: “Ya.”
Baginda bertanya lagi: “Apakah engkau memandang bahawa sedikitnya harta itu bererti fakir?”
Aku menjawab: “Ya, wahai Rasulullah.”
Lalu Baginda bersabda:
“Sesungguhnya kaya yang sebenar ialah kaya hati, dan fakir yang sebenar ialah fakir hati.” ◾
Riwayat Ibnu Hibban (no. 685)
Status hadis: Sahih – Syaikh Syu‘aib al-Arnauth menyatakan sanadnya sahih mengikut syarat Muslim. ◾
Pengajaran:
◾ 1. Banyaknya harta dan kemewahan dunia bukan ukuran kebahagiaan yang sebenar.
◾ 2. Kekayaan sejati ialah hati yang sentiasa merasa cukup, bersyukur dan tidak tamak terhadap rezeki Allah (qana‘ah).
◾ 3. Kemiskinan sebenar ialah hati yang sentiasa merasa tidak cukup, walaupun memiliki banyak harta.
◾ 4. Kemiskinan jiwa menjadikan seseorang tamak, cemburu dan tidak tenang walaupun hidup dalam kemewahan.
◾ 5. Ibnu Baththol رحمه الله menyatakan bahawa hakikat kekayaan bukan pada banyaknya harta, tetapi pada rasa puas terhadap rezeki yang Allah kurniakan.
◾ 6. Ibnu Hajar al-‘Asqalani رحمه الله menyebut: Orang yang kaya hati ialah orang yang reda dan qana‘ah dengan rezeki Allah, dan itulah kekayaan yang kekal.
13 Rejab 1447H / 3 Januari 2026

Thursday, 1 January 2026

TEKUN DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ ◾
TEKUN DAN BERSUNGGUH-SUNGGUH
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Daripada ‘Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah عز وجل menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan tekun dan bersungguh-sungguh (sebaik-baiknya).”
Riwayat al-Ṭabarānī dalam al-Mu‘jam al-Awsat dan al-Baihaqī dalam Syu‘ab al-Imān
Status: Hadis Hasan
PENGAJARAN
1️⃣ Tekun bermaksud menyempurnakan tugas dengan sebaik mungkin, penuh ketelitian, kesungguhan dan tanggungjawab tanpa cuai.
2️⃣ Islam sangat menitikberatkan kualiti kerja, bukan sekadar kuantiti atau rupa luaran semata-mata.
3️⃣ Ketekunan menjadi asas kepada mutu dan prestasi kerja yang berkualiti serta profesional.
4️⃣ Kerja harian boleh menjadi ibadah apabila dilakukan dengan niat ikhlas dan cara yang betul.
5️⃣ Islam menolak sikap sambil lewa, malas dan cuai kerana ia merosakkan amanah serta imej agama.
6️⃣ Ganjaran di sisi Allah bergantung kepada keikhlasan dan kesungguhan, bukan semata-mata hasil.
7️⃣ Allah SWT mengasihi hamba-Nya yang melakukan setiap pekerjaan dengan baik, sama ada kecil atau besar.
8️⃣ Sempena tahun baharu 2026, marilah kita melaksanakan amanah dengan tekun, berintegriti dan cekap demi kecemerlangan diri serta ummah.
12 Rejab 1447H / 2 Januari 2026

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...